View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 110-113

SESIAPA YANG BERSALAH BERISTIGHFARLAH, KEJAHATAN MENUDUH ORANG BAIK & ALLAH SWT JAGA NABI SAW.

Full video : https://youtu.be/RN-zWcthNVg?si=9WdlqZUMRnK0OGmi

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 110 sehingga 113 bagi Surah An-Nisa’, dalam juzu’ kelima.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini Allah buka tawaran istimewa kepada hamba-hamba-Nya, sesiapa yang bersalah beristighfarlah, minta ampun kepada Allah; nescaya kamu akan dapati sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
  1. Allah juga nyatakan keburukan menuduh orang baik, yang tidak bersalah semata-mata nak lindungi perbuatan jahatnya sendiri! 
    Dia buat jahat tetapi untuk selamatkan dirinya, dia tuduh orang lain yang buatnya! 
    Ini adalah satu kezaliman & fitnah yang amat besar!
  1. Allah SWT juga tegaskan bahawa Allah jaga Nabi SAW. daripada dikhianati atau dipesong oleh orang yang menyeleweng!
    Allah turunkan kepada Baginda SAW, Kitab & wahyu yang berupa ilmu & hikmah, maka diangkat darjatnya. 
    Termasuk umat nabi Muhammad SAW yang ada ilmu; Allah angkat juga darjat mereka!
    Maka marilah kita mencari ilmu yang dapat membuat kita faham al-Quran & Sunnah Nabi SAW lalu beramal dengannya!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan larangan sama sekali daripada memberi pertolongan, sokongan atau bantuan kepada orang yang khianat. Serta amaran keras agar jangan menzalimi orang yang baik.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan jika kamu ada terjebak dengan dosa & maksiat, tersalah atau tersilap; jangan ragu & malu-malu teruslah istighfar & bertaubat kepada Allah! 
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang sentiasa & bersegera untuk bertaubat apabila tersilap dan menjauhkan diri daripada segala dosa & maksiat.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 110- {DAN SESIAPA YANG MELAKUKAN KEJAHATAN ATAU MENGANIAYA DIRINYA SENDIRI (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT) KEMUDIAN IA MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH, NESCAYA IA AKAN MENDAPATI ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (AN-NISA’ 4:110)

  1. Allah nyatakan sesiapa yang menganiayai & menzalimi dirinya sendiri dengan melakukan maksiat atau kezaliman:
    i- Sama ada mengkhiati buat jahat kepada orang lain.

    ii- Atau menzalimi dirinya sendiri dengan membuat maksiat yang dilarang Allah SWT! 
  1. Lalu jika dia sedar & insaf, serta segera bertaubat kepada Allah. 
    Jika dosa terlibat dengan hak orang lain pulangkannya balik, dia akan dapati Allah SWT itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
  1. Antara doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW ialah: رَبِّ اغْفِرْ لِى وَتُبْ عَلَىَّ
    Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku. Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubatku..

AYAT 111- {DAN SESIAPA YANG MENGERJAKAN SESUATU DOSA MAKA SESUNGGUHNYA IA HANYA MENGERJAKANNYA UNTUK (MENJADI BALA BENCANA YANG) MENIMPA DIRINYA SENDIRI. DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:111)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat 110 Allah galakkan manusia yang buat dosa segera bertaubat.

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan kesan buruk dosa ke atas diri pelakunya. Ia akan menjadi satu bala bencana yang menimpa dirinya sendiri.
  1. Allah tahu bahawa manusia itu sayang akan dirinya sendiri & tidak mahu ditimpa bencana ke atas dirinya! 
    Kerana itu Allah buat bandingan sesiapa yang buat dosa & perbuatan jahat seolah membuat kezaliman ke atas dirinya!
  1. Dosa itu dianggap menzalimi diri sendiri kerana dia mendedahkan dirinya kepada bala bencana:
    i- Atas dunia ini lagi mendapat laknat & kemurkaan Allah, tiada keberkatan hidup & rahmat dari Allah! 

    ii- Di Akhirat kelak pula mendapat kemurkaan Allah, serta azab siksaan neraka yang dahsyat & tiada pelindung lagi!
  1. Setiap orang yang buat dosa dengan sengaja maka dosa itu hanya jatuh dosa atas kepalanya sendiri kecuali dosa yang berkait atau sebagai penganjur dosa- dosa bersebab.
  1. Dosa sendiri masing-masing tanggung, firman Allah SWT:
    Maksudnya: {Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungnya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.} (Faatir 35:18)
  1. Maksud dosa berkait atau bersebab:
    Rasulullah SAW bersabda:
    مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ، وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً، كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
    Maksudnya: “Barangsiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya, dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apapun dari pahala mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka. [HR. Muslim, no. 1017]
  1. Contoh dosa bersebab:
    i- Seseorang yang menderma/sponsor program maksiat dan buruk.

    ii- Diberi anak tetapi tidak beri anak didikan Islam sedari awal, tetapi jika telah tunaikan tanggungjawab itu terserahlah ke atasnya jalan mana yang dipilih.
  1. Sesungguhnya kena sentiasa ingat bahawa:
    i- Allah Maha Mengetahui : Ilmu Allah SWT itu lengkap & sempurna: tiada apa yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya yang zahir atau batin!

    ii- Lagi Maha Bijaksana : Kebijaksanaan & hikmah Allah SWT juga sempurna & menyeluruh! 
    Untuk mengetahu secebis hikmah Allah yang kita dapat kesan boleh baca buku ini :
    Keindahan Islam : https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…

AYAT 112- {DAN SESIAPA YANG MELAKUKAN SUATU KESALAHAN ATAU SUATU DOSA, KEMUDIAN IA MENUDUHNYA KEPADA ORANG YANG TIDAK BERSALAH, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH MEMIKUL KESALAHAN BERBUAT DUSTA, DAN MELAKUKAN DOSA YANG AMAT NYATA.} (AN-NISA’ 4:112)

  1. Allah nyatakan kejahatan & kezaliman yang berganda iaitu: dia buat dosa kejahatan tetapi menuduh orang lain buatnya; maka dia telah memikul dua kali dosa- dua kali celaka! 
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan bahawa dosa seseorang tidak akan pergi kepada orang lain!

    ii- Dalam ayat ini Allah nyatakan tentang dosa yang melarat; iaitu dengan sebab tuduhan & fitnah, buat khianat kepada orang lain.
  1. Kenapa Allah sebut bersama dua perkataan ini, apa bezanya? 
    i- Kata al-Askariyu: kesalahan {خَطِيٓـَٔة} adalah dosa yang dibuat tanpa sengaja, tidak rancang pun nak buat sebelum itu!

    ii- Manakala jika disebut {إِثْمًۭا} dosa ia bermakna yang disengajakan.
    Kemudian jika disebut dosa secara umum ia disebut dengan perkataan {خطايا}.
  1. Perangai jahat ini banyak berlaku hari ini, yang buat jenayah adalah golongan atasan, boss-boss besar tetapi yang kena hukum & tindakan adalah pekerja bawahan pula; yang menjadi kambing-hitam, menanggung kesalahan ketuanya! 
  1. Ini adalah tuduhan palsu & pembohongan ke atas orang yang tidak bersalah! 
    Lihatlah betapa jahatnya- dia buat dosa & jenayah kemudian letakkan tuduhan & beban jenayah itu atas kepala orang lain pula! 
  1. Orang yang buat jahat itu lepas & selamat dari hukuman; manakala orang yang tidak bersalah dihukum pula atas jenayah yang tidak dibuatnya! 
    Inilah kezaliman besar membuat tuduhan ke atas orang sebagaimana yang disebut & dilarang dalam ayat yang lepas.
  1. Sebagaimana ayat semalam di mana Allah larang daripada bela orang zaliim, maka para peguam berhati-hatilah jangan kerana kamu penjenayah & pendosa lepas bebas manakala orang yang tidak bersalah kena zalim atau dihukum!

AYAT 113- {DAN KALAULAH TIDAK KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN RAHMATNYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), NESCAYA BERHASILAH CITA-CITA SEGOLONGAN DARI MEREKA YANG BERTUJUAN HENDAK MENYESATKANMU, PADAHAL MEREKA TIDAK AKAN MENYESATKAN MELAINKAN DIRINYA SENDIRI; DAN JUGA MEREKA TIDAK AKAN DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADAMU SEDIKITPUN; DAN (SELAIN ITU) ALLAH TELAH MENURUNKAN KEPADAMU KITAB (AL-QURAN) SERTA HIKMAH (PENGETAHUAN YANG MENDALAM), DAN TELAH MENGAJARKANMU APA YANG ENGKAU TIDAK MENGETAHUINYA. DAN ADALAH KURNIA ALLAH YANG DILIMPAHKANNYA KEPADA MU AMATLAH BESAR.} (AN-NISA’ 4:113)

  1. Allah beri jaminan bahawa Dia telah jaga & lindungi Rasulullah SAW daripada kejahatan & rancangan khianat orang kafir. 
  1. Mereka sama ada nak menyakiti Nabi SAW secara fizikal atau nak selewengkan ajaran dakwah Nabi SAW dengan mengatakan Nabi sesat & penipuan!
  1. Munasabah ayat: 
    i- Allah beri peringatan bahawa ada manusia nak khianat Nabi SAW tetapi Allah jaganya, lalu mereka tidak boleh khianat atau menyesatkan Nabi SAW, ini satu jaminan dari Allah SWT! 

    ii- Kerana itu Allah kata kalau tidak kerana rahmat Allah- maka ayat ini menunjukkan Allah SWT melebihkan Rasulullah SAW & keistimewaannya dengan dijaga daripada segala kesesatan & Kejahatan khianat manusia.
  1. Dengan limpah kurnia Allah juga : Allah turunkan kepada Baginda al-Quran, Allah ajar kepada Nabi SAW ilmu & hikmah kebijaksanaan yang tidak diketahuinya sebelum ini. 
    Apabila Allah beri kurnianya dengan beri ilmu & hikmah yang tidak diketahui oleh manusia biasa.
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,} (Asy-Syuura 42:52)
  1. Allah beri wahyu kepada Nabi SAW adalah satu anugerah yang besar dari-Nya. 
    Allah angkat darjatnya menjadi seorang Nabi & Rasul lalu menjadi kekasih Allah SWT. 
    Bahkan Allah telah jaga kemuliaan Baginda sejak sebelum kenabian lagi- tidak pernah terjebak dengan maksiat, seorang yang benar & amanah.
    Baginda juga dari keturunan yang baik, semua nasab keturunannya melalui perkahwinan sejak dari Nabi Adam AS lagi!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 110- {Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}-

    Sesiapa yang tersalah buat dosa, sengaja atau tidak kemudian dia insaf, Allah perintahkan agar segera memohon ampun. 
    Ulama’ tadabbur kata : Allah SWT buka pintu taubat sepenuhnya! 
    Serta pintu kemaafan yang sangat luas. 
    Allah juga menggalakkan semua hamba-Nya yang berdosa supaya bertaubat apabila bersalah! 
    Ulama’ kata : Semua dosa Allah akan ampunkan kecuali syirik dengan syaratnya yang tersendiri.
    Besarnya rahmat Allah SWT kepada kita, semua dosa akan diampunkan kecuali syirik, maka berhati-hatilah kita daripada perangkap maut syirik ini!
  1. Ayat 110- {Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat)}-

    Allah kata orang yang buat dosa adalah orang yang menganiaya & menzalimi dirinya sendiri.
    Banyak kali Allah SWT ulang dalam al-Quran bahawa sesiapa yang buat dosa & maksiat adalah orang yang menzalimi diri sendiri kerana ia mendedahkan dirinya kepada azab, laknat & menerima kemurkaan Allah SWT!
    Dalam masa yang sama Allah tidak biarkan begitu saja- Allah buka pintu taubat seluasnya dan menggalakkan hamba-hamba-Nya untuk bertaubat! 

    Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa sabda Nabi SAW: 
    إنَّ عَبْدًا أصابَ ذَنْبًا – ورُبَّما قالَ أذْنَبَ ذَنْبًا – فقالَ: رَبِّ أذْنَبْتُ – ورُبَّما قالَ: أصَبْتُ – فاغْفِرْ لِي، فقالَ رَبُّهُ: أعَلِمَ عَبْدِي أنَّ له رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ويَأْخُذُ بهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ مَكَثَ ما شاءَ اللَّهُ ثُمَّ أصابَ ذَنْبًا، أوْ أذْنَبَ ذَنْبًا، فقالَ: رَبِّ أذْنَبْتُ – أوْ أصَبْتُ – آخَرَ، فاغْفِرْهُ فقالَ: أعَلِمَ عَبْدِي أنَّ له رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ويَأْخُذُ بهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي، ثُمَّ مَكَثَ ما شاءَ اللَّهُ، ثُمَّ أذْنَبَ ذَنْبًا، ورُبَّما قالَ: أصابَ ذَنْبًا، قالَ: قالَ: رَبِّ أصَبْتُ – أوْ قالَ أذْنَبْتُ – آخَرَ، فاغْفِرْهُ لِي، فقالَ: أعَلِمَ عَبْدِي أنَّ له رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ ويَأْخُذُ بهِ؟ غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلاثًا، فَلْيَعْمَلْ ما شاءَ. الراوي : أبو هريرة •البخاري •صحيح البخاري
    Maksudnya: “Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.” Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.” Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku -sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki. [HR al-Bukhari (7507)].
  1. Ayat 112- {Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah, maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta, dan melakukan dosa yang amat nyata.} –

    Siapa yang buat dosa kemudian dia tuduh orang lain sama ada untuk mencari kawan atau nak makan mengenakan kawan.
    Dosa itu seperti persaksian palsu & tuduhan palsu amat berat & jahat kerana dia mengkhianati orang lain dan membunuh maruah orang itu! 
    Ini adalah satu dosa yang jelas & cukup nyata!
    Betapa hari ini ramai orang membuat tuduhan ke atas orang lain dengan mengatakan mereka mujassim (mengatakan Tuhan berjisim)- ini adalah satu tuduhan yang amat besar & jahat, tiada orang yang waras akan mengatakan begitu kecuali orang yang gila dan sudah syirik!
    Para pencinta ilmu jangan mudah terima tuduhan dan fitnah kecuali ada bukti yang nyata dengan video-video yang asli yang menunjukkan perbuatan buruknya itu.
    Cukup jelas bahawa perbuatan begini adalah satu dusta & dia telah melakukan dosa yang amat nyata.
  1. Ayat 113- {Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasilah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu,}-

    Kalaulah tidak dengan limpah kurnia dari Allah; nescara Nabi SAW akan dipesong atau dikhianati oleh orang!
    Ayat ini menunjukkan kelebihan dan limpah kurnia Allah SWT ke atas Nabi SAW amat besar!
    Allah jamin akan jaga Rasulullah SAW daripada segalanya iaitu maksum dari segala dosa kesalahan, penyelewengan dan terpesong!
    Iaitu Allah jaga Rasulullah SAW dari segenap sudut, dari segi fizikal- dikhianati atau dibunuh oleh orang kafir.
    Luka dan sakit sedikit sebanyak seperti dalam peperangan & semasa dekat nak wafat Baginda itu adalah sebagai manusia biasa (dari sudut basyariah seperti yang kita belajar dalam siri lepas) dan kerana Allah nak angkat darjat Nabi SAW!
  1. Ayat 113- {serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya.}-

    Allah kata Aku ajar kepadamu wahai Rasulullah SAW apa yang kamu tidak tahu sebelumnya!
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan kelebihan orang ada ilmu, kerana apabila Allah sebut limpah kurnia kepada Nabi SAW ia adalah ia (ilmu) sebagai satu anugerah yang besar maka pastilah ia adalah satu kelebihan & keistimewaan yang amat tinggi!
    Betapa ilmu lebih berguna daripada harta, anak-pinak, suami atau isteri dan semuanya. Ilmu akan jaga harta manakala harta kita kena jaganya!

    Contoh : Imam an-Nawawi RHM beliau meninggal dunia pada usia 45 tahun, tidak sempat berkahwin & tiada anak! 
    Tetapi beliau meninggalkan betapa ramai anak murid dan ilmu yang tidak terhitung luas & banyaknya dan telah tersebar di seluruh alam sehingga ke hari ini!
    Betapa ramai pada setiap hari orang yang membaca kitab-kitabnya yang mengucapkan doa rahimahullah ke atasnya sejak dulu sehingga ke hari ini! 

    ILMU TIDAK AKAN MATI SEHINGGA KIAMAT.
    Kerana itu DAAM cuba berkuliah dan menyampaikan ilmu sebanyak mungkin agar pahala yang ditinggalkan sentiasa mengalir hatta selepas kematiannya!
    Tinggalkan ilmu yang bermanfaat sebanyak mungkin kita akan dapat manfaatnya walaupun selepas mati. 
    Apatah lagi jika kita mampu tinggalkan ilmu, anak yang soleh, harta waqaf dan lain-lain kebajikan itu adalah nikmat yang berganda-ganda insya’ Allah!
    Ya Allah ajarkanlah kepada kami ilmu yang kami tidak tahu, berilah kami ilmu yang bermanfaat, ingatkanlah kami apa yang kami lupa serta berkatilah ilmu kami untuk kami dapat beramal dengannya!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs