MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, KITAB AL-QURAN PENUH DENGAN PENJELASAN & KAUM KAFIR TIDAK MAHU MENDENGARNYA.
Full video : https://youtu.be/CqCWJVhuPLA
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada hari ini, Pagi Ahad 08 Ramadhan 1443H bersamaan 10hb April 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Fussilat – سورة فصلت.
Ia juga dikenali dengan nama Ha Mim Sajadah (حم السجدة) kerana ada sujud sajdah dalam surah ini, tetapi lebih dikenali dengan nama asalnya iaitu Fussilat. - Surah Fussilat, adalah surah ke-41 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Ghafir dalam juz ke 24. Ia mengandungi 54 ayat.
- Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah.
- Dinamakan surah ini sebagai Surah Fussilat (سورة فصلت)- kerana Allah s.w.t menyebut perkataan Fussilat di awal ayat ke3, yang bermaksud; {Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu;} iaitu ditegaskan tentang hakikat al-Quran yang diturunkan oleh Allah yang Amat Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Dijelaskan ayatnya satu persatu, di dalam bahasa Arab yang boleh difahami dan jelas, serta boleh diambil faedah bagi orang yang buka minda dan hatinya untuk belajar dan menerima kebenaran. - Dalam ayat mulia ini Allah s.w.t cerita tentang kedudukan al-Quran, bagaimana orang kafir tidak mahu menerimanya dengan pelbagai alasan yang tidak cerdik.
Jadi kita yang beriman ini jangan tunggu ada masa baru baca al-Quran tetapi peruntukan masa khas untuk al-Quran baru kita dapatnya.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menghuraikan soal tauhid yang membuktikan tentang kekuasaan, keEsaan dan kemurahan Allah s.w.t serta dengan dalil-dalilnya yang jelas serta ta\’lil iaitu kias yang salim (betul).
- Disamping itu diberi amaran kepada orang yang melawan tentang hakikat ini dengan diberi contoh tentang apa yang telah berlaku kepada umat dahulu yang binasa akibat keingkaran, keras kepalanya, degil menolak kebenaran.
- Mengenai soal dakwah Islamiyah dan tingkah-laku orang yang melakukan penyiaran Islam itu. Allah s.w.t menegaskan tiada yang lebih baik dari perkataan orang yang menyeru kepada mengesakan Allah s.w.t dan mematuhi perintah-Nya. Serta dia sendiri juga mengerjakan amal yang soleh sambil berkata dia adalah orang Islam yang berserah diri kepada Allah.
Pendakwah adalah orang yang menyeru kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih bukannya amalan atau ajaran yang pelik-pelik yang bercanggah dengan amalan ahli Sunnah. - Surah ini diakhiri dengan menegaskan bahawa Allah s.w.t akan memperlihatkan kepada manusia tanda-tanda kekuasaan-Nya di merata tempat dalam alam yang terbentang luas ini serta tanda pada diri mereka sendiri. Sehingga mereka dapat melihatnya sendiri dengan jelas apa yang di dalam al-Quran dan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w itu adalah benar dari Allah Azza wa Jalla.
- Dalil ini ditujukan terutamanya kepada golongan yang ingkar dari semasa ke semasa sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemajuan umat manusia, maka dibawa dalil-dalil ini.
KELEBIHAN SURAH :
- Ia merupakan surah kedua yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran. Dipangil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم), surah Ghafir sehingga Surah al-Ahqaf.
- Terdapat ayat sujud tilawah di dalamnya. Kerana itu ia juga dikenali dengan nama Ha Mim Sajadah (حم السجدة) kerana terdapat ayat untuk sujud tilawah (sujud sejadah) yang disunatkan untuk kita sujud bagi yang membaca atau mendengar orang bacanya.
OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :
- Antara objektif utamanya ialah menegakkan dalil atas keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t dan menyatakan bahawa al-Quran ini datang/turunnya dari sisi Allah s.w.t!
TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :
- Allah s.w.t puji al-Quran dan nyatakan kemuliaannya.
- Allah nyatakan sikap puak kafir Quraisy terhadap al-Quran. Dengar tapi buat tak dengar, sama seperti kafir atau mereka yang enggan menerima al-Quran hari ini.
- Allah sebut beberapa dalil kekuasaan-Nya yang besar seperti kejadian langit dan bumi, siang dan malam, makanan atas muka bumi ini untuk makhluk yang bernyawa dan lain-lain.
- Ingatan kepada puak musyrikin yang lari dari mendengar al-Quran bahawa mereka akan menerima nasib seperti kaum tedahulu yang mendustakan kaum mereka. Antara contohnya kaum Thamud yang telah binasa dengan letusan suara yang dahsyat.
- Allah sebut sebahagian dari gambaran suasana hari Kiamat dan bagaimana keadaan orang kafir yang cukup dahsyat pada hari itu seperti anggota mereka jadi saksi selepas mulut mereka dikunci.
- Allah nyatakan pula keadaan orang mukmin dan nikmat yang mereka dapati. Serta kelebihan berdakwah pada jalan Allah dengan cara yang baik penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan. Allah s.w.t juga ingatkan supaya kita sentiasa mohon doa minta perlindungan dengan Allah (إستعاذة) dari gangguan syaitan dan kuncunya.
- Allah nyatakan beberapa ayat yang menunjukkan kekuasaan-Nya menghidupkan balik orang mati.
- Allah s.w.t tenangkan hati Nabi s.a.w dengan membawa kisah-kisah rasul dan umat mereka yang terdahulu.
- Menyatakan dalil bahawa al-Quran ini dari Allah s.w.t serta membatalkan tuduhan jahat orang kafir.
- Menyatakan betapa luasnya ilmu Allah s.w.t dan hanya kepada Allah dikembalikan ilmu tentang Kiamat. Maka jangan pandai-pandai buat ramalan dan teori atau mempercayainya.
- Allah s.w.t sebut sebahagian tabiat manusia ketika senang & susah.
Ada orang yang apabila senang bersyukur atau kufur nikmat sombong.
Ada yang ketika susah mengamuk dan ada juga yang sabar. - Allah s.w.t tamatkan surah ini dengan menyatakan hikmah bahawa Allah sentiasa memperlihatkan kepada hamba-Nya tentang tanda-tanda kekuasaan-Nya di langit, di ufuk supaya mereka mengakui bahawa benarnya apa yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t dan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.
AYAT 1- {HAA, MIIM.} (GHAAFIR 40:1)
- Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim). Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang pertama.
- Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini.
Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran. - Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
- Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
AYAT 2- {TURUNNYA KITAB INI DARI ALLAH YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (FUSSILAT 41:2)
- Al-Quran ini turun dari Allah Yang Maha Pemurah (الرَّحْمَنِ) lagi Maha Mengasihani (الرَّحِيمِ). Yang melitupi rahmat & kasihan belas-Nya ke atas setiap makhluk-Nya.
- Antara rahmat-Nya ialah menurunkan al-Quran yang mengandungi petunjuk, ilmu, cahaya penawar dan segala kebaikan yang banyak ada dalam al-Quran. Orang yang sentiasa baca, tadabbur dan mengorek al-Quran akan jumpa banyak kebaikan darinya. Orang yang tidak belajar dan tidak tadabbur tidak akan jumpanya, bahkan akan terhad ilmunya setakat baca dan amal surah tertentu untuk tujuan tertentu seperti buat ubat, ambil berkat, tarik rezeki dan seumpamanya.
AYAT 3- {SEBUAH KITAB YANG DIJELASKAN AYAT-AYATNYA SATU PERSATU; IAITU AL-QURAN YANG DITURUNKAN DALAM BAHASA ARAB BAGI FAEDAH ORANG-ORANG YANG MENGAMBIL TAHU DAN MEMAHAMI KANDUNGANNYA.} (FUSSILAT 41:3)
- Setiap ayatnya satu persatu adalah jelas (فُصِّلَتْ), Rasulullah s.a.w faham semua apa yang diturunkan kepadanya kemudian diajar kepada para sahabatnya apa yang difahmainya juga lalu diajar kepada para tabi\’en, turun temurun dan bersambung sehingga sampai kepada zaman kita hari ini. Yang tak faham itu yang tak belajar!
- Sifat al-Quran juga diturunkan dalam bahasa Arab (عَرَبِيًّا) yang dapat difahami oleh orang bangsa Arab serta sesiapa yang belajar akan memahaminya!
- Walaupun kita bukan bangsa Arab tetapi jika kita sudah belajar bahasa Arab dan memahaminya maka kita akan dipangil (لسان عربي). Maka kita akan mendapat faedah dan manfaat dari al-Quran dengan belajar, tadabbur dan memahaminya!
- Ini kelebihan yang Allah bagi kepada bahasa Arab. Selagi ada al-Quran selagi itulah bahasa Arab ini dianggap mulia.
AYAT 4 – {IA MEMBAWA BERITA YANG MENGEMBIRAKAN (BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN) DAN MEMBAWA AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR); DALAM PADA ITU KEBANYAKAN MEREKA BERPALING INGKAR (TIDAK MAHU MENGETAHUI DAN MEMAHAMINYA), MAKA DENGAN SEBAB ITU MEREKA TIDAK MENERIMA DAN TIDAK MEMATUHINYA.} (FUSSILAT 41:4)
- Al-Quran juga kerjanya:
i- membawa berita yang mengembirakan (بَشِيرًا) bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
ii- dan membawa amaran (وَنَذِيرًا) kepada orang-orang yang ingkar. Yang kufur dan melakukan amalan dan perbuatan yang buruk. - Tetapi kebanyakan mereka berpaling ingkar, yakni lari dari mendengar dan mengambil manfaat dari al-Quran, berpaling ingkar (أَعْرَضَ) tidak mahu mengetahui dan memahaminya. Kerana itu mereka tidak terima dan mematuhinya.
- Ayat ini Allah s.w.t turunkan kepada kafir Quraisy yang menolak al-Quran, mereka tidak mahu dengar al-Quran ataupun apabila mereka dengar Rasulullah s.a.w baca al-Quran mereka buat kacau dan bising dengan bertepuk tangan, bersiul dan sebagainya.
- Maka kita sekarang inipun jangan tiru dan buat perangai jahiliyyah ini, baca al-Quran, baca hadis, berdoa, beri tazkirah atau apa saja yang berkait dengan agama, diiringi dengan bunyian muzik! Mana ada begini, sucikan al-Quran dan doa-doa kita dari bunyi muzik yang menjadi satu khilaf di kalangan ulama\’! Kerana itu jika buat sendiri video DAAM tidak akan bubuh muzik, jika yang ada itu orang lain buat yang diluar kawalan! Jika boleh cakap kita akan suruh buang.
- Allah s.w.t juga gambarkan mereka dalam firman-Nya ini:
{Dan orang-orang yang kafir berpaling dari menerima peringatan yang diberikan kepada mereka mengenainya.} (Al-Ahqaaf 46:3) |
AYAT 5- {DAN MEREKA BERKATA: \”HATI KAMI DALAM TUTUPAN YANG BERLAPIS-LAPIS (MENGHALANG KAMI) DARIPADA MEMAHAMI APA YANG ENGKAU SERUKAN KAMI KEPADANYA, DAN PADA TELINGA KAMI PENYUMBAT (MENJADIKAN KAMI TIDAK DAPAT MENDENGARNYA), SERTA DI ANTARA KAMI DENGANMU ADA SEKATAN (YANG MEMISAHKAN FAHAMAN KITA); OLEH ITU, BEKERJALAH ENGKAU (UNTUK AGAMAMU), SESUNGGUHNYA KAMI JUGA TETAP BEKERJA (UNTUK MEMPERTAHANKAN KEPERCAYAAN KAMI)!\”} (FUSSILAT 41:5)
- Puak kafir ini dengan sombong mengatakan kepada Rasulullah s.a.w alasan mereka ingkar berpaling dari al-Quran adalah kerana hati mereka tertutup dalam tutupan yang berlapis-lapis yang menghalang mereka daripada memahami apa yang Nabi serukan kepadanya, dan telinga mereka pun ada penyumbat yang menjadikan mereka tidak dapat mendengar apa yang disampaikan oleh Baginda.
- Juga mereka kata: Antara kami dengan engkau ada sekatan yang memisahkan fahaman kita. Kami tak faham apa yang engkau ceritakan.
- Oleh itu, bekerjalah engkau Muhammad untuk agamamu, sesungguhnya kami juga tetap bekerja untuk mempertahankan kepercayaan kami. Mereka keras kepala guna sistem seperti orang hari ini yang berkata: Kubur masing-masing, jadi jangan sibuk ambil hal urusan orang lain.
AYAT 6- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA AKU HANYALAH SEORANG MANUSIA SEPERTI KAMU; DIWAHYUKAN KEPADAKU BAHAWA TUHAN KAMU HANYALAH TUHAN YANG SATU; MAKA HENDAKLAH KAMU TETAP TEGUH DI ATAS JALAN YANG BETUL LURUS (YANG MEMBAWA KEPADA MENCAPAI KEREDAANNYA), SERTA POHONLAH KEPADANYA MENGAMPUNI (DOSA-DOSA KAMU YANG TELAH LALU). DAN (INGATLAH), KECELAKAAN BESAR BAGI ORANG-ORANG YANG MEMPERSEKUTUKANNYA (DENGAN SESUATU YANG LAIN),} (FUSSILAT 41:6)
- Kemudian Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w bertegas berkata kepada mereka bahawa: sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu juga, lahir dari dua orang ibu bapa.
- Ayat ini juga menolak fahaman bahawa Rasulullah s.a.w berasal dari cahaya (nur). Fahaman inilah yang menimbulkan ajaran yang pelik-pelik hari ini.
- Tetapi walaupun Rasulullah hanya manusia biasa, tetapi dia yang terpilih; \”Yang diwahyukan kepadaku untuk mengajar kamu bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh (istiqomah) di atas jalan yang betul lurus yang membawa kepada mencapai keredhaan-Nya\”.
- Juga agar kita sentiasa memohon kepada Allah agar mengampuni dosa-dosa kita yang telah lalu.
- Ayat ini mengajar kepada kita agar ikhlas dalam beribadat dan sentiasa beristighfar memohon keampunan dari Allah s.w.t.
- Inilah rahsia sebab kenapa Rasulullah s.a.w selepas solatnya beristighfar meminta keampunan kepada Allah s.w.t, kerana Baginda bimbang jika ada salah silap dan lalai dalam solatnya.
- Juga amaran bahawa kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain iaitu syirik.
AYAT 7- {\”IAITU ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMBERI ZAKAT (UNTUK MEMBERSIHKAN JIWA DAN HARTABENDANYA) DAN MEREKA PULA KUFUR INGKAR AKAN ADANYA HARI AKHIRAT\”.} (FUSSILAT 41:7)
- Orang yang celaka ini juga adalah mereka yang:
i- orang-orang yang tidak memberi zakat untuk membersihkan jiwa dan harta-bendanya.
ii- dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat. - Mengikut ulama\’ tafsir dan tadabbur, ulama\’ usul-Fiqh mengatakan: Bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa orang kafir itu dituntut untuk melakukan hukum/ibadat cabang-cabang syara\’ seperti zakat puasa dan solat, tetapi mereka tidak boleh buat kerana mereka kafir. Tetapi mereka tetap akan disoal tentangnya di akhirat kelak!
AYAT 8- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH, MEREKA BEROLEH BALASAN PAHALA YANG TIDAK PUTUS-PUTUS.} (FUSSILAT 41:8)
- Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh balasan pahala yang tidak putus-putus dari Allah s.w.t.
- Syarat amalan itu diterima (qabul):
i- ikhlas kerana Allah s.w.t.
ii- bertepatan dengan ajaran Nabi s.a.w bukan ikut orang lain.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 3- {Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.}- kata ulama\’ tadabbur; ayat ini memberi hukum bahawa wajib bagi orang yang pandai (mukallaf) meletakkan dan mengembalikan makna al-Quran kepada bahasa Arab yang asal. Jika bahasanya sudah jelas, huraian dan pegangan ulama\’ salafus-Soleh pun sudah jelas maka kita kekalkan lafaz asalnya yang ada dengan huraian ulama\’ ini.
Jangan kita ikut dan dengar seperti golongan jahmiyyah, qadariyyah dan batiniyyah yang tafsir al-Quran ikut selera dan kepala otak mereka.
Kemudian Allah s.w.t gambarkan al-Quran itu dengan bahasa Arab (قُرْآنًا عَرَبِيًّا). Ayat ini juga memberi satu kemulian kepada bangsa Arab kerana al-Quran turun dalam bahasa mereka.
- Ayat 4 – {dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.}- mereka orang kafir itu lari dari dengar al-Quran, tidak dengar al-Quran.
Ulama\’ tadabbur kata boleh kita kata \”tak dengar\” kepada orang yang tidak mengambil manfaat.
Ini kerana hakikatnya mereka dengar Rasulullah s.a.w baca al-Quran tetapi seolah mereka tidak dengarnya kerana mereka menolak dan tidak mendapat manfaat dari al-Quran.
Ayat ini juga memberi peringatan kepada kita bahawa orang yang mendapat hidayah dari Allah itu adalah orang yang baik kerana dia akan memanfaatkan al-Quran dan maknanya.
- Ayat 5- {Dan mereka berkata: \”Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita);}- orang kafir mencari dan memberi pelbagai alasan untuk tidak mahu menerima al-Quran. Mereka kata telinga mereka tertutup tersumbat dari mendengar al-Quran dan hati mereka juga tertutup dari memahaminya.
Maka kita yang beriman kena dengar buka mata dan telinga, dengar apa yang dicakapkan, isi kandungannnya bukan lihat kepada siapa yang mengatakannya!
Maka kita tapis dan pilih apa yang bertepatan dengan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.
Kata ulama\’ pendidikan: Kita boleh baca atau terima maklumat seluruhnya tetapi untuk sebar dan sampaikan kepada orang lain, kita kena tapis dan pilih yang tentu sahih dan jelas sahaja!
- Ayat 6- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu;}- Allah suruh Rasulullah s.a.w perkenalkan dirinya. Bahawa Baginda adalah manusia biasa berasal dari keturunan Adam seperti kita juga.
Ia juga menolak dakwaan puak Batiniyyah yang mendakwa Baginda berasal dari cahaya (nur) Allah dan sebagainya! Kerana ada setengah golongan cuba mengangkat Nabi s.a.w seolah seperti tuhan! Ini perbuatan yang cukup merbahaya.
ii- {diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu;}- Cuma Baginda adalah manusia mulia yang terpilih, yang dilantik oleh Allah sebagai sebagai seorang rasul- dia adalah utusan Allah s.w.t yang diwahyukan untuk menyampaikan tentang tauhid keesaan Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t juga: {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu.\”} (Al-Kahfi 18:110)
Ayat ini menegaskan tentang kepentingan tauhid kepada Allah Azza wa Jalla.
- Ayat 6- { maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaanNya), serta pohonlah kepadaNya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu).}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut suruh kita istiqomah dulu baru istighfar.
Sedangkan sepatutnya kita minta ampun dulu, bersuci dari segala dosa dan silap, baru istiqomah, tetap melakukan kebaikan. Yakni seolah arahan ini terbalik.
Jawapanya: Ayat ini bukan suruh istighfar dari kekufuruan dan dosa maksiat tetapi untuk orang baik dan soleh yang melakukan amal soleh lalu disuruh istiqomah di atasnya kemudian disuruh istighfar jika ada kekuranngan, lalai serta silap dan salah dalam amal ibadatnya.
Sebagaimana ajaran Rasulullah s.a.w Baginda sentiasa beristighfar:
i- selepas solat untuk menampung jika ada kekurangan dalam solatnya.
ii- keluar dari tandas. Kerana di dalam tanda tidak boleh berzikir dan menyebut nama Allah.