View Categories

(20) Surah Al-A’raf : Ayat 54

Allah SWT Menciptakan Langit Dan Bumi 6 Hari, Beristiwa’ Atas Arasy & Mencipta Cakerawala.

Full video : https://youtu.be/XIDrF5SrjNY?si=AfVuSYLE3lvU_Eo9

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan satu ayat sahaja iaitu ayat 54 dalam juzuk kelapan.
  1. Alhamdulillah pada hari ini Allah kabulkan doa kita untuk sampai kepada bulan Ramadhan ini.
    Kita berdoa sekali lagi agar Allah berikan kepada kita semangat & istoqomah untuk tingkatkan ibadat & jangan buang masa dengan sia-sia pada musim ibadat ini.
  1. Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kekuasaan-Nya serta isbatkan Ketuanan (الربوبية) & Ketuhanan-Nya (الألوهية) dalam menciptakan makhluk & memberi arahan.
    Dinyatakan Allah SWT menciptakan langit dan bumi dalam 6 hari atau 6 masa.
    Kita lihat dalam perbahasan nanti.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa Allah beristiwa’ atas Arasy.
  1. Dinyatakan juga kekuasaan Allah SWT dalam mencipta cakerawala iaitu segala makhluk di langit seperti matahari, bulan dan bintang-bintang, planet dan segalanya.
    Semua itu untuk memudahkan urusan manusia yang hidup atas dunia ini sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini insya’ Allah.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam al-Quran ini isu utamanya ialah tentang tauhid, kenabian para nabi, kebangkitan semula selepas mati & qadha’ dan qadar.
    Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan isu bahawa kita semua ini akan hidup semula, bangkit untuk perhitungan serta Allah bawa peristiwa yang berlaku antara ahli neraka & ahli syurga dengan Ashabul A’raf orang yang duduk atas tembok antara keduanya.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa semula dalil perbincangan tentang keesaan Allah SWT, sempurna-Nya kuasa & ilmu Allah.
    Untuk menguatkan dalil & hujjah atas:
    Ketuanan (الربوبية) Allah sebagai Pencipta, Pemilik & Pentadbir alam ini.
    Dan Ketuhanan-Nya (الألوهية), hanya Allah yang berhak dipuja, dipuji disembah & diminta pertolongan, tidak kepada yang lain.
    Serta bahawa kita semua ini akan kembali kepada Allah SWT.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 54- {SESUNGGUHNYA TUHAN KAMU IALAH ALLAH YANG MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DALAM ENAM MASA LALU IA BERSEMAYAM DI ATAS ARASY;…} (AL-A’RAF 7:54)

  1. Allah menyatakan bahawa sesungguhnya Tuhan kamu { رَبَّكُمُ} iaitu tuan kamu, pencipta kamu, pentadbir, pengatur usursan kamu & pemilik kamu; adalah Allah SWT.
  1. Siapakah Allah itu? Iaitu Tuhan yang berhak kita ibadat kepada-Nya sahaja, hanya Allah yang kita sembah.
    Tuhan yang telah mencipta langit & bumi dalam 6 hari atau 6 masa.
  1. Nota 211: Ayat ini & ayat berikutnya menerangkan tentang kekuasaan, keEsaan & kemurahan Allah SWT untuk mengingatkan manusia agar menyembah-Nya & taat kepada-Nya.
  1. Kita petik kata-kata ulama’ muktabar tentang tafsir 6 hari ini:
    i- Kata Ibnu Kathir : Enam (6) hari ini ialah Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis & Jumaat. Hari Sabtu tiada penciptaan kerana ia hari ketujuh, hari putus.
    Hari Sabtu hari cuti, hari tak buat kerja menurut riwayat israiliyyat.

    ii- Kata Syeikh Syanqiti : Para ulama’ mengatakan enam hari ini ialah enam masa kerana pada waktu itu masih belum ada hari, kerana matahari belum ada.
    Tidak ada & tidak dikenali lagi nama hari.
    Tetapi walaupun begitu pastilah Allah SWT sudah tahu tentang hari & tempoh masa.
    Satu masa atau hari itu pula berapa lama?
    i- Ada ulama’ kata : Satu masa itu seperti yang tersebut dalam al-Quran, iaitu satu hari di sisi Allah bersamaan 1000 tahun manusia.

    ii- Kata ulama’ lain pula : tidak, sama saja satu hari itu adalah 24 jam seperti hari kita ini.

    iii- Kata Ibnu Asyur pula : Zahir yang kita faham dari ayat ini, hari adalah apa yang kita kenal darinya ini.
    Apa yang pasti wallahu a’lam, ilmu itu hanya Allah yang tahu.
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan beberapa firman Allah SWT ini:
      i- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan.} (Yunus 10:3)

      ii- {Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?
      Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.} (As-Sajdah 32: 4-5)
    1. Kemudian Allah bersemayam (beristiwa’) di atas Arasy; yakni:
      i- Menurut cara-cara yang layak bagi Zat-Nya. Kita tidak layak & tidak ada hak dan kemampuan untuk berfikir akan Zat Allah.
      Kerana Allah Maha Suci daripada apa yang kita fikir dan fahamkan.

      ii- Allah beristiwa’ sebagaimana cara layak bagi-Nya.
      Jangan kita bayangkannya, bandingkan dan menyamakan-Nya dengan makhluk atau mandulkan makna ayat itu, kita tak boleh katanya.
    1. Pagi ini kita akan petik dari Kitab Tafsir al-Munir oleh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili. Kitab ini nukilkan beberapa pandangan para ulama’ yang terdahulu darinya seperti:
      Terdapat dua pendekatan dalam isu istiwa’ ini:.
      i- Imam Ibnu Kathir berkata :
      a- Pendekatan ulama’ Salaf, mereka baca ayat, mereka beriman, kemudian serahkan urusan ini kepada Allah SWT sebagaimana Imam Malik, al-Auza’i, ath-Thauri, al-Laith, Imam Syafe’i, Imam Ahmad dan lain-lain, iaitu kita baca dan beriman sebagaimana yang Allah sebut tanpa cuba cuba cari bagaimana, jangan samakan dengan makhluk dan jangan sesekali mandulkannya!
      Jika ada orang yang cuba menyamakan Allah dengan makhluk maka itu tidak boleh dipakai kerana Allah tidak sama dengan makhluk (مخالفته للحوادث).
      Allah sendiri telah sebut dalam al-Quran tentang kaedah ini dengan firman-Nya:

      {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)- لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ}
      (Asy-Syura 42:11)

      b- Isu ini sebagaimana kata imam-imam yang besar seperti Nu’aim bin Ḥammad al-Khuza’i al-Marwazi (Syeikh kepada Imam Bukhari), sesiapa yang menyamakan Allah dengan makhluk maka dia telah kufur.
      Sesiapa yang ingkar untuk apa yang Allah sebut tentang Zat-Nya, dia juga telah kufur. Maka kita beriman sebagaimana yang Allah sebut!
      Tidak ada apa yang Allah sifatkan untuk Zat-Nya dan apa yang disifakan oleh Nabi-Nya yang menyamai makhluk.
      Sesiapa yang mengisbatkan bagi Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang jelas & hadis Nabi SAW yang sahih, mengikut cara yang layak bagi Allah dan kita menafikan segala sifat kekurangan bagi Allah; maka dia telah mengambil jalan petunjuk!
      [Tafsir Ibnu Kathir , Jilid 3, ms 426-427.]
    1. Alhamdulillah kita rasa senang apabila kita berpagang sebagaimana yang dihuraikan oleh ulama’ salaf.
      Datang pula kumpulan kedua yang cuba mentakwilkan ayat ini kerana takut orang keliru. Tetapi kita kata jika dihuraikan sebagaimana ulama’ salaf, insya’ Allah tidak ada kekeliruan dalam masalah ini.

    AYAT 54- {….IA MELINDUNGI MALAM DENGAN SIANG YANG MENGIRINGINYA DENGAN DERAS (SILIH BERGANTI) DAN (IA PULA YANG MENCIPTAKAN) MATAHARI DAN BULAN SERTA BINTANG-BINTANG, (SEMUANYA) TUNDUK KEPADA PERINTAHNYA….} (AL-A’RAF 7:54).

    1. Yakni Allah tutup malam dengan siang dan malam pula ditutup dengan siang.
      Keduanya silihberganti dengan laju & tepat mengikut waktu jadualnya kerana bumi yang sentiasa berpusing dengan deras di atas paksinya sebagaimana yang telah ditetapkan Allah Azza wa Jalla.
    1. Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:

      {Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
      Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;
      Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya , (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
      (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.} (Ya Sin 36: 37-40)
    1. Allah juga telah mencipta 3 makhluk yang besar ini; matahari, bulan & bintang.
      Semua mereka ini tunduk patuh kepada perintah Allah SWT untuk kegunaan manusia!
    1. Firman Allah SWT :
      {Dan ia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.} (Al-Nahl 16:12)

    AYAT 54- {… INGATLAH, KEPADA ALLAH JUALAH TERTENTU URUSAN MENCIPTAKAN (SEKALIAN MAKHLUK) DAN URUSAN PEMERINTAHAN.}

    1. Allah telah menegaskan lagi tentang dua perkara di sini;
      i- Ingatlah Allah yang mencipta segala makhluk, urusan penciptaan makhluk dibawah kuasa Allah.
      Yakni Allah ada sifat menciptakan, Dia-lah yang mencipta semua makhluk, Pemilik-Nya, Pentadbir yang menyusun aturnya, mentadbirnya.

      ii- Serta Allah perintahkan hamba-Nya dengan apa yang Dia nak.
      Perintah Allah ini pula ada dua jenis iaitu:
      – أوامر الله الكونية & أوامر الله الشرعية.
    1. Perbezaan antara dua jenis arahan Allah ini:
      i- Arahan penciptaan alam, (أوامر الله الكونية) arahan ini tiada siapa boleh ingkar atau lawan, seperti penciptaan makhluk, penurunan hujan, Allah suruh kemarau maka kemaraulah.

      ii- Arahan Syari’ah (أوامر الله الشرعية), sepatutnya tidak boleh ingkar tetapi ada makhluk yang ingkarnya!
      Allah suruh semua manusia beriman & taat tetapi ada juga yang derhaka & ingkar kerana di depan kita = ada syurga & neraka.
    1. Firman Allah SWT :

      {Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.} (Al-Qasas 28:68)

    AYAT 54- {… MAHA SUCI ALLAH YANG MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM.} (AL-A’RAF 7:54)

    1. Maha Suci & Agung Allah yang kita sembah. Dia suci & bersih daripada sebarang kekurangan & cacat-cela.
    1. Perkataan (تَبَارَكَ) dengan makna banyaknya keberkatan & kebaikan yang Allah sediakan untuk hamba-Nya.
    1. Allah juga Pencipta,Pemilik, Penyusun & Pentadbir bagi seluruh makhluk & seluruh alam ini!
    1. Firman Allah SWT :

      {Maha Sucilah nama Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.} (Ar-Rahman 55:78)
    1. Kita kena tahu, sedar & insaf bahawa Allah Yang Maha Agung, Kaya, Tingi dan Besar telah mencipta alam ini dan segala isinya yang mengandungi alat-alat untuk kegunaan manusia.

    PENUTUP & FAEDAH :

    1. Ayat 54- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi….}-

      Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah.
      Dalam ayat ini Allah guna perkataan Tuhan kamu (رَبَّكُمُ) untuk menunjukkan betapa Allah itu Tuhan kita yang sebenarnya.
      Allah nak suruh kita sayang, cinta dan sembah Allah, Dia nyatakan siapa yang mencipta kita, beri nikmat, rahmat & rezeki; jadi kenapa kita nak cari Tuhan yang lain untuk disembah.
      Macam kita dengan ibu bapa kita, yang melahirkan dan membesarkan dengan penuh kasih sayang dan jagaan, kemudian kita cari orang lain untuk disayangi & dihormati, apakah logik dan patut???
      Yakni Allah itu tuhan kita, (رَبَّكُمُ), yang menciptakan dan memberi segala nikmat yang tidak terhingga.
      Allah yang wajib kita sayangi, taati; mengapa mencari tuhan yang lain lagi?
    1. Ayat 54- {Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa…}-

      Allah kata Dia cipta langit dan bumi dalam tempoh enam hari.
      Ada ulama’ tafsir kata enam hari itu bermaksud enam masa.
      Sebagaimana yang telah kita bincangkan di atas berdasarkan Tafsir Ibnu Kathir enam hari yang bermula dari Ahad sehingga Jumaat.
      Persoalan:
      Apakah hikmahnya Allah cipta langit & bumi dalam masa 6 hari.
      Apakah hikmahnya?
      Sedangkan Allah berkuasa untuk menjadikan semuanya sekaligus sahaja dalam sekelip mata, kun, fayakun!
      Jawapan:
      Allah buatnya secara perlahan ada hikmah yang besar, susun atur yang teliti kerana Allah nak ajar & didik kamu wahai manusia agar jangan gopoh dan perlu berdisiplin.
      Ini kerana setiap perkara & benda ada tempoh & waktunya yang tersendiri!
      Kita ini kadang-kadang mahu setiap perkara itu berlaku segera, jangan begitu, sedangkan Allah buat alam ini dalam enam waktu!
      Takkanlah hantar anak sekolah hari ini esok nak suruh pandai dah!
      Inilah hikmah dari sudut pendidikan & tarbiyah agar sabar, jangan gopoh! kita buat pelan-pelan jangan lorat & gaduh.
    1. Ayat 54- {… lalu Ia bersemayam di atas Arasy;}-

      Allah sebut bahawa Allah beristiwa’ atas Arasy.
      Tadi kita sudah bahaskan dan bawa pandangan-pandangan dari kalangan ulama’ Salafus-Soleh.
      Untuk lebih jelas sila lihat Kitab Tafsir al-Munir, Jilid 8 ms- 601.
      Antaranya ulama’ membincangkan kenapa disebut khas atas Arasy:
      Ini kerana Arasy itu adalah makhluk-Nya yang paling besar sekali.
      Pandangan ulama’ Salaf bahawa Allah beristiwa’ atas Arasy adalah sebagaimana yang disebut-Nya; bagaimana caranya adalah tidak diketahui!

      Sebagaimana kata Imam Malik juga: Istiwa’ itu adalah sesuatu yang dimaklumi, bagaimana caranya adalah tidak diketahui (majhul). Bertanya bagaimana caranya adalah sesuatu yang tidak baik (bid’ah).
      Ada satu kumpulan pula yang tidak mahu cakap panjang (kumpulan mutakallimin) maka dia menakwil bahawa istiwa’ itu adalah istaula iaitu memerintah.
      Perbahasan ini panjang maka huraian para ulama’ salaf itulah yang terbaik kerana mereka yang duduk bersama Rasulullah SAW yang tidak menakwil pun ayat ini.
      Kita kata wallahu a’lam.
      Jangan sampai perbincangan tentang sifat Allah SWT boleh menimbulkan polemik & perbalahan.
      Kita belajarlah dan ambil tahu tentang kedua-dua pandangan ini.
      Hati-hatilah pihak permintah, pihak yang berkuasa agar umat Islam tidak terkeluar dari pandangan ahli Sunnah, kita buka minda & perbincangan jangan buat akta yang menyempitkan.
    1. Ayat 54- { Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan…}-

      Di sini ada dua sifat Allah, menciptakan makhluk semua dan menguruskan serta arahan pemerintahan adalah hak milik Allah.
      Di sini kita lihat kepada perbahasan yang menarik!
      Sekali lagi kita petik dari Tafsir al-Munir.
      Bagi Allah ada dua perkara iaitu:
      Pencipta dan Arahan (الأمر)
      Ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT benar dalam segala perkara.
      Bagi-Nya Penciptaan makhluk & arahan,
      {ٱلْخَلْقُ وَٱلْأَمْرُ}
      Allah cipta & Allah perintah.
      Kata Sufyan bin Uyainah : Terdapat perbezaan dalam penciptaan & arahan.
      Siapa yang kata ianya sama adalah salah.
      i- {ٱلْخَلْقُُ}- adalah makhluk yang Allah cipta.
      ii- {وَٱلْأَمْرُ}- arahan Allah, Kalamullah bukan makhluk.
      Kerana itu sesatnya pihak golongan yang mengatakan al-Quran itu makhluk.
      Ini kerana ia adalah Kalamullah, Allah SWT berkata-kata denganya al-Quran.
      Bila Allah nak berkata itu adalah kuasa Allah!
      Ini adalah dalil menunjukkan betapa fasiq & sesatnya mereka yang mengatakan al-Quran itu adalah makhluk!
    1. Ayat 54- {…. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.}-

      Inilah sifat Allah yang Maha Tinggi Yang Maha Agung Yang Maha Berkuasa.
      Allah memberi peringatan kepada kita bahawa segala kebaikan & keberkatan itu adalah daripada anugerah & nikmat Allah.
      Jika kita senang, kita kaya, kita sihat wajib kita syukur kepada Allah & jika kita susah itu kerana Allah nak uji kita, itu urusan Allah.
      Allah uji hamba-Nya dengan dua sebab:
      i- Jika orang baik, kerana nak angkat darjat lebih tinggi lagi.

      ii- Jika orang tak baik, untuk hapuskan dosa & supaya mereka sedar insaf lalu bertaubat.
      Kata Allah maha berkat kenapa beri aku susah? Bukan begitu, susah atau senang ada hikmahnya yang tersendiri yang wajib kita tahu & belajar, insya’ Allah.
      Tahniah!
      Alhamdulillah tahniah untuk semua kerana selamat menerima Ramadhan.
      Kita berazam untuk jaga apa yang masuk dalam mulut kita dengan tak makan tak minum serta dalam masa yang sama jaga juga agar jangan keluar dari mulut kita perkataan buruk & perbuatan yang keji atau dusta.
      Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

      مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
      Maksudnya:“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. [HR al-Bukhari, no. Hadith 1770, 5597]
      Kita berpuasa pada siang hari, banyakkan berzikir, baca al-Quran serta qiyam bersolat sehingga selesai bersama imam pada waktu malamnya.

    Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!

    Wallahu A’lam.

    Powered by BetterDocs