PERKATAAN KEJI PUAK YAHUDI, SUKA BATAL PERJANJIAN & MENDUSTAKAN PARA RASUL.
Full video : https://youtu.be/SPmn48hXKTw?si=7o_Aa4D0g4Z-VbGS
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 181 sehingga 184, surah Ali-‘Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzu’ yang keempat.
- Dalam siri ini kita berdepan secara direct dengan puak yahudi & nasrani yang sentiasa nak memecah & mencelarukan umat Islam.
- Allah SWT nyatakan perkataan keji puak yahudi, bukan setakat kata kepada umat Islam tetapi kata buruk kepada Tuhan terus!
- Perangai jahat mereka juga suka membatalkan perjanjian yang telah dibuat serta khianat amanah.
- Mereka juga bukan setakat mendustakan para rasul, bahkan ada rasul-rasul yang telah dibunuh oleh puak yahudi ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
a)
i- Dalam ayat yang lepas (121-180) Allah SWT menceritakan tentang peperangan Uhud serta tipu daya & kejahatan yang dibuat oleh geng munafiqin untuk menghalang kemaraan Islam.
ii- Maka dalam ayat ini, Allah nyatakan pula kejahatan puak yahudi untuk memerangi Islam, dan peringatan Allah agar jangan terpedaya dengan mereka sebagaimana Allah beri ingatan dalam ayat yang lepas supaya jauhkan diri dari munafiqin.
b)
i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan kelebihan jihad fi-sabilillah serta arahan untuk berkorban dengan nyawa & harta benda fi-sabilillah.
ii- Dalam ayat ini Allah dedahkan perbuatan yahudi yang cuba menimbulkan keraguan & penyelewengan terhadap Islam; iaitu apabila Allah suruh infaq mereka kata Tuhan faqir & miskin kerana itu minta sedekah!
Maka Allah turunkan ayat ini kerana bapa yahudi yang kata itu tidak mengaku kemudiannya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 181- {SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MENDENGAR PERKATAAN ORANG-ORANG (YAHUDI) YANG MENGATAKAN: BAHAWASANYA ALLAH MISKIN DAN KAMI IALAH ORANG-ORANG KAYA. KAMI (ALLAH) AKAN MENULISKAN PERKATAAN MEREKA ITU DAN PERBUATAN MEREKA MEMBUNUH NABI-NABI DENGAN TIDAK ADA ALASAN YANG MEMBENARKANNYA, DAN KAMI AKAN KATAKAN KEPADA MEREKA: “RASALAH KAMU AZAB SEKSA YANG SENTIASA MEMBAKAR-} (ALI-‘IMRAN 3:181)
- Dalam ayat ini Allah SWT sebut beberapa sifat buruk golongan yahudi:
i- Kata Allah faqir kerana itu minta sedekah.
ii- Membatalkan perjanjian yang dibuat.
iii- Membunuh para nabi tanpa hak.
iv- Mereka khianat akan amanah yang diberikan kepada mereka.
- Sabab nuzul ayat. Riwayat dari Ibnu Abbas RA :
Suatu hari beberapa orang Yahudi berkumpul mengerumuni salah seorang dari mereka yang bernama Finhas. Dia adalah pendeta dan pemuka agama mereka.
Ketika Abu Bakar datang dan melihat mereka, ia berkata kepada Finhas: “Finhas, takutlah engkau kepada Allah dan terimalah Islam. Engkau tahu bukan bahawa Muhammad Rasulullah. Dia telah datang kepada kita dengan sebenarnya sebagai utusan Allah. Kamu akan melihat itu dalam Taurat dan Injil.”
Dengan berolok dan senyum mengejek di bibir Finhas berkata:
“Abu Bakar, bukan kita yang memerlukan Tuhan, tapi Dia yang memerlukan kita.
Bukan kita yang meminta-minta kepada-Nya, tetapi Dia yang meminta-minta kepada kita.
Kita tidak memerlukan-Nya, tapi Dialah yang memerlukan kita.
Kalau Dia kaya, tentu tidak akan minta dipinjami harta kita, seperti yang didakwakan oleh pemimpinmu itu.
Dia melarang kamu menjalankan riba, tapi kita akan diberi jasa. Kalau Ia kaya, tentu Ia tidak akan menjalankan ini.”
Yang dimaksud oleh kata-kata Finhas itu firman Allah:
{Siapakah yang hendak meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, yang akan Ia lipatgandakan dengan sebanyak-banyaknya.} (Al-Baqarah: 245).
Setelah Abu Bakar melihat orang ini memperolok firman Allah serta wahyu-Nya kepada Nabi, ia tak dapat menahan diri, ditamparnya muka Finhas itu keras-keras seraya katanya: “Demi Allah, kalau tidak kerana adanya perjanjian antara kami dengan kamu sekamu, ku pukul kepalamu. Engkaulah musuh Tuhan!”
Finhas pergi mengadu kepada Rasulullah SAW dan Finhas menafikannya serta tidak mengaku telah berkata begitu.
Lalu Allah SWT menurunkan ayat yang membenarkan dakwaan Sayyidina Abu Bakar RA melalui firman-Nya:
{“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami adalah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh para Anbiya’ dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar.”} [Ali-Imran: 181] [HR at-Tobarani fit-Tafsir & Tohawi- sanadnya Hasan].
- Allah kata Dia telah dengar {لَّقَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ} perkataan asal mereka daripada awal lagi- kemudian Allah akan tulisnya {سَنَكْتُبُ}; iaitu dari perkataan yang telah lepas (ماضي- past tense) pergi kepada perkataan yang akan berlaku sekarang (مضارع- present tense).
Kenapa?
- Yakni Allah kata Kami telah dengar perkataan jahat kamu, tetapi kejahatan itu Kami akan tulis, daftar, rekod & catatnya.
- Ulama’ tafsir kata : Ini kerana perbuatan & perkataan mereka si yahudi itu akan berulang-ulang lagi tidak akan terhenti sehingga ke hari Kiamat, kerana mereka tidak akan insaf dan mereka akan kata balik sebagaimana yang dikatakan oleh ulama’ mereka dulu seperti Finhas itu!!
Maka selagi mereka kata; Allah akan tulis, perkataan asal mereka Allah sudah dengar dari awal dulu lagi.
- Kejahatan mereka juga adalah membunuh para nabi tanpa hak & alasan yang dibenarkan Syara’!
Allah juga akan tulis perbuatan mereka sebagai satu dosa besar yang akan menerima balasan azab yang dahsyat!
Kerana mana hak untuk membunuh para nabi ASmanusia pling baik yang terpilih & diutus oleh Allah SWT!
- Kemudian Allah bagi amaran: Untuk menambahkan azab akan dikatakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar!”
Atas dunia dulu kamu bakar orang beriman sekarang rasalah azab untuk kamu pula!
- Kita orang beriman sentiasalah berdoa:
اَللهم أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ-
“Ya Allah, selamatkan dari azab neraka”.
AYAT 182- { (AZAB SEKSA) YANG DEMIKIAN ITU IALAH DISEBABKAN PERBUATAN YANG – TELAH DILAKUKAN OLEH TANGAN KAMU SENDIRI. DAN (INGATLAH), SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI BERLAKU ZALIM KEPADA HAMBA-HAMBANYA.”} (ALI-‘IMRAN 3:182)
- Dalam ayat ini Allah nyatakan sebab apa mereka diazab; iaitu kerana perbuatan jahat yang mereka buat atas dunia dulu- hasil usaha & perbuatan tangan mereka sendiri.
Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya; bahkan mereka sendiri yang menzalimi diri sendiri dengan perbuatan Syirik & derhaka kepada Allah!
- Apa benih yang ditanam itulah hasil yang dipungut nanti!
Jika baik semaiannya, maka baiklah juga hasilnya!
Apa yang kita buat atas dunia itu hasil balasan yang akan kita terima di Akhirat kelak!
- Jika nak balasan syurga maka buatlah kebaikan & jika buat kejahatan maka terimalah balasan neraka – wal-‘iyazu billah!
AYAT 183- {ORANG-ORANG (YAHUDI ITULAH) YANG BERKATA: “SEBENARNYA ALLAH TELAH PERINTAHKAN KAMI, SUPAYA KAMI JANGAN BERIMAN KEPADA SESEORANG RASUL SEHINGGA IA MEMBAWA KEPADA KAMI KORBAN YANG DIMAKAN API. “KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU BEBERAPA RASUL DAHULU DARIPADAKU DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (MUKJIZAT) YANG NYATA DAN DENGAN (KORBAN) YANG KAMU MEMBUNUH MEREKA, JIKA KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR (DALAM YANG KAMU DAKWAKAN ITU)?} (ALI-‘IMRAN 3:183)
- Mereka buat alasan dengan mereka-reka dan mendakwa apa yang Tuhan tidak kata & tidak suruh!
Mereka buat dakwaan palsu & bohong ke atas Allah SWT!
- Dakwaan palsu mereka: iaitu yahudi tidak boleh beriman dengan mana-mana rasul sehinggalah seorang rasul itu meletakkan korban atau sedekahnya di tengah padang kemudian turun api memakan korban itu- tanda kesahihan sebagai rasul!
- Riwayat Sayyidina Abdullah bin Abbas RA – Beberapa orang ketua kaum yahudi Madinah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata:
Wahai Muhammad (SAW), kamu mendakwa bahawa kamu adalah Rasulullah dan bahawa Allah memberi kamu wahyu sebuah kitab iaitu al-Quran. Padahal Allah telah memerintahkan kepada kami di dalam Taurat agar jangan beriman kepada seorang rasul itu sehingga ia membawa korban yang dimakan oleh api. Tetapi sebenarnya apa yang mereka katakan itu dusta, kerana itu turunlah ayat suci ini mendedahkan dakwaan karut mereka itu!
- Maka Allah SWT ajar kepada Rasulullah SAW untuk menolak dakwaan & penyelewengan yang mereka buat itu dengan berkata bahawa telah datang rasul-rasul terdahulu yang membawa hujjah, dalil-dalil keterangan-keterangan dan mukjizat yang nyata tetapi kamu tetap ingkarinya!
- Kaum yahudi bukan setakat ingkar tak ilut, menolak dakwah para rasul itu bahkan datuk nenek mereka dulu telah membunuh para rasul tanpa hak!
AYAT 184- {OLEH ITU, JIKA MEREKA MENDUSTAKANMU (WAHAI MUHAMMAD, MAKA JANGANLAH ENGKAU BERDUKACITA), KERANA SESUNGGUHNYA RASUL-RASUL YANG TERDAHULU DARIPADAMU TELAH DIDUSTAKAN JUGA; MEREKA TELAH MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN (MUKJIZAT) YANG NYATA DAN KITAB-KITAB (NASIHAT PENGAJARAN), SERTA KITAB (SYARIAT) YANG TERANG JELAS.} (ALI-‘IMRAN 3:184)
- Allah SWT kemudian memberi nasihat kepada Rasulullah SAW agar jangan berdukacita jika mereka kaum yahudi itu mendustakan Baginda!
Kerana mereka juga telah mendustakan rasul-rasul sebelum ini juga.
- Sedangkan para rasul itu juga telah membawa keterangan-keterangan mukjizat yang nyata dan Kitab-kitab nasihat pengajaran, serta Kitab Syariat yang terang jelas.
- Datanglah para rasul dengan apa mukjizat pun mereka tetap menolaknya, maka teruskanlah perjuangan jangan hiraukan dakwaan mereka yang palsu & tuntutan mereka yang batil!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 181- {Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu..}-
Kita lihat dari sudut bahasa atau faedah lughawiyyah, ta’bir ayat:
i- Allah kata : {Dia telah dengar perbuatan & perkataan puak yahudi- لَّقَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ }- dengan lafaz telah berlaku (past tense- ماضي).
ii- Tetapi kemudian dalam ayat seterusnya Allah SWT guna pula lafaz sedang & akan berlaku (present tense- مضارع) iaitu {Kami akan tulis- سَنَكْتُبُ}
Jawapan:
i- Ia bermula dengan madhi (telah dengar) kemudian dikuti dengan lafaz sekarang (akan tulis).
Ini kerana Allah bersumpah bahawa demi sesungguhnya Allah telah dengar apa yang mereka telah kata yakni perkataan buruk mereka itu telah muncul, telah ada lalu Allah SWT rakamkan!
ii- Kemudian Allah SWT kata dia akan tulis dengan lafaz janji iaitu; Aku akan tulis setiap kali kamu ucap, setiap kali kamu kata, ulang perkataan itu; tulisannya akan berlaku.
Juga huruf sin (سَ) dihadapan perkataan itu adalah untuk menguatkan, bahawa tidak akan luput dari pengetahuan & rekod Allah bahawa kamu telah mengeluarkan perkataan yang buruk & dusta terhadap Allah, perkataan yang nak memporak-perandakan umat Islam, perkataan nak memesongkan fakta semuanya ditulis oleh SWT.
Inilah rahsia dari madhi kepada mudhari’, inilah ilmu tadabbur ayat dari sudut penggunaan ayat oleh Allah SWT, rahsia uslub bahasa al-Quran yang indah sepanjang zaman.
Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan {Kami akan tulis}-
Apabila dikata akan ditulis; ia bermakna bahawa rekod ini akan dibuka balik pada hari Kiamat kelak!
Maka jangan berani buat apa yang tidak akan membawa kebaikan kepada kita!
Allah SWT juga telah berfirman:
{Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”.} (Al-Israa’ 17: 13- 14)
Ini adalah salah satu ayat yang menjadi tangisan orang-orang soleh dalam munajatnya kepada Allah SWT!
Tiada manusia yang baca & faham ayat ini kecuali dia akan menangis kecemasan.
Sebagaimana kata-kata motivasi yang selalu diulang oleh DDAAM:
Suratan amalan yang kita nak baca di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak kelak; kita sendirilah penulisnya.
Maka nak baca yang baik buatlah yang baik-baik atas dunia ini!
Kita memohon semoga Allah SWT ampun dan maafkan segala dosa kita, sembunyikan segala kesalahan kita, tutuplah segala aib kita, dan berilah rahmat kepada kita!
- Ayat 181- {perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya,}-
Yahudi dulu telah membunuh para rasul yang diutus kepada mereka tanpa hak.
Yahudi zaman Rasulullah SAW tidak sempat membunuh Baginda SAW walaupun telah ada beberapa cubaan untuk membunuhnya.
Boleh baca kisahnya dalam kitab ini
Madinah Munawwarah : https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
Walaupun mereka tidak bunuh dengan tangan mereka tetapi mereka suka dan redha & sokong perbuatan datuk nenek mereka itu.
Maka sesiapa yang sokong dan tidak halang, atau bantu orang yang zalim, tidak buat maksiat tetapi sokong orang yang buat maksiat maka dia juga akan terpalit sama dengan dosa itu!
Tetapi ada juga yang pertikai kata tidakkah ia bercanggah dengan ayat al-Quran ini:
{Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). (Al-Israa’ 17:15)
Yakni tiada orang akan menanggung beban dosa orang lain.
Jadi kenapa yahudi itu dikira bersalah juga seperti mereka yang membunuh para rasul dulu?
Jawapan: Itu adalah dosa pribadi yang tiada kaitan dengan orang. Tetapi jika perbuatan dosa yang ada kaitan atau bawah tanggungjawab atau kuasa- ia akan kena terpalit sama.
Contoh:
i- Anak buat dosa maksiat tetapi ibu bapa yang bertanggung-jawab ke atas mereka tak nasihat atau larang maka dia akan kena juga tempiasnya.
Tetapi jika mereka telah nasihat beri tunjuk ajar, larang dan seumpamanya tetapi anak yang tetap dengil, tak dengar; maka sudah lepaslah tanggungjawabnya!
ii- Penganjur majlis maksiat, tuan rumah atau sebagainya pastilah akan dapat juga saham dosa pelaku atau peserta yang lain itu.
Allah SWT juga kata mereka bunuh oara nabi tanpa hak kebenaran {بِغَيْرِ حَقٍّ}.
Ayat ini hanyalah satu ikatan untuk mendedahkan kejahatan puak kafir kerana tidak ada nabi yang berhak dibunuh!
Kesimpulannya:
kita jangan bersekongkol dengan sebarang bentuk maksiat; jika tidak kita akan kongsi dosa bersamanya juga!
- Ayat 181- {dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar-}-
Ayat ini menjadi amaran kepada pelaku maksiat.
Dengan sebab kamu buat maksiat kamu akan disiksa oleh Allah SWT.
Ini menunjukkan kamu akan diazab dengan sebab perbuatan maksiat & dosa yang kamu lakukan.
Tengoklah pula kategori dosanya, seperti yahudi yang reka & seleweng ajaran agama, buat tuduhan palsu yang jahat ke atas Allah SWT.
Kerana itulah apabila Nabi Musa AS mengadu kepada Allah SWT tentang yahudi yang menuduh & mengatanya macam-macam- Allah kata usahkan kamu Musa bin Imran, Aku sebagai Tuhan ini juga dituduh & ditohmah macam-macam oleh si yahudi!
Mereka kata Tuhan miskinlah, ada anaklah, serta pelbagai lagi tuduhan jahat.
Kemudian Allah berfirman: {rasakan kamu- ذُوقُوا۟}-
kenapa Allah guna perkataan- rasalah azab- bukan ditimpa ke atas kamu azab?
Kata ulama’ : Kerana rasakan itu lebih kuat perasaan dan fizikal bersama bukan secara fizikal saja- dua-dua azab kena- dari sudut jiwa pun siksa, dari sudut fizikal pun tersiksa- zahir batin- wal-‘iyazu billah-
Kita minta Allah jauhkan & selamatkan kita daripada azab neraka!
- Ayat 182- {(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang – telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri.}-
Allah kata azab yang demikian itu adalah dengan sebab apa yang kamu buat:
{ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ}.
Alhh SWT guna huruf (بِ) sababiyah- menunjukkan sebab.
Kata ulama’ : azab itu ditimpa dengan sebab- dalam al-Quran banyak dibawa ayat sebegini- perkara begini akan jadi begini- disebut azab atau hukuman kemudian dinyatakan sebabnya.
Digunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan tertibnya.
Inilah tertib atau susunan ayat yang indah dalam al-Quran- kamu buat begini, beginilah balasan atau hukumannya!
Kemudian Allah kata Dia tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya, semua makhluk itu adalah hamba Allah SWT. Tidak kira sama ada mereka yang beriman atau tidak, kafir pun adalah hamba Allah cuma mereka adalah hamba yang derhaka!
- Ayat 184- {Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga;}-
Allah kata jika mereka tak dengar kata kamu, kamu jangan sedih hati wahai Muhammad SAW. kerana rasul dahulu begitu juga.
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menenangkan hati Nabi SAW- sabarlah jika kamu didustakan; ingatlah nabi-nabi & rasul sebelum kamu juga telah didustakan & ditentang juga!
Bukan kamu saja yang kena, nabi-nabi terdahulu pn telah hadapinya!
Kita umat Nabi SAW, para pendakwah & ustaz-ustaz yang berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran juga bersabarlah, walaupun orang hina, perli dan kata macam-macam.
Jangan mudah lari, jangan mudah koyak dalam menyampaikan kebenaran & ajaran Nabi SAW, kerana hidup tidak sunyi daripada ujian.
Dengan ujian akan terserlah dan menzahirkan siapa yang benar, siapa yang salah, siapa yang mantap siapa yang mudah koyak.
Ujian akan menzahirkan seseorang atau menjatuhkannya jika dia gagal dalam ujian itu!
Allah SWT juga kata rasul-rasul yang terdahulu juga telah bawa keterangan, hujjah & dalil yang nyata { بِٱلْبَيِّنَـٰتِ}.
Maka kita juga jika nak berdebat dengan orang kita kena ada keterangan, hujjah & dalil yang jelas & nyata. Jangan hanya main keras kepala dan guna logik akal sendiri.
Kita kena bertanggung-jawab dengan apa yang kita ucapkan, uslub dakwah kena ada jangan rempuh tak tentu pasal nanti kita akan digodam orang dan akan menampakkan kelemahan agama kita!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.