KAUM KAFIR MENDUSTAKAN AYAT ALLAH, AKAN DITIMPA AZAB & IBRAH DARI KEBINASAAN UMAT TERDAHULU.
Full video : https://youtu.be/5Nz9Rgxkews?si=T96WbJW6H_pIPpFx
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 4 sehingga 6 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kaum kafir yang mendustakan ayat Allah, lari tak mahu dengar, degil tak mahu ikut!
- Maka Allah beri amaran mereka akan ditimpa azab, bala yang besar jika tidak di dunia di Akhirat kelak pasti akan kena.
- Allah juga mahu kita ambil pengajaran, ibrah dari kebinasaan umat terdahulu.
Betapa mereka mempunyai tamadun yang maju & canggih tetapi kerana kekufuran mereka Allah musnahkan semuanya.
Kemudian Allah bawa generasi lain pula, silih berganti.
Ada yang beriman ada yang kufur.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang tauhid, kemudian bincang tentang kembali semula kepada Allah serta Allah tahu apa saja perbuatan kamu atas dunia ini untuk idberi balasan.
ii- Kemudian datang ayat ini Allah nyatakan tentang sekumpulan manusia yang degil tak dengar kata keras kepala, walaupun Allah telah datangkan bukti & hujjah yang nyata tetap tak mahu terima, kersa kepala!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 4- {DAN TIDAK ADA SESUATU KETERANGAN YANG SAMPAI KEPADA MEREKA (YANG KAFIR) DARI KETERANGAN-KETERANGAN TUHAN MEREKA, MELAINKAN MEREKA SELALU BERPALING DARIPADANYA (ENGGAN MENERIMANYA).} (AL-AN’AM 6:4)
- Semua ayat-ayat keterangan dan dalil bukti sudah Allah sampaikan kepada mereka yang kafir sama ada ayat yang dapat dilihat atau ayat yang dapat difikirkan, hujjah tentang kebenaran Nabi SAW.
- Tetapi mereka tetap degil tak dengar kata, mereka selalu berpaling daripadanya enggan menerimanya walaupun keterangan jelas di depan mata.
Maka Allah mahu kita menjadi orang yang baik, yang dengar kata!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini:
Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman: Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.} (Yunus 10: 96-97)
AYAT 5- {SESUNGGUHNYA MEREKA TELAH MENDUSTAKAN KEBENARAN (AL-QURAN) KETIKA IA SAMPAI KEPADA MEREKA. OLEH ITU, AKAN DATANGLAH KEPADA MEREKA BERITA (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN) APA YANG MEREKA SELALU EJEK-EJEK ITU (IAITU MEREKA AKAN DITIMPA BALA BENCANA).} (AL-AN’AM 6:5)
- Walaupun al-Quran turun kepada mereka, mereka tetap menolak dan berpaling darinya bahkan menuduh Nabi SAW sebagai ahli sihir, penyair dan mendakwanya gila!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat ini Allah sebut kafir ada 3 peringkat atau martabat:
a) keadaan mereka menolak, lari berpaling tak mahu perhati atau berfikir iaitu lari dari kebenaran {مُعْرِضِينَ}.
b) Mendustakan & ingkar kebenaran {كَذَّبُوا۟ بِٱلْحَقِّ}- lari dan lawan.
Bukan hanya berpaling lari seperti golongan pertama- mereka ini mendustakan pula- kata bohong & tipu.
c) Mereka mendustakan dan mempermainkannya {يَسْتَهْزِءُونَ}.
Bukan setakat mendustakan mereka ini memerli, mengejek dan menghina dakwah Nabi SAW.
- Mereka ini telah mendustakan dan memerli apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Allah lalu beri amaran keras, akan datang kebenaran yang mereka tolak & permainkan dulu!
- Iaitu akibat dari perbuatan mereka yang berpaling, menolak, mendustakan dan memerli kebenaran itu; mereka akan ditimpa bala bencana.
AYAT 6- {TIDAKKAH MEREKA MEMERHATI DAN MEMIKIRKAN BERAPA BANYAK UMAT-UMAT YANG TELAH KAMI BINASAKAN SEBELUM MEREKA, PADAHAL (UMAT-UMAT ITU) TELAH KAMI TEGUHKAN KEDUDUKAN MEREKA DI MUKA BUMI (DENGAN KEKUASAAN DAN KEMEWAHAN) YANG TIDAK KAMI BERIKAN KEPADA KAMU, DAN KAMI TURUNKAN HUJAN ATAS MEREKA DENGAN LEBATNYA, DAN KAMI JADIKAN SUNGAI-SUNGAI MENGALIR DI BAWAH MEREKA, KEMUDIAN KAMI BINASAKAN MEREKA DENGAN SEBAB DOSA MEREKA MEREKA, DAN KAMI CIPTAKAN SESUDAH MEREKA, UMAT YANG LAIN?} (AL-AN’AM 6:6)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT larang daripada lari, dusta & perli ayat-ayat Allah.
Jika lawan juga Allah akan ambil tindakan keras.
ii- Maka datang ayat ini sebagai iktibar & pengajaran; Allah nyatakan betapa kaum terdahulu yang gagah perkasa, kaya raya negerinya serta maju tamadunnya telah dibinasakan akan sebab.
- Allah tanya dalam ayat ini apakah kamu tidak ambil iktibar pengajaran akan umat terdahulu yang kamu lihat dengan mata kamu sendiri akan kebinasaan mereka!
- Tidakkah kamu lihat ini {أَلَمْ يَرَوْا۟} sama ada dengan mata kepala sendiri seperti yang dapat kamu lihat dari kesan peninggalan kaum terdahulu seperti Firaun, kaum Ad di Yaman, kaum Thamud di Mada’in Soleh dan lain-lain yang telah Allah binasakan.
- Ataupun bagi yang tidak pernah melihat dengan matanya seperti menyaksikannya boleh juga lihat dengan hati atau fikiran lalu ambil iktibar!
- Firman Allah SWT:
Msksudnya: {(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.} (At-Taubah 9:69)
- Kemudian Allah sebut tentang nikmat air yang Allah berikan kepada manusia sama ada:
i- Air yang turun dari langit iaitu hujan {وَأَرْسَلْنَا ٱلسَّمَآءَ عَلَيْهِم مِّدْرَارًۭا}. Hujan ini ada waktu turunnya bukan selalu & berterusan.
ii- Atau air yang keluar dari perut bumi iaitu sungai yang sentiasa mengalir {ٱلْأَنْهَـٰرَ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمْ} yang dengannya subur pokok-pokok dan memberi manfaat kepada manusia & haiwan.
- Tetapi malangnyna manusia yang kafir itu masih tetap degil tidak mahu beriman & menerima kebenaran.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah ini juga:
Maksudnya: {Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.} (Al-Qasas 28:59)
- Kemudian Allah nyatakan selepas Dia binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, Allah ciptakan sesudah mereka, umat yang lain pula.
Ada yang baik maka mereka kekal, jika kufur & jahat pula; maka Allah turunkan pula bala kemusnahan mereka!
- Begitulah dunia ini berputar, kehidupan manusia silih berganti!
Moga kita termasuk dalam golongan yang beriman & diredhai Allah SWT.
PENUTUP & FAEDAH
- Ayat 4- {Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).}-
Allah sandarkan ayat-ayat itu kepada diri-Nya { ءَايَـٰتِ رَبِّهِمْ}.
Yakni Allah turunkan ayat itu Allah turunkan dari langit, Allah lantik rasul untuk menyampaikannya kepada manusia serta diberi mukjizat.
Rasul tidak buat atau reka apa saja, semuanya dari Allah.
Sama ada ayat yang dibaca iaitu ayat al-Quran atau ayat keterangan yang dapat kita lihat & faham.
Semua ini adalah dari Allah jika kamu lawan juga maka akan binasalah!
Tetapi Allah itu penuh kasih sayang & rahmat, bukan terus turun azab!
Bahkan Allah bawa hujjah-hujjah, bukti & tanda, ayat-ayat keterangan yang jelas, jika lawan juga, tak dengar juga baru diturunkan azab!
- Ayat 4- {Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka, melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).}-
Kafir ini berpaling tidak mahu dengar ayat al-Quran & ayat keterangan yang lain!
Itulah darjat kafir yang paling rendah sekali, mereka tidak mahu dengar al-Quran!
Ini kerana mereka takut jika jika mereka dengar ia akan masuk ke dalam hati mereka kebenaran itu & mereka akan menerimanya!
Mereka sanggup sumbat telinga dan buat bising hingar-bingar apabila Rasulullah SAW mahu membaca & menyampaikan ayat-ayat al-Quran.
Kerana takut bahaya itu mereka lalu menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli syair, tukang sihir yang pandai memainkan kata-kata untuk menyesatkan mereka dari pegangan mereka selama ini!
Bahkan menuduh Baginda gila juga untuk menjauhkan orang ramai dari mendengarnya!
Zaman kita hari ini pun ada syaitan ajar manusia yang nak menjauhkan orang lain dari belajar al-Quran, jangan dengar ustaz itu ini, takut sesat sedangkan yang dibaca adalah firman Allah & sabda Rasulullah SAW!
Begitulah semua orang yang mahu membawa kebenaran & menegakkan al-Quran dan Sunnah ini akan dilawan, akan diganyang oleh orang yang tidak sefahaman hatta sahabat sendiri!
Kita sabar & istiqomahlah dalam perjuangan ini; kerana Allah suruh ikut Nabi, Nabi SAW suruh ikut Allah, jadi mengapa kita nak cari yang lain?
- Ayat 4- {Dan tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka (yang kafir) dari keterangan-keterangan Tuhan mereka,…}-
Keterangan itu adalah ayat-ayat Allah yang nyata!
Allah menyatakan semua ayat-ayat, dalil keterangan itu adalah datang dari Allah SWT yang menurunkan kepada Rasulullah SAW bukan Baginda mereka-rekanya sendiri ajaran itu.
Nabi SAW & para anbiya’ AS telah menerima ajaran & perintah dari Allah serta telah ada tanda-tanda mukjizat sebagai dalil akan kebenaran itu!
Hadis- riwayat dari Abu Hurairah RA: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada mana-mana nabi kecuali Allah telah beri kepada mereka tanda kekuasaan mukjizat. Biasanya manusia yang waras & berfikir akan menerimanya! [HR Bukhari & Muslim].
Maka manusia yang mempunyai akal yang waras, hati yang baik dan fikiran yang terbuka akan menerimanya!
Hikmahnya Allah beri mukjizat & ayat keterangan yang jelas ini kepada para Nabi ialah supaya orang ramai terbuka hati & percaya untuk beriman!
Sebagaimana kisah:
i- Tukang sihir Firaun yang terus beriman apabila melihat mukjizat tongkat Nabi Musa AS dan lain-lain.
ii- Pemuda Ashabul-Ukhdud, yang membawa tanda keterangan kekuasaan nama Allah sehingga orang ramai beriman dengan Allah.
Dari segi rahmatnya Allah beri tanda dan bukti agar manusia beriman sebelum dikenakan azab.
- Ayat 5- {Sesungguhnya mereka telah mendustakan kebenaran (Al-Quran) ketika ia sampai kepada mereka.}-
Mereka tetap mendustakan kebenaran walaupun ia jelas di depan mata!
Mereka tetap menolak, mendustakannya walaupun kebenaran, ayat bukti, dalil mukjizat jelas di depan mata!
Bahkan ada yang mendustakan & memerlinya, maka setiap kafir itu ada peringkatnya, tengok kepada perlawanannya!
Lagi kuat penentangan lagi dahsyat azabnya!
Sebagaimana orang beriman sesama mereka juga tidak sama darjatnya di dalam syurga, berdasarkan amalan baik mereka.
Mukjizat yang Allah berikan para nabi adalah berdasarkan kepada kecenderungan kaum pada waktu itu.
Seperti Nabi Musa dengan sihir, Nabi Isa dengan sifat seolah Tuhan, semua itu untuk menguji manusia!
Zaman Rasulullah SAW kaum Arab sedang gilakan sastera dan syair maka Allah bawakan mukjizat al-Quran.
- Ayat 6- {Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka,…}-
Wahai orang yang beriman yang ada akal, berfikirlah guna pemikiran kamu!
Betapa banyak kamu telah lihat kebinasaan orang yang terdahulu.
Kamu lihatlah dengan mata, dengan hati kamu, dengan akal pemikiran kamu; nak tunggu bila lagi nak tungga apa lagi.
Nikmat negara kafir itu Allah beri mereka kehebatan teknologi dan kecanggihan tamadun, tetapi kerana mereka tidak terima maka rugilah mereka!
Kita yang beriman ini kena cubalah usaha untuk bawa kembali manusia kepada fitrah, jalan yang diredhai Allah SWT!
Allah juga kata:
{… kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?}-
Allah kata orang terdahulu itu binasa dengan sebab dosa mereka.
Rugilah sesiapa yang tidak beriman akan mendapat azab dengan sebab dosa mereka!
Jika mereka dahulu begitu; maka orang yang terkemudian pun begitu juga, mereka tidak akan selamat jika tidak beriman & beramal.
Kerana itu jangan sibuk dengan benda yang remeh temeh, yang karut-marut; tetapi sibukkan diri kita dengan perkara yang besar yang Allah redhai!
Alhamdulillah tamatlah siri kuliah tafsir secara ringkas untuk hari ini, semoga mendapat manfaat dunia akhirat.
Seruan infaq kita masih untuk pembinaan masjid di Jepun.
Sedekah kita minggu ini masih lagi untuk TABUNG DAKWAH di Jepun, untuk pembinaan Pusat Dakwah & Masjid di WAKAYAMA Jepun.
Jom bersama kita melabur untuk saham hari akhirat kita.
Wakaf masjid boleh disalurkan kepada:
Maybank: Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia
No. Akaun: 5621-0669-8737
Rujukan: Wakaf.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.