AHLI KITAB PUJI DIRI, BERIMAN KEPADA TAGHUT & HASAD KEPADA NABI SAW.
Full video : https://youtu.be/y-UQWXq4Mc8?si=kZzPwOXgibNFd2vl
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir ayat 49 sehingga 55 bagi Surah An-Nisa’.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang beberapa perangai buruk yahudi iaitu suka puji diri sendiri, berasa mereka yang terbaik dan bagus.
- Sedangkan dalam masa yang sama, walaupun mempunyai kitab & ilmu, mereka beriman kepada taghut & syaitan, ikut hawa nafsu menyembah selain Allah.
- Mereka juga hasad serta dengki kepada Rasulullah SAW yang dibangkitkan sebagai nabi & rasul kerana bukan berasal dari keturunan yahudi seperti mereka!
Kemudian Allah nyatakan balasan terhadap ahli Kitab yang jahat ini!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat 48 yang lepas Allah SWT beri amaran keras bahawa Dia tidak akan ampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya.
Lalu yahudi mendakwa mereka bukan kafir atau musyrik tetapi bahkan memuji diri mereka sendiri dengan mengaku:
a) Mengaku mereka adalah anak Tuhan yang disayangi Allah:
{Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya”.} (Al-Maaidah 5:18)
b) Mendakwa hanya disiksa sekejap saja:
{Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”} (Al-Baqarah 2:80)
c) Mengaku hanya mereka yang akan masuk syurga:
{Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.} (Al-Baqarah 2:111)
Serta pelbagai lagi dakwaan pelik dalam memuji diri mereka sendiri.
ii- Lalu dalam ayat ini Allah SWT menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa amat pelik sekali sifat yahudi yang suka memuji diri sendiri dan ini adalah kekarutan yang dibuat oleh orang yahudi.
Hanya Allah yang dapat memberi pembersihan jiwa kepada manusia serta semua urusan ini kembali kepada Allah yang tahu semua yang zahir & yang tersembunyi!
Ya Allah jadikan kami dari golongan hamba-Mu yang bertaqwa, bersyukur serta sabar & redha atas segala ketentuan-Mu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 49- {TIDAKKAH ENGKAU PERHATIKAN (DAN MERASA PELIK WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG YANG MEMBERSIHKAN (MEMUJI) DIRI SENDIRI? (PADAHAL PERKARA ITU BUKAN HAK MANUSIA) BAHKAN ALLAH JUALAH YANG BERHAK MEMBERSIHKAN (MEMUJI) SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN SYARIATNYA); DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DIANIAYA (ATAU DIKURANGKAN BALASAN MEREKA) SEDIKITPUN.} (AN-NISA’ 4:49)
- Allah SWT bertanya kepada Nabi SAW tidakkah Baginda berasa pelik melihat sikap sebahagian manusia yang suka memuji dirinya sendiri seperti kaum yahudi itu.
- Sedangkan perbuatan membersihkan & memuji diri sendiri itu bukan hak manusia tetapi hanya Allah sajalah yang berhak membersihkan diri atau memuji sesiapa dari kalangan manusia yang dikehendaki-Nya.
Kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang terkandung dalam hati manusia sama ada secara zahir atau batin!
- Maka Allah SWT larang kita orang beriman daripada ikut perangi yahudi yang suka puji diri sendiri ini dengan firman-Nya:
{Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.} (An-Najm 53:32)
- Di akhir ayat Allah menegaskan bahawa setiap manusia itu tidak akan dianiayai sedikitpun!
Yakni Allah beri jaminan bahawa setiap manusia yang buat kebaikan walaupun kecil atau sedikit tetap akan dihitung dihisab!
Begitu juga dengan yang buat kejahatan!
- Sebagaimana kata Sayyidah Aisyah RA : Kiraan amalan kebaikan atau kejahatan kita itu dikira/ditimbang bermula dengan zarrah (atom) bukan dengan kilo atau kati!
AYAT 50- {LIHATLAH (WAHAI MUHAMMAD) BETAPA BERANINYA MEREKA MENGADA-ADAKAN PERKARA-PERKARA DUSTA TERHADAP ALLAH? DAN CUKUPLAH PERBUATAN ITU MENJADI DOSA YANG TERANG NYATA.} (AN-NISA’ 4:50)
- Mereka golongan yang suka memuji diri sendiri ini juga berani berbuat bohong dan dusta atas nama Allah!
Seperti mengatakan Tuhan sayang kepada mereka, mereka anak Tuhan yang akan masuk syurga dan sebagainya!
- Perkataan atau dakwaan mereka itu adalah pendustaan & pembohongan jelas terhadap Allah & rasul-Nya, semata-mata untuk menunjukkan mereka hebat & benar.
Perbuatan mereka itu akan menjadi satu dosa yang amat nyata!
Maka azabpun akan menjadi satu kenyataan ke atas mereka kelak!
- Jelas perbuatan memuji diri sendiri ini adalah satu perbuatan yang buruk.
Kebetulan yang baik, dalam kuliah maghrib semalam (kitab Thimar al-Jannah) adalah tentang cara memuji orang, adab & caranya serta apa yang boleh & tidak boleh. https://youtu.be/TJ2lCoqYDQ8?si=WFZNFlQ8LJRrVTGP
AYAT 51- {TIDAKKAH ENGKAU PERHATIKAN (DAN MERASA PELIK WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN SEBAHAGIAN DARI KITAB (TAURAT)? MEREKA PERCAYA KEPADA BENDA-BENDA YANG DISEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH, DAN KEPADA TAGHUT, DAN MEREKA PULA BERKATA KEPADA ORANG-ORANG KAFIR (KAUM MUSYRIK DI MAKKAH) BAHAWA MEREKA (KAUM MUSYRIK ITU) LEBIH BETUL JALAN AGAMANYA DARIPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN (KEPADA NABI MUHAMMAD SAW).} (AN-NISA’ 4:51)
- Kemudian Allah nyatakan lagi kepada Rasulullah SAW perbuatan buruk orang yahudi yang ada kitab, yang diturunkan kepada mereka sebelum ini tetapi mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah (بِٱلْجِبْتِ), dan kepada Taghut (وَٱلطَّـٰغُوتِ).
Taghut ini menurut ulama’ banyak maknanya; syaitan & orang yang membenarkan dirinya disembah, orang yang mengubah hukum Allah, tukang sihir, nujum & anak orang Islam yang tidak mahu & menolak hukum al-Quran dan seumpamanya.
- Mereka juga berkata kepada orang-orang kafir iaitu kaum musyrik di Makkah bahawa mereka kaum musyrik itu lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang Islam yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW!
Amat ajaib sekali mereka ada kitab tapi percaya kepada taghut!
Mereka ada kitab tetapi tidak beriman kepada Nabi SAW bahkan memuji agama kaum Quraisy yang musyrik!
Walaupun Allah sebut sifat buruk dalam ayat ini khas kepada yahudi, kita orang beriman juga sama!
Kita orang beriman yang ada al-Quran jangan buat perkara yang sama, tetap percaya kepada bomoh & tukang tilik nasib, masih gosok batu-batu nisan & batu keramat, memohon hajat minta pertolongan di kubur para wali- wal-‘iyazu billah.
- Sabab nuzul ayat ini: Riwayat dari Ibnu Abbas RA bahawa Ka’ab bin Asyraf telah didatangi oleh kaum Quraisy yang memujinya:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: لمَاَّ قَدِمَ كَعْبُ بْنُ الْأَشْرَفِ مَكَّةَ قَالَتْ لَهُ قُرَيْشٌ: أَنْتَ خَيْرُ أَهْلِ الْمَدِيْنَةِ وَسَيِّدُهُمْ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالُوْا: أَلَا تَرَى إِلَى هَذَا الْمُنْبَتِرِ مِنْ قَوْمِهِ يَزْعَمُ أَنَّهُ خَيْرٌ مِنَّا وَنَحْنُ أَهْلُ الْحَجِيْجِ وَأَهْلُ السِّدَانَةِ. قَالَ: أَنْتُمْ خَيْرٌ مِنْهُ. فَنَزَلَتْ: (إنّ شانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ) وَنَزَلَتْ: (ألَمْ تَرَ إلى الّذِينَ أُوتُوا نَصِيْبًا مِنَ الكِتابِ يُؤْمِنُونَ بالجبْتِ والطّاغُوتِ … إلى قوله: فَلَنْ تَجِدَ لَهُ نَصِيْرًا).
Maksudnya: Dari Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa ketika Ka’b ibnul Asyraf tiba di Makkah, maka orang-orang Quraisy berkata: “Bagaimanakah menurutmu si miskin yang diasingkan oleh kaumnya ini? Dia menduga bahawa dirinya lebih baik daripada kami, padahal kami adalah ahli jamaah haji dan ahli yang mengurus Ka’bah serta ahli siqayah.” Ka’b ibnul Asyraf menjawab: “Kalian lebih baik.” Maka turunlah firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus.” (Al-Kauthar: 3).
Juga turun ayat al-Quran yang kita baca ini tentang musyrikin Quraisy & yahudi yang saling puji memuji! Ka’ab bin Asyraf ini adalah seorang yahudi yang jahat di Madinah, yang dibenarkan bunuh oleh Rasulullah SAW, kisahnya boleh dibaca dalam buku:
Madinah Munawwarah https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
AYAT 52- {(KAUM YAHUDI YANG DEMIKIAN SIKAPNYA) MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DILAKNAT OLEH ALLAH; DAN SESIAPA YANG DILAKNAT OLEH ALLAH, MAKA ENGKAU TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENDAPATI SESIAPA PUN YANG BOLEH MENOLONGNYA.} (AN-NISA’ 4:52)
- Allah sifatkan mereka ini. Iaitu kaum yahudi yang ada kitab itu tetapi masih tidak beriman dan percaya kepada taghut, serta orang yang syirik kepada Allah; sebagai orang yang dilaknat Allah SWT.
- Orang yang dilaknati Allah adalah mereka yang jauh dari daripada rahmat Allah Azza wa Jalla dan tiada siapa lagi yang dapat memberi pertolongan kepada mereka.
Maka kita orang yang beriman berhati-hatilah!
- Maka kita orang Islam berhati-hatilah jangan sampai terperangkap dengan amalan, perbuatan & perkataan apa saja yang dilaknat Allah.
Perkara yang dilaknat Allah itu adalah dosa besar seperti riba, zina, rasuah dan lain-lain.
AYAT 53- {PATUTKAH ADA BAGI MEREKA (KAUM YAHUDI ITU) SESUATU BAHAGIAN DARI KEKUASAAN MEMERINTAH? (TIDAK, BAHKAN KALAU ADA) MAKA SUDAH TENTU MEREKA TIDAK AKAN MEMBERIKAN SEDIKITPUN KEBAIKAN KEPADA MANUSIA.} (AN-NISA’ 4:53)
- Allah dedahkan lagi yahudi ini sifat buruk mereka juga:
i- Sebati dengan perasaan hasad dengki.
ii- Bakhil kedekut.
- Jadi kamu tidak akan mendapat kebaikan dari mereka:
i- Mereka tidak dapat memberikan kebaikan sedikitpun kepada manusia atau masyarakatnya walaupun mereka kaya raya & berkuasa kerana kebakhilannya, maka sesekali tidak patut memegang tampuk kekuasaan.
ii- Apatah lagi apabila mereka dalam keadaan papa-kedana & hina-dina.
- Begitulah manusia, sebelum berkuasa segala janji ditaburi tetapi apabila dapat kuasa berubah, segala janji ke laut, segala pendapat hilang kerana nak jaga kedudukan & pendapatan!
AYAT 54- {ATAU PATUTKAH MEREKA DENGKI KEPADA MANUSIA (NABI MUHAMMAD DAN UMATNYA) DISEBABKAN NIKMAT (PANGKAT NABI DAN AGAMA ISLAM) YANG TELAH DIBERIKAN OLEH ALLAH KEPADA MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA? KERANA SESUNGGUHNYA KAMI TELAHPUN MEMBERI KEPADA KELUARGA IBRAHIM: KITAB (AGAMA) DAN HIKMAT (PANGKAT NABI), DAN KAMI TELAH MEMBERI KEPADA MEREKA KERAJAAN YANG BESAR.} (AN-NISA’ 4:54)
- Sifat buruk ahli kitab yang ketiga ialah hasad dengki kepada manusia iaitu nabi Muhammad SAW. kerana Allah SWT telah melantik Baginda sebagai Nabi akhir zaman dari kalangan Arab Quraisy bukan dari kalangan bani Israil.
- Mereka menolak dakwah Rasulullah SAW bukan kerana ilmu tetapi hasad dengki.
Mereka dengki kepada Nabi & umatnya disebabkan nikmat Islam & pangkat kenabian yang besar, Al-Quran dan kemenangan kepadanya.
- Juga kerana sesungguhnya Allah telah berikan kepada Ibrahim dan keluarganya Kitab agama dan hikmat, pangkat Nabi, dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.
- Dalam beragama kita umat Nabi Muhammad amat sinonim dengan Nabi Ibrahim AS.
Nabi Muhammad SAW adalah dari keturunan & anak beranak Nabi Ibrahim AS.dan amat berkait rapat.
Buktinya dalam selawat Ibrahimiah- ucapan selawat kepada kedua nabi yang berkait rapat ini.
- Maknanya kamu yahudi tak perlu dengki kepada Nabi Muhammad SAW, kerana Allah telah menjadikan ramai kenabian dari kalangan keturunan Israil (Ya’qub AS.) yang juga merupakan anak kepada Ishak, anak kepada nabi Ibrahim AS.
Dia turunkan kepada mereka kitab-kitab, kenabian dan kerajaan juga seperti Daud & Sulaiman AS.
- Maka jika kamu mengaku ketrurunan Nabi Ibrahim & ikut agamanya; maka terima & ikutlah Nabi Muhammad SAW!
AYAT 55- {MAKA DI ANTARA MEREKA (KAUM YAHUDI YANG DENGKI ITU) ADA YANG BERIMAN KEPADA (APA YANG TELAH DI KURNIAKAN OLEH ALLAH KEPADA KELUARGA NABI IBRAHIM) ITU, DAN ADA PULA DI ANTARA MEREKA YANG BERPALING DARIPADANYA (TIDAK BERIMAN). DAN CUKUPLAH DENGAN NERAKA JAHANAM YANG SENTIASA MENYALA-NYALA ITU (MENJADI TEMPAT SEKSA MEREKA).} (AN-NISA’ 4:55)
- Di antara mereka kaum yahudi itu ada yang beriman, yang ikhlas, beriman kepada anugerah dan nikmat yang diberi kepada keluarga Nabi Ibrahim & nabi Muhammad SAW.
Lalu mereka mendapat kebahagiaan dan keuntungan di dunia dan di akhirat.
- Tetapi yang ramainya dari kalangan yahudi yang berpaling dan ingkar lalu kafir. Jika dibandingkan dengan Nasrani, lebih ramai ahli kitab dari kalangan nasrani yang beriman.
Cuma pada zaman hari ini kita nampak kejahatan kedua-duanya, mereka kufur dan juga berusaha menghalangi manusia dari beriman.
- Orang Islam yang dengki sesama Islam juga ramai!
Kita berdoa semoga Allah selamatkan kita daripada sifat yang buruk ini agar kita selamat di dunia & Akhirat.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 49- {Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri?}-
Kata ulama’ tadabbur : Dalam ayat ini Allah melarang keras akan sifat memuji diri sendiri kerana riak dan takabur.
Kerana ayat (أَلَمْ تَرَ) – tidakkah kamu tengok- adalah satu pertanyaan untuk mengingkari (استفهام انکاری)- apabila kamu sudah perhati; maka jangan buat begitu!
Sebagaimana firman Allah SWT:
{Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.} (An-Najm 53:32)
Kita kadang-kadang apabila buat sesuatu sambil kata ikhlas sedangkan hati penuh riya’! Jangan begitu kerana Allah SWT mengetahui segalanya!
Manakala jika kita puji orang lain dengan kebenaran, tidak mengapa.
Begitu juga jika orang puji kita dengan sebab perbuatan kita yang benar kita buat, bukan kerana nak bodek atau nak pong (kipas) tidak mengapa juga dengannya!
i- Adab nak puji orang lain kita kena pastikan dia memang layak dipuji dan dia tidak akan riya’ dengan pujian itu!
Beberapa doa apabila menerima pujian, diriwayatkan: اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُون
“Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui”.
اللهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ بِي مِنْ نَفْسِي، وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِي مِنَ النَّاسِ، اللهُمَّ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui keadaan diriku lebih dari aku sendiri, dan aku lebih mengetahui keadaan diriku berbanding orang lain. Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang mereka ucapkan, ampunilah aku atas kekurangan yang tidak mereka ketahui. Dan jadikan aku lebih baik dari pada penilaian yang mereka berikan untukku.”
وَاجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّونَ
Maksudnya: Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan.
Boleh rujuk kitab Perisai Muslim & ada juga PDF nya: https://dartaibah.com/…/Perisai-Muslim-RUMI-Cetakan…
- Ayat 49- {Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri?}-
Sebab Allah larang dari memuji orang lain kerana hanya Allah SWT yang benar-benar mengetahui tentang seseorang hamba-Nya.
i- Hanya Allah saja yang tahu apa yang ada dalam hati mereka, apa yang tersembunyi & yang nyata, yang zahir & yang batin.
ii- Maka jika kita nak puji orang mestilah dengan perkara yang benar & betul dia buat, jangan puji orang lebih daripada apa yang kita tahu. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahuinya!
iii- Kita tak perlu puji diri kita sendiri tetapi tunjukkanlah dengan amalan yang baik & akhlak yang mulia, maka dengan sendirinya Allah akan angkat darjat kita & orang akan melihat kebaikan itu lalu memujinya!
iv- Sepakat ahli fikir dalam dunia ini untuk mencela orang yang memuji dirinya sendiri dengan kata-katanya sendiri kerana terlalu taksub & bangga dengan diri sendiri.
Tetapi jika kita ikhlas & buat amalan terbaik tetapi orang puji juga, maka kita adalah khabar gembira yang amalan kita qabul segera yang Allah hantar.
Boleh puji orang yang beramal soleh dan banyak buat kebaikan, tetapi Allah tetap melarang puji dan puja dengan berlebihan kerana dibimbangi membawa kepada taksub/fanatik.
- Ayat 50- {Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah?}-
Kamu tengoklah betapa tak malunya mereka berdusta atas nama Allah & mereka-reka mencipta sesuatu kemudian sandarkannya kepada Allah & Rasulullah SAW!
Jika dusta sesama manusiapun haram tapi lain sikit.
Contoh: Jika kamu nak dakwa bahawa amalan yang kamu buat & ajar itu adalah Sunnah dari Rasulullah SAW; maka bawakanlah dalil & buktinya!
Kita nak terima & beramal dengan Sunnah yang jelas dan sahih bukan dengan hadis paslu atau rekaan dari mimpi-mimpi orang tertentu!
Ayat ini juga menunjukkan betapa besarnya dosa berdusta atas nama Allah & berdusta atas nama Rasulullah SAW!
Cintakan Nabi adalah dengan menjaga & menyebarkan amalan Sunnah yang ditinggalkan Baginda SAW!
- Ayat 51- {Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut..}-
Allah tempelak dan cela golongan yahudi yang ada kitab, ada ilmu tetapi masih percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut.
Orang yang ada ilmu & kitab tetapi langgar disiplin ilmunya, percaya kepada taghut- perkara ghaib dan seumamamnya!
Inilah perkara yang pincang- ada ilmu tetapi tidak ikut ilmu!
Sesiapa yang tahu ada ilmu & tahu sesuatu kebenaran; tetapi sanggup ketepikan kebenaran & ilmu yang ada semata-mata kerana takut kepada pemerintah atau masyarakat, nak jaga kedudukan & pangkat- maka tunggulah saat kebinasaan di sisi Allah SWT kelak!
Allah nyatakan betapa buruknya perangai yahudi di sini dan sesiapa yang berperangai sedemikian.
Jangan sampai kamu menyesal & menangis apabila agama ini dijaga & diurus oleh orang yang bukan ahlinya!
Urusan agama serahlah kepada ahlinya.
- Ayat 54- {Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya?}-
Patutkah kamu dengki kepada sesama manusia dengan apa kurnia atau nikmat yang Allah berikan kepada mereka?
Punca kerosakan manusia atas dunia ini bermula dari zaman Nabi Adam AS ialah hasad dengki!
Punca binasanya iblis juga adalah datang daripada hasad- begitu juga binasanya ahli kitab kerana hasad; begitu juga punca kebinasaan kita umat Islam adalah kerana hasad juga!
Maka kita belahjarlah ilmu, perbetulkanlah niat kita & perjalanan hidup kita.
Jauhilah sifat hasad & dengki, berkawan dan berbaiklah sesama Islam.
Bukan menolak orang Islam tetapi mendakap orang bukan Islam yang sudah jelas niat & matlamat buruk mereka terhadap umat Islam.
Marilah kita berdoa: “اللهم إني أعوذ بك من الحور بعد الكور”
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh) setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).”
اللَّهُمَّ طَهِّرْ قَلْبِي مِنَ النِّفَاقِ ، وَعَمَلِي مِنَ الرِّيَاءِ ، وَلِسَانِي مِنَ الْكَذِبِ ، وَعَيْنِي مِنَ الْخِيَانَةِ ، فَإِنَّكَ تَعْلَمُ خَائِنَةَ الأَعْيُنِ وَمَا تُخْفِي الصُّدُورُ ”
“Ya Allah bersihkanlah hatiku dari nifaq, (bersihkanlah) amalku dari riya’, (bersihkanlah) lisanku dari dusta, (bersihkanlah) mataku dari pengkhianatan. Sesungguhnya Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan didalam dada.” Bersihkanlah juga hati kami daripada sifat hasad dendam & dengki!
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.