SIFAT MUKMIN PENENTANG MURTAD, WALI ALLAH & PENOLONG AGAMA ALLAH YANG MENANG.
Full video : https://youtu.be/ao8_Wd2RMp4?si=gfnMv62xAciK3XSu
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 54 sehingga 56 dalam juzu’ keenam.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang golongan murtad yang berpaling ke belakang.
Selepas masuk Islam mereka lari, mereka ini biasanya hanya masuk Islam kerana sesuatu atau tempelan saja.
- Lalu Allah nyatakan beberapa sifat mukmin penentang murtad yang akan berjuang membela Islam.
- Allah juga nyatakan siapakah wali Allah & wali rasul; iaitu mereka yang beriman serta mendirikan solat, tunaikan segala hukum Islam sebagaimana perintah Allah.
- Kemudian Allah nyatakan siapakah pula hizbullah {حِزْبَ ٱللَّهِ} iaitu kumpulan yang membela agama; yang akan menang kelak.
Kita akan huraikan nanti agar para pembaca & pendengar tidak keliru dengan stau kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Hizbullah.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT larang keras daripada berwala’kan (ambil ketua & beri kasih sayang) yahudi & Nasrani, serta semua orang kafir!
Perbuatan itu boleh membawa menjadi seperti mereka iaitu kafir berpaling dari agama.
Allah nyatakan juga bahawa segala amalan baik mereka akan gugur tidak berguna!
ii- Manakala dalam ayat ini Allah nyatakan tentang golongan yang betul-betul murtad secara total serta Allah ingatkan sekali lagi jangan mengambil mereka sebagai teman rapat dan setia kerana dikhuatiri kamu akan terpelanting murtad bersama mereka lalu menjadi kafir juga, wal’iyazu billah!
- Masya’ Allah ayat-ayat al-Quran yang merupakan mukjizat ini sangat menarik & mempunyai pengertian yang mendalam untuk kita hayati kerana ia adalah Kalam Allah Azza wa Jalla.
Tiada sesiapa yang boleh main-main atau mempermainkan al-Quran kecuali dia akan kecundang, rebah tersungkur di hadapannya. Sama ada rebah nampak kebenaran lalu masuk Islam atau rebah ke dalam neraka jika lawan al-Quran sehingga ke akhir hayatnya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
AYAT 54- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! SESIAPA DI ANTARA KAMU BERPALING TADAH DARI AGAMANYA (JADI MURTAD), MAKA ALLAH AKAN MENDATANGKAN SUATU KAUM YANG IA KASIHKAN MEREKA DAN MEREKA JUGA KASIHKAN DIA; MEREKA PULA BERSIFAT LEMAH-LEMBUT TERHADAP ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERLAKU TEGAS GAGAH TERHADAP ORANG-ORANG KAFIR, MEREKA BERJUANG DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH PADA JALAN ALLAH, DAN MEREKA TIDAK TAKUT KEPADA CELAAN ORANG YANG MENCELA. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH LIMPAH KURNIA ALLAH YANG DIBERIKANNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA; KERANA ALLAH MAHA LUAS LIMPAH KURNIANYA, LAGI MELIPUTI PENGETAHUANNYA.} (AL-MA’IDAH 5:54)
- Allah menyeru orang beriman sekali lagi dan memberi amaran tentang orang yang murtad berpaling dari agama Allah sesudah Islamnya. Tidak kira jadi kafir yahudi atau nasrani atau apa saja ia adalah kekufuran.
- Lalu Allah bawa pula satu kumpulan yang tegas, yang tenang jiwanya, yang akan melawan golongan murtad ini, iaitu mereka yang cintakan Allah, kasihkan Allah & Rasul-Nya maka Allah juga cinta, kasih terhadap mereka ini.
- Contohnya adalah seperti tegasnya Khalifah Islam pertama pada masa iaitu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq RA yang begitu berani bertegas dan menghukum orang yang murtad.
Para ulama’ menamakan golongan ini ketuanya sebagai Sayyidina Abu Bakar bersama dengan para sahabat yang lain RAnhum.
- Mereka ini adalah golongan yang amat bahaya kerana mereka buat onar dari dalam rumah atau negara Islam, jika musuh dari luar kita nampak jika mereka nak masuk. Ini tidak! Mereka adalah musuh dalam selimut, duri dalam daging yang berada di dalam rumah kita!
- Allah nyatakan sifat orang mukmin ini juga:
i- Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman;
Bertimbang-rasa, bertolak ansur, bekerjasama dan saling ambil berat penuh dengan kasih sayang.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam menfasirkan ayat ini:
Maksudnya: {Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam).} (Al-Fat-h 48:29)
ii- Dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,
Keras dan melawan mereka dengan berani & tegas, menzahirkan kepada kafir dengan kekuatan & kemuliaan agama Islam.
Maka berhati-hatilah, jangan sifat kita berlawanan dengan ayat ini, keras dan bermusuh sesama mukmin tetapi lembik tengkok dengan kafir!
iii- Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah,
Berjuang menentang musuh Allah, dengan jiwa & harta benda mereka yang ada.
Sama ada dengan tubuh-badan (fizikal), penulisan, media sosial dan apa saja senjata yang ada supaya Islam itu sampai ke seluruh pelusuk dunia.
iv- Dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.
Lawan tetap lawan, tidak kira apa saja tuduhan jahat & fitnah terhadap mereka.
Sebagaimana hadis riwayat Ubadah bin Somit RA:
“بَايَعْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِى الْعُسْرِ وَالْيُسْر،ِ وَالْمَنْشَطِ وَالْمَكْرَهِ، وَعَلَى أَثَرَةٍ عَلَيْنَا، وَعَلَى أَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، وَعَلَى أَنْ نَقُولَ بِالْحَقِّ أَيْنَمَا كُنَّا، لاَ نَخَافُ فِى اللَّهِ لَوْمَةَ لاَئِمٍ”.
Maksudnya: “Kami mengikat janji taat setia kepada Rasulullah SAW untuk mendengar dan patuh ketika susah dan senang, ketika suka dan tidak suka, mengutamakan orang lain, tidak akan merampas kuasa daripada orang yang layak dan mengatakan yang benar walau di mana kami berada. Kami tidak akan rasa takut kepada celaan manusia dalam melaksanakan perintah Allah.” [HR al-Bukhari (6774), Muslim (1709)].
- Syarah hadis: Kami bersaksi & bersumpah dengan nama Allah bahawa para sahabat yang setia telah menunaikan janji mereka ini.
Mereka telah berkata dengan kata-kata yang benar, mereka telah lawan segala kemugkaran, mereka tidak takut kepada celaan walaupun dihentan & dipukul apa saja!
- Antara contoh tindakan para sahabat yang bertepatan dengan hadis ini:
i- Abu Said al-Khudri RA yang telah meriwayatkan hadis ini: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [HR Muslim (78)]
a) Beliau telah menegur gabenor Madinah pada masa itu Marwan bin al-Hakam. Peristiwa ini berlaku pada suatu Hari Raya. Apabila Marwan bangun untuk menyampaikan khutbah hari raya sebelum solat al-Eid, Abu Said al-Khudri segera menariknya turun serta mengingatkan bahawa sunnah khutbah adalah selepas solat.
b) Dia juga telah mengembara ke Syam untuk berjumpa sendiri khalifah Mua’wiyah RA untuk menasihatinya tentang apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.
ii- Ubadah bin as-Somit RA yang membawa hadis Bai’ah ini juga pernah menasihati Khalifah Muawiyah dalam beberapa perkara.
iii- Abdullah bin Umar RA yang telah menegur perbuatan Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi yang terkenal dengan keganasannya tanpa takut!
- Begitulah para sahabat yang bertanggungjawab menjalankan tugas menegur tanpa takut kepada celaan atau hukuman.
Yang kita takuti hari ini adalah menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur kesalahan yang jelas di depan mata apatah lagi oleh orang ada kedudukan & pangkat!
- Orang yang Allah pilih untuk hidup tenang, berani menegur kemungkaran & amar ma’ruf, buat apa yang Allah perintah & tinggalkan yang dilarang iu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
- Allah juga nyatakan di akhir ayat bahawa Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.
AYAT 55- {SESUNGGUHNYA PENOLONG KAMU HANYALAH ALLAH, DAN RASULNYA, SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, YANG MENDIRIKAN SEMBAHYANG, DAN MENUNAIKAN ZAKAT, SEDANG MEREKA RUKUK (TUNDUK MENJUNJUNG PERINTAH ALLAH).} (AL-MA’IDAH 5:55)
- Allah menyatakan bahawa penolong bagi kamu orang beriman (وَلِيُّكُمُ) tiada yang lain hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta sesama orang-orang yang beriman pembantu bagi satu sama lain.
Semasa hidup Rasulullah SAW menolong para sahabatnya dan selepas wafat Baginda meninggalkan Kitab al-Quran & Sunnahnya sebagai pedoman kepada orang beriman.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah membawa larangan agar jangan memberi wala’ iaitu beri kepatuhan & kaish sayang kepada orang kafir yahudi, nasrani dan segala jenis kafir atas dunia ini.
Kemudian Allah nyatakan sesiapa yang buat juga, maka dia adalah orang yang rugi dunia & Akhirat.
ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan siapa pula orang yang kita kena wala’ patuh & taat.
Iaitu kepada Allah, kepada Rasulullah SAW dan kepada orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat & mereka tunduk patuh kepada perintah Allah SWT!
Golongan inilah yang kita nak masuk.
- Para kafir itu sama ada yahudi nasrani atau sebagainya bukanlah wali kamu bukan pembantu kamu!
Jangan kita dok berharap dan terlalu percaya kepada orang kafir, mereka sesekali tidak akan ikhlas untuk membantu dan menolong orang Islam.
Jangan dok sangka mereka ini kuat integriti, hebat, adil dan sebagainya!
Kata penceramah politik : Selagi lembu makan rumput; selagi itulah manusia boleh ditipu!
Yakni selagi ada nafsu, selagi itulah manusia mudah percaya & terpedaya!
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah ini:
{Balasan yang demikian, kerana sesungguhnya Allah menjadi Pelindung orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya orang-orang yang kafir: tiada sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka.} (Muhammad 47:11)
- Timbul persoalan. Tentang Rasulullah SAW sebagai wali (penolong) orang mukmin, bagaimanakah selepas kewafatannya?
Jawapan:
i- Orang yang berpegang dengan Sunnah Nabi SAW itulah orang yang dapat pertolongan dari Baginda Nabi SAW kerana Allah SWT akan tolong kita kerana kita membela Sunnah Nabi SAW.
ii- Maka seolah Nabi SAW duduk membantu kita menolong kita, bukan cera fizikal tetapi secara ajaran, Sunnahnya membantu kita, kita hidup sebagai ahli Sunnah wal Jamaah.
- Kemudian Allah nyatakan sifat orang mukmin yang layak menjadi wali & menerima pertolongan Allah ini, iaitu mereka yang:
i- Yang mendirikan- solat dengan penuh khusyuk dan menjaganya.
ii- Dan menunaikan zakat- harta benda mereka kepada mereka golongan (asnaf) yang layak,
iii- Sedang mereka rukuk- iaitu tunduk taat secar fizikal dalam solat serta tunduk patuh menjunjung segala perintah Allah dalam kehidupan.
- Inilah wali Alllah & wali Rasulullah yang sebenarnya, bukan seperti yang didakwa dan dimomok-momokkan oleh orang ramai, manusia yang diangkat sebagai wali sedangkan mereka tidak melaksanakan perintah Allah serta jauh sekali sifatnya dari mukmin sejati!
Jika ada orang yang mengaku wali tetapi solatpun tidak, pakaian dan badan tidak terurus, tidak beradab dan jaga kebersihan maka itu bukan wali tetapi wolo!
Hati-hatilah kita dengan talbis Iblis.
- Terlalu memuja kepada pemimpin sehingga menimbulkan ketaksuban akan membawa kesesatan dan kecelaruan dalam aqidah!
AYAT 56- {DAN SESIAPA YANG MENJADIKAN ALLAH DAN RASULNYA SERTA ORANG-ORANG YANG BERIMAN ITU PENOLONGNYA (MAKA BERJAYALAH DIA), KERANA SESUNGGUHNYA GOLONGAN (YANG BERPEGANG KEPADA AGAMA) ALLAH, ITULAH YANG TETAP MENANG.} (AL-MA’IDAH 5:56)
- Allah nyatakan sesiapa yang berjuang menegakkan agama Allah maka seolah-olah kamu telah menolong Allah, itulah kumpulan Allah { حِزْبَ ٱللَّهِ} yang membantu menegakkan agama Allah, berjuang dengan ikhlas dan akan mendapat pahala yang besar!
- Itulah maknanya kerana Allah SWT tidak perlu penolong & pembantu cuma Allah nak beri pahala kepada mereka ini yang berjuang menegakkan agama Allah & menentang orang kafir.
- PERHATIAN : Ingat! jangan terpengaruh & terpedaya dengan satu kumpulan hari ini yang mendakwa dan menamakan diri mereka sebagai Hizbullah, yang bangkit menentang Israel sedangkan mereka adalah golongan Syi’ah Rafidhah yang mencerca & memaki sahabat.
Mereka menyerang Israel itu kerana ada dendam pribadi jangan terpengaruh dan menyangka mereka hero!
- Ingatlah hizbullah bukan mereka yang menamakan diri mereka sendiri dengan gelaran itu, tetapi adalah mereka yang Allah pilih dan namakan sedemikian kerana sifat mereka yang memperjuangkan dan menegakkan agama Allah!
Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi kata : Mereka ini bukan hizbullah tapi hizbullaat!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 54- {Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad),..}-
Sesiapa yang asalnya Islam tetapi kemudian murtad..
Ayat ini adalah amaran keras daripada berpaling tadah, larangan murtad daripada agama Islam.
Allah katakan jika kamu lari Allah akan datangakan satu kumpulan yang betul-betul ikhlas yang akan membela agama Allah.
Allah tak perlu kepada kamu tetapi kamu yang perlukan kepada Allah!
Ayat ini sekaligus menolak golongan yang mencerca para sahabat, kita orang ahli Sunnah wal jamaah beriman dengan ajaran yang diajar oleh Nabi SAW kewajipan mencintai & memuliakan para sahabat Baginda SAW.
- Ayat 54- {mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir,}-
Sifat Hizbullah ini merendah diri tawadhuk sesama mukmin & tegas keras terhadap orang kafir yang menetang Islam!
Bukan sifat sebaliknya; sesama Islam benci dan dihina dengan pelbagai kata-kata; tetapi dengan orang kafir puji melambung!
Allah nyatakan sifat orang mukmin yang wajib bertegas dan jangan berlembut pada tempatnya iaitu apabila berlawan dengan orang kafir! Keras & tegas dengan orang kafir, jangan lari.
Kena ada prinsip, berlembut pada tempatnya jangan dok bekeng dan garang tidak tentu masa & tempat!
- Ayat 54- {mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah,}-
Kita mesti bergerak nerjihad berjuang untuk menegakkan agama Allah!
Skop jihad itu luas, bukan hanya berperang dengan senjata sahaja.
Ada jihad dengan ilmu, dengan hujjah, dengan ekonomi, dengan penulisan dan seumpamanya.
Hati-hati sekarang ini ada sekumpulan gerakan yang berselindung menggunakan jihad ekonomi Islam untuk melindungi perbuatan buruk syarikat mereka menghina Islam dengan buat khurafat dan bubuh benda kotor dalam makanan & minuman, menindas dan menganiayai kanak-kanak, aqidah yang terpesong, melampaui dalam taksub kepada pemimpin dan lain-lain.
Ini scammer agama yang menggunakan agama untuk bergerak!
Ayat 55- {Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).}-
Jihad itu juga boleh jadi jihad pribadi melawan nafsu dalam menjalani perintah & meninggalkan larangan Allah;
Atau jihad peperangan berjuang melawan orang kafir dan musuh agama.
- Ayat 54- {dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.}-
Sifat mukmin hizbullah ini mereka tidak takut & gentar untuk menegakkan kebenaran!
Sifat hizbullah ini berani menegur kesalahan yang dilakukan masyarakat apatah lagi yang dibuat oleh para pembesar dan pemerintah!
Tidak takut akan celaan dan ancaman.
Inilah yang kita takut, takut lidah kita terkunci dari menegur apabila berdepan dengan orang besar & berkuasa sebagaimana hadis Abu Said al-Khudri di atas tadi.
Walaupun lihat mereka melakukan maksiat & mungkar tetapi tidak berani nak tegur kerana takut hilang jawatan dan kedudukan, takut tercabut wayar maka terputuslah talian hayat atau kabel atas dunia ini.
Manakala hizbullah itulah mereka yang berani menegakkan kebenaran tidak taku & tegas terhadapmusuh Allah!
- Ayat 56- {Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.}-
Siapa yang wala’ kepada Allah, Rasulullah SAW dan orang yang beriman itulah dikatakan hizbullah orang yang duduk bersama dalam perjuangan menegakkan agama Allah!
Hizbullah {حِزْبَ ٱللَّهِ} ialah orang yang berjuang menegakkan agama Allah, cintakan sesama mukmin, mereka solat, berjihad & menyatakan kebenaran serta bertegas dan keras dengan musuh para kafir!
Ya Allah jadikan kami, kaum keluarga kami serta semua orang yang kami sayangi; termasuk dalam golongan orang yang menegakkan agama Allah dalam semua keadaan.
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah kita untuk pagi ini semoga mendapat hidayah petunjuk & kefahaman yang bermanfaat!
Insya’ Allah, Infaq Kita Pada Minggu Ini Kepada CEBU CARE untuk menyediakan kediaman pendakwah di Pulau Olango.
Sumbangan boleh disalurkan melalui:
Maybank: 5521 1621 5167
PERTUBUHAN PRIHATIN CEBU (CEBU CARE SOCIETY)
Pertanyaan sila hubungi:
Hj Nazri 019 3124 751 / Hj Kamal 012 477 0040
#hartakumilikku
#cebucarrental
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.