View Categories

Surah An-Nisa’ : Ayat 3-4

KEWAJIPAN BERLAKU ADIL, KEHARUSAN BERPOLIGAMI & WAJIB BERI MAHAR KEPADA ISTERI.

Full video : https://youtu.be/059V_qaWNt8?si=hzoOxPAgTkxhX6EM

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 3 sehingga 4 bagi Surah An-Nisa’ dalam juzu’ keempat.
  1. Perbincangan kita dalam siri ini Allah nyatakan tentang kewajipan berlaku adil dalam semua perkara. 
    Kerana tajuk kita ada kaitan dengan wanita & anak yatim, maka hari ini keadilan kepada anak yatim ditekankan sekali lagi.
  1. Sebagai penyelesaian & solusi bagi lelaki yang ada kemampuan, diberi keharusan berpoligami, berkahwin sehingga empat orang isteri. 
    Jika zaman ada jihad dulu- hamba perempuan yang dimiliki juga boleh mereka gauli seperti isteri.
  1. Kemudian dinyatakan kewajipan seorang suami untuk beri mahar kepada isteri. 
    Inilah tanda hadiah kenangan & cinta yang diperuntukkan Allah SWT bagi setiap perkahwinan.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 3- {DAN JIKA KAMU TAKUT TIDAK BERLAKU ADIL TERHADAP PEREMPUAN-PEREMPUAN YATIM (APABILA KAMU BERKAHWIN DENGAN MEREKA), MAKA BERKAHWINLAH DENGAN SESIAPA YANG KAMU BERKENAN DARI PEREMPUAN-PEREMPUAN (LAIN): DUA, TIGA ATAU EMPAT. KEMUDIAN JIKA KAMU BIMBANG TIDAK AKAN BERLAKU ADIL (DI ANTARA ISTERI-ISTERI KAMU) MAKA (BERKAHWINLAH DENGAN) SEORANG SAHAJA, ATAU (PAKAILAH) HAMBA-HAMBA PEREMPUAN YANG KAMU MILIKI. YANG DEMIKIAN ITU ADALAH LEBIH DEKAT (UNTUK MENCEGAH) SUPAYA KAMU TIDAK MELAKUKAN KEZALIMAN.} (AN-NISA’ 4:3)

  1. Anak yatim mempunyai imuniti yang besar dalam Islam. Ini kerana orang lain ada ibu bapa dan keluarga untuk membela mereka jika dianiayai, tetapi anak yatim Allah sendiri yang jaga, mengingati & berpesan tentang hak mereka agar tidak dizalimi oleh orang yang memegang amanah. 
    Inilah keindahan Islam yang telah lama mengangkat & menjaga kepentingan golongan yang lemah seperti wanita & kanak-kanak. Al-Quran secara jelas & tuntas membawa hukum ini.
  1. Allah turunkan ayat ini berpesan bagi lelaki yang mengahwini anak yatim agar berlaku adil kepada mereka jika melakukan poligami.  
    Ayat ini memberitahu kita, kalau bimbang tidak boleh berlaku adil terhadap anak yatim itu, janganlah kahwini mereka, apatah lagi mempoligami mereka! 
  1. Sebab nuzul ayat ini {Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil..}:
    i- Hadis riwayat UM Aisyah RA :Lelaki kahwini anak yatim yang ada kebun: 
    Dulu di Madinah ada seorang lelakiyl yang menjaga anak yatim. Antara seorang anak perempuan yatim yang memiliki banyak harta warisan seperti kebun tamar dan kebetulan halal dinikahinya (bukan mahramnya). Lelaki ini lalu menikahi si yatim dengan niat untuk mengawal hartanya, padahal lelaki itu sama sekali tidak tertarik dengan si anak yatim itu kalau bukan kerana harta warisan yang dimilikinya. Selepas berkahwin, anak yatim itu diperlakukan dengan tidak baik. Lelaki tadi hanya ingin menunggunya mati dan mendapat harta warisannya. Maka Allah SWT mencela orang-orang yang berbuat demikian dan menurunkan ayat di atas. [HR Bukhari & Muslim].

    ii- Hadis kedua riwayat UM Aisyah RA juga:
    Bahawa ada seorang perempuan yatim yang dijaga seorang lelaki sebagai wali dan pewarisnya juga. Anak yatim ini mempunyai harta & tiada orang lain yang dapat membelannya jika penjaganya itu mengahwininya kerana inginkan hartanya! Mungkin dia akan menzalimi & tidak melayannya dengan baik kerana dia tahu tidak akan ada orang lain yang akan membela si yatim kerana dia sendirilah penjaganya. Maka, turunlah ayat yang melarang umat Islam menikahi anak-anak yatim, kecuali boleh berlaku adil dalam memberikan mahar dan perlakuan yang seharusnya. Larangan ini disertai dengan anjuran menikahi perempuan lain yang lebih layak & sekufu dengan mereka; antara dua, tiga, dan empat. [HR Bukhari & Muslim].

    Sebelum turunnya ayat ini, orang Arab di kala itu tidak memiliki batas jumlah tertentu untuk berkahwin. Dalam satu waktu, seorang lelaki boleh saja memiliki sembilan hingga sepuluh isteri.
  1. Ayat ini membawa hukum harus berpoligami iaitu mengahwini perempuan lebih daripada seorang sehinggalah maksima 4 orang. 
    Inilah jumlah maksima yang disepakati oleh ulama’ tafsir. Iaitu ayat ini jelas sebut: {dua, tiga atau empat.}.
    Tetapi ada manusia yang pening kepala & karut mencampurnya (dua, tiga dan empat.) menjadikan jumlah 9. 
    Ini adalah ajaran sesat!
  1. Dalil dari hadis Nabi SAW:
    Ghailan Salamah ketika sebelum memeluk Islam mempunyai 10 isteri. Kemudian dia memeluk Islam & kesemua isteri ikut masuk Islam. Bagaimanapun, selepas dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa lelaki Islam hanya dibenarkan memiliki empat isteri, maka dia memilih empat yang terbaik baginya dan menceraikan yang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pilih daripada kalangan empat orang saja.” [HR Ahmad, Ibnu Majah dan at-Tirmizi].
  1. Kata ulama’ tafsir : Perbuatan ini adalah kerana kejahilan tentang bahasa Arab, kejahilan tentang Sunnah dan menyalahi ijma’ ulama’ Islam.
    Yakni seorang lelaki yang mempunyai lebih daripada empat orang isteri maka pernikahannya dengan isteri kelima dianggap batil & haram. 
  1. Hanya Rasulullah SAW saja dibenarkan untuk mempunyai lebih daripada empat orang isteri, bahkan pernah dalam satu masa Rasulullah SAW mempunyai 9 orang isteri.
    Jumlah kesemua isteri Baginda SAW ialah 11 orang.
    Ini adalah khususiyyah (keistimewaan khas) untuk Baginda SAW kerana keperluan dakwahnya semasa hidup dan keperluan umat Islam
    kepada ilmu & pengalaman mereka selepas kewafatan Rasulullah SAW.
  1. Untuk lebih memahami isu poligami ini dan kelebihannya dalam Islam, boleh baca buku ini:
    KEINDAHAN ISLAM https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
  1. Allah SWT berpesan lagi jika kamu takut & bimbang tidak dapat berlaku adil- sama ada kerana kelemahan diri atau tidak ada kemampuan dari sudut kewangan dan lain-lain; maka kahwinilah seorang saja wanita! 
    Inilah yang asasnya, poligami hanya keharusan & jika ada keperluan.
  1. Menurut Syeikh Ibnu Asyur RHM Allah SWT mengharuskan poligami dalam Islam, kerana beberapa hikmahnya:
    i- Poligami adalah salah satu cara untuk meramaikan umat nabi Muhammad SAW.

    ii- Bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki. Ini adalah satu fakta yang telah terbukti, lihat saja dalam kelas-kelas sama ada di sekolah rendah, menengah hatta universiti- perempuan yang ramainya!
    Jika zaman dulu kerana ramai lelaki yang mati dalam peperangan. 
    Juga ada kajian yang mengatakan wanita lebih panjang usianya daripada lelaki.

    iii- Syari’ah Islam telah melarang zina & lorongnya sempit. Kerana naluri lelaki itu sukakan wanita maka Allah buka pintu yang halal bagi yang nafsunya tidak cukup dengan seorang wanita dengan mengharuskan poligami.

    iv- Untuk menutup ruang sebab perceraian. Yakni jika ada keperluan kepada isteri lain, tidak perlu ceraikan isteri yang sedia ada, yang tiada sebab untuk diceraikan. Seperti isteri pertama mandul untuk nak anak, isteri sakit dan lain-lain sebab keperluan.
  1. Allah tutup ayat ini menegaskan jika kamu tidak yakin dapat berlaku adil; maka kahwinilah seorang perempuan saja atau jika zaman dulu memadai dengan hamba yang kamu miliki! Ini adalah lebih baik dan lebih dekat untuk mencegah kezaliman!
  1. FAKTA : Terdapat beberapa hadis palsu yang masyhur dibaca dalam teks khutbah nikah, mohon semak dan baikinya!

AYAT 4- {DAN BERIKANLAH KEPADA PEREMPUAN-PEREMPUAN ITU MASKAHWIN-MASKAHWIN MEREKA SEBAGAI PEMBERIAN YANG WAJIB. KEMUDIAN JIKA MEREKA DENGAN SUKA HATINYA MEMBERIKAN KEPADA KAMU SEBAHAGIAN DARI MASKAHWINNYA MAKA MAKANLAH (GUNAKANLAH) PEMBERIAN (YANG HALAL) ITU SEBAGAI NIKMAT YANG LAZAT, LAGI BAIK KESUDAHANNYA.} (AN-NISA’ 4:4)

  1. Islam juga mewajibkan ke atas suami untuk memberi mahar atau maskahwin kepada perempuan yang mahu dikahwini!
    Suami tidak berhak untuk mengambilnya kecuali si isteri dengan sukarela memberikannya bukan dipaksa, dipujuk atau apatah lagi discam!
  1. Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
    i- Pada zaman jahiliyah dulu ada dua golongan yang lemah iaitu, wanita & anak yatim. 
    Orang ramai ambil kesempatan ke atas mereka, rampas harta mereka tanpa hak, ada yang kahwini mereka kerana nak ambil harta, kemudian tidak melayan mereka dengan baik!

    ii- Maka datanglah ayat al-Quran ini membatalkan amalan jahiliyah yang zalim itu dengan mewajibkan maskahwin kepada wanita yang ingin dikahwini. Ini untuk menjaga kebajikan mereka. 
  1. Hadis- 4 sebab wanita dikahwini: 
    Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu pilih kerana agama, itulah pilihan terbaik dan kamu beruntung.” (HR Bukhari & Muslim)
  1. Maskahwin termahal atas dunia ini adalah dalam perkahwinan antara dua orang sahabat Nabi SAW yang hebat; iaitu Ummu Sulaim RA & Abu Talhah RA iaitu keislaman Abu Talhah.
    Ummu Sulaim ini adalah ibu kepada sahabat yang masyhur pula- iaitu Anas bin Malik RA, hasil dari perkahwinannya sebelum itu.
  1. Tamatlah ayat tentang keharusan poligami dalam Islam & wajib beri maskahwin kepada wanita yang dikahwini, beri haknya, hartanya jangan diambil & berlaku adil kepada mereka terutamanya jika wanita itu anak yatim pula!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 3- {Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka),}-

    Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil jangan lakukannya! 
    Tentang dapat berlaku adil atau tidak- hanya tuan badan itu sendiri tahu kemampuannya!
    Contoh : Orang yang terlalu takutkan isteri dan dia tahu dia pasti tidak akan berani menunaikan tanggungjawabnya kepada isteri lain dengan adil, sama ada untuk buat giliran atau dari segi nafkah; maka tidak harus baginya berpoligami.
    Ayat ini mengajar bahawa setiap orang mesti ambil langkah berjaga-jaga jika takut berlaku perkara yang haram atau jatuh ke dalamnya. 
    Allah nyatakan kepada kita bahawa setiap perkara kita kena buat kajian & analisa dulu sebelum lakukannya.
    Ayat ini adalah keadilan kepada semua pihak- inilah prinsip & ajaran Islam yang amat indah & adil!
  1. Ayat 3- {Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka),..}-

    Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil jangan lakukannya!
    Haram menggunakan apa saja cara yang boleh membawa kepada haram!
    Kita kena jauhi apa saja benda yang boleh membawa kepada haram; maka jika kamu rasa kamu tidak dapat berlaku adil maka jangan buat!

    Kata ulama’ usul-Fiqh: 
    i- Cara itu mengambil hukum objektif atau matlamat. الوسائل لها أحكام المقاصد
    Wasilah-wasilah (cara) itu mengambil hukum-hakam maqasid.
    Maksudnya: Suatu wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang diperintahkan maka ia juga dalam masa yang sama turut diperintahkan. 
    Manakala wasilah yang membawa kepada perkara-perkara yang dilarang, ia juga turut dilarang.

    ii- Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib” (ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب). 
    Contoh : Untuk membasuh muka dengan sempurna kita kena sapu juga sedikit ubun-ubun; maka ia menjadi wajib juga walaupun asalnya tidak wajib.

    iii- Jika sesuatu alat itu boleh membawa kepada benda haram; jika kita buat juga pasti kita akan terjebak dengan yang haram itu.
    Inilah usul al-ahkam dalam undang-undang Islam. 
  1. Ayat 3- {Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka),}-

    Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil jangan lakukannya!
    Wajib kita jaga keadilan & ketelusan tata-kelola ini dalam semua perkara, termasuk dalam pengurusan harta, pembahagian harta pusaka dan seumpamanya.
    Ramai ibu bapa yang menukar milik hartanya kepada anak-anak yang disayangi, ini boleh menimbulkan huru-hara dalam keluarga & adik beradik apabila ibu bapa mati- ini kerana ibu bapa tidak berlaku adil. 
    Bab faraidh sepatutnya ikutlah sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla yang Maha Adil & bijaksana.
    Begitu juga jika berpoligami- jagalah tanggungjawab & keadilan.
    Inilah masalahnya pandai beisteri ramai tetapi tidak pandai berlaku adil!
  1. Ayat 3- {atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki.- }-

    Jika diterjemahkan secara harfiyyah- أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ – hamba yang dimilik oleh tangan kanan kamu.
    Kenapa Allah sebut yang dimiliki oleh tangan kanan sedangkan ia milik tuan itu semuanya?  
    Kata ulama’ tadabbur: Kerana kanan lebih baik daripada kiri, kerana itu Allah kata milik tangan kanan, sedangkan jika Allah kata milik kamu sudah cukup.
    Tangan kanan biasanya digunakan untuk perkara yang baik-baik & kemuliaan seperti makan, minum, bersalam, terima & hulur barang kepada orang dan lain-lain kegunaan yang baik.
    Allah juga kata: Ayat 3- {Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.}

    Kata ulama’ tafsir : Amalan kita ini beringkat-peringkat- ada yang rendah, ada yang tinggi. 
    Untuk mencegah kezaliman- paling tidak pun kita jauhi & jangan buat perkara yang boleh menganiayai orang lain!
  1. Ayat 4- {Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.}-

    Kamu wajib berikan maskahwin kepada isteri yang dikahwini itu.
    Maksudnya maskahwin ini termasuklah mahar, hantaran dan apa saja nama panggilan atau istilahnya; iaitu wang atau harta dari pengantin lelaki kepada isterinya.
    Ini membawa hukum bahawa maskahwin itu adalah hak wanita. 
    Iaitu pengantin perempuan/isteri itu sendiri.
    Maka tidak harus bagi para wali mengambil harta dari maskahwin anak itu!  
    Kerana Allah kata maskahwin atau hantaran itu adalah hak wanita itu sendiri!
    Wajib diberikan kepadanya sepenuhnya- ia adalah hadiah yang diberi oleh suami kepada isterinya- bukan kepada bapa atau wali pengantin!
    Itu adalah harta miliknya.

    Jika ibu bapa nak buat kenduri besar-besaran kemudian nak minta bayar dari duit maskahwin anak- tidak sesekali!
    Begitu juga suami tiada hak lagi untuk minta baliknya.
    Maskahwin ini tiada hadnya, unlimited- bergantung kepada kemampuan si suami! 
    Tetapi yang eloknya kita lihat, tanya khabar uruf- adat setempat di kawasan itu supaya tidak menyusahkan orang lain di kawasan itu! 
    Para wali pun berpadalah jangan sampai dikata menjual anak dengan meminta maskahwin yang tinggi dan melampaui.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs