View Categories

SURAH SAAD : AYAT 4-11

\"\"

GOLONGAN KAFIR RASA AJAIB DENGAN NABI, MENUDUH NABI S.A.W AHLI SIHIR GILA KUASA & ALLAH S.W.T MENOLAK HUJJAH MEREKA.

Full video : https://youtu.be/ENnAvaVIwt0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang sikap orang kafir yang ajaib dan pelik dengan Rasulullah s.a.w, kerana mendakwa Tuhan hanya satu.
    Macamana tuhan yang mereka sembah yang banyak-banyak, boleh menjadi tuhan yang satu!
  2. Seperti biasa apabila sudah tiada hujjah mereka akan gunakan akta jahat, tuduhan dan tohmahan kepada Rasulullah s.a.w seperti ahli sihir, gila kuasa dan lain-lain.
  3. Surah Saad ini ertinya sekatan atau bantahan. Dalam siri yang lepas kita sudah sebut tentang 5 bantahan atau tentangan yang dibuat oleh puak kafir Quraisy terhadap dalwah Rasulullah dan al-Quran.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat sebelum ini Allah s.w.t telah nyatakan bahawa orang kafir itu sombong dan menentang kebenaran.
    Maka dalam ayat ini adalah tuduhan atau dua sifat yang buruk yang mereka telah cipta dan sandarkan ke atas Rasulullah s.a.w iaitu sebagai pembohong atau ahli sihir!
  5. Tujuannya untuk menjauhkan orang ramai daripada mendekati Baginda s.a.w, mengganggu dan menghalang, menyekat apa yang cuba dibawa oleh Rasulullah.
    Ini kerana percakapan Rasulullah itu sangat fasih dan benar, mereka takut orang yang mendengar akan terpengaruh lalu mengikut Baginda s.a.w.

AYAT 04 -{DAN MEREKA (YANG MENGINGKARI KERASULAN NABI MUHAMMAD ITU) MERASA HAIRAN, BAHAWA MEREKA DIDATANGI OLEH SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN, DARI KALANGAN MEREKA SENDIRI. DAN MEREKA YANG KAFIR ITU BERKATA: \”ORANG INI ADALAH SEORANG AHLI SIHIR, LAGI PENDUSTA.} (SAAD 38:4)

  1. Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang kafir Quraisy yang merasa pelik dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, macamana tuhan yang banyak boleh hanya menjadi satu.
  2. Mereka juga pertikaikan kenabian Rasulullah, sebagai seorang rasul yang memberi amaran, sedangkan dia hanya dari kalangan mereka sendiri yang mereka rasa tidak hebat dan tidak layak.
  3. Tetapi setelah tiada hujjah yang dapat melawan hujjah dan dalil yang Rasulullah s.a.w bawa, lalu mereka membuat pula tuduhan dan tohmahan jahat mengatakan bahawa Baginda adalah seorang ahli sihir serta pendusta!
  4. Mereka mengacau dan mengkhianati Rasulullah s.a.w, apabila Baginda bersolat dan membaca al-Quran dekat Ka\’bah mereka bersiul, membuat kacau dan bising supaya orang terganggu dan tidak dapat mendengarnya.

AYAT 05 -{\”PATUTKAH IA MENAFIKAN TUHAN-TUHAN YANG BERBILANG ITU DENGAN MENGATAKAN: TUHAN HANYA SATU? SESUNGGUHNYA INI ADALAH SATU PERKARA YANG MENAKJUBKAN!\”} (SAAD 38:5)

  1. Bagi mereka perkara ini adalah satu perkara yang tak logik dan menakjubkan bagi mereka, bagaimana tuhan mereka yang banyak-banyak boleh menjadi satu???
  2. Di sekeliling Ka\’bah saja pada masa itu terdapat 360 buat patung berhala yang mereka sembah. Di rumah masing-masing pula ada lagi berketul-ketul. Ada yang dari batu, kayu bahkan dari buah tamar pun ada.
  3. Yakni adakah Muhammad (s.a.w) mahu kita meninggalkan semua tuhan ini dan menyembah hanya satu Tuhan saja?
    Ini adalah bantahan mereka tentang Ketuhanan Yang Esa (satu).
  4. Puak musyrikin Quraisy ini mendustakan Rasulullah s.a.w dalam 3 perkara ini:
    i- perkara yang berkait dengan Ketuhanan.
    ii- perkara yang berkait dengan Kenabian.
    iii- perkara yang berkait dengan Kebangkitan semula.
  5. Begitulah biasanya ayat-ayat al-Quran dalam surah-surah Makkiyyah, dalam awal dakwah Nabi s.a.w membincangkan hujjah tentang 3 usul atau asas aqidah ini, Tuhan, Nabi dan Bangkit semula.

AYAT 06 -{DAN (KETIKA ITU) KELUARLAH KETUA-KETUA DARI KALANGAN MEREKA (MEMBERI PERANSANG DENGAN BERKATA): \”JALAN TERUS (MENURUT CARA PENYEMBAHAN DATUK NENEK KAMU) DAN TETAP TEKUNLAH MENYEMBAH TUHAN-TUHAN KAMU. SEBENARNYA SIKAP INI ADALAH SATU PERKARA YANG AMAT DIKEHENDAKI.} (SAAD 38:6)

  1. Ayat ini adalah penolakan mereka tentang Kenabian.
    Apabila dakwah Rasulullah s.a.w mendapat sambutan dan ada yang menerimanya samada secara sembunyi atau atau terang-terangan, juga apabila ada para pembesar mereka seperti Hamzah bin Abu Mutalib r.a dan Umar al-Khattab r.a yang memeluk Islam, mereka mulai bertindak.
  2. Keluarlah ketua-ketua mereka turun padang, memberi semangat, penekanan dan penerangan kepada rakyat dan pengikut mereka agar terus berpegang teguh dan tekun menyembah berhala-berhala, dengan agama dan tuhan datuk nenek mereka, sabar dan jangan mudah terpengaruh dengan ajaran yang dibawa Muhammad (s.a.w) itu!
  3. Mereka berkata semua ini dibuat dan dibawa kerana Rasulullah mengkehendaki kuasa, gila kuasa untuk menjadi ketua memerintah Makkah dan Quraisy.
    Ini juga tuduhan mereka terhadap Rasulullah s.a.w.

AYAT 07 -{\”KAMI TIDAK PERNAH MENDENGAR TENTANG (SOAL MENGESAKAN TUHAN) ITU DALAM AGAMA YANG TERAKHIR; PERKARA INI TIDAK LAIN HANYALAH REKAAN DAN DUSTA SEMATA-MATA\”.} (SAAD 38:7

  1. Mereka juga mendakwa bahawa tidak pernah mendengar ajaran tentang tuhan yang satu (Esa) ini walaupun dalam agama yang terakhir sebelum Islam ini, iaitu agama Nasrani.
    Ini kerana sebelum Rasulullah s.a.w diutuskan, nabi Isa adalah rasul yang terakhir, bezanya adalah 500 tahun lebih.
    Ini kerana Nabi Muhammad s.a.w lahir pada April 571M atau bersamaan 12/13 Rabi\’ul Awwal, Tahun Gajah.
  2. Mereka menuduh agama dan ajaran ini hanyalah rekaan dan pendustaan Muhammad s.a.w, kerana tidak pernah ada agama dan ajaran begini sebelum ini!

AYAT 08 -{(MEREKA BERKATA LAGI): PATUTKAH WAHYU PERINGATAN ITU DITURUNKAN KEPADA MUHAMMAD (PADAHAL ORANG-ORANG YANG LEBIH LAYAK ADA) DI ANTARA KITA?\” (MEREKA BUKAN SAHAJA INGKARKAN KELAYAKAN NABI MUHAMMAD MENERIMA WAHYU) BAHKAN MEREKA BERADA DALAM KERAGUAN TENTANG PERINGATAN YANG AKU WAHYUKAN (KEPADA NABI MUHAMMAD) ITU, BAHKAN MEREKA BELUM LAGI MERASAI AZAB.} (SAAD 38:8)

  1. Ini pula pengingkaran mereka terhadap Kenabian Rasulullah s.a.w.
  2. Mereka dengan sombong dan angkuh mengatakan lagi bahawa Muhammad (s.a.w) itu bukan seorang yang layak untuk menjadi rasul, masih ramai lagi yang lebih layak di kalangan pembesar dan pemuka Quraisy.
  3. Orang kalau dah benci dia akan cari yang buruk walaupun kecil dan tak penting.
    i- Mereka menggelar Rasulullah s.a.w sebagai anak pengembala kambing (nisbah kepada bapa angkatnya, suami kepada ibu susuannya).

ii- Sedangkan Baginda adalah cucu kepada Abdul Mutalib, salah seorang pembesar Quraisy yang berketurunan mulia.

iii- anak saudara kepada Abu Talib, salah seorang anggota Kabinet Quraisy yang dihormati juga.

iv- Juga suami kepada Khadijah, seorang bangsawan dan ahli perniagaan Quraisy yang hebat dan ternama juga!
Tetapi semua yang baik dan positif ini mereka tidak nampak, bahkan yang sebaliknya diangkat dan diperbesarkan!!!

  1. Mereka bukan hanya ragu dan ingkar tentang Rasulullah s.a.w tetapi juga kepada Allah sendiri dan tentang apa yang Allah s.w.t wahyukan kepadanya. Allah s.w.t kata mereka di dalam keraguan dan pendustaan ini kerana mereka masih belum (بَلْ لَمَّا) lagi merasai azab.
  2. Yakni apabila mereka menderita azab siksaan di akhirat kelak, baru akah hilang keraguan mereka, mereka akan mengetahui dan mengakui kebenaran al-Quran, tetapi pengakuan yang tiada guna lagi!
  3. Tetapi sebenarnya sebelum hari akhirat lagi, setiap manusia ketika ajal dan malaikat maut menghampirinya, dia sudah tahu ke mana tempat halatujunya.
  4. Orang beriman sudah nampak syurga, maka mahu segera mati dan suka untuk berjumpa Allah s.w.t. Manakala bagi orang kafir pastilah sebaliknya, maka sesiapa yang tidak suka jumpa Allah, Allah juga tidak suka untuk berjumpa dengannya!!
  5. Pihak Quraisy ini mulai nampak kebenaran dan merasai kekalahan mereka dalam peperangan Badar pada Tahun Kedua Hijrah.

AYAT 09 -{ADAKAH DI SISI MEREKA PERBENDAHARAAN RAHMAT TUHANMU YANG MAHA KUASA, LAGI YANG MAHA MELIMPAH PEMBERIANNYA?} (SAAD 38:9)

  1. Allah s.w.t bertanya apakah mereka mempunyai pemberian dan kuasa perbendaharaan seperti yang Allah s.w.t miliki?
  2. Yakni jawatan rasul dan nabi itu adalah di bawah milik Allah s.w.t, limpah kurnia dari-Nya. Dia akan memberikan anugerah jawatan itu kepada sesiapa yang dipilihnya! Mereka tidak dapat memilih atau menghalangnya!
  3. Firman Allah s.w.t: {Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan agama Islam) yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab (agama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.} (An-Nisaa\’ 4:54)

AYAT 10 -{ATAU ADAKAH MEREKA MENGUASAI LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA?. (KALAU ADA KEKUASAAN YANG DEMIKIAN) MAKA BIARLAH MEREKA NAIK MENDAKI LANGIT MENURUT JALAN-JALAN YANG MEMBAWA MEREKA KE SITU (UNTUK MENTADBIRKAN SELURUH ALAM).} (SAAD 38:10)

  1. Allah s.w.t cabar lagi kaum kafir ini dengan bertanya, adakah mereka memiliki langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya?
  2. Jika rasa kuat sangat maka naiklah ke langit, kamu pergi susun dan tadbir sendiri ikut apa yang kamu rasa baik dan benar itu!!!!
  3. Jawapannya sudah tentulah tiada siapa yang memiliki atau berkuasa untuk mentadbirnya selain daripada Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa Dan Maha Agung!
  4. Kita semua hanya makhluk ciptaan Allah s.w.t yang amat lemah lagi berkehendak kepada segala pemberian dan nikmat-Nya.

AYAT 11 -{(SEBENARNYA MEREKA HANYALAH) SATU PASUKAN TENTERA DARI KUMPULAN-KUMPULAN (YANG MENENTANG KEBENARAN), YANG PADA SUATU MASA KELAK TETAP AKAN DIKALAHKAN.} (SAAD 38:11)

  1. Yakni walaupun pada hari ini mungkin mereka orang kafir itu nampak kuat dan berkuasa, tetapi sebenarnya para penentang kebenaran ini adalah satu kumpulam yang semuanya pasti akan dikalahkan pada suatu masa nanti.
  2. Janji Allah s.w.t itu tetap dan pasti akan terjadi. Sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya pasti akan dikalahkan!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 05 -{\”Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan mengatakan: Tuhan hanya Satu? Sesungguhnya ini adalah satu perkara yang menakjubkan!\”}- ayat ini mengajar para pendakwah agar bijak menyusun strategi dakwah, mana yang perlu diutamakan terlebih dahulu.

Rasulullah s.a.w memulakan dakwahnya dengan tauhid dan aqidah terlebih dahulu selama 13 tahun di Makkah. Solat hanya difardhukan selepas 10 tahun, puasa dan zakat hanya difardhukan apabila negara Islam Madinah berdiri teguh.

Dakwah kita kena bermula dengan Tauhid kepada Allah s.w.t. Kemudian baru ibadat, muamalat dan lain-lain sebagaimana uslub al-Quran.

  1. Ayat 06 -{Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka (memberi peransang dengan berkata): \”Jalan terus (menurut cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu perkara yang amat dikehendaki.}- apabila mereka tiada hujjah yang benar dan bernas, mereka mula rasa terancam lalu turun padang dan menjalankan dakyah jahat dan strategi buruk mereka. Iaitu dengan mengancam dan memujuk rakyat mereka agar sabar dan tetap teguh atas agama mereka, jangan ikut Muhammad (s.a.w), teruskan menyembah tuhan-tuhan berhala mereka, agar berpegang teguh dengan agama tok nenek mereka.

Strategi ini juga digunakan oleh Abu Jahal dan gengnya ketika dekat Abu Talib nak mati, apabila Rasulullah s.a.w cuba mengajarnya Kalimah Syahadah, mereka menekan dan mengancamnya!

Maka kita yang ingin menyebarkan dakwah agama dan Sunnah Rasulullah s.a.w juga perlu istiqomah dan teguh berjuang menyampaikannya.

  1. Ayat 09 -{Adakah di sisi mereka perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Kuasa, lagi Yang Maha Melimpah pemberianNya?.}- ayat ini menunjukkan bahawa manusia itu tiada kuasa, gedung dan kekayaan tanpa kehendak dan pemberian dari Allah s.w.t.

Tiada kuasa untuk menyekat anugerah kurnia Allah, tiada siapa boleh beri apa yang Allah mahu sekat atau tidak mahu beri!!
Inilah kepentingan beriman iaitu wajib percaya kepada qadha\’ dan qadar Allah swt. Sebagaimana Allah memilih Rasulullah dan menyampaikan wahyu kepada Baginda s.a.w, bukan kepada orang lain seperti yang dikehendaki kaum musyrikin Quraisy.

Hadis Rasulullah s.a.w mengajar Ibnu Abbas r.a tentang aqidah yang panjang dan mantap, ketika Baginda ﷺ menunggang tunggangannya bersama Ibnu Abbas.

Sabda Nabi ﷺ antaranya:
يَا غُلَامُ, إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ, احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ,
Wahai anak! Sesungguhnya aku ajarkan kepadamu beberapa perkara. Jagalah Allah, maka Allah akan memelihara engkau. Sekiranya engkau ingin meminta sesuatu, maka mohonlah bantuan dari Allah! ………………. (sampai kepada ayat ini:)
Kemudian ketahuilah sekiranya semua manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberinya kecuali dengan izin Allah. Begitu juga jika semua manusia berkumpul untuk memberi mudharat kepadamu, mereka tidak akan dapat memberinya kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt.\” [HR Bukhari].

Hadis ini sangat mantap, kita para guru kena bawa hadis ini dan pasakkan fahaman aqidah ini dalam diri anak-anak dan para pelajar kita.

Kata Syeikh Fudhail bin Iyadh rhm.: \”Kami semasa kecil dulu datuk kami ajar tiga perkara, iaitu: Allah Maha Mendengar, Melihat & Allah Mengetahui.\”

Jika tiga pegangan ini sudah menjadi satu penghayatan dalam hati, maka hidup kita akan selamat dunia akhirat, tidak perlu lagi kepada pemantauan dan sekatan lain.

  1. Ayat 08 -{(Mereka berkata lagi): Patutkah wahyu peringatan itu diturunkan kepada Muhammad (padahal orang-orang yang lebih layak ada) di antara kita?\”}- mereka Quraisy rasa pelik kerana wahyu diturunkan kepada Muhammad (s.a.w).
    Ayat ini menunjukkan puak Quraisy itu sangat jahil dan sesat kerana;

i- walaupun jelas kepada mereka akan kebenaran Rasulullah s.a.w, mereka tetap membuat tuduhan terhadap Baginda seperti ahli sihir, penyair, orang gila dan seumpamanya!

ii- mereka juga tahu tuhan (berhala) yang mereka sembah itu adalah batu kayu yang lansung tiada kuasa dan upaya, tetapi mereka boleh jadikannya tuhan yang disembah.
Sama seperti manusia hari ini, pengikut yang percaya kepada tok bomoh dan ahli nujum yang jelas karut dan sesat.

Musuh-musuh kepada rasul itu bukan hanya menyerang dan menentang rasul sahaja tetapi juga kepada (risalah) ajaran dan dakwah itu, kerana mereka takut jika ianya akan ada pengikut yang akan terus menyambungnya!

  1. Ayat 04 -{Dan mereka yang kafir itu berkata: \”Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.}- akhirnya bila hujjah sudah tiada, mereka menggunakan maki hamun, sumpah seranah, lemparan tuduhan dan fitnah jahat untuk memburuk dan merosakkan peribadi Rasulullah s.a.w.

Sama seperti keadaan hari ini, apabila musuh-musuh kebenaran sudah tiada hujjah yang ilmiah dan intelek, mereka akan gunakan tuduhan, label-melabel yang dilemparkan ke atas orang yang tidak sefahaman dengan mereka, sama sebagaimana strategi yang digunakan oleh kaum Quraisy untuk menjauhkan orang ramai daripada dakwah dan ajaran Rasulullah s.a.w dulu!

Powered by BetterDocs