Orang Kafir Tidak Dibuka Pintu Langit, Unta Tak Masuk Lubang Jarum & Azab Semua Sudut.
Full video : https://youtu.be/YMa5pWWFlYA?si=zfN9ZbREi6aLrZph
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 40 sehingga 41 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa orang kafir tidak dibuka baginya pintu langit. Iaitu amalannya tidak naik, apa saja kebaikan yang dibuatnya tidak sampai.
- Rekod & amalannya tidak akan naik, roh mereka juga tidak akan naik dan kemustahilan itu adalah seperti unta yang besar tidak akan dapat masuk ke dalam lubang jarum yang halus itu! demikianlah digambarkan sesuatu yang munsthail & tidak mungkin terjadi!
- Kemudian Allah nyatakan bahawa azab api neraka bagi mereka terjadi pada semua sudut, dari atas bawah semuanya!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT ceritakan tentang orang-orang yang menentang al-Quran, sombong dari beriman & menentang Sunnah Nabi SAW akan dicampakkan ke dalam neraka! Setara manakah kedudukan mereka ini?
ii- Lalu Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa mustahil orang syirik & kafir untuk masuk ke dalam syurga sebagaimana mustahilnya seekor unta boleh masuk ke dalam lubang jarum!
Rohnya tidak naik ke langit & amalannya tidak dikabulkan oleh Allah SWT!
Jika dibuat replika jarum yang besar dan bubuh unta, tidak dikira itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 40- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN AYAT-AYAT (PERINTAH) KAMI DAN YANG ANGKUH (MERASA DIRINYA LEBIH) DARIPADA MEMATUHINYA, TIDAK SEKALI-KALI AKAN DIBUKAKAN BAGI MEREKA PINTU-PINTU LANGIT…} (AL-A’RAF 7:40)
- Allah nyatakan tentang balasan bagi:
i- Mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah, bagi umat ini ialah mendustakan al-Quran & ajaran yang dibawa Baginda Nabi SAW!
ii- Serta bersikap sombong takabbur, besarkan diri serta keras kepala tidak mahu terima perintah & Nabi SAW.
- Maka Allah tidak akan buka pintu langit bagi mereka! iaitu :
i- Semasa hidup tidak diterima doa & amalan;
ii- Manakala selepas mati tidak diterima roh mereka sebagaimana roh orang beriman yang diangkat ke langit!!
- Kata Syeikh Syanqiti tentang pintu langit tidak dibuka ini ada beberapa pandangan ulama’ tentangnya :
i- Pintu langit tidak dibuka untuk diangkat naik amalannya!
Dia buat baik pun tidak akan diterima atau diangkat naik ke langit!
Sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Kepada Allah-lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul, yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya).}
tetapi orang kafir tak boleh, malaikat bawa naik kena rejek turun!
ii- Tidak dibuka pintu langit untuk diterima doa-doa mereka, yakni doa mereka ditolak!
Firman Allah SWT :
{Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.} (Ar-Ra’d 13:14)
iii- Tidak dibuka pintu langit yakni tidak diturunkan berkat & rahmat Allah kepada orang kafir!
iv- Tidak dibuka pintu langit untuk menerima roh mereka ketika mati, roh mereka ditendang turun tidak boleh naik ke langit!
Yakni ayat ini tidak dibuka pintu langit bagi mereka ini mengandungi maksud keempat perkara ini.
Ayat ini juga ditafsirkan dengan hadis Rasulullah SAW, antaranya ialah:
Dalam sebuah hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Azib RA , katanya :
Kami pernah bersama Rasulullah SAW mengiringi jenazah seorang lelaki Ansar sehinggalah kami sampai di kuburan dan menunggu disiapkan liang lahad. Rasulullah SAW duduk dan kami duduk di sekeliling baginda seolah-olah di atas kepala kami ada burung. Pada tangan Rasulullah SAW terdapat satu tongkat yang dicacak ke tanah.
Baginda melihat ke langit kemudian menunduk ke tanah. Baginda memandang ke atas kemudian ke bawah sebanyak tiga kali. Kemudian baginda bersabda: “Berlindunglah dengan Allah daripada azab kubur” (sebanyak dua atau tiga kali).
Lalu baginda berkata :
“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada azab kubur” (tiga kali).
Kemudian baginda bersabda:
“Sesungguhnya seorang hamba yang beriman ketika hampir berakhir kehidupan dunianya dan bermulanya kehidupan akhiratnya, turunlah kepadanya malaikat-malaikat yang putih wajahnya bagaikan matahari. Mereka datang membawa kain kapan dari syurga dan wangian mayat Syurga. Mereka kemudian duduk di depan orang itu sejauh mata memandang. Lalu datang Malaikat Maut alaihissalam dan duduk di kepalanya seraya berkata: “Wahai roh yang baik (dalam riwayat lain: jiwa yang tenang), keluarlah menuju keampunan dan keredaan Allah.
(Serta panjang lagi kisah tentang roh yang baik ini).
Kemudian Rasulullah SAW selanjutnya bersabda :
Sedangkan kalau yang mati itu adalah orang kafir, ketika hampir berakhir kehidupan dunianya dan bermulanya kehidupan akhiratnya, akan datang kepadanya malaikat-malaikat yang kasar lagi bengis. Mereka berwajah hitam dan mereka membawa bersama mereka pakaian daripada Neraka. Mereka duduk di hadapan orang kafir itu sejauh mata memandang. Lalu datanglah Malaikat Maut duduk di kepalanya dan berkata”
“Wahai jiwa yang jelik, keluarlah menuju kemurkaan dan kebencian daripada Allah.”
Lalu rohnya keluar dari jasad dan disentap umpama sabut yang berserat banyak daripada bulu domba yang basah sehingga banyak keringat dan urat-urat yang terputus bersamanya.
Dia lalu dilaknat oleh sekalian malaikat antara langit dan bumi dan setiap malaikat di langit. Pintu-pintu langit ditutup buatnya.
Tidak ada pintu kecuali penjaganya akan berdoa kepada Allah agar roh itu tidak naik melewati mereka.
Ketika dia (Malaikat Maut) mengambil roh itu, para malaikat yang lain tidak membiarkannya walaupun sekelip mata sehingga mereka mengambilnya dan meletakkannya dalam pakaian neraka itu.
Ketika itu keluar daripadanya bau bangkai paling busuk yang pernah ada di atas muka bumi.
Mereka membawanya naik dan setiap kali mereka melewati sekumpulan malaikat mereka akan berkata, “Roh siapakah yang jelik ini?” Jawab mereka “Fulan bin Fulan.” Disebutkan nama yang paling jelik yang pernah diberikan kepadanya ketika di dunia.
Sampai akhirnya mereka tiba di langit dunia dan mereka meminta supaya dibukakan pintu untuk roh yang mereka bawa tetapi tidak diperkenankan.
Lalu Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT :
{Tidak dibuka buat mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum.} [Al-A’raf, ayat 40].
Allah Azzawajalla kemudian berfirman:
“Tulislah buku hambaKu ini dalam Sijjin dalam perut bumi yang paling bawah!”
Sehingga akhir hadis… [HR Abu Daud (4753) dan Ahmad (4/287)].
AYAT 40- {… DAN MEREKA TIDAK AKAN MASUK SYURGA SEHINGGA UNTA MASUK DI LUBANG JARUM DAN DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN.} (AL-A’RAF 7:40)
- Kemudian Allah tegaskan bahawa mereka yang kufur itu tidak akan masuk syurga sehinggalah unta dapat masuk ke dalam lubang jarum!
- Ini adalah satu bandingan untuk menunjukkan betapa mustahil dan tak akan mungkin berlaku!
- Yakni mereka yang bersifat demikian, mereka yang jahat, sombong tidak mahu menerima Islam, mendustakan ayat-ayat Allah tidak akan masuk syurga sama sekali, sebagaimana unta tidak mungkin akan masuk ke dalam lubang jarum.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini :
{Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”.} (Al-Maidah 5:72)
- Inilah yang kita bimbang hari ini, yang kita usahakan untuk beri penjelasan iaitu perbuatan yang boleh mengundang kepada syirik, boleh membawa kepada kekufuran!
- Malangnya, tetapi kenapa pula kita akan dituduh sebagai pemecah-belah masyarakat, yang suka mengkafirkan orang!
Sedangkan kita nak menyelamatkan orang dari terjerumus ke dalam kekufuran!
- Amalan-amalan ritual yang tiada sandaran dari Nabi SAW janganlah kita buat.
Banyak lagi amalan yang sahih, yang asa sanad dari Nabi SAW maka kenapa kita nak pilih ambil yang pelik, yang berisiko, suka sangat yang pelik sedangkan yang ori & sahih ada!
- Di akhir ayat Allah nyatakan demikianlah Dia membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
Sebagaimana yang telah Allah sifatkan hukuman yang dikenakan seperti tidak dibuka pintu langit kepada orang kafir, amalan & doa mereka tidak diangkat, mereka terhalang tidak akan masuk syurga selamanya!
- Maka Allah nyatakan di sini balasan azab itu adalah mengikut jenis dosa yang dilakukan.
Oleh kerana kamu sombong atas dunia dulu tak mahu terima ajaran Allah maka duduklah dalam neraka selama-lamanya.
AYAT 41- {DISEDIAKAN UNTUK MEREKA HAMPARAN-HAMPARAN DARI API NERAKA, DAN DI ATAS MEREKA LAPISAN-LAPISAN PENUTUP (DARI API NERAKA) DAN DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS ORANG-ORANG YANG ZALIM (DISEBABKAN KEINGKARANNYA).} (AL-A’RAF 7:41)
- Iaitu bagi orang yang telah mendustakan ayat-ayat Allah & mereka sombong daripada menerimanya; maka bagi mereka adalah hamparan neraka dari bawahnya serta atas mereka pula tudung daripada neraka, yakni mereka berada di dalam neraka sepenuhnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
{Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!”} (Az-Zumar 39:16)
Yakni mereka terkepung di dalam neraka dan ini adalah satu yang amat menakutkan!
- Demikianlah Allah sifatkan azab neraka itu & begitulah balasan bagi orang yang zalim dirinya sendiri dengan syirik, ingkar berpaling dari menerima ayat-ayat Allah dengan sombong maka dia telah mencari bala tak tentu pasal.
- Ini adalah balasan bagi perbuatan mereka, manusia celaka yang mencari pasal atas dunia ini; disuruh sembah Allah dia sembah berhala, buat perkara yang dilarang Allah maka di Akhirat kelak mereka adalah manusia yang kecundang & kerugian!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 40- {Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya…}-
Orang yang mendustakan ayat Allah & mereka ini bukan setakat mendustakan tetapi juga sombong ingkar.
Ada dua sifat buruk di sini, dusta & sombong. Ada orang yang tak percaya tetapi senyap saja; ada orang yang tak percaya tetapi menentang lawan juga, celik mata balik.
Kata ulama’ : Sombong {وَٱسْتَكْبَرُوا۟} ini bukan setakat tidak terima tetapi ingkar, melawan & ajak orang lain untuk ingkar & mendustakan juga!
Ini adalah sifat Firaun & tenteranya sebagaimana firman Allah SWT ini:
{Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar…} (Al-Qasas 28:39)
Sifat sombong ini amat bahaya ia bermula dari iblis yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam AS dan berterusan sehingga ke hari ini.
Maka sesiapa yang mengambil sifat sombong ini dalam dirinya tidak mahu menerima kebenaran; maka mereka adalah pengikut iblis yang telah dihalau Allah dari syurga!
- Ayat 40- {…. dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit…}-
Mereka yang sombong ini tidak dibukakan pintu langit bagi mereka.
Maksudnya: Ini kerana balasan adalah mengikut jenis amalan atau perbuatan jahat yang dibuat!
Oleh kerana mereka itu yang keras kepala, tidak beriman dengan Allah, sombong dengan mendustakan ayat-ayat Allah dan meminta pelbagai tuntutan yang pelik dan tidak masuk akal, semata-mata untuk menunjukkan degil & keras kepala!
Sedangkan ayat-ayat Allah sudah jelas dan nyata- kerana degil keras kepala mereka menolak serta mendustakannya juga; maka Allah putuskan harapan mereka untuk ke syurga!
Doa mereka tidak akan diangkat, permintaan mereka tidak akan dikabul, roh mereka tidak akan diterima di langit, maka oleh kerana kamu sombong semasa atas dunia ini, maka duduklah kamu di bawah, tunggulah di situ!
Begitulah kerana balasan adalah mengikut jenis amal: Orang yang sombong di bawah (dunia) tidak akan diangkat naik manakala orang yang tawadhuk semasa di bawah akan diangkat naik ke langit!
- Ayat 40- {…. dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit…}-
Ini menunjukkan bahawa roh kita ini bahagia dengan dua keadaan.
Iaitu kita akan terasa bahagia apabila :
i- Allah turunkan kasih-sayang, kurnia dan limpah-rahmat-Nya maka hati kita akan berasa tenang & bahagia.
ii- Atau apabila amalan kita ini diangkat & dikabulkan Allah SWT. Ini kita tidak tahu cuma apabila amalan kita baik cukup SOP nya; ikut Nabi SAW & ikhlas, maka kita yakinlah bahawa amalan kita diangkat kepada Allah!
Manakala orang yang kafir tidak beriman kepada Allah tidak akan dibuka pintu langit sebagaimana senarai empat perkara tadi:
i- Pintu langit tidak dibuka untuk diangkat naik amalannya!
ii- Tidak dibuka pintu langit untuk diterima doa-doa mereka, yakni doa mereka ditolak!
iii- Tidak dibuka pintu langit yakni tidak diturunkan berkat & rahmat Allah.
iv- Tidak dibuka pintu langit untuk menerima roh mereka ketika mati, rohnya akan ditendang balik ke bumi.
Ayat ini ada kisahnya dalam kehidupan:
Tentang kisah roket Apollo 11 yang didakwa mendarat di bulan suatu ketika dulu, dunia hari itu terbahagi kepada dua; ada yang percaya ada yang menolaknya!
Berlaku perdebatan antara orang Islam juga dan antara hujjah golongan yang menolaknya ialah berdalilkan ayat ini iaitu orang kafir tidak akan boleh naik ke langit. Wallahu a’lam.
Apollo 11 adalah misi luar angkasa berawak pertama yang didakwa berjaya membawa manusia ke Bulan dan kembali dengan selamat.
Apollo 11 merupakan salah satu dari projek NASA USA.
Apollo 11 dilancarkan pada 16 Julai 1969 menggunakan roket Saturn V dan tiba di bulan pada 20 Julai pada tahun yang sama.
Boleh cari tentang peristiwa ini.
- Ayat 40- {… tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum…}-
Allah tegaskan orang kafir tidak akan boleh masuk ke dalam syurga sebagaimana mustahil unta dapat masuk ke dalam lubang jarum!
Digunakan perumpamaan ini untuk menunjukkan tentang sesuatu yang mustahil & tidak mungkin terjadi, unta yang besar tidak mungkin boleh masuk ke dalam lubang jarum yang kecil itu!
Begitulah mustahilnya bagi orang kafir yang sombong ingkar lagi angkuh itu untuk masuk ke dalam syurga & boleh naik ke langit!
Kata ulama’ : Boleh kita gunakan analogi satu perkara yang mustahil untuk buat perbandingan bagi menyatakan perkara itu tidak mungkin terjadi.
Banyak ulama’ feqah yang menggunakannya untuk menunjukkan tentang sesuatu hukum yang tidak layak, tidak logik dan mustahil terjadi maka digunakan perkataan itu.
Setelah Allah nyatakan bahawa orang kafir tidak boleh masuk syurga, maka timbul pertanyaan, setara mana, setakat mana mereka tidak boleh masuk syurga itu???
Yakni setakat unta tidak boleh masuk ke dalam lubang jarum! Serta :
i- Disebut lubang jarum untuk menunjukkan kecilnya.
ii- Disebut unta sebagai contoh binatang yang besar kerana Allah nak buat nalogi bandingan kepada benda yang ada di depan mata mereka kaum Arab Quraisy semasa ayat ini diturunkan.
Iaitu sesuatu yang mereka kenal & nampak. Kerana itu tidak disebut gajah ke dinosaur ke dan lain-lain.
Begitulah keindahan dan kesempurnaan al-Quran yang teliti dan terperinci.
- Ayat 41- {Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka)…}-
Yakni di bawah mereka hamparan dari api manakala di atas pula penutup dari api!
Ini menunjukan bahawa neraka itu apinya meliputi semua keadaan & tempat, atas bawah depan, belakang; semuanya itu neraka Jahannam!
Maka jangan berani cari pasal, hendaklah kita berusaha supaya selamat dari api neraka, hindari diri kita dari dimasukkan ke dalam neraka dengan mentaati perintah Allah dan menjauhi sifat sombong dan jangan sesekali menentang ayat-ayat Allah.
Kemudian kita perhatikan perbezaan hujung antara dua ayat ini:
i- Ayat 40- {…dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.}-
{وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُجْرِمِينَ}
ii- Ayat 41- {…dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).}
– {وَكَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ}
Kata ulama’ tadabbur : Kenapa Allah guna dua perkataan yang berbeza ini?
Sekali jahat & sekali orang yang zalim.
Jawapannya menurut ulama’:
i- Kerana Allah nak menyatakan sesiapa yang menentang dan ingkar ayat Allah maka mereka bersifat dengan dua sifat yang keji ini!
Orang kafir itu ada dua sifat ini iaitu jahat & zalim.
ii- Yakni jika dikata orang jahat, bererti mereka tiada harapan untuk masuk syurga manakala jika dikata orang yang zalim pula mereka berhak diazab!
Jadi orang kafir itu adalah orang yang berhak diazab & tidak layak masuk syurga!
Begitulah keindahan & ketelitian ayat-ayat al-Quran yang penuh mukjizat.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.