Dialog Antara Ahli Syurga, Neraka, Ahli Al-A’raf & Mengaku Benar Agama Islam.
Full video : https://youtu.be/mrtxUQIRevE?si=cntQPQh_5aCtBOTw
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 44 sehingga 46 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang dialog antara ahli syurga, neraka, ahli syurga bertanya kepada ahli neraka :
i- Bagaimana keadaan kamu sekarang sudah jumpakah apa yang Allah sebut atas dunia dulu?
ii- Ahli neraka mengakuinya dengan penuh penyesalan yang tiada guna lagi.
iii- Kemudian kedengaran suara yang melaknat orang yang zalim, maka tiada harapan lagi untuk diampunkan.
iv- Orang yang zalim ialah orang yang menyekat manusia dari jalan Allah, selain dia sendiri yang menyelewengkan fakta tentang Islam.
- Kemudian antara syurga & neraka itu ada tembok atau didinding yang di panggil al-A’raf.
Diletakkan sekumpulan manusia yang dipanggil ahli (ashabu) al-A’raf di atas tembok itu.
Mereka menunggu untuk masuk syurga lalu berlakulah dialog di situ.
Mereka ialah golongan yang sama berat timbangan amalannya jadi sebelum masuk syurga diletakkan atas tembok A’raf itu.
- Kemudian semuanya mengaku benar agama Islam lalu ashabu al-A’raf pun dimasukkan ke dalam syurga & mereka kekal di dalamnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang janji siksa kepada puak kafir & pahala kepada orang yang beriman & taat.
ii- Maka datang ayat ini dibawa dialog yang berlaku antara dua kumpulan itu.
Tujuannya supaya;
i-Mereka nampak & sedar lalu penyesalan makin besar kerana tidak dengar & taat mereka yang derhaka dulu!
Setelah nyata kesilapan mereka yang kafir itu, maka penyesalan makin besar dan tidak ada guna lagi.
ii- Manakala orang beriman pula semakin gembira dengan nikmat dan balasan yang mereka dapat.
Ini menunjukkan besarnya nilai janji, jangan berjanji palsu walaupun dengan anak sendiri!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 44- {DAN (APABILA AHLI-AHLI SYURGA ITU BERADA DI TEMPAT MASING-MASING), BERSERULAH MEREKA KEPADA AHLI NERAKA DENGAN BERKATA: “SESUNGGUHNYA KAMI TELAH DAPATI APA YANG TELAH DIJANJIKAN KEPADA KAMI OLEH TUHAN KAMI, SEMUANYA BETUL. MAKA ADAKAH KAMU JUGA TELAH DAPATI APA YANG TELAH DIJANJIKAN OLEH TUHAN KAMU ITU SEMUANYA BETUL?”. MEREKA MENJAWAB: “BENAR ADA”. KEMUDIAN BERSERULAH PENYERU (MALAIKAT) DI ANTARA MEREKA (KEDUA-DUA PUAK ITU) MENYATAKAN: “BAHAWA LAKNAT ALLAH TERTIMPA KE ATAS ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-A’RAF 7:44)
- Apabila ahli syurga berada di tempat masing-masing yakni di atas tembok A’raf sebelum masuk syurga, mereka nampak ahli neraka maka berlakulah seruan dan dialog ini.
- Syeikh Syanqiti RHM bawa persoalan apakah seruan & dialog ini berlaku antara semua ahli syurga & neraka atau sebahagian daripada mereka saja??
Jawapan:
i – Ini adalah seruan secara umum, ahli syurga bertanya kepada ahli neraka.
ii – Tetapi ada ulama’ tafsir kata : ahli syurga yang pergi mencari dan bertanya kepada kawan mereka yang kufur tidak mahu ikut Islam atas dunia dulu dan bertanya kepada mereka.
- Mereka ahli syurga bertanya kepada ahli neraka:
Apakah kamu dapati apa yang Allah & rasul-rasul janjikan dulu adalah benar?
Syurga & neraka serta pembalasannya.
Mereka mengakuinya benar belaka dan setelah lihat azab, tetapi pengakuan yang tiada guna lagi!
Tidak akan dapat menggubah apa-apa nasib mereka lagi!
- Sedang mereka bertanya bersoal itu tiba-tiba kedengaran suara seruan malaikat yang begitu kuat antara mereka menyatakan laknat ke atas puak kafir yang zalim atas dunia dulu!
Laknat Allah ialah jauh daripada kebaikan & keberkatan Allah SWT.
- Setelah mendengar keputusan muktamad dan kata putus dari Allah ini, {“Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”}: mereka bertambah kesal dan hilang harapan untuk meminta bantuan dan pertolongan dengan kawan mereka yang di dalam syurga tadi!
AYAT 45- {IAITU MEREKA YANG MENGHALANG (DIRINYA SENDIRI DAN JUGA ORANG LAIN) DARI MENURUT JALAN ALLAH, DAN MENCARI HELAH MENJADIKAN JALAN ITU BENGKOK TERPESONG, SEDANG MEREKA PULA TIDAK PERCAYAKAN HARI AKHIRAT.} (AL-A’RAF 7:45)
- Kemudian Allah sifatkan siapakah mereka yang zalim ini, iaitu:
i- Mereka yang menghalang dirinya sendiri dan juga orang lain dari menurut jalan Allah.
Yakni bukan setakat dirnya sesat tetapi menghalang orang lain juga dari belajar.
Sebagaimana yang Allah gambarkan dalam firman-Nya ini:
{Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!”} (Fussilat 41:26)
Begitulah cara orang jahat yang menyekat manusia supaya tidak dengar al-Quran, hatta hari ini.
Bahkan timbul kebimbangan juga, kerana ada setengahnya apabila orang mahu belajar tafsir al-Quran dilarang dengan berkata kena belajar fardhu ain dulu supaya faham.
ii- Mereka juga cuba menghitamkan kejernihan ajaran Islam, cuba nak pesongkan orang daripada mengikut ajaran Islam, memburukkan agama Islam sebagai agama terrorist, agama yang mundur, jumud, zalim dan seumpamanya!
Mencari helah untuk menunjukkan Islam ini buruk kerana nak pesongkan masyarakat dari Islam.
Maka kita kena buat kerja untuk mengangkat balik agama Islam, jangan orang buat kerja, kita tak buat kerja maka rugilah!
- Kata ulama’ tafsir : Maksud {يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ}
Menyekat manusia dari jalan Allah itu ialah; puak kafir sendiri tak mahu Islam & dia menyekat orang daripada masuk Islam dengan pelbagai cara; dengan akta perundangan, dengan sepak terajang, penindasan dan seumpamanya.
- Alhamdulillah dalam negara kita ini orang Islam bebas mengamalkan ajaran Islam & berdakwah kepada orang lain.
Jika di negara kafir jangan main-main ada yang sangat strik dan sangat menyekatnya.
Ada setengah negara seperti Jepun pula amat terbuka dan siapa saja boleh berdakwah agamanya.
- Di akhir ayat Allah kata, mereka itu dengan hari Akhirat tidak percaya, yakni amat menentang & mendustakannya!
- Sebagaimana Allah gambarkan dalam firman-Nya ini:
{Dan (kerana tabiat terburu-burunya) mereka berkata: “Bilakah berlakunya janji azab itu, jika betul kamu orang-orang yang berkata benar?”.} (Al-Anbiya’ 21:38)
AYAT 46- {DAN DI ANTARA KEDUANYA (SYURGA DAN NERAKA) ADA TEMBOK “AL-A’RAF “(YANG MENJADI) PENDINDING, DAN DI ATAS TEMBOK AL-A’RAF ITU ADA SEBILANGAN ORANG-ORANG LELAKI YANG MENGENAL TIAP-TIAP SEORANG (DARI AHLI-AHLI SYURGA DAN NERAKA) ITU, DENGAN TANDA MASING-MASING….} (AL-A’RAF 7:46)
- Kemudian Allah nyatakan antara syurga & neraka itu terdapat sebuah tembok yang tinggi, yang menjadi pendiding atau penghalang (partition) antara keduanya.
- Al-A’raf adalah sebuah tembok yang tinggi, yang memisahkan antara syurga & neraka seperti yang diterangkan dalam firman Allah ini:
{… serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.} (Al-Hadid 57:13)
- Menurut dalam sebahagian hadis Nabi SAW :
i- Orang yang bertempat atas tembok yang tinggi itu ialah sebahagian daripada orang beriman yang amal baik & amal jahat mereka sama banyak, soleh 50%, toleh pun 50%.
ii- Mereka diasingkan oleh Allah buat sementara waktu, tidak boleh masuk syurga terus selepas hisab itu.
iii- Akhirnya dengan belas kasihan Allah SWT mereka dimasukkan ke dalam syurga & kekal di dalamnya.
iv- Inilah golongan terakhir yang masuk syurga dari golongan yang tidak pernah masuk neraka. Mereka adalah orang baik cuma amalannya sama banyak.
Manakala golongan yang terakhir lagi ialah mereka yang beriman tetapi masuk neraka dulu dengan sebab dosa & maksiat mereka; kemudian apabila habis tempoh hukumannya dan Allah ampunkan mereka, lalu dibawa masuk syurga jua akhirnya.
- Antara syurga & neraka itu ada tembok-tembok al-A’raf yang mana orang neraka tidak boleh datang menyeberanginya manakala orang syurga boleh nampak keadaan neraka & penghuninya.
- Di atas tembok ada golongan lelaki yang sama kebaikan & kejahatannya.
- Kata Ibnu Kathir RHM : Ulama’ tafsir berbeza cara olahan tentang isu ini, siapakah Ashabul-A’raf.
Iaitu mereka yang sama banyak amalannya.
- Mereka ini dikenali rupanya, dengan tanda-tanda wajah ahli syurga iaitu wajah yang cerah & ceria.
Manakala ahli neraka wajah mereka gelap & suram.
- Sebagaimana firman Allah SWT :
{(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam.} (Aali’Imraan 3:106)
AYAT 46- {… DAN MEREKA PUN MENYERU AHLI SYURGA (DENGAN MEMBERI SALAM, KATANYA): “SALAAMUN ALAIKUM” (SALAM SEJAHTERA KEPADA KAMU). SEDANG MEREKA, SENDIRI BELUM LAGI MASUK SYURGA, PADAHAL MEREKA INGIN SANGAT MEMASUKINYA.} (AL-A’RAF 7:46)
- Mereka ashabul-A’raf ini juga menyeru dan memanggil sesama mereka dengan memberi salam: “سَلَـٰمٌ عَلَيْكُمْ” (salam sejahtera kepada kamu).
- Masing-masing dalam kebimbangan, ketakutan kerana neraka yang berada di sebelah tembok mereka dan amat berharap untuk selamat dari neraka & dapat masuk syurga!
- Yakni semoga semua selamat, semoga Allah SWT selamatkan kita dari segala mara-bahaya dari segala bencana yang ada di depan & belakang!
- Tetapi walaupun mereka amat berharap dan tamak untuk masuk syurga, mereka masih tidak boleh memasukinya {لَمْ يَدْخُلُوهَا وَهُمْ يَطْمَعُونَ} kecuali dengan izin Allah SWT.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 44- {Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka…}-
Allah menyebut bahawa ahli syurga akan menyeru kepada ahli neraka.
Dalam ayat ini Allah kata ahli (tuan) syurga {أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ} kerana selepas itu datang pula ahli neraka {أَصْحَـٰبَ ٱلنَّارِ }
Yakni dengan menisbahkan setiap kumpulan kepada tempat yang mereka akan pergi & tinggal walaupun mereka belum pergi lagi.
Kemudian kedudukan syurga & neraka itu adalah jauh, tetapi mereka dapat mendengar dan menyeru antara satu sama lain, ini adalah keagungan Allah SWT.
Ia juga tidak pelik lagi kerana kita atas dunia telah melalui semua fasa kecanggihan teknologi komunikasi ini, di mana saja atas dunia ini kita boleh saling berhubung, bercakap & bahkan melihat gambar & video dengan pelbagai alat gajet hp camera komputer yang kita ada.
Allah juga gunakan perkataan yang telah lepas (فعل الماضي) : dan telah menyeru { وَنَادَىٰ}, untuk menunjukkan perkara itu akan benar-benar berlaku, bukan hanya akan berlaku.
Seolah-olah telah terjadi.
Seruan ini untuk mengutuk, mengeji puak kafir untuk menambahkan azab dukacita, kesedihan penyesalan ke atas mereka!
Mereka berfikir dan bergumam: Kawan aku dulu tu member sepejabat tetapi dia tak dakwah, tak ajak aku kepada Islam, maka rugilah!
Kerana itu kita syorkan sangat kepada sahabat yang ada kawan bukan Islam sampaikan, kemukakan Islam kepada mereka, mereka nak terima atau tidak cerita lain!
Alhamdulillah undang-undang negara kita membenarkannya.
Jangan guna alasan malu atau takut kerana semua itu adalah hasutan untuk mengurangkan peluang dakwah kepada bukan Islam!
Jika kita tak ambil peluang ini rugilah dan kasihanlah kepada kawan-kawan kita itu di Akhirat kelak!
Sayanglah kita tidak boleh bersama di Akhirat kelak!
- Ayat 44- {Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli neraka…}-
Apakah objektif dan tujuan dialog & seruan antara ahli syurga & ahli neraka ini berlaku?
Seruan & dialog ini untuk menambahkan lagi penyesalan, kelukaan, kekecewaan & kesedihan puak kafir yang tidak menerima agama Islam semasa atas dunia dulu!
Seumpama seseorang yang nak buat perkara buruk kita sudah larang dulu tetapi dia tak dengar dan buat juga, lalu ditimpa bala atau keburukan.
Maka kita datang dan mengingatkannya akan teguran & nasihat kita yang dia tak dengar dulu!
Sudah tentulah akan bertambah kekesalan & kesakitannya!
Apatah lagi di akhir dialog, datang seruan yang menutup perbualan itu dengan keputusan yang amat menakutkan: {“Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.}
Ayat ini menunjukkan bahawa orang kafir tahu tentang kebenaran Islam. Tentang hari Kiamat tetapi mereka tidak percaya atau keras kepala, sombong tidak mahu menerima Islam.
Itulah nasib malang yang menimpa mereka yang tidak mendapat petunjuk hidayah Allah ini!
- Ayat 44- {Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: “Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim”.}-
Allah nyatakan laknat-Nya ke atas orang yang zalim.
Siapakah orang yang zalim ini?
Allah bawa empat sifat mereka dalam ayat ini iaitu:
i- Mereka yang menentang ayat-ayat Allah iaitu golongan musyrikin yang mereka sendiri jahat.
ii- Mereka bukan setakat tak terima tetapi menyekat & menghalang orang lain pula! Menakutkan orang dari dekat & faham al-Quran.
iii- Menimbulkan keraguan, syubhat dan keburukan kepada Islam.
Bawa pandangan & di’ayah yang pelik kepada Islam, jika Islam kuat mereka kata terrorist, jika lemah mereka kata mundur dan miskin pula!
iv- Mereka kufur ingkar menolak adanya hari Akhirat.
Inilah empat sifat orang zalim yang dilaknat Allah!
- Ayat 45- {Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah,…}-
Allah kata orang yang menyekat manusia dari jalan Allah.
Kenapa dipanggil jalan Allah {سَبِيلِ ٱللَّهِ}??
Jawapan:
Dinisbahkan jalan itu kepada Allah; kerana Allah yang menurunkan Syari’ah, Allah yang menyatakan jalan-Nya itu.
Allah yang beri kita agama ini, maka sesiapa yang sekat dari agama Allah dan dari jalan imam maka dia telah menyekat dari jalan Allah!
Maka sesiapa yang tidak ikut jalan Allah dia akan mengikut jalan syaitan.
Kerana hanya ada dua jalan dan lorong di depan kita.
Kamu mahu yang mana, jangan sampai tersalah pilih!
Tetapi jalan Allah ini telah disekat dengan pebagai sekatan!
YANG menyekat manusia dari jalan Allah ini adalah syaitan kerana dia tidak mahu manusia faham perjalanan hidup kita atas dunia ini sebagaimana yang diperintahkan Allah.
- Ayat 46- {… dan di atas tembok Al-A’raf itu ada sebilangan orang-orang lelaki….}-
Allah sebut di sini bahawa di atas tembok A’raf itu ada sebilangan orang-orang lelaki– {وَعَلَى ٱلْأَعْرَافِ رِجَالٌۭ} tidak disebut wanita.
Persoalannya: Apakah tidak ada dari kalangan ashabul-A’raf ini golongan wanita?
Tidak adakah wanita yang amalannya 50-50???
Jawapan:
i- Ada ulama’ kata : Jika disebut khas lelaki tak masuk wanita, itulah usul atau asasnya.
ii- Tetapi kata sebahagian ulama’ pula kata : Bukan begitu, jika disebut lelaki ia termasuk juga wanita kecuali dinyatakan pengecualian yang khas tentangnya.
Maka hakikatnya kita kata wallahu a’lam apakah ada wanita dari kalangan mereka atau tidak.
Allah juga mengatakan mereka ini amat tamakkan syurga {وَهُمْ يَطْمَعُونَ} yakni sangat berkeinginan untuk masuk syurga, mereka ingin sangat memasukinya.
Maka kita kena sedar bahawa syurga itu milik Allah, walaupun kita mahu & inginkannya setara mana sekali pun.
Kita hanya mampu berusaha buat kerja, beribadat sebaik mungkin serta berdoa bermunajat minta Allah layakkan kita ke syurga!
Maka kita berdoa kepada Allah SWT dengan nama-Nya yang maha indah & sifat-Nya yang maha sempurna agar kita layak menjadi ahli syurga yang mendapat keredhaan Allah SWT.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.