Ahli Sihir Bertemu Fir’aun, Minta Upah Kalau Menang & Tunjuk Kehebatan Yang Dimiliki.
Full video : https://youtu.be/vAwR4PDyNhU?si=FBPsvrZD02erEccs
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-A’raf ini dengan ayat 113 sehingga 116 dalam juzuk kesembilan.
- Alhamdulillah telah berlalunya separuh daripada bulan Ramadhan semoga kita semua telah memanfaatkannya sebaiknya.
Kerana bak kata pepatah Arab : Separuh Ramadhan telah berlalu; separuh bakinya seumpama emas nilainya.
“نصف رمضان ذَهَبَ” .. ونصفه الباقي ذَهَبٌ”
- Maka jangan kita sia-siakannya, biarkan ia berlalu begitu saja.
Isikannya dengan segala kebaikan yang kita mampu, bukan hanya solat atau puasa, kita sedekah, buat kebaikan dengan bantu orang, beri pertolongan dan sebagainya.
- Siri ini adalah sambungan kisah Nabi Musa AS vs Fir’aun.
Dalam ayat ini Allah bawa kisah ahli sihir bertemu Fir’aun, mereka dipilih untuk berlawan dengan Nabi Musa AS pada hari yang dijanjikan.
Bila & di mana Allah tak cerita kerana perkara ibrah tak perlu kepada detail, yang pentingnya kita dapat & ambil pengajarannya!
- Para ahli sihir itu minta upah dari Fir’aun jika mereka menang dapat mengalahkan Nabi Musa AS.
- Lalu masing-masing mula tunjukkan kehebatan yang dimiliki.
Nabi Musa meminta ahli sihir untuk memulakan dulu pertunjukan sihirnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya :
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang rancangan Firaun dan para pembesarnya {ٱلْمَلَأُ} untuk mencari ahli sihir yang hebat dari seluruh pelusuk Mesir untuk dibawa berlawan dengan Nabi Musa AS yang di tuduh sebagai tukang sihir juga oleh mereka.
ii- Maka datang ayat ini menceritakan apa yang terjadi hasil dari pertembungan mereka pada hari yang dijanjikan itu!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 113- {DAN DATANGLAH AHLI-AHLI SIHIR ITU KEPADA FIRAUN LALU BERKATA: “SUNGGUHKAH KAMI AKAN BEROLEH UPAH, KALAU KAMI DAPAT MENGALAHKANNYA?”} (AL-A’RAF 7:113)
- Ahli sihir yang telah dikumpulkan dari segala pelusuk daerah yang ada di Mesir, yang hebat dari kalangan ketuanya dibawa ke hadapan Firaun di istananya.
- Setibanya di hadapan Firaun mereka terus bertanya kepada Firaun: Apakah kami akan mendapat upah balasan ganjaran yang besar jika dapat mengalahkan Musa???
- Kata ulama’ tafsir : Pertanyaan ini menunjukkan kebodohan & kelemahan mereka, kerana mereka meminta sesuatu yang tidak sepatutnya mereka minta!
Jika mereka benar-benar hebat & mahir tidak perlu tanya semua itu.
Ini juga menunjukkan kegopohan & ketamakan mereka.
- Ada juga analisa yang kedua : Ahli sihir bertanya kerana mahukan kepastian dari Firaun, jaminan bahawa mereka akan diberi upah & ganjaran kerana mereka tidak percaya & tidak yakin dengan kejujuran Firaun.
Begitu juga kita sekarang ini, hati-hati jangan sampai terpedaya mudah kena scam, kena kelentong kepada orang yang suka menipu & ambil kesempatan.
AYAT 114- {FIRAUN MENJAWAB: “BENAR, (KAMU AKAN MENDAPAT UPAH) DAN KAMU SESUNGGUHNYA (AKAN MENJADI) DARI ORANG-ORANG YANG DAMPING (DENGANKU)”.} (AL-A’RAF 7:114)
- Firaun menjawab pastilah mereka semua akan mendapat upah & bahkan akan menjadi pendampingnya di istana, akan menjadi golongan yang rapat dengannya.
- Yakni Firaun menjanjikan ganjaran & upah yang besar jika mereka dapat mengalahkan Nabi Musa AS.
AYAT 115- {MEREKA BERKATA: “HAI MUSA! ENGKAUKAH YANG AKAN MENCAMPAKKAN (TONGKATMU LEBIH DAHULU) ATAU KAMIKAH YANG AKAN MENCAMPAKKAN (LEBIH DAHULU)?”} (AL-A’RAF 7:115)
- Selepas yakin akan mendapat ganjaran itu; mereka pun bersedia untuk berlawan kekuatan sihir mereka dengan Nabi Musa AS.
- Mereka berpaling dan bertanya kepada Nabi Musa:
Siapakah yang akan memulakan dulu?
Apakah Nabi Musa yang akan mencampak tongkatnya lebih dahulu atau mereka yang akan mencampakkan alat-alat mereka terlebih dahulu?
Begitulah dalam pertandingan & perlawanan kena ada perbincangan siapa yang akan memulakan permainan dulu.
AYAT 116- {NABI MUSA MENJAWAB: “CAMPAKKANLAH KAMU (DAHULU)!” MAKA APABILA MEREKA MENCAMPAKKAN (TONGKAT-TONGKAT DAN TALI MASING-MASING), MEREKA MENYILAP MATA ORANG RAMAI DAN MENJADIKAN ORANG-ORANG ITU MERASA GERUN, SERTA MEREKA MELAKUKAN SIHIR YANG BESAR (KEADAAN DAN CARANYA).} (AL-A’RAF 7:116)
- Nabi Musa dengan tenang & tidak gopoh memberi laluan kepada mereka, menyuruh mereka dulu untuk mencampakkan alat-alat sihir mereka.
Orang Kelate kata : hero tak begaduh!
- Maka mereka pun mencampakkan tongkat dan tali masing-masing, menyilap mata orang ramai dan membuat orang-orang itu rasa gerun, kerana nampak ular-ular yang banyak dan hidup bergerak-gerak.
Yakni mereka silapkan mata manusia (silap mata, kaburkan) sehingga nampak apa yang mereka kehendaki.
- Mereka melakukan sihir yang besar dengan keadaan dan caranya yang mereka pelajari.
Ulama’ tafsir mengatakan : Ahli sihir guna raksa ini untuk menyilap mata manusia.
Wallahu a’lam.
Raksa, bahan yang digunakan dalam termometer, apabila suhu panas ia mengembang apabila suhu sejuk ia mengecut.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 113- {Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?”}-
Apabila ahli sihir datang menghadap Firaun mereka terus bertanya apakah mereka akan mendapat upah jika menang.
Dari soalan mereka ini kita dapat tahu & yakin bahawa para ahli sihir ini adalah penipu besar!
Jika benar mereka hebat & bijak, dapat membuat sihir yang ajaib, tak perlu minta dulu dengan Firaun!
Tetapi buatlah sesuatu sihir yang dapat melemahkan Firaun dan menunjukkan kehebatan mereka, maka pastilah Firaun akan tunduk & akur kepada segala permintaan mereka.
Sama seperti realiti keadaan hari ini, ada orang yang percaya kepada bomoh yang dapat tarik duit, buat ibu duit, tukar daun menjadi duit dan seumpamanya.
Jika benar seperti dakwaan mereka; Maka tak perlu lagi dia ambil upah dari orang ramai untuk buat duit, tukar ajelah daun-daun itu untuk dirinya sendiri, kayakan & senangkan dirinya sendiri dulu!
Tetapi manusia yang telah jem otaknya, masih boleh percaya walaupun hakikatnya duit dia yang ada lebih banyak daripada tok bomoh itu!
Rumahnya lebih besar daripada rumah tok bomoh, tetapi masih ramai yang percaya & tertipu dengan penipu ini!
Ini menunjukkan bahawa sihir tidak dapat ubah sesuatu benda menjadi benda lain, jika tidak merekalah orang yang paling kaya atas dunia ini kerana mereka boleh tukar daun menjadi duit seperti yang didakwa!
Begitulah kesnya antara Firaun & ahli sihirnya! Sama memerlukan dan bergantung kepada orang lain!
Ini adalah analisa & peringatan agar kita tidak mudah terpedaya & tertipu dengan ahli sihir, tok-tok bomoh dan segala jenis scammer yang ada atas dunia ini!
Tetapi perbuatan sihir itu wujud sungguh dan amat jahat kerana ia boleh menyakiti orang lain sehingga mati atau bercerai pasangan suami-isteri.
- Ayat 113- {Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun… }-
Firaun berhajat kepada ahli sihir untuk berlawan dengan Nabi Musa dan mengalahkannya!
Ini menunjukkan bahawa Firaun itu adalah manusia biasa yang lemah, hamba yang hina bukan Tuhan yang berkusa seperti dakwaannya.
Ini kerana dia adalah makhluk yang berhajat kepada orang lain juga!
Kerana itu Nabi Musa memulakan dakwahnya kepada Firaun dengan mengatakan bahawa akulah utusan dari Tuhan Sekelian Alam ini!
Jika benar dia Tuhan dan kuat berkuasa, lawan sendirilah Nabi Musa AS dengan kuasanya yang ada!
Maka kita dapat simpulkan; atas dunia ini, sesiapa yang berhajat kepada orang lain, maka dia adalah orang yang lemah, bergantung dan perlukan bantuan orang lain!
- Ayat 115- {Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?”}-
Ini mengajar kepada kita dalam ilmu perlawanan kita kena berunding & jangan gopoh walaupun kita tahu kita benar.
Nabi Musa tidak gopoh (tidak bergaduh, tak lorat), dia seorang yang tenang dan tidak gopoh, biarkan ahli sihir memulakan dulu perlawanan.
Begitu juga kita sebagai ketua dalam mesyuarat atau apa-apa perbincangan, jangan lorat beri pendapat kita atau buat keputusan; dengar dulu pandangan & pendapat yang diberi oleh ahli lain, selepas itu baru pilih mana yang terbaik & bincang.
- Ayat 116- {Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!”…}-
Nabi Musa menyuruh para ahli sihir mulakan dulu dengan campakkan alat mereka dulu.
Apakah hikmahnya?
Jawapan: Kerana Allah nak suruh nampak jelas kehebatan & keajaiban mukjizat Nabi Musa AS.
i- Ini kerana apabila ahli sihir campakkan alat-alat mereka, keluar ular-ular mereka bergerak sehingga menimbulkan kegerunan manusia.
Sehingga mereka rasa Musa sudah akan kalah & lemah!
ii- Tetapi apabila tiba giliran Nabi Musa nanti, akan terserlah & dapat dilihat kehebatan mukjizat Nabi Musa, ia bukan perbuatan sihir seperti mereka.
Baru nampak kehebatan & kebenaran Nabi Musa AS!!
- Ayat 116- {Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!…}-
Nabi Musa hanya menjawab sepatah: Campakkan kamu dulu {أَلْقُوا۟}.
Ini menunjukkan Nabi Musa yakin, konfiden, tak ambil berat, tidak rasa gerun atau heran akan kekuatan sihir para ahli sihir.
Nabi Musa tetap tenang, tidak gerun akan ahli sihir serta menunjukkan bahawa dia pasti akan kekuasaan Allah SWT dan yakin bahawa Allah akan menolongnya!
Ahli sihir ini sama ada mereka menggunakan pertolongan jin syaitan atau mereka menggunakann alat-alat bantuan yang tersembunyi yang manusia tak nampak atau sedar.
Lalu nampak pelik dan ajaib perbuatan mereka.
Cukup setakat ini dulu kita sambung esok & lihat apa yang terjadi apabila Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tadabbur ringkas kita semoga mendapat manfaatnya!
Wallahu A’lam.