View Categories

SURAH GHAFIR : AYAT 69-76

\"\"

KEADAAN GOLONGAN KAFIR YANG KUFUR, TERBELENGGU DALAM NERAKA & MEREKA DULU GEMBIRA DALAM DUNIA.

Full video : https://youtu.be/y5pJczj3G9U

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang Keadaan Golongan Kafir Yang menentang ajat-ayat Allah di dunia & keadaan mereka di Akhirat.
  2. Balasan mereka yang Kufur, akan mendapat balasan azab dan terbelenggu dalam Neraka.
  3. Sedangkan mereka semasa hidup di atas dunia dulu sombong takabbur, gembira, lalai dan lagha.
  4. Munasabah ayat; Setelah kita tahu bahawa Allah s.w.t yang Maha Berkuasa, apabila Dia mahu melakukan atau mencipta sesuatu Dia akan berkata: Kun fayakun. (jadi, maka jadilah).
  5. Maka bagi orang yang mempunyai mata hati yang cerah, yang celik dan berfikiran waras, akan memahami wujudnya Allah s.w.t dan yakin akan bertemu dengan Tuhannya kelak!
  6. Mereka ini berasa pelik melihat keadaan orang yang ingkar mendusta dan membantah, menolak ayat-ayat Allah yang dibawa oleh para rasul kepada mereka.

AYAT 69-{TIDAKKAH ENGKAU MELIHAT DAN MERASA HAIRAN TERHADAP ORANG-ORANG YANG MEMBANTAH MENGENAI MAKSUD AYAT-AYAT ALLAH, BAGAIMANA MEREKA TELAH DIPALINGKAN (DARI KEBENARAN)?} (GHAAFIR 40:69)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w tidakkah Baginda merasa hairan dan pelik terhadap orang-orang yang membantah dan menolak ayat-ayat Allah yang dibawa kepada mereka?
  2. Bagaimana mereka boleh dipalingkan dari kebenaran? Bagaimana mereka menutup akal mereka daripada menerima kebenaran yang jelas dan nyata. Siapakah mereka ini? Lihat ayat seterusnya.

AYAT 70-{IAITU ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AL-QURAN DAN SEGALA YANG DIBAWA OLEH RASUL-RASUL KAMI YANG TELAH KAMI UTUS; MAKA MEREKA AKAN MENGETAHUI KELAK.} (GHAAFIR 40:70)

  1. Mereka inilah orang yang mendustakan al-Quran dan segala ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul, yang telah diutus kepada mereka. Rasul yang membawa petunjuk dan penjelasan, yang mengajak untuk mentauhidkan Allah s.w.t, ikhlaskan ibadat kepada Allah semata, jauhi syirik, yakin dan percaya kepada kebangkitan semula selepas mati, serta melepaskan diri daripada segala sembahan dan pujaan kepada selain dari Allah s.w.t!
  2. Di akhir ayat Allah s.w.t beri amaran kepada mereka! Tetapi tidak mengapa, biarkan mereka, akhirnya mereka akan mengetahui dan menyedarinya kelak apabila mereka ditimpa bala & ujian atau menghadapi kematian!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka).} (Al-Hijr 15:3)

ii- {(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).} (Al-Hijr 15:96)

AYAT 71-{KETIKA BELENGGU DAN RANTAI DIPASUNG DI LEHER MEREKA, SAMBIL MEREKA, DISERET.} (GHAAFIR 40:71)

  1. Mereka akan mengetahuinya kelak ketika mereka mendapat siksaan dengan dibelenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka diseret oleh malaikat masuk ke dalam neraka.
  2. Firman Allah s.w.t juga:
    i- {(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): \”Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia,}. (Al-Haaqqah 69:30)

ii- {(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.} (Al-Insaan 76:4)

AYAT 72-{KE DALAM AIR PANAS YANG MENGGELEGAK; KEMUDIAN MEREKA DIBAKAR DALAM API NERAKA;} (GHAAFIR 40:72)

  1. Siksaan mereka lagi; mereka akan dicampak ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka. Na\’uzubillah!
  2. Begitu mengerikan gambaran suasana dalam neraka ini semoga ia akan sentiasa menjadi satu sekatan dan peringatan bagi kita dari melanggar hukum Allah s.w.t!

AYAT 73-{AKHIRNYA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: \”MANA DIA BERHALA-BERHALA YANG KAMU DAHULU SEKUTUKAN.} (GHAAFIR 40:73)

  1. Kemudian malaikat penjaga neraka bertanya kepada mereka dengan tempelakan: \”Mana dia berhala-berhala pujaan yang kamu dahulu sekutukan?\” Kenapa mereka tidak datang menolong kamu?
  2. Ini adalah tempelakan dan sindiran untuk menambah azab dan siksaan mental pula selain azab fizikal!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi – selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
    Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.
    (As-Saaffaat: 67- 68)

AYAT 74-{\”(DENGAN MENYEMBAHNYA ATAU MEMUJANYA) SELAIN ALLAH?\” MEREKA MENJAWAB: \”BENDA-BENDA ITU TELAH HILANG LENYAP DARI KAMI, BAHKAN YANG SEBENARNYA KAMI DAHULU TIDAK PERNAH SEKUTUKAN SESUATU PUN (DENGAN ALLAH)\”. (SEBAGAIMANA ALLAH MENJADIKAN MEREKA SESAT), DEMIKIAN PULA ALLAH MENYESATKAN ORANG-ORANG YANG KUFUR INGKAR (MENENTANG MAKSUD AYAT-AYATNYA).} (GHAAFIR 40:74)

  1. Yakni sembahan-sembahan yang mereka puja dan sekutunya selain dari Allah s.w.t!
  2. Mereka ahli neraka menjawab: Semua itu telah hilang dan lenyap daripada kami! Kemudian mereka menafikannya pula, cuba putar-belit lagi kenyataan yang jelas; Sebenarnya kami tidak sekutukannya dengan Allah s.w.t, semua itu hanya perantara untuk kami memohon kepada Allah!
  3. Begitulah mereka ini telah sesat dalam cerah, yakni telah ada petunjuk dan dalil yang jelas nyata tetapi mereka tetap ingkar menolak dan mendustakan apa yang disampaikan kepada mereka. Lalu Allah s.w.t sesatkan mereka dengan sebab kekufuran mereka sendiri!
  4. Al-Quran dan dakwah para rasul itu sudah jelas dan terang tetapi mereka yang memilih untuk terus kufur, maka Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar dan menentang maksud ayat-ayatNya).
  5. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: \”Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah):?\”
    Kemudian tidaklah ada akidah kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: \”Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)\”.
    Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri, dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu.} (Al-An\’aam: 22-24)

AYAT 75-{(LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA SETELAH DITIMPAKAN DENGAN AZAB SEKSA): \”BALASAN BURUK YANG DEMIKIAN INI DISEBABKAN KAMU DAHULU BERSUKARIA DI MUKA BUMI DENGAN CARA YANG SALAH (PADA HUKUM TUHAN), DAN DISEBABKAN KAMU BERSENANG LENANG DAN BERMEGAH-MEGAH DENGAN BERLELUASA (DALAM MAKSIAT).} (GHAAFIR 40:75)

  1. Lalu dikatakan lagi kepada mereka setelah ditimpa azab siksa; Bahawa sebab mereka disiksa ini kerana mereka dulu bersukaria, bergembira serta sombong takabbur atas dunia ini dulu dengan melakukan kemungkaran, maksiat dan segala keburukan yang bertentangan dengan hukum Allah s.w.t!
  2. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.} (Al-Israa\’ 17:37

ii- {\”Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.} (Luqman 31:18)

AYAT 76-{\”MASUKILAH PINTU-PINTU NERAKA JAHANNAM KEKALLAH KAMU DI DALAMNYA; MAKA SEBURUK-BURUK TEMPAT BAGI ORANG-ORANG YANG SOMBONG TAKBUR IALAH NERAKA JAHANNAM\”.} (GHAAFIR 40:76)

  1. Setelah selesai ditempelak dan ditanya oleh malaikat maka mereka pun dihalau masuk ke dalam neraka dengan begitu hina. Dibelenggu dengan rantai, diseret masuk, dihina dan ditempelak oleh malaikat. begitulah antara azab yang menanti mereka orang yang sombong dan takabbur di dunia dulu!
  2. Maka kita jagalah diri kita agar selamat daripada kemurkaan Allah s.w.t dan berdoa agar kita diselamatkan dari azab neraka.
  3. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w di akhir solat kita ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Ya Allah aku minta perlindungan-Mu dari : (1) azab neraka jahannam, (2) azab kubur, (3) penyimpangan ketika hidup dan mati, (4) keburukan Al-Masih Ad Dajjal.\” [HR Muslim no. 588].

  1. Kita berdoa kepada Allah agar selamat di dunia dan Akhirat, dengan kita beriman kepada Allah, kita bentengkan diri kita dengan taqwa, jangan langar batas atau sempadan (SOP) Syari\’ah yang Allah telah tetapkan, insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 69- {Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan terhadap orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah, bagaimana mereka telah dipalingkan (dari kebenaran)?}- kata ulama\’ adakalanya manusia dipalingkan dari kebenaran walaupun sudah jelas baginya!

Maka kita kena ingat:
i- walaupun kebenaran itu jelas tetap ada orang yang menolak dan terseleweng.
ii- sebagai orang yang beriman sentiasalah kita berdoa kepada Allah s.w.t agar jangan Allah palingkan hati kita ini dari kebenaran. Agar kita tetap istiqomah dan tetap hati atas keimanan dan taqwa kepada Allah s.w.t.

Antara doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ialah:
a- Dalam hadis yang turut diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:
Adalah Rasulullah S.A.W selalu mengucapkan:

\”يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك\”
(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu).

b- Satu lagi doa dari Rasulullah s.a.w:

اللهم إني أعوذ بك من الحور بعد الكور
\”Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh) setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).\”

iii- Manusia hendaklah sentiasa dalam keadaan cemas dan jangan over-confident kerana ibu bapa kita Islam maka kita pun akan mati dalam Islam; belum tentu lagi! Sentiasalah bergantung hati kita kepada Allah s.w.t agar kita hidup dalam iman, mati dalam iman dan dibangkitkan dalam golongan orang yang beriman!

Antara doa yang Allah s.w.t ajar kepada kita ialah:
{(Mereka berdoa dengan berkata): \”Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.} (A-li\’Imraan 3:8)

  1. Ayat 75-{ (Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan azab seksa): \”Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada hukum Tuhan),} – ayat ini memeberi peringatan kepada kita jika mahu bergembira dan bersukaria, periksa dahulu adakah ianya bertepatan dengan Syari\’ah Allah dan tidak menyalahi hukum-hakam Allah. Yakni bergembira dengan benar, jangan sekali-kali dengan yang salah dan munkar.

Allah s.w.t nyatakan dalam ayat ini antara sebab manusia kena azab ialah:
i- suka bergembira tak kena tempat.
ii- juga sombong tak kena tempat.

  1. Ayat 76-{\”Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam kekallah kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam\”.}- ayat ini sekali memperingatkan kepada kita amaran keras dari bersikap sombong dan takabbur.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tidak akan masuk syurga orang yang ada walaupun sebesar biji sawi dalam hatinya sifat sombong! [HR Bukhari].

  1. Ayat 71-{Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret.}- orang-orang yang mendustakan Allah dan Kitab-Nya mereka akan dikenakan azab secara fizikal (ditarik dengan rantai) serta azab mental dengan ditempelak dan disindir hina!
  2. Ayat 74-{Demikian pula Allah menyesatkan orang-orang yang kufur ingkar (menentang maksud ayat-ayatNya).}- mereka menjadi sesat dengan sebab kekufuran mereka. Jadi setiap hukum itu bergantung dengan sebab. Jika kamu bertqwa, pilih jalan yang benar dan baik maka kamu akan selamat. Jika kamu pilih yang salah maka kamu sendiri yang akan sesat!

i- Firman Allah s.w.t:
{Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.} (As-Saff 61:5)

ii- Ayat ini juga menolak fahaman Qadariyah yang mengatakan bahawa perbuatan hamba itu bukan makhluk Allah s.w.t dan tiada hubungan dengan Allah. Yakni semuanya adalah atas kehendak dan pilihan manusia itu sendiri sepenuhnya,

iii- Ayat ini menunjukkan bahawa samada semua perkara yang baik dan buruk dicipta oleh Allah s.w.t. Cuma dari segi adab kita tidak akan nisbahkan benda-benda buruk kepada Allah s.w.t. Bahkan biasanya benda yang baik dinisbahkan kepada Allah s.w.t, manakala benda yang buruk dinisbahkan kepada syaitan!

PENJELASAN TENTANG REKOD SUARA YANG TULAR SEHARI DUA INI YANG MENGATAKAN:

Bahawa sesiapa yang nak baca al-Quran kena baca ayat 9 dari surah al-Hijr dulu. Ini kerana malaikat akan betulkan bacaan kita dan buang yang salah dan akan angkat kepada Allah yang betul saja dan beberapa hal lagi.

Jawapan:
i- Huraian dan perkara ini (bahawa malaikat membetulkan bacaan kita) tiada nas dan dalil, atau sandaran dari Nabi s.a.w. Jika nak belajar dan betulkan bacaan al-Quran cari ustaz dan ustazah bahagian Quran yang mahir.

ii- Dari segi tadabbur ayat itu adalah ayat yang Allah beri jaminan bahawa Dia yang turunkan al-Quran dan menjaganya.
{Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.} (Al-Hijr 15:9)

Ayat ini adalah benar dan jelas, sekarang ini orang tidak boleh pesong dan selewengkan al-Quran. Pasti akan dapat dikesan dengan segera dan ditentang oleh para ulama\’. Inilah jaminan Allah s.w.t terhadap al-Quran.

iii- Sebelum baca al-Quran, yang diajar oleh Allah s.w.t sendiri melalui firman-Nya:
{Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.} (Al-Nahl 16:98)

Dari hadis Rasulullah s.a.w juga ada bacaan sebelum baca al-Quran.
Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa;
Suatu ketika Rasulullah s.a.w terbangun dari tidur sambil tersenyum. Kamipun bertanya, \’Ya Rasulullah, apa yang membuat tuan tersenyum?\’ Baginda bersabda, \”Baru saja turun kepadaku satu surah.\”
Kemudian Baginda membaca,

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ.
إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ, فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ, إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأَبْتَرُ.

Bismillahirrahmanirrahiiim.. kemudian Baginda membaca surah al-Kauthar ini. (HR. Ahmad 12322, Muslim 921, dan yang lainnya).

Yakni apabila di awal surah kita boleh Bismillah selepas baca A\’uzubillah. Jika di tengah surah boleh baca A\’uzubillah saja.

Powered by BetterDocs