NABI BERI AMARAN TENTANG KIAMAT, SI KAFIR TIADA KAWAN DAN PENOLONG & ALLAH TAHU SEMUA PERKARA.
Full video : https://youtu.be/Jj80q-tvpys
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi amaran kepada puak kafir tentang hari Kiamat yang pasti akan datang.
- Serta ia adalah satu hari huru-hara yang besar bukan seperti biasa! Puak kafir ini juga akan berada di dalam neraka tanpa kawan dan penolong, hanya sesama ahli neraka yang akan diazab.
- Allah s.w.t juga ceritakan tentang keadilan Allah s.w.t dan tiada siapa yang akan dizalimi.
Ini kerana Allah s.w.t mengetahui semua perkara, tiada yang tersembunyi daripada pengetahuan-Nya.
AYAT 18-{DAN BERILAH AMARAN (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA MEREKA TENTANG (HARI KIAMAT) YANG DEKAT (MASA DATANGNYA), IAITU KETIKA HATI SESEORANG MERASA RESAH GELISAH, KERANA CEMAS TAKUT, SAMBIL MASING-MASING MENAHAN PERASAANNYA ITU. (PADA SAAT ITU) ORANG-ORANG YANG ZALIM TIDAK AKAN MENDAPAT SEORANG SAHABATPUN YANG BOLEH MEMBELANYA, DAN TIDAK AKAN MENDAPAT PEMBERI SYAFAAT YANG DITERIMA PERTOLONGANNYA.} (GHAAFIR 40:18)
- Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi amaran, peringatan kepada puak kafir dan manusia seluruhnya tentang hari Kiamat yang dekat sekali kedatangannya.
- Maksudnya dekat ini kerana Rasulullah s.a.w adalah rasul yang terakhir, berbanding dengan rasul-rasul yang sebelumnya maka Baginda s.a.w adalah yang paling hampir dengan hari Kiamat.
- Tarikh Kiamat bilakah akan berlaku, Rasulullah s.a.w dan malaikat pun tidak mengetahuinya! Apatah lagi manusia biasa yang mahu meramalnya!
- Tugas kita hanya beriman dan membuat persediaan yang sewajar untuknya!
Jangan fikirkan bilakah akan Kiamat tetapi apakah persiapan kita untuk mengahadapinya! - Kiamat itu pula ada dua:
i- Kiamat kecil iaitu Kiamat individu yang akan berlaku bila-bila masa saja, ke atas setiap orang iaitu kematian!
ii- Kiamat Besar, iaitu hari Kiamat, pengakhiran dunia yang sebenar. Bila akan berlaku wallahu a\’lam!
- Keadaan manusia pada hari itu, hati setiap seorang merasa resah gelisah, seolah berada di halkum, kerana cemas takut, sambil masing-masing menahan perasaannya itu.
- Firman Allah s.w.t:
i- {Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:1)
ii- {Telah hampir masa datangnya saat yang dekat itu (hari kiamat); Tidak ada sesiapapun selain Allah yang dapat menahan atau menghapuskan huru-hara \”hari kiamat\” itu.} (An-Najm: 57-58)
- Mereka yang zalim dengan syirik dan kekufuran, pada hari itu tidak akan ada kawan, penolong atau pemberi syafaat yang dapat memberi pertolongan kepadanya. Dia juga sama sekali tidak layak untuk memberi syafaat pertolongan kepada orang lain!
- Firman Allah s.w.t: {\”Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan, \”Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:101)
- Imam al-Baghawi rhm. bawa satu athar dari Tafsir Hasan al-Basri rhm. tentang ayat ini: \”Hendaklah kamu banyakkan bersahabat dengan orang-orang yang beriman, yang soleh, yang baik yang ikut Sunnah Nabi s.a.w. Ini kerana mereka ini dengan izin Allah, dapat memberi syafaat atau pertolongan kepada orang lain yang beriman juga pada hari Kiamat nanti.\”
- Ini kerana setelah selesai segala Hisab, mereka yang mukmin ini akan mencari dan bertanya khabar tentang kawan-kawan yang pernah mereka sama-sama buat kebaikan dulu. Di mana mereka itu sekarang kerana tiada di dalam syurga bersama?
Rupanya mereka ini walaupun beriman ada juga dosa yang tersembunyi, lalu masuk neraka juga!
Maka selepas habis tempoh hukuman mereka, sahabat mereka yang ahli syurga minta izin dari Allah s.w.t untuk mengeluarkan mereka dari neraka.
Maka itulah syafa\’at sahabat yang soleh!
Apabila orang kafir dan syirik melihat ini maka keluarlah ayat bahawa bagi mereka tiada kawan atau penolong yang dapat memberi syafaat. Maka kekallah mereka di dalam neraka selamanya! Na\’uzubillah!
- Firman Allah s.w.t: {\”Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya).} (Al-Haaqqah 69:35)
AYAT 19-{ALLAH MENGETAHUI PENGKHIANATAN (PENYELEWENGAN DAN KETIADAAN JUJUR) PANDANGAN MATA SESEORANG, SERTA MENGETAHUI AKAN APA YANG TERSEMBUNYI DI DALAM HATI.} (GHAAFIR 40:19)
- Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia mengetahui segala apa yang tersembunyi!
- Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi amaran dan peringatan kepada orang Kafir tentang hari Kiamat yang sangat besar huru-haranya. Serta bahawa orang kafir nanti tidak akan ada kawan atau penolong di akhirat kelak!
Orang beriman akan mendapat syafaat sesama mereka serta syafaat yang besar dari Nabi s.a.w. - Amaran ini supaya semua manusia berhati-hati kerana Allah s.w.t mengetahui segala apa yang tersembunyi daripada pandangan mata iaitu, apa yang ada dalam hati manusia. Maka ia sebagai peringatan jangan cuba zahirkan lain, yang zahir dan batin biarlah sama, kita solat maka niat hati biar ikhlas kerana Allah s.w.t!
Jika depan manusia, jangan mulut manis tetapi batinnya iaitu hati busuk!
Semoga kita naik taraf kepada hati yang sejahtera (قلب سليم). - Kamu jangan berpura-pura, bermuka kerana hatta pengkhianatan mata kamu pun Allah s.w.t tahu!
- Ulama\’ menafsirkan pandangan mata yang khianat ini (خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ) kepada beberapa maksud:
i- orang yang bertamu ke rumah orang tetapi matanya melilau kepada anak isteri tuan rumah tanpa menundukkan pandangan.
Jangan cuba melihat kepada aurat tuan rumah. Kerana itu disyaratkan minta izin dan beri salam sebelum masuk rumah orang.
Jangan beri salam depan pintu atau terus masuk ke dalam rumah orang yang tidak bersedia!
ii- pengkhianatan mata juga salah guna matanya untuk melihat filem dan cerita yang buruk dan tidak berfaedah apatah lagi yang lucah dan mendedah aurat serta maksiat!
iii- juga guna isyarat mata untuk mengata atau mengumpat orang lain sesama sendiri. Mulut senyum tetapi matanya dok kenyit-kerling mengata!
Kesimpulannya pandangan mata yang khianat (خَائِنَةَ الْأَعْيُنِ) ialah semua perbuatan salah yang menggunakan mata, salah guna mata untuk keburukan.
- Allah s.w.t mengetahui semuanya, kerlingan mata, mimik muka, cebikan mulut dan apa yang tersembunyi dalam hati kamu!
Apa niat, cita-cita & angan-angan kamu!
Firman Allah s.w.t:
i- {Kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.} (An-Nisaa\’ 4:1)
ii- {Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.} (An-Nuur 24:30)
- Maka tumpukanlah cita-cita dan niat kita kepada kebaikan dan amal soleh. Jika dapat laksanakannya akan dapat dua pahala, jika tidak terbuat kita sudah dapat pahala niat yang baik dan ikhlas, insya\’ Allah.
Ayat 20-{Dan Allah memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka sembah yang lain dari Allah – tidak dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Ghaafir 40:20)
- Di sini Allah memberi jaminan agar kita jangan bimbang dan takut! Allah s.w.t tahu semua yang zahir dan batin, maka hukuman dan pengadilan Allah s.w.t akan diputuskan dengan adil dan tanpa kezaliman!
- Manusia lain jika mendakwa tahu apa yang ada dalam hati atau niat orang lain, maka ia adalah satu pembohongan yang nyata! Tidak mungkin untuk menghukum dengan dakwaan ini!
- Begitu juga jika percaya kepada ramalan dan tuduhan bomoh-bomoh atau dukun-dukun yang tahu perkara ghaib lalu membuat tuduhan dan ramalan yang palsu jika kita percaya maka akan dihisab dan dihitung semuanya.
- Sedangkan sembahan dan tuhan yang mereka sembah selain Allah itu, tidak dapat memberi sebarang keputusan atau pengadilan, apatah lagi manfaat atau mudharat kepada makhluk lain! Ini kerana mereka itu sebahagiannya adalah batu kayu, kubur orang mati dan sebagainya yang tiada apa kuasa!
- Tetapi kenapa kadang-kadang seolah ada kuasa dan mustajab doa permintaan mereka di kubur itu? Ini kerana jika sudah terlalu merpercayainya ia seolah akan menjadi seperti benar dan satu kenyataan, dihiasi dan disolek pula oleh syaitan dan iblis.
Sebagaimana pantun Allahyarham Ayahanda TG Hj Abd Rahman:
Melukut di tepi gantang;
Buka sanggul cari kutu.
Orang takut hilang perasaan;
Tunggul kayu disangka hantu!
- Sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat, Allah dengar dan tahu segala perkara. Beriman dengan ini sudah cukup untuk menjadikan seorang itu mantap keimanannya dan bertaqwa sepenuhnya kepada Allah s.w.t!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 18-{Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang (hari kiamat) yang dekat (masa datangnya),}- iaitu Allah gambarkan bahawa hari kematian dan Kiamat itu yang dekat dengan kita. Diberi amaran dan peringatan ini agar kita membuat persiapan untuk menghadapinya! Juga memberi galakan dan amaran (ترغيب و ترهيب).
Kata ulama\’ tadabbur dari ayat ini menjadi tanggung-jawab kita orang yang beriman dan para pendakwah untuk sentiasa ingatkan manusia kepada kepada harap dan takut (خوف و رجاء), harapkan keampunan Allah s.w.t serta dalam masa yang sama takut untuk melanggar perintah-Nya!
- Ayat 19- {Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang,}- Allah s.w.t ceritakan tentang ilmu pengetahuan-Nya yang sempurna, yang meliputi segala perkara, yang kecil yang besar yang zahir yang batin. Termasuk juga gerakan mata!
Ini adalah celaan dan amaran kepada mata yang melakukan perkara yang tidak harus apatah lagi yang haram!
Kata ulama\’: Setiap benda atau perbuatan yang tidak halal maka ia adalah satu pengkhianatan!
Hadis- Riwayat Saad bin Abi Waqas r.a; Pada hari Pembukaan kota Makkah, Rasulullah s.a.w mengampuni semua kaum kafir Quraisy kecuali beberapa orang.
Salah seorangnya adalah, \’Abdullah bin Abu As-Sarh, seorang yang telah khianat kepada Rasulullah, telah murtad dan lari ke Makkah.
Pada hari itu, dia yang merupakan saudara sesusuan Sayyidina Usman bin Affan telah lari berlindung di rumah Usman r.a.
Ketika Rasulullah melakukan bai\’ah, perjanjian ikat setia dengan ahli Makkah yang lain, Usman membawanya berjumpa Rasulullah S.A.W dan meminta agar Baginda memaafkan dan menerima Abdullah untuk kembali memeluk Islam.
Rasulullah S.A.W menolak huluran tangan Abdullah untuk berbai\’ah dan berdiam cukup lama, tidak mengeluarkan satu perkataan pun. Sehinggalah permintaan Usman yang ketiga.
Akhirnya, Baginda menerima huluran tangan Abdullah dan dia kembali mengucap kalimat syahadat.
.
Selepas mereka keluar, Rasulullah s.a.w berkata: Tidak adakah ada di antara kamu para sahabat, orang yang cerdik? Kamu lihat aku menolak bai\’ahnya cukup lama dengan berharap ada di antara kamu yang menariknya keluar!
Sahabat menjawab: Kami tidak tahu apa yang tuan inginkan wahai Rasulullah. Kenapa tuan tidak memberi isyarat kepada kami dengan matamu agar kami mengetahuinya?
Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak layak bagi seorang nabi untuk membuat pandangan mata yang khianat! (yakni memberi isyarat buruk dengan matanya). [HR Abu Daud- Sahih].
- Ayat 20-{Dan Allah memutuskan hukum dengan adil,}- ayat ini menunjukkan bahawa wajib kita takut kepada Allah dengan sepenuhnya, apabila kita tahu Allah s.w.t mengetahui, melihat dan mendengar segalanya! Pastilah hukuman-Nya akan lebih adil dan tidak akan ada yang tertinggal.
Contohnya seperti seorang hakim yang mengetahui dan yakin dengan perbuatan dan kesalahan seorang pesalah itu pasti dia akan lebih bersemangat dan yakin untuk menjatuhkan hukuman.
Kata ulama\’ juga: Boleh kita buat bandingan antara dua perkara walaupun dari sudut maknanya tidak sama. Seperti antara hak Allah dan hak hakim atas dunia ini, untuk memahami bahawa hukuman Allah s.w.t itu benar dan yang selain daripadanya tidak ada apa-apa.
- Ayat 18-{(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.}- ayat ini menafikan hujjah golongan muktazilah yang mengatakan tiada syafaat bagi orang yang berdosa!
Kita ahli Sunnah mengatakan Allah hanya menafikan syafaat untuk orang kafir! Ada syafaat bagi orang yang beriman, tetapi tiada syafaat bagi orang kafir, yang zalim yang syirik!
Syafaat berkawan dengan orang soleh dan beriman adalah salah satunya! Tetapi jangan pula jadi pengikut yang hanya berkawan dengan ustaz atau orang agama hanya untuk bergambar atau berselfie untuk menunjuk di medsos sahaja, sedangkan Kuliah ustaz tu tak ikuti atau dengar pun! FB atau IG-nya penuh dengan gambar bersama ustaz dari berbagai aliran, menunjukkan ketidak-fahamannya.
Ambil berkat dari TG, bukan hanya sekadar minum kopi sekali dan lain-lain, sedangkan berkat sebenar orang alim itu ialah ilmunya!
- Ayat 18-{(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang diterima pertolongannya.}- yakni orang yang zalim ialah orang yang kufur & syirik. Mereka ini tidak akan ada penolong dan pemberi syafaat di Akhirat nanti.
Maka kita wajib keluar dari kelompok ini, hendaklah menjadi orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Carilah kawan-kawan yang soleh dan beriman, yang dapat membawa kita ke arah kebaikan dunia dan akhirat dengan izin Allah s.w.t!