UJIAN ALLAH DENGAN HAIWAN, DILARANG BERBURU KETIKA BERIHRAM & KAFFARAHNYA.
Full video : https://youtu.be/fuvrvV3QI0w?si=YgrjoShOwTEu723s
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 94 sehingga 96 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang ujian Allah terhadap manusia dengan haiwan perburuan.
- Allah nyatakan bahawa orang yang di dalam ihram (muhrim) dilarang berburu haiwan darat. Manakala haiwan laut atau sungai dibenarkan.
- Sesiapa yang tangkap haiwan dalam dua keadaan ini:
i- Bagi yang dalam ihram di mana saja berada.
ii- Dalam Tanah Haram bagi sesiapa saja, berihram atau tidak.
Maka akan dikenakan denda atau kaffarahnya.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT larang manusia daripada mengharamkan perkara yang baik kemudian Allah nyatakan 4 perkara yang diharamkan selamanya dengan haram yang mutlak.
ii- Datang ayat ini Allah nyatakan dua perkara yang haram berwaktu (dalam ihram) dan haram bertempat (dalam Tanah Haram).
Bukan haram mutlak seperti 4 perkara dalam ayat sebelum ini.
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 94- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! DEMI SESUNGGUHNYA ALLAH AKAN MENGUJI KAMU (SEMASA KAMU BERIHRAM) DENGAN SESUATU DARI BINATANG BURUAN YANG MUDAH DITANGKAP OLEH TANGAN KAMU DAN (MUDAH TERKENA) TIKAMAN LEMBING-LEMBING KAMU, SUPAYA ALLAH KETAHUI WUJUDNYA SESIAPA YANG TAKUT KEPADANYA SEMASA IA TIDAK MELIHATNYA SEMASA IA TIDAK DILIHAT ORANG. OLEH ITU, SESIAPA YANG MELAMPAUI BATAS SESUDAH YANG DEMIKIAN MAKA BAGINYA AZAB YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AL-MA’IDAH 5:94)
- Sekali lagi Allah mennyeru orang beriman dan Allah menyatakan bahawa Dia menguji kamu ketika kamu berada di dalam ihram (muhrim) sama ada haji atau umrah, juga semasa berada di dalam sempadan Tanah Haram.
Perhatian; ejaaan sama tetapi baris lain memberi makna lain:
i- Muhrim (مُحْرِمٌ)- orang yang di dalam ihram.
ii- Mahram (مَحْرَم)- orang yang haram dinikahi.
- Iaitu ujian dengan binatang perburuan yang ada, sama ada yang dekat atau jauh.
Kamu diharamkan untuk menangkap atau membunuh mereka walaupun kamu mampu untuk melakukannya.
- Ujian ini kerana Allah SWT mahu melihat siapa sesiapa yang takut kepada-Nya semasa ia tidak melihat-Nya semasa ia tidak dilihat orang.
Walaupun ilmu Allah SWT meliputi semua, cuma Allah nak menzahirkan siapa yang taat & siapa yang derhaka.
- Ujian ini kerana Allah nak serlahkan kehebatan umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat yang akur & patuh; bukan seperti umat bani Israil yang degil & mencari helah sana sini untuk melanggar perintah Allah!
- Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian, siapa yang langar juga larangan Allah ini; maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya
AYAT 95- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! JANGANLAH KAMU MEMBUNUH BINATANG-BINATANG BURUAN KETIKA KAMU SEDANG BERIHRAM. DAN SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG MEMBUNUHNYA DENGAN SENGAJA, MAKA DENDANYA (MENGGANTINYA) DENGAN BINATANG TERNAK YANG SAMA DENGAN BINATANG BURUAN YANG DIBUNUH ITU, YANG DITETAPKAN HUKUMNYA OLEH DUA ORANG YANG ADIL DI ANTARA KAMU, SEBAGAI HADIAH YANG DISAMPAIKAN KE KAABAH (UNTUK DISEMBELIH DAN DIBAHAGIKAN KEPADA FAKIR MISKIN DI TANAH SUCI), ATAU BAYARAN KAFFARAH, IAITU MEMBERI MAKAN ORANG-ORANG MISKIN, ATAU BERPUASA SEBANYAK BILANGAN CUPAK YANG DIBERIKAN KEPADA ORANG MISKIN; SUPAYA DAPAT IA MERASAI KESAN YANG BURUK DARI PERBUATANNYA. ALLAH MAAFKAN APA YANG TELAH LALU; DAN SESIAPA YANG MENGULANGI (KESALAHAN ITU) MAKA ALLAH AKAN MENYEKSANYA; DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA KUASA, LAGI BERKUASA MEMBALAS DENGAN AZAB SEKSA.} (AL-MA’IDAH 5:95)
- Allah nyatakan secara terperinci lagi apakah perintah & ujian-Nya terhadap orang beriman ini.
Iaitu larang berburu (menangkap atau membunuh) haiwan liar (yang bukan dalam peliharaan manusia) ketika kamu sedangkan berihram {وَأَنتُمْ حُرُمٌۭ ۚ}.
- Maksudnya: {… ketika kamu sedangkan berihram {وَأَنتُمْ حُرُمٌۭ ۚ} ialah dalam dua keadaan ini:
i- Orang yang sedang dalam ihram haji atau umrah, tak kira dia berada di mana, apabila sudah niat ihram, bermulalah pengharamannya. Walaupun dalam perjalanan dan belum sampai dalam Tanah Haram.
ii- Bagi semua orang yang berada di dalam Tanah Haram walaupun tidak berada dalam ihram.
Untuk melihat sempadan Tanah Haram boleh lihat buku Makkah Al-Mukarramah ini: https://dartaibah.com/…/Makkah-al-Mukarramah-Kelebihan…
- Kemudian Allah bawa hukuman bagi yang melanggar larangan ini. Iaitu sesiapa yang membunuhnya dengan sengaja:
i- Maka dendanya wajib menggantinya dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, seperti jika bunuh kijang, dendanya kambing atau harga seumpamanya.
Jika Arnab- ayam dan lain-lain yang seumpamanya.
ii- Untuk menentukan binatang yang setara itu, mestilah ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil & pakar di antara kamu seperti tukang penyembelih atau veterinary contohnya.
- Denda kaffarah ini adalah sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah, iaitu haiwan ganti itu:
i- Untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Haram,
ii- Atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, jika tak mampu;
iii- Atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; contoh jika 10 cupak sama dengan 10 hari berpuasa.
- Kaffarah ini adalah supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya kerana melanggar perintah & larangan Allah SWT!
- Tetapi jika perbuatan itu berlaku sebelum kamu tahu hukumnya, Allah maafkan apa yang telah lalu; tetapi sesiapa yang mengulangi kesalahan itu setelah turun hukumnya & dia mengetahuinya maka Allah akan menyeksanya!
- Pada akhir ayat Allah mengingatkan bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa sesiapa yang melanggar perintah-Nya!
Yakni jika kamu tahu tetapi kamu buat juga maka azab yang keras menanti!
AYAT 96- {DIHALALKAN BAGI KAMU BINATANG BURUAN LAUT, DAN MAKANAN YANG DIDAPATI DARI LAUT, SEBAGAI BEKALAN BAGI KAMU (UNTUK DINIKMATI KELAZATANNYA) DAN JUGA BAGI ORANG-ORANG YANG DALAM PELAYARAN; TETAPI DIHARAMKAN ATAS KAMU MEMBURU BINATANG BURUAN DARAT SELAMA KAMU SEDANG BERIHRAM. OLEH ITU, BERTAQWALAH KEPADA ALLAH, YANG KEPADANYA KAMU AKAN DIHIMPUNKAN.} (AL-MA’IDAH 5:96)
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelum ini Allah nyatakan bahawa haram memburu haiwan darat.
Oleh kerana haiwan itu ada dua jenis sama ada atas darat atau laut;
ii- Maka dalam ayat ini Allah bawa pengecualian iaitu boleh berburu (menangkap) haiwan laut.
Serta sekali lagi Allah tekankan bahawa haiwan perburuan darat tetap haram ke atas kamu.
- Allah nyatakan bahawa segala yang ada dalam laut itu sama ada makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu untuk dinikmati kelazatannya dan juga sebagai rezeki bagi orang-orang yang dalam pelayaran.
- Kemudian Allah ulang sekali lagi bahawa tetap diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram.
- Di akhir ayat Allah ingatkan; Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
Maka kamu jangan berni-berani melanggar perintah Allah wahai manusia!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 94- {Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu,…}-
Dalam ayat ini Allah kata Dia nak uji kamu dengan haiwan perburuan yang kamu dapat tangkap dengan tangan kamu atau dengan tombak kamu!
Ayat ini menunjukkan kelebihan yang besar umat ini berbanding dengan umat terdahulu seperti puak yahudi & bani Israil.
Ayat ini juga memberi kelebihan kepada para sahabat Nabi RAnhum yang menjadi model contoh kumpulan yang melaksanankan undang-undang Syari’ah Allah SWT!
Sebagaimana Allah uji sahabat Nabi SAW ketika umrah Hudaibiyah pada tahun ke-6 H.
Di mana banyak haiwan perburuan keluar berjalan bersama rombongan umrah ini dengan jinaknya tetapi tidak ada seorang pun yang menghulurkan tangannya menyentuh haiwan ini apatah lagi menangkap atau membunuhnya! Ini menunjukkan sahabat ini takutkan Allah secara ghaib dan zahir.
Berbeza dengan Bani Israil sebagaimana dalam firman Allah SWT ini:
Maksudnya:
{Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.} (Al-A’raf 7:163)
Lalu mereka mencari helah dengan membuat perangkap agar ikan tidak boleh keluar kembali ke laut pada hari Sabtu itu & menangkapnya pada hari Ahad.
Mereka rasakan mereka cukup bijak buat helah sedemikian lalu Allah timpakan azab ke atas mereka menjadi monyet.
Umat nabi Muhammad SAW umat yang tidak mencari helah; umat yang akur & patuh kepada perintah Allah SWT!
Tetapi pada akhir zaman ini muncul juga helah-helah yang dibuat oleh panel penasihat tertentu untuk melepaskan urusan & muamalat yang dikehendaki, untuk mengharuskan apa yang diharamkan Allah khususnya dalam bab riba & rasuah!!
Allahu al-Musta’an.
Kita tinggalkan perkara syubhat yang kita rasa sukar untuk melepaskan sekatan yang Allah buat!
Untuk selamatkan diri di Akhirat kelak kita tinggalkan apa yang meragui & tidak jelas itu!
- Ayat 94- {Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu,..}-
Apabila Allah uji, Allah akan permudahkan cara & lorong untuk langgarnya atau buat maksiat itu!
Contoh- binatang yang berjalan sekali bersama orang yang dalam ihram.
Bila Allah nak uji Dia akan permudahkan sebab maka akan jadi mudah, Na’uzu billah, moga Allah lindungi kita, kuat menghadapi ujian & cabaran ini.
Ujian kita pada akhir zaman ini; lorong untuk melakukan maksiat & dosa itu mudah sangat untuk dilakukan dengan gajet di tangan!
Tangan kita ini tangan takut kepada Allah atau tidak??
Ya Allah kita berdoa semoga Allah masukkan ke dalam hati kita sifat takut kepada Allah bila & di mana saja; walaupun kita tidak nampak Allah atau orang tidak nampak kita! Tetapi ilmu Allah sudah jelas di depan mata kita!
- Ayat 94- {… yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu…}:
Perbincangan tentang maksud firman Allah ini,
Ulama’ kata maksudnya :
i- Ambil dengan tangan seperti buat jerat atau perangkap dan seumpamanya.
Dengan tombak, kita bunuhnya dengan senjata seperti lempar tombal dan lain-lain.
ii- Dengan makna haiwan yang dekat, boleh diambil dengan tangan saja atau yang jauh, yang kamu kena lontar dengan tombak.
iii- Menunjukkan bahawa haiwan itu dekat dengan kamu, dengan tangan boleh ambil, dengan tombak pun boleh ambil tetapi kamu lansung tidak menghulurkan tangan atau tombak kamu untuk menangkapnya kerana dilarang oleh SWT.
Kemudian Allah kata haiwan perburuan {ٱلصَّيْدِ}- haiwan perburuan, iaitu yang liar hidup bebas sendiri, tiada tuannya.
Iaitu bukan haiwan ternakan yang dipelihara, yang ada tuan, alhamdulillah Allah permudahkannya.
- Ayat 94- {… supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang.}-
Ulama’ kata : Sedangkan Allah tahu semuanya sebelum ciptaan langit & bumi lagi; kenapa Allah kata: {…supaya Allah ketahui wujudnya…}
Mengapa disebut sedemikian?!
Jawapan:
Allah SWT pastilah tahu semuanya tetapi cuma Allah nak menzahirkan siapakah di kalangan hanba-Nya yang baik dengan yang tidak.
Bukan Allah yang nak tengok tetapi Allah nak zahirkan kepada orang lain!
Seperti dalam ayat ini Allah telah zahirkan bahawa umat Muhammad baik bukan seperti umat yahudi yang suka cari helah!
Para ulama’ juga membezakan antara maklum (tahu) sebelum terjadi dengan maklum selepas terjadi!
Seperti Allah tahu orang ini akan melakukan maksiat; tetapi Allah tidak akan kira lagi dosanya kerana dia belum buat!
Tetapi tahu selepas buat; maka akan dikenakan ke atasnya balasan!
Juga perbezaan perbuatan selepas tahu atau sebelum tahu:
i- Jika buat tapi tak tahu salahnya Allah akan maafkan!
ii- Jika buat selepas tahu atau diberitahu maka akan dikenakan hukuman.
Kerana itu kata ulama’ :
Allah beritahu dari awal lagi bahawa Dia nak uji. Apabila tahu dari awal kita akan bersedia dan jika buat juga maka jahat betul!
Inilah rahmat Allah SWT ke atas hamba-Nya.
Seperti pelajar yang telah diberi amaran akan dikenakan tindakan disiplin jika buat sekian-sekian, maka jika mereka buat juga pastilah akan dijatuhkan hukumannya ke atas mereka!
- Ayat 96- {Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram.}-
Dalam ayat ini Allah bawa dua kategori jenis haiwan perburuan, yang halal & yang haram semasa dalam ihram.
Kata ulama’ : Hikmah dilarang haiwan darat saja semuanya berkait untuk membesarkan kedudukan Ka’bah:
i- Siapa yang pakai ihram nak masuk untuk beribadat ke Ka’bah maka jangan lagi sibuk berburu dan seumpamanya.
Fokuskan kepada ibadat.
ii- Orang yang berada dalam Tanah Haram, jangan sibuk nak menangkap haiwan atau memotong pokok!
Tanah Haram itu satu kemuliaan, sesiapa yang berada di dalamnya aman termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Hatta orang Arab jahiliyyah amat menghormati Ka’bah & Tanah Haram, apabila mereka nak buat jahat atau maksiat besar seperti membunuh mereka akan keluar dan lakukannya di luar Makkah.
Fenomena hari ini:-
Ada yang tidak terasa Ka’bah itu satu kehormatan & Tanah Haram itu satu kemulian.
Masih lagi melakukan kemungkaran seperti merokok atau menonton yang tidak sepatutnya, berbalah dan seumpamanya.
Scam jemaah haji atau umrah dengan sewenang-wenangnya.
Apabila kita berniat ihram:-
13 perkara yang ditubuh kita menjadi haram sedangkan ia adalah perkara biasa dan halal sebelumnya.
Ini kerana Allah mahu uji umat ini supaya kita tidak langar perintah Allah.
Mutakhir ini fenomena yang membimbangkan juga apabila ramai orang pergi haji dengan visa yang tidak diizinkan pemerintah!
Mereka sanggup langgar undang-undang negara orang & perintah Allah semata-mata untuk menunaikan haji yang tak dapat permit kebenaran.
Ingatlah walaupun mungkin kita lepas di dunia tetapi bagaimana kita di Akhirat!
Takkan nak pergi haji dengan rasuah & langgar undang-undang manusia tuan rumah!
Banyak sangat peraturan & undang-undang Syari’ah yang terkoyak, secara zahirnya terang-terangan kita langgar, masuk tanah haram tidak berpakaian ihram dan banyak juga SOP Syari’ah & undang-undang negara orang dilanggarnya.
{Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan…}-
Allah kata sesiapa yang langgar dengan sengaja maka dia berdosa dan kena bayar kaffarah.
Tetapi bagi yang terlanggar dengan tidak sengaja, dia tidak berdosa tetapi tetap kena bayar kaffarah dendanya.
Mudah-mudahan Allah selamatkan kita di dunia dan amankan kita di Akhirat.
Insya’ Allah esok kita sambung lagi siri kuliah tafsir ini dengan tajuk yang baru tentang kedudukan Tanah Haram Makkah.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.