View Categories

SURAH SAAD : AYAT 86-88

\"\"

ALLAH NYATAKAN PERIHAL PENDAKWAH, CARA BERDAKWAH MESTI BERFAKTA & MUKJIZAT AL-QURAN YANG BENAR.

Full video : https://youtu.be/FysyqXbEWtg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan tadabbur tiga ayat yang menceritakan tentang 3 perkara yang amat besar:
    i- sikap pendakwah itu sendiri.
    ii- cara (كيفية) mengajak kepada dakwah itu.
    iii- alat untuk kita berdakwah iaitu al-Quran.
  2. Munasabah ayat; setelah ayat s.w.t terangkan dan bawa dalil bahawa apa yang Rasulullah s.a.w bawa itu adalah suatu berita besar (نَبَأٌ عَظِيمٌ) jika kamu tak percaya maka ia adalah kekufuran.
  3. Juga diceritakan tentang pertembungan antara iblis dan anak cucu Adam (manusia).
    Apabila berlaku pertembungan akan ada perlawanan, apabila ada perlawanan akan ada yang menang dan yang tewas!
  4. Maka Allah s.w.t memberi garis panduan untuk kita menang di sisi Allah s.w.t iaitu dengan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w. Sebagai ahli Sunnah kita diajar bahawa Rasulullah s.a.w itu dimuliakan dengan cara yang sepatutnya, tidak melampaui dan amalannya iaitu Sunnahnya diamalkan!

AYAT 86- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”AKU TIDAK MEMINTA KEPADA KAMU SEBARANG BAYARAN KERANA MENYAMPAIKAN AJARAN AL-QURAN INI, DAN BUKANLAH AKU DARI ORANG-ORANG YANG MENGADA-NGADA.\”} (SAAD 38:86)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w yang sedang berdepan dengan kafir Quraisy pada masa itu.
    Juga untuk kafir sepanjang zaman selepas itu samada yang hitam, putih atau merah!
  2. Seorang pendakwah itu sifatnya wajib ikhlas kepada Allah s.w.t, tidak meminta upah atau bayaran dari orang ramai untuk dakwahnya. Yakni Rasulullah s.a.w tidak meminta ganjaran dunia ini.
  3. Ini kerana orang yang betul-betul ikhlas akan berani menyatakan kebenaran, tetapi yang ada kepentingan akan tersekat dan terhalang. Apabila terpaksa bergantung kepada orang maka langkahnya akan sempit dan tidak akan berani dengan sepenuhnya.
  4. Rasulullah s.a.w juga diajar untuk menyatakan bahawa Baginda s.a.w bukanlah orang yang mereka atau mengada-ngadakan sesuatu yang tidak ada, mengaku satu kedudukan yang bukan ahlinya!
    Tidak sekali-kali Baginda mengaku untuk mendapat kedudukan atau habuan dunia.
  5. Quraisy ini kenal Rasulullah s.a.w sejak dari kecil lagi, mereka memanggilnya sebagai al-Amin, seorang yang paling benar dan dipercayai!
    Seorang yang dari kecil lagi mulia dan sempurna akhlaknya!
  6. Kata-kata dari Abdullah ibnu Mas\’ud r.a: Wahai manusia, sesiapa yang tahu, ada ilmu dan maklumat tentang sesuatu perkara, hendaklah dia sampaikan! Manakala sesiapa yang tidak tahu, maka katalah: \”ألله أعلم -iaitu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya!\”
    Antara tanda orang itu benar-benar berilmu ialah dia berkata dalam perkara yang dia tidak tahu – : \”ألله أعلم -iaitu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya!\” Allah s.w.t berfirman kepada Nabi-Nya: {{Katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada.\”} [Saad: 86].
    Athar ini dikeluarkan oleh Bukhari & Muslim.
  7. Yakni jangan takalluf, iaitu reka dan buat, mengada-adakan benda yang tidak ada. Seperti seseorang yang tidak ada ilmu tetapi dia mahu dikenali dan diikuti ramai maka dia tunjuk dia hebat.
    Antara perkara laris ialah mengaku tahu benda-benda pelik dan menerima ajaran dari nabi atau orang tertentu melalui mimpi!
    Begitulah biasanya ajaran sesat akan ada ilmu perbomohan, perdukunan dan ilmu ghaib seolah magic untuk buat orang percaya kepadanya!
  8. Rasulullah s.a.w juga tidak membawa benda-benda yang pelik yang diluar kemampuan fikiran manusia, ia berfakta dan bukan auta, ia adalah wahyu dari Allah s.w.t!
  9. Maka seorang pendakwah itu mestilah ikhlas, dakwahnya berfakta dan bukan rekaan.
    Alat atau senjatan dakwahnya kita tengok ayat seterusnya.

AYAT 87- {AL-QURAN TIDAK LAIN HANYALAH PERINGATAN BAGI PENDUDUK SELURUH ALAM.} (SAAD 38:87)

  1. Alat utama dalam kerja dakwah mestilah bermula dengan al-Quran.
  2. Fungsi al-Quran itu ialah sebagai peringatan dari Allah kepada semua al-alam, jin dan manusia. Jin dan manusia akan menjadi mulia, juat dan hebat apabila mereka beramal dan berpegang dengan al-Quran.
  3. Berpegang dengan al-Quran wajib berkembar dengan Sunnah Nabi s.a.w, sebagai penjelasan dan penafsiran kepada al-Quran.
    Kita juga kena berpandukan kepada ulama\’-ulama\’ muktabar yang ikhlas kepada Allah s.w.t dan cara mereka berpegang dengan Sunnah Nabi s.a.w.
  4. Hatta jika kamu melihat seseorang itu boleh berjalan di atas air atau di atas angin, tetapi jika ajarannya tidak berpaksikan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w, kamu tinggalkannya jangan sesekali ikut ajarannya!
    Itu adalah kumpulan yang kelentong.
  5. Tiga perkara sudah jelas, pendakwah, cara berdakwah dan alat untuk berdakwah!

Jika orang tidak mahu terima dan dengar juga seperti kaum kafir dan Quraisy dulu, maka kita jangan fikir panjang, Allah s.w.t bagi penyelesaiannya dalam ayat penutup ini.

AYAT 88- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMU AKAN MENGETAHUI KEBENARAN PERKARA-PERKARA YANG DITERANGKANNYA, TIDAK LAMA LAGI.} (SAAD 38:88)

  1. Wahai puak kafir yang tidak mahu terima al-Quran, kamu akan tahu bahawa al-Quran itu benar, apa yang Rasulullah bawa itu benar; apabila kamu mati dan masuk dalam kubur nanti!
  2. Tetapi segala pengetahuan dan pengakuan ini tidak akan berguna lagi selepas kematian dan bila sudah tamat tempoh hidup atas dunia ini.
    Kekesalan dan kesalah yang tidak boleh diperbetulkan semula kerana sudah berlaku dan berlalu.
  3. Jika nak insaf dan mengakui kesalahan, sekarang waktunya untuk insaf dan bertaubat. Jangan tunggu sehingga mati atau Kiamat baru nak tahu siapa yang benar dan siapa yang salah.
  4. Firman Allah s.w.t: {Tiap-tiap khabar berita mempunyai masa yang menentukannya (yang membuktikan benarnya atau dustanya); dan kamu akan mengetahuinya.} (Al-An\’aam 6:67)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 86- {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Aku tidak meminta kepada kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini}- tidak layak bagi seorang yang diberi kefahaman ilmu dan berdakwah, melakukannya untuk mendapat pulangan dunia.
    Samada dari segi material atau sokongan pengikut yang ramai!
    Begitulah para pendakwah yang menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w para sahabat dan ulama\’ salafus-Soleh tidak seharus bersifat begitu.

Kisah Al-Hasan al-Basri seorang ulama\’ yang hebat; pada suatu hari beliau ke pasar, penjual itu memberi harga istimewa kepadanya kerana kedudukan sebagai seorang syeikh atau ulama\’.
Dia terus berkata: Aku datang untuk membeli dengan dirhamku bukan dengan dengan agamaku!

Allahu Akbar betapa waraknya para ulama\’ Salaf ini, walaupun ia bukannya salah dari segi etika.

  1. Ayat 86- {dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada.\”}- ayat ini mencela orang yang suka mereka dan mengadakan benda yang tidak ada asalnya. Seperti mimpi jumpa Nabi, hatta benar sekalipun ia bukan sesuatu yang untuk diwarwarkan dan ditunjukkan kepada orang ramai!

Satu lagi bentuk mereka-reka sesuatu yang buruk ini ialah membuat satu tuduhan atau label yang buruk kepada orang yang disetujuinya, jika benar mereka salah maka bawalah dalil dan hujjah kamu yang jelas dan benar!

Ajaran agama Islam yang benar ini tidak ada takalluf, yakni yang berat atau pelik, cara solat dan ibadatnya simple dan mudah untuk dibuat oleh manusia biasa, tiada zikir yang ribu-ribu apatah lagi juta-juta.

Allah mahu mengajar kita agar memilih jalan yang Allah tunjukkan, jalan yang lurus, ini kerana;
i- keadaan pendakwah itu sendiri adakah dia ikhlas.
Dalam kisah ini Rasulullah s.a.w sendiri.

ii- cara dakwah yang dibawanya itu.
Apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t, bukan sesuatu yang direka atau diadakan sendiri.

iii- alat dakwahnya.
Al-Quran, wahyu dari Allah s.w.t!

  1. Ayat 87- {Al-Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.}- al-Quran itu adalah satu berita yang besar (نَبَأٌ عَظِيمٌ).
    Maka sesiapa yang tidak mahu ikut al-Quran dia adalah sesat.
    Kerana itu Allah s.w.t banyak menyebut dalam ayat-ayat ini tentang peringatan (ذِكْرٌ).
    Jadi fungsi utama al-Quran ialah memberi peringatan kepada kita!
    Jika kita tidak ambil peringatan darinya maka akan RUGIlah!
  2. Ayat 88- {Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kebenaran perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.}- Allah s.w.t memberi amaran kepada orang kafir, kamu tunggulah apa yang kamu tidak percaya ini!
  3. Dakwah Rasulullah s.a.w ini ada 8 asas (أصول): #Tafsir Ar-Razi.
  4. Ikrar (mengakui) adanya Allah s.w.t.
  5. Dakwah kepada membersihkan Allah s.w.t daripada segala dakwaan dan sifat yang tidak layak baginya.
    Firman Allah s.w.t: {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Asy-Syuura 42:11)
  6. Ikrar bahawa Allah s.w.t itu bersifat dengan sempurna dalam ilmu, qudrat hikmah dan rahmat-Nya.
  7. Ikrar bahawa Allah s.w.t itu bersih dan bebas daripada sebarang bentuk syirik dan sekutu, atau yang bertentangan dengan tauhid.
  8. Melarang dari sebarang penyembahan berhala dalam segala bentuknya selain dari Allah, yang fizikal atau spiritual!
  9. Memuliakan ruh yang bersih seperti malaikat, para nabi dan rasul, mereka adalah hamba Allah s.w.t yang terpilih! .
  10. Ikrar tentang kebangkitan semula dan Kiamat.
  11. Berpaling daripada dunia dan menghadap kepada Akhirat.

Inilah dakwah Rasulullah s.a.w, iaitu dakwah kepada tauhid, ibadat dan akhlak yang mulia!

Alhamdulillah dengan izin-Nya, tamatlah kita Surah Saad ini dengan 88 ayatnya.

Semoga kita mendapat kefahaman yang baik dan istiqomah dalam melakukan ketaatan dan amal ibadat.
Juga agar kita memahami al-Quran dengan tafsiran para ulama\’ yang muktabar, ulama\’ salaf dan ulama\’ semasa yang ikhlas dan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Powered by BetterDocs