View Categories

(06) Surah Al-Anfal : Ayat 15-16

Larangan Lari Dari Medan Perang, Kecuali Untuk Mengatur Strategi & Ancaman Bagi Yang Lari.

Full video : https://youtu.be/K5E3j9qB1Es?si=mV_40D1fD676dhlU

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Anfal ini dengan ayat 15 sehingga 16 dalam juzuk kesembilan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan larangan kepada tentera Islam lari dari medan perang.
    Larangan ini keras & ia termasuk dalam dosa besar kerana ia akan memberi kerosakan yang besar terhadap Islam.
  1. Tetapi dikecualikan jika mereka lari berundur untuk mengatur strategi, buat helah kepada musuh atau untuk pergi bergabung dengan tentera Islam lain untuk mencari kekuatan, maka dibenarkan.
  1. Bagi selain itu tidak boleh & tidak dibenarkan serta ancaman bagi yang lari, kemurkaan dari Allah dan azab neraka Jahannam.
    Inilah hukumnya kita jangan mudah nak lari dari medan perjuangan.
  1. jangan ada masalah sikit sesama kita, kita merajuk & salahkan Islam, ini tidak betul!
    Bahkan kita kena usaha untuk mencari perdamaian & titik persamaan supaya kita tidak berpecah dan lemah; lalu musuh Islam yang akan mendapat manfaat!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah janjikan kepada tentera Islam bahawa Allah akan campakkan ke dalam hati puak kafir perasaan gerun, gementar & lemah lalu mereka akan mudah koyak & tewas.
    Allah juga perintahkan untuk penggalkan kepala & anggota mereka.
    Tetapi bukan mudah untuk tumpahkan darah orang tanpa hak, kecuali dalam perang & hukum jenayah.

    ii- Maka datang ayat yang mulia ini Allah nyatakan bahawa kamu tentera Islam kena sabar untuk menentang musuh serta amaran keras daripada lari meninggalkan tapak/medan peperangan, kecuali untuk yang ada strategi.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 15- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! APABILA KAMU BERTEMU DENGAN ORANG-ORANG KAFIR YANG SEDANG MARA MENYERANG, MAKA JANGANLAH KAMU BERPALING UNDUR DARI MENENTANG MEREKA.} (AL-ANFAL 8:15)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa orang beriman diperintahkan supaya tetap pendirian, jangan lari dari medan peperangan ketika sudah berhadapan dengan tentera kafir dan saling siap untuk berperang.
    Biarlah mati dalam perjuangan kerana ia lebih mulia dari lari dari medan perjuangan walaupun mendapat kesenangan!
  1. Jangan kamu berpaling belakang, beri belakang kamu untuk mereka dengan mengaku kalah, bahkan hendaklah kamu tetapkan pendirian untuk melawan mereka!
    Ini adalah satu arahan dari Allah SWT kepada para sahabat.
  1. Maka Nabi SAW juga memberi nasihat kepada para sahabatnya dalam hadis ini dengan sabdanya:

    Wahai manusia, janganlah kamu mengharapkan bertemu musuh, tetapi mohonlah keselamatan kepada Allah.
    Jika kamu bertemu musuh, maka bersabarlah dan ketahuilah bahwa syurga itu di bawah naungan pedang
    .” (HR Bukhari dan Muslim)
  1. Firman Allah SWT juga:
    {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).} (Al-Anfal 8:45)
    Inilah dua ayat larangan dari Allah SWT.

AYAT 16- {DAN SESIAPA BERPALING UNDUR DARI MENENTANG MEREKA PADA KETIKA ITU – KECUALI IA BERGERAK KE ARAH LAIN (UNTUK MENJALANKAN TIPU MUSLIHAT) PEPERANGAN, ATAU HENDAK MENYATUKAN DIRI DENGAN PASUKAN YANG LAIN – MAKA SESUNGGUHNYA IA TETAPLAH MENDAPAT KEMURKAAN DARI ALLAH, DAN TEMPATNYA IALAH NERAKA JAHANAM; SEDANG NERAKA JAHANAM IALAH SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI.} (AL-ANFAL 8:16)

  1. Allah nyatakan sesiapa yang membelakangi kafir {دُبُرَهُۥٓ} dengan maksud nak lari dari medan peperangan, kecuali untuk buat langkah & strategi
    i- Seperti nak mengelirukan musuh ingat dah kalah & mahu lari

    ii- Atau untuk memerangkap mereka dengan helah yang dibuat

    iii- Atau untuk bergabung dengan kumpulan lain yang lebih besar

    iv- Atau mencari tempat yang lebih strategik seperti atas bukit, memberi kelebihan kepada mereka, semua itu dibenarkan
    Perbincangan ulama’ kata : Harus juga jika memang bilangan telah sedikit dan memang akan kalah juga lalu akan ditawan atau dibunuh, diharuskan juga untuk berundur menyelamatkan diri dulu.
  1. Manakala mereka yang lari dari medan peperangan tanpa sebab ini dilarang & akibatnya:
    i- Akan mendapat kemurkaan dari Allah.
  1. Timbul beberapa perbincangan di kalangan ulama’ :
    i- Kata Syeikh al-Wahidi : Ramai dari kalangan ulama’ muslimin, mengatakan ayat ini khas untuk peperangan Badar, kerana pada waktu itu memang tidak ada kelompok atau kumpulan tentera lain jika nak pergi bergabung, yang ada hanya mereka itu sahaja!

    ii- Kata Ibnu Kathir RHM pula : Ulama’ yang mengatakan sedemikian, berpendapat larangan ini khas untuk golongan sahabat Nabi SAW kerana faddhu ain ke atas mereka.
    Ada yang kata Ansar saja kerana mereka telah buat perjanjian dengan Nabi SAW, ada yang kata untuk ahli Badar sahaja!
    TETAPI apabila peperangan telah meluas maka lari kerana ada sebab & strategi dimaafkan, jika tiada sebab masih lagi dalam skop ancaman yang Allah nyatakan ini!
  1. Kesimpulannya, Kata Ibnu Jarir : Ayat ini muhkam, tidak dimansukhkan walaupun turun untuk ahli Badar, tetapi hukumnya umum untuk umat Islam seluruhnya!
    Allah haramkan tentera Islam apabila berhadapan dengan pihak musuh untuk lari kerana kecut perut kecuali untuk mengatur strategi & bergabung dengan kumpulan lain.
  1. Hukuman yang kedua: Mereka yang lari ini juga akibatnya jika tidak bertaubat; akan mendapat balasan azab neraka Jahannam.
    Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali yang amat dahsyat!
    {وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ }.
  1. Sebagaimana firman Allah SWT tentang tentera dalam perang Uhud:
    {Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.} (A-li’Imran 3:155) |
    Tetapi tiada celaan terhadap mereka kerana Allah telah ampunkan mereka.
    Mereka semua telah mati syahid & tetap dipanggil para syuhada’ dan mendapat kedudukan yang besar di sisi Allah.
  1. Kisah penuh tentang perang Uhud ini boleh baca dalam Buku ini:
    Madinah Munawwarah.
    https://dartaibah.com/…/Madinah-Munawwarah-Kelebihan…
  1. Hadis, sabda Nabi SAW juga:

    “Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!”
    Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu?”
    Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan haq (kebenaran), memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari perang yang berkecamuk, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman, dan yang bersih dari zina
    .” (HR Bukhari dan Muslim)

    Bunuh ikut haq ialah bunuh kerana hukuman ikut undang-undang.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 15- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.}-

    Allah kata apabila kamu bertemu dengan musuh, jangan lari!
    Ayat ini jelas bahawa jangan sesekali pejuang Islam dari daripada medan perjuangan. Tetapkan pendirian serta mengharapkan pahala dari Allah!
    Ayat ini muhkam (hukumnya masih terpakai) tidak dimansukhkan.
    Ulama’ tadabbur kata, kita hari ini walaupun tidak berperang dengan senjata, kita kena masuk sertainya juga berjuang lawan fitnah seperti kejahatan & fitnah dalam Media sosial!
    Gunakan segala kemudahan dan kecanggihan alat-alat yang ada seperti gajet-gajet dan media sosial yang memang meluas penggunaannya hari ini.
    Kerana itu para pendakwah perlu menguasainya walaupun bukan sebagai pakar, cukuplah sebagai pengguna untuk memanfaatkannya!
    Jangan kita ketinggalan dalam perkembangan teknologi ini kerana kita & agama kita yang akan kerugian!
    Kita gunakannya untuk kebaikan dan dakwah, kita gunakan dan ambil faedah walaupun ia adalah ciptaan & alat gajet orang kafir.
    Rugilah jika tak manfaatkannya nanti mereka pula yang gunakannya untuk keburukan Islam.
    Kita guna untuk ambil faedah yang baik jangan pula terlalu taksub sehingga tidak membawa kebaikan bahkan menjerumus kepada kerosakan dan fitnah pula.
    Sekarang ini ada pelbagai kemudian yang canggih seperti AI & chat gpt yang kita boleh tanya apa saja, gunakannya untuk kebaikan, tanya pula yang logik & ada input bukan yang karut-karut & tiada faedah.
    Yang penting dalam medium dakwah kita boleh guna segala kemudahan yang ada untuk kebaikan.
  1. Ayat 15- {Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.}-

    Allah kata jangan undur apabila sedang berhadapan dengan musuh yang sedang mara, menyerang.
    Allah jatuhkah hukuman kepada orang mukmin yang menyertai peperangan mesti teguh tetap pendirian walaupun dia lihat orang kafir itu zahfan {زَحْفًۭا}- terlalu ramai maranya.
    Dalam ayat ini Allah guna perkataan {زَحْفًۭا} yang bererti merayap, untuk musuh yang mara menyerang kerana terlalu ramai seolah mereka tidak bergerak, seolah merayap jika dilihat dari jauh!
    Fenomena zahfan ini dapat kita lihat pada musim haji ketika para jemaah haji berjalan keluar dari Arafah menuju ke Muzdalifah beramai-ramai.
    Jemaah manusia tidak bergerak seolah merayap kerana terlalu ramainya!!
  1. Ayat 16- {Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu- …}-

    Allah kata jangan undur berpaling belakang dari musuh.
    Dalam ayat ini Allah guna perkataan
    – {يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍۢ دُبُرَهُۥٓ}-
    yang bermakna berpaling belakang, membelakangi.
    Jika berjalan undur boleh ke??
    Sama sahaja tetap haram walaupun lari dengan mengudur!
    Ia hanya dari segi bahasa; seperti kita kata membelakangi al-Quran, bukan kita letak al-Quran di belakang, tetapi kita membelakangi al-Quran dengan maksud tidak mengguna & beramal dengan hukum-hakamnya!
    Perkataan ini juga menggunakan lafaz mufrad {دُبُرَهُ}, belakangnya, seorang.
    Ini untuk menunjukkan bahawa lari seorang pun berdosa, lari beramai-ramai pun haram!
    Yang penting jangan lari kerana kita berada dalam peperangan yang begitu besar memerlukan keteguhan & kerjasama.
  1. Ayat 16- {Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain -}-

    Allah kata jangan lari kecuali ada strategi atau nak bergabung dengan pasukan lain yang lebih kuat.
    Kata ulama’ : Ini menunjukkan bagi setiap kaedah itu ada pengecualian:
    (لكل قاعدة استثناء).
    Maka Allah kata jangan lari, kecuali.. jika tidak semua yang lari adalah haram walaupun dengan sebab apa sekalipun.
    Pengecualian ini adalah dua keadaan:
    i- Lari kerana ada perancangan atau strategi. Nak buat helah untuk mengelirukan musuh, atau nak memerangkap mereka ke dalam perangkap yang telah dibuat!

    ii- Atau lari kerana nak pergi bergabung dengan kumpulan lain supaya lebih kuat dan berkemampuan.
    Inilah dua tempat yang dibenarkan untuk berpaling manakala sesiapa yang lari selain dari dua sebab tersebut maka dia telah mengundang kemurkaan Allah SWT ke atasnya dan mencari penyakit yang berat!
  1. Ayat 16- {… maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.}-

    Tiga hukuman berat Allah campakkan ke atas mereka yang lari iaitu:
    i- Kemurkaan Allah SWT. {بِغَضَبٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ}.
    Sesiapa yang tidak mahu Allah murka jangan buat perkara yang dibenci oleh Allah!

    ii- Mereka akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam. {وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ}

    iii- Neraka Jahannam adalah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang yang lari medan perang!
    {وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ}
    Betapa menunjukkan perbuatan itu amat berat dosanya, jika Allah kata Dia murka saja pun sudah cukup.
    Kita minta perlindungan dengan Allah dari sifat buruk ini; sifat lari lari dari medan perang, lari dari medan perjuangan, semata-mata untuk bergabung dengan kumpulan bagi memberi kuasa kepada kita atau kuasa untuk melemahkan orang Islam.
    Jangan sesekali jika kita akan terjebak dengan hukuman yang begitu dahsyat dari Allah!
    Mudah-mudahan Allah kurniakan kepada kita yang terbaik, selamat di dunia & aman di Akhirat.
    Semoga Allah kuatkan hati & semangat kita untuk mara berjuang walaupun ditentang oleh sesiapa saja atas dunia ini kita tidak peduli!
    Asalkan Allah redha & sayang kepada kita, semoga kita menjadi hamba-Nya yang layak ke syurga & mendapat keredhaan Allah SWT!

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah tafsir kita untuk hari ini semoga mendapat faedah & berkatnya.

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs