Ahli Al-A’raaf Tengok Ahli Neraka, Tempelak Mereka & Malaikat Arahkan Orang Mukmin Ke Syurga.
Full video : https://youtu.be/8I1sEEMavfo?si=qqy3FDybfNUyZm-N
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 47 sehingga 49 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini adalah sanbungan kepada cerita semalam iaitu tentang ahli al-A’raf yang berada di antara syurga & neraka, keadaan mereka apabila tengok ahli neraka, mereka terus berdoa agar selamat dari neraka.
- Mereka yang Islam juga nampak orang mereka kenal di dalam neraka dan mereka boleh bercakap dengannya lalu mereka perli & tempelak mereka yang sombong & ingkar atas dunia dulu.
- Kemudian setelah selesai perdebatan; malaikat arahkan orang mukmin ke syurga.
Alhamdulillah akhirnya mereka dapat masuk ke dalam syurga!
Inilah kumpulan terakhir yang masuk syurga selepas hisab.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang golongan ashabul A’raf yang berada di atas tembok dan mereka dapat melihat ahli neraka dan bercakap dengan mereka.
ii- Maka datang ayat ini Allah SWT memalingkan pandangan mereka ke arah neraka, lalu mereka lihat satu pemandangan yang dahsyat & menakutkan.
iii- Ia juga menyatakan ahli syurga masih lagi bercakap dengan ahli neraka walaupun jarak mereka jauh.
Semua ini adalah kekuasaan Allah SWT yang tidak pelik & tidak asing lagi bagi kita dengan contoh kecanggihan teknologi hari ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 47- {DAN APABILA DIALIHKAN PANDANGAN MEREKA KE ARAH AHLI NERAKA, MEREKA (BERDOA DENGAN) BERKATA: “WAHAI TUHAN KAMI! JANGANLAH ENGKAU JADIKAN KAMI BERSAMA ORANG-ORANG YANG ZALIM”.} (AL-A’RAF 7:47)
- Apabila Allah mengalihkan pandangan ashabul A’raf ke arah neraka, mereka terkejut & takut apabila melihat azab yang ada lalu terus berdoa:
{رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ}-
Ya Allah! jangan jadikan kami bersama orang kafir yang zalim!
- Mereka bukan mahu lihat, tetapi Allah palingkan wajah mereka ke arah neraka supaya mereka lihat & sedar bahawa berada di atas tembok itu adalah lebih daripada jatuh ke dalam neraka walaupun mereka tidak dapat masuk syurga lagi!
- Dalam ayat yang lepas sudah dinyatakan bahawa mereka amat berharap untuk masuk ke dalam syurga tetapi selagi Allah belum izinkan, kerana tidak habis lagi perbicaraan & dialog, mereka tidak dapat masuk lagi dan terpaksa menunggu di atas tembok al-A’raf itu.
- Mereka ini seperti yang sudah kita bincangkan adalah orang yang sama banyak amalan baik & buruknya, 50-50.
Jika amalannya lebih sedikit sudah pasti mereka sudah dapat masuk syurga!
Amat mencemaskan keadaan mereka, kita pun berjaga-jagalah, berusahalah agar amalan baik kita lebih banyak & lebih berat!
- Begitu juga apabila melihat sesuatu yang menakutkan kita terus berdoa agar Allah melindungi kita daripadanya!
Atas dunia ini ada yang seperti gambaran neraka iaitu jurang gunung berapi yang begitu busuk dan menakutkan seperti di Bromo Indonesia.
Tetapi masih ramai manusia yang bersusah-payah pergi untuk healing & melancong.
Tetapi elok juga jika kita pergi ambil pengajaran & iktibar untuk menginsafkan agar tidak sia-sia musfir itu.
AYAT 48- {DAN ORANG-ORANG YANG BERADA DI ATAS TEMBOK AL-A’RAF MENYERU BEBERAPA ORANG (KETUA KAUM KAFIR) YANG MEREKA KENAL DENGAN TANDANYA, DENGAN BERKATA: “NAMPAKNYA KUMPULAN KAMU YANG RAMAI (ATAU KEKAYAAN KAMU YANG BESAR) DAN JUGA SEGALA APA YANG KAMU SOMBONGKAN DAHULU – TIDAK DAPAT MENOLONG KAMU”.} (AL-A’RAF 7:48)
- Kemudian orang beriman, ashabul A’raf nampak dan kenal dalam neraka itu beberapa orang ketua kafir yang menyesatkan orang di dunia dulu.
- Mereka mengenalinya dengan beberapa tanda ahli neraka seperti muka gelap & kelam suram.
Kata ulama’ tafsir Syeikh Muqatil bin Sulaiman : Tanda itu adalah muka mereka hitam, dari kalangan pembesar & boss kafir yang dikenali!
- Lalu mereka menyeru kepada boss kafir itu:
i- Mana harta kekayaan, pengikut setia, tentera dan kawan yang menyokong kamu dulu yang kamu bangga-banggakan dulu!
Nampaknya semua itu tidak dapat menolong & memberi faedah kepada kamu sekarang!
ii- Lihatlah juga orang yang kamu perli, ejek & hina dulu telah berada di dalam syurga!
Yang kamu sangka mereka sesat & tak layak ke syurga dulu, sekarang lihat siapa yang benar & siapa yang sesat!
Antara sahabat yang lemah & miskin yang dihina & disiksa oleh mereka dulu seperti Suhaib ar-Rumi, Khubaib bin Ali, Bilal bin Rabah, keluarga Yasir RHM dan lain-lain.
- Firman Allah SWT juga:
i- {Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)?} (Al-Lail 92:11)
ii- {“Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun;
Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku”.} (Al-Haqqah 69: 28-29)
Yakni semua yang kamu kumpulkan & banggakan atas dunia dulu seperti pangkat, harta, keluarga, pengikut, tentera & kekuatan; semuanya sudah hilang. Semuanya tidak berguna & siapa lagi yang dapat menolong menyelamatkan kamu daripada azab Allah!
Allahu al-Musta’an.
AYAT 49- {(MEREKA BERTANYA PULA KEPADA KETUA-KETUA KAUM KAFIR ITU DENGAN BERKATA): “ITUKAH ORANG-ORANG YANG KAMU EJEK-EJEK DAHULU DAN KAMU BERSUMPAH BAHAWA MEREKA TIDAK AKAN BEROLEH RAHMAT DARI ALLAH? (SEKARANG DIKATAKAN KEPADA MEREKA): ` MASUKLAH KAMU KE DALAM SYURGA, TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP KAMU, DAN KAMU PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.'”} (AL-A’RAF 7:49)
- Kata ulama’ tafsir : Ashabul A’raf perli & menempelak balik puak kafir yang mengata dan menghina orang yang mereka siksa semasa atas dunia dulu.
Sekarang lihatlah di mana kamu berada & di mana orang kamu ejek dan hina dulu berada!?
- Kemudian selesai sudah perhitungan dan dikatakan kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam syurga yang penuh dengan nikmat Allah tidak ada kebimbangan dari berlakunya sesuatu yang tidak baik terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita.
- Yakni setelah selesai dialog, soal jawab & tempelakan: Malaikat berseru kepada ahli A’raf, sekarang tibalah masanya untuk kamu masuk syurga!
Tinggallah segala yang menjadi masalah & kesusahan kamu di atas dunia dulu, semua itu kecil yang besarnya nikmat syurga yang menanti kamu.
- Begitulah manusia ini selepas daripada susah apabila mendapat kesenangan dia akan lupa apa kesusahan yang dilaluinya dulu.
- Sebagaimana hadis riwayat daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
“Seseorang yang paling senang hidupnya di dunia daripada ahli neraka dibawa pada hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka.
Kemudian dikatakan kepadanya: Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesenangan?
Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidup engkau?
Orang itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhanku.
Kemudian dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia daripada ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga.
Lalu ditanya kepada beliau : Wahai anak Adam. Adakah engkau pernah melihat sebarang kesusahan?
Adakah kesusahan pernah muncul dalam hidup engkau?
Dia menjawab: Tidak, demi Allah, wahai tuhan ku. Tidak pernah kesusahan muncul dalam hidup ku dan tidak pernah aku melihat sebarang kesusahan.” [Sahih Muslim]
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 47- {Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka,…}-
Apabila Allah paling muka ashabul-A’raf ke arah neraka.
Ini kerana sebelum ini mereka ashabul A’raaf tidak berpaling ke arah neraka kerana takut & tidak mahu lihat!
Mereka asyik berpaling ke arah syurga dan menyesal jikalah amalan mereka lebih pasti mereka sudah akan masuk ke dalam syurga!
Lalu Allah palingkan pandangan mereka
{صُرِفَتْ أَبْصَـٰرُهُمْ}
kerana Allah mahu mereka lihat keadaan dalam neraka!
Lalu apabila lihat keadaan neraka & azabnya yang mengerikan, mereka begitu menyesal & takut, kenapalah aku tidak beramal banyak semasa di dunia dulu, jika tidak pasti tidak akan berada di sini bahkan sudah masuk syurga!
Jadi apabila mereka lihat walaupun tanpa niat, tiba-tiba mereka ternampak orang-orang atau kawan yang mereka kenali dulu dalam azab siksa neraka!
Lalu terus mereka berdoa agar mereka tidak termasuk dalam golongan yang zalim itu, iaitu zalim kerana sebab kufur & syirik kepada Allah!
Begitu juga kita apabila lihat perkara yang menakutkan teruslah berdoa kepada Allah untuk selamat dan berlindung darinya!
Juga apabila kita mengembara melancong ke mana tempat saja, yang indah atau menakutkan, biarlah ianya menjadi satu pengajaran & memberi iktibar dan manfaat kepada kita dunia Akhirat, bukan hanya sekadar healing menghabiskan belanja & masa.
Kita ambil peluang untuk lihat apa yang Allah sediakan atas dunia, untuk mengambil iktibar dan pengajaran!
- Ayat 47- {Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka,…}-
Apabila Allah paling pandangan mereka ke arah neraka.
Kata ulama’ : Ayat ini menjadi dalil bahawa mereka ashabul-A’raf berada di atas satu tempat yang tinggi.
Syurga di sebelah ini, neraka pula di sebelah satu lagi.
Mereka ashabul-A’raf ini juga terus mengambil kesempatan itu untuk terus menyeru dan menempelak kawan yang mereka kenali dulu yang berada dalam neraka untuk menambahkan lagi kesiksaan, penyesalan dan sakit hati mereka ahli neraka!
- Ayat 48- {… dengan berkata: “Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu – tidak dapat menolong kamu”.}-
Ahli syurga ashabul A’raf ini bertanya kepada ahli neraka, apa yang kamu dapat sekarang?
Apa faedah dari perjuangan yang telah kamu habiskan segala usia, masa dan tenaga atas dunia dulu?
Kita ini kadang-kadang apabila dalam perjuangan pasti akan tempuhi pelbagai ujian dan musibah seperti kena tangkap, penjara, denda, hina dan sebagainya!
Jika perjuangan itu benar alhamdulillah tetapi jika asas perjuangan itu tidak benar, salah tapak, bukan kerana Allah SWT kita akan kerugian yang besar dan sia-sia segala ujian yang kita lalui!
Masa itu gembiralah banyak peluang, hidup senang & disanjung, round dunia, kawan-kawan ramai, orang yang tak setuju kita buat perkara yang zalim yang tidak sepatutnya!
Kita kena tadabbur ayat ini bahawa kita hidup atas dunia ini sekejap saja kemudian kita akan bertemu dengan Allah SWT dan orang-orang yang kita aniayai dan hina dulu!
- Ayat 49- {(Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): “Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah?…}-
Wahai orang besar kafir, kamu lihatlah orang yang kamu hina & ejek dahulu, di manakah mereka?
Apakah mereka tidak mendapat rahmat Allah?
Sedangkan mereka itu sekarang berada di dalam syurga yang penuh dengan nikmat & rahmat Allah SWT!!
Bahkan orang kafir itu bukan setakat memerli, mengejek orang Islam yang dhaif dulu bahkan bersumpah bahawa mereka itu tidak akan dapat rahmat Allah!
Mereka menghina dan menyiksa sahabat yang lemah dan tidak berdaya seperti Bilal bin Rabah, Khubaib dan lain-lain.
Mereka suruh Rasulullah SAW halau para sahabat yang miskin dan dhaif daripada majlis bersama mereka!
Ayat ini sebagai peringatan kepada manusia agar jangan sombong atas dunia ini!
Kita tidak tahu orang faqir di dunia dulu yang kita hina & benci, adalah manusia yang mulia, yang Allah akan angkat darjat mereka menjadi orang yang kaya di Akhirat kelak.
Serta jangan mengungkit jika kita pernah membantu orang dahulu, kerana bimbang pahala yang telah Allah berikan dulu akan terhakis & hilang dengan sebab mengungkit itu.
Amat malang dan rugilah, hilang pahala yang telah kita kumpulkan 20, 30 tahun dulu!
- Ayat 49- {…(Sekarang dikatakan kepada mereka): ` Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu pula tidak akan berdukacita.'”}-
Akhirnya Allah berfirman dan malaikat menyeru mereka yang berada di atas tembok al-A’raf itu.
Tersengar suara seruan kepada mereka.
Sekarang selesailah urusan kamu, syurga sudah kamu lihat, neraka pun sudah kamu lihat, orang yang kamu kenal dulu pun sudah kamu tegur & tempelak mereka!
Maka sekarang masuklah kamu ke dalam syurga dan kekal di dalamnya dengan:
i- Tidak ada kebimbangan dari berlakunya sesuatu yang tidak baik terhadap kamu, yakni masuk syurga ini tidak akan keluar lagi!
ii- Dan kamu pula tidak akan berdukacita lagi, bila sudah masuk dalam syurga tiada lagi kesedihan.
Ya Allah jadikan kami dari golongan ahli syurga, yang berat timbangan amal solehnya!
Antara amal yang boleh menjadi pemberat timbangannya yang mudah untuk kita amalkan:
Hadis daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Nabi SAW bersabda:
كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
Maksudnya: “Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu:
سُبْحَانَ اللهِ وَ بِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ.
(Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).” [HR al-Bukhari, 7563].
Marilah kita beramal dengan segala amalan yang disayangi & diperintahkan oleh Allah SWT!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.