JANGAN DUDUK BERSAMA GOLONGAN MENGHINA AGAMA, BERILAH PERINGATAN KEPADA MEREKA & PEMBALASAN DI AKHIRAT.
Full video : https://youtu.be/oAGBcpOWX10?si=WXNvvCak_dVoRwAZ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 68 sehingga 70.
- Dalam siri ini Allah SWT melarang Nabi SAW & umat Islam agar jangan duduk bersama golongan yang menghina agama.
- Kemudian berilah peringatan kepada mereka bahawa apa yang mereka buat itu salah dan akan dihisab oleh Allah SWT nanti.
- Seterusnya mereka akan mendapat pembalasan; jika terlepas di dunia ini pasti tidak akan terlepas di akhirat.
Tidak akan dapat lari lagi pada hari pembalasan!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa kaum Nabi SAW sendiri yang menentangnya.
Maka Allah suruh Nabi SAW jangan hiraukan & berpaling dari mereka. Tidak perlu mencurah usaha untuk mereka lagi.
ii- Kemudian Allah bawa dalam ayat ini ada lagi sekumpulan manusia yang mempermainkan, hina agama dan perli Nabi SAW.
Maka jangan kamu duduk bersama dalam majlis itu, keluar tinggalkannya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 68- {DAN APABILA ENGKAU MELIHAT ORANG-ORANG YANG MEMPERKATAKAN DENGAN CARA MENCACI ATAU MENGEJEK-EJEK AYAT-AYAT KAMI, MAKA TINGGALKANLAH MEREKA SEHINGGA MEREKA MEMPERKATAKAN SOAL YANG LAIN; DAN JIKA ENGKAU DILUPAKAN OLEH SYAITAN (LALU ENGKAU DUDUK BERSAMA MEREKA), MAKA JANGANLAH ENGKAU DUDUK LAGI BERSAMA-SAMA KAUM YANG ZALIM ITU, SESUDAH ENGKAU MENGINGATI (AKAN LARANGAN ITU).} (AL-AN’AM 6:68)
- Jika kamu dapati wahai Muhammad SAW (dan umatnya), ada orang mempermainkan agama, perli Islam, mengejek ayat-ayat Allah atau hina Nabi SAW, mendustakan al-Quran atau lain-lain perbuatan yang menyalahi kebenaran; maka bangun tinggalkan mereka, jangan duduk dalam majlis itu lagi!
Walaupun niat asal kamu adalah untuk berdakwah atau menyampaikan kebenaran atau mencari ilmu!
Biasa yang mengejek agama ini ialah puak munafiqin.
- Firman Allah SWT juga tentang ini:
Maksudnya:
{Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.} (An-Nisa’ 4:140)
- Tinggalkan mereka sehingga mereka bercakap tentang hal lain atau jika tidak seolah kamu juga bersama mereka menghina Islam, turut terlibat dengan perbuatan buruk mereka! Bahaya besar bersama orang yang hina agama ini!
- Tetapi jika syaitan membuatkan kamu lupa dan lagha lalu tanpa sedar kamu bersama dalam majlis itu, kemudian kamu sedar & ingat segeralah bangun keluar dari majlis itu atau meninggalkan grup kumpulan yang kita ada di dalamnya!
Janganlah kamu bersama orang yang zalim!
- Jika kamu tahu perbuatan mereka itu salah, kamu mesti ingkarinya, tegur dan nasihat jika mampu, jika tak dengar juga kamu wajib keluar tinggalkan majlis atau kumpulan itu!
Jika tidak kamu juga seolah ikut sama berbuat seperti mereka itu lalu berdosa sekali dengan mereka!
AYAT 69- {DAN TIDAKLAH ADA TANGGUNGJAWAB SEDIKITPUN ATAS ORANG-ORANG YANG BERTAQWA MENGENAI DOSA ORANG-ORANG (KAFIR YANG MENGEJEK-EJEK) ITU, AKAN TETAPI (KEWAJIPAN ORANG-ORANG ISLAM) IALAH MENGINGATI (LARANGAN ALLAH ITU) SUPAYA MEREKA BERTAQWA.} (AL-AN’AM 6:69)
- Jika kita dah tegur, dah beri nasihat dan tinggalkan kumpulan mereka itu, maka lepaslah tanggungjawab kita; kita tidak akan ada kaitan lagi dengan perbuatan & dosa mereka yang mengejek agama itu!
- Allah SWT tidak mempersalahkan kita yang tidak bersalah, cuma tersilap pada awal, pergi masuk atau duduk bersama circle mereka!
Kemudian apabila sedar kita dengan segera keluar meninggalkannya!
- Atas dunia ini sukalah boleh mengata dan mengejek orang, melabel dan menuduh orang tanpa hak, tetapi ingat setiap perkara yang kita buat, poster yang kita pangkah, berita palsu yang kita share; kita akan di pertanggungjawab di Akhirat kelak.
- Yakni Allah kata orang baik-baik, orang yang bertaqwa, jika mereka tinggalkan majlis yang batil itu mereka tidak akan pertanggungjawabkan!
Tetapi mereka kena beri peringatan!
- Iaitu kewajipan orang Islam adalah mengingatkan larangan itu supaya mereka bertaqwa.
Wajib kita berdakwah, wajib kita nyatakan apa yang mereka buat itu tidak benar, palsu & tidak ada fakta!
Sedarkan bahawa apa yang mereka buat itu salah, tuduhan yang mereka buat itu palsu dan lain-lain.
- Satu kepelikan zaman netizan hari ini, apabila seseorang kena tuduh, dia yang kena bersihkan diri dia, kena buktikan bahawa dia tidak bersalah, tuduhan itu palsu tidak benar!
SEDANGKAN dalam Islam orang yang membuat tuduhan kena buktikan bahawa tuduhannya itu benar bukan palsu.
- Sabarlah kita duduk di mana tempat kita boleh duduk.
Dunia ini hanya sementara pada hari Kiamat kelak hari yang akan terbuka segala rahsia.
Kita berpeganglah dengan kebenaran yang kita yakin iaitu al-Quran & Sunnah Nabi SAW!
AYAT 70- {DAN JAUHKANLAH DIRI DARI ORANG-ORANG YANG MENJADIKAN AGAMA MEREKA SEBAGAI PERMAINAN DAN HIBURAN, DAN MEREKA PULA TELAH DIPERDAYAKAN OLEH KEHIDUPAN DUNIA DAN PERINGATKANLAH (MEREKA) DENGAN AL-QURAN ITU SUPAYA TIAP-TIAP DIRI (DI AKHIRAT KELAK) TIDAK TERJERUMUS (KE DALAM AZAB NERAKA) DENGAN SEBAB APA YANG IA TELAH USAHAKAN (DARI PERBUATAN YANG BURUK DAN KEJI)….}
- Allah SWT perintahkan Nabi SAW untuk tinggalkan dan jauhkan diri daripada orang yang mempermainkan agama, yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan.
- Apakah maksudnya menjadikan agama mereka sebagai: {permainan dan hiburan- لَعِبًۭا وَلَهْوًۭا }
ini pula.
Antara tafsir ulama’ tentang maksud firman Allah ini:
i- Kata Ibnu Atiyah : Maksud perkataan ini {لَعِبًۭا وَلَهْو}: Mereka beri’tiqad tiada kebangkitan semula.
Maka mereka pun bertingkah ikut nafsu syahwat mereka; nak mabuk minum arak, nak hilang syahwat berzina, nak kedudukan dunia buat apa saja tanpa sekatan & peraturan.
ii- Kata Ibnu Asyur pula : Mereka jadikan undang-undang agama ini sebagai bahan lawak untuk mereka perli, hina & suka-suka.
Antara permainan mereka ialah pada musim tertentu mereka berjoget dekat berhala.
Agama mereka ialah agama tepuk tangan, bersiul, melompat, bergendang dan seumpamanya.
Puak kafir menjadikan agama itu sebagai permainan & hiburan!
Inilah antara tafsir ulama’, mereka menjadikan agama itu sebagai {لَعِبًۭا وَلَهْو}.
- Kita jangan buat agama begini, jangan ikut mainan puak kafir menjadikan agama sebagai hiburan & permainan!
Islam agama yang suci, wahyu dari Allah SWT!
Bukan sekadar hiburan, bolehlah sikit-sikit bernasyid berlagu jika dalam majlis perkahwinan atau pengembaraan.
Tetapi bukan sepanjang masa hatta dalam majlis ilmu atau ibadat pun nak bergendang juga, tidak!
- Agama kita ini kita baca al-Quran & tadabbur, belajar hadis Nabi SAW serta memahaminya untuk beramal dengannya.
Bukan hanya sebagai acara keagamaan dan hiburan yang tidak sepatutnya!
- Kemudian Allah suruh Nabi SAW ingatkan manusia dengan al-Quran ini.
Kepada mereka yang dok main-mainkan ayat-ayat Allah samada puak kafir atau musyrikin supa mereka masuk Islam & ikut al-Quran.
- Ini supaya kamu tidak dicampakkan ke dalam azab neraka di Akhirat kelak.
Iaitu pada hari yang tiada orang yang akan selamat daripada api neraka, tiada orang yang bahagia kecuali yang mendapat pertolongan Allah SWT!
AYAT 70- {… TIDAK ADA BAGINYA PELINDUNG DAN TIDAK JUGA PEMBERI SYAFAAT YANG LAIN DARI ALLAH. DAN JIKA IA HENDAK MENEBUS (DIRINYA) DENGAN SEGALA JENIS TEBUSAN, (NESCAYA TEBUSAN ITU) TIDAK AKAN DITERIMA DARIPADANYA. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG DIJERUMUSKAN (KE DALAM AZAB NERAKA) DENGAN SEBAB APA YANG TELAH MEREKA USAHAKAN. BAGI MEREKA DISEDIAKAN MINUMAN DARI AIR PANAS YANG MENGGELEGAK, DAN AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA, DISEBABKAN MEREKA KUFUR INGKAR (SEMASA HIDUPNYA).} (AL-AN’AM 6:70)
- Yakni selain daripada Allah tiada siapa yang dapat menyelamatkan kamu dari azab neraka, selain daripada Allah tiada siapa yang dapat memasukkan kamu ke dalam syurga!
Kita masuk dalam syurga dengan izin & rahmat Allah!
- Mereka juga tidak akan dapat menebus diri mereka dengan apa juga sekalipun!
Mereka juga tidak memiliki apa-apa lagi untuk menjadi tebusan, bahkan jika ada sebutir bumi untuk ditebus sekalipun Allah tidak akan terimanya!
- Ayat ini ditafsir dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya:
{Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.} (Ali-‘Imran 3:91)
- Mereka akan diseret ke dalam neraka sebagai balasan atas kejahatan yang mereka buat atas dunia ini.
Bagi mereka minuman yang panas menggelegak dan azab yang pedih yang tidak terperi dahsyatnya akibat kekufuran mereka di dunia dulu!
- Allah akan tempelak mereka di Akhirat kelak; Aku hanya minta dengan kamu sedikit sahaja iaitu untuk mengucap kalimah syahadah {لَا إِلَهَ إِلَّا الله}, ikut al-Quran ikut Sunnah tidak perlu tebus-tebus lagi di Akhirat!
- Di akhir ayat Allah kata: Mereka itulah orang yang dijerumuskan ke dalam neraka sebagai balasan dengan apa yang mereka kufur atas dunia ini. اَللهم أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ “Ya Allah, selamatkan kami dari azab neraka”.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 68- {Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain;…}-
Apabila engkau lihat orang yang mempermainkan agama; tidak kira orang kafir tulen atau munafiq, jangan duduk bersama mereka, jangan diam tetapi kena lawan.
Allah perintahkan jika kamu melihat orang mempermain dan menghina agama, kamu jangan duduk bersama mereka, jika tidak kamu dikira bersama mereka & meredhai perbuatan mereka itu!
Jangan buat main atau ambil mudah dengan golongan ini!
Dalam al-Quran Allah cela mereka ini sebagai golongan {الخوض} yang bercakap tanpa guna otak, berkata dengan tak tahu apa!
Itu orang kafir’.
Tetapi begitu juga sesama Islam kadang-kadang kita bercakap tak tau apa, telah share dan sebar poster & fitnah yang orang buat tanpa kita pasti kebenarannya!
Di Akhirat kelak kamu akan di pertanggungjawabkan.
- Ayat 68- {… dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).}-
Jika kamu bersama mereka tanpa sengaja, tidak tahu atau lalai akan perbuatan mereka itu pada awalnya!
Andai kamu digangu atau dilupakan oleh syaitan, manusia begitulah ada lupa ada lalai!
Tetapi apabila kamu dah sedar jangan tunggu lagi, jangan duduk bersama mereka lagi, terus keluar tinggalkan majlis itu.
Kata ulama’ : Orang lupa dimaaf tetapi tetap di pertanggungjawabkan dengan perbuatan atau perkataannya.
Contoh orang tersilap atau lupa; lalu ambil barang orang lain, tidak berdosa tetapi dia kena pulangkan balik barang itu atau menggantikannya jika telah tiada kerana sebabnya!
Kata ulama’ tadabbur : Lengkap arahan ini bukan kata untuk orang syirik dan kafir saja; jika dalam grup atau majlis batil yang mengumpat atau mengutuk orang atau dia sendiri buat perkara haram dalam haram itu, maka tidak boleh lagi kita hadir sekali bersama mereka, tinggalkan.
Yakni jika betul kamu nak selamatkan diri jangan duduk lagi bersama dalam grup, dalam majlis orang yang begini.
Jangan buat alasan malu dan segan nak keluar, jika tidak kamu akan dikira bersengkokol dengan mereka yang main-main dengan agama!
Atau yang main-main sukakan teori-teori seperti circle Imam Mahadi, teori konspirasi Kiamat dan lain-lain, tinggalkan semua kerana ia boleh membawa kepada kesesatan.
- Ayat 69- {… akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa.}-
Ayat ini menjadi dalil, jika duduk dalam majlis yang tak baik itu, lalu kita beri nasihat dan didengari, boleh kita terus bersama mereka!
Tetapi jika nasihat kita itu tidak dihiraukan, tidak didengar maka kena tingalkan kumpulan itu!
Antara sifat orang muttaqin ialah menegur memberi nasihat akan perbuatan yang salah!
Bukan terus duduk bersama mereka dan menjadi syaitan bisu!
Kewajipan orang yang muttaqin ialah memberi peringatan & nasihat, tetapi nasihat pun kita tengok juga kerana tujuan beri nasihat itu supaya mereka bertaqwa!
Jika nasihat kita boleh membuatkan mereka bertambah ganas, maka tinggalkan mereka, kita beri nasihat kepada orang yang boleh dapat manfaat!
Jangan buang masa & tenanga kita untuk orang yang degil tidak mahu dengar!
Baik kita mencurah tenaga & usaha kita kepada orang yang boleh mendapat manfaatnya.
Di mana bumi subur di situ benih ditabur.
- Ayat 70- {Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan…}-
Allah kata tinggalkanlah, jauhkan diri daripada orang yang mempermainkan agama!
Mempermainkan agama ada dua jenis kata ulama’ tadi:
i- Mereka mempersenda dan memerli main agama.
ii- Mereka jadikan agama itu sebagai mainan & hiburan, bersorak tepuk, bertempik siul, menyanyi berjoget dan seumpamanya.
Kita dalam agama ini kita cari yang ada dalil & yang ada Sunnah baru kita jadikannya sebagai amalan kita!
Kerana itu kata para ulama’ orang yang permainkan agama ini banyak macam:
i- Jika bermain dengan benda ghaib ia telah menyentuh bab aqidah.
ii- Jika bermain dengan undang-undang Islam seperti solat atau zakat ia telah mempermainkan rukun agama!
iii- Menentang bab akhlak baik yang dianjurkan agama seperti dalam bab pakaian menutup aurat, menjaga martabat wanita ini juga telah menyentuh prinsip agama.
Maka Allah kata tinggalkan mereka jika tidak kita juga akan dikira bersama mereka!
- Ayat 70- {Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).}-
Allah beri tugas kepada kita; kita kena jadikan al-Quran ini sebagai model, sebagai alat sebagai contoh untuk diberi peringatan kepada manusia!
Jika kita nak selamatkan diri; kita wajib berpegang dengan al-Quran & pasti juga dengan Sunnah Nabi SAW!
Kerana hanya dua jalan ini yang selamat atas dunia ini manakala yang lain, semua akan membawa kepada kebinasaan!
Allah juga kata di Akhirat kelak tiada siapa dapat menolong diri kamu serta tidak akan dapat menebus diri lagi.
Allah bukan meminta emas perak, harta permata atau saham sebagai tebusan diri kamu; Allah hanya minta agar kamu menebus diri kamu daripada neraka dengan mengucap dua kalimah syahadah dan melaksanakan undang-undang, beramal dan beriman dengan rukun iman!
Ya Allah matikan kami dalam iman, dalam husnul khatimah, di Akhirat kelak berada di bawah panji Nabi SAW dan akhirnya masuk ke dalam syurga yang Allah telah janjikan!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini semoga memberi manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.