NABI MUSA MEMILIKI SIFAT AL-QAWI DAN AL-AMIN, WALI BOLEH TAWARKAN ANAKNYA KEPADA CALON SUAMI YANG LAYAK & PERJANJIAN ANTARA MUSA DAN MENTUANYA.
Full video : https://youtu.be/TiXsTcAwFWE
MUQADDIMAH :
- Dalam siri yang lepas, selepas keluar dari Mesir, nabi Musa a.s selamat tiba di Madyan. Ianya terletak di Jordan sekarang, berjiran dengan negara Mesir. Ulama\’ kata dia berjalan selama 8 hari.
- Dia tiba di tempat sumber air penduduk Madyan pada waktu tengah hari, ketika mereka sedang berkumpul untuk memberi minum binatang ternakan masing-masing. Dia melihat dua orang gadis yang terpinggir dari kumpulan orang ramai itu.
- Dia lalu bertanya hal mereka, mereka menyatakan tiada keluarga lain kecuali seorang bapa yang sudah tua, jadi mereka terpaksa menjaga sendiri kambing-kambing itu. Mereka tidak mahu berebut dengan kaum lelaki yang ramai itu lalu menunggu orang ramai siap. Musa a.s lalu menolong mereka memberi minum ternakan.
- Musa a.s yang keletihan dan kelaparan kemudian berehat di bawah teduhan dan berdoa kepada Allah agar diberi rezeki. Tidak lama datang salah seorang gadis itu memberitahu dia dijemput oleh bapa mereka ke rumahnya. Di sana Musa a.s ceritakan kisahnya. Syeikh itu memberi jaminan keamanan Musa a.s di Madyan itu.
- Timbul pula perbincangan samada Syeikh itu adalah nabi Syu\’aib bagi kaum Madyan yang disebut dalam al-Quran itu atau bukan. Ada dua pandangan ulama\’., yang tepat wallahu a\’lam, tidak disebut dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
- Lalu dalam siri ini kisah nabi Musa a.s bersama keluarga Syeikh itu di Madyan, di mana mereka tertarik dengan sifat Musa a.s yang kuat dan amanah. Ini adalah keadaan yang keenam nabi Musa a.s.
AYAT 26- {SALAH SEORANG DI ANTARA PEREMPUAN YANG BERDUA ITU BERKATA: \”WAHAI AYAH, AMBILAH DIA MEMJADI ORANG UPAHAN (MENGEMBALA KAMBING KITA), SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK ORANG YANG AYAH AMBIL BEKERJA IALAH ORANG YANG KUAT, LAGI AMANAH\”.} (AL-QASAS 28:26)
- Selepas itu salah seorang di antara anak gadis itu berkata kepada bapanya يَاأَبَتِ dengan hormat dan memberi cadangan untuk mengambil Musa a.s sebagai pekerja upahan mereka.
- Cadangannya ini kerana terbukti nabi Musa a.s mempunyai sifat orang yang kuat, lagi amanah, berdasarkan perhatiannya:
i- Kuat kerana mampu mengangkat batu besar penutup telaga yang hanya dapat diangkat oleh ramai lelaki atau mengangkat timba air seorang dirinya sahaja.
ii- Amanah kerana ketika dia berjalan bersama Musa a.s untuk ke rumahnya, dia berada di depannya, namun Musa a.s mengatakan kepadanya, \”Berjalanlah kamu di belakangku. Jika aku salah jalan, beri tahulah aku dengan lemparan batu kecil, agar aku mengetahui jalan mana yang harus ku ambil.\” Atau amanah juga kerana apabila dia memberi kambing-kambing itu minum, ditunggunya sehingga puas dan kenyang. - Inilah kriteria yang sepatutnya kita lihat untuk melantik seseorang pekerja atau ketua dalam sesuatu tugas. Kuat yakni mahir atau pakar dalam sesuatu bidang yang dipilih; dan amanah dalam sifatnya.
- Ayat ini juga mengajar bahawa tidak salah untuk seorang anak memberi cadangan atau nasihat yang baik kepada ayahnya. Kerana Islam mengajar untuk berbincang dan bermesyuarat sebelum membuat keputusan terutamanya yang besar. Inilah sifat syura dalam keluarga.
- Ulama\’ berkata 3 manusia yang mempunyai firasat yang tepat tentang orang lain:
i- Sayyidina Abu Bakar r.a apabila memilih Umar al-Khattab r.a sebagai penggantinya.
ii- Al-Aziz, pembesar Mesir yang memilih Nabi Yusuf a.s untuk dipeliharanya.
iii- Syeikh lelaki tua Madyan ini apabila memilih Musa a.s sebagai menantunya.
AYAT 27- {BAPA PEREMPUAN ITU BERKATA (KEPADA MUSA): \”AKU HENDAK MENGAHWINKANMU DENGAN SALAH SEORANG DARI DUA ANAK PEREMPUANKU INI, DENGAN SYARAT BAHAWA ENGKAU BEKERJA DENGANKU SELAMA DELAPAN TAHUN; DALAM PADA ITU, JIKA ENGKAU GENAPKAN MENJADI SEPULUH TAHUN, MAKA YANG DEMIKIAN ITU ADALAH DARI KERELAANMU SENDIRI. DAN (INGATLAH) AKU TIDAK BERTUJUAN HENDAK MENYUSAHKANMU; ENGKAU AKAN DAPATI AKU INSYA\’ ALLAH, DARI ORANG-ORANG YANG BAIK LAYANANNYA\”. (AL-QASAS 28:27)
- Alhamdulillah cadangan anaknya diterima oleh Syeikh itu. Bukan setakat sebagai pekerja biasa bahkan Musa ditawarkan untuk menjadi menantunya juga!
- Lalu dia memberitahu secara lansung kepada Musa a.s: {Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku} lalu menyuruh Musa a.s memilih salah seorang dari anaknnya.
- Maskahwinnya adalah Musa a.s kena bekerja dengannya selama lapan tahun; dalam pada itu, jika Musa tambahkan menjadi sepuluh tahun, maka itu adalah dengan kerelaannya sendiri.
- Pekerjaan Musa a.s pula bukanlah berat dan menyusahkan, bahkan Insya\’ Allah, Musa a.s akan dapati dia (Syeikh itu) sebagai majikan/tuan yang baik layanannya.
- Ayat ini juga menunjukkan:
i- adalah sunnah para nabi untuk berkahwin sebagai manusia biasa yang normal. Kecuali beberapa orang nabi yang tidak sempat berkahwin seperti Isa dan Yahya a.s.
ii- dalam perkahwinan kena ada aqad- ijab dan qabul.
iii- para wali (bapa, datuk atau abang-abang) boleh menawarkan anak perempuannya bila ada calon yang sesuai, lelaki yang soleh dan baik-baik. Tiada istilah perigi cari timba, bahkan itulah wali yang bertanggung-jawab.
Berapa banyak contoh dalam sejarah tentang sunnah ini:
a- kisah Musa a.s ini; lelaki soleh Madyan menawarkan anaknya kepada lelaki soleh bani Israil.
b- Sayyidina Umar al-Khattab r.a pernah menawarkan anaknya Hafsah kepada Abu Bakar r.a dan Usman r.a. selepas kematian suaminya.
AYAT 28- {MUSA MENJAWAB: \”PERJANJIAN ITU ADALAH ANTARAKU DENGANMU (TETAP DIHORMATI BERSAMA); YANG MANA SAHAJA DARI DUA TEMPOH ITU YANG AKU TUNAIKAN, MAKA JANGANLAH HENDAKNYA AKU DISALAHKAN. DAN ALLAH JUALAH MENJADI PENGAWAS TERHADAP APA YANG KITA KATAKAN ITU\”. (AL-QASAS 28:28)
- Musa a.s menerima tawaran itu. Maka berlakulah perjanjian antara Musa a.s dengan bapa mentuanya yakni Musa a.s berhak memilih untuk menyelesaikan kerjanya selama 8 tahun atau 10 tahun, terserah ke atasnya, tiada paksaan.
- Maka berlakulah perkahwinanan antara Musa a.s dan salah seorang anak gadis syeikh itu.
- Saksi perjanjian dan perkahwinan mereka itu adalah Allah s.w.t, juga mereka sebagai orang yang beriman dan soleh tidak akan mengkhianatinya.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Pentingnya bermesyuarat dan berbincang dalam perkara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya.
- Ayat 26- {Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: \”Wahai ayah..} يَاأَبَتِ – menunjukkan panggilan yang hormat dan sepatutnya kepada seorang bapa. Bahkan ulama\’ mengatakan jika seorang anak memanggil bapa atau ibunya dengan namanya boleh dikenakan hukuman ta\’zir. Dalam ayat ini Allah s.w.t ajar kepada kita cara panggilan yang sewajarnya dalam Islam. Sebagaimana juga dalam kisah nabi Ibrahim a.s juga memanggil bapanya yang bukan Islam dengan panggilan يَاأَبَتِ ini juga.
- Ayat 27- {Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu;} menunjukkan muamalah dan akhlak mulia seorang majikan dengan pekerjanya. Juga dia tidak akan memaksa Musa a.s mencukupkan 10 tahun berkhidmat serta membuat kerja-kerja berat.
- Pentingnya kena ada dua sifat dan kriteria pakar dan amanah dalam mana-mana pekerjaan dan jawatan. Jika kuat saja tetapi tidak amanah; akan rosak dan khianat, jika amanah saja tetapi tidak pandai atau mahir dalam tugasnya, tak jadi juga!
- Kita hanya dapat menilai manusia itu dari segi luaran sahaja berdasarkan sifat yang terzahir, dalaman dan yang batin kita tidak tahu dan serahkan kepada Allah s.w.t. setelah mengambil langkah dan siasan yang sepatutnya.
- Masalah keserasian (sekufu) dalam perkahwinan. Harta, yakni kaya atau faqir bukan menjadi penghalang. Seperti Musa a.s yang dalam keadaan dagang dan miskin, tiada apa-apa harta dipilih untuk menjadi menantu oleh syeikh tuan rumah yang berharta.
- Boleh dalam perjanjian kita menetapkan syarat yang wajib dan sunat. Tetapi kena ada yang asas yakni yang wajib, had minimum kena jelas.
- Ayat 27- {Engkau akan dapati aku Insya\’ Allah, dari orang-orang yang baik.} yakni untuk menenangkan hati Musa a.s, syeikh itu berkata, insya\’ Allah Musa a.s akan dapati dia seorang yang baik layanannya dan akan menepati janjinya. Insya\’ Allah di sini bukan kata dia memuji dirinya, atau bukan insya\’ Allah akan jadi baik, tetapi dia memang orang baik, tetapi dia tidak mahu takabbur atau sombong, ambil berkat dengan kalimah itu.
Pengecualian ini boleh digunanya dalam percakapan tetapi tidak dalam berdoa.
i- Seperti mana kata Nabi Musa a.s juga kepada Khidir: {Nabi Musa berkata: \”Engkau akan dapati aku, Insya\’ Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu\”.} (Al-Kahfi 18:69)
ii- Hadis- kena fokus dalam berdoa.
*Dari Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Apabila seseorang itu berdoa hendaklah dia fokuskan permohonannya, jangan main-main seperti berkata Ya Allah jika Engkau hendak beri, berilah…ini kerana tiada siapa boleh paksa Allah. [HR Muslim].
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ، لِيَعْزِمِ المَسْأَلَةَ، فَإِنَّهُ لاَ مُكْرِهَ لَهُ
Maksudnya: \”Janganlah seseorang kamu berkata: Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu, Ya Allah Ya Tuhan kami, kasihanilah aku sekiranya Engkau mahu. Akan tetapi hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh dalam meminta kerana sesungguhnya Allah sama sekali tidak ada yang memaksa.\” [HR al-Bukhari (6339) dan Muslim (2679)] - Ayat 28- {Musa menjawab: \”Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama);}- kata para ulama\’ yakni akad itu tiada cara yang tertentu atau perlu satu sighah (lafaz) yang khas, sudah terjadi dengan pelbagai cara dan persetujuan. Akad cara moden seperti tandatangan juga adalah sah.
- Ayat 28- {Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu\”.} Sepatutyna setiap perjanjian kena ada saksi tetapi jika tiada saksi lansung, boleh kita sandarkan kepada Allah sebagai saksi, yakni jika sesiapa khianat, maka dia akan bertanggung-jawab di hadapan Allah s.w.t nanti. Tetapi kita pada hari ini jika ada kemudahan, kena bersaksi dan dibuat secara rasmi setiap perjanjian.
Ayat selepas ini Musa a.s selesai tempohnya berada di Madyan selama 10 tahun, lalu dia minta izin untuk balik ke Mesir. Kita akan lihat apa yang terjadi dalam siri seterusnya insya\’ Allah.
Wallahu a\’lam.