Perisytiharan Pada Hari Haji Akbar, Tidak Ada Ikatan Dengan Kaum Musyrikin & Kecuali Kaum Yang Ada Perjanjian.
Full video : https://youtu.be/rdehvPWVvsk?si=ZCyLwBTUmlzrApsy
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir kepada Surah At-Taubah dengan ayat 3 dan 4 dalam juzuk kesepuluh.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan satu lagi iklan perisytiharan pada hari Haji Akbar (يَوْمَ ٱلْحَجِّ ٱلْأَكْبَرِ), iaitu pada hari Raya Haji di Mina.
- Iaitu bahawa Allah & Rasul-Nya tidak ada lagi ikatan dengan kaum musyrikin.
Sejak saat ini orang kafir tidak boleh lagi memasuki Makkah, tidak ada lagi ibadat cara mereka seperti tawaf secara telanjang di Ka’bah dan seumpamanya.
Jika nak masuk juga mereka mesti beriman & jalankan ibadat sebagaimana ajaran Islam.
- Kemudian Allah kata pembatalan ini ada pengecualian untuk kaum yang ada perjanjian & tidak khianat dulu kepada orang Islam.
Kita tidak akan khianat & batalkannya dulu jika mereka juga setia; kerana orang mukmin tidak menipu, tidak khianat & membatalkan perjanjian, ia adalah sifat munafiq.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang perlepasan diri dari Allah & Rasul-Nya, tidak ada lagi kaitan & perjanjian dengan orang kafir yang telah buat perjanjian dengan Islam tetapi mula ada bibit khianat, yakni belot dari pihak mereka dulu.
ii- Dalam ayat ini iklan pula kepada semua manusia yang ada atas dunia pada ketika itu, lebih-lebih pada hari Haji yang agung, yang dihadiri oleh ramai manusia; bahawa Allah SWT dan demikian juga Rasul-Nya; berlepas diri daripada semua orang kafir.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 3- {DAN INILAH PERISYTIHARAN DARI ALLAH DAN RASULNYA KEPADA UMAT MANUSIA, (DIISYTIHARKAN) PADA HARI RAYA HAJI YANG TERBESAR, BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH DAN RASULNYA MEMUTUSKAN TANGGUNGJAWAB TERHADAP ORANG-ORANG MUSYRIK; OLEH ITU JIKA KAMU (WAHAI KAUM MUSYRIK) BERTAUBAT (DARI KUFUR) MAKA YANG DEMIKIAN ADALAH BAIK BAGI KAMU; DAN JIKA KAMU BERPALING (INGKAR), MAKA KETAHUILAH SESUNGGUHNYA KAMU TIDAK AKAN DAPAT MELEPASKAN DIRI DARI (AZAB SEKSA) ALLAH. DAN KHABARKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG KAFIR (BAHAWA MEREKA AKAN DITIMPAKAN) DENGAN AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AT-TAUBAH 9:3)
- Allah SWT memaklumkan satu perisytiharan, pemberitahuan waktu dari Allah & Rasul-Nya kepada semua manusia sama ada yang Islam atau yang kafir.
- Bilakah iklan itu?
Pada hari haji Akbar & apakah pula Haji Akbar ini?
Kata ulama’ tafsir seperti Ibnu Jarir at-Tobari : Pendapat yang paling sahih ia adalah pada hari Raya Haji (يوم النحر) di Mina.
Ini kerana banyak riwayat yang dinukilkan dari para sahabat RA yang dihantar oleh Rasulullah SAW telah memaklumkan perisytiharan ini pada hari Raya ketika berada di Mina.
- Terdapat juga riwayat di mana Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat pada hari Raya: Tahukah kamu hari apakah ini?
Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata:
Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah)”. Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar”.
[HR Abu Daud, (1945)] Sahih.
- Dinamakan hari Haji Akbar kerana orang berkumpul dengan ramai sekali di Mina maka ketika itulah dilakukan perisytiharan, ketika orang ramai bukan isytihar waktu tidak ada orang.
Iaitu orang kafir tidak boleh lagi masuk ke Makkah & tidak boleh lagi tawaf sambil telanjang kerana Rasulullah SAW akan datang mengerjakan haji pada tahun berikutnya.
Telah diceritakan hikmah kenapa Saidina Ali dihantar sebagai wakil kepada Rasulullah SAW untuk isytiharnya.
- Hadis, riwayat daripada Humaid bin ‘Abd al-Rahman, bahawa Abu Hurairah RA mengkhabarkan kepadanya, katanya:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، بَعَثَهُ فِي الحَجَّةِ الَّتِي أَمَّرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهَا قَبْلَ حَجَّةِ الوَدَاعِ، فِي رَهْطٍ يُؤْذِنُوا فِي النَّاسِ: أَنْ لاَ يَحُجَّنَّ بَعْدَ العَامِ مُشْرِكٌ وَلاَ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ عُرْيَانٌ
Maksudnya: Sesungguhnya Abu Bakar RA telah mengutusnya pada haji sebelum daripada haji Wada’ yang Rasulullah SAW menjadikannya sebagai pemimpin pada haji tersebut bersama sekumpulan orang yang mengumumkan kepada orang ramai : Sesungguhnya orang musyrikin tidak boleh menunaikan haji selepas daripada pada tahun ini dan orang yang telanjang tidak boleh melakukan tawaf di Ka’bah.
Maka Humaid berkata:
يَوْمُ النَّحْرِ يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ، مِنْ أَجْلِ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ
Maksudnya: Hari al-Nahr (sembelihan dan qurban) ialah hari al-Hajj al-Akbar, berdasarkan hadith Abu Hurairah RA ini. [HR Bukhari].
- Kemudian Allah nyatakan jika mereka orang kafir mahu datang haji juga maka hendaklah mereka bertaubat daripada kekufuran mereka & beriman kepada Allah.
- Lalu Allah beri amaran : Tetapi jika mereka orang kafir mahu lari tidak mahu beriman; maka tunggulah azab Allah yang tidak akan sesekali mereka dapat lari & lepas darinya!
- Allah perintahkan Rasulullah SAW sampaikan berita buruk kepada puak kafir dengan azab yang sangat keras & pedih yang akan menimpa mereka di dunia & Akhirat!
Di dunia jika mereka tidak beriman maka mereka akan di bunuh, harta akan dirampas, anak isteri akan ditawan & di Akhirat kelak akan mendapat azab yang tidak terperi dahsyatnya!
AYAT 4- {KECUALI MEREKA YANG KAMU MENGIKAT PERJANJIAN SETIA (DENGANNYA) DARI ORANG-ORANG MUSYRIK, KEMUDIAN MEREKA TIDAK MENCABULI PERJANJIAN KAMU ITU SEDIKITPUN, DAN MEREKA TIDAK MENOLONG SEORANGPUN YANG MEMUSUHI KAMU, MAKA SEMPURNAKANLAH KEPADA MEREKA PERJANJIAN MEREKA SEHINGGA (HABIS) TEMPOHNYA. SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (AT-TAUBAH 9:4)
- Tetapi jika orang musyrik yang ada perjanjian itu jujur & baik, mereka ini dikecualikan daripada iklan dibatalkan perjanjian yang ada tadi.
Jangan kita yang khianat & batalkannya dulu.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah telah mengiklankan perlepasan diri daripada orang kafir, tidak ada lagi kaitan & ikatan setia;
ii- Dalam ayat ini Allah buat pengecualian; jika kumpulan kafir yang telah ikat setia itu setia baik, tidak ada tanda-tanda nak belot atau khianat, maka kita kena hormati & setia pada perjanjian itu, jangan pula kita yang belot.
Biarkan mereka terus bersama dalam negara Islam jangan zalim.
- Itulah ajaran Islam:
i- Orang yang baik & tak khianat kepada kita, kita hormati & jangan menzalimi mereka.
Mereka kena akur & ikut apa yang telah ditetapkan Islam dari sudut undang-undang.
ii- Tetapi jika orang khianat dulu kita tidak boleh biarkan dan lemah kerana kita ada maruah diri, jangan biarkannya, kena pertahankan diri & jaga maruah.
- Kata Ibnu Kathir : Pengecualian ini adalah bagi tempoh empat bulan yang diberikan untuk mereka berfikir.
Bagi mereka yang tiada tempoh kita biarkan mereka selagi mereka jujur, tidak khianat, jaga integriti & tidak memihak kepada kafir lain yang melawan.
- Begitulah Islam; tak ajar umatnya khianat tetapi Islam ajar kita untuk jaga perjanjian, tunai janji & amanah serta membantu orang!
Tetapi begitulah manusia waktu dia susah minta pertolongan kita tetapi apabila dia kuat dia lupa & hilang ingatan.
- Kata ar-Razi ; Allah nyatakan syarat untuk pengecualian ini ada dua iaitu:
i- Mereka tidak belot, tidak buat onar perangai dan tiada bibit-bibit nak khianat.
ii- Mereka tidak buat perjanjian, berkomplot dengan kafir lain untuk membantu mereka melawan orang Islam.
Inilah dua syarat untuk mengekalkan perjanjian, dia sendiri tak lawan dan juga tak tolong orang nak lawan Islam.
Kita orang Islam tidak dibenarkan menjadi manusia yang bacul & lemah, jika orang khianat kepada kita & agama, wajib kita bangkit lawan & ambil tindakan
Jika kita lihat sesiapa saja buat kesilapan dalam agama; wajib kita tegus agar perbuatan tidak akan jadi biasa & menular dalam masyarakat.
- Islam juga mengajar agar jangan zalim, khianat & bohong serta tidak menunaikan janji!
Allah perintahkan kita apabila berjanji jangan khianat, sempurnakan janji kita, jika mereka yang khianat kita akan batalkan!
- Allah akhiri ayat ini dengan kata: {Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.}
Allah suka kepada orang yang bertaqwa.
- Siapakah mereka? Iaitu orang yang:
i- Ikut arahan Allah, taat kepada Rasulullah,
i- Menjauhi maksiat, munkar & maksiat.
- Dalam konteks ayat ini Allah menyuruh kita bertaqwa dalam perjanjian dengan orang kafir, yakni apabila berjanji jangan khianat.
Jika mereka yang khianat kita batalkan!
Begitu sekali Allah didik hamba-Nya yang beriman supaya jaga perjanjian & jaga kehormatan diri!
- Yakni di akhir ayat Allah perintahkan agar sempurnakan janji kamu kemudian Allah kata Dia suka kepada orang yang bertaqwa.
Kata ulama’ :
i- Allah ikatkan sifat menunaikan janji itu kepada sifat taqwa.
ii- Allah nyatakan Dia suka dan sayang orang yang bertaqwa.
iii- Maka jadilah menunaikan janji itu termasuk beribadat kepada Allah kerana kita mendapat kasih & sayang Allah Azza wa Jalla dengan sebab kita ikut perintah-Nya & tidak batalkan perjanjian dengan sewenang-wenangnya.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 3- {Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar,…}-
Allah sudah isytiharkan bahawa Allah & Rasul-Nya berlepas diri dari semua orang kafir, pada hari Raya Haji yang Akbar.
Kata ulama’ ini : Ayat ini mempunyai munasabah yang cukup indah.
i- Dalam ayat sebelumnya Allah iklankan kita melepaskan diri daripada perjanjian dengan kafir yang nak belot & khianat dalam perjanjian.
ii- Maka ayat ini adalah pemakluman kepada semua manusia yang ada perjanjian atau tidak; bahawa Allah berlepas diri daripada semua orang kafir, maka jika nak selamat, nak Allah jaga kamu, maka kamu masuklah Islam.
Ayat 3 ini tidak berulang dengan ayat pertama (1), ia mempunyai tujuan & maksudnya yang lain di mana:
i- Ayat pertama iklan kepada kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam.
ii- Ayat ketiga ialah iklan bahawa Allah tidak suka, tidak sayang & berlepas diri dengan semua kafir yang ada atas dunia ini!
Allah tak peduli lagi dengan orang kafir; jika kamu nak selamat masuklah Islam.
- Ayat 3- {Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar,…}-
Allah kata dalam ayat ini perisytiharan dari Allah & Rasul-Nya kepada manusia sekeliannya.
Timbul persoalan: Yang mengisytiharkan pada hari itu ialah Sayyidina Abu Bakar & Sayyidina Ali RA & Abu Bakar juga melantik beberapa orang sahabat lagi untuk menyampaikan perisytiharan itu kepada semua khemah yang ada di Mina!
Maka kata ulama’ tadabbur : Allah sebut di sini Allah & Rasul-Nya kerana perisytiharan itu adalah satu perundangan dari Allah juga melalui lidah Nabi-Nya SAW yang menyampaikan.
Maka kerana ia perundangan, ia wajib datang datang dari Allah & Rasulullah SAW, orang lain tidak ada kelayakan!
Sayyidina Abu Bakar, Ali & Abu Hurairah hanya menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Allah & Rasul-Nya.
- Ayat 3- {… , (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar,…}-
Pada hari haji Akbar {يَوْمَ ٱلْحَجِّ ٱلْأَكْبَرِ}.
Bilakah haji Akbar ini????
Perkara ini telah dibahaskan panjang dan ulama’ tafsir seperti Ibnu Jarir dan lain-lain mengatakan:
Hari Haji Akbar itu ialah hariraya Haji (يوم النحر). Ia dinamakan hari haji Akbar kerana manusia sudah selesai menunaikan rukun-rukun haji yang lain, iaitu niat, wuquf di Arafah, tawaf di Baitullah, Sae’i.
Maka pada hari raya itu kita dapat selesaikan banyak rukun haji dan wajib haji, seperti tawaf haji, bercukur, melontar, sembelih korban dan lain-lain; kemudian sibuk dengan pekerjaan haji lain pula, bermabit dan melontar jamrah.
Maka banyak sekali pekerjaan haji yang dilakukan pada hari raya itu, maka selayaknyalah ia dipanggil Hari Haji Yang Besar (Akbar).
Ada juga riwayat yang mengatakan Hari Haji Akbar itu ialah hari Arafah atau hari Wuquf,
Tetapi majoriti ulama’ mengatakan : Hari Haji Akbar itu ialah Hari Raya Haji iaitu hari ke-10 Zulhijjah atau dikenali juga dengan nama Hari Korban (يوم النحر).
Terdapat juga pandangan yang tersebar di kalangan masyarakat yang mengatakan Hari Haji Akbar itu ialah jika hari wuquf jatuh pada hari Jumaat.
Maka ramailah orang yang berkemampuan berduyun datang membeli visa khas semata-mata untuk berwuquf pada hari Jumaat!
Benar terdapat kelebihan yang besar jika hari wuquf jatuh pada hari Jumaat lebih daripada hari lain kerana terkumpul padanya dua hari besar iaitu :
i) Hari Jumaat
ii) Hari Wuquf
iii) Dan berbetulan Nabi SAW semasa Haji Wada’, wuqufnya jatuh pada hari Jumaat.
Tetapi apa yang diviralkan & disebarkan adalah hadis yang tak sahih; iaitu yang mengatakan kelebihan wukuf pada hari Jumaat di Arafah, akan mendapat pahala seperti 70 atau 72 kali haji!
Hadis ini tidak sahih daripada Nabi SAW & tiada riwayat di dalam kitab-kitab hadis dengan sanad yang baik.
Tetapi ulama’ feqah ada sebut kelebihan berkumpulanya dua hari yang mulia itu!
Kata Imam an-Nawawi : Tiada sandaran daripada hadis sahih yang mengatakan seperti itu!
Tetapi para ulama’ kata : Elok benar jika kita dapat wuquf pada hari Jumaat kerana ada kelebihannya yang tersendiri iaitu berkumpul padanya; Hari Jumaat, Hari Arafah & Hari Wuquf Nabi SAW.
Setiap tahun kita ada Hari Haji Akbar iaitu Hari Raya Haji pada 10hb Zulhijjah!
Beberapa kepercayaan yang perlu diperbetulkan di kalangan masyarakat kita sejak dulu lagi:
i- Wukuf hari Jumaat bersamaan 70 kali hari,
ii- Niat umrah di Ja’ranah sama seperti 7 kali niat umrah di Tan’im.
Kata ulama’ semua : Ini tidak ada dalil yang sahih daripada Nabi SAW atau al-Quran tetapi lebih kepada hadis maudhu’ rekaan orang awam!
Memang Nabi SAW pernah berniat umrah di Ja’ranah iaitu umrah ketiga Baginda SAW, selepas membahagikan harta rampasan perang Hawazin dalam perang Hunain.
Tetapi tiadalah kelebihan seperti yang diwarwakan itu!
- Ayat 3- {… maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah.- }-
Ketahuilah kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari azab Allah.
Ulama’ tadabbur kata : Ayat ini tidak berulang walaupun ada perkataan sama (ٱعْلَمُوٓا۟) seperti dalam ayat yang kedua; ini kerana:
i- Ayat ke-2 {وَٱعْلَمُوٓا۟} untuk tempat (makan- مكان ) iaitu kamu berjalanlah atas muka bumi ini untuk mengetahui kelebihan Islam.
ii- Manakala ayat ke-3 ini {فَٱعْلَمُوٓا۟} untuk masa (zaman- للزمان), iaitu jika kamu taubat sekarang, taubat hari ini, kamu akan selamat tetapi {فَٱعْلَمُوٓا۟- ketauilah} jika kamu masih berdegil maka terimalah azab Allah nanti!
Maka kedua ayat ini tidak berulang & menunjukkan kepada isu yang berbeza.
- Ayat 4- {Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu,..}-
Pengecualian ini adalah untuk kafir yang ada perjanjian dengan orang Islam tetapi baik & tidak belot sebagaimana dua syarat yang telah disebut tadi.
Iaitu jika kafir baik:
i- Syarat pertama mereka yang ada perjanjian ini tidak belot & khianat.
ii- Syarat kedua mereka tidak buat perjanjian dengan kafir lain untuk lawan Islam.
Maka kita sempurnakanlah perjanjian jangan khianat kepada orang!
Antara syarat kita buat perjanjian ialah jangan khianat dan tidak ada kebelotan.
Jika nampak ada bibit pengkhianatan dari mereka; kita lepaskan janji & lawan!
Inilah ilmu yang Allah ajar kepada kita orang Islam untuk tunaikan janji, jika orang jujur dengan kita kita jujurlah & jika orang belot kita batalkan perjanjian!
Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.
Wallahu A’lam.