View Categories

SURAH QAF : AYAT 23-30

\"\"

LAPORAN QARIN MANUSIA, AHLI NERAKA BERBANTAH & NERAKA MINTA TAMBAH PENGHUNI.

Full video : https://youtu.be/zpOzEyboJ04

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t sebut tentang laporan qarin. Siapakah itu qarin?
  2. Ia qarin ini ada dua iaitu samada:
    i- malaikat yang sentiasa bersama kita untuk menjaga & mencatat amalan kita; atau
    ii- syaitan yang sentiasa ikut bersama untuk mengacau & menghasut kita.
  3. Kemudian Allah gambarkan perbalahan yang berlaku antara sesama qarin dari kalangan syaitan dan mangsa yang dihasutnya.
  4. Akhirnya Allah ceritakan tentang neraka yang bersifat tamak, yang meminta tambahan agar dihumbankan lagi penghuninya untuk dikenakan siksaan yang berat lagi dahsyat.
  5. Ayat-ayat dalam siri ini amat berat, ayat yang sesuai untuk dibaca sebagai ayat tadabbur untuk melembutkan hati dan memberi motivasi besar kepada kita agar berhati-hati dalam setiap langjah kerana kita ada malaikat yang memerhatikan dan yang mengawasi serta mencatat setiap perbuatan kita!

AYAT 23- {DAN BERKATALAH MALAIKAT YANG SENTIASA ADA BERSAMA-SAMANYA: \”INILAH (KITAB CATITAN IMAN DAN AMAL) ORANG YANG TERLETAK DALAM JAGAANKU, SIAP SEDIA (UNTUK DIBICARAKAN)\”.} (QAAF 50:23)

  1. Berkatalah qarin (قَرِينُ) malaikat yang sentiasa ada bersama manusia, iaitu malaikat yang ditugaskan untuk mengawal dan mencatat segala perbuatan manusia. Ia tidak akan berpisah dengan kita walaupun di mana saja.
  2. Ia berkata: Inilah kitab catatan amalan orang yang di bawah jagaanku. Sudah siap sedia untuk dibentang dan dibicarakan!
    Dia tidak mengurang atau menambahkannya walaupun sedikit!
  3. Manakala malaikat rahmat hanya bersama kita di tempat yang baik sahaja seperti di masjid, majlis-majlis yang diredhai Allah dan di rumah kita yang selamat dari anasir yang dibencinya seperti gambar-gambar dan patung-patung.
  4. Kata Mujahid rhm: Ini adalah perkataan malaikat yang membawa kita ke padang Mahsyar kelak.
    Ada kata malaikat yang bertugas sebagai saksi, dia bawa tuan badan dan buku rekodnya sekali untuk diberi laporan kepada Allah Azza wa Jalla.

AYAT 24- {(SETELAH TIAP-TIAP ORANG DIBICARAKAN, ALLAH BERFIRMAN KEPADA KEDUA MALAIKAT YANG MENJADI PEMBAWA DAN SAKSI ITU): \”HUMBANKANLAH OLEH KAMU BERDUA, KE DALAM NERAKA JAHANNAM TIAP-TIAP ORANG YANG TETAP DEGIL DALAM KEKUFURANNYA;} (QAAF 50:24)

  1. Setelah selesai perbicaraan dihisab dan dihitung, orang yang kafir Allah perintahkan kepada malaikat untuk dicampakkan mereka ke dalam neraka.
  2. Arahan ini Allah beri kepada malaikat yang membawa manusia itu atau arahan kepada malaikat penjaga azab/neraka.
  3. Iaitu mereka yang kafir (كَفَّارٍ) dan bersifat keras kepala (عَنِيدٖ), degil tidak mahu lansung cuba mendengar dakwah Rasulullah s.a.w.

AYAT 25- {\”YANG SERING MENGHALANGI JENIS KEBAJIKAN, YANG MELANGGAR HUKUM AGAMA, LAGI YANG MERAGUKAN KEBENARAN,} (QAAF 50:25)

  1. Sifat mereka yang kedua ialah (مَّنَّاعٖ لِّلۡخَيۡرِ): Mereka juga sering menghalang segala kebajikan dan kebaikan ditolak.
    Semua kebaikan secara umum, tolak dakwah Nabi, buat baik kepada orang dan seumpamanya.
    Ada ulama\’ kata yang tolak enggan bayar zakat!
  2. Sifat ketiga (مُعۡتَدٖ); melampaui batas dan melanggar hukum agama.
  3. Keempat: Mereka juga bersifat (مُّرِيبٍ) iaitu ragu-ragu akan kebenaran serta meragukan orang lain juga daripada menerima ajaran Islam!

AYAT 26- {\”YANG MENYEMBAH BENDA YANG LAIN BERSAMA-SAMA ALLAH; MAKA HUMBANKANLAH OLEH KAMU BERDUA AKAN DIA KE DALAM AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA\”.} (QAAF 50:26)

  1. Sifat buruk mereka yang kelima ialah syirik mengadakan sekutu bagi Allah (الشرك بالله), menyembah yang lain selain dari Allah s.w.t!
  2. Inilah bahaya dan dibimbanginya apabila pintu-pintu meminta tolong dengan benda lain mulai dibuka luas pintunya, minta tolong dengan orang mati dan seumpamanya. Apabila dinasihati mereka katakan ia adalah sesuatu yang khilaf!
  3. Apabila jalan yang selamat ada; kenapa kita mahu pilih jalan yang berliku dan bahaya!
    Apa yang Nabi s.a.w ajar sudah jelas dan terang kenapa kita mahu pilih yang diajar oleh yang lain juga? Yang boleh menimbulkan keraguan dan syubhat!
  4. Ini adalah 5 sifat yang cukup merbahaya- walaupun mereka tidak kafir tetapi jika bersifat begini adalah amat buruk dan dahsyat!
    Jika kafir pastilah lebih dahsyat.
  5. Allah perinthkan agar mereka dicampakkan terus ke dalam neraka dan mendapat azab yang seberat-beratnya.
  6. Hadis- sabda Rasulullah S.A.W:
    تَعِسَ عبدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الخَمِيصَةِ، إنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وإنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ، تَعِسَ وَانْتَكَسَ، وإذَا شِيكَ فلا انْتَقَشَ، طُوبَى لِعَبْدٍ آخِذٍ بعِنَانِ فَرَسِهِ في سَبيلِ اللَّهِ، أَشْعَثَ رَأْسُهُ، مُغْبَرَّةٍ قَدَمَاهُ، إنْ كانَ في الحِرَاسَةِ، كانَ في الحِرَاسَةِ، وإنْ كانَ في السَّاقَةِ كانَ في السَّاقَةِ، إنِ اسْتَأْذَنَ لَمْ يُؤْذَنْ له، وإنْ شَفَعَ لَمْ يُشَفَّعْ
    \”Celakalah hamba dinar, hamba dirham dan hamba pakaian. Jika diberi habuan mereka suka. Jika tidak diberi mereka marah. Celaka dan hinalah mereka. Kelak jika dia tercucuk duri tiada yang mahu mencabutnya…\” [HR Bukhari].
  7. Maksudnya bukan mereka sembah atau sujud secara perbuatan tetapi taksub dan terlalu sayang kepada harta, gila mencari harta tanpa menghiraukan halal dan haram! apabila harta haram dianggap biasa maka kelihatanlah fenomena rasuah dan riba yang berleluasa.

AYAT 27- {(SEMASA IA DIHUMBANKAN KE DALAM NERAKA JAHANNAM, IA MENDAKWA BAHAWA SYAITANLAH YANG MENJADIKAN DIA SESAT; PADA SAAT ITU) SYAITAN YANG SENTIASA MENYERTAINYA (DI DUNIA DAHULU) BERKATA: \”WAHAI TUHAN KAMI, AKU TIDAK MENYESATKANNYA TETAPI SEMEMANGNYA DIA SENDIRI BERADA DI DALAM KESESATAN YANG JAUH TERPESONG\”.} (QAAF 50:27)

  1. Ayat ini adalah tentang qarin jenis kedua; syaitan yang jahat menyesatkan.
  2. Apabila dihumbankan ke dalam neraka, para mujrimin itu mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat.
  3. Syaitan pula menjawab melepaskan dirinya daripada kafir atau orang yang menuduhnya menyesatkan mereka di atas dunia dulu, tetapi bahawa mereka sendiri yang memilih jalan yang sesat itu!
    Mereka tidak guna akal dan ikut nafsu hasutannya!
  4. Yakni mereka berbalah dan saling tuduh-menuduh di hadapan Allah s.w.t! Masing-masing cuba berlepas diri dan tidak mahu dipertanggung-jawabkan! Sedangkan mereka semua berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong!
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: \”Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya\”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.] (Ibrahim 14:22)

AYAT 28- {ALLAH BERFIRMAN: \”JANGANLAH KAMU BERBALAH LAGI DI HADAPANKU, (TIDAK ADA GUNANYA BERBALAH PADA MASA AKU MEMBUAT KEPUTUSAN); PADAHAL (KAMU SEDIA MENGETAHUI BAHAWA) AKU DAHULU TELAH MEMBERI AMARAN KEPADA KAMU (AKAN MENYEKSA ORANG-ORANG YANG BERSALAH).} (QAAF 50:28)

  1. Allah s.w.t lalu menegur perbuatan mereka itu!
    Tiada guna lagi kamu saling berbalah atau saling tuduh menuduh selepas Allah buat keputusan!
    Kamu semua syaitan dan orang kafir akan dihumbakan ke dalam neraka.
  2. Sedangkan sudah dibawa hujjah dan peringatan kepada kamu di dunia dulu, diberi amaran bahawa orang yang kufur dan ingkar akan disiksa dan dihukum!
    Rasul telah menyampaikan segalanya dari Allah tetapi kamu yang menentang dan mendustakannya!
  3. Firman Allah s.w.t: {Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.} (Az-Zumar 39:31

AYAT 29- {\”KEPUTUSANKU ITU TIDAK DAPAT DIUBAH ATAU DITUKAR GANTI, DAN AKU TIDAK SEKALI-KALI BERLAKU ZALIM KEPADA HAMBAKU\”.} (QAAF 50:29)

  1. Allah nyatakan lagi bahawa hukuman itu sudah tidak akan berubah lagi!
  2. Firman Allah s.w.t lagi:
    i- {Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: \”Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)\”.} (Hud 11:119)

ii- {Tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: ` Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)\”.} (As-Sajdah 32:13)

  1. Apakah maksudnya tidak boleh ditukar & diubah ini?
    Jawapan: Yakni keputusan dan hukum Allah s.w.t tidak akan ditukar lagi, yang mendapat janji baik (الوعد) untuk balasan baik akan dimasukkan ke dalam nikmat syurga manakala yang mendapat janji buruk (الوعيد) kufur dan berdosa akan mendapat siksaan dan azab neraka!
    Walaupun begitu janji buruk (الوعيد) masih boleh berubah kerana mereka berada di bawah kehendak dan rahmat Allah s.w.t.
  2. Kemudian Allah s.w.t memberi jaminan bahawa Dia tidak akan menzalimi setiap hamba-Nya, iaitu Dia tidak akan menambahkan dosa kesalahan mereka atau mengurangkan pahala balasan kebaikan mereka walaupun sebesar zarrah.
    Allah tidak akan menyiksa orang yang tidak berdosa.
  3. Firman Allah s.w.t lagi:
    i- {Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisiNya, pahala yang amat besar.} (An-Nisaa\’ 4:40)

ii- {Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.} (Yunus 10:44)

AYAT 30- {(PERINGATKANLAH MANUSIA) AKAN HARI KAMI BERTANYA KEPADA NERAKA JAHANNAM: \”ADAKAH ENGKAU SUDAH PENUH? \” IA MENJAWAB: \”ADAKAH LAGI SEBARANG TAMBAHAN?\”} (QAAF 50:30)

  1. Selesai dicampakkan penghuni neraka, Allah s.w.t bertanya kepada neraka: Apakah kamu sudah penuh? Cukupkah sudah ahlimu?
  2. Neraka menjawab dengan tamaknya: Adakah lagi tambahan? Dia mahu lagi.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Allah s.w.t bertanya:

تَحَاجَّتْ الْجَنَّةُ وَالنَّارُ فَقَالَتْ النَّارُ أُوثِرْتُ بِالْمُتَكَبِّرِينَ وَالْمُتَجَبِّرِينَ وَقَالَتْ الْجَنَّةُ مَا لِي لَا يَدْخُلُنِي إِلَّا ضُعَفَاءُ النَّاسِ وَسَقَطُهُمْ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لِلْجَنَّةِ أَنْتِ رَحْمَتِي أَرْحَمُ بِكِ مَنْ أَشَاءُ مِنْ عِبَادِي وَقَالَ لِلنَّارِ إِنَّمَا أَنْتِ عَذَابِي أُعَذِّبُ بِكِ مَنْ أَشَاءُ مِنْ عِبَادِي وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا مِلْؤُهَا فَأَمَّا النَّارُ فَلَا تَمْتَلِئُ حَتَّى يَضَعَ رِجْلَهُ فَتَقُولُ قَطْ قَطْ فَهُنَالِكَ تَمْتَلِئُ وَيُزْوَى بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ وَلَا يَظْلِمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ خَلْقِهِ أَحَدًا وَأَمَّا الْجَنَّةُ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنْشِئُ لَهَا خَلْقًا.

\’Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata, \’Aku mendapatkan orang-orang yang sombong dan bengis.\’
Lalu syurga berkata, \’Mengapa saya hanya dimasuki oleh orang-orang yang lemah dan rendah tawadhu\’.\’
Allah Tabaraka wa ta\’ala berkata kepada syurga, \’Engkau adalah rahmat-Ku, denganmu aku rahmati hamba-Ku yang aku suka.\’
Lalu Dia berkata kepada neraka, \’Engkau adalah azab-Ku, denganmu aku mengazab hamba-Ku yang aku suka.
Setiap dari keduanya akan penuh.
Adapun neraka tidak akan penuh kecuali setelah Allah meletakkan kaki-Nya, baru dia berkata, \’cukup\’, \’cukup\’ maka ketika itu neraka akan penuh dan neraka satu sama lain akan terlipat, dan Allah tidak akan menzalimi makhluknya satupun.
Adapun syurga Allah akan ciptakan makhluk untuknya.\” [HR Bukhari 5849].

ii- Dari Anas bin Malik dari Nabi s.a.w:

لَا تَزَالُ جَهَنَّمُ تَقُولُ هَلْ مِنْ مَزِيدٍ حَتَّى يَضَعَ رَبُّ الْعِزَّةِ فِيهَا قَدَمَهُ فَتَقُولُ قَطْ قَطْ وَعِزَّتِكَ وَيُزْوَى بَعْضُهَا إِلَى بَعْضٍ

\”(Neraka) jahanam masih saja berkata, \’apakah ada tambahan\’ hingga akhirnya Tuhan Pemilik Kemuliaan meletakkan kaki-Nya.
Kemudian ia berkata: \”Cukup, cukup, demi kemuliaan-Mu,.\” Lalu neraka satu sama lain saling terlipat.\” [HR Bukhari].

Dalam bab sifat Allah kita serahkan dan percaya kepada apa yang Allah sebut dan apa yang Rasulullah s.a.w ceritakan kepada kita. Jangan kita cuba menolak dan mentakwil ayat-ayat sifat ini!

  1. Ya Allah kami minta berlindung dengan-Mu dari segala perbuatan dan benda yang boleh mendekatkan kami kepada neraka-Mu!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Dari Ayat 23- sehingga Ayat 26- menceritakan tentang lima sifat manusia yang Allah perintahkan kepada malaikat untuk dicampakkan ke dalam neraka.

Persoalan apakah kafir dengan 5 sifat ini sahaja yang akan dimasukkan ke dalam neraka?

Jawapannya tidak. Sifat ini hanya menunjukkan keburukan sifat ini, jika kafir bertambah lagi.
Peringkat dalam neraka itu juga banyak, serta orang yang kafir dan ingkar itu juga banyak darjat, semuanya akan masuk ke dalam neraka tetapi berbeza peringkat neraka dan tahap azab. Wallahu a\’lam.

  1. Ayat 27- {mereka berkata: \”Wahai Tuhan kami,}- kenapa digunakan lafaz jamak (plural) wahai Tuhan kami (رَبَّنَا)- bukan wahai Tuhanku?? Ini kerana semua tempat-tempat itu ada orang yang berkata mengikut kedaannya.

Ini pula adalah tempat perbicaraan yang amat hebat dan dahsyat, keadaan mereka pula amat genting dan terdesak; maka ketika itu mereka gunakan perkataan Tuhan Kami, yakni Tuhan bagi semua manusia. Mereka mengakui ada Tuhan tapi cuma derhaka terhadap-Nya lalu berada dalam nerakalah mereka semua.

  1. Ayat 27- {Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: \”Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong\”.}- syaitan tidak mengaku dia yang menyesatkan para mujrimin itu.
    Ayat ini mengajar kita agar berhati-hati akan kawan yang meninggalkan kita, berpaling tidak membela kita di saat genting, masing-masing cuba melepaskan diri sediri.

Allah juga gambarkan sesat di sini bukan sesat yang biasa tetapi; {kesesatan yang jauh terpesong}- iaitu jauh dari jalan yang benar, kafir, takabbur, ingkar, zalim dan lain-lain.
Kerana itu ulama\’ kata sesat itu ada banyak peringkat dan jenisnya. Ada yang sesat sikit-sikit ada yang sesat terpesong jauh daripada kebenaran.

  1. Ayat 29- {\”KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti, dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu\”.} – tidak boleh ditukarkan apa yang ditetapkan oleh Allah s.w.t iaitu orang mukmin dalam syurga manakala orang kafir dalam neraka.

Berlainan dengan golongan murji\’ah yang sesat yang mengatakan semua ayat-ayat janji Allah tentang siksaan itu bukan tetap tetapi hanya sekadar untuk menakutkan manusia sahaja! Ini kerana orang yang mulia itu apabila berjanji yang baik ia akan tunaikan tetapi janji buruknya mungkin berubah!
Kita kata; hati-hatilah wahai golongan yang sesat!

Ini kerana manusia ada 3 kumpulan:
i- mukmin yang akan mendapat syurga.

ii- kafir yang akan mendapat balasan neraka.

iii- orang derhaka, mukmin yang berdosa- mereka inilah yang dibawah kehendak (تحت مشيئة الله) Allah s.w.t, samada Tuhan mahu mengampunkan mereka setelah diazab dulu untuk menghapuskan dosa mereka atau sebaliknya. Semua atas kehendak Allah!

Janji Allah itu benar, janji kepada orang mukmin itu benar, janji kepada orang kafir juga benar, cuma balasan kepada orang mukmin yang derhaka itu terletak di bawah kehendak dan budi-bicara Allah s.w.t (تحت مشيئة الله)!

  1. Ayat 28- {Allah berfirman: \”Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah).} – Allah s.w.t peringatkan kepada kita bahawa menyesal kemudian tidak ada faedah!
    Jika nak bincang, muzakarah, nak menyesal dan berhati-hati adalah semasa hidup atas dunia!
    Bila orang ajak atau ajar kita kepada sesuatu cari dulu dan bukti kebenaran dan kesahihan ajaran itu!

Kaedah sesat: Anak murid dengan guru seperti mayat dengan tukang pemandi ayat. Yang akan dibolak-balik ikut kehendak dia tanpa dapat dibantah!

Syeikh atau tok guru yang berselindung disebalik makrifat dan hakikat, buat sesuatu yang tidak kena dengan Syari\’ah atau haram kena tolak! Sedangkan Syari\’at Islam itu jelas, yang haram itu haram, yang halal juga jelas!

Bukan kita tidak terima karamah atau kewalian, tetapi yang menyalahi peraturan Syari\’ah sekali-kali tidak boleh diterima bahkan HARAM!
Takkan wali lebih tinggi daripada Nabi s.a.w yang solat sehingga bengkak-bengkak kakinya, manakala dia pakai terus tidak solat!

Gunalah pendekatan TANYA dan periksa dulu dulu sebelum terima sebarang amalan, kita pastikan yang sahih dan benar baru ambil! Jangan takut untuk bertanya akan dalil dan sumber, bukan semua yang orang beri kita ambil, kita yang baik-baik, tasabbut pastikan yang sahih dan benar baru kita ambil!

Jangan tunggu berbantah di hadapan Allah, biarlah kita bertanya dan berbantah sekarang! Kita ada akal dan otak yang diberikan Tuhan, maka gunakannya untuk berfikir dan menilai!

Powered by BetterDocs