SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 18

PERSAKSIAN DARI ALLAH S.W.T TENTANG TAUHID, PARA MALAIKAT DAN AHLI ILMU JUGA MENGAKUI & ALLAH BERSIFAT ADIL, AL-AZIZ DAN AL-HAKIM.

Full video : https://youtu.be/UPvQ58O-SM8?si=4pP4qRuJP9V6HEjB

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam siri tafsir surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini kita akan bincang satu ayat sahaja iaitu ayat 18, satu ayat yang amat besar; di mana Allah nyatakan tentang persaksian dari Allah s.w.t sendiri tentang tauhid, keEsaan, wahdaniyyah-Nya sendiri.
  3. Kemudian para malaikat dan ahli ilmu di kalangan manusia bermula dari para rasul dan orang beriman lain yang berilmu juga mengakui akan keEsaan & keagungan Allah Azza wa Jalla ini.
  4. Allah perkenalkan sifat-Nya yang mulia; yang Maha Adil, al-Aziz yang gagah berkuasa dan al-Hakim yang penuh hikmah & kebijaksaan dalam semua penciptaan & Syari’ah-Nya.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t puji orang mukmin dengan beberapa pujian iaitu mereka adalah orang yang beriman & bertaqwa serta menyatakan 8 sifatnya orang Muttaqin.

ii- dalam ayat ini pula Allah nyatakan bukti & tanda keimanan itu zahir & jelas; jika ada lagi yang belum yakin, masih kabur & waswas, masih ragu & tidak mahu ikut maka bukan salah ibu mengandung lagi tetapi nasib tidak beruntung!

  1. Kita minta agar Allah s.w.t selamatkan jangan biarkan kita tanpa bimbingan petunjuk & kasih sayang-Nya.
    {اللَّهُمَّ إِنيِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ الخذلان}.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

AYAT 18- {ALLAH MENERANGKAN (KEPADA SEKALIAN MAKHLUKNYA DENGAN DALIL-DALIL DAN BUKTI), BAHAWASANYA TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA, YANG SENTIASA MENTADBIRKAN (SELURUH ALAM) DENGAN KEADILAN, DAN MALAIKAT-MALAIKAT SERTA ORANG-ORANG YANG BERILMU (MENGAKUI DAN MENEGASKAN JUGA YANG DEMIKIAN); TIADA TUHAN (YANG BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN DIA; YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AALI IMRAN3:18)

  1. Allah s.w.t membawa persaksian, mengakui-Nya sendiri {شَهِدَ ٱللَّهُ} akan ketauhidan Allah s.w.t sebagai Tuhan yang Esa.
    Allah menerangkan kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia { أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ}.
  2. Ulama’ kata {شَهِدَ} juga membawa 5 makna, yakni berlegar disekitar:
    i- hukum (الحكم).
    ii- keputusan yang Allah tetapkan (القضاء).
    iii- menyatakan (الإعلام).
    iv- menjelaskan (البيان).
    v- menceritakan (الإخبار).
  3. Ia {شَهِدَ} juga ada empat martabat:
    i- kena ada ilmu & maklumat.
    Jika Allah yang saksi sendiri bahawa Dia Tuhan Yang Esa; maka siapa lagi yang nak pertikaikannya.

ii- Allah berkata: bersaksi & mengkhabarkan tentang Zat-Nya yang mulia.

iii- Allah ajar kepada makhluk-Nya apa yang Dia tahu iaitu Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.
Allah ajar kepada para malaikat, para rasul- lalu rasul ajar kepada umatnya, kita ajar pula kepada murid kita.

v- Allah perintahkan kepada semua makhluk agar akur tunduk patuh kepada ketetapan Allah & mengakui akan keEsaan Allah s.w.t.

  1. Kemudian para malaikat juga turut mengakui & bersaksi akan keEsaan Allah s.w.t ini; bermula dari malaikat Jibril dan diikuti oleh semua malaikat yang lain yang ada di langit & di bumi. Tentang malaikat {وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ} ini jelas.
  2. Tetapi tentang {وَأُو۟لُوا۟ ٱلْعِلْمِ} orang yang mempunyai ilmu ini, ulama’ membawa beberapa pandangan tentangnya:

i- para rasul & nabi a.s.
Kerana mereka yang paling awal menerima wahyu dari Allah s.w.t bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia { أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ}.

ii- semua orang yang beriman kepada Allah, yang boleh mengeluarkan hujjah dan dalil yang nyata bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia { أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ} maka itulah orang yang mempunyai ilmu.

Kita ini jika tidak dapat mengaku sebagai orang yang mempunyai ilmu, biarlah boleh dikenali sebagai penuntut ilmu (طلبة العلم)
insya’ Allah.

  1. Selain mengakui akan keEsaan Allah, kita juga mahu bersaksi bahawa Allah s.w.t mentadbir alam ini dengan adil & saksama.

Kaedah kita bercakap tentang Allah s.w.t; apa saja hukuman yang Allah jatuhkan ke atas hamba-Nya adalah dengan keadilan-Nya.

  1. Itulah keadilan Allah Dia tahu bila nak uji orang ini, bila nak angkat darjat orang ini, bila nak hentikan musibah itu!

Allah s.w.t uji saudara kita di Ghazzah Palestin,
kita hanya berdoa semoga Allah menerima semua korban itu sebagai para syuhada’ di jalan Allah!

  1. Kemudian Allah S.W.T menegaskan akan keesaan-Nya sekali lagi dengan firman-Nya,
    {لَآ ِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ}
    Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah S.W.T, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
  2. Menggulangi ayat yang sama supaya lebih lekat & kuat dalam ingatan, jangan lupakannya.

Allah ulangnya kerana ada sebab & hikmah, bukan saja-saja.

Ada juga sebab ulang kerana panjang jarak antaranya, jadi supaya jangan lupa diingatkan kembali, begitulah kelebihan ulangan dalam al-Quran.

  1. kemudian Allah bawa dua lagi sifatnya iaitu {ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ}:

i- Allah yang Maha berkuasa {ٱلْعَزِيزُ}- tiada siapa yang boleh lawan & sekat-Nya, yang sangat Kuat dan tidak terkalahkan.

Ada setengan manusia kuasa ada tetapi lemah dalam pentadbirannya.
Tetapi Allah tidak begitu- Dia berkuasa & bijak.

ii- dalam masa yang sama Allah juga Maha Bijaksana {ٱلْحَكِيمُ} dalam kekuasaan & pentadbiran-Nya.

Apabila Allah s.w.t nak beri arahan, kata-kata & perbuatan; semuanya ada hikmah.

Yakni Allah s.w.t Maha Bijaksana dalam arahan, perkataan & perbuatan-Nya!

Yakni Allah yang meletakkan segala sesuatu pada tempatnya yang benar, baik dalam firman, perbuatan, Syari’ah dan ketetapan-Nya.

  1. Kita boleh guna semua pujian atau gelaran sifat Allah ini, ikut keadaan dan ayat yang sesuai seperti- Allah s.w.t, Allah Azza wa Jalla. Semua ini menunjukkan sempurna-Nya Allah s.w.t daripada segala sifat kekurangan & segala tuduhan jahat & zalim puak kafir!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 18- {Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,}-

Allah s.w.t sendiri meletakkan persaksian atas keEsaan & ketunggalan-Nya dalam ketuhanan & ketuanannya.

Inilah yang dipanggil tauhid Uluhiyyah & tauhid Rububiyyah Allah s.w.t!

Kita jangan takut untuk menyebut semua jenis tauhid ini (uluhiyyah, Rububiyyah & al-Asma’ was-Sifat) kerana semua pembahagian ini diambil (istinbat) daripada ayat-ayat al-Quran & hadis Rasulullah s.a.w. Sebagaimana ulama’-ulama’ Asya’irah ada yang membahagikan sifat Allah kepada tujuh sifat atau ada juga 20 sifat; semua ini diambil dari ayat-ayat al-Quran.

Jadi kita kena faham, buka hati lapangkan dada dalam perkara-perkara yang dibahsakan oleh para ulama’ Islam.

Dalam ayat ini Allah s.w.t sendiri saksikannya, adakalanya dengan kata-kata-Nya yang mulia, adakalanya dengan perbuatan-Nya; iaitu apabila Allah nyatakan tanda keagungan & kekuasaan-Nya kepada makhluk-Nya.

Yakni semua makhluk atas dunia ini menyaksikan wahdaniyyah Allah s.w.t dengan (لسان الحال) iaitu dengan lidah yang tidak bercakap.

Allah s.w.t ulang perkataan { لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ} (Tiada Tuhan melainkan Dia) ini dua kali dalam ayat ini.

Ulangan ini kerana:
i- Allah ulang untuk mengguatkan & nak ambil perhatian besar dengan dalil-dalil tauhid kepada Allah s.w.t.

ii- untuk mensabitkan dan taukid bahawa bahawa Allah itu adalah tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia.

iii- Juga untuk dibina sifat {ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ} Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana ke atas-Nya. In kerana nama ini juga diguna-pakai kepada makhluk juga.

Sebagaimana Allah sebut sifat Rasulullah s.a.w dalam firman-Nya ini:

{ لَقَدْ جَآءَكُمْ رَسُولٌۭ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِٱلْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌۭ رَّحِيم}-
{Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.} [At-Taubah 9:128].

Maka apabila sifat {ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ} ini dipasang dengan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; maka tiada kesamaran lagi bahawa sifat itu kembali kepada Allah s.w.t, yang dimaksudkan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana di sini ialah Allah s.w.t!

Kerana itu diulang ayat ini tanpa putus, maka jangan difikir atau ditafsirkan bahawa ia kembali kepada Nabi s.a.w. Ia adalah bermaksud Allah s.w.t Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  1. Ayat 18- {Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,}- ayat ini juga menunjukkan untuk menjadi saksi kena ada ilmu.

Bukan sekadar rasa atau agak-agak!
Kena ada ilmu dan keyakinan yang jelas tentang apa yang dia tahu baru boleh jadi saksi!

Apabila ditanya hakim dia dapat memberi persaksiannya dengan tegas & yakin!

Untuk yakin atau keyakinan itu ada dua cara:

i- samada kita tengok sendiri (مشاهدة) benda yang berlaku itu.

ii- ataupun kita ada ilmu maklumat yang jelas & yakin (العلم) tentangnya.

Sebagaimana kita atas dunia ini tidak dapat lihat Allah tetapi kita ada ilmu tentang Allah & yakin tentang-Nya.

Kita berdoa semoga kita menjadi orang yang layak ke syurga di Akhirat kelak lalu layak pula memandang wajah Allah yang mulia!

Untuk jadi orang yang berilmu kena ada:

i- persaksian & ilmu yang betul-betul tentang tauhid terhadap Allah s.w.t! Kenal Allah s.w.t. dengan hati berdasarkan ilmu yang dia belajar barulah dapat ilmu tentang tauhid terhadap Allah s.w.t!

ii- jangan jadi seperti orientalis yang ada maklumat kerana buat kajian tentang Allah & Islam; tetapi tetap tidak beriman kepada Allah. Ini kerana mereka tidak ilmu ‘basiroh’ yang boleh menyebabkan mereka beriman kepada Allah s.w.t!

  1. Ayat 18- {dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian);}- saksi yang pertama adalah malaikat.

Kenapa Allah sebut malaikat dulu sebelum manusia yang mempunyai ilmu?
Kenapa Allah jadikan malaikat golongan yang pertama yang bersaksi akan tauhid Allah Azza wa Jalla?

Jawapan:
i- Untuk menunjukkan kelebihan malaikat, mereka tinggal di negeri yang tinggi, tempat/kedudukan mereka lebih utama dan dekat dengan Allah!

ii- Mereka layak dalam persaksian ini kerana menyaksikannya sendiri dan ilmu mereka ialah ilmu dharuri iaitu malaikat mendapat ilmu secara semulajadi dari awal.

Berbeza dengan manusia, kita ada juga ilmu semula jadi ini dalam fitrah kejadian kita, tetapi kita perlu berusaha untuk mengenali Allah.

iii- Jika kita kata para rasul adalah manusia yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah; tetapi ingat para rasul mendapat ilmu ini dan kenal Allah daripada malaikat yang datang menyampaikan wahyu kepada mereka!

iv- Yakni ini martabat dalam persaksian, bukan dalam kedudukan di Akhirat kelak!

Di Akhirat lain pula martabatnya, ini kerana malaikat memang tidak pernah derhaka kepada Allah s.w.t kerana mereka tidak adavnafsu.

Kita manusia ini ada nafsu & kena berlawan dengan syaitan lagi!

Jika kita dapat masuk syurga kerana kita menang dalam perlawanan melawan nafsu & juga syaitan!

Maka pastilah lain & tidak sama kemenangan bagi orang yang berlawan dalam perlawanan dengan orang menang kerana anugerah semata!

Dalam ayat ini Allah mahu memperkukuhkan lagi hujjah ketauhidan-Nya ini; malaikat pun mengakui & menyaksikan, orang yang mempunyai ilmu pun mengakuinya juga!

  1. Ayat 18- {dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian);}-

Allah nyatakan ahli ilmu di kalangan manusia juga bersaksi akan keEsaan Allah s.w.t ini!

Ayat ini menjadi dalil yang menunjukkan akan kelebihan & kemuliaan orang yang mempunyai ilmu!

Orang yang berilmu ialah orang yang beriman kepada Allah s.w.t.

Kita berusahalah menjadi ahli ilmu, jika tidak mampu menjadi ulama’ jadilah orang yang tidak jemu menuntut ilmu!

Jangan jadi seperti orang yang hanya ada maklumat saja, seperti seorang tokoh orientalis non muslim dari Hungary-Ignaz Goldziher yang banyak membuat kajian dan menulis tentang Islam & muslim!

Dia adalah yahudi pertama yang berpendidikan Universiti al-Azhar, Mesir.

Terdapat beberapa darjat orang yang berilmu:

i- Allah sebut mereka layak menjadi saksi akan keEsaan Allah s.w.t!

ii- Allah kembarkan persaksian mereka dengan persaksian malaikat!

iii- Allah s.w.t letakkan mereka sebagai orang yang ada ilmu.

iv- Allah jadikan mereka sebagai saksi yang menyaksikan dan menjadi hujjah ke atas manusia bahawa semua manusia kena kenal Allah & ikut Allah barulah betul perjalanan hidup.

v- Apabila Allah panggil mereka menjadi saksi bermakna Allah s.w.t puji mereka dengan mengesahkan kelayakan & kemuliaan mereka.

Ayat 18- {dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian);}- dalam ayat ini Allah hanya sebut malaikat & ahli ilmu.

Allah s.w.t tidak sebut lansung tentang rasul. Kenapa, seolah tidak masuk senarai?

Jawapannya:
i- kerana sudah maa’ruf bahawa orang yang paling tinggi darjat ilmunya tentang Allah di kalangan manusia ialah para rasul & nabi a.s.

Jadi tak perlu sebut lagi kerana sudah memadai dan diketahui bahawa rasul & anbiya’ adalah orang yang berilmu!

ii- manakala orang yang paling teruk lawan Allah adalah orang jahil!

Mana ada rasul yang jahil- yang jahil ini ialah orang tidak belajar & yang jahil adalah yang lawan Tuhan!

iii- Jelas bahawa orang-orang yang berilmu { وَأُو۟لُوا۟ ٱلْعِلْمِ} itu adalah para rasul!

Semoga kita menjadi penuntut ilmu sehingga kita mati insya’ Allah.

  1. Ayat 18- {Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan,}-

Allah yang menegakkan dunia ini dengan keadilan { قَآئِمًۢا بِٱلْقِسْطِ} adil dalam tauhid kepada Allah Azza wa Jalla.

Apabila dikatakan Allah ini Adil- maka sempurnalah sifat-Nya kerana orang yang Adil akan disayangi oleh makhluk-Nya.

Sebagaimana seorang pemimpin yang adil juga yang disayangi makhluk.

Baka kata pepatah:
Raja yang adil, raja yang disembah (hormat);
raja yang zalim, raja yang disanggah!

Allah yang adil, Allah itulah yang berhak disembah, dipuja & dipuji.

Di akhir ayat Allah khatamkan dengan dua sifat-Nya yang mulia {ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ} untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t itu Maha Berkuasa & Lagi Maha Bijaksana, apa yang dibuat-Nya tidak boleh dibantah & dilawan tetapi dalam masa yang sama Allah juga Tuhan yang Maha Adil walaupun Maha Berkuasa Dia tidak menzalimi hamba-hamba-Nya, Allah tidak akan buat kecuali dengan hikmah & kebijaksanaan-Nya!

Kerana itulah dikatakan:
i- segala nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dengan limpah kurnia-Nya (بفضله)

ii- manakala hukuman yang Allah jatuhkan ke atas hambanya adalah dengan keadilan-Nya Allah Azza wa Jalla!

Maka dua sifat ini {ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ} mengawal sikap Adil {العدل} maka sempurna & lengkaplah sifat Allah s.w.t- {شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ}

Maka ayat 18 ini mengisbatkan Wahdaniyyah Allah dan menafikan syirik terhadap Allah Azza wa Jalla.

Alhamdulillah syukur kita kepada Allah walaupun secara ringkas kita dapat mentadabbur ayat ini dengan baik dan agak mendalam, moga semua kita semua mendapat faedah & manfaatnya!

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Aali Imran 2024 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.