View Categories

(15) Surah Al-A’raf : Ayat 42-43

Orang Mukmin Di Syurga, Hati Tenang Tanpa Hasad & Doa Ahli Syurga.

Full video : https://youtu.be/m0FP1rEedWQ?si=PAGbSXTX8AkHxu92

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 42 sehingga 43 dalam juzuk kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan bahawa orang mukmin adalah penduduk kekal di dalam syurga (أَصْحَـٰبُ ٱلْجَنَّةِ).
    Allah juga nyatakan ahli syurga hati mereka tenang tanpa hasad & dengki.
    Ya Allah jadikan kami dari golongan ni.
  1. Allah juga janji bahawa Syari’ah perundangan yang Allah beri ini adalah di bawah kemampuan untuk manusia lakukan.
    Bukan satu Syari’ah yang pelik dan susah dilakukan.
    {لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَآ}
  1. Serta doa ahli syurga yang menyatakan syukur mereka atas nikmat yang diberikan Allah kepada mereka.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya :
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang amaran, peringatan & janji siksa kepada mereka yang kafir, ingkar & menentang.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa khabar gembira, janji-janji baik kepada orang mukmin yang benar imannya, yang murni amalannya ikut al-Quran & Sunnah Nabi SAW.
    Inilah uslub al-Quran yang mesti sebut keduanya; yang baik & buruk, syurga & neraka, azab & nikmat; seiring yang positif & negatif, jika ada ancaman pasti ada galakannya juga.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 42- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH – (DENGAN TIDAK MENJADI KEBERATAN KEPADA MEREKA, KERANA) KAMI TIDAK MEMBERATI DIRI SESEORANG (DENGAN KEWAJIPAN) MELAINKAN SEKADAR YANG TERDAYA OLEHNYA, – MEREKALAH AHLI SYURGA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-A’RAF 7:42)

  1. Allah nyatakan sesiapa yang beriman & beramal soleh:
    i-Yang benar dalam pengakuan keimanan mereka, ikrar & tunduk akur, patuh taat kepada perintah Allah.

    ii- Mereka beramal soleh dengan apa yang Allah perintahkan serta mereka meninggalkan apa yang Allah larang.
  1. Iman & amal ini adalah kembar yang tidak dapat berpisah; iman saja tanpa amal tidak berguna, amal tanpa iman tidak akan diterima!
  1. Semua itu tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana Allah jamin Dia tidak akan memberati seseorang hamba dengan kewajipan sama ada dari segi iktiqadnya dan amalannya melainkan sekadar yang terdaya olehnya.
  1. Mereka itu adalah ahli syurga yang akan kekal menikmati nikmat-nikmat di dalamnya, mereka kekal tidak akan keluar sehingga bila-bila {خَـٰلِدُونَ}!
  1. Dalam ayat ini Allah berfirman:

    {لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَآ}
    untuk menyatakan bahawa amal soleh yang menyebabkan masuk syurga adalah mudah, tidak berat & susah ke atas manusia biasa pun.
    Antara ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan Allah menyatakan agama ini mudah & tidak berat kewajipannya ke atas hamba-Nya ada enam:
    i- {Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.} (Al-A’raaf 7:42)

    ii- {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.} (Al-Baqarah 2:286)

    iii- {Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya.} (At-Talaq 65:7)

    iv- {…dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…} (Al-Hajj 22:78)

    v- {Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.} (Al-Baqarah 2:185)

    vi- {Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…} (At-Taghabun 64:16)
    Yakni taklif kewajipan yang Allah beri kepada kita tidak berat sebagaimana ke atas umat yang terdahulu.
  1. Makna kemampuan manusia (وُسْعَهَآ) mengikut pendapat beberapa ulama’ tafsir :
    i- Kata Imam al-Wahidi RHM : Kemampuan manusia adalah apa yang dia mampu bukan dia kena usaha sehingga habis tenaga.
    Allah tidak paksa ke atas hamba-Nya perkara yang menyusahkan dan apa yang mereka tidak mampu.
    Allah beri kepada mereka apa yang mereka mampu dan mereka tidak lemah untuk melakukannya!

    ii- Kata Syeikh ar-Razi RHM pula : Apa yang di bawah kemampuan manusia untuk dilakukan ketika dalam keadaan luas dan senang, bukan ketika dalam keadaan sempit & susah.
    Contoh: Solat mesti kena sambil berdiri; tetapi jika tak mampu boleh sambil duduk, tak mampu juga boleh sambil baring.
    Puasa Ramadhan wajib; tetapi jika tak mampu boleh tinggal dan ganti pada hari lain yang sihat.
    Alhamdulillah agama kita ini mudah.
    Tapi ingat, jangan mempermudahkan agama.

AYAT 43- {DAN KAMI CABUTKAN SEGALA DENDAM DAN HASAD DENGKI DARI HATI MEREKA, (DI DALAM SYURGA) YANG MENGALIR BEBERAPA SUNGAI DI BAWAH (TEMPAT) MASING-MASING, DAN MEREKA PULA BERSYUKUR DENGAN BERKATA: “SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG TELAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK UNTUK (MENDAPAT NIKMAT-NIKMAT) INI, PADAHAL KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMPEROLEH PETUNJUK KALAU ALLAH TIDAK MEMIMPIN KAMI (DENGAN TAUFIQNYA); SESUNGGUHNYA TELAH DATANG RASUL-RASUL TUHAN KAMI DENGAN MEMBAWA KEBENARAN”. DAN MEREKA DISERU: “ITULAH SYURGA YANG DIBERIKAN KAMU MEWARISINYA DENGAN SEBAB APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN”.} (AL-A’RAF 7:43)

  1. Bahagialah ahli syurga, maka jika kita nak jadi ahli syurga kita kena bersihkan hati kita dari sifat-sifat yang buruk ini (mazmumah) seperti dendam dan hasad dengki kepada orang lain.
    Jika tidak- tidak akan layak untuk jadi ahli syurga!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah nyatakan orang yang beriman & beramal soleh syurga bagi mereka.
    Apakah ciri-ciri & sifat mereka ahli syurga?

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawakan sifat mereka ahli syurga iaitu tiada dendam, hasad dengki, takabbur dan lain-lain sifat buruk dari hati mereka.
    Maka kita wajib hilangkan sifat buruk ini untuk melayakkan kita menjadi ahli syurga!
    Allah nyatakan bahawa Dia sudah mencabut segala sifat buruk dari dalam hati ahli syurga seperti sifat hasad dengki, dendam, marah benci, cemburu dan seumpamanya.
  1. Lalu menjadikan mereka saling berkasih-sayang walaupun berbeza darjat & tingkat kedudukan mereka dalam syurga.
    Berbeza darjat sesama ahli ibadat, dengan perbuatan sunatnya.
    Sama ahli masjid, ada yang datang awal masjid, solat sunat, duduk di saf depan, dengar kuliah dan seumpamanya.
    Ada yang datang awal juga tapi tak masuk masjid hatta iqomat, duduk saf belakang tak solat sunat dan lain-lain.
  1. Hadis riwayat dari Abu Sa‘id al-Khudri RA, bahawa beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    إذا خَلَصَ المُؤْمِنُونَ مِنَ النّارِ حُبِسُوا بقَنْطَرَةٍ بيْنَ الجَنَّةِ والنّارِ، فَيَتَقاصُّونَ مَظالِمَ كانَتْ بيْنَهُمْ في الدُّنْيا، حتّى إذا نُقُّوا وهُذِّبُوا أُذِنَ لهمْ بدُخُولِ الجَنَّةِ، فَوالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ بمَسْكَنِهِ في الجَنَّةِ أدَلُّ بمَنْزِلِهِ كانَ في الدُّنْيا.
    Maksudnya: “Apabila orang-orang beriman selamat daripada api neraka, mereka akan ditahan sebentar di Qantarah yang terletak antara syurga dan neraka, di situ orang-orang yang dizalimi dalam kalangan mereka akan menuntut keadilan atas kezaliman yang telah dialami di dunia dahulu, sehingga semua orang sudah disucikan dari dosa dan dimurnikan, barulah diizinkan untuk memasuki syurga.
    Demi Tuhan yang mana nyawa Muhammad berada di Tangan-Nya, tempat tinggal mereka di syurga jauh lebih jelas keindahannya berbanding tempat tinggal di dunia.” [HR al-Bukhari (2440)].
    Yakni jika orang baik & banyak amalan akan dibawa ke syurga.
    Tetapi jika ada pergeseran, perselisihan sesama manusia yang belum selesai, tidak akan dapat masuk syurga sebelum diselesaikan isu itu.
    Allahlah yang membantu kita, bukan mudah untuk ke syurga!
  1. Kemudian apabila masuk ke dalam syurga, mereka ini melihat begitu banyaknya nikmat yang Allah sediakan untuk mereka.
    Syurga itu pula begitu indah yang mengalir beberapa sungai di bawah tempat masing-masing.
    Mereka pun bersyukur kepada Allah dengan berdoa:

    ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى هَدَىٰنَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِىَ لَوْلَآ أَنْ هَدَىٰنَا ٱللَّهُ ۖ لَقَدْ جَآءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِٱلْحَقِّ ۖ وَنُودُوٓا۟…..
    “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”.
    Untuk kita baca doa ini atas dunia sekarang ini pun boleh, jika Allah tak beri hidayah tak mungkin kita sampai ke sini, ke masjid & majlis ilmu.
  1. Antara doa ahli syurga lagi:
    i- {Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);
    Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Fatir 35:35)

    ii- {Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”.} (Az-Zumar 39:74)
  1. Hadis tentang ahli syurga ini:
    i- Riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW yang bersabda:
    Maksudnya:
    “Tidak seorang pun dari kamu sekalian melainkan mempunyai dua tempat tinggal: satu di syurga dan satu lagi di neraka.
    Apabila dia mati lalu masuk neraka, maka tempatnya (dalam syurga) diwarisi oleh ahli syurga lainnya.”
    (HR Ibnu Majah)

    ii- Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.”
    Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?”
    Baginda SAW menjawab: “Begitu juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmatNya kepadaku”.
    [HR Imam Bukhari].
    Yakni kita masuk syurga bukan dengan sebab amalan kita semata-mata tetapi amal itu menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat & balasan syurga dari Allah.
  1. Kemudian Allah berfirman kepada mereka: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”
    Yakni kita orang beriman kita dapat mewarisi syurga yang Allah sediakan untuk kita tanpa perlu berebut & berbalah lagi!
  1. Hadis riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :
    “Sesungguhnya Allah Ta’ala menjadikan bagi setiap orang suatu tempat tinggal dalam syurga dan suatu tempat tinggal dalam neraka. Adapun orang-orang mukmin, mereka mengambil tempat-tempat tinggal mereka dan mewarisi tempat-tempat tinggal orang-orang kafir.
    Dan orang-orang kafir ditempatkan di tempat-tempat tinggal orang-orang mukmin dalam neraka.”
    [HR Ibnu Majah & Baihaqi].
    Inilah maksudnya orang mukmin mewarisi syurga dari orang kafir.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 42- {Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh…}-

    Orang yang boleh mengumpulkan antara iman & amal itulah mereka yang diterima Allah SWT
    Yang telah mendidik jiwanya & membersihkan jiwanya dari perkara yang tidak baik, maka merekalah orang yang layak untuk mendapat rahmat & nikmat dari Allah SWT, merekalah ahli syurga yang kekal di dalamnya.
    Ya Allah jadikan kami dari kalangan ahli syurga yang Engkau sayangi & redhai!
  1. Ayat 42- { serta beramal soleh…}-

    Apakah amalan soleh itu?
    Kata Syeikh al-Fudhail bin Iyad : Satu amalan itu untuk menjadi soleh & baik hendaklah:
    i- Ikhlas lillahi Taala,

    ii- Ikut apa yang Nabi SAW ajar.
    Amal soleh itu pula merangkumi ibadat yang wajib & yang sunat.
    Jika amal itu adakala yang berat, Allah kata kamu jangan bimbang, Allah tidak akan memberatkan- amal itu setakat yang kamu mampu.
    Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

    “Hendaklah kamu beramal mengikut kemampuan kamu.
    Demi sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu merasa jemu.
    Dan agama yang paling disukai Allah ialah apa yang dilakukan seseorang secara berterusan”.
    [HR al-Bukhari].
    Kerana itu Rasulullah SAW juga melarang beberapa orang pemuda yang berazam untuk buat ibadat secara berlebihan.
    “Datang tiga lelaki bertemu dengan Nabi SAW, seorang dari mereka berkata: Aku akan solat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, aku akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, aku tidak akan menikah dengan wanita. Nabi SAW menegur tindakan ketiga-tiga mereka.”
    Sabda Nabi SAW :

    “أنا أصوم وأفطر، وأقوم وأنام، وأتزوج النساء، فمن رغب عن سنتي فليس مني”.
    “Aku solat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (HR Bukhari dan Muslim)
    Betapa ajaran Islam tiada yang pelik dan berat yang menyalahi tabiat fitrah semulajadi manusia atas dunia ini seperti berkahwin dan lain-lain.
  1. Ayat 42- {Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya,…}-

    Allah kata Kami tidak akan memberati seseorang hamba itu dengan amalan kecuali setakat kemampuannya.
    Alhamdulillah dalam tafsir di atas kita sudah bawa 6 ayat al-Quran yang menyatakan tentang perkara ini.
    Allah nyatakan tidak ada yang berat & susah dalam amalan ibadat.
    Syurga itu besar lagi indah & penuh nikmat, mahal harganya, tetapi rahmat Allah kepada kita, manusia boleh masuk syurga dengan amalan yang mudah dan simple tanpa perlu melakukan perkara yang berat & tidak logik akal!
    Beberapa contoh dari hadis Nabi SAW :

    i- Projek mega mampu milik: Sabda Nabi SAW :
    Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.” (HR Tirmizi)

    ii- Rasulullah SAW bersabda:

    Seseorang lelaki menemui ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak mengganggu orang-orang muslim”, kerana itu dia dimasukkan ke syurga.” [HR Muslim].

    iii- Hadis riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ” غُفِرَ لاِمْرَأَةٍ مُومِسَةٍ مَرَّتْ بِكَلْبٍ عَلَى رَأْسِ رَكِيٍّ يَلْهَثُ، قَالَ كَادَ يَقْتُلُهُ الْعَطَشُ، فَنَزَعَتْ خُفَّهَا، فَأَوْثَقَتْهُ بِخِمَارِهَا، فَنَزَعَتْ لَهُ مِنَ الْمَاءِ، فَغُفِرَ لَهَا بِذَلِكَ “.
    “Seorang wanita pelacur diampuni oleh Allah. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut.
    Wanita itu diampuni kerana hal tersebut.”
    [HR al-Bukhari].
    Semua ini dengan syarat dia beriman & ikhlas, maka walaupun dia buat amalan yang kecil Allah akan balasan yang besar.
    Amalannya sedikit tetapi pahalanya seperti bukit!
    Kerana itu ulama’ feqah buat satu kaedah:
    لا واجب مع العجز ولا محرم مع الضرورة!
    Maksudnya: Tiada kewajipan bersama keuzuran dan tiada hukum haram ketika darurat.
    Contoh :
    i- Puasa wajib tetapi jika dia tak mampu lemah sakit, maka diberi rukhsah untuk tangguh dulu, apabila sihat boleh qadha’.
    Jika mati terus tidak perlu qadha’ lagi.

    ii- Seorang musafir dalam hutan putus bekalan makanan, jumpa bangkai arnab harus memakannya jika sudah teramat lemah dan tiada pilihan lain serta boleh bawa darurat jika tak makan.
    Boleh lihat buku Islam Cara Hidup, banyak perbahasan yang menatik tentang isu ini: https://dartaibah.com/*NEW-Buku-Islam-Cara-Hidup-tulisan…
  1. Ayat 43- { Dan mereka diseru: “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.}

    Allah kata : Aku wariskan syurga kepada kamu sebagai satu pusaka.
    Kita sudah terimanya, Allah kata itulah syurga (أَن تِلْكُمُ ٱلْجَنَّةُ) yang Aku janjikan dulu!
    Ambillah, terimalah ianya!
    Pusaka atau mewarisi ini bermakna kita menerima sesuatu dengan mudah tanpa susah tanpa perlu kerja & usaha.
    Contoh : Seorang anak kecil yang masih bayi menerima warisan harta dari bapanya berjuta-juta, kecil lagi sudah jadi jutawan tanpa perlu buat apa-apa.
    Yakni tak kira umur, benci atau sayang pasti akan dapat.
    Kemudian Allah nyatakan sebab kamu nak dapat kasih-sayang Allah, untuk masuk syurga adalah: {dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”.}
    Yakni bukan kata tak buat apa tunggu Allah masukkan ke dalam syurga!
    Wajib kita beramal soleh serta taat patuh kepada Allah.
    Tetapi dalam masa yang sama kena ingat, amal soleh semata-mata bukan sebab untuk masuk syurga kerana kita masuk syurga dengan sebab rahmat Allah dan limpah kurniannya!
    Ya Allah berilah rahmat kepada kami jadikan kami orang yang layak mewarisi syurga-Mu!
  1. Ayat 43- {…dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk…}-

    Doa ini salah satu cara untuk kita bersyukur.
    Apabila kita dapat apa-apa nikmat dari Allah kita berdoa & bersyukur kepada Allah.
    Ahli syurga apabila dapat masuk ke dalam syurga,, mereka berdoa & bersyukur kepada Allah!
    Ini menunjukkan bahawa kita beramal ibadat, kita buat baik atas dunia DAN kita dapat masuk syurga; keduanya adalah dari limpah kurnia & rahmat Allah SWT!
    Jika Tuhan tak beri hidayah kepada kita, tak akan dapat.
    Jadi kita kata, kita dapat masuk syurga dengan limpah kurnia & rahmat Allah, kita beramal ibadat dengan hidayah Allah; tetapi dalam masa yang sama kita buat amal ibadat untuk mendapat rahmat Allah dan untuk melayakkan kita mendapat hidayah!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs