View Categories

(11) Surah Al-An’am : Ayat 30-32

KEADAAN KAFIR DI HADAPAN ALLAH SWT, BERADA DALAM KERUGIAN & HAKIKAT DUNIA.

Full video : https://youtu.be/EP8wmlpl-1Q?si=VLbsoWjHcoAWdvcq

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 30 sehingga 32 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang keadaan kafir di hadapan Allah SWT di Akhirat kelak.
  1. Mereka berada dalam penyesalan dan penuh kerugian dan azab yang tidak terhingga dahsyatnya!
  1. Kemudian Allah nyatakan hakikat dunia, hanya permainan dan seronok-seronok sahaja.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang keadaan orang kafir di Akhirat kelak ketika berada di hadapan neraka yang menyala-nyala. 
    Adakalanya mereka tidak mengaku telah syirik, adakalanya mereka cuba cari sekutu!

    ii- Lalu datang ayat ini Allah nyatakan penyesalan yang tidak berguna & tidak berfaedah, mereka sudah dihumban ke dalam neraka, tidak ada harapan lagi untuk keluar dari neraka bagi orang yang kafir! 

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 30- {DAN SUNGGUH NGERI JIKA ENGKAU MELIHAT KETIKA MEREKA DIHADAPKAN KEPADA TUHAN MEREKA, LALU ALLAH BERFIRMAN: “BUKANKAH HARI KIAMAT INI SUATU PERKARA YANG BENAR? MEREKA MENJAWAB: “BENAR, DEMI TUHAN KAMI!” ALLAH BERFIRMAN LAGI: “OLEH ITU, RASALAH AZAB SEKSA NERAKA DENGAN SEBAB KAMU TELAH KUFUR INGKAR”.} (AL-AN’AM 6:30)

  1. Allah berfirman kepada Nabi SAW untuk melihat keadaan orang yang kafir di Akhirat kelak apabila mereka berada di hadapan Allah untuk melalui segala perhitungan.
  1. Mereka ini dulunya tidak percaya kepada Akhirat, tidak percaya kepada kebangkitan semula; sekarang mereka keluar dari kubur dan berhadapan dengan huru-hara yang amat mengerikan!
  1. Allah berfirman kepada mereka untuk mencela & mengeji mereka!
    Sekarang tahulah kamu bahawa Akhirat itu benar. Yang dulunya kamu dustakan & ingkari! 
  1. Mereka menjawab dan mengakuinya bahawa ada sungguh semuanya; Kiamat, bangkit semula, azab neraka & syurga yang mereka ingkari dulu!
  1. Lalu Allah katakan kepada mereka lagi rasalah kamu sentuhan azab yang kamu tidak percaya dulu! 
    Sekarang Aku campakkan kamu ke dalam neraka sebagai balasan kekufuran kamu atas dunia dulu!
  1. Apabila jumpa ayat-ayat tentang azab & neraka ini jangan lupa untuk terus berdoa dengan penuh keinsafan dan kegerunan:
    Ya Allah jauhkan kami dari azab neraka yang dahsyat! اللهم اجرنا من النار.
  1. Hidup di alam barzakh bukan seperti hidup di dunia, ia adalah alam ghaib dan alam kubur yang kita tidak dapat bayangkannya.
  1. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Allah lapangkan kubur di alam barzakh sejauh mata memandang… [HR Ahmad].

AYAT 31- {SESUNGGUHNYA TELAH RUGILAH ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN PERTEMUAN MENGADAP ALLAH; SEHINGGA APABILA HARI KIAMAT DATANG SECARA MENGEJUT KEPADA MEREKA, MEREKA BERKATA; “ADUHAI KESALNYA KAMI ATAS APA YANG TELAH KAMI CUAIKAN DALAM DUNIA!” SAMBIL MEREKA MEMIKUL DOSA-DOSA MEREKA DI ATAS BELAKANG MEREKA. INGATLAH, AMATLAH BURUK APA YANG MEREKA PIKUL ITU.} (AL-AN’AM 6:31)

  1. Amat rugi & celakalah bagi sesiapa yang tidak percaya kepada hari Kiamat & kebangkitan semula. 
    Mereka tidak percaya akan bertemu dengan Allah SWT selepas kematian atas dunia ini!
    Maka mereka tidak akan buat apa yang Allah perintahkan! 
  1. Kita yang percaya akan kebangkitan semula & pertemuan dengan Allah; kita akan taat & patuh kepada perintah Allah setakat yang kita mampu, apa yang Allah larang kita tinggalkan! Kerana kita yakin kita akan bertemu dengan Allah SWT.
  1. Cuma darjat keyakinan itu berbeza-beza; ada yang mantap keimanan dan keyakinannya lalu kuat beribadat kepada Allah SWT.
    Ada yang sederhana, ada yang lemah bahkan ada yang bertaraf OKU dalam beribadat kepada Allah, kata orang: pemalas hangit. 
    Ya Allah kuatkanlah keazaman kami, tinggikanlah tahap ibadat kami.
  1. Kemudian apabila tiba hari Kiamat berteriak menyesallah puak kafir kenapa dulu kami tidak percaya tidak beriman! 
    Yang sudah beriman pun berteriak menyesal juga, kenapa dulu kami tidak rajin, tidak kuat pertingkatkan amal ibadat, tidak beramal soleh, banyak bersedekah dan lain-lain. 
    Harta bertimbun jika ditinggalkan akan menjadi milik pewaris yang belum tentu akan menginfaqkannya untuk kita!
    Orang kafir menyesal kerana dia kafir manakala orang Islam menyesal kerana tak banyak bekalan & asset untuk Akhirat.
  1. Firman Allah SWT juga:
    Maksudnya: {“Dan turutlah , Al-Quran , sebaik-baik. (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.
    “(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya)!} (Az-Zumar 39: 55-56)
    Kiamat ini sama ada Kiamat besar untuk seluruh alam atau Kiamat individu, kematian bagi setiap orang.
  1. Kemudian Allah nyatakan lagi orang kafir akan dibangkitkan; Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka.
  1. Kata ulama’ tafsir : Di Akhirat kelak Allah jadikan dosa itu seolah bebanan yang akan diletakkan di atas belakang tuannya, bagaimana tak perlu kita fikirkan, itu kuasa Allah & soal Akhirat.
    Ada juga yang kata maksudnya dipertanggungjawab atas dosa itu.
  1. Ingatlah seburuk-buruk perkara yang dipikul di Akhirat kelak ialah dosa-dosa yang jahat!
    Kita tak mahu begitu kita nak pikul pahala yang banyak & baik! 

    Tetapi ingat jangan pula sampai kita beri pahala kita kepada orang yang kita benci dengan mengumpat mengata mereka!
    Jika sedekah kepada orang yang kita sayang tidak mengapa & alhamdulillah!

AYAT 32- {DAN TIDAK (DINAMAKAN) KEHIDUPAN DUNIA MELAINKAN PERMAINAN YANG SIA-SIA DAN HIBURAN YANG MELALAIKAN: DAN DEMI SESUNGGUHNYA NEGERI AKHIRAT ITU LEBIH BAIK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA. OLEH ITU, TIDAKKAH KAMU MAHU BERFIKIR?} (AL-AN’AM 6:32)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas apabila Allah sebut tentang Kiamat, orang kafir akan menyesal kerana tidak beriman. 
    Orang beriman juga akan menyesal kerana tidak banyak kebaikan & amal ibadat.
    Allah beri peluang kepada kita atas dunia ini untuk beribadat kita tidak ambil & guna.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nyatakan wahai pendamba dunia; dunia ini hanya permainan dan perkara yang melaghakan. 
    Jika kamu ikut dunia maka akan rosak dan tiada faedah, tetapi jika kita gunakan dunia untuk Akhirat, besar faedahnya. 
    Jika kita perbetulkan niat kita, maka segala perbuatan kita atas dunia ini akan berpahala!
  1. Allah buat bandingan dunia ini sebagai satu tempat untuk bermain-main saja.
    Sesiapa yang lagha ikut permainan dunia ini maka dia akan lagha dan hanyutlah juga!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
    Maksudnya: {Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.} (Al-Hadid 57:20)
  1. Manakala Akhirat Allah sifatkannya sebagai sesuatu yang lebih baik, cantik, kekal dan lebih baik bagi dunia ini bagi orang yang bertaqwa. 
  1. Beberapa ayat lagi yang menafsirkan ayat ini:
    i- Maksudnya: {Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.} (Adh-Dhuha 93:4)

    ii-Maksudnya: {Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”.} (An-Nisa’ 4:77) 
  1. Hadis- Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah, tidaklah dunia dibandingkan akhirat kecuali seperti seseorang dari kamu mencelupkan jarinya ke laut, maka lihatlah apa yang tersisa di jarinya jika ia keluarkan dari laut?” [HR Muslim].
  1. Di akhir ayat Allah SWT bertanya dengan menggungkit:{Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?} iaitu:
    i- Bagi orang kafir yang ingkar, tak dengar kata; kamu tak ada akal ke untuk percaya & beriman?

    ii- Bagi orang beriman pula tidak kamu gunakan akal untuk tambahkan pahala, buat kebaikan bagi asset & bekalan untuk Akhirat.
    Allah-lah bantu kita untuk mengharungi kehidupan yang sementara ini untuk mencari bekalan Akhirat yang abadi!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 30- {Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka,…}-

    Betapa ngeri dan dahsyatnya keadaan orang kafir di hadapan Allah SWT nanti!
    {إِذْ وُقِفُوا۟ عَلَىٰ رَبِّهِمْ ۚ}
    Allah sebut keadaan mereka berdiri di hadapan Allah Tuhan Pencipta alam ini untuk menunjukkan betapa kerdil & hinanya manusia ini!
    Hinanya orang yang menghinakan dirinya sendiri dengan kufur kepada Allah, melakukan maksiat kepada Allah apabila datang di hadapan Allah nanti!!
    Ya Allah berilah kamu petunjuk & hidayah untuk mengikut segala perintah-Mu dan patuh meninggalkan larangan-Mu agar kami tidak hina di hadapan Allah nanti!

    Sabda Nabi SAW: 
    “لا تزولُ قَدَمَا عبدٍ يومَ القيامةِ حتَّى يُسألَ عن أربعٍ عَن عُمُرِه فيما أفناهُ وعن جسدِهِ فيما أبلاهُ وعن عِلمِهِ ماذا عَمِلَ فيهِ وعن مالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وفيما أنفقَهُ”
    “Tiada akan berganjak dua tapak kaki seseorang pada hari kiamat sehingga ditanya dari empat perkara. Dari umurnya kemana dia habiskan. Dan dari jasadnya kemana dia gunakan. Dan dari ilmunya apakah dia beramal dengannya. Dan dari hartanya darimana dia dapat dan kemana dia belanjakannya.” [HR at-Tirmizi]. 
  1. Ayat 30- {… lalu Allah berfirman: “Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: “Benar, demi Tuhan kami!”}-

    Allah bertanya dengan berkata-kata kepada orang kafir itu serta mereka juga menjawab-Nya.
    Persoalan:
    Apakah ayat ini tidak bercanggah dengan ayat al-Quran dari Surah al-Baqarah, firman Allah SWT:
    {وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ} – {… dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat…} (Al-Baqarah 2:174) 
    Jawapan:
    Kata ulama’ dua ayat ini tidak bercanggah kerana:
    i- Maksudnya Allah tidak akan bercakap ialah Allah tidak akan berkata-kata secara baik kepada mereka tetapi Allah berkata-kata untuk mengherdik, memberi celaan dan penghinaan kepada orang kafir!

    ii- Hari Kiamat itu hari yang panjang beribu tahun, ada waktu Allah berkata-kata ada waktu tidak!
  1. Ayat 31- {Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah;…}-

    Rugilah orang yang mendustakan kebangkitan semula & pertemuan dengan Allah.
    Mereka akan menyesal & mengetahuinya pada dua tempat iaitu:
    i- Pertama kalinya adalah pada saat kematian!
    Malaikat maut datang dan buka serta tunjukkan tempat ke mana dia akan pergi nanti.
    Rohnya akan lari bersembunyi tak mahu keluar!
    Lalu roh orang yang jahat akan disentap oleh malaikat dengan penuh azab.
    Manakala roh yang baik ditarik penuh lembut seperti air oleh malaikat! 
    Orang yang kafir ketika nak mati sudah nampak tempatnya di dalam neraka maka ketika itulah bermula penyesalan yang tidak gunanya lagi itu!

    ii- Penyesalan setersunya yang paling teruk & terbesar ialah di Akhirat kelak apabila dibangkiktan!
  1. Ayat 32- {Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan:…}-

    Kenapa Allah namakan hidup atas dunia ini permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan?
    Jawapan:
    i- Ini kerana masa bermain itu sekejap saja & akan cepat habis!

    ii- Kita bermain suka hanya sebentar saja kemudian akan bertemu duka atau tak suka.

    iii- Permainan ini suka-suka ini biasanya hanya kosmetik yang dihiasi, nampak macam suka tetapi hakikatnya tidak begitu! 
    Begitulah juga hakikat dunia ini.
    Realitinya dunia ini jika dibandingkan dengan Akhirat hanyalah seperti celupan jari di dalam lautan yang luas, tidak memberi kesan apa! 
    Segala harta berjuta atas dunia ini tidak akan memberi kesan di Akhirat kecuali yang diinfaqkan pada jalan Allah!
  1. Ayat 32- { dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?}-

    Allah kata Akhirat lebih baik (وَلَلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ) daripada dunia.
    Kenapa Allah kata lebih baik sedangkan kita tahu tiada bandingan antara Akhirat & dunia ini?
    Dalam hadis tadi sudah kata hanya seperti air di jujung jari.
    Jawapan:
    i- Ini kerana kebaikan atas dunia ini amat sedikit nak dibandingkan dengan Akhirat, tiada harganya! 
    Contoh antara kita dan haiwan, ada banyak persamaan dan dekat-dekat seperti sama-sama makan-minum, berpasangan, beranak-pinak membiak.

    ii- Nikmat Akhirat kekal abadi manakala nikmat dunia akan hilang. 
    Seperti kata pepatah : Dunia ini hanya bayangan, kita tidak akan dapat mengejarnya kerana bayang itu akan hilang! 
    Atas dunia ini jika kita ada miliki harta penat untuk menjaganya manakala nikmat Akhirat tidak akan hilang & tidak perlu bersusah menjaganya!

    Kerana itu Allah letakkan atas kita:
    Hidup atas dunia ini senang pun susah; susah pun susah juga! 
    Akhirat pula hanya nikmat semata-mata tiada kesusahan!

    Hadis daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : “Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka. Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau? Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Tuhanku. Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga. Lalu ditanya kepada beliau: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau? Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan”. [HR Muslim].

    Maka yang penting bagi kita ialah membuat persiapan yang rapi & mencukupi, hiduplah sebagai seorang yang beriman, berpegang dengan al-Quran & Sunnah, jangan ikut mereka yang mencari benda pelik dan bid’ah & mungkar! 
    Kita berdoa kepada Allah agar kita mati dalam husnul-khatimah.

Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita secara ringkasnya untuk hari ini semoga mendapat manfaat & faedah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs