View Categories

SURAH LUQMAN : AYAT 16-19

\"\"

WASIAT LUQMAN TENTANG ILMU ALLAH, KEWAJIPAN SOLAT DAN AMAR MA\’RUF & ADAB TAWADHU\’ SESAMA MANUSIA.

Full video : https://youtu.be/ZaLFB0bpsJs

MUQADDIMAH :

  1. Perbincangan kita kali ini menyambung wasiat Syeikh Luqman al-Hakim kepada anaknya tentang tauhid, ilmu Allah s.w.t, penjagaan solat, tugas amar ma\’ruf & nahi munkar dan beberapa adab pergaulan seperti adab berjalan, bercakap dalam masyarakat dan jangan gopoh.
  2. Yakni jangan berjalan dengan sombong, bercakap tidak perlu menjerit-jerit cukup sekadar didengari oleh orang yang kita nak sampaikan itu.
  3. Inilah yang Allah s.w.t ajar kepada kita sebagai panduan dalam mendidik anak-anak dan masyarakat.

AYAT 16- { (LUQMAN MENASIHATI ANAKNYA DENGAN BERKATA): \”WAHAI ANAK KESAYANGANKU, SESUNGGUHNYA JIKA ADA SESUATU PERKARA (YANG BAIK ATAU YANG BURUK) SEKALIPUN SEBERAT BIJI SAWI, SERTA IA TERSEMBUNYI DI DALAM BATU BESAR ATAU DI LANGIT ATAU PUN DI BUMI, SUDAH TETAP AKAN DIBAWA OLEH ALLAH (UNTUK DIHAKIMI DAN DIBALASNYA); KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA HALUS PENGETAHUANNYA; LAGI AMAT MELIPUTI AKAN SEGALA YANG TERSEMBUNYI.} (LUQMAN 31:16)

  1. Dalam ayat ini Luqman meneruskan nasihat kepada anaknya lagi dengan menggunakan panggilan yang mesra dan baik; wahai anak kesayanganku.
  2. Setiap perbuatan kita samada yang baik atau jahat, akan membawa pahala dan dosa, maka jangan pandang kecil kepada setiap pahala dan dosa itu. Walaupun ia hanya seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi pula di dalam batu besar atau di langit atau pun tertanam di dalam perut bumi.
  3. Ini kerana Allah s.w.t akan tetap menghitungnya untuk dihakimi dan dibalasi. Hisabnya pula dengan atom atau zarrah yang kecil.
  4. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa\’ 21:47).
  5. Jika ilmu dan pengetahuan ini terpasak dalam hati kita, sedar tentang sifat Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui dan Berkuasa, semua ini akan menghalang kita dari melakukan keburukan dan berusaha membuat kebaikan walaupun kecil.
  6. Kisah Sayyidah Aisyah R.Anha sedekah sebiji tamar.
  7. Di akhir ayat ini Luqman perkenalkan kepada anaknya siapakah Allah s.w.t: {Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.} Yakni Allah s.w.t Maha Halus dan Maha Luas ilmu-Nya. Tidak ada sesuatupun yang tersembunyi dari-Nya, walaupun kecil, halus dan lembut.
  8. Kata ulama\’, ini bermaksud dua:
    i- hendaklah kamu sentiasa berasa takut dan ingat bahawa Allah itu sentiasa memantau dan mengetahui segalanya.
    ii- juga kamu jangan runsing dan takut, jika Allah s.w.t telah menetapkan sesuatu perkara atau rezeki ia akan terjadi dan datang.

AYAT 17- {\”WAHAI ANAK KESAYANGANKU, DIRIKANLAH SOLAT, DAN SURUHLAH BERBUAT KEBAIKAN, SERTA LARANGLAH DARIPADA MELAKUKAN PERBUATAN YANG MUNGKAR, DAN BERSABARLAH ATAS SEGALA BALA BENCANA YANG MENIMPAMU. SESUNGGUHNYA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH DARI PERKARA-PERKARA YANG DIKEHENDAKI DIAMBIL BERAT MELAKUKANNYA.} (LUQMAN 31:17)

  1. Luqman meneruskan lagi memberi nasihat kepada anaknya.
  2. Dirikanlah solat yakni beribadat menyembah Allah. Solat ini diperintahkan sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu lagi.
  3. Supaya mengamalkan menyuruh berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar- (amar ma\’ruf & nahi munkar).
  4. Kedua tugas ini kena seiring tidak boleh hanya sebelah sahaja, bukan hanya ajak orang buat kebaikan tetapi wajib juga menegah atau melarang perbuatan munkar!
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): \”Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut\”}. (Al-Nahl 16:36).
  6. Orang yang mahu melakukan amar ma\’ruf & nahi munkar ini pasti akan menghadapi tentangan dan perlawan kerana ia satu perbuatan yang menyalahi amalan kebiasaan manusia.
  7. Ia akan diserang dari pelbagai penjuru. Kata ulama\’ seolah memegang bara api! Begitulah setiap perjalanan dakwah dan sunnah itu pasti akan ada penentangannya.
  8. Maka Luqman menasihati anaknya agar bersabarlah atas segala bala bencana yang akan menimpanya akibat dari perjuangan ini.
  9. Hadis nasihat Waraqah bin Naufal kepada Rasulullah s.a.w. Selepas menerima wahyu pertama, Baginda dibawa oleh Sayyidah Khadijah berjumpa Waraqah bin Naufal sepupunya yang juga seorang ahli Kitab yang alim untuk menceritakan pengalamannya dan meminta pendapat. Waraqah pun mendengar dengan tekun cerita Nabi s.a.w.
    Selesai mendengarnya, Waraqah bin Naufal berkata: \”Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya. Sungguh Engkau adalah Nabi umat ini. Telah datang kepadamu An-Namus (wayhu/malaikat Jibril) yang pernah datang kepada Nabi Musa. Sungguh kaummu akan mendustakanmu, mengganggumu, mengusirmu, dan memerangimu,\”.
    Kemudian, Rasulullah bertanya: \”Apakah mereka akan mengusirku?\”.
    Waraqah menjawab: \”Ya. Tidak seorang pun yang datang membawa serupa dengan yang engkau bawa, kecuali dimusuhi dan diperangi orang. Kalau aku sehingga masa itu, jika usiaku panjang, nescaya aku akan membelamu dengan pembelaan yang kuat,\”.
    Dan apa yang dikatakan oleh Waraqah bin Naufal tentang kenabian Rasulullah benar berlaku. Rasulullah s.a.w mengalami sejumlah halangan dan rintangan dalam dakwah yang begitu besar sehingga Baginda harus berhijrah dari Makkah menuju Madinah.
  10. Sesungguhnya yang demikian itu; iaitu solat, perjuangan amar ma\’ruf & nahi munkar serta bersabar- adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat untuk melakukannya.
    إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

AYAT 18- {\”DAN JANGANLAH ENGKAU MEMALINGKAN MUKAMU (KERANA MEMANDANG RENDAH) KEPADA MANUSIA, DAN JANGANLAH ENGKAU BERJALAN DI BUMI DENGAN BERLAGAK SOMBONG; SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK SUKA KEPADA TIAP-TIAP ORANG YANG SOMBONG TAKBUR, LAGI MEMBANGGAKAN DIRI.} (LUQMAN 31:18)

  1. Seterusnya nasihat Luqman ini adalah tentang adab pergaulan sesama manusia yang perlu kita pegang dan belajar.
  2. Pertamanya janganlah engkau memalingkan mukamu dari berhadapan ketika bercakap atau bersemuka, kerana memandang rendah kepada manusia. Yakni kerana berperasaan sombong tidak mahu pandang muka orang.
  3. Tetapi jika antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang ada keperluan untuk berdepan, kena jaga dan tundukkan pandangan, tidak perlu bertentang muka, beri telinga sahaja, tidak perlu beri mata!
  4. Hadis riwayat Abu Zar r.a, Rasulullah SAW bersabda, \”Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apa pun, sekalipun itu hanya bermuka manis saat berjumpa saudaramu.\” (HR Muslim). [HR Muslim 2626].
  5. Pesanan kedua: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Adab berjalan di atas dunia dan di hadapan manusia, telah di Syarahkan dalam Kuliah sebelum ini.
    Pesanan kepada yang berkereta, hati-hati kereta yang tinted gelap, takut orang tidak cam dan menyangka kita sombong pula jika tidak jawab teguran. Buka tingkap bela nak tegur atau bagi salam kepada orang.
  6. Ini kerana Allah s.w.t tidak suka kepada orang sombong di atas muka bumi ini.

AYAT 19- {\”DAN SEDERHANAKANLAH LANGKAHMU SEMASA BERJALAN, JUGA RENDAHKANLAH SUARAMU (SEMASA BERKATA-KATA), SESUNGGUHNYA SEBURUK-BURUK SUARA IALAH SUARA KELDAI\”. (LUQMAN 31:19)

  1. Pesanan ketiga: Luqman juga berpesan kepada anaknya agar sederhana dalam melangkah atau berjalan. Jangan gopoh dan kalut atau terlalu perlahan sehingga lembab, seeloknya bersederhana dan ikut kesesuaian.
  2. Hatta berjalan ke masjid, kena tenang dan jangan gopoh sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w, kita disunnahkan untuk berjalan dengan tenang dan tidak terburu-buru.
    Larangan ini adalah berdasarkan hadis dari Rasulullah dari Abu Hurairah:
    إذا سمتم الإقامة فامشوا إلى الصلاة وعليكم بالسكينة والوقار ولا تسارعوا فما أدركتم فصلوا وما فاتكم فأتموا
    Maksudnya: Apabila kamu mendengar Iqamat, pergilah bersolat dengan melangkah dengan tenang dan bersahaja. Janganlah tergopoh-gopoh. Mana yang sempat kalian teruskan, dan yang mana kalian tertinggal maka kalian sempurnakanlah.
    (Hadis riwayat: Jamaah kecuali at-Tirmizi)
  3. Pesanan keempat: Agar merendahkanlah suaramu semasa berkata-kata, bukan menjerit-menjerit dan bising, hatta membaca al-Quran dalam masjid, rendahkan suara agar tidak mengganggu orang yang mungkin sedang solat.
    Begitu juga imam-imam yang berzikir selepas solat, lebih-lebih lagi jika ada makmum yang masbuq sedang bersolat.
    Kata Imam Syafei: Sunat memperlahankan suara semasa berzikir selepas solat. Kecuali untuk mengajar orang ramai. Apabila mereka telah pandai maka perlahankan suaramu [Lihat Mughni Al-Muhtaj]
  4. Luqman membuat bandingan bagi orang yang bercakap menjerit-jerit tidak kena pada tempatnya adalah seolah keldai.
    Dan sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai yang menjadi ikon kepada haiwan yang bodoh.
  5. Lengkaplah dakwah Luqman iaitu tauhid yakni yakni jangan melakukan syirik yang merupakan suatu kezaliman.
    Lakukan ibadat- kerjakan solat, amar makruf nahi munkar dan juga beberapa adab dalam sifat dan pergauln dengan manusia.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 16- {(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): \”Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi,} – ayat ini menunjukkan betapa luasnya ilmu dan kuasa Allah s.w.t. meliputi dan mengetahui segala perkara, yang zahir dan tersembunyi, maka ia adalah galakan agar kita sentiasa ingat muraqabah/perhati dan pantauan Allah s.w.t.
  2. Ayat 16- Ayat 19- ayat-ayat ini mengajak kita kepada akhlak yang mulia.
    Ibu kepada kelebihan itu ada 3, yakni tonggak kepada dakwah:
    i- hikmah- الحكمة tidak akan melulu tindakannya berhati-hati dan berhikmah.
    ii- iffah -العفة baik jiwa tidak mahu hak orang, buat bukan kerana nafsu atau hasad.
    iii- keberanian -الشجاعة dalam ingkar benda yang munkar dan menggalakan kebaikan.
  3. Ayat 17- {\”Wahai anak kesayanganku..} – Luqman sentiasa memulakan lafaz yang lembut dan panggilan yang mesra sebelum memberi penasihat kepada anaknya.
    Allah s.w.t akan memberikan kesan yang baik kepada nasihat dan perkataan yang baik insya\’ Allah.
    Teguran kasar akan membawa kesan buruk bila tidak kena pada tempatnya. Tetapi kita kena berkeras juga pada tempatnya, ikut suasana yang perlu.
    Kata Imam Ghazali rhm.:
    i- Orang yang marah bukan pada tempatnya itu orang yang BODOH.
    ii- Manakala yang tidak marah pada tempat sepatutnya itu orang yang penakut dan DAYUS!!
    Kena asingkan kebencian dan marah terhadap seseorang,
    Kita marah dan benci kepada perbuatannya, bukan pada pelakunya.
  4. Ayat 17- {dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu} – wajib bersabar atas segala ujian dan rintangan dalam melakukan kerja dakwah dan kerja tugas amar ma\’ruf & nahi munkar.
    Kata ulama\’, 3 keadaan ini akan membawa kerosakan:
    i- siapa yang menyuruh orang buat baik tetapi tidak bersabar.
    ii- atau dia hanya bersabar saja tanpa menyuruh ke arah kebaikan
    iii- ataupun dia tidak sabar dan tidak suruhpun orang buat baik.
    Yang betulnya ialah: Suruh & Sabar!
  5. Bersabar dalam amar ma\’ruf & nahi munkar ini adalah tugas semua, samada pemerintah atau rakyat dalam masyarakat.
    Kena sama-sama bertanggung-jawab dan cakna, ambil berat dan bertugas secara amali setakat kemampuan masing-masing.
  6. Untuk mengamalkan amar ma\’ruf & nahi munkar, kita kena ada ilmu. Nak suruh orang buat baik kena ada ilmu, nak larang daripada kejahatan pun kena ada ilmu! Bukan kata share semua atas niat berdakwah ke arah kebaikan sedangkan benda itu tidak sahih!
  7. Untuk mengamalkan amar ma\’ruf & nahi munkar, kita kena mulakan dengan diri kita sendiri dulu!
    Bila kita suruh orang buat kita pun buatnya juga, bila kita nak larang orang daripada benda munkar kita pun jauhi dan tinggalkannya.
    Maka akan menajdi motivasi dengan sendirinya. Bukan kata tunggu kita menjadi wali atau 100% baik baru nak berdakwah.
  8. Amar ma\’ruf & nahi munkar adalah satu lorong yang berisiko. Samada kita akan dimarah oleh orang atau dipuja melampau sehingga menjadi riya\’ dan takabbur. Keduanya adalah lorong syaitan. Dakwah ini jangan dikeji dan dipuji. Kena ambil jalan yang baik dan sabar menghadapi kedua-duanya.
  9. Ayat 17- {\”Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.} – orang yang boleh buar kerja ini adalah orang yang mempunyai jiwa yang kental! Ayat ini berpesan agar mantap jiwa dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu dalam melakukan amar ma\’ruf & nahi munkar, akan ada tentangan dan perlawanan. Maka kena ada plan dan strategi yang tersusun dan rapi.
  10. Ayat 19- {\”Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata)} – ayat ini mengajar adab untuk berinteraksi sesama manusia, jangan berjalan dengan sombong, berjalan dengan sopan dan sederhana, jangan gopoh, bila berjumpa orang jangan sombong, bercakap dengan suara yang baik dan sederhana.
    Contoh; jika menjadi tetamu atau tuan rumah beri masa dan perhatian, hormat kepada tuan rumah/tetamu jangan dok layan hp saja. Jaga adab sebagai tetamu dan tuan rumah juga.

Semoga semua pesanan dan nasihat ini dapat kita amalkan dalam kehidupan dan pendidikan anak-anak serta masyarakat umumnya, insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs