KAFIR MINTA KITAB BERTULIS, MALAIKAT SEBAGAI RASUL & AKIBAT BURUK GOLONGAN PENDUSTA.
Full video : https://youtu.be/V-7tr2EzoVA?si=wnNeyk16gJ8cnKJQ
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 7 sehingga 11 dalam juzu’ ketujuh.
- Dalam siri ini Allah SWT menceritakan tentang kafir minta macam-macam; mereka minta kitab bertulis di atas kertas yang boleh mereka pegang dan sentuh seperti kitab Taurat.
- Mereka juga meminta agar Allah hantar malaikat sebagai rasul bukan hanya manusia seperti mereka.
- Kemudian Allah balas balik permintaan bodoh mereka itu dengan menyatakan jika Allah hantar sebuah kitab lengkap atau malaikat sekalipun; mereka yang degil keras kepala tetap tidak akan beriman & menolak segala hujjah yang nyata itu.
- Allah juga nyatakan akibat buruk golongan pendusta iaitu azab yang dahsyat.
Yakni lagi cepat kebinasaan yang akan menimpa mereka jika Allah hantar malaikat kepada mereka!
- Allah sebut beberapa isu yang telah terjadi ke atas para rasul terdahulu ini untuk menenangkan hati Nabi SAW.
Begitu juga para pendakwah hari ini sabar & istiqomahlah dalam menghadapi ujian dalam perjuangan, kerana begitulah Sunnatullah atau ketetapan Allah atas dunia dunia ini.
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT nyatakan tentang puak kafir yang telah mendustakan ayat-ayat Allah sama ada ayat yang dilihat seperti mukjizat Nabi SAW atau ayat al-Quran yang dibaca.
ii- Maka datang ayat ini Allah menyatakan bahawa perangai puak yang degil keras kepala ini, bawalah al-Quran yang bertulis dan boleh dibaca sekalipun mereka tetap akan menolaknya, tidak beriman bahkan mengatakannya sihir pula!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 7- {DAN KALAU KAMI TURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) SEBUAH KITAB (YANG BERTULIS) PADA KERTAS, LALU MEREKA MEMEGANGNYA DENGAN TANGAN MEREKA, NESCAYA ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU BERKATA: “INI TIDAK LAIN, HANYALAH SIHIR YANG TERANG NYATA”.} (AL-AN’AM 6:7)
- Allah menyatakan betapa sombong dan degilnya puak kafir ini dalam menolak kebenaran; andainya Allah turunkan al-Quran yang siap bertulis di atas kertas & mereka dapat menyentuh dan memegang dengan tangan mereka; mereka tetap akan menolaknya, bahkan mengatakannya sebagai sihir pula!
Yakni bawalah gajah rimau sekalipun mereka tetap tidak akan beriman!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya: {Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada):
Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata: “Hanya mata kami telah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan (oleh Muhammad)”.} (Al-Hijr 15:15)
- Mengikut cerita sebahagian para pendakwah kita di negara kafir: Ada orang kafir yang mengatakan tidak mengapa anak mereka nak tukar agama apa saja asal jangan Islam!
Islam a big NO! Inilah Islamophobia, yang telah berjaya untuk membuatkan orang kafir takut & benci terhadap Islam dengan dakyah & propaganda yang dimainkan mereka!
- Apatah lagi sekarang ini pula sesama Islam pun dok sibuk berbalah berkelahi sesama sendiri!
Awaslah, puak kafir sedangkan memerhati dan gembira dengan perpecahan yang tejadi antara kita!
AYAT 8- {DAN MEREKA BERKATA: “MENGAPA TIDAK DITURUNKAN MALAIKAT KEPADANYA? PADAHAL KALAU KAMI TURUNKAN MALAIKAT NESCAYA SELESAILAH PERKARA ITU (KERANA MEREKA TETAP BERDEGIL DAN TIDAK AKAN BERIMAN), KEMUDIAN MEREKA TIDAK DIBERI TEMPOH (LALU DIBINASAKAN DENGAN BALA BENCANA SECARA MENGEJUT).} (AL-AN’AM 6:8)
- Kemudian kafir yang degil & sesat itu mereka membawa cadangan kedua pula; kenapa Allah tidak turunkan malaikat bersama rasul itu, yang dapat membenarkan dakwaan Rasulullah SAW bahawa dia seorang rasul utusan Allah!
Barulah mereka akan beriman dengan lebih cepat kononnya!
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT ini:
Maksudnya: {Dan mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).} (Al-Furqan 25:7)
- Puak kafir itu sentiasa mencari helah dan alasan untuk tidak beriman!
Allah tahu jika diturunkan malaikat sekalipun mereka tetap tidak akan beriman dan menolak kebenaran.
- Maka ketika itu Allah tidak akan beri tempoh & tangguh lagi ke atas mereka, lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut.
- Firman Allah SWT juga:
Maksudnya: {Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila”.
“Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”
Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka (yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.}
(Al-Hijr 15: 6-8)
- Antara keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW ialah umat yang dirahmati; kita tidak akan dibinasakan sekaligus (total loss) seperti umat yang terdahulu.
Tetapi hanya secara juzuk-juzuk iaitu sebahagiannya sahaja, gempa di sini, banjir dan tsunami di sana, sikit-sikit!
AYAT 9- {DAN KALAU (RASUL) ITU KAMI JADIKAN MALAIKAT, TENTULAH KAMI JADIKAN DIA BERUPA SEORANG LELAKI (SUPAYA MEREKA DAPAT MELIHATNYA), DAN TENTULAH KAMI (DENGAN YANG DEMIKIAN) MENYEBABKAN MEREKA KESAMARAN SEBAGAIMANA MEREKA SENGAJA MEMBUAT-BUAT KESAMARAN (TENTANG KEBENARAN NABI MUHAMMAD SAW).} (AL-AN’AM 6:9)
- Allah menjawab lagi: Jika Allah hantar malaikat sebagai seorang rasul sekalipun, pastilah Allah akan jadikan dia berupa seorang lelaki supaya mereka dapat melihatnya.
Yakni malaikat akan menyamar sebagai lelaki yang berpakaian dan bersifat seperti manusia juga.
Ini kerana manusia tidak mampu untuk melihat malaikat dalam rupanya yang asli kecuali para nabi & rasul yang Allah izinkannya!
- Dengan demikian iaitu malaikat yang berupa manusia itu; pastilah akan menyebabkan mereka kesamaran juga, mereka akan menjadi ragu & syak juga!
Mereka akan kata ini hanyalah manusia lelaki yang sama seperti kita serta pelbagai tuduhan & penolakan lagi!
- Yakni sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran, syak keraguan serta alasan dan helah untuk menolak tentang kebenaran Nabi Muhammad SAW.; begitu juga mereka akan buat kesamaran & helah untuk menolak malaikat itu juga!
AYAT 10- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! TELAH DIPEROLOK-OLOK BEBERAPA RASUL SEBELUMMU, LALU ORANG-ORANG YANG MENGEJEK-EJEK DI ANTARA MEREKA DITIMPAKAN (BALASAN AZAB) BAGI APA YANG MEREKA TELAH PEROLOK-OLOKKAN ITU.} (AL-AN’AM 6:10)
- Allah SWT menenangkan hati Rasulullah SAW dengan menyatakan betapa beberapa Rasul sebelumnya telah diperolok-olok dan ditolak ditentang oleh kaum mereka.
- Munasabah ayat:
i- Oleh kerana puak kafir itu datang memerli Nabi SAW, menghina dan menolak Baginda SAW dengan meminta malaikat pula sebagai rasul- betapa buruknya perangai mereka!
ii- Maka Allah bawa datang cerita ini untuk menenangkan hati Baginda SAW, jangan kamu sedih akan perbuatan kaummu itu kerana para rasul lain sebelum ini pun begitu juga.
Mereka diperolokkan dan dipermainkan oleh kaum mereka!
- Lalu Allah timpakan ke atas orang-orang yang mengejek-ejek itu balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.
Biasanya umat dahulu apabila mereka derhaka lawan Nabi pada peringkat akhir; Allah SWT beri tempoh tiga hari sebelum datang azab yang membinasakan semuanya!
- Umat kita hari ini walaupun sebutir bukit dibuat dijadikan tempat maksiat, judi arak semua ada; tetapi Allah tidak turunkan bala musnahkan semuanya sekaligus.
Sekali-sekala ada juga goncangan dan peringatan tetapi tidak seperti umat dahulu!
- Mudah-mudahan umat Nabi Muhammad SAW yang dirahmati Allah SWT ini kembali tenang, bersatu atas landasan Islam & ukhuwwah iman.
Tidak berbalah sesama sendiri lagi sehingga martabat Islam baik kembali sebagaimana sepatutnya!
- Kita ambil jalan tengah, terus jalankan tugas berdakwah menyampai & menyatakan kebenaran, orang terima alhamdulillah, jika tidak, tidak mengapa yang penting kita sudah jalankan tanggungjawab!
AYAT 11- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “MENGEMBARALAH KAMU DI MUKA BUMI, KEMUDIAN PERHATIKANLAH BAGAIMANA AKIBAT BURUK (YANG MENIMPA) ORANG-ORANG YANG MENDUSTAKAN (RASUL-RASUL) ITU.”} (AL-AN’AM 6:11)
- Kemudian Allah suruh Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengembara berjalan atas muka bumi ini – lihatlah bagaimana mereka telah musnah, mati habis ditimpa bala bencana yang mereka yang menderhaka itu!
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah nyatakan hukuman ke atas kaum terdahulu yang telah mendustakan para Rasul Allah, mereka ditimpa azab.
ii- Maka datang ayat ini Allah suruh kita berjalan atas muka bumi ini untuk melihat kesan-kesan peninggalan yang ada.
- Yakni untuk kita lihat bagaimana akibat buruk yang menimpa orang-golongan yang mendustakan para rasul lalu mengambil ibrah pengajaran atas hukuman itu.
Bukan hanya berjalan suka-suka bergambar tanpa ada rasa takut & insaf lalu tidak akan ada kesan!
Malangnya hari ini tempat turun azab itu sudah menjadi tempat perlancungan untuk orang melancung healing tanpa ada apa-apa perasaan keinsafan.
Ingatlah walaupun kita umat yang dirahmati Allah, tetapi jika bala turun pasti akan musnah juga!
Allah hanya tangguhkan bala itu untuk seketika sehingga ke suatu masa yang Dia pilih!
Sekali bala datang tiada yang selamat!
- Sekarang ini pun pelbagai bencana alam yang pelik-pelik telah berlaku.
Awal tahun baru ni diuji dengan elnino, kita semua sibuk solat minta hujan minta hujan, sekarang ni banjir pula melanda di luar musim dan di luar kebiasaannya.
Tetapi yang buat maksiat mungkar masih tidak insaf mahupun berhenti, tetap tidak berganjak!
Pusat riba, judi, maksiat tetap dibuka, wanita yang tidak menutup aurat masih bebas menjadi satu kebiasaan tanpa disekat!
- Maka Allah kata pergi tengoklah apa jadi, perhatikanlah apa yang terjadi akibat buruk ke atas mereka, orang yang mendustakan rasul-rasul itu, mereka telah mati bergelimpangan.
- Kita mengaji al-Quran untuk kita ambil ibrah pengajaran.
Kita berfikirlah dengan hati yang lapang, pemikiran yang matang apa yang yang kita mahu atas dunia ini!
Jika kita mahu balasan baik, keampunan & keredhaan Allah maka buatlah apa yang diperintah Allah & apa yang diajar oleh Rasulullah SAW.
- Nak dapatkan syafaat Nabi SAW buatlah apa yang Baginda tinggalkan, tak perlu tambah & ubah lagi.
Perjalanan dalam agama ini sudah cukup dengan apa yang ditinggalkan oleh Nabi SAW bahkan masih banyak lagi Sunnah Baginda yang kita tak buat & amalkan!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 7- {Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka,…}-
Allah kata walaupun diturunkan al-Quran dalam lembaran kertas yang orang kafir dapat baca & tengok, mereka tetap akan menolaknya!
Kata ulama’ : Mereka yang menolak kebenaran bukan yang tidak ada akal, tidak ada otak tetapi mereka yang angkuh, sombong, takabbur & keras kepala!
Ini punca berlakunya penentangan!
Musyrikin Quraisy ini orang bijak, mereka peniaga dengan skala besar, ke luar Makkah dan Tanah Arab seperti international trade di Syam & Yaman.
Bukan calang-calang orang, orang bodoh tak akan dapat bebisnis juta-juta!
Kita hari ini pun binasanya masyarakat kerana sombong tidak mahu dengar kebenaran!
Dengar dulu untuk lihat apa yang salah & sesat yang menyebabkan kamu menolaknya, ini tidak, nak dengar pun tak mahu terus tutup mata, tutup telinga!
Begitulah bila ada yang pelik pakat minat & puja digosok, yang jelas sahih pakat tinggalkan!
Menangis melihat replika-replika yang dibuat, kononnya kepunyaan Nabi SAW tetapi dengan mukjizat Nabi SAW yang paling besar iaitu al-Quran tidak pula mereka terkesan!
Kempen kita; yang jelas & sahih kita ambil; yang tidak ada sandaran & dalil yang sahih kita tolak!
- Ayat 7- {Dan kalau Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (yang bertulis) pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka,…}-
Allah menyatakan bahawa puak kafir yang mendustakan itu tidak akan beriman walaupun mereka lihat al-Quran dengan mata & pegang dengan tangan mereka sendiri!
Tetapi mereka tetap tidak mahu juga, akan menolaknya kerana hati mereka sudah tertutup, mereka kata semua sudah disihir pula!
Lalu Allah nyatakan dengan ilmu-Nya bahawa orang kafir yang menolak al-Quran akan tetap kafir di situlah walaupun dibawa kepada mereka apa jenis mukjizat & keajaiban sekalipun!
Maka kita jangan terus tutup hati & telinga, kita dengar dulu, buka mata, buka minda & kaji dulu sebelum menolak sesuatu itu.
- Ayat 8- {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).}-
Ayat ini menunjukkan betapa degil & keras kepalanya puak kafir ini.
Mereka juga mempunyai pelbagai rancangan & strategi untuk menolak hujjah yang Nabi SAW bawa.
Mereka cari pelbagai helah dan perancangan yang dibuat dan dicari untuk lawan kebenaran.
Ulama’ juga kata: Ayat ini menunjukkan kafir musyrikin itu tahu tentang malaikat, dan mereka tidak bodoh tetapi tidak cerdik juga kerana tolak kebenaran!
Mereka tahu malaikat ada tetapi tidak beriman juga.
Kerana itu Allah terus beri amaran, beri kata putus; jika Allah turunkan malaikat dan kamu tetap tidak beriman juga maka akan habis binasa kamu!
Yakni Allah beritahu kepada Rasulullah SAW jangan dok layan karenah dan cadangan puak kafir ini!
Teruskan kerja dakwah kamu dalam penyampaikan kebenaran bukan hanya sekadar melontar teori & idea, jangan habiskan masa dengan hanya memberi cadangan dan pandangan!
- Ayat 8- {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).}-
Mereka meminta Allah turunkan malaikat sebagai rasul.
Allah kata jika Aku turunkan malaikat & kamu tidak beriman; akan musnah binasa semua kamu!
Kata ulama’ tadabbur : Ayat ini menunjukkan kepada rahmat Allah terhadap hamba-Nya. Boleh aje Allah nak hantar malaikat bila-bila masa.
Tetapi jika Allah hantar malaikat tetapi kamu masih degil, menolak tidak beriman; maka malaikat akan terus ambil tindakan ke atas kamu tanpa tangguh & bertempoh!
Kata ulama’ : Kalimah kemudian {ثُمَّ} dalam ayat ini menunjukkan kepada tiada tangguh, tidak akan tunggu atau beri masa lagi!
Maka Allah kata Dia tidak hantar malaikat sebab umat ini umat yang dirahmati Allah SWT!
Hikmah Allah tidak layan perminta puak kafir & tetap utus manusia sebagai rasul kerana:
i- Sesama jenis manusia lebih dekat jiwanya.
Sama-sama makan, kahwin dan seumpamanya.
Malaikat tidak bersifat dengan semua ini, kamu tidak akan mampu ikutnya!
ii- Manusia tidak akan mampu untuk melihat malaikat dalam rupanya yang asli kecuali dalam bentuk manusia juga!
iii- Ketaatan malaikat ini melampaui kemampuan manusia.
Jika malaikat lihat manusia buat maksiat pasti malaikat akan terus hukumnya!
iv- Jawatan nabi & rasul itu adalah anugerah yang Allah pilih.
Kerana Allah dah pilih manusia itu janganlah kamu dengki dan menolaknya!
Allah SWT sebut jika Dia hantar malaikat pun akan berupa sebagai manusia lelaki juga!
Ulama’ tadabbur ambil dalil dari ayat ini bahawa rasul itu semuanya lelaki tidak akan ada rasul atau nabi perempuan.
- Ayat 10- {Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.}-
Allah beri nasihat kepada Rasulullah SAW agar sabar & bertenang, para rasul-rasul sebelum ini juga telah dipermainkan dan ditentang oleh kaum masing-masing!
Ayat ini menjadi penenang hati Rasulullah SAW, maknanya pendustaan terhadap para nabi ini bukan benda baru.
Pertembungan antara yang haq & batil ini sudah berlaku lama turun temurun.
Maka para rasul dan mereka selepasnya; pendakwah sekelian sabarlah dalam menghadapi ujian tentangan.
Jika para nabi teruk lagi kena maka kita juga jangan cepat koyak dan goyah dalam dakwah & perjuangan.
Allah juga kata bagi mereka yang perli agama mereka akan binasa dengan azab yang dahsyat!
Allah juga suruh berjalan atas muka bumi, pergi tengok lihatlah untuk ambil ibrah pengajaran bagaimana binasanya kaum yang telah mendustakan rasul.
Nak tengok dengan mata tak nampak mana tetapi tengoklah dengan mata hati, ambillah iktibar pengajaran yang boleh membawa keinsafan.
Bukan hanya berjalan saja-saja, suka-suka, tanpa keinsafan; apatah lagi melakukan ritual ibadat dan pemujaan.
Menjadi tempat pesta, bawa kaum keluarga dan anak-anak, melawat dan memuja kubur-kubur pula! Allahu al-Musta’an.
Ya Allah pada hari yang mulia ini berilah kepada kami penglihatan mata & mata hati untuk melihat kebenaran ayat-ayat Allah SWT & kebenaran dakwah yang dibaw oleh Rasulullah SAW.
Ya Allah tenangkan hati kami, berilah kami nampak kebenaran, jagalah kami dari segala kejahatan sebagaimana Engkau jaga & tenangkan hari para nabi sebelum ini.
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir ringkas kita untuk hari ini, semoga mendapat manfaat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.