View Categories

(19) Surah Al-A’raf : Ayat 52-53

Al-Quran Telah Menjelaskan Segalanya, Kafir Tengok Apa Yang Dijanjikan & Penyesalan Tidak Berguna.

Full video : https://youtu.be/iVUFGMbSTQ0?si=27CispiCF-ovQJfP

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 52 sehingga 53 dalam juzuk kelapan.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan tentang kelebihan al-Quran sebuah kitab yang telah menjelaskan segalanya yang diperlukan oleh manusia atas dunia ini dan untuk sampai ke syurga.
  1. Kemudian Allah nyatakan setelah mati & apabila Kiamat, orang kafir tengok apa yang telah dijanjikan akan benar-benar berlaku.
    Maka mereka telah merugikan diri sendiri kerana memilih jalan yang salah dalam beragama tetapi ia adalah penyesalan yang tidak berguna.
  1. Alhamdulillah kita katakan kerana Allah pilih menjadi orang yang beriman, percaya & yakin dengan kebangkitan semula, yang sentiasa tidak lupa membuat persiapan untuk bekalan Akhirat.
    Ambillah peluang sempena Ramadhan ini untuk meningkatkan lagi amal ibadat kita, insya’ Allah!
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang keadaan ahli syurga & ahli neraka serta ahli al-A’raf, yang berada di atas tembok antara syurga & neraka.
    Allah juga nyatakan dialog antara mereka tersebut. Mendengar tentang ashabul-A’raf menjadikan kita cemas & takut agar jangan cuai dalam memperbanyakkan ibadat kita.

    ii- Kemudian datang ayat ini Allah ajar & beritahu apakah lorong yang boleh menyelamatkan kita iaitu tiada yang lain kecuali lorong al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang sahih.
    Ikut yang Allah & Nabi SAW suruh & tingalkan segala larangan-Nya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 52- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH DATANGKAN KEPADA MEREKA, SEBUAH KITAB (AL-QURAN) YANG KAMI TELAH MENJELASKANNYA SATU PERSATU BERDASARKAN PENGETAHUAN (KAMI YANG MELIPUTI SEGALA-GALANYA), UNTUK MENJADI HIDAYAH PETUNJUK DAN RAHMAT, BAGI ORANG-ORANG YANG (MAHU) BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:52)

  1. Allah SWT telah bersumpah demi sesungguhnya Dia telah mencipta dan menurunkan al-Quran kepada manusia dengan penuh perancangan & ketelitian yang rapi dan ilmu sempurna.
  1. Telah dijelaskan dalam al-Quran juga segala ilmu petunjuk, ajaran & maklumat yang ada dalam al-Quran meliputi segala-galanya untuk keperluan dunia & Akhirat manusia.
  1. Allah juga nyatakan bahawa Al-Quran adalah Kitab hidayah & perintah yang sesuai untuk setiap masa, zaman & tempat sama ada dalam perkara keduniaan & Akhirat!
    Maka jika ada orang yang mengatakan bahawa al-Quran tidak sesuai untuk zaman moden & sains teknologi ini maka dia telah melakukan satu kesesatan yang besar!
  1. Firman Allah SWT:
    {Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} (Hud 11:1)
  1. Anak orang Islam jangan terpengaruh dengan dakwaan & diayah kafir yang mengatakan al-Quran hanya sesuai untuk zaman orang naik unta di padang pasir saja!
    Ini adalah satu tuduhan yang jahat & cubaan menghina!
    Jika tidak kena mengucap semula!
  1. Kemudian sifat al-Quran ialah untuk menjadi petunjuk & rahmat;
    i- Iaitu Allah jelaskan al-Quran supaya orang yang beriman boleh mengambil petunjuk, hidayah & langkah-langkah jalan menuju Allah. Semua ini ada dalam al-Quran.

    ii- Juga sebagai rahmat, iaitu apabila mereka beriman dengan Allah, dengan Nabi SAW & dengan al-Quran; maka Allah akan beri rahmat kepada mereka di dunia & Akhirat dengan sebab iman mereka & sebab mereka mengikut al-Quran.
  1. Ayat ini ditafsirkan juga dengan firman Allah ini:

    {Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad SAW) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
    Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.} (Al-Maidah 5: 15-16)
  1. Sesiapa yang beriman dengan Allah, berpegang dengan Sunnah Nabi SAW maka Allah SWT akan memberi perintah & rahmat kepada mereka dengan sebab mereka ikut jalan al-Quran & Nabi SAW.
    Allah akan keluarkan mereka daripada gelap kekufuran kepada cahaya keimanan & pimpinnya ke jalan yang benar!
  1. [Nota 210]- Al-Quran menjadi petunjuk & rahmat bagi orang yang mahu beriman.
    Kerana hanya orang yang beriman atau yang bersedia untuk beriman saja akan mendapat petunjuk & rahmat al-Quran.
    Manakala orang yang ingkar & berdegil dengan kekufuran maka mereka akan tetaplah berada dalam kesesatan yang mereka pilih itu!
    Yakni mereka berasa mereka berada di jalan yang benar.

AYAT 53- {TIDAK ADA PERKARA YANG MEREKA TUNGGU-TUNGGUKAN MELAINKAN AKIBAT ATAU KESUDAHAN (APA YANG TELAH DIJANJIKAN OLEH ALLAH DI DALAM AL-QURAN), PADA HARI DATANGNYA APA YANG TELAH DIJANJIKAN DALAM AL-QURAN ITU (PADA HARI KIAMAT KELAK), BERKATALAH ORANG-ORANG YANG TELAH MELUPAKANNYA (YANG TIDAK MENGHIRAUKANNYA DALAM DUNIA) DAHULU: “SESUNGGUHNYA TELAH DATANG RASUL-RASUL TUHAN KAMI DENGAN MEMBAWA KEBENARAN, MAKA ADAKAH UNTUK KAMI PEMBERI SYAFAAT SUPAYA MEREKA MEMBERI SYAFAAT BAGI KAMI ATAU (BOLEHKAH) KAMI DIKEMBALIKAN (KE DUNIA) SUPAYA KAMI DAPAT BERAMAL, LAIN DARIPADA APA YANG KAMI TELAH KERJAKAN?” SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MERUGIKAN DIRI MEREKA SENDIRI, DAN TELAH LENYAPLAH DARI MEREKA PERKARA-PERKARA YANG MEREKA ADA-ADAKAN DAHULU.} (AL-A’RAF 7:53)

  1. Mereka orang kafir itu tidak beriman kerana menunggu bukti untuk menunjukkan kebenaran apa yang ada di dalam al-Quran.
    Sehinggalah tiba apa yang Allah janjikan dalam al-Quran, iaitu nikmat syurga untuk orang beriman & azab neraka untuk yang kafir.
    Tetapi pengakuan, kepercayaan & keimanan pada waktu itu tidak berguna lagi!!!!
  1. Munasabah ayat:
    i- Apabila Allah nyatakan dalam ayat lepas tentang kelebihan & kedudukan al-Quran yang mulia ini, Kitab yang Allah jelaskan segala perkaranya dari segi hukum-hukum, halal haram, aqidahnya, adabnya, nasihatnya, perbandingan dan sebagainya.
    Allah kata Dia buat semua itu dengan ilmu & kebijaksanan-Nya bukan hanya suka-suka atau secara spontan!
    50,000 tahun sebelum tercipta langit dan bumi telah ada blue printnya, perjalan hidup dunia ini!

    ii- Maka datang ayat ini memberi amaran kepada puak kafir: Jika kamu tak mahu beriman & percaya, tunggulah di Akhirat kelak!
  1. Puak kafir itu tidak percaya sekarang bahkan mereka menunggu untuk beriman hanyalah apabila perkara yang dijanjikan Allah itu terjadi & berlaku!
    Nak tunggu mati dulu, azab kubur, bangkit semula, Kiamat, ada Sirat, ada Mizan, syurga & neraka dan lain-lain.
    Tetapi percaya pada waktu itu apa gunanya, tiada faedah apa lagi!
  1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini :
    {Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)”.} (Al-An’am 6:158)
  1. Yakni puak kafir tunggu dalam keadaan tidak percaya, dalam keadaan mencabar & lawan, maka akhirnya mereka akan ke neraka!
    Tidak ada faedah & kebaikan lagi bagi mereka!
  1. Pada hari itu apabila berlaku semua yang Allah janjikan, ketika datangnya hari Kiamat, ketika terlaksana apa yang dijanjikan dalam al-Quran; mereka yang tidak percaya, tidak mahu beriman dulu berkata dengan menyesal: Jelaslah apa yang dibawa oleh rasul, yang diajar oleh para pendakwah dulu adalah BENAR!
    Tetapi apa yang mereka dapat kecuali balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka itu!
  1. Maka mereka mulalah merayu mencari jalan untuk selamat!
    Mereka mencari apakah ada sesiapa yang boleh memberi syafaat menolong mereka!
    Mereka ingat seperti atas dunia dulu di mana mereka sangka berhala itu adalah perantaraan yang dapat menolong mereka!
  1. Jika tidak ada orang yang dapat menolong, mereka meminta & berharap untuk hidup semula & kembali ke dunia, mereka akan menjadi orang yang beriman & patut taat kepada Allah & Rasulullah, tidak akan menjadi orang yang ingkar & mendustakan lagi!
  1. Firman Allah SWT :

    {Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi}, lalu mereka berkata: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan menjadilah kami dari golongan yang beriman”.
    (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu; dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya; dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta.} (Al-An’am 6:28)
    Allah menegaskan tiada faedah jika hidup semula pun mereka tetap akan menjadi pendusta & tidak beriman!
  1. Maka di akhir ayat Allah kata orang kafir akan kerugian dari bahagian mereka untuk mendapat pahala bahkan mendapat bala pula lalu mereka binasa dengan azab!
  1. Ayat ini ditafsir pula dengan firman Allah ini:

    {Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; “Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!” Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.} (Al-An’am 6:31)
  1. Maka teruslah mereka mendapat azab Allah, tiada siapa yang dapat membantu & menyelamatkan mereka darinya.
    Apa yang mereka sangkakan atas dunia dulu adalah palsu & tidak benar semuanya!!
  1. Mereka sangkakan boleh seperti atas dunia dulu di mana mereka ingat berhala & sembahan mereka dulu boleh memberi pertolongan; sedangkan semua itu juga sudah dicampakkan ke dalam neraka!
    Jika Allah tidak izin tiada siapa yang boleh bantu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 52- {Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran)…}-

    Allah kata Dia telah bawakan kepada kita Kitab-nya; iaitu al-Quran.
    Al-Quran ialah nikmat & anugerah yang terbesar yang Allah telah kurnia & anugerahkan kepada manusia!
    Ia akan menjadi satu mukjizat yang agung, yang akan kekal sehingga ke hari Kiamat!
    Bukan seperti mukjizat nabi-nabi lain atau mukjizat Rasulullah SAW sendiri yang lain yang hanya terjadi & ada pada waktu itu sahaja!
    Kata ulama’ : Apa saja yang berkiat dengan al-Quran adalah mulia:
    i- Al-Quran datang dari Allah, Tuhan Yang Maha Mulia.

    ii- Diturunkan oleh malaikat Jibril yang menjadi ketua malaikat.

    iii- Diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ketua & penutup segala nabi.

    iv- Diturunkan pada malam Lailatul Qadr, iaitu malam terbaik, yang lebih baik daripada 1000 bulan

    v- Diturunkan pada bulan Ramadhan, Ramadhan bulan yang mulia.
    Maka sesiapa yang nak jadi orang baik, hebat & mulia jadilah ahli al-Quran.
    Yang baca, tadabbur, faham & beramal dengan al-Quran! al-Quran wajib menjadi sumber hidupnya.
    Al-Quran adalah Kitab yang menjelaskan iman yang sahih, yang benar & sabit, ibadat yang diredhai Allah seta menjadi petunjuk hidayah bagi sekelian manusia!
    Kerja al-Quran menjadi penjelas kepada hukum perjalanan hidup manusia serta menjelaskan & memberi amaran daripada perbuatan syirik dan segala yang mungkar.
  1. Ayat 52- {…. Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya),…}-

    Allah nyatakan sifat al-Quran sebagai petunjuk & rahmat kepada manusia.
    Allah jelaskan sifat & fungsi al-Quran juga: memperincikan segala yang diperlukan oleh manusia dari segi agama & dunianya!
    Al-Quran ada usuluddin, tauhid, aqidah dan semuanya! al-Quran kita baca, faham, tadabbur & amal.
    Bukan hanya baca sahaja, al-Quran adalah segalanya!
    Allah jelaskan dalam al-Quran asas agama manakala lawan kepada agama adalah syirik & berhala.
    Allah jelaskan secara detail tentang ibadat yang kita kena buat kemudian dijelaskan pula dengan Sunnah Nabi SAW.
    Siapa yang tidak ikut dua ini dia akan terperangkap dengan bid’ah & khurafat!
    Begitu juga dalam bab kehidupan, rumahtangga, muamalat jual-beli & urusan pekerjaan semuanya ada dalam al-Quran.
    Penjelasannya dalam Sunnah Nabi SAW & huraiannya pula dijelaskan oleh para ulama’ yang muktabar!
  1. Ayat 53- {Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran),…}-

    Wahai puak kafir apa yang kamu tunggu sebelum beriman?
    Tunggu mati dulu, tunggu Kiamat atau tunggu malaikat seret ke neraka, baru nak Beriman????
    Allah nyatakan betapa puak kafir ini degil & keras kepala tak mahu buka dada & minda, lapangkan hati untuk mencari yang baik!
    Inilah kerugian mereka!
    Puak kafir ini hanya percaya & mahu beriman apabila telah dizahirkan apa yang Allah janjilan dalam al-Quran dulu!
    Maka orang mukmin akan ke syurga & orang kafir akan ke neraka!
    Segala jenis azab Allah kenakan kepada mereka, takkan baru nak beriman????
    Kita kena ingat semua rukun iman adalah percaya & beriman kepada perkara ghaib yang kita tidak dapat melihatnya atas dunia ini!
    Tiada siapa boleh lihat Allah atas dunia ini kecuali di Akhirat kelak!
    Tetapi kita yakin & beriman kepada Allah, malaikat, kitab Allah & rasul-rasul Allah!
    Orang kafir pula tidak percaya & tidak mahu beriman sehinggalah nampak semua itu di depan mata mereka!
    Kamu jangan tunggu sehingga semuanya terzahir oleh Allah baru nak beriman.
    Itu adalah kepercayaan & keimanan yang tidak tidak ada guna & faedah lagi!
  1. Ayat 53- {….. maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?”}-

    Puak kafir apabila melihat semua tanda ini di depan mata mereka, mula mencari-cari siapa yang boleh beri pertolongan kepada mereka!
    Mereka ingat perbuatan syirik mereka tehadap Allah dulu di mana mereka guna & anggap berhala, kuburan dan segala sembahan mereka sebagai perantaraan.
    Mereka ingat masih seperti keadaan mereka atas dunia, maka di Akhirat pun mereka masih mencari-cari siapakah orang tengah yang yang dapat menolong menyelamatkan mereka dari neraka.
    Kedua, jika tiada orang tengah boleh tolong mereka; minta hantar balik mereka ke dunia untuk hidup semula dan mereka berjanji untuk beriman, beramal soleh dan buat segala kebaikan!
    Tetapi sebagaimana dalam ayat di atas tadi; Allah sudah tahu & nyatakan bahawa mereka ini jika hidup balik sekalipun akan tetap degil keras kepala mendustakan lalu tetap kafir, tidak beriman!
    Maka tiada faedah lagi, terus campakan mereka ke dalam neraka.
  1. Ayat 53- {… Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.}-

    Mereka telah merugikan diri sendiri dan apa yang mereka sangkakan atas dunia dulu telah lenyap belaka.
    Allah nyatakan bahawa hujjah yang dibawa & dimainkan oleh orang kafir itu amat lemah & tiada faedah apa umpama sarang labah-labah!
    Allah telah nyatakan sarang labah-labah sebagai rumah yang paling hina & rapuh serta tidak kekal.
    Tolak dengan angin atau jari sahaja akan rosak dan tercabut.
    Tiada siapa yang dapat menolong mereka, mereka tidak akan dihantar balik hidup di dunia, maka yang ada hanyalah kerugian yang besar & penyesalan yang tiada guna.
    Orang beriman juga akan menyesal kelak, menyesal kerana tidak banyak pahala dan tidak banyak amal ibadatnya!
    Orang suruh bangun solat sunat tak bangun, suruh sedekah tak buat, suruh buat lain-lain amal kebaikan juga malas.
    Maka menyesallah kerana tak banyak amalan!

Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs