Kisah Nabi Syu’aib AS, Kaumnya Banyak Melakukan Penipuan Sukatan Dan Timbangan & Menyekat Orang Dari Ikut Syu’aib.
Full video : https://youtu.be/H8kNySG9SzA?si=2usBLP-ZokxMro4D
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 85 sehingga 87 dalam juzuk kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT nyatakan kisah Nabi Syu’aib AS, selain berdakwah kaumnya kepada tauhid kepada Allah, terdapat juga isu kemasyarakatan yang dihadapinya.
- Iaitu kaumnya melakukan penipuan dalam muamalat, banyak menipu dalam sukatan dan timbangan lalu dia menasihat & memberi amaran kepada mereka tentangnya.
- Penyakit atau perangai buruk mereka juga ialah nak menyekat orang dari ikut dakwah Nabi Syu’aib AS & menyekat orang dari kebenaran & kebaikan.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang kisah Nabi Lut dan kaum Sadum dengan isu mereka dari sudut fahisyah melakukan perkara keji.
Setiap kaum & masyarakat ada masalah & isunya masing-masing.
ii- Maka dalam kisah Nabi Syu’aib pula ialah tentang kaumnya yang suka melakukan penipuan dalam muamalat mereka sesama manusia.
Serta peranan syaitan yang apabila mencipta sesuatu penyakit, penyakit itu tidak akan mati walaupun di banteras seperti kaum Lut.
Syaitan yang tidak mati akan menghidupkan balik segala perbuatan buruk & penyakit itu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 85- {DAN KEPADA PENDUDUK MADYAN (KAMI UTUSKAN) SAUDARA MEREKA NABI SYUAIB. IA BERKATA: “WAHAI KAUM SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH, (SEBENARNYA) TIADA TUHAN BAGI KAMU SELAIN DARIPADANYA. SESUNGGUHNYA TELAH DATANG KEPADA KAMU KETERANGAN YANG NYATA DARI TUHAN KAMU. OLEH ITU, SEMPURNAKANLAH SUKATAN DAN TIMBANGAN, DAN JANGANLAH KAMU KURANGKAN BAGI MANUSIA AKAN BENDA-BENDA DAN PERKARA-PERKARA YANG MENJADI HAKNYA; DAN JANGANLAH KAMU BERBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI SESUDAH ALLAH MENJADIKANNYA (MAKMUR TERATUR) DENGAN SEBAIK-BAIKNYA. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:85)
- Allah ceritakan bahawa telah diutuskan Nabi Syu’aib kepada kaumnya iaitu penduduk Madyan.
Syu’ab ialah dari kaum dan kabilah mereka dan penduduk tempatan.
Kerana itu Allah kata diutuskan saudara mereka {أَخَاهُمْ}.
- Nabi Syu’aib menyeru kaumnya agar:
i- Menyembah Allah SWT & jangan sesekali syirik kepada Allah serta
ii- Jangan melakukan kerosakan atas muka bumi ini!
- Ini adalah kisah nabi-nabi yang kelima dalam seorang ini bermula dari Adam, Nuh, Hud & Lut.
Dakwah semua para nabi ini adalah satu iaitu menyeru tauhid kepada Allah & jangan menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
Nabi Syu’aib kata: Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu.
Tanda-tanda yang jelas ini ialah sama ada mukjizat yang Allah berikan kepadanya atau tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang menunjukkan kebenaran dakwah Nabi Syu’aib AS.
- Hadis – Sabda Nabi SAW :
“Tiada satu nabi kecuali telah diberikan mukjizat/bukti yang membuat manusia beriman.
Sesungguh Aku, diberikan wahyu. “Aku berharap akulah nabi yang paling ramai pengikutnya di hari akhirat.”
[HR Bukhari & Muslim].
- Selain berdakwah kepada tauhid , Nabi Syu’aib juga menegur & menasihati kaumnya agar sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan jangan kurangkan bagi manusia benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya.
- Iaitu Nabi Syu’aib menegur sikap kaumnya yang buruk dalam urusan jualan beli sesama manusia, mereka suka kurangkan timbangan apabila beri kepada orang dan lebihkan apabila ambil untuknya.
- Perangai buruk ini berterusan sehingga ke zaman ini.
Antara contohnya : Penjual air balang, atau jus apa saja, air hanya 1/5 manakala selebihnya penuh ais dalam gelas itu.
2-3 kali hirup habis jusnya yang tinggal hanya ais!!
Sedangkan niat kita nak beli air tu bukan ais!
Dibimbangi termasuk dalam perbuatan buruk ini!
- Firman Allah SWT :
{“Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.
“Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.} (Asy-Syu’ara’ 26: 181-182)
- Kata Syeikh ar-Razi RHM : Apabila Nabi Syu’aib melarang kaumnya dari menggurangkan sukatan & timbangan serta mengurangkan hak orang lain; larangan ini termasuk menggurangkan hak orang dalam semua sudut, termasuk juga merampas hak orang & mencuri hak orang, ambil rasuah, ambil hak orang dengan helah (tipudaya) dan seumpamanya.
- Al-Qurtubi pula berkata mengurangkan maksudnya termasuk juga beri tidak cukup termasuk jual benda rosak, aib atau tukar dengan sesuatu yang tidak senilai dengannya dan tipu dari sudut harga.
Menipu yang paling ketara zaman kita ini ialah :
i- Jualan secara online. Order khemah untuk manusia, yang sampai khemah muat untuk kucing sahaja!
ii- Testimoni barang belian yang menipu & diupah sehingga menjadikan orang terpengaruh untuk beli.
iii- Tipu dari segi harga, buka harga untuk lelong tapi upah atau berpakat dengan orang lain untuk angkat harga sehingga melambung tinggi harga daripada nilai sebenarnya!
{… DAN JANGANLAH KAMU BERBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI SESUDAH ALLAH MENJADIKANNYA (MAKMUR TERATUR) DENGAN SEBAIK-BAIKNYA. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AL-A’RAF 7:85)
- Nabi Syu’aib juga berpesan menasihat kaumnya agar jangan melakukan kerosakan atas bumi ini setelah Allah menjadikan susunannya teratur dan baik.
- Jangan buat kerosakan itu adalah:
i- Kamu jangan buat syirik, maksiat, perkara mungkar, menghidupkan bid’ah dan menzalimi manusia.
ii- Allah telah bawa kebaikan atas bumi dengan hantar para rasul & nabi, kemudian kamu rosakkan dengan buat perkara di atas itu.
- Sama juga dengan pemimpin terdahulu yang telah banyak buat kebaikan semasa pemerintahannya dengan menghapuskan perbuatan maksiat, amalan syirik & khurafat di kalangan masyarakat, baik pulih apa yang tak baik.
Tetapi malangnya selepas dia tiada, naik orang lain perhidupkan balik perkara lama yang telah dihapuskan dulu!
- Inilah yang dinamakan buat kerosakan selepas pembaikan!
Satu tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT kelak!
Bukan main susah orang itu nak baiki & buang kerosakan yang ada dan selepas dia berjaya kita pula bawa baliknya!!!
- Ini adalah sesuatu yang lebih baik bagi kamu jika kamu betul-betul beriman kepada Allah. Maka jangan dok buat perkara yang tak baik & karut ini!
AYAT 86- {“DAN JANGANLAH KAMU DUDUK PADA TIAP-TIAP JALAN LALU-LALANG, DENGAN MENAKUT-NAKUTKAN DAN MENGHALANGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DARI MELALUI JALAN ALLAH, DAN KAMU PULA MENGHENDAKI SUPAYA JALAN ALLAH ITU BENGKOK TERPESONG. DAN INGATLAH SEMASA KAMU DAHULU SEDIKIT BILANGANNYA LALU ALLAH MENJADIKAN KAMU KEMBANG RAMAI, SERTA PERHATIKANLAH BAGAIMANA AKIBAT ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEROSAKAN.} (AL-A’RAF 7:86)
- Kejahatan kaum Madyan ini juga ialah mereka duduk tunggu tengah jalan menyekat manusia dari mengikut dakwah Nabi Syu’aib.
Sama seperti puak Quraisy yang mahu menyekat dakwah Rasulullah SAW.
- Pada zaman kita juga begitu, ada yang menyekat pendakwah yang bawa kebenaran yang tak kena dengannya, semua ini adalah menyekat dari jalan Allah, kepada al-Quran & Sunnah.
- Mengikut kata Ulama’ : Mereka menyekat & tunggu di semua jalan yang boleh pergi & sampai kepada Nabi Syu’aib.
- Ada ulama’ kata : Maksudnya mereka menyekat di jalan untuk merompak harta manusia di tengah jalan (قطع الطريق).
Yakni segala kerosakan dari sudut aqidah, mu’amalah, hubungan dengan manusia semuanya punah!
- Mereka menyekat kebenaran ini kerana mereka mahu & suka agar agama Allah ini menjadi sesuatu yang boleh dipertikaikan.
Mereka juga mahu agama belot & bengkok seperti kehendak & nafsu mereka!
- Kemudian Allah ungkitkan bahawa mereka dulu adalah sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan mereka ramai dengan berkembang biak.
Tetapi tiada faedahnya bilangan mereka yang ramai ini jika mereka tidak beriman, melawan nabi & melakukan kerosakan atas muka bumi ini!
- Tidakkah kamu lihat dan ambil pengajaran; perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan atas muka bumi yang sebelum kamu!
Tidakkah Allah binasakan mereka semuanya dengan azab yang dahsyat!
Munasabah ayat ini Allah peringatkan akan nikmat-Nya kepada mereka kemudian ingatkan mereka agar jangan derhaka.
AYAT 87- {“DAN JIKA ADA SEGOLONGAN DARI KAMU BERIMAN KEPADA WAHYU (PERINTAH-PERINTAH ALLAH) YANG AKU TELAH DIUTUSKAN UNTUK MENYAMPAIKANNYA, DAN SEGOLONGAN LAGI TIDAK BERIMAN, MAKA SABARLAH SEHINGGA ALLAH MENJALANKAN HUKUMNYA DI ANTARA KITA SEMUA, DAN DIA LAH JUA SEBAIK-BAIK HAKIM”.} (AL-A’RAF 7:87)
- Jika berlaku pertembungan antara pihak yang beriman dengan dakwah yang dibawa oleh Nabi Syu’aib dengan mereka yang tidak beriman dan melakukan kerosakan, Allah kata sabarlah!
- Akan datang pertolongan dari Allah kepada nabi Nabi Syu’aib dan mereka yang beriman serta akan datang azab kebinasaan kepada mereka yang tidak beriman!
- Allah SWT adalah sebaik-baik Hakim atau Pemutus yang akan menjatuhkan hukuman antara orang mukmin & orang kafir.
Boleh jadi atas dunia ini kita lihat orang kafir itu kadang-kadang lebih kuat, lebih kaya, maju & canggih daripada orang Islam; tetapi kita ingatkah janji Allah yang akan menang akhirnya ialah orang yang beriman!
Biarkan mereka atas dunia yang sementara ini.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 85- {Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib…}-
Yakni Allah utuskan kepada kaum Madyan seorang nabi dari kaum mereka sendiri { أَخَاهُمْ} iaitu Nabi Syu’aib.
Nabi Nabi Syu’aib menyeru mereka dengan penuh kemesraan dan hubungan keluarga.
Kisah Nabi Nabi Syu’aib ini adalah kisah rasul yang kelima dalam Surah Al-A’raf ini.
Nama penuhnya ialah adalah Syuaib bin Mikeil bin Yasyjar dan ia masih keturunan Nabi Ibrahim AS dari puteranya, Madyan.
Dia adalah antara nabi bangsa Arab yang terawal.
Namanya disebut sebanyak 11 kali dalam al-Quran. Nabi Syu’aib dibangkitkan sebelum Nabi Musa lagi, dalilnya kerana setelah disebut dalam ayat ini kisah 5 orang nabi, kisah Nabi Musa yang dibangkitkan selepas para nabi ini termasuk Syu’aib.
Adapun kaum Madyan ialah berasal dari Madyan bin Ibrahim lalu dinamakan penempatan mereka sempena namanya.
Madyan ini terletak dalam negara Jordan dan dekat dengan Palestin.
Bahkan terdapat kubur yang didakwa kepunyaan nabi Nabi Syu’aib di Kota Salt, jaraknya 30 kilometer dari Kota Amman. Wallahu a’lam.
Penduduk Madyan bukanlah kaum yang beriman kepada Allah SWT melainkan penyembah berhala yang terbuat dari batu.
Mereka menganggap bahawa berhala-berhala itulah yang memberi kehidupan dan berkah terhadap masyarakat dan desa mereka.
Jadi penyakit utama mereka ini ialah syirik serta memiliki kebiasan curang dalam perniagaan.
Mereka akan saling mengurangkan timbangan & sukatan apabila melaksanakan urusan jual beli.
Ini adalah isu dalam muamalat.
Mereka juga orang yang gagah perkasa & kuat dari segi fizikalnya!
Antara kelebihan Nabi Syu’aib ialah petah berhujjah, sehingga dikenali sebagai pemidato di kalangan anbiya’.
- Ayat 85- {Ia berkata: “Wahai kaum sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.}-
Jelaslah setiap nabi itu asas dakwah mereka ialah tauhid kepada Allah SWT.
Apabila orang itu berpegang kepada tauhid, maka perjalanan hidupnya akan aman tenang kerana ada garis panduan dari Allah SWT.
Setiap orang ada kitab atau Suhuf seperti Taurat, Injil dan seumpamanya.
Setiap kaum akan dibincangkan tentang isu dalam kampung mereka, seperti kamu Lut isu LGBT, kaum Nabi Syu’aib ini selain syirik ialah isu besar dalam kampungnya mengurangkan sukaran & timbangan!
Maka peranan bagi setiap pendakwah, imam & khatib kawasan itu apabila bercakap kena sentuh dan sebut isu-isu semasa yang berlaku di tempat masing-masing.
Jika orang kampungnya suka berjudi, berlaga ayam, pil kuda dan sebagainya, maka mereka mestilah peka dan menyentuh isu ini dalam khutbah & ceramah mereka agar masyarakat tahu dan sedar.
Kerana itu kita cadangkan agar pihak berkuasa berilah ruang untuk mereka yang dapat bercakap ini memberi nasihat & teguran tentang setiap penyakit yang ada di kawasan mereka.
Para pendakwah juga kena peka & tahu akan isu & penyakit dalam kawasan mereka!
- Persoalan: Apakah kaum Madyan & Ashabul Aikah ini umat atau kaum yang sama?
Nabi Syu’aib telah diutus kepada keduanya seperti firman Allah SWT ini:
i- Dalam ayat ini berbunyi, {وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًۭا}- {Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuaib}.
Manakala dalam ayat ini Allah berfirman:
ii- {كَذَّبَ أَصْحَـٰبُ لْـَٔيْكَةِ ٱلْمُرْسَلِينَ}- {(Demikian juga) penduduk “Aikah” telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).}
{ إِذْ قَالَ لَهُمْ شُعَيْبٌ أَلَا تَتَّقُونَ }
-{ Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka: “Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.} (Asy-Syu’ara’ 26: 176-177)
Jawapan:
Para ulama’ berbeza pendapat tentang isu ini, siapakah mereka ini:
i- Kebanyakan ulama’ (majoriti) mengatakan mereka ini adalah kaum & umat yang satu.
Iaitu mereka kaum Madyan pergi menyembah pokok Aikah ini lalu mereka dipanggil juga sebagai (أَصْحَـٰبُ لْـَٔيْكَةِ).
Pokok Aikah ini dikatakan satu pokok yang besar dan rimbun di suatu tanah lapang dekat kampung mereka.
ii- Ada juga ulama’ kata : Ashabul Aikah ini adalah penduduk kampung lain.
Yakni nabi Nabi Syu’aib diutus Allah kepada dua kumpulan/kaum yang berbeza.
Pendapat majoriti yang pertama lebih terpilih, iaitu umat yang satu.
- Ayat 86- {“Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah,..}-
Ayat ini membawa dalil tentang larangan duduk di tengah jalan, sehingga mengganggu orang lalu-lalang.
Jika zaman dulu sekat & ganggu orang daripada pergi berjumpa Nabi Syu’aib dan mendengar dakwahnya.
Hak jalan itu ada, kerana itu tidak dibenarkan duduk di tepi jalan mengganggu orang lalu, parking kereta sehingga menghalang laluan orang atau merempit di atas jalan sehingga menimbulkan hingar-bingar.
Wajib ada hak jalan yang dihormati.
Ini dari segi undang-undang dunia.
Fenomena hari ini juga di kawasan perumahan dan taman- rumah banyak & besar-besar pagarnya tetapi jalannya amat sempit dan bahaya, kerana masing-masing bakhil & kedekut nak beri tanah sendiri untuk dijadikan rizab jalan.
Dari segi agama & dakwah, jangan sekat orang kepada jalan Allah atau melakukan kebaikan kepada Allah.
- Ayat 87- {“Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah….}-
Jika mendapat tentangan & pertembungan, para pendakwah sabarlah, teruskan perjalanan sehingga Allah putuskan sama ada kita menang atau kita tewas dan syahid.
Atau jika dakwah kita terhalang, kita akan dapat pahala berdakwah & pahala menyampaikan.
Tidak ada kerugian bagi para pendakwah dalam dunia ini, yang ruginya jika kita tak buat kerja.
Ayuh mari kita berdakwah kepada orang ramai, ajak manusia kembali kepada jalan Allah, kepada kitab Allah, kepada Sunnah Nabi SAW.
Jika bumi subur untuk menerima dakwah kita curahkan usaha & tenaga dengan maksimum, jika kurang subur kita slowkan gear, jika satu jalan disekat kita cari jalan lain, jika tersekat terus seperti lampu merah; kita berhenti dulu sementara, tunggu lampu hijau tetapi enjin jangan dimatikan terus!
Antara pendakwah & tokoh zaman kita ini yang suka buat analogi sebegini adalah alhmarhum TG Nik Abdul Aziz.
Banyak pembaharuan dan islah pembaikian yang dia buat.
Semoga Allah merahmati & mengampuninya.
Yakni pendakwah ini jangan mudah kecewa dan merajuk, jika kita dihalang cuba cari jalan lain, tak boleh kuliah di masjid kuliah online ada.
Jika online pun boleh dihalang nanti, kita lihatlah jalan mana pula yang Allah akan hantar dan beri. Insya’ Allah.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Kita akan sambung esok dengan juzuk yang kesembilan.
Wallahi A’lam.