IBU NABI MUSA MELEPASKAN ANAKNYA KE DALAM AIR, ISTERI FIR\’AUN MENYAYANGI BAYI MUSA & MUSA DIKEMBALIKAN KEPADA IBUNYA.
Full video : https://youtu.be/6seuHol1uyc
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah episod kedua tentang Nabi Musa a.s, iaitu saat kelahirannya. Ianya dalam saat yang amat gawat dan kritikal, ketika Firaun sedang mengamuk membunuh semua bayi lelaki bani Israil yang lahir.
- Tetapi ia menjadi sebaliknya dengan kuasa dan kehendak Allah s.w.t, banyak sudah contoh-contohnya:
i- Yusuf dicampakkan ke dalam telaga tetapi akhirnya menjadi pembesar istana.
ii- Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api, api menjadi sejuk.
iii- Musa a.s mahu dibunuh oleh Firaun, tetapi membesar di istana Firaun.
iv- Rasulullah s.a.w dihalau keluar dari Makkah, akhirnya kembali menakluk Makkah . - Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah perkenalkan watak Firaun, perosak di atas muka bumi ini yang melakukan pelbagai kezaliman dan kejahatan.
- Tetapi Allah s.w.t telah menjanjikan mereka yang lemah, yang ditindas Firaun itu akan menang dan berkuasa selepas itu. Inilah janji Allah s.w.t kepada semua hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa lalu bersabar menghadapi ujian-Nya.
- Akhirnya lahirlah Musa a.s yang ditakuti oleh Firaun dan kaumnya, yang menurut ramalan ahli kitab mereka akan meruntuhkan pemerintahan dan kekuasan Firaun serta kaum Qibtiy secara umumnya.
AYAT 7- {DAN KAMI ILHAMKAN KEPADA IBU MUSA: \”SUSUKANLAH DIA; DALAM PADA ITU, JIKA ENGKAU TAKUTKAN SESUATU BAHAYA MENGENAINYA (DARI ANGKARA FIRAUN), MAKA (LETAKKANLAH DIA DI DALAM PETI DAN) LEPASKANLAH DIA KE YAMM (SUNGAI NIL); DAN JANGANLAH ENGKAU MERASA BIMBANG DAN JANGAN PULA BERDUKACITA; SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENGEMBALIKANNYA KEPADAMU, DAN KAMI AKAN MELANTIKNYA MENJADI SALAH SEORANG DARI RASUL-RASUL KAMI.} (AL-QASAS 28:7)
- Nabi Musa a.s lahir dalam suasana gawat itu. Maka Allah s.w.t ilhamkan وَأَوْحَيْنَا (bukan wahyukan kerana dia bukan nabi atau rasul) kepada ibu Musa a.s, yakni dengan campakkan ilham atau arahan yang dapat dirasakan oleh gerak hatinya.
- Apakah ilham yang diberi kepada ibu Musa a.s ini dengan 2 arahan:
i- berikan bayinya menyusu jika dia rasa aman untuk terus menjaganya.
ii- tetapi jika kamu rasa bimbang akan terancam oleh bahaya Firaun, maka letakkanlah dia di dalam peti dan lepaskanlah dia ke laut { فِي الْيَمِّ } yakni sungai Nil.
Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Toha ayat 38-39 lebih detail arahan-Nya:
{ \”Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya:
\”Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.} (Taha: 38-39)
3- serta memberi 2 larangan agar:
i- jangan takut dan
ii- jangan berdukacita. - Lalu diberi khabar 2 gembira pula kepada ibunya:
i- Musa a.s. akan dikembalikannya kepadanya.
ii- akan dilantik menjadi salah seorang dari rasul Tuhan-Nya.
AYAT 8- {SETELAH ITU DIA DIPUNGUT OLEH ORANG-ORANG FIRAUN; KESUDAHANNYA DIA AKAN MENJADI MUSUH DAN MENYEBABKAN DUKACITA BAGI MEREKA; SESUNGGUHNYA FIRAUN DAN HAMAN SERTA ORANG-ORANGNYA ADALAH GOLONGAN YANG BERSALAH. (AL-QASAS 28:8)
- Lalu peti yang berisi Musa a.s itu hanyut sehingga sampai ke sungai dalam taman istana Firaun lalu dipungut oleh para pekerja istana.
- Dia lalu diambil dan dipelihara dengan selamat sehingga besar oleh Firaun untuk menjadi sebab kecelakaan, kehancurannya dan kerajaannya.
- Sesungguhnya Firaun dan Haman (Haman adalah menteri Fir\’aun) serta para pengikutnya yang lain adalah orang yang bersalah, kufur dan zalim; lalu Allah mahu menghukum mereka.
AYAT 9- {DAN (KETIKA MELIHAT KANAK-KANAK ITU) BERKATALAH ISTERI FIRAUN: \”(SEMOGA IA MENJADI) CAHAYA MATA BAGIKU DAN BAGIMU; JANGANLAH KAMU MEMBUNUHNYA; MUDAH-MUDAHAN IA BERGUNA KEPADA KITA, ATAU KITA JADIKAN DIA ANAK\”. PADAHAL MEREKA TIDAK MENYEDARI (KESUDAHANNYA).} (AL-QASAS 28:9)
- Apabila isteri Firaun (namanya Asiah binti Muzahim, Arab: آسِيَة بِنْت مُزَاحِم) melihat bayi yang dibawa kehadapan Firaun dan dia, terus jatuh hati dan sayang kepada bayi yang comel itu, berharap ia akan menjadi cahaya mata baginya dan bagi Firaun.
- Lalu dia memohon kepada Firaun agar jangan membunuhnya, kerana mungkin bayi itu berguna kepada mereka, atau untuk dijadikan anak angkat mereka. Terdapat riwayat yang mengatakan Asiah dan Firaun ini tiada anak sendiri.
- Lalu dengan takdir Allah s.w.t, Firaun bersetuju dengan permintaan isterinya! Membela anak yang akan menjadi musuh dan pemusnahnya tanpa menyedarinya!
AYAT 10- {DAN (SEPENINGGALANNYA) MENJADILAH HATI IBU MUSA KOSONG; SESUNGGUHNYA IA NYARIS-NYARIS MENYATAKAN PERIHAL ANAKNYA ITU DENGAN BERTERUS-TERANG JIKA TIDAKLAH KAMI KUATKAN HATINYA (DENGAN PERASAAN SABAR DAN TENANG TENTERAM), SUPAYA TETAPLAH IA DARI ORANG-ORANG YANG PERCAYA (AKAN JANJI ALLAH).} (AL-QASAS 28:10)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t gambarkan pula perasaan ibu Musa a.s selepas melepaskan anaknya itu. Ada kata yang lepas pada waktu malam ada yang kata siang, tak penting. Apa yang penting hatinya menjadi kosong tidak keruan memikirkan hal bayinya itu!!
- Jika tidak kerana Allah s.w.t letakkan perasaan tenang dan sabar dalam hatinya, pasti saja dia bongkarkan rahsia tentang anaknya itu, yakni mengaku itu anaknya.
- Lalu dengan pertolongan Allah s.w.t dia berjaya sabar dan tetaplah ia dari orang-orang yang percaya akan janji Allah.
AYAT 11- {DAN BERKATALAH IA KEPADA KAKAK MUSA: \”PERGILAH CARI KHABAR BERITANYA\”. (MAKA PERGILAH IA) LALU DILIHATNYA DARI JAUH SEDANG ORANG RAMAI TIDAK MENYEDARINYA.} (AL-QASAS 28:11)
- Tetapi dia tetap tidak dapat menahan perasaan ingin tahu akan hal keadaan anaknya itu. Lalu dia menyuruh anak perempuannya untuk pergi mencari khabar beritanya.
- Lalu keluarlah kakaknya Musa a.s melihat dan meninjuan keadaan dari jauh sedang orang ramai tidak menyedari kehadirannya.
AYAT 12- {DAN KAMI JADIKAN DIA DARI MULANYA ENGGAN MENYUSU KEPADA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG HENDAK MENYUSUKANNYA; (MELIHATKAN HALNYA ITU), KAKAKNYA BERKATA: \”MAHUKAH, AKU TUNJUKKAN KAMU KEPADA PENDUDUK SEBUAH RUMAH YANG DAPAT MEMELIHARANYA UNTUK KAMU, SERTA MEREKA TULUS IKHLAS KEPADANYA?\”} (AL-QASAS 28:12)
- Allah s.w.t jadikan Musa a.s enggan meminum susu perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya, yang disediakan dalam istana.
- Kakaknya dengan bijak memberi cadangan bahawa dia ada kenal seorang perempuan, penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk mereka serta akan menjaga bayi itu dengan baik dan tulus ikhlas.
- Pihak istana Firaun dan Asiah menerima cadangan ini lalu dipanggil ibu Musa a.s datang untuk menyusukannya. Sudah pasti bayi itu dengan kehendak Allah s.w.t mengenal ibunya dan terus menyusu dengan sepuas-hatinya. Maka dia terpilih sebagai ibu susu anak angkat Firaun itu.
AYAT 13- {MAKA (DENGAN JALAN ITU) KAMI KEMBALIKAN DIA KEPADA IBUNYA SUPAYA TENANG TENTERAM HATINYA DAN TIDAK BERDUKACITA (DISEBABKAN BERCERAI DENGANNYA); DAN SUPAYA IA MENGETAHUI BAHAWA JANJI ALLAH (UNTUK MENYELAMATKANNYA) ADALAH BENAR; AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (YANG DEMIKIAN ITU).} (AL-QASAS 28:13)
- Setelah selesai urusan dan perbincangan, akhirnya ibu Musa dapat membawa pulang anaknya ke rumahnya semula. Dengan itu hatinya merasa tenang lagi gembira, tidak lagi berdukacita disebabkan terpisah dengan anaknya.
- Keindahan taqdir Ibu nabi Musa a.s; Menyusu anaknya dan dapat upah pula! \”Perumpamaan orang yang beramal kerana mengharapkan redha Allah dalam amal kebaikannya adalah seperti ibu Musa; ia menyusui anaknya dan menerima upahnya.\”
- Ini agar dia mengetahui bahawa janji Allah untuk menyelamatkan anaknya adalah benar; Allah telah berjanji bahawa Dia akan mengembalikan Musa a.s. kepadanya dan akan menjadikannya sebagai seorang rasul.
- Tetapi malangnya kebanyakan manusia tidak mengetahui tentang hikmah-hikmah terkandung di sebalik semua taqdir Allah s.w.t.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 9 {Berkatalah isteri Firaun: \”(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu;} – Bila kita mahukan sesuatu perkara ita kena gunakan uslub yang dapat merealisasikannya, guna sentimen, memainkan perasaan.
- Ayat 11- {Dan berkatalah ia kepada kakak Musa..} – ayat ini menunjukkan bahawa seorang manusia itu walaupun dia sudah tahu taqdirnya tetapi kena ambil juga langkah-langkah sebagai ikhtiar untuk menjadi sebab kepada kenyataan yang berlaku.
- Ayat 7- {Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa…} dalam ayat ini Allah s.w.t sudah mengajar kepada ibu nabi Musa a.s langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelamatakan Musa a.s, ini adalah ilmu strategi, kita pun patut belajarnya.
- Sesungguhnya Allah s.w.t pasti akan membawa kesenangan disebalik setiap kesusahan itu. Pengajarannya Allah s.w.t akan letakkan dulu satu kesusahan untuk seseorang itu sebelum dapat merasai kesenangannya. Allah akan menjadikan bagi orang yang bertakwa kepada-Nya jalan kemudahan sesudah mengalami kesusahan, dan jalan keluar sesudah kesempitan. Sebagaiman kisah ibu nabi Musa a.s ini. Ini kerana tiada kesenangan dan kejayaan yang datang bergolek tanpa ujian.
- Ayat 7 – Kenapa Allah s.w.t perintahkan supaya ibu Musa a.s berikan susu dulu kepada bayinya sebelum dilepaskan ke laut? Sebagai persiapan supaya Musa a.s kenal dan cam bau dan susu ibunya, maka dia tidak akan mahu lagi susu perempuan lain.
- Takut secara tabi\’i tidak menyalahi keimanan, seperti takut kepada binatang buas dan sebagainya. Jadi perasaan bimbang dan takut ibu Musa a.s itu adalah normal dan tabiat semulajadi sebagai seorang ibu akan keselamatan dan keadaan anaknya.
- Kita kena yakin dengan janji Allah s.w.t. barulah yakin untuk melakukan segala perintah dan arahan Allah s.w.t. Segala sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti terjadi, dan segala sesuatu yang tidak dikehendaki-Nya pasti tidak akan terjadi.
- Kita akan dengan bertanggung jawab atas tindakan kita sendiri. Adakalanya kita menyukai suatu urusan, padahal akibatnya amat buruk. Adakalanya kita tidak sukakan suatu urusan, padahal akibatnya terpuji dan amat baik. Tetapi segala-Nya adalah dibawah kekuasaan dan taqdir Allah swt.
- Pentingnya ada orang baik di kalangan orang jahat, agar seimbang suasana. Seperti Aisah yang menyelamatkan Musa a.s dengan kebaikannya dan akhirnya dia beriman dan selamat dunia akhirat.
- Iman itu naik dan turun. Antara perkara yang dapat menguatkan iman seseorang itu ialah sabar ketika ditimpa ujian dan yakin dengan kuasa Allah s.w.t. Bila kita tadabbur ini kita yakin semua perkara akan berlaku dengan taqdir Allah s.w.t iaitu mengikut qadha\’ dan qadar. Tetapi wajib sebelum itu kita berikhtiar dan berusaha untuk mencapai sesuatu tujuan atau mengelak sesuatu keburukan.
Wallahu a\’lam.