GOLONGAN SESAT MENYEKAT KEBENARAN, JALAN MEREKA KE NERAKA & BERIMANLAH DENGAN RASUL SAW.
Full video : https://youtu.be/8-RgoVCt4CA?si=qynbjvYwHChAC4G5
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 167 sehingga 170 bagi Surah An-Nisa’, surah yang keempat dalam juzu’ keenam.
- Dalam siri ini Allah ceritakan kepada kita tentang golongan sesat yang cuba menyekat manusia daripada kebenaran, dari jalan Allah.
- Orang kafir yang mati dalam kufur dan tidak sempat bertaubat; maka jalan mereka hanyalah satu iaitu ke neraka & kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya!
Bagi orang beriman yang berdosa akan diazab mengikut tempoh azabnya seberapa lama atas kehendak Allah SWT; kemudian akan dikeluarkan daripada neraka lalu dimasukkan ke dalam syurga- atau akan diampunkan dengan rahmat & belas kasihan Allah SWT!
- Kemudian Allah menyeru agar berimanlah dengan Rasul sebagai utusan dari Allah Azza wa Jalla yang membawa kebenaran kepada kita.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang risalah yang dibawa oleh para rasul AS dengan diakhiri oleh penutup para rasul iaitu Nabi Muhammad SAW yang disaksikan sendiri oleh Allah SWT & para malaikat akan kebenarannya Nabi SAW!
Maka wajib kamu semua beriman dengannya.
ii- Kemudian datang ayat ini, jika kamu tak mahu beriman juga, sekat orang tidak mahu beri laluan untuk beriman, maka mereka telah berada dalam kesesatan yang nyata!
Ayat ini adalah amaran keras untuk geng yang tidak mahu beriman & menghalang orang lain juga dari jalan Allah SWT!!
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang beriman, bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 167- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA MENGHALANG ORANG-ORANG LAIN DARI JALAN ALLAH (AGAMA ISLAM), SEBENARNYA MEREKA TELAH SESAT DENGAN KESESATAN YANG AMAT JAUH.} (AN-NISA’ 4:167)
- Allah nyatakan bahawa orang yang kafir yang tidak mahu mengikut jalan yang benar serta berusaha menyekat orang lain daripada jalan Allah, dua kali kejahatan, sesungguhnya mereka berada dalam kesesatan yang amat jauh!!!
- Bukan setakat mahu ikut, dengar pun mereka tidak mahu!
Puak kafir pada zaman Nabi SAW apabila melihat Baginda membaca al-Quran dekat Ka’bah mereka membuat bising hingar-bangar dengan bertempik, bersiul dan bertepauk tangan supaya orang tidak dapat dengarnya!
Mereka juga serta memerli mengata, memburuk-burukkan Nabi SAW.
Semua ini adalah lorong-lorong yang dibuat oleh syaitan untuk menyekat orang daripada kebenaran.
- Mereka ini adalah orang yang telah menyimpang daripada kebenaran serta jauh dari rahmat & hidayah Allah SWT.
Terlalu jauh sesatnya maka agak payah untuk mereka u-turn kembali ke pangkal jalan.
Orang yang terlampau jahat begini jarang Allah SWT nak beri hidayah kepada mereka, kerana terlalu kafir maka mereka mati di dalamnya!
AYAT 168- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR SERTA BERLAKU ZALIM, ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGAMPUNKAN MEREKA DAN TIDAK AKAN MENUNJUKKAN JALAN KEPADA MEREKA:} (AN-NISA’ 4:168)
- Sesungguhnya orang yang berbuat zalim sama ada:
i- Zalim ke atas diri sendiri dengan melakukan syirik terhadap Allah, sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar!
ii- Zalim dengan mengkhianat & buat jahat terhadap sesama manusia.
Sudahlah kafir, jahat & zalim ke atas orang lain pula!
- Dalam ayat ini Allah menyatakan tentang orang kafir yang zalim ke atas diri mereka sendiri dengan melakukan kekufuran, serta menyekat manusia daripada jalan Allah, serta menyalahi arahan jalan kebenaran dengan melakukan apa yang dilarang, kemungkaran & kejahatan.
- Maka Allah sekali-kali tidak akan ampunkan mereka, tidak akan tutup kezaliman mereka & akan ambil tidak ke atas mereka!
i- Allah juga tidak akan beri taufiq kepada mereka yang dapat menyampaikan mereka kepada jalan yang benar, yang boleh membawa ke syurga.
- Inilah yang kita takut & bimbang; apabila Allah tidak beri rahmat & taufiq hidayah-Nya, jauh dari jalan ke syurga maka nerakalah tempat mereka!
Kita mohon dengan Allah agar selamatkan kita daripada termasuk dalam golongan ini.
- Betapa ramai orang bukan Islam yang bersama kita, sama ada sebagai jiran, teman sekolah, sekerja yang mereka tahu tentang Islam, ada setengah tahu kebenarannya, tetapi walaupun ada ilmu & maklumat mereka tidak cuba kaji & memahaminya serta tidak ada signal hidayah dari Allah SWT: maka dia tidak akan beriman & ini adalah satu kerugian yang besar.
- Kerugian besar juga jika kita tidak pernah ajak lansung, cuba berdakwah kepada mereka itu, tidak berdakwah menyampaikan tentang Islam kepada mereka yang baik dengan kita itu- maka di Akhirat kelak mereka akan marah kepada kita!
Peluang telah terlepas mereka akan kekal di dalam neraka- kita pun tidak dapat tolong mereka lagi!
- Rasulullah SAW telah bersabda:
i- Sabda Nabi SAW: بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
“Sampaikan kepadaku walaupun sepotong ayat.” (HR Bukhari, No. 3461)
ii- Sabda Nabi SAW: فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
“Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” (HR al-Bukhari, No. 2942)
Rasulullah SAW memberi bandingan ini supaya kita dapat merasai pahala itu lalu cuba menggapainya!
- Tetapi harga hidayah itu sangat mahal; maka sesiapa yang dapat hidayah peganglah dia dengan kuat & teguh, gigitlah dengan gigi geraham kamu sekuatnya!
Jika Allah tak beri hidayah, akan sesatlah selamanya!
AYAT 169- {SELAIN DARI JALAN NERAKA JAHANAM, YANG MEREKA AKAN KEKAL DI DALAMNYA SELAMA-LAMANYA; DAN BALASAN YANG DEMIKIAN ITU ADALAH MUDAH BAGI ALLAH.} (AN-NISA’ 4:169)
- Mereka ini tidak adalah tempat kembalinya kecuali jalan ke neraka Jahannam!
Mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya!
- Semua ini untuk membalas hamba-Nya yang derhaka yang keras kepala dengan memasukkan ke dalam neraka Jahannam; adalah amat mudah bagi Allah SWT yang Maha Berkuasa!
AYAT 170- {WAHAI SEKALIAN UMAT MANUSIA! SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU RASUL ALLAH (MUHAMMAD SAW) DENGAN MEMBAWA KEBENARAN DARI TUHAN KAMU, MAKA BERIMANLAH KAMU (KERANA YANG DEMIKIAN ITU) AMATLAH BAIKNYA BAGI KAMU. DAN JIKA KAMU KUFUR INGKAR (MAKA KEKUFURAN KAMU ITU TIDAK MENDATANGKAN KERUGIAN APA-APA KEPADA ALLAH), KERANA SESUNGGUHNYA BAGI ALLAH JUALAH SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI; DAN ALLAH SENTIASA MENGETAHUI LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AN-NISA’ 4:170)
- Allah menyeru sekalian manusia (يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ)- menyatakan bahawa sesungguhnya Allah telah mengutus rasul-Nya nabi Muhammad SAW membawa kebenaran kepada umat manusia – maka mereka diperintahkan untuk beriman kepadanya!
- Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Allah telah bongkar, bentang & kondem segala kekeliruan yang dibawa oleh yahudi serta menyatakan betapa rosak & sesatnya jalan yang mereka pilih.
ii- Maka dalam ayat ini Allah menyeru sekelian manusia secara umum, asal saja kamu manusia; celik mata & buka telinga, lapangkan dada kamu untuk menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW!
- Allah SWT tegaskan Dia bangkitkan, utuskan Rasulullah SAW untuk umat manusia adalah benar, dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu!
Ini kerana ahli kitab dia beriman dengan sebahagian rasul saja.
- Apa yang pelik ada segolongan manusia yang pisahkan antara Allah & rasul.
Mereka terima Allah sebagai Tuhan tetapi tidak mahu terima rasul kerana dia adalah manusia biasa seperti mereka!
- Memanglah rasul itu manusia:
i- Tetapi mereka telah dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu dan menyampaikan kepada manusia lain.
ii- Jika Allah nak sampaikan wahyu kepada setiap manusia adalah sesuatu yang tidak logik & tidak praktikal!
iii- Atau jika Allah utuskan malaikat sebagai rasul pastilah lagi susah untuk berinteraksi dengan manusia kerana sifatnya lain dari tabi’e manusia!
- Maka berimanlah kamu kepada Allah & rasul kerana itu adalah yang sebaiknya bagi kamu untuk dunia & Akhirat!
Aman di dunia & selamat di Akhirat insya’ Allah.
- Firman Allah SWT juga:
{Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.} (Al-Nahl 16:97)
- Dan sekiranya seorang manusia tidak beriman, ingkar daripada menerima kebenaran, ia tidak akan memberi sebarang kerugian kepada Allah, bahkan manusia itu yang akan kerugian dan memberi mudharat kepadanya.
- Tetapi Allah mahukan kamu beriman agar kamu kamu selamat & mendapat rahmat-Nya. Sesiapa yang ikut perintah Allah, dia yang akan mendapat pahala, dapat balasan limpah kurnia yang amat besar!
- Firman Allah SWT:
{Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.} (Ibrahim 14:8)
- Di akhir ayat Allah nyatakan kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi; maka dia terkaya, yakni tidak perlu kepada iman kamu atau jika kufur semua yang ada dia atas muak bumi ini tetap juga tidak beri kemudharatan & kerugian kepada-Nya!
- Kemudian Allah bawakan dua sifat-Nya ini:
i- Dan Allah sentiasa Mengetahui : Yakni Allah tahu sama ada kamu akan beriman atau akan kafir- siapa yang berhak dan patut diberi hidayah- Allah akan beri hidayah-Nya & siapa yang patut sesat Allah akan sesatkan dia.
ii- Lagi Maha Bijaksana : Yakni Allah Maha Bijaksana dan sempurna dalam taqdir-Nya, perkataan-Nya, perbuatan-Nya, Syariat-Nya, perundangan-Nya dan segalanya Allah letakkan pada tempatnya yang sesuai & comel, alhamdulillah.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 167- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah (agama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.}-
Orang yang kafir serta menyekat orang dari jalan Allah, itulah golongan yang sangat sesat, kesesatan yang melampaui & jauh.
Orang kafir yang zalim sama ada terhadap diri sendiri atau terhadap orang lain akan menjadi titik hitam di atas hatinya.
Titik hitam ini akan menutup hatinya daripada memberi hidayah petunjuk dari Allah SWT!
Kata ulama’ : Sesiapa yang beriman dan istiqomah atas sabililah & ajak orang kepada jalan Allah maka dia di atas jalan petunjuk!
Lawannya adalah orang yang ajak kepada syirik & kesesatan.
Islam ini jelas, hati-hati-jangan sampai kita terjebak ke dalam perbuatan syirik!
- Ayat 168- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta berlaku zalim, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak akan menunjukkan jalan kepada mereka:}-
Allah tegaskan bahawa Allah tidak akan beri keampunan kepada orang kafir yang zalim dan tidak akan beri jalan petunjuk kepada mereka!
Keampunan hanya kepada orang yang beriman.
Oleh kerana dia kekal dalam kekufuran maka balasanya pun kekal di dalam neraka Jahannam selama-lamanya!
Maka oleh kerana mereka kekal maka tempat dia neraka pun kekal juga selamanya.
Ayat ini menjadi dalil bahawa syurga kekal & neraka kekal! Wallahu a’lam.
- Ayat 170- {maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu.}-
Kita kena beriman dengan kebenaran yang dibawa oleh orang.
Siapakah pembawa itu?
Dalam ayat ini Allah nyatakan rasul yang membawanya.
Maka kita wajib terus beriman kerana rasul itu pasti membawa kebenaran yang disaksikan dan diakui Allah SWT!
Kerana semua yang rasul adalah benar, kecuali hadis-hadis dhaif atau palsu yang disandarkan kepada Baginda SAW, kena tapis & kaji dulu.
Tetapi jika orang lain bukan rasul yang telah diakui oleh Allah SWT, kita kena lihat kepada ajaran atau amalan yang dibawanya, bukan lihat kepada siapa pembawanya, lihat kepada isi kandungan ajaran- bukan kepada bekas yakni body pembawa.
Kata ulama’ : Kamu kena lihat kepada ucapan atau apa yang diucapkan bukan kepada siapa pengucapnya!
Terlalu kagum dengan seseorang. Jika syeikh tu kata, maka semua betul.
Jangan menunjukkan ketaksuban dengan mengatakan segala yang guru atau syeikh kita ucapkan itu betul belaka!
Ini kerana boleh membawa kepada ghuluw, kerana itu Nabi SAW larang puji depan-depan!
Kena hati-hati jangan memuji depan-depan kerana boleh mengundang:
i- Boleh menimbulkan ketaksuban & sikap fanatik.
ii- Boleh merosakkan hatinya- menimbulkan riya’ dalam diri orang yang dipuji!
Syaitan dia boleh masuk melalui semua lorong untuk meletakkan perangkapnya!
Jadi kesimpulannya ayat ini; wajib kita beriman dengan Rasulullah SAW, dengan semua riwayat yang sahih.
Manakala untuk manusia lain; Kita hanya boleh terima jika ianya bertepatan dengan Sunnah, jika menyalahi jangan sesekali- walaupun ia datang dari orang yang kita puja & kagumi!
Masyhur di kalangan imam-iman yang besar, apabila hadis itu sahih maka itulah peganganku!
Jadi kenapa kita nak yang cari yang selainnya, yang pelik-pelik!
- Ayat 170- {Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad SAW) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu..}-
Dalam ayat ini Allah seru semua manusia sedangkan ayat ini masih di dalam isu perbincangan tentang ahli kitab.
Tiba-tiba Allah tukar panggil semua manusia, kenapa?
Ini kerana apabila hujjah telah ditegakkan bahawa Rasulullah SAW itu benar, maka semua manusia tidak kira sama ada kamu ahli kitab yahudi ke, Kristian ke, nasrani ke; semuanya WAJIB beriman kepada Rasulullah SAW iaitu kena menerima al-Quran & tidak boleh lagi pakai kitab lain!
Ayat ini menunjukkan umumnya risalah Rasulullah SAW, iaitu tidak bertempat & tiada sempadan masa!
Bukan seperti para rasul lain yang diutuskan kepada umatnya saja, di tempatnya saja!
Manakala dakwah Nabi Muhammad SAW kepada semua manusia. Timur barat-utara selatan, orang putih orang hitam & sepanjang zaman sehingga tiba hari Kiamat.
Apa yang dibawa oleh Nabi SAW adalah benar (الحق).
Cuma pastikan hadis itu sahih, jika hadis palsu jangan dinisbahkan kepada Nabi SAW.
Tetapi ingat bukan semua yang dinisbahkan kepada Nabi SAW adalah benar!
Ia ada SOP & garis panduannya, jika hadis itu palsu, jangan nisbahkan kepada Nabi SAW walaupun ia ada dalam kitab-kitab dahulu, walaupun kitab jawi atau kitab rumi, kitab Arab atau kitab Melayu!
Jika ulama’ kata : Hadis itu palsu, maudhu’ jangan nisbahkan kepada Nabi SAW. Hatta hadis dhaif yang terlalu berat juga tidak boleh!
Perbahasan ini panjang tetapi kita tak nak panjangkan kerana kita tidak mahu berbalah.
- Ayat 170- {Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad SAW) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu,}-
Allah tegaskan bahawa rasul itu datang dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu {بِٱلْحَقِّ مِن رَّبِّكُمْ}.
Ayat ini mengisbatkan Ketuanan (الربوبية) Allah Azza wa Jalla. Allah kata dia itu Tuhan & Tuan semuanya; Pemilik kepada semua alam ini, Tuhan kepada Musa & Harun.
Ini semua menunjukkan ketuanan Allah SWT ke atas makhluk-Nya, tiada siapa yang boleh cabar & nafi.
Maka utusan rasul itu duduk di bawah Ketuanan Allah Azza wa Jalla.
Kerana itu Allah kata di akhir ayat: jika kamu kafir juga Allah tidak ada apa-apa kerugian, langit & bumi milik Aku.
Tetapi kamu yang rugi kerana tidak beriman!
Manakala orang yang beriman insya’ Allah, mereka tidak akan kerugian dunia & Akhirat.
Wallahu A’lam.