HUKUM HIRABAH, ROMPAKAN DAN SAMUN, BUAT KEROSAKAN & KEADAAN TAUBAT MEREKA.
Full video : https://youtu.be/qz4EW7kGzxw?si=ZX7547cCxruXwylI
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah dengan ayat 33 sehingga 34.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang hukum al-hirabah (الحرابة) rompakan dan samun, iaitu merampas harta orang secara berdepan & menggunakan kekerasan sama ada bersenjata atau tidak.
- Juga jenayah semua yang buat kerosakan atas muka bumi ini tanpa hak & menakutkan manusia lain dengan kejahatan mereka!
- Kemudian Allah nyatakan keadaan taubat mereka iaitu jika bertaubat sebelum atau selepas ditangkap apakah hukumnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang besarnya dosa membunuh orang tanpa hak, bunuh saja-saja, kerana dendam atau hasad.
Bunuh dengan hak ialah hukuman mati ke atas penjenayah seperti hudud & qisas dalam kes murtad & bunuh orang.
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa beberapa hukuman dan hudud bagi mereka yang buat jenayah yang membuat kerosakan atas muka bumi ini!
Ada yang kena hukuman bunuh, ada yang tidak sampai dibunuh tetapi potong anggota badan, buang daerah dan lain-lain.
Dalam Islam segala jenayah & kejahatan yang dibuat atas dunia ini ada hukuman & balasannya, tidak akan dibiarkan begitu saja.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 33- {HANYASANYA BALASAN ORANG-ORANG YANG MEMERANGI ALLAH DAN RASULNYA SERTA MELAKUKAN BENCANA KEROSAKAN DI MUKA BUMI IALAH DENGAN DIBALAS BUNUH (KALAU MEREKA MEMBUNUH SAHAJA DENGAN TIDAK MERAMPAS), ATAU DIPALANG (KALAU MEREKA MEMBUNUH DAN MERAMPAS), ATAU DIPOTONG TANGAN DAN KAKI MEREKA BERSILANG (KALAU MEREKA MERAMPAS SAHAJA), ATAU DIBUANG NEGERI (KALAU MEREKA HANYA MENGGANGGU KETENTERAMAN UMUM). HUKUMAN YANG DEMIKIAN ITU ADALAH SUATU KEHINAAN DI DUNIA BAGI MEREKA, DAN DI AKHIRAT KELAK MEREKA BEROLEH AZAB SEKSA YANG AMAT BESAR.} (AL-MA’IDAH 5:33)
- Allah nyatakan sesiapa yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sama ada dengan kekufuran & permusuhan atau melakukan bencana kerosakan di muka bumi iaitu melanggar hukum agama, buat apa yang dilarang & meninggalkan apa yang diarahkan sama ada kerana sombong keras kepala, degil tidak mahu dengar kata.
- Beberapa pandangan ulama’ tentang maksud { ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ}
orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya} pada zahirnya:
i- Kata Said bin Jubair : Maksudnya kufur selepas mereka Islam.
ii- Kata Muqatil : Orang yang melakukan syirik terhadap Allah sedangkan Allah SWT suruh tauhid.
Ini satu dosa yang sangat bahaya & menakutkan kerana dikatakan sebagai orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya.
- Kata ulama’ tafsir : Kenapa mereka yang buat maksiat ini dipanggil sebagai orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya:
i- Untuk menyatakan betapa sangat menakutkan & besarnya kesalahan itu, iaitu mereka berlawan dengan Allah & Rasul bukan hanya melawan manusia biasa.
ii- Menyatakan bahayanya jenayah ini dan besar dosanya.
- Satu lagi perbuatan jenayah senyap atau jenayah peribadi yang hampir sama dengan hukum dosa ini iaitu terlibat dengan riba; kerana Allah SWT telah berfirman juga:
Maksudnya: {Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat).} (Al-Baqarah 2:279)
Ayat ini untuk menyatakan buruk, jahat & kejinya orang melakukan syirik, memakan riba & melakukan maksiat kepada Allah SWT; mereka dianggap telah memerangai Allah & Rasul-Nya.
- Kata ulama’ dalam tafsir al-Munir : Syarat untuk termasuk dalam golongan perompak yang memerangi Allah & Rasul ini ada 3:
i- Ada kekuatan sama ada dengan senjata atau geng pengganas.
ii- Berlaku dalam negara Islam yang aman.
iii- Dia ambil harta secara terang-terangan di hadapan tuannya dengan rompakan & samun.
Jika ambil senyap-senyap itu mencuri dan lain hukumnya.
- Melakukan kerosakan atas muka bumi ini { وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًا} mengikut ulama’ ialah:
i- Kata Ibnu Abbas RA : semua yang melakukan perbuatan maksiat atas muka bumi ini sama ada menakut-nakutkan orang mukmin, menyekat jalan mereka, merampas harta mereka atau mencabul kehormatan mereka & keluarga mereka.
ii- Kata Ibnu Jarir RHM : Bunuh orang, zina mnecuri & merompak.
iii- Kata ulama’ lain pula : Segala perbuatan maksiat! Sama seperti Ibnu Ababs tadi.
Hari ini dibimbangi mungkin termasuk juga geng motor yang merempit di atas jalan raya dan melakukan aksi stunt berbahaya bukan sekadar membahayakan diri sendiri tetapi orang lain juga!
Mereka juga ganas & menakutkan orang lain.
- Hukuman ke atas mereka ialah:
i- Dibalas bunuh kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas,
ii- Atau dipalang kalau mereka membunuh dan merampas.
Ulama’ kata : Selepas dibunuh dipalang mayat mereka atas kayu serta diletakkan di tempat umum agar dapat dilihat & menjadi pengajaran ngeri bagi orang ramai maka akan menakutkan mereka untuk buat juga!
iii- Atau dipotong tangan dan kaki mereka secarabersilang, kalau mereka merampas sahaja.
Iaitu dipotong tangan kanan & tangan kiri secara silang.
Jika mencuri potong tangan saja, ini merompak dengan menakutkan pemilik.
iv- Atau dibuang negeri kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum.
Dibuang dari negeri asal ke negeri lain, tetapi bukan dilepas bebas bahkan dimasukkan ke dalam penjara negeri itu pula!
Jika tidak mereka akan buat kejahatan di di situ pula!
- Ini adalah empat hukuman yang ada atas dunia ini sebagai suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar pula!
- Kenapa dibuang negeri?
Kerana perpisahan dengan keluarga & meninggalkan kampung halaman akan memberi kesan kepada jiwa yang masih ada sinar iman & kebaikan.
- Tentang buang negeri ini {يُنفَوْا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ} Ulama’ kata :
i- Dukan dibuang saja tetapi dipenjarakan di negeri itu pula. Ini pandangan Ibnu Jarir RHM.
ii- Ada kata cukup dengan penjara saja tak payah buang negeri. Kerana di dalam penjara pun sudah menyiksa dan sempit dunianya. Pandangan kedua ini dibawa oleh al-Wahidi RHM.
- Terdapat perbincanga di kalangan ulama’ tentang perkataan { أَوْ- atau} yang diulang sebanyak tiga kali dalam ayat ini:
i- Ada yang kata imam pemerintah boleh pilih nak jatuhkan hukum yang mana satu ke atas penjenayah itu (للتخيير).
ii- Ada ulama’ kata ia bukan pilihan; tetapi undang-undang untuk pelbagai hukum (للتنويع) berdasarkan jenayah yang dia buat!
Sebagaimana dalam terjemahan kita di atas, sama ada untuk bunuh saja, bunuh & rompak dan seumpamanya.
Kita minta perlindungan Allah daripada segala kejahatan ini.
- Serta Allah nyatakan jika terlepas hukuman atas dunia ini atau mereka mati tanpa bertaubat maka di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar!!!!
AYAT 34- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERTAUBAT SEBELUM KAMU DAPAT MENANGKAPNYA, (MEREKA TERLEPAS DARI HUKUMAN ITU). MAKA KETAHUILAH, BAHAWASANYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AL-MA’IDAH 5:34)
- Ayat ini Allah nyatakan tentang hukum bagi mereka yang telah bertaubat.
Terdapat dua keadaan iaitu bertaubat sebelum ditangkap, dia insaf & menyesal dengan sendiri! Atau bertaubat selepas tertangkap lain pula.
- Jika mereka bertaubat dengan sesungguhnya sebelum mereka tertangkap dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh maka:
i- Mereka terlepas dari hukuman itu atas dunia bahkan Allah akan tutup aibnya.
ii- Di Akhirat kelak Allah juga tidak akan mengazab mereka lagi.
Ini kerana bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Kata ulama’ : Allah membawa pengecualian khas di sini iaitu { إِلَّا ٱلَّذِينَ}:
i- Sesiapa yang bertaubat sebelum ditangkap atau sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya, hilang dari mereka kesalahan & hukuman jika ia adalah taubat nasuha yang betul-betul dengan cukup segala syaratnya!
Bukan taubat hulu golok atau taubat truk, apabila tertangkap baru nak taubat.
ii- Taubat ini menggugurkan hak Allah SWT iaitu hudud.
Tetapi hak sesama manusia seperti qisas (bunuh orang lain) atau ambil harta orang lain, kena hantar balik kesemuanya!
Wali mangsa berhak minta bunuh balas atau pulangkan balik harta yang dirampas atau rompak sebelum ini!
Bahkan tidak sah taubat kecuali dipulangkan semua hak harta orang yang dirampas, dirompak!
Hatta jika hakim kata dia tak perlu bayar, kerajaan atau pihak berkuasa perlu bayar pampasan dari Baitul-Mal atau perbendaharaan negara kepada keluarga si mangsa atau mangsa sendiri jika masih ada tuannya.
Maka kita jangan salah faham ingat orang jahat ini jika mereka bertaubat akan lepas & bebas; masih ada lagi tanggungjawab kerana hak sesama manusia terbina atas kesusahan, wajib bayar balik untuk hilangkan kesusahan mereka!
Manakala hak Allah terbina atas toleransi & lebih ringan!
iii- Manakala seperti mereka yang minum arak, penzina & pencuri jika mereka bertaubat dan membaikkan diri mereka sebelum ditangkap dan dihantar kepada imam, taubat mereka diterima tetapi jika berkait hak orang lain wajib dipulangkan atau ganti!
- Ayat ini juga jelas menyatakan jika penjenayah itu bertaubat selepas kena tangkap atau sampai kepada pihak berkuasa, maka zahir ayat ini menunjukkan taubat itu tidak bermanfaat & wajib diteruskan laksanakan hukum hudud ke atasnya.
- Maka kesimpulannya hukum atas jenayah hirabah rompakan & samun ini:
i- Hukuman di dunia sama ada bunuh, potong silang & salib atau buang negeri serta dipenjarakan.
ii- Manakala hukuman di Akhirat terserahlah kepada Allah SWT sebagaimana Dia kehendaki.
- Ulama’ berbeza pendapat pula tentang hukuman hudud yang dijatuhkan ini, apakah ia mencegah & menyekat orang lain dari melakukannya serta menghapuskan dosa???: . (الزواجر والجوابر)
i- Majoriti ulama’ kata : Hudud adalah dua-dua sekali, mencegah & menyekat orang lain daripada buat juga serta menutup segala kesalahan yang lalu. (الزواجر والجوابر) zawajir dan jawabir.
- Dalilnya hadis riwayat dari Ubadah bin al-Samit RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika perjanjian ‘Aqabah:
بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَـزْنُوا، وَلاَ تَـقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَـفْتَـرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَـعْصَوْا فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَـعُوقِبَ فِي الدُّنْـيَا فَـهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَـرَهُ اللهُ فَـهُوَ إِلَى اللهِ، إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَـبَهُ.
Maksudnya: “Berbai‘ahlah kamu kepadaku bahawa sesungguhnya kamu tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anakmu, tidak akan mengada-adakan sesuatu secara dusta dengan penuh kesedaran antara tangan dan kaki kamu, dan tidak akan menderhaka dalam perkara ma‘ruf. Sesiapa di antara kamu menyempurnakan janji itu maka pahalanya dijamin Allah, dan sesiapa yang melanggar sesuatu daripada apa yang dijanjikannya itu, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka itu adalah kaffarah baginya, dan sesiapa yang melanggar mana-mana janji tersebut kemudian Allah menyembunyikannya (tidak menghukumnya di dunia), maka urusannya kembali kepada Allah, sama ada Allah akan memaafkannya atau akan menyeksanya.” [HR al-Bukhari (18), Muslim (1709)].
- Yakni maksudnya hadis ini:
i- Sesiapa yang terjebak dengan dosa dan telah dijatuhkan hukum hudud maka ia adalah kaffarah (penghapus dosa) baginya.
ii- Manakala sesiapa yang terjebak dengan dosa tetapi Allah tutup rahsianya tiada siapa yang tahu lalu tidak kena hukum, kemudian dia insaf & bertaubat tanpa kena akibatnya – kita serahkan urusannya kepada Allah, sama ada akan diazab atau Allah nak ampunkannya di Akhirat.
- Tetapi orang yang hanya kena hukuman civil mengikut undang-undang dunia biasa bukan hukuman hudud dari Allah, tidak automatik jawabirnya wajib dia bertaubat kepada Allah, tidak akan gugur dengan sendiri dosa itu kerana ia bukan undang-undang Allah.
Itulah perbezaan besar & ruginya orang yang tidak kena hukum hudud, hanya hukuman dunia sahaja!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 33- {Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi..}-
Menunjukkan besarnya jenayah orang yang melawan Allah & Rasul, Allah besarkan dosa yang disebut di sini iaitu dosa memerangi Allah seperti orang yang buat maksiat & syirik, makan riba dan lain-lain.
Besarnya hukuman kerana dosa besarnya.
Ia akan membawa kepada kemurkaan Allah & neraka-Nya.
- Ayat 33- {Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum).}-
Dalam ayat ini Allah bawa empat hukuman yang dibawa ke atas kesalahan jenayah yang perlu dilaksanakan.
Ia bukan undang-undang pilihan tetapi pelbagai hukuman berdasarkan kepada kategori jenayah yang dibuat!
Ayat ini mewajib ke atas pemerintah untuk melaksanakan hukuman ini mengikut jenayah yang dia buat, mesti telus menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang yang Allah telah tetapkan bukan pilihan atau ikut perasaan kamu!
Allah suruh kita semua membersihkan bumi daripada kerosakan dengan berbuat baik!
- Ayat 33- {Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.}-
Bagi perompak ini azab yang besar!
Ini kerana jenayah perompak & penyamun ini amat banyak kejahatannya, mereka menakutkan orang, mencederakan mangsa bahkan ada yang dibunuh selain daripada ambil harta mereka!
Pencuri lain sikit gayanya, dia curi ambil harta orang secara senyap-senyap dalam keadaan bersembunyi dan takut-takut.
Maka dikatakan bahawa bagi perompak ini mereka hukuman ke atas mereka dua-dua dunia kena di Akhirat kelak pun kena.
Yang pentingnya nak menguatkan bahawa penjenayah ini bukan hanya di dunia dikenakan hukuman bahkan di Akhirat pun akan diazab!
Kecuali mereka yang sempat bertaubat & diampunkan dosanya.
Seperti orang yang telah terlepas hukum hudud & bertaubat darinya dengan ikhlas sebelum ditangkap.
- Ayat 34- {Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu).}-
Puak penjenayah ini walaupun sebesar mana jenayah mereka, jika mereka insaf & bertaubat sebelum ditangkap maka akan gugur dari mereka hukuman hudud.
Tetapi masih ada lagi tanggungjawabnya & tidak lepas begitu saja:
i- Jika ada ambil harta orang kena serah balik. Segala kerosakkan yang dibuat dikenakan pampasan & bayaran semula.
ii- Jika ada qisas kena laksanakan kecuali keluarganya memaafkan.
Yakni hak Allah boleh digugurkan jika Allah mahu tetapi hak ke atas sesama manusia wajib diselesaikan!
Perbezaan hukuman ke atas orang yang bertaubat sebelum & selepas ditangkap ini adalah kerana Allah nak galakkan manusia bertaubat dan insaf di atas perbuatannya dengan secara kehendak nalurinya sendiri bukan kerana telah ditangkap dirantai atau digari.
Kata dalam Kitab Feqah: Tetapi tidak ada kihlaf antara fuqaha’ bahawa perompak gugur hukuman ke atas mereka jika mereka betul-betul bertaubat sebelum ditangkap & dibawa ke muka pengadilan.
Jika selepas ditangkap tidak diterima!
Tetapi walaupun dimaafkan tetapi denda, pampasan & penalti ganti rugi tetap berjalan & perlu dilunaskan!
Ini menunjukkan undang-undang Islam ini sesuai dilaksanakan untuk semua tempat & masa sehingga ke hari Kiamat.
Wajib melaksanakan undang-undang Syari’ah Allah atas dunia ini bukan undang-undang ciptaan manusia apatah lagi yang kafir.
Jika tidak kita tidak akan dapat pahala yang dijanjikan Allah.
Juga kerana hudud itu mencegah & menghapuskan, jika undang-undang hudud tidak dijalankan akan berlaku kepincangan yang amat besar!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita untuk hari ini, semoga mendapat manfaat & iktibar yang sebaiknya!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.