SERUAN BERTAQWA, ASAL KEWUJUDAN MANUSIA, JAGA SILATURRAHIM & ALLAH AR-RAQIB.
Full video : https://youtu.be/OGPYTYVCK70?si=RhApHYJXWLURkBdr
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 1, Surah An-Nisa’ dalam juzu’ yang keempat.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang seruan Allah SWT kepada manusia agar bertaqwa, perlu kepada perincian & penjelasan yang panjang.
- Allah juga nyatakan tentang asal kewujudan manusia, kita berasal dari nabi Adam (آدم) AS yang dicipa dari tanah kemudian isterinya Hawwa’ (حواء).
- Allah suruh jaga silaturrahim yang besar kelebihannya & berat dosanya!
- Di akhir Allah kata Dia-lah Allah Ar-Raqib, yang mengawal segala pergerakan & kelakuan kita.
Jika kita tunaikan tanggungjawab tadi alhamdulillah, kamulah orang yang hebat, tetapi jika cuai maka itu adalah orang yang cari penyakit, iaitu akan diazab kerana tidak bertaqwa!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1-{WAHAI SEKALIAN MANUSIA! BERTAQWALAH KEPADA TUHAN KAMU YANG TELAH MENJADIKAN KAMU (BERMULA) DARI DIRI YANG SATU (ADAM), DAN YANG MENJADIKAN DARIPADA (ADAM) ITU PASANGANNYA (ISTERINYA – HAWA), DAN JUGA YANG MEMBIAKKAN DARI KEDUANYA – ZURIAT KETURUNAN – LELAKI DAN PEREMPUAN YANG RAMAI. DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH YANG KAMU SELALU MEMINTA DENGAN MENYEBUT-YEBUT NAMANYA, SERTA PELIHARALAH HUBUNGAN (SILATURRAHIM) KAUM KERABAT; KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MEMERHATI (MENGAWAS) KAMU.} (AN-NISA’ 4:1)
- Allah SWT menyeru semua manusia sekeliannya supaya bertaqwa kepada Allah!
Munasabah pembukaan ayat ini dengan arahan supaya bertaqwa kepada Allah:
Kenapa Allah SWT mulakan surah ini dengan ayat pertama ini?
Jawapannya ada dua isu:
i- Isu pertama:
Ini kerana Dalam Surah An-Nisa’ ini banyak taklif Syara’ yang diperintahkan ke atas manusia.
Maka di awal surah Allah perintahkan manusia supaya untuk jaga hubungan & tunaikan tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak keluarga &
anak yatim. Sampaikan hak mereka dengan jujur & amanah!
Di akhir surah ini pula (ayat 176) Allah SWT nyatakan tentang hukum cara pembahagian harta keluarga bagi orang yang kalalah.
Maka munasabahlah surah ini dinamakan Surah An-Nisa’ kerana ia merangkumi isu kekeluargaan.
ii- Isu kedua: adalah beberapa hukum tentang takalif:
a- Perintah supaya bersuci (taharah) -seperti berwuduk atau mandi sebelum solat.
b- Jaga solat
c- Berperang dengan orang kafir.
- Kerana semua taklif ini adalah susah, berat & payah kerana berlawan dengan nafsu, maka Allah ungkit asal-usul penciptaan & kejadian manusia!
Maka bertaqwalah yakni ikutlah perintah Allah SWT & jauhilah larangan-Nya.
Inilah dua jalan yang harus ikut & jangan lawan Allah jika tidak kita tidak jalankan tugas maka ia cukup bahaya!
Allah SWT perintahkan semua manusia-lelaki perempuan, tua muda, kecil besar, kaya miskin; untuk bertaqwa kepada Allah kerana: Allah adalah Tuhan kita. Kamu nak lawan Allah, Tuhan kamu?
Allah ungkit ini supaya manusia sedar & sentap!
- Siapakah pula Tuhan itu?
i- Dia adalah Tuhan yang telah menjadikan kita bermula dari diri yang satu iaitu Adam (آدم).
Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
{Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam). (Al-An’aam 6:98)
ii- Allah juga yang menjadikan daripada nabi Adam itu pasangannya isterinya – Hawa (حواء).
Ayat ini ditafsikan dengan firman Allah SWT ini:
{Dia lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):” Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.} (Al-A’raaf 7:189)
- Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا.
“Jagalah wanita sebaiknya. Kerana wanita itu dicipta dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk paling bengkok adalah pada bahagian paling tinggi. Jika kau cuba meluruskannya, ia akan patah. Namun jika kau abaikannya, ia akan kekal selama-lamanya bengkok. Maka, jagalah wanita sebaiknya.” [HR Bukhari dan Muslim]
Hadis ini bukan bermaksud dicabut tulang rusuk Adam- perumpamaan bagi menggambarkan sifat wanita. Mereka tidak berasal daripada tulang rusuk, tetapi sifat mereka umpama tulang rusuk atau diambil DNA/bahan dari tulang rusuk.
- Ini menunjukkan Islam & Rasulullah SAW amat mengambil berat tentang kebajikan & penjagaan ke atas wanita!
Kuasa ini diberikan kepada lelaki kerana Allah yang mencipta kita manusia ini pastilah lebih arif tentang makhluk ciptaan-Nya, tak perlu kita persoalkan isu ini!
Firman Allah SWT: {Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan}. [An-Nisa’: 4:34].
Yakni Allah lantik lelaki sebagai ketua dalam keluarga. Oleh kerana ditangan lelaki ada kuasa untuk menerima nikah, maka kuasa cerai juga terletak di tangan lelaki!
- Allah juga nyatakan Dia yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.
Dari keturunan Adam & Hawwa’ ramai anaknya seperti Qabil & Habil, Shith dan lain-lain.
- Firman Allah SWT tentang ini juga:
{Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.} (Ar-Ruum 30:20)
AYAT 1-{DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH YANG KAMU SELALU MEMINTA DENGAN MENYEBUT-YEBUT NAMANYA, SERTA PELIHARALAH HUBUNGAN (SILATURRAHIM) KAUM KERABAT; KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MEMERHATI (MENGAWAS) KAMU.} (AN-NISA’ 4:1)
- Setelah Allah ungkit kejadian manusia, sekali lagi Allah perintahkan kita supaya bertaqwa kepada Allah.
Allah- Tuhan yang namanya kita selalu guna & sebut. Iaitu apabila nak minta sesuatu kita bertawassul guna nama Allah.
Maka ikutlah perintah-Nya & jauhilah larangan-Nya.
- Kemudian Allah perintahkan untuk pelihara dan jaga silaturrahim iaitu kedudukan keluarga yang terdekat.
- Munasabah ayat ini dengan yang sebelumnya:
i- Allah nyatakan bahawa Dia cipta manusia ini daripada bapa yang satu iaitu Adam, kemudian membiak & tersebar luas atas dunia ini!
ii- Maka dalam kalangan manusia itu kita ada kaum kerabat yang boleh kita kesan hubungan kerabatnya (bertitih) maka itu dinamakan silaturrahim yakni ada hubungan rahim.
Lalu Allah perintahkan kita agar jaga silaturrahim & jangan cuai ke atasnya.
Apa keperluan mereka kita kena cuba penuhi!
Yang kita tidak dapat kesan keturunan yang sama kita panggil ukhuwwah- persaudaraan dalam Islam- bukan hubungan rahim atau keturunan kerabat.
- Ayat ini adalah salah satu ayat yang Rasulullah SAW baca dalam permulaan khutbahnya seperti:
i- {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ١٠٢}
{Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.} (A-li’Imraan 3:102)
ii- { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ}
{ Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),..} (An-Nisa’ 4:1)
iii- { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًۭا سَدِيدًۭا ٧٠ يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا}
{Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),
Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.} (Al-Ahzaab 33: 70-71)
Ayat-ayat ini boleh dibaca pada semua permulaan ceramah atau perbincangan. Tengok kesesuian masa. Dikenali dengan nama “Khutbah Al-Hajah”.
- Hadis- Satu kisah yang panjang riwayat dari Jarir Bin Abdullah RA:
Bahawa pada suatu masa sedang kami bersama Rasulullah SAW dalam satu majlis- tiba-tiba datang sekumpulan manusia yang tiada baju dan kain compang-camping & berkaki ayam. Berubah wajah Rasulullah SAW, amat muram kerana sedih melihat keadaan umatnya itu. Baginda bangun masuk ke dalam rumahnya kemudian keluar semula. (Kebetulan tiba waktu solat) Baginda lalu memanggil Bilal untuk azan & solat, selepas itu Nabi SAW berkhutbah dengan membaca ayat 1 ini -ayat yang kita sebut tadi serta ayat 1 dari surah al-Hasyri:
{ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ١٨}
{Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.} (Al-Hasy-r 59:18)
Setelah mendengar ayat-ayat ini, para sahabat memahami apa yang Rasulullah mahu sampaikan lalu mereka bangun mengumpul pelbagai pemberian, ada yang bawa makanan, wang, pakaian serta pelbagai lagi sehingga menjadi timbunan sedekah. Lalu wajah Rasulullah SAW bertukar menjadi ceria dan penuh senyuman.
Kemudian Baginda SAW bersabda: “Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun. Barang siapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.” [HR Muslim].
Yakni cukup untuk Nabi SAW berceramah dengan ayat al-Quran saja, sahabat sudah boleh memahaminya dan bersegera menyahut seruan Baginda SAW.
- Di akhir ayat setelah arahan untuk bertaqwa; Ingatlah sesungguhnya Allah sentiasa mengawasi & memerhati kamu!
Dia tahu segalanya, tidak ada benda yang tersembunyi daripada pengatahuan Allah SWT!
Jika kita kenal Allah & jika ada dalam hati kita bahawa kita sentiasa di bawah muraqabah Allah- kita sesekali tidak akan berani buat maksiat atau melanggar perintah Allah kerana kita tahu kita di bawah jagaan & pengawasan Allah Azza wa Jalla!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 1-{Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),}-
Ayat pertama Allah menyeru semua manusia agar bertaqwa kepada Allah dan ungkit kejadian manusia serta ingatkan tentang penjagaan wanita & silaturrahim.
Ini adalah permulaan ucapan atau pembukaan kata yang baik & indah!
Kerana dalam ayat ini nak bincangkan tentang hukum-hakam yang berkait dengan manusia & keluarga, maka Allah mula dengan kejadian manusia.
Allah juga nyatakan peranan wanita dan pentingnya hubungan kekeluargaan.
Juga mempringatkan manusia tentang silaturrahim.
Ghalib (kebanyakan) seruan dalam Surah An-Nisa’ ini Allah seru manusia kerana ada kaitan antara sesama manusia serta hubungan antara manusia dengan Allah!
Allah panggil & seru manusia kerana manusialah yang ada akal & akan dnegar seruan ini- bukan haiwan.
- Ayat 1-{Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu…}-
Allah mulakan seruan ini dengan hak-Nya. Barulah datang seruan untuk jaga hak-hak lain seperti silaturrahim dan jaga keluarga.
Kerana hak Allah lebih besar dari segala hak yang lain!
Ini kerana Allah yang cipta kita, Allah yang menjadikan kikta, kita wujud atas dunia ini kerana Allah mengadakan kita!
Manusia pula wujud atas dunia kerana proses yang berlaku antara perhubungan suami isteri; maka Allah sebut dalam ayat ini kamu kena jaga silaturrahim!
Jika tak jaga kamu adalah manusia yang tidak betul perjalanannya!
Allah nyatakan dalam ayat ini juga tentang hubungan antara kita & Adam serta hubungan antara Hawa & Adam yang datang dari tulang rusuknya.
Ini kerana Allah nak zahirkan kudrat kuasa-Nya untuk menciptakan setiap sesuatu dengan segala bentuk:
i- Dari benda tak bernyawa kepada benda bernyawa- iaitu kejadian Adam dari tanah yang kering.
ii- Dari benda hidup kepada benda hidup lain- iaitu kejadian Hawwa’ dari Adam yang sudah hidup. Ada ayah tiada ibu.
iii- Kemudian datang manusia lain semuanya dari air mani! Ada ayah ada ibu.
Inilah tiga kategori kewujudan manusia atas dunia ini.
Dua kali Allah sebut ayat ini { يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ} sebagai permulaan surah iaitu:
i- Ayat 1 Surah An-Nisa’ ini. Surah yang keempat di awal al-Quran. Ayat ini adalah tentang permulaan- awal kejadian manusia.
ii- Ayat Surah Al-Hajj; surah yang keempat separuh akhir al-Quran.
{Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.}(Al-Hajj 22:1)
Ayat dalam surah ini adalah tentang perjalanan akhir manusia!
- Ayat 1-{Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),..}-
Allah nyatakan bahawa semua manusia ini dicipta dari Adam yang berasal dari tanah kemudian daripada air mani!
Jadi kenapa kita nak bangga, sombong & takabbur?
Sedangkan kita diciptakan dari air mani yang hina.
Begitulah manusia macam-macam perangai dia ada!
Allah ajar kepada kita bahawa kita semua kena tawadhuk & baik perangai, baik nafsu.
Jangan sombong tidak kira yang kaya atau miskin, bangsa apa sekalipun kita manusia yang berasal dari air mani yang hina kemudian dipasang dalam rahim seorang ibu lalu akhirnya dilahirkan sebagai manusia.
- Ayat 1-{serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;}-
Allah sebut kamu kena bertaqwa kepada Allah & jaga hubungan silaturrahim.
Allah guna kalimah ini {} kerana nak suruh kita terasa kita tidak boleh hidup keseorangan atas dunia ini, kita ada ibu bapa, datuk nenek kemudian kita akan anak kemudian cucu dan seterusnya.
Kita kena hubungi silaturrahim jangan diputuskan.
Kerana kita semua ini adalah keturunan sama ada yang telah lalu atau yang akan datang.
Hadis- Rasulullah SAW bersabda: مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang suka untuk diluaskan baginya rezeki, dan dipanjangkan umurnya, maka sambungkanlah silaturrahim. [HR al-Bukhari (2067)].
Ayat ini juga untuk memperingatkan orang Quraisy yang memusuhi Rasulullah SAW bahawa Baginda SAW itu adalah keluarga merek, dari kaum kerabat mereka sendiri!
- Ayat 1-{Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu……………… serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.}-
Permulaan ayat Allah suruh kita bertaqwa, di akhir ayat pun Allah suruh kita bertaqwa & menjaga silaturahim.
Maka jika kamu tak buat semua perintah Allah itu, Allah ingatkan kita bahawa Dia sentiasa sentiasa mengawasi, memantau & memerhatikan segala kelakuan, tindak-tanduk, perbuatan & perkataan kita.
Alhamdulillah tamatlah untuk ayat pertama kita bagi siri ini.
Semoga kita semua termasuk dalam golongan orang yang bertaqwa dan menjaga silaturrahim.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.