View Categories

(1) Surah Al-A’la : Ayat 1-8

Surah Al-A’la – سورة الأعلى
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 

MUQADDIMAH, INTISARI SURAH DAN MUNASABAH, ALLAH ARAHKAN AGAR MENSUCIKAN-NYA, DIALAH PENCIPTA & PUJIAN UNTUK NABI SAW.

Full video :

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT pada pagi ini, Selasa 10 Zulqa’dah 1444H bersamaan 30hb Mei 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-A’la – سورة الأعلى.
  1. Surah Al-A’la- سورة الأعلى adalah surah ke-87 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kesepuluh dalam juz ke 30, iaitu selepas At-Toriq – سورة الطارق. 
    Mengandungi 19 ayat yang pendek.
  1. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan : Surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah SAW ke Madinah. 

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-A’la – سورة الأعلى yang bermakna {Yang Maha Tinggi} kerana pada awal surah Allah SWT perintahkan Rasulullah SAW dan umatnya untuk mengakui sifat Allah Yang Maha Tinggi & Maha Agung, tiada siapa yang dapat mengatasi-Nya. 
  1. Surah ini juga dikenali dengan nama:
    i- Diambil dari ayat pertamanya dengan penuh: {سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى}
    Dalilnya hadis dari Jabir RA : Bahawa Mu’az bin Jabal RA solat jemaah bersama Nabi SAW, kemudian dia kembali kepada kaumnya dan menjadi imam pula kepada mereka. 
    Muaz membaca surah yang panjang (surah al-Baqarah) sehingga perkara ini diadukan kepada Rasulullah SAW. Baginda lalu menegur Muaz dengan berkata:

    يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ – ثَلاَثًا – اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا
    Wahai Muaz, apakah engkau ingin menimbulkan fitnah?! (sebanyak tiga kali). Jika kamu solat bacalah surah-surah ini { وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا} dan seumpamanya. [HR Muslim].

    ii- Riwayat dari al-Bara’ bin Azib RA bahawa : Apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah aku lihat orang Madinah sangat gembira dengan kedatangan Baginda SAW, kanak-kanak lelaki perempuan beratur menyambut kedatangannya. Pada waktu itu aku sudah hafaz surah {سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى} dan surah seumpamanya. [HR Bukhari].

    Yakni beliau sudah besar & dapat ingat suasana itu.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Rasulullah SAW bacanya.
    i- Dalil hadis: Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ، وَفِي الْجُمُعَةِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى، وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ
    “Adapun Rasulullah SAW membaca (di dalam solat) pada dua hari Raya dan hari Jumaat “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى” dan “وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.” [HR Muslim (878)] 

    ii- Antara hikmah Rasulullah SAW baca surah al-A’la dalam dua solat ini kerana:
    a. Ia menyebut tentang hari Akhirat.

    b. Janji baik kepada orang beriman & ancaman kepada orang kafir.
    Maka sesuailah dibaca semasa perhimpunan orang ramai.

    iii- Dalil Hadis Samurah bin Jundab RA: “Adalah Nabi SAW beliau membaca “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى” dan “هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ” dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.” [HR Abu Daud, Ahmad, an-Nasa’ei dan lain-lain]
  1. Kelebihan kedua: Adalah Rasulullah SAW membaca surah ini dalam solat malamnya dalam solat terakhir sebelum witirnya. Dalil- hadis dari Abdullah bin Umar RA tentang kisah witir Rasulullah SAW [HR At-Tirmizi, Nasa’ei- sahih].

INTISARI KANDUNGANNYA:

  1. Menegaskan tentang kekuasaan Allah SWT, Tuhan yang telah menciptakan sekelian makhluk, serta menyempurnakan kejadiannya serta mengatur keadaannya serta diberi petunjuk ke jalan keselamatan & kesempurnaan.
  1. Kemudian diterangkan limpah kurnia-nya kepada nabi Muhammad SAW, menjadikannya dapat membaca al-Quran yang diturunkan dengan perantaraan Jibril. 
    Rasulullah SAW kemudian menghafaznya tanpa lupa kecuali apa yang Allah SWT mahu Baginda lupa kerana dinasakh (batal hukumnya) atau sebab lain.
  1. Kemudian diberi semangat bahawa Allah SWT tetap memberikan kemudahan kepada Rasulullah SAW, untuk melaksanakan segala ajaran Islam yang mudah diterima oleh akal yang sihat. 
    Jika akal yang sempit & dikuasai nafsu, mereka tidak akan dapat terimanya seperti golongan musyrikin Quraisy, iaitu geng Abu Jahal dan lain-lain.

    Oleh itu berilah peringatan kepada manusia wahai Muhammad SAW dengan ajaran al-Quran; kalau-kalau peringatan itu berguna. 
    Padahal sudah tentu ia berguna kerana orang yang takut untuk melanggar perintah Allah akan menerimanya manakala orang yang cuai akan menjauihinya!
  1. Setelah menerangkan akibat buruk yang akan menimpa mereka yang kafir derhaka maka diterangkan pula akibat mereka yang taat & beramal soleh, berusaha membersihkan dirinya dengan taat serta mengerjakan solat dengan khusyuk!
    Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan demikian bahkan mengutamakan dunia padahal kehidupan akhirat yang lebih baik & kekal.
  1. Surah ini diakhiri dengan menyatakan segala keterangan ini semuanya telah ada dalam kitab-kitab yang terdahulu iaitu (Kitab) Suhuf Nabi Ibrahim & kitab Taurah Nabi Musa AS.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH:

  1. Antara objektifnya yang terpenting ialah Allah SWT mahu menyatakan sebahagian besar nikmat-nikmat-Nya yang dikurniakan-Nya yang tidak terhitung!
    Tetapi kita kena ingat & hitung agar tidak lupa diri & sentiasa bersyukur kepada Allah SWT! 

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah SWT mulakan surah ini dengan mensucikan zat-Nya yang Maha Mulia.
  1. Mahu menegakkan dalil yang menunjukkan keesaan (Wahdaniyyah) Allah SWT 
  1. Allah SWT menyebut nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepada Rasulullah SAW dengan sokongan, pertolongan & dokongan untuk menguatkan hati Rasulullah SAW untuk terus berjuang walaupun ditentang dilawan.
    Kena belajar cara dakwah Rasulullah SAW ini, jika apa yang kita bawa itu benar bertepatan dengan al-Quran & Sunnah Rasulullah SAW & ulama’ salafus-soleh, walaupun orang lawan & tentang, kena teruskan, jalankan tugas walaupun orang tidak terima.
  1. Allah SWT sebut, ada orang yang mendapat manfaat daripada peringatan yang diberi, ada juga yang lari darinya! 
    Jika kita tidak tahu menilai mana yang baik atau betul, tinggalkan sumber yang meragukan itu, cari sumber/rujukan yang lebih jelas & diyakini!

    Jangan kita menjadi seperti pencari kayu api pada waktu malam- حاطب ليل
    Semua yang seperti kayu dipungutnya walaupun benda kotor & merbahaya!

    Boleh lihat poster-poster dakwah di sini: https://www.facebook.com/profile.php?id=100069233267846…
  1. Allah SWT sebut beberapa nasihat yang terkandung dalam Suhuf (Lembaran) Nabi Ibrahim & Nabi Musa AS.

MUNASABAH SURAH AL-A’LA – سورة الأعلى DENGAN SURAH AT-TORIQ- سورة الطارق SEBELUMNYA;

Hubung-kait surah ini dengan Surah A-Toriq – سورة الطارق:

  1. Kedua surah ini Allah SWT sebut tentang kejadian manusia & tentang tumbuhan:
    A- surah at-Toriq:
    i- {Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim)} (At-Taariq 86:6)

    ii- Tumbuhan- {Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan, Dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan,} (At-Taariq 86: 11-12)

    B- Dalam surah al-A’la ini Allah SWT sebut lebih lengkap & umum:
    i- {Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya;} (Al-A’la 87:2)

    ii- {Dan Yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak, Kemudian Ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering, (berubah warnanya) kehitam-hitaman.} (Al-A’la 87: 4-5)
  1. Keduanya juga menyebut tentang Kiamat dan apakah persiapan yang kita kena buat untuknya!
    Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {BERTASBIHLAH MENSUCIKAN NAMA TUHANMU YANG MAHA TINGGI (DARI SEGALA SIFAT-SIFAT KEKURANGAN)} (AL-A’LA 87:1)

  1. Allah SWT perintahkan kita bertasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat yang kekurangan. 
    Allah SWT yang bersifat tinggi & mutlak!
  1. Kita bertasbih sucikan Allah dengan hati juga dan lidah kita menyebutnya.
  1. Allah SWT Pencipta segala sesuatu, yang bersifat dengan Tinggi Yang mutlak. 
    Tiada siapa yang lebih tinggi daripada Allah SWT dari segi sifat & kedudukan.
  1. Kerana itu kita mengucapkan 
    { سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى-
    Maha suci Tuhanku yang Maha Tinggi} 
    pada waktu kita berada di tempat paling rendah sekali iaitu ketika bersujud.
  1. Hadis dari Ibnu Abbas RA : 
    Rasulullah SAW apabila baca ayat ini terus Baginda bertasbih mengucapkan: {سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى} [Athar dikeluarkan Abdur-Razak dalam kitabnya al-Musannaf].

AYAT 2- {YANG TELAH MENCIPTAKAN (SEKALIAN MAKHLUKNYA) SERTA MENYEMPURNAKAN KEJADIANNYA DENGAN KELENGKAPAN YANG SESUAI DENGAN KEADAANNYA;} (AL-A’LA 87:2)

  1. Allah yang telah mencipta makhluk ini serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan (anggota) yang sesuai dengan keadaannya. 
  1. Yakni Allah perkenalkan sifat-Nya bagi yang kata masih tidak kenal Allah! 
    Allah yang mencipta makhluk ini dengan sempurna, dari tiada kepada ada!

AYAT 3- {DAN YANG TELAH MENGATUR (KEADAAN MAKHLUK-MAKHLUKNYA) SERTA MEMBERIKAN HIDAYAH PETUNJUK (KE JALAN KESELAMATANNYA DAN KESEMPURNAANNYA);} (AL-A’LA 87:3)

  1. Allah SWT telah taqdirkan perjalanan hidup manusia ini, sebelum dia lahir lagi, kita tidak dapat lari lagi!
    Allah juga yang bagi hidayah kepada kita.
  1. Maka sentiasalah kita berdoalah agar Allah taqdirkan yang baik-baik untuk kita serta beri petunjuk hidayah kepada jalan-Nya! 

AYAT 4- {DAN YANG TELAH MENGELUARKAN TUMBUH-TUMBUHAN UNTUK BINATANG-BINATANG TERNAK,} (AL-A’LA 87:4)

  1. Untuk manusia melihat tanda kekuasaan Allah & dalilnya, kadang-kadang Allah suruh kita tengok kepada diri kita sendiri, kejadian langit dan bumi dan lain-lain.
  1. Dalam ayat ini Allah SWT suruh kita lihat kepada tumbuhan pula {ٱلْمَرْعَىٰ}. 
  1. Maksudnya { ٱلْمَرْعَىٰ} in kata ulama’ :
    i- Rumput makanan ternakan.

    ii- Tumbuhan yang menjadi makanan manusia & haiwan juga.

AYAT 5- {KEMUDIAN IA MENJADIKAN (TUMBUH-TUMBUHAN YANG MENGHIJAU) ITU KERING – (BERUBAH WARNANYA) KEHITAM-HITAMAN.} (AL-A’LA 87:5)

  1. Kemudian daun itu selepas ia menghijau subur, ia menjadi kuning layu, kemudian akhirnya menjadi kering kehitaman dan hancur.
    Bandingan seperti manusia juga makin tua makin lemah & hilang upaya dengan berlalunya masa!

AYAT 6- {KAMI SENTIASA MENJADIKAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) DAPAT MEMBACA (AL-QURAN YANG DITURUNKAN KEPADAMU, DENGAN PERANTARAAN JIBRIL), SEHINGGA ENGKAU (MENGHAFAZNYA DAN) TIDAK LUPA,} (AL-A’LA 87:6)

  1. Dalam ayat ini Allah SWT menceritakan tentang kelebihan Rasulullah SAW. 
  1. Walaupun sebelum ini tidak dapat membaca & menulis, tetapi Allah berikan Rasulullah SAW mukjizat dapat membaca & menghafaz al-Quran. 
    Allah beri ilham & wahyu untuk Baginda hafaz & pelihara al-Quran dalam dadanya dan tidak akan lupa lagi! 
    Allah SWT pernah tegur Rasulullah SAW apabila Baginda mahu percepatkan baca & hafaz al-Quran Allah suruh dengar dulu & beri tempoh.
  1. Kata ulama’ : Zikir terbaik ialah dengan kalimah Allah SWT iaitu al-Quran, kemudian yang diajar oleh Rasulullah SAW!

AYAT 7- {KECUALI APA YANG DIKEHENDAKI ALLAH ENGKAU LUPAKAN; SESUNGGUHNYA IA MENGETAHUI (SEGALA KEADAAN YANG PATUT BERLAKU), DAN YANG TERSEMBUNYI.} (AL-A’LA 87:7)

  1. Rasulullah SAW akan ingat al-Quran kecuali apa yang Allah SWT kehendaki & lupa!
    Seperti ayat yang telah dimansukh (batalkan) bacaannya, Allah SWT hapuskannya daripada ingatan Baginda agar tidak bercampur & tertukar.
  1. Allah SWT juga sesungguhnya tahu semua perkara sama ada yang nyata {zahhir) atau yang tersembunyi (batin). 
    Yang terangan atau yang rahsia semua ada dalam ilmu pengetahuan Allah Azza wa Jalla!

AYAT 8- {DAN KAMI TETAP MEMBERI KEMUDAHAN KEPADAMU UNTUK (MELAKSANAKAN SEGALA PERKARA) AGAMA YANG MUDAH DITERIMA OLEH AKAL YANG SIHAT.} (AL-A’LA 87:8)

  1. Allah SWT telah syari’atkan kepada Rasulullah SAW syari’at yang adil, mudah yang senang!
    Ini untuk memudahkan Rasulullah SAW membuat perkara yang baik iaitu berdakwah, membimbing umatnya untuk kebahagiaan dunia & akhirat.
  1. Allah SWT permudahkan jalan untuk kita ke syurga dengan Rasulullah SAW. Allah juga telah berjanji untuk mudahkan hidup kita sama ada di dunia & akhirat! 

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan)}-

    Allah SWT mulakan surah ini dengan perintahkan Rasulullah SAW supaya bertasbih memuji Allah SWT dengan lidahnya. 
    Sebagai balasannya kamu tidak akan lupa lagi ayat al-Quran itu kecuali apa yang Allah SWT mahu.
    Tetapi Rasulullah SAW tidak pernah lupa dalam hal Syari’ah. 
    Tetapi ia biasanya adalah ayat yang telah dibatalkan lalu Allah buat Rasulullah SAW lupakan supaya tidak bercampur dan mengelirukan orang ramai yang mahu beriman!
    Kata Imam asy-Syaf’ei RHM : Jika kita mahu Allah SWT buka, cerahkan & lapangkan dada kita; maka perbanyakkan tasbih kepada Allah SWT. Insya’ Allah Allah akan buka ilmu yang bermanfaat kepada kita!
    Ayat ini juga memberi peringatan bahawa Allah SWT saja yang berhak dipuji dipuja & disucikan daripada segala kekurangan. 
    Yang kurang itu makhluk sedangkan Allah SWT yang paling sempurna & Maha Sempurna.
    Kata ulama’ tadabbur : Ayat in menunjukkan kepada ketinggian Allah SWT! 
    Allah Maha Tinggi & tiada yang lebih tinggi kedudukan daripadanya!
  1. Ayat 3- {Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);}-

    Apabila Allah SWT taqdirkan, Dia akan beri hidayah!
    Kata ulama’ : Mengambil dalil dengan penciptaan dan Allah beri hidayah ini adalah satu jalan muktamad mengikut para nabi AS. Para Nabi kata Allah cipta aku kemudian beri hidayah, yakni kita serah diri kepada Allah & bersyukur kerana Allah beri kita hidayah pula!
    i- Kata Nabi Ibrahim AS dalam firman Allah SWT ini:
    {“Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;} (Asy-Syu’araa’ 26:78)

    ii- Nabi Musa menjawab kepada Firaun: 
    {Nabi Musa menjawab: “Tuhan kami ialah yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu: kejadian semulajadinya yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya akan cara menggunakannya”.} (Taha 20:50)

    iii- Untuk Rasulullah SAW ialah ayat ini, isyarat bahawa Allah cipta kemudian dia ajar beri petunjuk:
    Firman Allah SWT: {Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-‘Alaq 96: 1-5)

    iv- Kemudian ayat kita hari ini.
    Yakni Allah kembarkan dua kenyataan; pemciptaan & hidayah kerana dua-duanya adalah milik Allah SWT! 
    Allah cipta manusia ini kemudian Dia akan ajar & beri petunjuk.

    Sebagaimana yang telah kita pelajari, hidayah itu ada dua jenis:
    i- Hidayah petunjuk : Irsyad iaitu berdakwah memberi bimbingan & tunjuk ajar, ini adalah tugas para rasul, pendakwah dan sesama kita.

    ii- Hidayah taufiq : Untuk memberi taufiq hanya milik Allah SWT!
    Ya Allah jadikanlah kami orang yang mendapat hidayah petunjuk-Mu lalu istiqomah dalam keredhaan-Mu.
  1. Ayat 2- {Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya;} &
    Ayat 3- {Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhlukNya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya);}

    Dalam ayat ini Allah SWT sebut 4 perkara yang menjadi tanda kesempurnaan seorang hamba Allah SWT:
    i- Penciptaan

    ii- Susunan yang elok

    iii- Taqdir

    iv- Hidayah 
    Betapa kehidupan manusia itu akan sempurna apabila dia dicipta dengan susunan yang elok, mendapat taqdir yang baik dari Allah SWT kemudian menerima hidayah Allah untuk beriman & beramal mengikut Sunnah, mengikut apa yang diperintah Allah.
    Itulah yang dikatakan 4 perkara ini menjadi tanda kesempurnaan seorang hamba Allah!
    Tentang taqdir Allah SWT kita minta yang terbaik, yang penting kita telah menjiwai, merasa bahawa kita telah dipilih dengan mendapat hidayah dari Allah, mencintai al-Quran dan Sunnah itu satu hidayah!
  1. Ayat 6- {Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu – dengan perantaraan jibril), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,}-

    Allah SWT akan ajar ilmu & al-Quran kepada Rasulullah. 
    Ini adalah satu khabar gembira dari Allah SWT untuk Nabi-Nya Muhammad SAW! 
    Baginda tidak akan lupa kecuali apa yang Allah SWT mahu & kehendaki! 
    Tetapi lupa Rasulullah SAW tidak berkait dengan perundangan (tasyri’).
    Persoalan: Kenapa Rasulullah SAW pernah lupa dalam solatnya?
    Jawapan- 
    Untuk mengajar umatnya & menjadi satu perundangan untuk kita. 
    Jika tidak apa yang perlu kita buat jika kita lupa rakat dalam solat? 
    Maka alhamdulillah atas hukum ini. 

    Dalam ayat ini ada beberapa mukjizat:
    i- Rasulullah SAW adalah seorang yang tidak tahu membaca & menulis, maka ini adalah sesuatu yang menyalahi adat iaitu mukjizat apabila Baginda dapat menghafaz semua surah yang Allah SWT turunkan kepadanya. 

    ii- Surah ini antara yang terawal di Makkah. Ia menjadi dalil & satu tanda mukjizat bahawa Rasulullah SAW akan hafaz al-Quran itu semua sekali! Tetapi dalam masa 23 tahun!
  1. Ayat 7- {Kecuali apa yang dikehendaki Allah engkau lupakan; sesungguhnya Ia mengetahui (segala keadaan yang patut berlaku), dan yang tersembunyi.}-

    Ingatlah Allah SWT tahu apa yang kamu kuatkan suara & apa yang kamu sembunyikan! 
    Apa yang kamu baca kuat atau yang kamu baca perlahan, maka kita baca al-Quran biarlah sederhana, dengar pada telinga kita, jika perlu diperdengarkan kepada orang ramai boleh kuatkan!
    Bukan hanya membaca bertarannum mendayu tetapi tidak beramal dengan al-Quran! 
    Atau belajar membaca al-Quran, berlagu berlawan jantina antara lelaki & perempuan yang bukan mahram! 
    Ini kerana ia perlukan interaksi antara dua pihak! 
    Allah juga tahu apa yang sesuai untuk seorang hamba! Hikmah Allah SWT sangat luas & menyeluruh.
    Allah juga janjikan apabila kamu ikut al-Quran, Allah akan beri kamu hidayah petunjuk, Allah akan permudahkan kepada kamu semua urusan untuk sampai ke syurga!

    Ya Allah jadikan kami orang yang mencintai al-Quran, mengikut Sunnah rasul-Mu SAW, orang yang layak menerima hidayah yang dapat membimbing kami ke syurga & memandang wajah-Mu yang Allah!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs