View Categories

Surah Al-Ma’idah : Ayat 44-45

PERANAN ULAMA’ RABBANI, TIDAK TAKUT MENYATAKAN HAQ & HUKUM JENAYAH DALAM TAURAT.

Full video : https://youtu.be/lzV6rDQMi6E?si=RfDFiA1RIrGQhwbs

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 44 sehingga 45. 
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang peranan ulama’ rabbaniyyin dan rahbaniyyin (pendeta yahudi) dalam menjelas & menjaga ayat-ayat Allah, menyampaikan kepada ummah & melaksanakan tuntutannya.
  1. Dalam melaksanakan tugas ini, kita akan berdepan dengan cabaran, maka Allah nyatakan agar jangan takut kepada manusia, jangan takut menyatakan haq & takutlah kepada Allah. 
  1. Jangan jual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah iaitu jangan jual atau tunggang agama untuk kepentingan dunia. 
    Sesiapa yang tidak dengar kata juga, tolak hukum Tuhan ambil hukum kafir; maka dia juga kafir!
  1. Kemudian Allah SWT menyatakan beberapa undang-undang hukum jenayah seperti hudud & qisas yang terdapat dalam kitab Taurat.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang sifat Taurat yang di dalamnya ada hukum Allah SWT.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah sebut pujian Allah kepada mereka yang melaksanakan undang-undang atau tuntutan dalam kitab Taurat iaitu para ulama’ rabbaniy dan al-ahbar (pendeta) yang baik.
    Ayat ini juga menyindir mereka yang tak dengar kata dari kalangan yahudi. 
    Tok nenek kamu beriman & berpegang dengan kitab Taurat tetapi kenapa kamu yang sekarang ini tidak mahu beriman & beramal dengannya, sesungguhnya kamulah golongan yang degil, menyeleweng lagi tidak dengar kata!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 44- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KITAB TAURAT, YANG MENGANDUNGI PETUNJUK DAN CAHAYA YANG MENERANGI; DENGAN KITAB ITU NABI-NABI YANG MENYERAH DIRI (KEPADA ALLAH) MENETAPKAN HUKUM BAGI ORANG-ORANG YAHUDI, DAN (DENGANNYA JUGA) ULAMA MEREKA DAN PENDETA-PENDETANYA (MENJALANKAN HUKUM ALLAH), SEBAB MEREKA DIAMANAHKAN MEMELIHARA DAN MENJALANKAN HUKUM-HUKUM DARI KITAB ALLAH (TAURAT) ITU, DAN MEREKA PULA ADALAH MENJADI PENJAGA DAN PENGAWASNYA (DARI SEBARANG PERUBAHAN).}

  1. Allah menyatakan bahawa Taurat adalah kitab dari-Nya yang diturunkan kepada Nabi Musa AS.
    Di dalamnya mengandungi kebenaran, petunjuk dan cahaya keimanan yang menerangi bagi mereka yang beriman dan percaya kepadanya.
  1. Cahaya petunjuk inilah yang akan mengeluarkan mereka daripada dua penyakit yang amat bahaya iaitu:
    i- Penyakit syahwat iaitu ikut hawa nafsu.

    ii- Penyakit syubhat iaitu keraguan yang timbul dalam hati yang menyebabkan mereka tidak mahu beriman kepada Allah SWT.
  1. Para nabi telah melaksanakan hukum Taurat, menjalankan undang-undang yang ada di dalamnya dengan tetap ke atas orang yahudi yang telah menyerah diri kepada Allah tanpa tukar dan seleweng.
  1. Kemudian selepas nabi mereka tiada, maka para ulama’-ulama’ mereka {وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ} dan pendeta-pendetanya {وَٱلْأَحْبَارُ} yang diamanahkan untuk menjalankan hukum Allah yang ada dalam kitab Taurat.
  1. Mereka ahli ibadat ini sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya dari sebarang perubahan.
  1. Siapakah yang dimaksudkan sebagai orang alim Rabbaniyyun {وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ} ini? 
    Mereka ialah semua ulama’ yang menjadi pendidik iaitu orang alim yang bijak, orang faqih yang takut kepada Allah, ahli ibadat yang ikut perjalanan kitab, pandai mentadbir & bijak sebagai pendidik & guru yang mendidik manusia daripada kanak-kanak sehingga dewasa. 

    Ini kerana ada orang yang alim tetapi tidak beramal dengan ilmunya & tidak pandai menyampai & mendidik manusia dengan ilmunya. 
    Ada yang alim tentang Sunnah tetapi tidak beramal & ajar orang dengan Sunnah. 
    Mereka yang bermati-matian mencari dalil yang sahih untuk beramal dengan Sunnah Nabi yang mulia itulah alim Rabbani.
  1. Manakala makna {وَٱلْأَحْبَارُ} al-ahbar ialah khas kepada ulama’ atau pendeta dari kalangan yahudi yang alim, yang tahu kitab, dari keturunan anak cucu Nabi Harun. 
    Mereka diberi amanah untuk jaga kitab Allah ini!
  1. Tugas mereka alim ulama’ ini juga ialah mereka menjadi saksi {شُهَدَآءَ} bahawa kitab Allah ini benar yang diturunkan oleh Allah SWT & di dalamnya terdapat hukum-hakam dari Allah SWT, maka kamu jangan tukar, seleweng dan sembunyikannya! 
    Inilah tugas alim ulama’ dan pendakwah yang sebenarnya.

AYAT 44- {OLEH ITU JANGANLAH KAMU TAKUT KEPADA MANUSIA TETAPI HENDAKLAH KAMU TAKUT KEPADAKU (DENGAN MENJAGA DIRI DARI MELAKUKAN MAKSIAT DAN PATUH AKAN PERINTAHKU); DAN JANGANLAH KAMU MENJUAL (MEMBELAKANGKAN) AYAT-AYATKU DENGAN HARGA YANG SEDIKIT (KERANA MENDAPAT RASUAH, PANGKAT DAN LAIN-LAIN KEUNTUNGAN DUNIA); DAN SESIAPA YANG TIDAK MENGHUKUM DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH (KERANA MENGINGKARINYA), MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG KAFIR.} (AL-MA’IDAH 5:44)

  1. Pesanan utama dari Allah kepada mereka alim ulama’ ini ialah supaya jangan takut untuk menyatakan kebenaran. 
    Jangan takut kepada sesama manusia demi menjaga kedudukan dan kepentingan diri tetapi takutlah hanya kepada Allah SWT!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah telah tetapkan dalam ayat yang lepas kepada para nabi, ulama’ ahli kitab untuk menjalankan tugas & amanah dengan telus dan adil menyatakan hukum Allah SWT kepada sesiapa saja tak kira kedudukan mereka. 

    ii- Maka datang ayat ini Allah SWT tujukan kepada para yahudi yang ada pada zaman Nabi SAW! 
    Wahai pendeta yahudi, jika betul kamu ada kitab Taurat maka kamu nyatakanlah kebenaran yang ada di dalamya terutama tentang kebenaran Rasulullah SAW sebagai rasul terakhir!
  1. Inilah yang kita takutkan, walaupun ayat ini turun kepada ulama’ yahudi pada zaman Nabi SAW tetapi ia juga peringatan kepada semua ulama’ yang ada sekarang supaya jangan takut kepada orang tetapi nyatakan kebenaran.
    Dengan sebab kita berpegang kepada al-Quran & Taurat. Jangan takut kepada manusia, nyatakan kebenaran, jangan sembunyikan hukum demi menjaga kedudukan! 
  1. Inilah yang kita bimbang & takut, jika ketika pendeta yahudi menyembunyikan hukum, menyelewengkan fakta & kebenaran seperti sembunyikan hukum rejam bagi penzina; maka kita bimbang juga dengan ulama’ & pemimpin di kalangan umat ini yang ada kekuasaan, tidak menzahirkan undang-undang Allah Azza wa Jalla. 
    Ketika kita ada peluang nak laksanakan hukum Allah & ada kuasa untuk hapuskan apa yang Allah haramkan seperti judi, riba & rasuah tetapi tidak melaksanakannya! 
  1. Maka di manakah kita dengan Allah SWT apabila Allah kata kamu jangan takut kepada manusia tetapi takutlah kepada Aku!
    Ayat ini ditujukan kepada semua ulama’ & ahli agama sepanjang zaman, nyatakan kebenaran jangan takut kepada orang!
  1. Sebagaimana dari kata-kata Abu Said al-Khudri RA: Kita melihat banyak perkara mungkar tetapi kita takut untuk menyatakan atau mengingkarinya! Lalu dia menangis.
  1. Hadis riwayat dari Abu Said al-Khudri RA : “Janganlah sekali-kali kegerunan seseorang kepada manusia menegahnya untuk menyatakan kebenaran apabila ia mengetahuinya.” (HR at-Tirmizi).

    Sebab takut kepada orang, tak berani nak sampaikan kebenaran atau larang kemungkaran di hadapan mata, lalu jadi syaitan bisu pula!
  1. Apabila kita tegur sesuatu tak kena dengan ajaran al-Quran atau Sunnah, akan kena gam atau kena sekat menyebabkan kita akan menjadi lemah longlai & lesu!! 
    Sedihnya apabila kita cuba menegur beberapa perkara yang tidak kena dengan Sunnah seperti bergendang bermuzik atas masjid, dihentam dilawan dan dituduh pula dengan pelbagai tuduhan! 
  1. Larangan kedua ialah jangan kamu jual ayat-ayat Allah SWT dengan mata-benda dunia. Iaitu janganlah kamu menjual iaitu membelakangkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit seperti kerana mendapat rasuah, hulur bodek, kerana nak pangkat atau kedudukan dan lain-lain keuntungan dunia, lalu sanggup sembunyikan kebenaran atau tidak menegur kesalahan!

    Ya Allah jadikan kami dari kalangan hamba-mu yang menyatakan kebenaran, yang menegakkkan Sunnah, yang menentang & menghalang perkara bid’ah & khurafat. 
  1. Di akhir ayat Allah kata bahawa sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah sama ada dalam al-Quran atau Taurat, kerana mengingkarinya; maka mereka itulah orang-orang kafir.
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT kata kamu jangan takut kepada manusia, kamu jangan jual ayat Allah kerana habuan dunia yang sedikit;

    ii- Maka datang ayat ini amaran keras sesiapa yang buang undang-undang Allah dan ambil undang-undang taghut, maka mereka itulah orang yang kafir! 
  1. Maka kita dapat kesimpulan bahawa syarat untuk menjadi kafir ialah:
    i- Tidak melaksanakan hukum yang ada dalam kitab Allah seperti puak yahudi dengan Tauratnya. Mereka ubah tukar, seleweng dan sembunyikannya, maka mereka itulah orang yang kafir!
  1. Huraian ulama’ tentang berhukum dengan undang-undang selain dari hukum Allah SWT ada dua kategori:
    i- Pertama: perbuatan itu akan menjadikan mereka murtad & keluar dari agama Islam iaitu: Orang yang membenci agama Allah dengan mengatakan ia lapuk, tidak mengikut peredaran zaman dan seumpamanya.
    Mengatakan undang-undang ciptaan yang lain lebih baik dari undang-undang Allah. Ini kena mengucap semula!
    Dia hina hukum Tuhan & mengagungkan undang-undang taghut menyebabkan mereka menghalalkan apa yang Allah haramkan atau sebaliknya, selepas dinasihat tak dengar juga maka dia dikira kufur keluar dari Islam. Wal- ‘iyazubillah. 

    ii- Kedua kategori kufur kecil, tidak keluar dari Islam tetapi tetap akan berdosa besar dan akan berada di bawah kehendak Allah sama ada nak mengampunkannya atau tidak.

    Iaitu mereka yang tidak ambil hukum Allah dalam bab tertentu dengan alasan tidak mampu tidak larat, terasa ditekan dan dilawan oleh kafir & zionis antarabangsa. 
    Mereka ini tak laksana hukum Allah kerana kelemahan tetapi masih mengaku bahawa hukum Allah adalah yang terbaik & benar.

AYAT 45- {DAN KAMI TELAH TETAPKAN ATAS MEREKA DI DALAM KITAB TAURAT ITU, BAHAWA JIWA DIBALAS DENGAN JIWA, DAN MATA DIBALAS DENGAN MATA, DAN HIDUNG DIBALAS DENGAN HIDUNG, DAN TELINGA DIBALAS DENGAN TELINGA, DAN GIGI DIBALAS DENGAN GIGI, DAN LUKA-LUKA HENDAKLAH DIBALAS (SEIMBANG). TETAPI SESIAPA YANG MELEPASKAN HAK MEMBALASNYA, MAKA MENJADILAH IA PENEBUS DOSA BAGINYA; DAN SESIAPA YANG TIDAK MENGHUKUM DENGAN APA YANG TELAH DITURUNKAN ALLAH, MAKA MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-MA’IDAH 5:45)

  1. Allah nyatakan beberapa hukum yang Allah telah tetapkan dalam kitab Taurat iaitu: bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas dengan seimbang.

    Ini adalah hukum qisas, balas seumpamanya.
  1. Munasabah ayat ini:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut tentang hukum hudud zina iaitu rejam,

    ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT nyatakan pula hukum qisas bagi jenayah yang berlaku pada anggota yang ada di muka seperti mata hidung gigi dan lain-lain.
  1. Inilah sebahagian hukum yang ada di dalam Taurat yang telah diamalkan oleh para nabinya ke atas puak yahudi, kemudian disambung oleh para ulama’ rahbaniyy mereka, yang masih belum menyeleweng.
  1. Kemudian datang ayat- {Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya;}- siapa maafkan orang tak jalankan qisas itu adalah kaffarah penghapus dosa baginya!
  1. Allah beri pengecualian bahawa sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, yakni memaafkan penjenayah itu, maka ia menjadil penebus dosa baginya. Yakni perbuatan memaafkan kesalahan pesalah itu akan dapat menghapuskan dosa dan beri pahala!
  1. Kemudian sekali lagi Allah SWT ulang di sini bahawa sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
  1. Ini kerana dapat kita kesan betapa besarnya beza dan merugikannya undang-undang ciptaan manusia berbanding dengan hukuman Syariat Islamiah.
    Contoh:
    i- Penjenayah yang dihukum bunuh, lalu dipancung sehingga mati maka habis kisahnya.
    Cuma mungkin ahli keluarga hilang tempat bergantung- yakni kesan secara tidak lansung.

    ii- Manakala penjenayah atau pembunuh juga yang tidak dihukum bunuh tetapi dipelihara di dalam penjara, betapa kerajaan pula yang terpaksa kerugian menyediakan dana bagi tempat tinggal, makan minum, pakaian perubatan si banduan dan semuanya!

    Sedangkan perbelanjaaan itu jika diberikan kepada keluarga mangsa atau penjenayah yang kehilangan penafkah utama adalah lebih baik & berfaedah!
  1. Kita lihat fakta ini: 
    i- Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara menyatakan bahawa kos pengurusan bagi seorang prospek (banduan) untuk sehari kini adalah RM50 dan bukan RM41, yang mana ia juga melibatkan kos keperluan asas, kos gaji, emoulmen anggota serta kakitangan penjara dan bukan hanya perbelanjaan makan minum sahaja. Tarikh: 26 Feb 2024.

    ii- Maka kamu darablah untuk sebulan, setahun atau berapa tahun seorang penjenayah itu dipelihara bahkan ada yang dipenjara seumur hidup! 

    Mereka pula bukan seorang tetapi berpuluh ribu yang ditanggung oleh kerajaan! 
    Contoh seorang yang dihukum selama 20 tahun penjara: rm50 x 360 hari x 20 tahun = RM360,000!

    iii- Sedangkan isteri atau anak-anaknya di luar sana, berhempas-pulas mencari rezeki & nafkah! 
    Orang bersalah ditanggung diberi makan manakala orang yang tidak bersalah terpaksa bersusah mencari makan!
    Betapa tidak berguna & merugikan sekali undang-undang ciptaan manusia!

    Maaf kita bukan kritik undang-undang negara kita tetapi undang-undang kafir keseluruhannya!
  1. Untuk mendengar kisah Qisas dengan terperinci boleh dengar Kuliah AAM dalam Kuliah Syarah Kitab Fiqh al-Manhaji:
    https://www.youtube.com/watch?v=OOVkjSlt4tY…

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 44- {Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi;}-

    Semua kitab yang Allah turunkan adalah sebagai petunjuk dan cahaya yang membimbing kepada kebenaran!
    Manfaat untuk kita orang yang beragama adalah apabila kita beramal dengannya, bukan hanya mengaku beragama sahaja! 
    Sama ada ahli Taurat atau ahli al-Quran, beramal baru dapat faedah.
    Contoh : Mengaku orang Islam tetapi solat tidak, zakat tidak, tutup aurat tidak, ikut undang-undang agama tidak, maka tiada apa faedah dari agamanya itu!
    Allah katakan bahawa dalam kitab Taurat ada cahaya petunjuk yang menerangi. Sama seperti al-Quran juga, beramal baru dapat faedahnya.
    Semua kitab Allah itu adalah cahaya & petunjuk yang datang dari Allah: 
    i- Dalam kitab Taurat Allah kata: {Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi;}

    ii- Al-Quran Allah kata adalah: {Petunjuk bagi manusia}
    Ada satu lagi firman Allah SWT: {وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ ٱلْفُرْقَانَ وَضِيَآءًۭ وَذِكْرًۭا لِّلْمُتَّقِينَ}- 
    {Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.} (Al-Anbiya’ 21:48)

    Apa beza pula antara cahaya dengan perkataan (ضِيَآءًۭ) & (نُورٌۭ):
    i- Cahaya (ضِيَآءًۭ) itu adakalanya panas seperti cahaya matahari, iaitu cahaya yang membakar.

    ii- Manakala cahaya nur (نُورٌۭ) adalah cahaya yang lembut & tidak panas seperti cahaya bulan! 
    Kenapa pula dalam al-Quran Allah kata ada cahaya (nur) tetapi dalam Taurat ada cahaya (dhiya’)???

    Jawapan:
    i- Ini kerana undang-undang Syari’ah orang dulu dalam Taurat agak keras dan berat. 
    Contoh : Jika mereka berdosa nak taubat kena bunuh diri, jika kulit terkena najis kena potong buang dan seumpamanya. 
    Cahaya yang membakar kerana undang-undangnya keras.

    ii- Manakala dalam al-Quran adalah nur, cahaya yang lembut, kerana Syari’ah Islam ini mudah, ringan & senang. Tidak berat dan keras seperti undang-undang umat terdahulu! 
    Tetapi malangnya walaupun undang-undang Syari’ah ini ringan, tidak berat & keras manusia masih tidak beramal dengannya. 
    Perkataan Syari’ah ini diambil daripada perkataan mata air yang mengalir, sebagaimana jisim kita hidup dengan meminum airnya yang jernih begitu jugalah jiwa kita hidup dengan kitab al-Quran.
  1. Ayat 44- {dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah)}-

    Allah sebut dua jenis kategori ulama’ di sini selepas ketiadaan nabi mereka iaitu: 
    i- Orang alim Rabbaniyyun {وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ} – pendidik yang ada ilmu dan mengajar manusia juga.

    ii- {وَٱلْأَحْبَارُ} al-ahbar ialah khas kepada ulama’ atau pendeta dari kalangan yahudi yang alim ada ilmu yang tinggi.
    Kita sudah huraikan dalam ayat di atas tadi tentang tugas dan tanggungjawab mereka ini.
  1. Ayat 44- {Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu);}-

    Tugasan ulama’ yang benar ini ialah menjaga kitab Allah, ajar kepada manusia supaya faham dan beramal dengan undang-undang Allah! 
    Ayat ini pujian Allah SWT terhadap ulama’ yang alim dengan sebab mereka menjaga kitab Allah & menyampaikannya kepada manusia, yakni jaga dengan makna beramal dengan kitab Allah!
  1. Ayat 44- {Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit }-

    Kamu jangan takut kepada manusia tetapi takutlah kepada Allah Azza wa Jalla.
    Ulama’ kata : Antara sebab orang tidak berani menyatakan kebenaran, memutar belit fakta, sama ada kerana:
    i- Kerana takut kepada orang, tidak berani nak kata yang benar,

    ii- Tamak kepada dunia, nak cari habuan dunia seperti mencari pangkat & menjaga kedudukan. Takut orang buang hatta kawan sendiri diketepikan.
    Allah kata kamu jangan takut kepada manusia serta jangan jual ayat Allah dengan harga yang murah – kenapa Allah sebut takut dulu?
    Jawapan:
    Ini kerana memang jiwa manusia itu penakut, kemudian dia akan buat sesuatu untuk dapatkan habuan dunia sehingga sanggup jual agama bahkan maruah diri untuk kepentingan & kedudukan atas dunia ini. 

    Ayat ini mejadi dalil bahawa haram untuk kita mensia-siakan agama dengan tidak menjalankan tugas, tahu kebenaran tidak nyatakan, tahu benda salah tidak larang! 
    Inilah ulama’ yang jaga kedudukan bukan ulama’ Rabbaniyyun {وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ}.  
  1. Ayat 44- {dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia)}-

    Kamu jangan jual ayat Allah yakni agama dengan harga yang murah demi habuan dunia.
    Ayat ini adalah larangan dari mencari harta benda dengan perbuatan yang jelek seperti orang yang ada ilmu putar fakta atau orang alim seleweng tak cakap yang benar atau menggunakan kedudukan untuk emnjadi scammer dalam agama!
    Atau istilah orang sekarang penunggang agama. Iaitu menunggang (menggunakan) agama untuk mecapai apa yang diingini nafsunya untuk dunia dengan melupakan kehidupan di akhirat yang kekal.

    Allah juga berfirman: Ayat 45- {Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang).}-

    Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa perundangan orang dahulu menjadi Syari’ah bagi kita juga selama:
    i- Tidak ada undang-undang lain yang membatalkannya.

    ii- ia tidak bercanggah dengan undang-undang al-Quran. 
    Untuk penjelasan yang lebih mendalam tentang hukum qisas ini boleh rujuk kepada kitab Feqah seperti dalam kuliah DDAAM syarah kepada Kitab Keindahan Islam & Kitab Fiqh Manhaji dalam bab jenayah dalam Islam.

Alhamdulillah kita tamatkan dulu perbicangan kuliah kita untuk hari ini dan bersambung esok dengan izin Allah SWT.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs