KEADAAN MUNAFIQIN BILA TURUN AYAT JIHAD, SIFAT ORANG BENAR & ARAHAN TADABBUR QURAN.
Full video : https://youtu.be/9rGi4c5PKo4
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t gambarkan sikap & keadaan dua golongan yang berbeza apabila diturunkan ayat yang menyeru dan memerintahkan kepada berperang & berjihad:
i- keadaan orang kafir & munafiqin yang enggan dan terbeliak biji mata kerana takut mati.
ii- keadaan orang mukmin yang gembira kerana mereka tahu akan ganjarannya yang besar, kematian itu akan mempercepatkan mereka ke syurga.
- Ini supaya kita nampak siapa yang benar dan siapa yang hanya berpura-pura beriman.
- Kemudian di akhir ayat, Allah s.w.t minta supaya kita tadabbur al-Quran. Orang yang tidak tadabbur al-Quran ialah orang yang hatinya tertutup, na\’uzubillah.
- Munasabah susunan ayat: Allah s.w.t telah menjelaskan keadaan orang kafir dan munafiq yang berbeza dengan orang yang mendapat hidayah beriman apabila disebut aya-ayat tentang tauhid dan kebangkitan semula.
Orang beriman bertambah iman dan petunjuknya.
Lalu dalam ayat ini Allah nyatakan pula sikap orang munafiq apabila diturunkan ayat-ayat al-Quran.
AYAT 20- {DAN (KERANA GEMARKAN PAHALA BERJUANG MENEGAKKAN ISLAM) ORANG-ORANG YANG BERIMAN BERKATA: \”ALANGKAH BAIKNYA SEKIRANYA DITURUNKAN SATU SURAH (DARI AL-QURAN, YANG MEMERINTAHKAN KAMI BERJUANG)?\” MAKA APABILA DITURUNKAN SATU SURAH (DARI AL-QURAN) YANG TEGAS KETERANGANNYA DAN TERSEBUT PADANYA HUKUM-HUKUM YANG MEWAJIBKAN PERANG JIHAD (MENENTANG PENCEROBOHAN MUSUH), SUDAH TENTU ENGKAU AKAN MELIHAT ORANG-ORANG YANG ADA PENYAKIT (KUFUR) DALAM HATINYA MEMANDANG KEPADAMU DENGAN TERBELIAK MATANYA KERANA GERUN TAKUT MENGHADAPI MATI; DENGAN YANG DEMIKIAN, MAKA KEBINASAANLAH LEBIH HAMPIR KEPADA MEREKA.} (MUHAMMAD 47:20)
- Sifat orang beriman yang amat inginkan pahala dan keredhaan Allah s.w.t, mereka sangat rindu dan berharap agar ada ayat al-Quran yang baru turun untuk mereka beramal dan menerima arahan baru dari Allah.
- Lalu mereka berharap ada satu surah dari al-Quran yang yang memerintahkan mereka untuk berjuang fi sabilillah.
- Maka Allah s.w.t turunkan satu surah dari Al-Quran yang tegas & jelas hukumnya (سُورَةٌ مُحْكَمَةٌ) keterangannya dan tersebut padanya hukum-hukum yang mewajibkan perang Jihad (الْقِتَالُ), menentang pencerobohan musuh Islam.
- Bila ini terjadi, kita dapat melihat respon golongan munafiq yang ada penyakit dalam hatinya, mereka memandang kepada Rasulullah s.a.w dengan pandangan yang mengecutkan dan terbeliak mata, ini kerana mereka takut untuk mati dan tidak suka untuk berjihad.
- Dengan sifat pengecut dan penakut yang sedemikian, maka kebinasaanlah bagi mereka, puak munafiq.
Allah s.w.t mahu dedahkan siapa sebenarnya mereka!
Mereka adalah puak kafir yang cukup merbahaya kerana mereka menyamar dan mengaku sebagai Islam sedangkan mereka memusuhi Rasulullah s.a.w dan Islam (المنافقون).
AYAT 21- {(MEREKA SELALU BERKATA: \”PENDIRIAN KAMI) MEMATUHI PERINTAH DAN MEMPERKATAKAN PERKATAAN YANG BAIK (YANG DIREDHAI ALLAH)\”. DALAM PADA ITU, APABILA PERKARA (PEPERANGAN JIHAD) ITU DITETAPKAN WAJIBNYA, (MEREKA TIDAK MENYUKAINYA); MAKA KALAULAH MEREKA BERSIFAT JUJUR KEPADA ALLAH (DENGAN MEMATUHI PERINTAHNYA), TENTULAH YANG DEMIKIAN ITU AMAT BAIK BAGI MEREKA.} (MUHAMMAD 47:21)
- Pada zahirnya mereka sentiasa berkata bahawa mereka akan mematuhi apa jua perintah Allah dan selalu berkata baik!
- Tetapi jelas apabila diwajibkan jihad, mereka enggan dan menolaknya, tidak menyukainya kerana takut untuk mati fi sabilillah yang mereka tidak beriman.
- Jikalah mereka betul-betul beriman kepada Allah s.w.t, pasti mereka akan selamat dan tidak akan mati dalam kecelakaan. Jika menang akan dapat keselamatan dan ghanimah (harta rampasan), jika terkorban, mati syahid fisabilillah.
AYAT 22- {(KALAU KAMU TIDAK MEMATUHI PERINTAH) MAKA TIDAKKAH KAMU HARUS DIBIMBANG DAN DIKHUATIRKAN – JIKA KAMU DAPAT MEMEGANG KUASA – KAMU AKAN MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI, DAN MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM DENGAN KAUM KERABAT?} (MUHAMMAD 47:22)
- Allah s.w.t juga gambarkan orang yang berperangai munafiq ini, yang berpura beriman semata untuk kepentingan dunia dan menjaga kepentingan diri.
- Mereka ini jika mendapat jawatan mereka akan membuat kerosakan di muka bumi samada dengan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat mereka serta melakukan kezaliman dan pencerobohan hak orang lain.
- Sebelum dapat jawatan mereka berjanji dengan segala yang baik dan manis, tetapi selepas itu mereka akan belot dan pentingkan diri sendiri.
AYAT 23- {(ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN PERKARA YANG TERSEBUT) MEREKALAH YANG DILAKNAT OLEH ALLAH SERTA DITULIKAN PENDENGARAN MEREKA, DAN DIBUTAKAN PENGLIHATANNYA.} (MUHAMMAD 47:23)
- Mereka yang bersifat begini (membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturrahim) akan:
i-mendapat laknat ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.} - Munasabah ayat: Apabila Allah s.w.t menyatakan kedudukan orang munafiq yang berat dan takut untuk menerima ayat al-Quran, mereka inilah yang akan dilaknat oleh Allah s.w.t.
- Laknat (الملعون) ertinya orang yang dijauhkan dari rahmat Allah s.w.t, jika tidak sempat bertaubat dia akan dicampakkan ke dalam neraka.
- Hadis riwayat Jubair bin Mut\’im r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.\” [HR Bukhari & Muslim].
- Dari Abu Bakrah r.a, sabda Rasulullah s.a.w: \”Tidak ada mana-mana dosa yang Allah s.w.t akan segerakan tindakannya atas dunia serta akan diazab pula di Akhirat kecuali orang yang buat zalim kejahatan serta memutuskan silaturrahim.\” [HR Abu Daud, Ahmad & at-Tirmizi].
- Kita tidak perlu lihat jauh tentang perbuatan zalim, tengoklah kepada diri kita sendiri dulu. Ada bapa yang zalim kepada anaknya sendiri, iaitu bapa yang tidak menunaikan nafkah untuk keluarganya dan anak-anaknya adalah orang yang zalim, dia akan mendapat pembalasan di dunia lagi.
- Apakah maksud memutuskan silaturrahim?
Tiada hubungan serta apabila berjumpa tidak bertegur sapa. Bila putus, orang yang menyambungnya ialah yang terbaik, iaitu apabila orang tidak datang kita pergi, kita sambung, bukan sekadar membalas kunjungan. - Hadis riwayat Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: \”Allah melaknat orang yang menyembelih binatang untuk selain Allah, Allah melaknat orang yang melaknat dua orang tuanya, Allah melaknat orang yang membantu orang yang melindungi orang zalim, Allah melaknat orang yang mengubah tanda tanda perbatasan tanah.\” [HR al-Bukhari, Muslim dan an-Nasai].
- Kata Imam az-Zahabi rhm.: Bagaimanakah kita nak tahu sesuatu dosa itu dosa besar atau kecil? Iaitu:
i- Apabila Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa Allah s.w.t melaknat sesuatu perbuatan itu maka ia adalah satu dosa besar!
ii- apabila Allah s.w.t janjikan balasannya dengan azab yang dahsyat.
Beliau juga menyeneraikan 76 dosa besar. - Maksud Allah s.w.t butakan penglihatan dan tulikan pendengaran mereka adalah dengan menutup kebolehan mereka untuk melihat dan menerima kebenaran lagi!
AYAT 24- {(SETELAH DITERANGKAN YANG DEMIKIAN) MAKA ADAKAH MEREKA SENGAJA TIDAK BERUSAHA MEMAHAMI SERTA MEMIKIRKAN ISI AL-QURAN? ATAU TELAH ADA DI ATAS HATI MEREKA KUNCI PENUTUP (YANG MENGHALANGNYA DARIPADA MENERIMA AJARAN AL-QURAN)?} (MUHAMMAD 47:24)
- Munasabah ayat: Allah s.w.t telah sebut tentang kaum munafiq yang Allah jauhkan mereka dari kebaikan, mata mereka buta, telinga mereka tuli, hati mereka tidak berfikir untuk menerima kebenaran dari ayat-ayat Allah s.w.t.
- Maka kita orang beriman jika nak selamat kena:
i- tadabbur al-Quran.
ii- sucikan hati kita dari dosa-dosa dan maksiat yang segala perkara yang boleh menutupnya daripada menerima kebenaran.
- Ini kerana dosa & maksiat akan menjadi karat yang akan menutup hati daripada menerima kebenaran, tidak berfikir dan tidak mahu tadabbur. Maka marilah kita ambil kelas tadabbur ini belajar dan baca al-Quran untuk bersihkan hati kita.
- Ilmu tadabbur al-Quran ini amat penting jangan kita mudah-mudah hanya melalui zoom & belajar tajwid tanpa tadabbur belajar ilmu & isinya al-Quran.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 20- {Dan (kerana gemarkan pahala berjuang menegakkan Islam) orang-orang yang beriman berkata: \”Alangkah baiknya sekiranya diturunkan satu surah (dari Al-Quran, yang memerintahkan kami berjuang)?\”}- ayat ini menunjukkan bahawa orang-orang yang beriman sentiasa merindui untuk mendengar kalamullah, menerima perintah-Nya, sangat ingin berjumpa Allah, lalu sentiasa meminta agar turun ayat-ayat baru.
Sebagaimana kisah Nabi Musa a.s yang bermunajat kepada Allah lalu meminta untuk melihat Allah.
Lalu Allah s.w.t berfirman:
{Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu. Setelah Tuhannya \”Tajalla\” (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) \”Tajalli-Nya\” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)} [Al-A\’raf: 143].
Kita pada zaman ini, zaman tiada lagi ayat baru akan turun, jika rindukan Kalamullah maka perbanyakkan bacaan al-Quran dan tadabburnya.
Kata Sayyidina Usman bin Affan r.a: Sesiapa yang merindui & mencintai Allah s.w.t, dia tidak akan jemu untuk mendengar Kalamullah (al-Quran).
- Ayat 22 – {(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?}- ayat ini mengajar kepada kita & memberi isyarat bahawa melakukan kerosakan atas muka bumi & memutuskan silatur-rahim adalah syiar perbuatan orang kafir & munafiq yang tidak beriman kepada Allah s.w.t.
Maka kita orang beriman jangan buat kerosakan di muka bumi & hubungilah silaturrahim. Inilah yang dirancang dicanang oleh syaitan agar manusia semua terjebak ke dalamnya lalu diazab bersamanya di dalam neraka.
- Ayat 21- {Dalam pada itu, apabila perkara (peperangan Jihad) itu ditetapkan wajibnya, (mereka tidak menyukainya); maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.}- ayat ini diturunkan sebelum munculnya munafiq lagi serta sebelum ayat Jihad diturunkan. Allah jelaskan sifat mereka sebelum berlaku sebagai satu mukjizat al-Quran.
Golongan munafiq ini muncul apabila Rasulullah s.a.w berjaya menubuhkan negara Islam di Madinah. Semasa di Makkah tiada munafiq.
Ujian pertama untuk munafiq ini ialah peperangan Uhud pada bulan Syawwal, Tahun ke3H. Allah uji mereka melaluinya. Boleh baca cerita penuh dalam buku Madinah; Kelebihan & Sejarah.
http://www.dartaibah.com/…
Kata Ibnu Asyur, peristiwa Uhud ini berlaku setelah 3 tahun ayat ini diturunkan.
- Ayat 22 – {(Dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?}- wajib menyambung silaturrahim dan sesiapa yang memutuskannya akan mendapat laknat Allah s.w.t dan dimasukkan ke dalam neraka. Maka semak balik hubungan antara keluarga kita serat perbaikilah.
Hadis Rasulullah s.a.w yang menejelaskan maksud silaturrahim: Rasulullah S.A.W bersabda:
لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
\”Silaturrahim bukanlah yang saling membalas kebaikan/kunjungan. Tetapi seorang yang berusaha menjalin hubungan baik meskipun keluarganya memutuskan hubungan persaudaraan dengan dirinya.\” (HR Bukhari).
- Ayat 24- {(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran?}- ayat ini menjadi kewajipan kepada kita bahawa memahami Kitab Allah s.w.t ini ada yang menjadi fardhu Ain dan ada juga fardhu Kifayah.
Contohnya:
i- Fardhu ain: belajar dan mengaji al-Quran- wajib ke atas kita. Mengenali & mengetahui Allah & Rasul itu wajib.
ii- Fardhu Kifayah: memahami & menghurai maksud tafsir yang dalam-dalam itu mencukupi jika ada ustaz atau guru yang mahir dalam qaryah kita, tetapi kita wajib belajar juga dari mereka. Tidak boleh berbangga sekadar ada guru & syeikh saja.
Penting sekali bagi kita untuk tadabbur al-Quran.
Allah s.w.t nyatakan melalui Rasulullah s.a.w bahawa orang yang menyibukkan dirinya dengan ilmu al-Quran itulah manusia yang terbaik.
Hadis riwayat dari Usman bin Affan r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
\”Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah orang yang (sibukkan dirinya) mempelajari al-Quran dan mengajarnya (pula) kepada orang lain\”. (HR Bukhari)
Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk:
i- belajar baca al-Quran.
ii- belajar terjemahan maknanya.
iii- belajar bagaimana nak memahami isi kandungan al-Quran kemudian kita tadabbur, berfikir apa yang Allah s.w.t mahu beritahu kepada kita melalui ayat ini.
iv- serta beramal dengan segala isi kandungannya sebagaimana perintah Allah s.w.t.
Semoga usaha kita ini juga termasuk dalam orang yang tadabbur dan belajar al-Quran, menjadi bekalan kepada kita di Akhirat kelak, insya\’ Allah.