View Categories

(14) Surah Al-An’am : Ayat 40-41

KAFIR BILA CEMAS MINTA DENGAN ALLAH, UJIAN DITIMPA AGAR INSAF & AKHIRNYA DIBINASAKAN SEMUANYA.

Full video : https://youtu.be/Pq-F8zMt3MQ?si=NRRM7sqrBXinQDBc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 40 sehingga 41 dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang karenah puak kafir bila mereka cemas dalam ketakutan mereka akan kembali minta dengan Allah, tetapi apabila senang & hilang ketakutan itu mereka lupa Allah dan kembali sembah berhala dan syirik.
  1. Allah nyatakan bahawa ujian ditimpa ke atas manusia agar mereka insaf dan kembali mengingati Allah Azza wa Jalla.
  1. Kemudian jika mereka terus lupa dengan peringatan yang telah Allah bawa; akhirnya mereka akan dibinasakan semuanya.
  1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kejahilan puak kafir dan Allah mengetahui semua apa yang mereka buat & ilmu Allah meliputi setiap perkara.

    ii- Maka datang ayat ini Allah nak beritahu bahawa adakala Allah uji manusia ini dengan kesusahan kerana nak lihat setara mana mereka! 
    Maka kita orang beriman jangan buat perangai begini; hanya ketika susah ingat kepada Allah, ketika senang lupakan-Nya!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 40- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “KHABARKANLAH KEPADAKU, JIKA DATANG KEPADA KAMU AZAB ALLAH, ATAU DATANG KEPADA KAMU HARI KIAMAT, ADAKAH KAMU AKAN MENYERU YANG LAIN DARI ALLAH (UNTUK MENOLONG KAMU), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR?”} (AL-AN’AM 6:40)

  1. Allah memerintahkan Rasulullah, Katakan wahai Muhammad SAW kepada puak kafir yang menyembah berhala dan lain-lain itu:
    “Ceritakan kepadaku wahai puak kafir jika waktu kamu susah kepada siapakah kamu akan menyeru untuk meminta pertolongan???”
  1. Sebagaimana dalam firman Allah ini:
    Maksudnya:
    {Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.} 
    (Yunus 10:22).
  1. Begitu juga ketika datang Kiamat individu iaitu saat kematian barulah mereka si kafir nak sedar insaf mencari Tuhan nak beriman & bertaubat!
  1. Yakni orang kafir hanya ingat dan meminta pertolongan dari Allah apabila mereka dalam kesusahan & saat genting sahaja! 
    Ketika dalam kesenangan mereka lupakan Allah serta memohon menyembah kepada berhala sembahan lain.
    Inilah kepincangan yang berlaku!
  1. Kita orang beriman jangan buat perangai begitu.
    Kita ingat kepada Allah pada waktu susah &waktu senang, Allah akan ingat kepada kita apabila kita dalam kesusahan! 
  1. Allah tanya lagi apakah kamu akan memanggil yang lain selain dari Allah, jika apa yang kamu sembah itu benar??
    Yang pastinya mereka tidak akan panggil yang lain selain Allah apabila di dalam kesusahan!

AYAT 41- {BAHKAN DIA LAH (ALLAH) YANG KAMU SERU LALU IA HAPUSKAN BAHAYA YANG KAMU POHONKAN KEPADANYA JIKA IA KEHENDAKI; DAN KAMU LUPAKAN APA YANG KAMU SEKUTUKAN (DENGAN ALLAH DALAM MASA KAMU DITIMPA BAHAYA ITU).} (AL-AN’AM 6:41)

  1. Allah nyatakan walaupun mereka yang meminta itu kafir:
    i- Adakalanya Allah lepaskan mereka daripada kesusahan atau mara bahaya itu mereka memintanya dengan betul-betul ikhlas. 

    ii- Ada kalanya Allah tidak lepaskan dan biarkan mereka terkena dengan musibah itu kerana Allah nak uji mereka. 
    Yakni jika Allah kehendaki Allah boleh buat apa saja.
  1. Dalam ayat ini Allah ceritakan kepada kita puak kafir ini begitulah perangai mereka. 
    Akan panggil dan seru kepada Allah apabila mereka susah kerana tiada tempat lain untuk mereka meminta tolong. 
    Patung-patung berhala mereka nak berkelip pun tak dapat! 
  1. Kerana dalam kesusahan yang amat itu menjadikan mereka terlupa kepada sembahan-sembahan mereka dan secara auto meminta tolong kepada Allah yang Maha Berkuasa.
  1. Inilah bahayanya perangai orang yang teringat kepada Allah ketika susah saja, tak kenal Tuhan kecuali pada waktu susah! 
    Kita wajib ingat kepada Allah pada waktu susah & senang! 
    Jika tidak itulah kepincangan yang besar dalam hidup kita!
    Dalam suasana yang gawat dengan banjir hari ini cukuplah dengan dua ayat dulu kita tadabbur.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 40- {… adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”}-

    Allah tanya kepada orang kafir apakah ketika kamu susah, kamu akan meminta pertolongan dari Allah SWT? 
    Para ulama’ kata ini adalah salah satu daripada peringatan manhaj ar- Rabbani. 
    Iaitu Allah SWT menyeru manusia ikut fitrah asal kejadian mereka. 
    Iaitu secara fitrahnya manusia itu tahu bahawa dia ada Tuhan. 
    Ini kerana dia sudah buat perjanjian di alam barzakh dulu apabila Allah tanya: 
    Bukankah Aku Tuhan kamu? 
    Mereka mengakuinya: Ya!
    Maknanya manusia akan kembali kepada fitrah asalnya mengakui bahawa adanya Allah SWT sebagai Tuhan.
    Sama seperti golongan atheis yang tidak mengakui & tidak percaya ada Tuhan; tetapi apabila mereka terdesak mereka akan percaya & aku juga, tidak dapat lari lagi!
  1. Faedah kedua :

    Dalam ayat ini juga Allah menyatakan bahawa manusia ini apabila dia terdesak dia akan mencari apa saja yang dapat menyelamatkannya!
    Dia tahu nak panggil berhala sembahan mereka tidak ada guna & faedah, tidak akan datang dah! 
    Lalu mereka memanggil menyeru memohon bantuan Allah kerana dia tahu Allah sebagai Tuhan yang maha Berkuasa. Agar menyelamatkannya dari segala perkara tidak baik yang menimpanya!
  1. Faedah ketiga :

    Allah SWT ingatkan kepada kita bahawa kita akan tetap mencari Allah SWT!
    Manusia ini akan kembali kepada fitrahnya. 
    Maka ketika itu apabila dia kembali kepada Allah, Allah akan lepaskannya daripada kesusahannya!
    Yakni dalam apa jua keadaan kita kena ikhlaskan permohonan kepada Allah bukan meminta dengan benda-benda lain yang tiada apa-apa kuasa & faedah.
  1. Ayat 41- {Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki;…}-

    Allah kata Dia akan hapuskan kesusahan atau lepaskan bahaya dari kamu jika Dia kehendaki.
    Yakni Allah lepaskan dengan kehendak-Nya.
    Timbul persoalan kenapa dalam firman Allah ini Allah berjanji Dia perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa:
    {Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.} (Al-Baqarah 2:186)

    Tetapi kenapa dalam ayat kita ini Allah kata jika Dia kehendaki saja- {إِن شَآءَ}??? Yakni bersyarat, hanya jika Allah nak.
    Jawapan:
    i- Ayat 41- ini adalah berkenaan dengan orang kafir, mereka jika minta adakalanya Allah beri & tunaikan permintaan mereka tetapi adakalanya Allah tak beri.

    ii- manakala ayat 186 Surah Al-Baqarah tu Allah tak ikat dengan {kalau Dia nak} tetapi akan perkenankan semua doa orang yang minta.
    Tanpa syarat siapa yang minta Allah akan beri.
    Ayat ini adalah khas adalah doa orang mukmin! Allah akan perkenankan dan beri pahala bagi orang yang berdoa.
    Adakah Allah akan kabulkan & beri apa yang kita minta itu?

    Kita sudah belajarkan dulu bahawa Allah perkenankan doa orang mukmin itu dengan tiga cara:
    i- Allah memang kabulkan beri apa yang dia minta itu;

    ii- Atau Allah tukar dengan hilangkan keburukan yang akan menimpa kita;

    iii- Atau Allah tak beri di dunia tetapi Allah beri pahalanya di Akhirat kelak!
    Inilah bezanya doa orang mukmin itu mutlak Allah jawab {أُجِيبُ دَعْوَةَ} manakala doa orang kafir bergantung kepada kehendak Allah SWT {إِن شَآءَ}.
  1. Ayat 41- {… dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).}-

    Kamu lupakan habis segala sembahan kamu yang lain dari Allah itu ketika dalam kesusahan.
    Begitulah manusia jika tidak ada pegangan, tidak ada aqidah mereka akan mudah goyah, mudah koyak tidak ada pendirian yang tetap.
    Tetapi bagi kita orang beriman kita akan tetap pegangan, susah atau senang kita hanya akan kembali kepada Allah.

    Hadis- sabda Rasulullah SAW:
    عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ.
    Maksudnya: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya.” [HR Muslim: 2999]. 

    Begitulah orang kafir yang tidak istiqomah dan tidak ada iman.
    Ada juga sebahagian manusia yang yang tidak ingat kepada Tuhan tetapi ingat kepada benda lain seperti golongan Syiah Rafidhah yang menyeru ya Husain ya Husain. 
    Atau orang yang percaya kepada kubur-kubur & keramat yang apabila mereka susah mereka cari yang begitulah!
    Kita orang yang beriman tetap pendirian duduk atas satu landasan saja, susah atau senang sentiasa ingat kepada Allah. 
    Apabila susah kita sabar apabila senang kita syukur! 

Kita berdoa & bermunajat kepada Allah agar dijauhkan daripada bala bencana banjir dan semua bala lain, selamat semua mangsa dalam negeri & negara kita!
Doa ketika hujan semakin lebat dan tak berhenti:اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا ، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ 
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan yang untuk merosak kami. Ya Allah, turunkanlah hujan ke dataran tinggi, sebahagian anak bukit, perut lembah, dan beberapa tanah yang menumbuhkan pepohonan.” (HR Bukhari).

Terkini keadaan banjir di Pondok Sungai Durian Mmpsd air dah sampai ke tingkat bawah bangunan Sakan Ummu Salamah. الله المستعان!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs