View Categories

SURAH SABA\’ : AYAT 24-30

\"\"

GOLONGAN KAFIR MENGAKUI ALLAH PEMBERI REZEKI, ALLAH AKAN MENENTUKAN HUKUMAN MASING-MASING & TUGAS RASULULLAH S.A.W MENYAMPAIKAN KEPADA SEMUA.

Full video : https://youtu.be/ng2OTYfsjIQ

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t mengajar cara berhujah dengan golongan kafir, kita tanya dia tentang satu perkara yang apabila dia mengaku kita tanya balik jika kamu mengaku kenapa kamu tidak akur?
  2. Inilah uslub mujadalah dengan puak musyrikin yang mengakui secara dasarnya bahawa yang memberi rezeki di langit atau di bumi dan yang menurunkan hujan adalah Allah Azza wa Jalla.
  3. Allah s.w.t juga ajar agar kita mempertahankan hujjah kita setelah kita yakin betul, katakan kepada mereka; kamu dengan pegangan kamu, maka kamu akan dipertanggung-jawabkan nanti.
  4. Kemudian Allah s.w.t menjelaskan tugas Rasulullah s.a.w yang dihantar kepada semua manusia dan jin sehingga ke hari Kiamat. Risalah Baginda tidak terhenti apabila Nabi wafat atau terhenti setakat zaman khulafa\’, tetapi berterusan sehingga ke hari Kiamat.
  5. Kesinambungan dengan ayat yang lepas, Allah s.w.t telah menyatakan sekutu-sekutu yang mereka sembah itu lansung tidak berhak disembah serta tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk memberi rezeki, manfaat dan darurat kepada para pemnyembahnya.
    Bahkan ada sembahan yang dibuat oleh para penyembah itu sendiri.
  6. Lalu dalam ayat ini Allah s.w.t kembalikan pemahaman mereka, tarik kembali kesedaran mereka bahawa hanya Allah s.w.t yang Maha Berkuasa dan Pemberi segala rezeki samada di langit atau di bumi!

AYAT 24 – {BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA ORANG-ORANG MUSYRIK ITU): \”SIAPAKAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU DARI LANGIT DAN BUMI?\” TERANGKANLAH JAWABNYA: \”IALAH ALLAH; DAN SESUNGGUHNYA (TIAP-TIAP SATU GOLONGAN), SAMA ADA GOLONGAN KAMI AHLI TAUHID ATAU GOLONGAN KAMU AHLI SYIRIK – (TIDAK SUNYI DARIPADA SALAH SATU DARI DUA KEADAAN): KEADAAN TETAPNYA DI ATAS HIDAYAH PETUNJUK ATAU TENGGELAMNYA DALAM KESESATAN YANG JELAS NYATA \”.} (SABA\’ 34:24)

AYAT 25 – { (OLEH ITU) KATAKANLAH (WAHYU MUHAMMAD): \”KAMU TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TENTANG KESALAHAN YANG KAMI LAKUKAN, DAN KAMI PULA TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB TENTANG APA YANG KAMU KERJAKAN\”.} (SABA\’ 34:25)

  1. Kamu tidak akan diminta bertanggung jawab atas dosa yang kami lakukan dan kami juga tidak akan diminta bertanggung jawab juga tentang apa yang kamu lakukan. Bagi kita amal masing-masing.
    Ayat ini untuk uslub berdebat, bukan tak payah berdakwah atau jangan peduli dengan keadaaan orang lain.
  2. Tetapi perlu ada tanggung-jawab untuk menjelaskan, berdakwah atau berhujjah kepada mereka sebelum itu.
    Jika mereka tidak terima juga, baru dikatakan ayat ini kepada mereka.
  3. Kemudian Allah s.w.t bagi peringatan akan bahayanya pegangan dan ajaran yang sesat dan tidak betul!

AYAT 26 – {KATAKANLAH LAGI: \”TUHAN KITA AKAN MENGHIMPUNKAN KITA SEMUA (PADA HARI KIAMAT), KEMUDIAN IA AKAN MENYELESAIKAN PERSELISIHAN YANG ADA DI ANTARA KITA DENGAN PENYELESAIAN YANG BENAR; DAN DIA LAH JUA HAKIM YANG SEADIL-ADILNYA, LAGI YANG MAHA MENGETAHUI SEGALA-GALANYA\”.} SABA\’ 34:26)

  1. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w berkata lagi kepada mereka puak kafir; agar mereka berfikir lagi, bahawa Tuhan akan kumpulkan balik kita semua pada hari Kiamat nanti. Tunggulah kerana di atas dunia ini sudah tidak akan selesai lagi perbalahan, masing-masing berkeras dengan pegangannya.
  2. Kemudian Allah s.w.t akan jatuhkan hukuman antara kami dan kamu dengan adilnya, ketika itu akan terserlah dan zahirlah siapa yang benar dan salah.
    Maka orang yang berhak akan mendapat balasan pahala sebaiknya manakala yang batil juga akan mendapat pembalasan siksa yang setimpal juga.
  3. Satu lagi pesanan walaupun kita nak berkeras mempertahankan hujjah, jangan sampai menghina lawan perdebatan kerana boleh jadi dia betul atau kita betul.
    Tetapi jika dengan orang kafir kita tak perlu fikir dah siapa benar siapa salah cuma uslub kena jaga dengan baik.
    Ini pelik dengan orang kafir kita lunak berlembut, tak kisah tetapi sesama muslim begitu kasar dan keras, bukan hari ini saja bahkan sejak dulu lagi!
  4. Kita boleh baca buku sejarah bagaimana contoh yang sangat ketara ialah perkembangan perjalanan Islam dulu. Boleh lihat sejarah Imam Ahlus-Sunnah iaitu Imam Ahmad bin Hanbal rhm. yang mempertahankan sunnah ketika berhadapan dengan golongan sesat muktazilah dan seangkatannya, bagaimana beliau dihukum dan disiksa dengan begitu dahsyatnya!
    Juga sejarah seorang lagi yang bernama Ibnu Abi Du-ad yang bertindak ke atas para ulamak yang mempertahankan sunnah.
    Sekarang ini semuanya sudah mati maka akan tahulah, terserlah siapa yang berada di atas kebenaran dan siapa yang zalim!
    Kerana itu kita sebagai muslim, sesama orang Islam kena berpada-pada, masing-masing bawa hujjah secara ilmiah dan rasional.
    Jika masing-masing berkeras kepala maka tunggulah pengadilan Allah s.w.t nanti.
  5. Allah s.w.t-lah yang memutuskan pengadilan di antara hamba-hamba-Nya nanti, Dialah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha Mengetahui segala-galanya, tiada siapa yang tersembunyi, dapat terlepas lagi walaupun dia selamat di dunia ini.
    *Ada juga kata ulama\’ maksud tafsir- Allah buka antara kamu- ialah tentang perbezaan antara kafir dan muslim dalam peperangan Badar seawal tahun ke-2H.

AYAT 27 – {KATAKANLAH LAGI: \”TUNJUKKANLAH KEPADAKU SIFAT-SIFAT KETUHANAN YANG ADA PADA MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU HUBUNGKAN DENGAN ALLAH SEBAGAI SEKUTU-SEKUTUNYA. TIDAK ADA PADA SESUATU MAKHLUK PUN SIFAT-SIFAT ITU, BAHKAN YANG MEMPUNYAI SIFAT-SIFAT KETUHANAN IALAH ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA\”.} (SABA\’ 34:27)

  1. Setelah nampak puak kafir ini masih degil dan ingkar akan kebangkitan semula, masih tidak mahu beriman walaupun telah melihat banyak bukti dalil-dalil ayat tanda kekuasaan Allah s.w.t, di langit, di bumi dan segalanya, maka Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w katakanlah lagi kepada mereka;
  2. Tunjukkan kepada kami di mana siapakah dan manakah sifat ketuhanan sekutu-sekutu dan sembahan-sembahan yang kamu jadikan sebagai sekutu Allah dan kamu mengangkatnya sebagai tuhan! Adakah mereka di bumi atau di langit? Apakah sifat ketuhanan mereka yang ada yang kamu berikan itu?
  3. Bahkan sekali-kali tidak mungkin (كَلَّا)! Tidak ada kuasa sama-sekali, hanyalah benda pejal yang tidak bernyawa dan berakal atau benda ghaib yang didakwa dewa dan sebagainya!
    Sangkaan dan keyakinan mereka adalah batil dan salah. Tiada tandingan, tiada saingan, tiada sekutu dan tiada padanan yang selayaknya bagi Allah Azza wa Jalla.
  4. Sebenarnya Dialah Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, tidak ada selain Dia yang berhak disembah. Yang Maha Perkasa, Yang berkuasa, Yang Maha Bijaksana terhadap urusan-Nya. Dia berkuasa terhadap segala sesuatu yang dicipta-Nya dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
    Lihat saja kepada kejadian kita manusia dengan susunan kedudukan anggota badannya, kedudukan alam ini yang simetri dan harmoni tersusun.

AYAT 28 – {DAN TIADALAH KAMI MENGUTUSMU (WAHAI MUHAMMAD) MELAINKAN UNTUK UMAT MANUSIA SELURUHNYA, SEBAGAI RASUL PEMBAWA BERITA GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN), DAN PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR); AKAN TETAPI KEBANYAKAN MANUSIA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT ITU).} (SABA\’ 34:28)

  1. Dalam ayat ini dan berikutnya menerangkan jawatan dan tugas-tugas Nabi s.a.w.
  2. Allah s.w.t mengutuskan Rasulullah untuk umat manusia seluruhnya, Arab atau bukan Arab, yang merah, hitam, kuning dan putih. Sesiapa saja mesti akur dan patuh kepada risalah yang dibawa oleh Baginda s.a.w di seluruh dunia sehingga ke hari Kiamat nanti.
  3. Tugasnya membawa dua perkara yang seimbang dan menyeluruh:
    i- khabar gembira (بَشِيرًا) bagi yang beriman dan taat kepada perintah Allah s.w.t
    ii- pemberi amaran (وَنَذِيرًا) kepada mereka yang kufur dan ingkar, tidak mahu taat.
  4. Begitulah kita dalam hidup dan dakwah ini kena ada dua pendekatan ini agar seimbang dan tenang hidup-
    i- harapan (ترغيب) dengan khabar gembira sebagai galakan untuk beriman dan beramal soleh;
    ii- peringatan dan amaran (ترهيب) untuk menjauhkan dan menakutkan dari perbuatan buruk, derhaka dan ingkar!
  5. Tetapi malangnya, Allah kata ramai manusia yang tidak mengetahui tentang hakikat ini maka terus dibawa arus kesesatan dan kerugianlah hidupnya!
    Kita telah bincang dalam siri yang lepas bahawa sedikit atau ramai pengikut, bukan kayu ukur betul atau salah, apa yang tepat dengan sunnah barulah betul.
  6. Hadis riwayat Jabir r.a, sabda Rasulullah s.a.w tentang baginda diberi lima perkara yang tidak ada bagi umat dahulu:
    \”Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun sebelum aku:
    i. Aku ditolong dengan rasa takut (di hati musuhku) selama satu bulan.
    ii. Bumi dijadikan sebagai tempat solat dan alat bersuci bagiku. Siapa saja dari umatku yang sampai waktu solat padanya, maka hendaklah ia melaksanakan solat.
    iii. Dihalalkan harta rampasan perang bagiku dan umatku, tidak dihalalkan bagi seorang nabi dan umatnya pun sebelumku.
    iv. Aku diberi kuasa syafaat.
    Maka sesiapa mahukan syafaat nabi s.a.w maka perbanyakkanlah amalan sunnahnya terutama ketika dan selepas azan.
    v. Semua nabi lain diutus untuk kaumnya saja, aku diutus untuk seluruh manusia\”.
    [HR Bukhari & Muslim]

AYAT 29 – {DAN MEREKA (YANG INGKAR) BERTANYA: \”BILAKAH BERLAKUNYA AZAB YANG TELAH DIJANJIKAN ITU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR?\”} (SABA\’ 34:29)

  1. Tetapi apa boleh buat, mereka yang ingkar dan mendustakan ini berkata lagi, bertanya kepada Rasulullah s.a.w bilakah akan datang azab yang dijanjikan Baginda jika dia orang yang benar! Yakni mereka mencabar dan tidak mempercayainya!
  2. Mereka ini gopoh tidak sabar untuk melihat azab, ini kerana mereka tidak percayainya, jika mereka percaya ia ada sebenarnya- pasti mereka tidak akan sekali-kali berani memintanya disegerakan!!!!

AYAT 30 – {JAWABLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”UNTUK KAMU DISEDIAKAN SATU HARI YANG KAMU TIDAK DAPAT MELAMBATKANNYA SESAAT PUN, DAN TIDAK PULA KAMU DAPAT MENYEGERAKANNYA\”.} (SABA\’ 34:30)

  1. Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w menjawabnya, jangan gopoh puak kafir, sabarlah akan datang suatu hari yang kamu tidak dapat menangguh atau mempercepatkannya!
  2. Ulama\’ tafsir kata ini adalah saat kematian, kerana mati adalah kiamat kecil bagi setiap individu yang tidak dapat ditangguh! Kiamat besar yang akan berlaku nanti juga tidak dapat ditangguh!
  3. Kita semua kena bersiap sedia selalu, sediakan payung sebelum hujan, siapkan amalan dan kebaikan sebelum mati! Semoga Allah s.w.t matikan kita semua dalam Husnul-Khatimah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 24 – {Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): \”Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?\”} – kata ulama\’ jika kita nak berdebat atau berdialog, kita kena cari hujjah yang paling jelas dan boleh dilihat, yang nampak, seperti hujan dan rezeki ini. Tiada siapa yang berani mengaku yang lain selain daripada Allah!
    Ayat ini mengajar Rasulullah cara berdebat dan berhujjah secara Ilzami! Ambil satu point dan tanya soalan yang mereka sudah tahu dan tidak akan dapat beri jawapan lain.

Tetapi dalam masa yang sama jangan lupa ada juga manusia yang percaya kepada kuasa ghaib yang dapat menurunkan hujan dan menahannya.

  1. Ayat 24 – {sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan):} – dalam perdebatan kita jangan jatuhkan hukuman terus, letakkan dulu di atas neraca timbangan yakni salah seorang daripada kita pasti ada yang benar dan salah.
    Kata ulama\’ ayat ini juga mengkritik bahawa lemahnya pandangan muktazilah yang mengatakan orang beriman yang melakukan dosa besar, dia akan keluar dari iman tetapi tidak termasuk dalam kafir! Yakni bagi mereka terdapat satu golongan atas pagar, yang beriman pun tidak, tidak kafir pun tidak!
    Kita katakan tidak, ini di bawah kehendak Allah s.w.t, mereka masih beriman dan jika mereka bertaubat Allah s.w.t boleh ampunkan mereka atau jika dia kehendaki juga, mereka boleh dikenakan azab sekadar dengan dosa itu. Wallahu a\’lam.
  2. Ayat 24 – {keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata \”.} – kenapa petunjuk (هُدًى) Allah s.w.t tidak kata yang jelas/nyata tetapi kesesatan Allah s.w.t kata: kesesatan yang jelas nyata (ضَلَالٍ مُبِينٍ). Ini kerana sesat tu sudah jelas dan banyak, datang dari syaitan, dari hawa nafsu dan lain-lain, sesat itu sudah jelas.
    Manakala petunjuk memang sudah jelas dan hanya satu saja, iaitu jalan Allah s.w.t dan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w! Sesiapa yang menyeleweng dari jalan itu akan sesat!
  3. Ayat 28 – {Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya,} – ayat ini sebagai hujjah bahawa dakwah nabi Muhammad s.a.w itu sudah sampai kepada seluruh manusia di atas muka bumi ini. Tetapi malangnya masih ada manusia yang degil ingkar terimanya dan mahu terus atas agama asalnya samada yang sesat atau sudah tidak valid lagi seperti ikut nabi Isa dan lain-lain!
  4. Ayat 28 – {Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya,} – ayat ini menjadi dalil tentang kenabian Rasulullah s.a.w dan dakwahnya itu global untuk manusia dan jin seluruhnya!
    Tetapi rahmat yang dibawa oleh Baginda s.a.w kena untuk seluruh makhluk yang ada atas dunia ini manusia, jin, haiwan, batu atau kayu, semuanya mendapat tempias nikmat dan rahmat dari Baginda sebagai Rahmatan lil-Alamin.
  5. Ayat 24 – { sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan):} – kami atau kamu yang betul atau yang salah? Ayat ini mengajar cara untuk berbahas dan berdakwah, jangan terus jatuhkan hukuman, kita bincangkan dulu kemukakan hujjah masing-masing kemudian lihat siapa yang betul atau salah! Letakkan andaian dulu.
    Kerana itu jika ikhlas nak berdebat kena buka minda untuk terima kebenaran bukan dengan keras kepala.
  6. Ayat 24 – { sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik – (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan):} – ayat ini mengajar kita agar berlembut dan adil dalam berdakwah dan berdebat. Kemudian cari punca, kemukakan hujjah yang ilmiah, dan fakta yang logik barulah dapat mengetuk hati dan membuka minda yang mahu berubah dan menerima kebenaran.
    Kita kena berlembut dengan orang kita nak hadapi tetapi kita kena jelas dan tegas dalam point dan hujjah kita!
  7. Ayat 25 – {(Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad): \”Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan\”.} – ayat ini menjadi dalil/isbat bahawa perbuatan kita itu akan ditanya di akhirat kelak, setiap perkara ada hisab, ada perhitungan. Kena fikir dulu 100 kali sebelum buat, apakah yang kita nak buat ini ada pulangan dan faedah untuk akhirat kelak, agar tidak menyesal di akhirat nanti.
  8. Ayat 27 – {Katakanlah lagi: \”Tunjukkanlah kepadaku}- kita kena pegang di manakah point kesilapan orang yang kita nak berhujjah itu! Ayat ini minta tunjukkan bukti iaitu minta mereka berfikir, samada bukti yang nampak secara zahir atau yang ada dalam minda kepala!

Kisah Allahyarham TG Hj Abd Rahman bersoal jawab dengan dengan seorang guru non-muslim (NM) yang bertanyakan kepadanya:
NM: TG benarkah tuhan ada? Jika ada mana, kenapa tidak nampak?
Maka TG soal balik: Cikgu ni hidup ke mati? NM: Saya hidup.
TG: Jika hidup, cikgu hidup dengan apa? Dengan nyawa jawabnya.
Maka TG pegang point ini dan tanya balik- \”Tunjukkan kepada saya mana nyawa cikgu, jika benar ada nyawa.!!!:
Maka tersipulah orang yang tidak percaya itu!

Begitulah kita kena tekan dan pegang point ini, jika dia tak mahu terima dia akan lari, jika hidayah datang kepadanya mereka akan terima!
Berapa ramai para intelektual, tokoh-tokoh dan pakar yang memeluk Islam setelah mereka mengkaji al-Quran dan berfikir! Mereka mengkaji dulu al-Quran sebelum mengaji!
Tetapi malangnya kita orang sedia Islam banyak mengaji al-Quran tetapi tidak banyak berfikir dan mengkaji al-Quran! Maka untuk meningkatkan kefahaman dan iman kita marilah kita bertadabbur, mengkaji dan berfikir, belajar tafsir dengan disiplin yang betul, dengan panduan ulama\’ dan guru yang muktabar.

  1. Ayat 27 – {Katakanlah lagi: \”Tunjukkanlah kepadaku} – ayat ini menunjukkan bahawa setiap orang kena bertafakkur, berfikir, lihat kepada diri sendiri, buka minda, lapangkan dada untuk tengok kepada hujjah masing-masing dan menilainya secara ilmiah dan fakta!
    Bukan masing-masing keras kepala menegakkan hujjah.
    Dengan ini barulah titik persamaan atas kebenaran boleh dicapai bersama serta hidayah akan menjadi milik bersama.

Powered by BetterDocs