View Categories

(36) Surah Al-Ma’idah : Ayat 97-100

KA’BAH TEMPAT TUMPUAN MANUSIA, BULAN HARAM, HADYU UNTUK MAKKAH & AMARAN BAGI PARA PENDERHAKA.

Full video : https://youtu.be/89NcWRlEG1c?si=Fg_YsonnlDVsfOSK

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-Ma’idah ini dengan ayat 97 sehingga 100, dalam juzu’ ketujuh.
  1. Dalam siri ini Allah SWT menyatakan bahawa Ka’bah tempat tumpuan manusia, sebagai pusat perhimpunan dunia seperti perniagaan & perhimpunan Akhirat untuk haji dan umrah. 
  1. Allah nyatakan bahawa bulan haram dan haiwan hadyu {وَٱلْهَدْىَ} yang sudah bertanda {ٱلْقَلَـٰٓئِدَ} adalah untuk disedekahkan dagingnya kepada para fuqara’ di Makkah. 
  1. Kemudian Allah beri amaran bagi para penderhaka, kamu pilihlah jalan yang kamu hendak tetapi yang buruk tidak akan sama dengan yang baik. 
    Orang yang beriman tidak sama dengan kafir, yang soleh tidak akan sama dengan yang tholeh.
    Walaupun mereka ramai jangan kagum, tetaplah kita berada di atas landasan yang benar.
  1. Munasabah dengan ayat sebelumnya:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT haramkan memburu haiwan ketika berihram & ketika berada dalam Tanah Haram, yakni ia menjadi tempat keamanan hatta bagi haiwan & burung-burung.

    ii- Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia menjadikan Ka’bah & Tanah Haram sebagai tempat keamanan, mercu tanda dan tumpuan manusia dari sudut dunia & agamanya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ 

AYAT 97- {ALLAH MENJADIKAN KAABAH, RUMAH YANG MULIA ITU, SEBAGAI TEMPAT TUMPUAN MANUSIA (UNTUK MENJALANKAN IBADAT DAN HAL-HAL HIDUP), DEMIKIAN JUGA BULAN-BULAN YANG MULIA, DAN BINATANG-BINATANG KORBAN, DAN KALONG-KALONG BINATANG KORBAN ITU. YANG DEMIKIAN ITU, SUPAYA KAMU KETAHUI BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI APA YANG ADA DI LANGIT DAN APA YANG ADA DI BUMI, DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MA’IDAH 5:97)

  1. Allah SWT nyatakan bahawa Dia menjadikan Ka’bah di Tanah Haram Makkah sebagai mercu tanda serta manfaat dunia & Akhirat bagi:
    i- Pusat ekonomi & perniagaan manusia ketika itu. Telah dibawa ke Makkah buah-buahan dan barang dagangan dari seluruh pelusuk dunia.

    ii- Sebagai tempat tumpuan ibadat haji & umrah pada setiap tahun serta sebagai kiblat solat umat Islam dari seluruh dunia.
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa ada juga masa (zaman) yang diharamkan iaitu bulan mulia atau bulan haram iaitu 4 bulan dalam setahun; Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah, Muharram dan Rajab. 
  1. Bulan ini dinamakan bulan yang Haram
    {ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ} 
    kerana pada bulan ini diharamkan berperang (hatta orang jahiliyyah menghormatinya) dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. 

    Bila tidak berperang bolehlah mereka bertenang untuk beribadat & berniaga. 
    Orang di Makkah pun tidak sunyi, sentiasa menjadi tumpuan manusia.

    Berbeza dengan bulan haji iaitu: 
    Bermula dari 1 Syawal, Zul-Qa’dah dan sehingga terbit fajar pada 10hb Zulhijjah.
  1. Dalil diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
    الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ، السنةُ اثنا عشر شهرًا، منها أربعةٌ حُرُمٌ ثلاثةٌ مُتوالياتٌ: ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ، ورجبُ مُضر، الذي بين جُمادى وشعبانَ.
    Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul-Qa’dah, Zul-Hijjah, Muharram) dan yang keempat adalah Rajab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”. [HR al-Bukhari, no. Hadith 4054]
  1. Kemudian Allah nyatakan bahawa haiwan hadyu iaitu haiwan ternakan (unta, lembu atau kambing) yang dibawa untuk disembelih di Makkah sama ada untuk dam denda atau untuk korban, serta kalong-kalong binatang korban yang digantung pada tengkok haiwan sebagai tanda ia adalah untuk Allah & tidak akan diganggu; semua ini adalah untuk menzahirkan syi’ar Allah.
  1. Allah jadikan semua ini supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi- maka jangan kamu bantah Syari’ah Allah, ikutlah segala perintah Allah jangan tunjuk pandai sendiri!
  1. Allah tegaskan lagi di akhir ayat bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu, tidak ada yang tersembunyi dari pengetahuan-Nya & Dia akan balas apa yang kamu kerjakan!!

AYAT 98- {KETAHUILAH OLEH KAMU, BAHAWASANYA ALLAH MAHA BERAT AZAB SEKSANYA (KEPADA ORANG YANG KUFUR DAN DERHAKA), DAN BAHAWASANYA ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI (BAGI ORANG YANG MENGERJAKAN SURUHANNYA DAN MENINGGALKAN LARANGANNYA).} (AL-MA’IDAH 5:98)

  1. Munasabah ayat ini:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebut beberapa jenis rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya. 

    ii- Dalam ayat ini Allah peringatkan pula jangan kamu sedap duduk dengan rahmat Allah saja kerana Allah Maha berat azab seksa-Nya kepada orang yang kufur dan derhaka.
  1. Maka wahai manusia janganlah kamu berani buat maksiat, buat derhaka, ingkar dan melawan perintah Allah- kerana Allah SWT amat keras azabnya terhadap mereka yang derhaka. 
  1. Tetapi dalam masa yang sama Allah juga:
    i- Allah Maha Pengampun {غَفُورٌۭ} bagi hamba-Nya yang bertaubat memohon keampunan.

    ii- Lagi Maha Mengasihani {رَّحِيمٌۭ} bagi hamba-Nya yang baik, yang mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

AYAT 99- {TIDAK ADA KEWAJIPAN YANG DITUGASKAN KEPADA RASULULLAH SELAIN DARIPADA MENYAMPAIKAN (PERINTAH-PERINTAH ALLAH) SAHAJA; DAN ALLAH SENTIASA MENGETAHUI APA YANG KAMU LAHIRKAN DAN APA YANG KAMU SEMBUNYIKAN.} (AL-MA’IDAH 5:99)

  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah nyatakan galakan & amaran.

    ii- Maka Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa tugas rasul ialah menyampaikan dan membimbing manusia ke jalan benar. 
    Seorang yang keras pada tempatnya & lembut juga pada tempatnya.
  1. Rasulullah SAW seorang yang tegas dalam tugas Baginda, bukan lemah tidak bermaya; keras dalam masalah kufur & maksiat.
    Serta lembut dan penuh kasih sayang kepada orang beriman yang taat.
  1. Kerja Rasulullah SAW ialah menyampaikan dan bukan di bawah kuasa rasul untuk memberi hidayah. 
    Hidayah petunjuk & taufiq itu milik Allah, manakala hidayah irsyad membimbing itu kerja Nabi dan para pendakwah semua! 
  1. Tanggungjawab kita sudah selesai apabila sudah menyampaikan; orang dengar alhamdulillah orang tak dengar pun alhamdulillah!
    Allah tidak beri kita kuasa untuk paksa orang terima; hanya perintah untuk menyampaikan ke telinga mereka!

AYAT 100- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “TIDAK SAMA YANG BURUK DENGAN YANG BAIK, WALAUPUN BANYAKNYA YANG BURUK ITU MENARIK HATIMU. OLEH ITU BERTAQWALAH KEPADA ALLAH WAHAI ORANG-ORANG YANG BERAKAL FIKIRAN, SUPAYA KAMU BERJAYA.} (AL-MA’IDAH 5:100)

  1. Kemudian Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa tidak sama perkara yang baik & perkara yang tidak baik. 
    Pastilah yang buruk itu lebih menarik hati & jiwa manusia lalu ramailah yang mengikutnya kerana ia lebih dekat dengan nafsu. 
  1. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat lepas Allah nyatakan larangan daripada maksiat dan galakan taat akan suruhan-Nya. 
    Kemudian dinyatakan tugas rasul untuk menyampaikan dakwahnya. 
    Serta dinyatakan bahawa Allah SWT tahu semua yang zahir dan yang batin. 

    ii- Maka datang ayat ini Allah suruh manusia berfikir apakah sama perkara yang baik dengan perkara yang buruk??
    Pastilah tidak sama! 
    Samakah taat dengan maksiat? 
    Iman dengan kufur? 
  1. Maka kamu fikirkan sendiri, walaupun kamu lihat orang yang buat maksiat, pengikut bid’ah & mungkar itu ramai; kamu jangan pelik & terpengaruh! 
    Allah sudah jelaskan landasan yang baik dan buruk, kamu buatlah pilihan untuk keselamatan dunia dan akhirat.
  1. Kata seorang pendakwah masyhur di Kelantan, Allahyarham Ustaz Muhamad Mustafa : Orang yang mati rasa terhadap maksiat ini lebih bahaya daripada orang yang mati pucuk! 
    Ini kerana mereka apabila lihat orang tengok buat maksiat senyap, tengok anak isteri atau keluarga rapat tak sempurna tutup aurat tak mengapa, tengok orang tak solat beres, tengok orang kafir bangkit nak jatuhkan Islam tidak terasa apa… 
    Iaitu seolah maksiat dalam masyarakat menjadi satu normalisasi.
  1. Kamu jangan kagum dengan orang yang ramainya pengikut, jika apa yang mereka bawa itu tidak betul, tidak ikut Sunnah kamu abaikan! 
    Seperti kita hari ini, ramai yang tidak mahu ikut Sunnah Nabi SAW yang kita kempenkan; tidak mengapa. Nabi SAW sendiri pengikutnya tidak ramai pada awalnya.

    YANG ramai tidak semestinya betul; jika yang sedikit kena ikut yang ramai atau arus perdana, maka pastilah gembala kambing yang kena ikut kambing; bukan sebaliknya! 
  1. Kata ulama’ : ramainya ahli maksiat tidak menunjukkan mereka betul, orang yang taat itu lebih baik walaupun mereka sedikit, kerana akan memberi manfaat kepada Akhirat mereka.
    Seperti kita dapat rezeki halal yang sedikit lebih baik daripada kita dapat rezeki yang banyak tetapi haram.
  1. Allah akhiri ayat ini dengan menyeru orang yang mempunyai akal yang waras agar takut kepada Allah – dengan mengikut apa yang diperintah Allah dan menjauhi apa yang dilarang supaya dapat mencapai keredhaan & keampunan Allah serta syafa’at Rasulullah SAW dan syurga tempat kembali!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 97- {Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup)…}-

    Allah jadikan Ka’bah sebagai mercu tanda, tumpuan manusia untuk kehidupan dunianya & juga Akhirat.
    Allah sebut bahawa Makkah asalnya tanah yang kering-kontang, tanpa sungai atau kolam tetapi penuh dengan pelbagai buah-buahan yang dibawa dari serata dunia. 
    Sebagai nikmat & limpah rahmat dari Allah kepada umat Islam.
    Makkah menjadi tempat orang Arab datang untuk berniaga dan mengerjakan haji sejak zaman jahiliyyah lagi. 
    Datang Islam membetulkan keadaan dan memperelokkan ibadat ini.
    Jadi dalam ayat ini jelas Allah nyatakan apabila sebut Ka’bah & Makkah ia adalah sinonim dengan bulan haram, haji & al-hadyu.

    Untuk bacaan tambahan ilmu boleh baca buku Makkah Mukarramah: https://dartaibah.com/…/Makkah-al-Mukarramah-Kelebihan…
  1. Ayat 97- {…demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu…}-

    Allah sebut dalam ayat ini bahawa kita kena hormati bulan-bulan haram yang disebutkan. 
    Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
    {Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.} (At-Taubah 9:36)

    Rasulullah SAW juga telah menyebut tentang bulan haram ini dalam hadis Khutbah Wada’ yang panjang.
    Jangan cuba berbuat maksiat dalam bulan-bulan haram kerana dosanya lebih berat. 
    Kemudian Allah juga sebut tentang hadyu {ٱلْهَدْىَ} iaitu binatang khas untuk disembelih di Makkah dan dibahagikan dagingnya kepada asanaf di Makkah. 
    Ia berbeza bukan haiwan korban kerana korban boleh disembelih di mana saja. 
    Tetapi hadyu atau dam hanya boleh disembelih di Makkah dan ditanda dengan kalong di lehernya {وَٱلْقَلَـٰٓئِد} sebagai tanda-tanda menzahirkan syiar dari Allah. 
    Apabila orang lihatnya orang tahu ia adalah haiwan hadyu yang akan dibawa ke Makkah. Untuk disembelih.
  1. Yang demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.}–

    Allah sebut dalam ayat ini bahawa Allah SWT mengetahui segala perkara yang di langit & di bumi!
    Allah ulang ayat ini untuk menekankan bahawa Allah SWT mengetahui semua perkara! 
    Agar kamu sedar & tahu bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
    Apabila kita tahu Allah tahu semua perbuatan baik yang kita buat maka kita tidak akan kecewa apabila tiada orang tak tahu tentang kebajikan yang kita buat. 
    Maka jangan berani buat maksiat jangan berani langgar perintah Allah!
    Apabila Allah nyatakan hukum, Allah nyatakan juga terus hikmah & sebabnya; ini adalah supaya kamu tahu Allah SWT itu tahu!
    Kita kena belajar tentang nama-nama Allah yang Maha Indah agar kita boleh faham sifat & nama Allah yang Maha tinggi, lalu makin meningkat keimanan!
  1. Ayat 98- {Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani…}-

    Ini adalah uslub al-Quran dia mesti kembarkan dua sekali, bila ada galakan pasti amaran, baik & buruk, dosa & pahala, iman & kufur serta syurga & neraka! Maka kamu jangan berani buat tak tentu hala!
    Kata ulama’ : Dalam ayat ini ada dua ilmu yang kita mesti letak dalam hati manusia sebagai pengajaran:
    i- Bila kita tahu Tuhan itu keras hukuman & balasanya; maka jangan kita berani buat dosa & maksiat.

    ii- Bila kita tahu Allah luas kasih-sayang kepada hamba-Nya maka perbanyakkan taat.
    Dalam ayat ini juga Allah menyatakan tugas Rasul itu menyampaikan dan bila dan sampaikan selesai tugas & tanggungjawabnya.
    Juga amaran agar jangan kita kagum dengan ramainya ahli maksiat, ahli khurafat & ahli bid’ah yang ramai.
    Yang kita kena kagumnya bagaimana kita boleh berpegang dengan al-Quran, dengan Sunnah Nabi SAW yang sebenarnya dan dengan apa yang diajar oleh para Salafus-Soleh. 
  1. Ayat 100- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu…}-

    Kamu ada akal, ada fikiran maka fikirlah sendiri, gunakan otakmu untuk menapis apa yang buruk dan menerima apa yang baik.
    Jangan ikut nafsu & perasaan, fikir dengan otak yang diberikan untuk bezakan kebaikan dan keburukan, untuk kebahagiaan dan ketenangan di dunia dan Akhirat.
    Menjadi satu fenomena hari ini manusia mudah terpengaruh dengan sesuatu yang pelik! 
    Kita jangan kagum dengan benda pelik tapi kagumlah dengan ramainya orang yang mengamalkan Sunnah Nabi SAW! 
    Walaupun orang ramai tak ikut kita, kita teruskanlah perjuangan! 
    Kerana orang yang ada akal akan pilih yang baik, yang berpegang dengan al-Quran & Sunnah Nabi SAW.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.

Powered by BetterDocs