GALAKAN SUPAYA BERFIKIR TENTANG KEWUJUDAN ALLAH, MENGEMBARA MENGUTIP IBRAH DARI KEMUSNAHAN UMAT DAHULU & BALASAN DI AKHIRAT PENUH KEADILAN.
Full video : https://youtu.be/n0_PBKeC70g
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t. berfirman mengingatkan manusia agar berfiikir, merenung akan kejadian makhluk-makhluk-Nya, yang semuanya itu menunjukkan akan kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya dalam menciptakan semuanya itu.
- Juga supaya mengembara atas dunia ini untuk melihat kesan kebinasaan umat terdahulu, bagi mengambil iktibar dan pengajaran.
- Bahawa tidak ada Tuhan yang wajib disembah selain Dia, dan tidak ada Rabb kecuali hanya Allah.
- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menceritakan tentang kekalahan tentera Rom dan janji-Nya untuk kemenangan bagi orang yang beriman.
- Serta mengingatkan manusia agar ingat dan berfikir tentang akhirat juga bukan tentang dunia sahaja. Dengan itu kita akan bersedia dan menyediakan bekalan untuk menghadapinya.
- Maka dalam siri ini sekali lagi Allah s.w.t membawa dalil-dalil tentang ciptaan-Nya serta amaran bagi mereka yang tetap tidak berfikir akannya lalu terus ingkar dan kufur!
- Siri kita ini tertangguh sehari dek kerana gangguan intertet – betapa kita baru habis tadabbur surah al-Ankabut tentang kelemahan rumah labah-labah, begitulah jaringan ciptaan manusia ini, betapa canggihnya kita rasa teknologi kita, ia tidak dapat lari daripada kerosakan atau kemusnahan.
- Hanya kekuasaan Allah dan apa yang di-kehendaki-Nya sahaja akan selamat.
AYAT 8- {PATUTKAH MEREKA MERASA CUKUP DENGAN MENGETAHUI YANG DEMIKIAN SAHAJA, DAN TIDAK MEMIKIRKAN DALAM HATI MEREKA, (SUPAYA MEREKA DAPAT MENGETAHUI), BAHAWA ALLAH TIDAK MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA ITU MELAINKAN DENGAN ADA GUNANYA YANG SEBENAR, DAN DENGAN ADA MASA PENGHUJUNGNYA YANG TERTENTU, (JUGA UNTUK KEMBALI MENEMUI PENCIPTANYA)? DAN SEBENARNYA BANYAK DI ANTARA MANUSIA, ORANG-ORANG YANG SUNGGUH INGKAR AKAN PERTEMUAN DENGAN TUHANNYA.} (AR-RUUM 30:8)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menyoal manusia, apakah mereka merasa memadai sekadar tahu saja setelah Allah s.w.t menerangkan dengan jelas dalil dan bukti mengenai kejadian ciptaan Allah s.w.t ini, langit, bumi serta kejadian manusia itu sendiri.
- Lalu menyuruh manusia yang waras dan berakal itu berfikir dalam hati mereka akan segala ini lalu akan mengetahui dengan yakin, akan kekuasan Allah s.w.t Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemberi Nikmat.
- Info: {Apa yang ada di antara keduanya itu وَمَا بَيْنَهُمَا} – kita tidak pernah berfikir apa yang ada di antara kedua langit dan bumi ini? Ulama\’-ulama\’ tafsir pun tidak menyentuh sangat isu ini- wallahu a\’lam.
- Tetapi kerana Allah s.w.t menyebutnya maka kita cuba tadabbur dan kaji sikit. Berdasarkan maklumat yang Dr Abu Anas dapat dari mendengar pengalaman para pilot senior yang bersama mengerjakan Haji dulu.
Cerita tentang terbang di udara; antaranya:
i- lebuh-raya angin yang seolah berlorong atau terowong, ianya bertukar arah mengikut musimnya. Kapal terbang dapat manfaat darinya jika berbetulan arah.
ii- burung-burung yang berhijrah juga dapat dilihat bergerombongan menggunakan lorong/highway angin ini, masya\’ Allah.
iii- Awan yang pelik-pelik, berbagai bentuk dan size, dan lain-lain. - Semua ciptaan ini, langit dan bumi telah ditentukan tempoh kejadiannya. Juga waktu hayatnya yang tertentu iaitu hari Kiamat. Ketika itu bumi dan langit akan musnah dan diganti dengan yang baru.
- Namun begitu, malangnya ramai di kalangan manusia yang mengingkari akan kebangkitan semula selepas mati dan pertemuan dengan Allah s.w.t. Mereka kufur dengan adanya pembalasan di akhirat nanti, maka tidak bersedia untuknya.
- Maka rugilah mereka dunia dan di akhirat kelak mendapat azab siksa.
AYAT 9- {TIDAKKAH MEREKA TELAH BERJALAN DAN MENGEMBARA DI MUKA BUMI, SERTA MEMERHATIKAN BAGAIMANA KESUDAHAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA? ORANG-ORANG ITU LEBIH KUAT DARIPADA MEREKA SENDIRI, DAN ORANG-ORANG ITU TELAH MENEROKA BUMI SERTA MEMAKMURKANNYA LEBIH DARIPADA KEMAKMURAN YANG DILAKUKAN OLEH MEREKA, DAN ORANG-ORANG ITU JUGA TELAH DIDATANGI OLEH RASUL-RASULNYA DENGAN MEMBAWA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA (LALU MEREKA MENDUSTAKANNYA DAN KESUDAHANNYA MEREKA DIBINASAKAN). DENGAN YANG DEMIKIAN, MAKA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI MENGANIAYA MEREKA, TETAPI MEREKALAH YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI.} (AR-RUUM 30:9)
- Allah s.w.t mengingatkan kepada kaum Quraisy pada masa itu yang suka mengembara di muka bumi (rehlah musim panas dan sejuk mereka), membawa kafilah perdagangan sebagaimana yang Allah sebut dalam surah Quraisy.
- Tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Kesan-kesan kemusnahan umat dahulu yang mereka nampak dalam pengembaraan mereka itu, tidakkan memberi pengajaran kepada mereka?
- Sedangkan kaum terdahulu itu:
i- lebih kuat daripada mereka sendiri, أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً
ii- orang-orang itu telah meneroka bumi وَأَثَارُوا الْأَرْضَ buka tanah, masuk dalam bukit, hutan bersihkan tanah lalu bercucuk tanam, buka kebun.
iii- serta memakmurkannya (membina bangunan) lebih daripada وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ
iv- lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh kaum Quraisy , مِمَّا عَمَرُوهَا - Tadabbur; Ulama\’ menjelaskan kenapa:-
i- dalam urusan meneroka bumi dan bercucuk tanam وَأَثَارُوا الْأَرْضَ
Allah tidak bandingkan kaum Quraisy dengan mereka yang terdahulu- ini kerana bumi Arab atau Makkah itu khususnya telah makruf sebagai negeri yang tandus dan tidak sesuai untuk bercucuk tanam. Maka pastilah itu bukan pekerjaan utama mereka.
ii- tetapi Allah bandingkan mereka dalam urusan membina bangunan وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ.
Ini kerana Quraisy juga membuat rumah dan bangunan tetapi hanya yang kecil dan biasa, khemah atau bangunan tanah liat sahaja. Sedangkan kaum terdahulu seperti Ad dan Thamud terkenal dengan binaan yang amat hebat dan istimewa, memahat gunung dan bukit yang besar sebagai istana dan kediaman. - Mereka juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya sebagaimana kamu yang diutus nabi Muhammad s.a.w dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata.
- Tetapi mereka mendustakannya, ingkar dan tidak mahu beriman. Seperti kamu ini juga. Inilah orang yang zalim, menganiaya diri sendiri dengan kufur dan maksiat.
- Maka lihatlah kesudahannya mereka dibinasakan, aibat perbuatan mereka sendiri, bukan Allah menzalimi mereka. Allah s.w.t sekali-kali tidak menzalimi hamba-Nya, diutus rasul, diberi ajaran dan peringatan terlebih dahulu.
AYAT 10- {SESUDAH DIBINASAKAN DI DUNIA MAKA AKIBAT ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEJAHATAN ITU IALAH SEBURUK-BURUK AZAB (DI AKHIRAT KELAK), DISEBABKAN MEREKA MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DAN SENTIASA MEMPERSENDAKANNYA.} (AR-RUUM 30:10)
- Sesudah mendapat kebinasaan di dunia ini, maka orang yang melakukan kejahatan itu mendapat seburuk azab pula
أَسَاءُوا السُّوأَى di akhirat kelak. - Ini kerana mereka bukan sekadar ingkar mendustakan ayat-ayat keterangan Allah s.w.t, bahkan mereka juga sentiasa mempersendakannya, mengejek, menentangnya dan melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 8- {dan tidak memikirkan dalam hati mereka?} – ayat ini menggalakakan kita berfikir dengan hati yang lapang dan terbuka untuk mencari kebenaran. Bukan dengan hati yang tertutup penuh ketaksuban dengan pegangan atau ikutan terhadap seseorang.
- Ayat 8- {melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu,} – ayat ini sebagai isyarat menunjukkan dunia ini akan berakhir dan runtuh, serta manusia akan kembali semula kepada Allah s.w.t untuk dihisab.
- Ayat 8- {Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu} – ayat ini meminta untuk kita memikirkan tentang 3 tempat kejadian cipataan Allah s.w.t iaitu di langit, bumi juga apa yang ada di antara keduanya.
- Ayat 9- {dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya }- Allah s.w.t bandingkan kaum Quraisy dengan bangsa lain yang telah membina bangunan yang besar berbanding Quraisy. Sudahlah kamu tiada tanaman, binaan pun hanya kecil-kecil bangunannya.
- Ayat 9- {Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka,} – ayat ini menunjukkan satu bangsa yang kuat dan gagah dia meneroka bumi, bertani menghasilkan makanannya sendiri, tidak bergantung kepada sumber dari luar negeri mereka. Banyak sekali manfaatnya berbudi kepada tanah ini. Mereka juga membina bangunan, membuat senjata, berniaga dan lain-lain teknologi.
- Ayat 9- {maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka,} – bagi setiap kejahatan akan dibalas seumpamanya – satu dosa- satu azab, tetapi bagi orang yang buat baik pahalanya berganda-ganda. Menunjukkan rahmat dan keadilan Allah s.w.t.
7- Ayat 9- {..tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri} bala itu turun dengan sebab perbuatan mereka sendiri. Tetapi bila orang baik mendapat kebaikan Allah s.w.t tidak sebut sebab kebaikannya itu. Berbeza dengan kejahatan; hukuman itu dengan sebab mereka berdosa, Allah s.w.t tidak menzalimi hamba-Nya. Tetapi rahmat-Nya ke atas hamba-Nya berganda-ganda. - Ayat 8- {Tidakkah mereka berfikir serta memerhatikan bagaimana} – Allah s.w.t menyuruh kita berfikir.
Ulama\’ kata: orang yang berakal itu ialah orang yang mengambil pengajaran daripada orang lain, tetapi orang yang bodoh akan dibuat pengajaran atau menjadi contoh yang buruk kepada orang lain. - Keyakinan bahawa kekuatan badan, banyaknya harta serta ramainya anak-pinak menjamin kemenangan dan kejayaan adalah salah! Kita hendaklan berusaha dan bertawakkal kepada kuasa dan kehendak Allah s.w.t.
- Ayat 8- Pertanyaan Allah s.w.t kenapa kamu tidak berfikir – adalah soalan untuk mengingkari bukan semata nak tanya untuk tahu. In kerana mereka tidak berfikir dan gunanya sebagai iktibar pengajaran untuk berjaya di dunia dan akhirat.
- MAKLUMAN/PESANAN UNTUK KITA AMBIL PERINGATAN:
i- Banyak tersebar sekarang ini poster Kepercayaan karut tentang kesialan hari Rabu terakhir dalam bulan Safar. Indon panggil- RABU WEKASAN! (SIAL)
ii- Hadis palsu dan amat batil! SATU KEFAHAMAN KARUT dalam masyarakat, khurafat dan boleh membawa kepada syirik!!!
والغياذ بالله
iii- JANGAN PERCAYA Tolong hapuskan dan jangan sebar jika terimanya. Bagi maklumat yang betul untuk semua, tiada apa-apa amalan khusus yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk bulan Safar, teruskan ibadat harian kita seperti biasa.
SEMOGA KITA DILINDUNGI ALLAH SWT, DIMANTAPKAN AQIDAH DAN KEIMANAN.