SEMUA BENDA ALLAH CIPTAKAN UNTUK KEMUDAHAN KITA, CELAAN GOLONGAN MUSYRIKIN TAQLID ORANG LAMA & SELAMAT MANHAJ ORANG BERIMAN.
Full video : https://youtu.be/SJdKyHmxHSA
MUQADDIMAH :
- Dalam siri sebelum ini kita telah selesai mendengar dari ayat-ayatnya tentang nasihat dari seorang hamba yang soleh Luqman al-Hakim kepada anaknya sekaligus sebagai panduan dan nasihat kepada kita semua juga.
Luqman sebagai pencerita kisah yang datang dari Allah s.w.t. - Dalam ayat sebelumnya Allah s.w.t membawa dalil-dalil ayat bukti keesaan dan kekuasan Allah s.w.t melalui penciptaan langit, bumi dan apa yang ada antara keduanya. Untuk menegakkan dalil dan hujjah ke atas orang kafir.
- Kemudian dibawa cerita kata-kata hikmah Luqman, yang bukan seorang nabi kepada kita untuk menunjukkan bukti bahawa orang biasa yang bukan nabi pun boleh mengetahui melihat dengan jelas dan zahir akan tanda-tanda keeesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. bagi orang yang berfikir dengan akal dan mata hatinya.
Maka kita orang biasa pun pasti dapat memahaminya dengan memerhati dan tadabbur ayat-ayat al-Quran, hatta orang kafir pun yang mengkajinya insya\’ Allah akan terbuka kefahamannya.
- Lalu dalam ayat seterusnya ini Allah s.w.t bawa dalil melalui nikmat-Nya pula agar manusia terus berfikir dan beriman kepada Allah s.w.t dengan mantap.
- Perbincangan kita dalam siri ini ialah tentang nikmat Allah s.w.t yang besar kepada kita manusia, Dia mencipta segala yang di langit dan di bumi untuk kemudahan dan kegunaan manusia. ini yang perlu kita hayati dan tadabbur.
- Kemudian celaan terhadap orang kafir yang asyik menggunakan hujjah yang sama iaitu, mengikut cara dan ajaran datuk nenek mereka dahulu.
- Orang terdahulu yang beriman dan berada di atas manhaj, landasan yang benar, maka mereka akan selamat.
- Kita pada hari ini kitab kita adalah al-Quran, tiada kitab lain selainnya sebagai panduan dan rujukan.
AYAT 20- {TIDAKKAH KAMU MEMPERHATIKAN BAHAWA ALLAH TELAH MEMUDAHKAN UNTUK KEGUNAAN KAMU APA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, DAN TELAH MELIMPAHKAN KEPADA KAMI NIKMAT-NIMATNYA YANG ZAHIR DAN YANG BATIN? DALAM PADA ITU, ADA DI ANTARA MANUSIA ORANG YANG MEMBANTAH MENGENAI (SIFAT-SIFAT) ALLAH DENGAN TIDAK BERDASARKAN SEBARANG PENGETAHUAN ATAU SEBARANG PETUNJUK; DAN TIDAK JUGA BERDASARKAN MANA-MANA KITAB ALLAH YANG MENERANGI KEBENARAN.} (LUQMAN 31:20)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t berfirman mengingatkan hamba-hamba-Nya akan semua nikmat yang telah Dia limpahkan kepada mereka, dari apa yang ada di langit dan di bumi.
Jika kamu masih dapat tidak berfikir dan bersyukur maka amat malang. - Lihat kepada binatang-binatang yang menjadi ternakan, makanan atau kenderaan mengangkat barang, mengikut arahan manusia walaupun gajah yang besar, serta tumbuhan yang menjadi makanan serta pebagai gunannya.
- Nikmat siang dan malam dengan matahari dan bulannya, hujan dan segalanya.
- Firman Allah s.w.t: {Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.} (Al-Nahl 16:12)
- Nikmat itu samada yang zahir yang dapat kita lihat seperti yang tersebut di atas tadi atau yang batinnya yang tidak kita lihat seperti ubi-ubi, segala tanaman di dalam tanah, logam-logam dalam perut bumi dan seumpamanya.
- Ada ulama\’ kata yang zahir yang kita nampak dengan mata, yang batin yang kita boleh lihat dengan dalil.
- Tetapi malangnya walaupun manusia mendapat segala faedah yang ada di bumi dan di langit, ada yang terus kufur dan tidak beriman kepada Allah s.w.t, ataupun yang telah beriman tetapi tidak syukur akan segala nikmat itu maka terus lagha lalai dan berbuat maksiat ingkar kepada Allah s.w.t.
- Mereka berbuat semua ini tanpa بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ iaitu:
i- tanpa ilmu yang zahir yang boleh dilihat. عِلْمٍ
ii- tanpa petunjuk هُدًى
iii- tanpa dalil dari kitab,
AYAT 21- {DAN APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA (YANG INGKAR): \”TURUTLAH AKAN APA YANG TELAH DITURUNKAN OLEH ALLAH\” MEREKA MENJAWAB:\” (TIDAK), BAHKAN KAMI HANYA MENURUT APA YANG KAMI DAPATI DATUK NENEK KAMI MELAKUKANNYA\”. PATUTKAH MEREKA (MENURUT DATUK NENEKNYA) SEKALIPUN SYAITAN MENGAJAK MEREKA ITU (MELAKUKAN PERBUATAN YANG MENJERUMUSKAN MEREKA) KE DALAM AZAB API NERAKA YANG MARAK MENJULANG?} (LUQMAN 31:21)
- Apabila diperintahkan kepada mereka yang ingkar akan keesaan Allah, agar mereka mengikuti syariat dan perintah Allah, mereka menjawab;
- Tidak sekali-kali! Mereka tetap tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang mereka dapati dari nenek moyang. Tiada alasan bagi mereka melainkan hanya sekadar mengikuti jejak nenek moyang mereka.
- Sedangkan nenek moyang mereka tidak mengetahui sesuatu apa pun, tidak mendapat petunjuk dan sesat lagi menyesatkan, mengikut syaitan yang menyeru mereka ke dalam azab api neraka yang menyala-nyala. Na\’uzubillah!
AYAT 22- {DAN SESIAPA YANG BERSERAH DIRI BULAT-BULAT KEPADA ALLAH (DENGAN IKHLAS) SEDANG IA BERUSAHA MENGERJAKAN KEBAIKAN, MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH BERPEGANG KEPADA SIMPULAN (TALI AGAMA) YANG TEGUH DAN (INGATLAH) KEPADA ALLAH JUALAH KESUDAHAN SEGALA URUSAN.} (LUQMAN 31:22)
- Bagi orang yang berserah diri bertawakkal kepada Allah sepenuhnya dengan ikhlas dan tenang hatinya menerima apa yang ditakdirkan kepadanya serta melakukan amal kebaikan dengan bersungguh, maka dia telah berpegang dengan tali ajaran agama Allah s.w.t yang benar.
- Hanya kepada Allah-lah kesudahan segala perkara atau urusan kita akan kembali. Nanti Dia akan memutuskan perkara hamba-hamba-Nya dan membalas amal mereka.
- Apakah ihsan: Dalam suatu hadis apabila malaikat Jibril datang bertemu Rasulullah s.a.w bertanya tentang Islam, Iman dan Ihsan:
\”Kemudian dia (Jibril) bertanya lagi: Jelaskan kepadaku pula apakah maksud Ihsan. Rasulullah s.a.w. menjawab: Ihsan ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.\” (HR. Muslim)
AYAT 23- {DAN SESIAPA YANG KUFUR INGKAR, MAKA JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) BERDUKACITA TENTANG KEKUFURANNYA ITU; KEPADA KAMILAH TEMPAT KEMBALINYA MEREKA, KEMUDIAN KAMI AKAN MEMBERITAHU KEPADA MEREKA TENTANG APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA (ISI HATI) YANG TERKANDUNG DI DALAM DADA.} (LUQMAN 31:23)
- Ayat ini adalah lawan kepada yang di atas, ayat 22, siapa yang taat, dan ayat 23 ini sesiapa yang kufur.
Begitulah ayat al-Quran ada pasangannya yang baik dan buruk, yang negatif dan positif!
Kita pun begitu juga yang baik diikuti, yang buruk dijauhi! - Sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah kamu bersedih hati kerana kesesatan mereka, kekafiran mereka kepada Allah dan kepada apa yang kamu sampaikan, tidak mahu mengikuti petunjuk. Kamu telah menunaikan tugasmu berdakwah dan menyampaikan.
- Bahagialah manusia yang boleh memenuhi rekodnya dengan kebaikan dan sebaliknnya celakalah bagi yang memenuhinya dengan keburukan. Surat amalan kita yang akan dibaca di hadapan Allah di akhirat nanti, kita sendirilah penulisnya!
- Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala apa yang tersembunyi dalam hati kamu, Allah mengetahui samada aqidah kamu betul atau tidak, ikhlas atau tidak! Maka jangan berani-berani buat maksiat dan melangar hukum Allah.
- Allah s.w.t turunkan al-Quran sebagai kitab petunjuk untuk kita kaji bukan untuk kita berkelahi!
AYAT 24- {KAMI AKAN BERIKAN MEREKA MENIKMATI KESENANGAN BAGI SEMENTARA (DI DUNIA), KEMUDIAN KAMI AKAN MEMAKSA MEREKA (DENGAN MENYERETNYA) KE DALAM AZAB YANG AMAT BERAT.} (LUQMAN 31:24)
- Allah s.w.t nyatakan segala nikmat yang kamu nikmati atas dunia ini, hanyalah sementara dan sekejap saja yang Allah bagi! Berbanding dengan akhirat kelak dimana;
- Kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.
- Hidup ini pendek dan sekejap saja, nyawa kita seolah di hujung tanduk, bila-bila masa boleh habis, maka persipakanlah segala amal sebagai bekalan di akhirat di nanti.
- Firman Allah s.w.t: {Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).} (A-li\’Imraan 3:196)
(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
(A-li\’Imraan 3:197) - Ayat ini menenangkan hati Rasulullah s.a.w walaupun Baginda ditentang, dihalang dan dihalau keluar, semua ini sekejap sahaja, bila tiba masanya janji Allah s.w.t yang benar islam akan menang. Di akhirat nanti tempat mereka adalah di dalam neraka yang penuh azab siksa.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 20- {ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk }- ayat ini menunjukkan orang yang mahu berhujjah dia kena guna ilmu dan dua dalil ini, samada dalil aqli atau naqli.
Allah s.w.t sebut tanpa ilmu, ilmu di sini bermaksud samada:
i- ilmu az-Zati- ilmu asas yang ada dalam hati, fitrah manusia akan kewujudan Tuhan.
ii- ilmu yang diusahakan – untuk didapatinya iaitu melalui petunjuk Nabi dan Kitab, Kita wajib korek dan mencarinya. - Ayat 22- {Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan,} – ayat ini mengajar kita agar ikhlaskan amal dan ihsan iaitu melalukan segala amal ibadat ikut ajaran Allah dan rasul-Nya.
- Ayat 22- {Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan,} – wajib ikhlas dalam amal ibadat dan mutaba\’ah – yakni ikut yang Nabi s.a.w ajar.
- Ayat 22- {Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.} – segala urusan kembali kepada Allah, ayat ini mengajar untuk sabar kerana apabila kita beriman kita akan diuji, tetapi sabarlah kerana balasannya di akhirat adalah kemenangan. Yakni bila kita mati tenang dan tidak huru-hara.
- Ayat 23- { Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.} – ayat ini mengajar kita supaya ikhlas, tidak sombong dan takabbur. Juga mencapai kemantapan iman dengan merasai muraqabah Allah s.w.t, , bila iman kita mantap kita tidak akan buat maksiat dan ingkar kepada Allah s.w.t.
- Ayat 20- {Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu} – Allah sebut Dia yang memberikan nikmat dan permudahkan segala urusan kepada kita. Yakni bila dapat nikmat itu, jangan makan atau minum saja, bahkan kena ingat kepada pemberi nikmat yang hakiki iaitu Allah s.w.t lalu bersyukur.
- Ayat 20- { Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu} – ulama\’ kata harus kita gunakan segala kemudahan yang ada di atas dunia ini. Silakan jika nak naik ke langit, nak turun ke dasar laut jika mampu. Tetapi kena ingat, syaratnya syukur dan jangan kufur nikmat kepada Allah s.w.t.
- Ayat 21- {Mereka menjawab:\” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya\”.} – ayat ini mengajar kepada kita bahawa HARAM untuk kita ikut buat perbuatan seseorang, sesiapa saja dia, apabila kita tahu ia salah. Apa saja bab, kehidupan atau acara ibadat, untuk buat sesuatu kita perlu ada dalil yang sahih dan jelas daripada al-Quran dan hadis. Ayat ini mencela orang yang taqlid buta tanpa hujjah dan dalil.
- Ayat 20- {Dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk;} – Allah s.w.t larang kita dari berhujjah/berdebat tanpa dalil dan ilmu, kena ada hujjah dan dalil, samada dalil naqli atau aqli dari al-Quran dan Sunnah yang dapat digunakan.
- Ayat 21- {Mereka menjawab:\” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya\”.} – para pengkaji pegangan agama atas dunia ini dapati kebanyakan adat, amalan dan ajaran dalam kebanyakan agama yang ada itu, hanya ikut perbuatan datuk nenek samada yang betul, yang karut, marut dan yang salah, bukan berdasarakn sumber yang ilmiah.
Boleh lihat kepada usaha yang dilakukan oleh NGO MRM – mereka buat kajian tentang kefahaman dan pegangan agama atas dunia ini, serta amalan mereka seperti penyembelihan dan lain-lain.
Alhamdulillah tamatlah kita dalam perbincangan dan faedah yang dapat dikutip dari tadabbur dalam siri ini.