HARAM ARAK, JUDI, BERHALA DAN TILIK NASIB, SYAITAN MENIMBULKAN PERMUSUHAN & TAATLAH KEPADA ALLAH SWT DAN RASUL-NYA.
Full video : https://youtu.be/i4FbpU7zxOw?si=jnBLyENuElIjQBtX
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 90 sehingga 93, dalam juzu’ ketujuh.
Bersama kita mengaji, belajar & mengkaji al-Quran, apa yang Allah mahu sampaikan kepada kita.
- Dalam siri ini Allah SWT menyatakan tentang pengharaman empat perkara iaitu; arak, judi, berhala dan tilik nasib.
- Allah juga nyatakan bahawa kerja syaitan ialah melagakan manusia untuk menimbulkan permusuhan sama ada sesama makhluk atau bermusuh dengan Allah dengan derhaka syirik atau melakukan maksiat & mungkar.
- Kemudian Allah perintahkan agar taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta tugas Rasulullah SAW adalah menyampaikan perintah Allah.
- Pada akhir ayat 93 Allah nyatakan bahawa dosa-dosa yang lepas akan dimaafkan jika diperbetulkan jalannya yakni kembali bertaubat.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan bahawa Allah telah halalkan perkara yang baik & mengharamkan apa yang kotor, keji & yang membawa kerosakan!
ii- Maka dalam ayat ini Allah SWT nyatakan bahawa ada perkara yang dalam pandangan jahiliyyah adalah baik dan telah menjadi budaya yang sebati dalam diri mereka seperti arak & judi.
Maka Allah nyatakan dengan tegas bahawa dua perkara itu walaupun sinonim dalam kehidupan jahiliyyah bukan perkara baik, tidak masuk dalam perkara baik & membatalkan fahaman itu.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 90- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BAHAWA SESUNGGUHNYA ARAK, DAN JUDI, DAN PEMUJAAN BERHALA, DAN MENGUNDI NASIB DENGAN BATANG-BATANG ANAK PANAH, ADALAH (SEMUANYA) KOTOR (KEJI) DARI PERBUATAN SYAITAN. OLEH ITU HENDAKLAH KAMU MENJAUHINYA SUPAYA KAMU BERJAYA.} (AL-MA’IDAH 5:90)
- Allah menyeru orang yang beriman dan menyatakan dengan tegas bahawa sesungguhnya Allah telah mengharamkan:
i- Arak {ٱلْخَمْرُ} dan semua jenis minuman/makanan yang memabukkan.
ii- Dan judi {وَٱلْمَيْسِرُ} dalam bentuk apa sekalipun.
iii- Dan pemujaan berhala {وَٱلْأَنصَابُ} dalam bentuk apa dan dari apa sekalipun termasuk kubur yang dihias & dipuja.
iv- Dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah { وَٱلْأَزْلَـٰمُ}- menilik nasib dan percaya kepada sial/majal yang akan keluar!
Sama seperti tilik nasib dengan tengok kepada tapak tangan, tahi lalat dan seumpamanya.
- Semua 4 perkara adalah semuanya perbuatan yang kotor { رِجْسٌۭ} lagi keji bagi jiwa orang yang beriman; ia adalah kosmetik hiasan dari perbuatan Syaitan.
Betapa syaitan nak manusia saling bermusuhan, berbalah & bunuh-membunuh!
- Maka Allah kata hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu selamat, aman & berjaya di dunia & Akhirat.
- Ulama’ membincangkan apakah maksudnya najis (رِجْسٌۭ) di sini, apakah najis dari sudut ain/zatnya atau hanya najis dari sudut hukmi?
Jawapannya khilaf, jika arak mungkin najis dari sudut keduanya manakala perkara lain hanya dari sudut hukum.
- Pengharaman arak ada 3 peringkat dalam al-Quran dengan diturunkan empat ayat tentangnya:
i- Ayat pertama, diturunkan di Makkah iaitu: ومن ثمرات النخيل والأعناب تتخذون منه سكرا ورزقا حسنا
(Dan dari buah kurma dan anggur, kamu membuat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik….) Surah An Nahl ayat 67.
Umat islam ketika zaman permulaan Islam meminum arak. Dan ketika itu halal bagi mereka.
ii- Ayat kedua, diturunkan di Madinah iaitu: يسئلونك عن الخمر والميسر قل فيهما اثم كبير و منافع للناس
(Mereka bertanyakan kepadamu(Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah, ‘Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia…’ } [Al Baqarah ayat 219.
Ketika itu sudah ada sahabat yang meninggalkan minum arak berdasarkan ayat: {…padanya terdapat dosa besar..}
Manakala ada sahabat yang masih minum berdasarkan ayat: {… dan beberapa manfaat bagi manusia..’}.
Maka berlaku peristiwa mereka tersalah baca ayat al-Quran dalam solat.
iii- Ayat ketiga, maka akibat peristiwa itu, turunlah ayat: يأيها الذين ءامنوا لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون.
{Wahai orang2 yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu sedar apa yang kamu katakan..}. [An Nisa’: 43]
Allah mengharamkan umat Islam minum arak ketika ingin mendirikan solat.
Dikhuatiri mabuk menyebabkan mereka salah lagi dalam membaca ayat Al Quran.
Oleh kerana itu, mereka pun minum arak selepas solat Isya’.
Dan tatkala subuh menjengah, mabuk itu sudah hilang.
Tetapi berlaku pula peristiwa perbalahan sesama mereka apabila mabuk.
iv- Ayat keempat iaitu ayat 90 ini adalah kata pemutus:
يأيها الذين ءامنوا انما الخمر و الميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون . انما يريد الشيطان ان يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمر والميسر ويصدكم عن ذكر الله و عن الصلاة فهل أنتم منتهون.
{Wahai orang-orang yang beriman, hanya sanya arak, berjudi, berkorban untuk berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung.
Hanya sanya syaitan mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian antara kamu dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat.
Maka tidakkah kamu mahu menghentikan semua perbuatan2 kamu ini?} [Al-Ma’idah: ayat 90-91].
Maka barulah arak diharamkan secara mutlak.
Selepas turunnya ayat ini maka Sayyidina Umar bin Al Khattab RA berkata: “Kami berhenti dari segala perbuatan kami ini ya Allah.. Kami berhenti…”
- Kaitan ayat ini dengan Sayyidina Umar al-Khattab RA: Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar bin al-Khattab RA pernah berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah, berilah kami penjelasan yang memuaskan mengenai masalah khamar.” Maka setelah turun ayat (219) Surah Al-Baqarah. Rasulullah SAW membacakan ayat itu kepadanya, tetapi beliau masih saja belum merasa puas, dan beliau tetap berdoa seperti tersebut di atas. Dan demikian pula setelah turun ayat (43) Surah An-Nisa’. Akan tetapi setelah turun ayat-ayat 90 dan 91 Surah Al-Maidah ini, beliau dipanggil dan dibacakan kepadanya ayat-ayat tersebut. Beliau merasa puas. Dan setelah bacaan itu sampai kepada firman Allah: فهل أنتم منتهون ertinya: Maka mahukah kamu berhenti (dari mengerjakan pekerjaan itu)? Beliau berkata, “Kami berhenti! Kami berhenti!” [HR Ahmad, Abu Daud & at-Tirmizi]
Semenjak peristiwa itu arak diharamkan secara muktamad sehingga kini.
AYAT 91- {SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU HANYALAH BERMAKSUD MAHU MENIMBULKAN PERMUSUHAN DAN KEBENCIAN DI ANTARA KAMU DENGAN SEBAB ARAK DAN JUDI, DAN MAHU MEMALINGKAN KAMU DARIPADA MENGINGATI ALLAH DAN DARIPADA MENGERJAKAN SEMBAHYANG. OLEH ITU, MAHUKAH KAMU BERHENTI (DARIPADA MELAKUKAN PERKARA-PERKARA YANG KEJI DAN KOTOR ITU ATAU KAMU MASIH BERDEGIL)?} (AL-MA’IDAH 5:91)
- Ini kerana syaitan itu mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi.
Lihat saja fakta apa yang terjadi kepada mereka yang mabuk- berbalah, bertumbuk, pukul-memukul hatta bunuh membunuh, sama ada sengaja atau tidak!
Betapa banyak kemalangan jiwa, kecederaan, kerosakan harta benda, perceraian, dera dan sebagainya yang berlaku akibat mabuk arak!
Tetapi apa boleh buat apabila manusia yang mabuk juga menjaga manusia lain & membuat undang-undang, maka arak yang haram tidak diharamkan demi mengaut keuntungan & habuan dunia!
- Syaitan juga mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat dengan sempurna.
Nak solat macamana dalam keadaan mabuk & tidak sedar diri???
Apabila ralit berjudi tak akan ingat Allah & dunia lagi!
- Munasabah ayat:
i- Setelah ayat nyatakan bahawa arak & judi itu kotor & keji dalam ayat yang sebelum ini;
ii- Lalu dalam ayat ini Allah nyatakan dua keburukannya:
– Yang berkait dengan dunia supaya terjadi permusuhan & kebencian sesama manusia.
Arak sebab mabuk, judi sebab hilang harta & puas hati lalu berbalah.
– Perkara yg berkait dengan agama iaitu akan menyekat kamu daripada mengingati Allah & daripada solat!
Macamana nak ingat kepada Allah dalam keadaan mabuk arak & judi!!!
- Sebab nuzul ayat ini (sebelum pengharaman arak secara mutlak):
Dari Mus’ab bin Sa’ad, dari ayahnya bahawa semasa di Madinah dia bertemu dengan para sahabat dan ‘Itban bin Malik menyediakan makanan dan menjemput para lelaki dari kalangan umat Islam datang bertamu.
Dia telah memanggang kepala unta.
Maka mereka pun makan beramai-ramai dan meminum arak sehinggalah mabuk.
Kejadian itu menyebabkan mereka berasa sungguh seronok dan mereka pun menyanyi dan mendendangkan sya’ir.
Ada setengah daripada mereka bersyai’r memuji kaum mereka sendiri dan mencela kaum lain iaitu kaum Ansar.
Oleh kerana dicela, maka seorang lelaki dari kaum Ansar mengambil tulang rahang unta dan terus memukul kepala Sa’ad bin Abi Waqas.
Maka sedihlah Sa’ad bin Abi Waqas diperlakukan begitu.
Dia pun berjumpa dengan Rasulullah SAW dan mengadu kepada Nabi tentang perbuatan lelaki dari kaum Ansar itu.
Maka turunlah ayat di bawah ini:
يأيها الذين ءامنوا انما الخمر و الميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون . انما يريد الشيطان ان يوقع بينكم العداوة والبغضاء فى الخمر والميسر ويصدكم عن ذكر الله و عن الصلاة فهل أنتم منتهون.
{Wahai orang-orang yang beriman, hanya sanya arak, berjudi, berkorban untuk berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk dari perbuatan syaitan.. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu beruntung. Hanya sanya syaitan mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian antara kamu dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu menghentikan semua perbuatan2 kamu ini?} [Al-Ma’idah ayat 90-91].
Selepas turunnya ayat ini maka berkata Sayyidina ‘Umar bin Al Khattab, “Kami berhenti dari segala perbuatan kami ini ya Allah.. Kami berhenti…”. [HR Ahmad, Abu Daud dan lain-lain].
- Apabila turun ayat yang memutuskan ini para sahabat Nabi SAW sangat akur kepada perintah Allah.
Mereka mencurahkan segala arak yang ada dalam simpanan mereka bahkan memecahkan juga tempayan-tempayan bekas arak, ini kerana tidak mahu mengingatkan kepadanya lagi!
Hatta dikatakan lorong-lorong & jalan-jalan dalam bandar Madinah pada kejadian itu merah dengan aliran arak yang dicurahkan!
- Untuk melihat hikmah Allah SWT mengharamkan segala perbuatan buruk ini boleh baca buku ini:
Keindahan Islam https://dartaibah.com/…/Keindahan-Islam-Cetakan-Baru…
AYAT 92- {DAN TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH SERTA TAATLAH KEPADA RASUL ALLAH, DAN AWASLAH (JANGANLAH SAMPAI MENYALAHI PERINTAH ALLAH DAN RASULNYA). OLEH ITU, JIKA KAMU BERPALING (ENGGAN MENURUT APA YANG DIPERINTAHKAN ITU), MAKA KETAHUILAH, BAHAWA SESUNGGUHNYA KEWAJIPAN RASUL KAMI HANYALAH MENYAMPAIKAN (PERINTAH-PERINTAH) DENGAN JELAS NYATA.} (AL-MA’IDAH 5:92)
- Munasabah ayat:
i- Apabila arak & judi ini sinonim dengan masyarakat jahiliyyah dan mereka amat sukakannya.
Untuk meninggalkan satu kebiasaan yang sudah sebati pastilah amat sukar.
Kerana itu Allah SWT kuatkan ancaman tentangnya, keji & kotor serta mainan syaitan!
ii- Maka datang ayat ini, Allah mengingatkan orang beriman agar lapang dada & redha hati untuk taat kepada perintah Allah & Rasulullah SAW. Maka tinggalkanlah segala perkara yang Allah telah haramkan seperti arak & judi ini serta semua yang Allah larang!
- Kata ulama’: ayat ini juga menunjukan bahawa taat kepada Rasulullah SAW itu sendiri merupakan satu ketaatan yang khas kerana Allah sebut secara berasingan: {Dan taatlah kamu kepada Allah} & {serta taatlah kepada Rasul Allah}.
Maka jika ada geng yang nak tolak hadis, anti hadis, kita campakkan ayat ini ke atas kepala mereka!
Allah yang suruh kita taat kepada Nabi SAW, apa yang disampaikannya sama ada wajib atau sunat kita amalkan, apa yang dilarangnya wajib kita tinggalkan!
- Sebagaimana yang telah Rasulullah sendiri pesan: Dalam bab taklif, perintah arahan, buatlah setakat kemampuan kamu, sesempurna & sebaik mungkin! Tetapi dalam bab larangan tiada kompromi, wajib tinggalkan terus!
- Kerana itu pintu dalam bab ibadat ini sempit, lorongnya hanya apa yang Allah perintah & apa yang Rasulullah SAW ajar, dari al-Quran & Sunnah.
Jika tidak jangan buat & tidak ada hukumnya.
Tetapi bab kehidupan luas, semuanya harus selagi tiada hukum yang jelas akan pengharamaannya!
- Kemudian Allah nyatakan bahawa tugas para rasul itu adalah menyampaikan apa yang Allah perintahkan dengan sejelasnya!
Jika kamu dengar atau tidak- tugas Nabi SAW telah selesai.
- Begitu juga tugas pendakwah, kita wajib sampaikan, orang ikut alhamdulillah!
Tetapi jika orang tak ikut kita jangan mudah putus asa dan lari dari berdakwah!
Kecuali jika menerima ancaman yang berbahaya kita berhenti dulu, cari langkah yang seterusnya.
AYAT 93- {TIDAK ADA DOSA BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH PADA APA YANG TELAH MEREKA MAKAN DAHULU, APABILA MEREKA BERTAQWA DAN BERIMAN SERTA MENGERJAKAN AMAL YANG SOLEH, KEMUDIAN MEREKA TETAP BERTAQWA DAN BERIMAN, KEMUDIAN MEREKA TETAP BERTAQWA DAN BERBUAT KEBAJIKAN; KERANA ALLAH MENGASIHI ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MEMPERBAIKI AMALANNYA.} (AL-MA’IDAH 5:93)
- Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa tidak akan diambil kira perbuatan dosa lalu bagi orang yang telah beriman, beramal soleh & bertaqwa kepada Allah.
- Sabab Nuzul Ayat:
Ayat ini turun untuk menjawab keresahan sebahagian sahabat tentang sahabat-sahabat yang wafat sebelum sempat meninggalkan kebiasaan minum khamar, sedangkan ayat yang mengharamkan khamar baru turun setelah mereka wafat.
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ الله عنه: كُنْتُ سَاقِيَ الْقَوْمِ فِي مَنْزِلِ أَبِي طَلْحَةَ، وَكَانَ خَمْرُهُمْ يَوْمَئِذٍ الْفَضِيخَ، فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مُنَادِيًا يُنَادِي: أَلاَ إِنَّ الْخَمْرَ قَدْ حُرِّمَتْ. قَالَ: فَقَالَ لِي أَبُو طَلْحَةَ: اخْرُجْ فَأَهْرِقْهَا. فَخَرَجْتُ فَهَرَقْتُهَا، فَجَرَتْ فِي سِكَكِ الْمَدِينَةِ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: قَدْ قُتِلَ قَوْمٌ وَهِىَ فِي بُطُونِهِمْ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ (لَيْسَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جُنَاحٌ فِيمَا طَعِمُوا). (1)
Anas RA bercerita: “Suatu hari aku menghidangkan minuman (khamar) kepada para tamu di rumah Abu Talhah. Khamar mereka kala itu adalah al-fadikh (arak dari kurma). Tiba-tiba Rasulullah SAW memerintahkan seseorang untuk mengumumkan bahawa khamar telah diharamkan. Mendengar pengumuman itu Abu Talhah berkata kepadaku, ‘Keluar dan tumpahkanlah khamar ini!’ Aku pun keluar dan menumpahkannya hingga khamar itu mengalir di jalan raya. Kemudian akibat di’ayah yang dimainkan syaitan orang-orang bertanya: “Wahai Rasulullah, ada sejumlah orang yang telah gugur di jalan Allah, dan mereka mati dengan kepadatannya, dahulu mereka gemar minum khamr dan makan daripada hasil judi, padahal Allah telah menjadikannya sebagai perbuatan yang keji dan termasuk perbuatan syaitan.” Maka Allah ﷻ menurunkan firman-Nya: {Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh kerana memakan makanan yang telah mereka makan dahulu. (Al-Ma’idah: 93), hingga akhir ayat. Maka Nabi ﷺ bersabda: Seandainya diharamkan atas mereka, nescaya mereka meninggalkan perbuatan itu sebagaimana kalian meninggalkannya. [HR Bukhari].
- Kerana itu semua perkara yang terjadi dahulu, sekarang ini mungkin dia sudah bertaqwa dan menjaga hukum.
Antara alamat tanda dia sudah bertaqwa itu adalah dia menjaga serta dia beriman bersungguh-sungguh dan beramal soleh. Segala perbuatan buruk yang dahulu dilakukan sudah ditinggalkan.
- Ini kerana apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan, maka pastilah mereka akan cuba buat yang terbaik!
- Di akhir ayat Allah kata ini kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya, cuba buat yang terbaik sama ada untuk dunia atau untuk Akhiratnya.
Ya Allah jadikanlah kami orang yang bertaqwa, orang yang muhsinin, yang berhenti di atas hudud yang Engkau suruh & yang Engkau larang!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 90- {Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan.}-
Dalam ayat ini sekali Allah sebut, wahai orang yang beriman.
Kenapa Allah tuju ayat ini kepada orang beriman???
Kata Ibnu Mas’ud RA: Dalam mana-mana ayat apabila diseru orang yang beriman kita hendaklah buka mata buka telinga kerana di situ akan akan hukum yang akan Allah perintahkan untuk kita.
Dalam ayat ini Allah kata sesungguhnya arak – tak kiralah dari jenis apa, anggur, kurma, barli, tebu dan sebagainya, atau hasil dari bahan kimia seperti hari ini, asalkan ia memabukkkan itu haram!
Banyak atau sedikitnya tetap haram.
Seperti makanan atau minuman tertentu di hotel atau restoran mewah yang dibubuh arak walaupun sedikit tetap haram bagi kita!
Dari segi menjaga kewarakan tak perlulah kita makan di restoran kepunyaan bukan Islam walaupun mempunyai logo halal, kerana kita belum terdesak atau kebuluran tiada pilihan makanan lagi.
Walaupun tiada arak atau babi atau apa-apa yang haram, tapi dari segi ruh, kejiwaan Islam., tukang masaknya tidak pernah baca Bismillah atau mandi junub pun!
Apatah lagi mempromosi dan kempen kedai-kedai mereka dengan bersungguh, banyak lagi kedai yang tentu Islam & muslim untuk kita sokong & dokong!
Begitu juga judi adalah haram walaupun sedikit yang di kedai runcit yang sen-sen, apatah lagi yang juta-juta sebesar bukit!
Sebagaimana haramnya arak, sedikitnya sama dengan banyaknya.
Tetapi para penjual ini tidak peka walaupun untung yang dapat hanya dua tiga puluh sen, sanggup menjualnya untuk anak-anak sesama Islam.
Pihak penguasa kena bertanggungjawab, peka dan cakna jangan hanya nampak yang besar saja.
Jadi kata ulama’ judi itu haram sama ada yang kecil atau yang besarnya, sama seperti arak, sedikit atau banyak tetap haram.
Jelaslah bagi kita ayat ini apabila Allah nak larang Dia mulakan dengan {Wahai orang beriman…}.
- Ayat 90- {Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan.}-
Semua empat perkara ini adalah perbuatan kotor najis & keji serta amalan syaitan!
Iaitu selepas arak & judi ialah:
i- Pemujaan berhala atau penyembelihan yang dilakukan ke atasnya.
Termasuk perbuatan pada hari ini ada golongan manusia yang menyembelih atas kubur-kubur atau batu nisan, kubur semakin besar & ramai orang pergi bernazar & memujanya!
ii- Tikil nasib. Jika dulu dengan anak panah seperti kaum Arab jahiliyyah, tetapi hari ini makin moden dan canggih caranya.
Melihat rupa, bentuk badan, zodiak, bintang kelahiran dan sebagainya!
Begitu permaian aura, warna dan seumpamanya.
Allah nyatakan ia adalah najis; tidak kira secara zat atau secara hukum kerana ia adalah permainan syaitan!
Kata ulama’: ini menunjukkan tiada maksiat yang paling keji kecuali maksiat yang menajiskan kehidupan manusia! Iaitu empat perkara yang cukup bahaya tadi!
- Ayat 91- {Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang.}-
Kerja syaitan dengan alat-alat dia ada ini, arak judi dan bertambah lagi zaman moden ini dengan alat-alat gajet canggih yang makin melalai & melaghakan manusia.
Nak solat tak sempat, nak baca al-Quran tak sempat, nak mengaji dan berzikir semuanya tak sempat kerana dok sibuk dengan alat-alat yang melaghakan kita ini!
Ulama’ kata: Ini menunjukkan betapa besarnya kedudukan solat & zikir dalam kehidupan manusia!
Allah sebut khas bahawa ianya menjadi tujuan utama yang mahu dihalang oleh syaitan.
Kerana itu diakhir ayat Allah tanya:
Apakah kamu masih belum mahu berhenti lagi? Alhamdulillah para sahabat telah menjawab: Kami akan berhenti, kami akan berhenti!!!
Persoalan:
Dalam ayat 90 Allah sebut 4 perkara najis.
Tetapi kenapa dalam ayat 91 ini Allah hanya sebut balik dua iaitu kerosakan yang dibuat oleh arak & judi tetapi tak sebut dua perkara lagi itu?
Jawapan:
i- Ini kerana orang Islam kebiasaannya apabila telah beriman mereka tidak akan menyembah berhala lagi & tidak percaya kepada tilikan nasib lagi!
ii- Tetapi arak & judi tetap boleh terjadi dengan banyak kerana susah nak ditinggalkan, seolah menjadi kebiasaan hidup yang normal.
Kerana itu Allah SWT ulang dan tekankan keburukan dua amalan ini sekali lagi dalam ayat berikutnya.
Sebagai ayat sentap untuk zaman dulu sehinggalah kepada zaman kita ini!
Diseru dengan rendah hati kepada semua para muslimin, para keluarga & anak murid yang ada; agar meninggalkan rokok, (arak alhamdulillah orang mukmin tak ambil dah) tetapi rokok ini dipandang ringan walaupun banyak fatwa yang telah mengatakannya haram!
Diriwayatkannya secara ringkas daripada Umar bin al-Khattab RA : Bahawasanya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW. bernama Abdullah. Dia dipanggil dengan gelaran al-Himar. Dia suka membuatkan Rasulullah SAW. tertawa. Baginda pernah menyebatnya kerana meminum arak. Pada suatu hari dia dihadapkan lagi kerana kesalahan yang sama. Baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang lelaki berkata, “Ya Allah, laknatilah dia. Sudah banyak kali dia ditangkap!” Lalu Nabi SAW. bersabda, “Janganlah kamu melaknatnya. Demi Allah, aku mengetahui bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” HR Bukhari].
Ini tidak bermakna kita tidak perlu takut melakukan dosa kerana Allah bersifat Maha Penyang.
Atau pihak pemerintah membiarkan saja manusia melakukan jenayah atas nama rahmah dalam berdakwah.
Apa yang ingin ditekankan bahawa pendakwah mesti mendahulukan perkara yang menggembirakan, yang menjadi daya tarikan untuk manusia kembali kepada agama Allah dan mengharap rahmah serta keampunanNya.
Rasulullah SAW. sendiri beberapa kali menghukum sahabatnya Himar kerana meminum arak.
Pun begitu baginda SAW. melarang apabila terdapat sahabat yang mendoakan agar dia dilaknat kerana takut nanti syaitan masuk ke dalam hatinya lalu dia lari dari Islam.
Ya Allah matikan kami semua dalam husnul-khatimah, bersihkan hati kami dari sifat munafiq, bersihkanlah mulut para sahabat kami dari rokok yang sudah diharamkan dalam Islam.
- Ayat 92- {Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya)…}-
Allah perintahkan supaya taat kepada Allah & taat kepada Rasulullah, itulah jalan yang selamat!
Ketaatan kepada Rasulullah SAW itu mutlak, walaupun jika tiada dalam al-Quran tetapi jika ia sahih & warid dari Rasulullah SAW wajib ikut & amal.
Kerja Rasulullah SAW selesai dengan menyampaikan kepada ummat.
Begitu juga tugas kita para pendakwah, hanya menyampaikan, orang ikut atau tak nak ikut bukan kuasa kita.
Di akhir ayat Allah juga nyatakan sesiapa yang buat kesalahan sebelum mengetahui ianya haram, Allah maafkan perbuatan itu, alhamdulillah.
Dalam ayat 93 ini juga Allah SWT ulang 3 kali perkataan taqwa & 2 kali perkataan iman, dua kali amal soleh & sekali perkataan ihsan!
Kata ulama’: Ayat ini memberi satu ikatan yang kuat, jika kamu betul-betul sudah bertaubat:
i- Walaupun kamu telah beriman kepada Allah SWT maka selagi taqwa tidak terpasak dalam hati maka kamu tidak akan tinggalkan dan akan masih suka kepada perbuatan maksiat. Tiga kali Allah ulang taqwa ini.
ii- Jika kamu benar-benar beriman maka gilapkan iman kamu. Dua kali Allah ulang supaya gilap balik iman yang mungkin akan pudar.
iii- Kemudian selepas beriman & bertaqwa, maka beramal solehlah. Dua kali Allah ulang.
iv- Kemudian ihsan iaitu peringkat tertinggi, Allah sebutnya sekali.
Ya Allah berikan kami kekuatan jiwa, masukkan ke dalam hati kami iman, ihsan & taqwa agar kami dapat beramal soleh dengan ikhlas & meninggalkan maksiat yang Engkau haramkan.
Berilah taufiq & hidayah kepada sesiapa yang masih belum dapat meninggalkannya.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.