8 JENIS HAIWAN TERNAKAN, CARA KAFIR PILIH PENGHARAMANNYA & KEZALIMAN MEREKA-REKA TERHADAP ALLAH
Full video : https://youtu.be/Ndwo2Ngt5t8?si=aWTbhgk2EaWvw52G
MUQADDIMAH :
- Alhamdulillah pada hari ini kita dapat teruskan pengajian kita dalam tafsir Surah Al-An’am ini dengan ayat 143 sehingga 144 dalam juzu’ kelapan.
- Dalam siri ini Allah SWT sekali lagi tegakkan hujjah ke atas puak kafir dengan menyebut 8 jenis haiwan ternakan yang Allah anugerahkan sebagai nikmat kepada manusia.
- Kemudian Allah bawa hujjah untuk patahkan cara kafir pilih pengharamannya serta menempelak perbuatan mereka itu.
- Lalu sekali lagi Allah nyatakan kezaliman orang yang mereka-reka terhadap Allah, mengharamkan apa yang Allah halalkan dan sebaliknya.
Itu adalah satu pendustaan ke atas Allah SWT!
- Munasabah dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat yang lepas Allah SWT telah menempelak ajaran atau peraturan yang dibuat oleh puak kafir & menetapkan ajaran agama Islam ini.
ii- Lalu datang ayat ini untuk memperli & menjatuhkan hujjah puak mereka, bagaimana teori kamu pilih yang halal & haram itu?
Allah suruh Nabi SAW tanya agar mereka memikirkan tentangnya.
Dari mana mereka ambil teori untuk buat hukuman tersebut agar mereka dapat merenung memikirkan tentangnya!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
AYAT 143- {(BINATANG TERNAK ITU) DELAPAN EKOR – (EMPAT) PASANGAN; DARI KAMBING BIRI-BIRI DUA EKOR (SEPASANG JANTAN BETINA), DAN DARI KAMBING BIASA DUA EKOR (SEPASANG JANTAN BETINA). TANYALAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA ORANG-ORANG MUSYRIK ITU): “ADAKAH YANG DIHARAMKAN ALLAH ITU, DUA JANTANNYA ATAU DUA BETINANYA, ATAU YANG DIKANDUNG OLEH RAHIM DUA BETINANYA? TERANGKANLAH KEPADAKU DENGAN BERDASARKAN ILMU PENGETAHUAN (SYARAK DARI ALLAH YANG MENJADI DALIL TENTANG HARAMNYA), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR”.} (AL-AN’AM 6:143)
- Allah nyatakan bahawa binatang ternakan yang Allah cipta sebagai anugerah & nikmat untuk hamba-Nya itu ada 8 kategori atau empat pasang.
Dalam ayat ini disebut dua pasang iaitu:
i- Dari kambing biri-biri {ٱلضَّأْنِ} dua ekor (sepasang jantan betina),
ii- Dan dari kambing biasa {ٱلْمَعْزِ} dua ekor (sepasang jantan betina).
- Kemudian Allah perintahkan Rasulullah SAW bertanya kepada puak kafir musyrikin itu apakah yang Allah haramkan itu sama ada dua jantannya atau dua betinanya, bagaimana kamu pilihnya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya?
Sedangkan Allah cipta semua binatang yang tersebut adalah halal.
- Ayat ini ditafsirkan dengan firman Allah SWT:
{Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya, isterinya (Hawa); dan Ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina)…} (Az-Zumar 39:6)
- Sedangkan semua binatang itu tiada bezanya, jadi dari mana, atas sebab apa mereka buat hukum yang ini haram, yang ini halal.
Kenapa mereka mebeza-bezakannya pula yang ini boleh dimakan oleh lelaki, tidak boleh dimakan oleh kaum wanita dan sebagainya!
- Allah suruh Nabi SAW minta dari mereka puak kafir; keterangan & penjelasan dengan yakin, dengan ilmu yang tepat dari mana sumber sandaran yang mereka buat hukum & peraturan itu?
Di mana dalilnya?????
- Ini adalah soalan buka minda supaya mereka sedar dan memikirkannya.
AYAT 144- {DAN DARI UNTA DUA EKOR (SEPASANG JANTAN BETINA), DAN DARI LEMBU DUA EKOR (SEPASANG JANTAN BETINA). TANYALAH (WAHAI MUHAMMAD): “ADAKAH YANG DIHARAMKAN ALLAH ITU DUA JANTANNYA ATAU DUA BETINANYA, ATAU YANG DIKANDUNG OLEH RAHIM DUA BETINANYA? ATAUPUN KAMU ADA MENYAKSIKAN KETIKA ALLAH MENYURUH SERTA MENENTUKAN KEPADA KAMU (ATAU KEPADA DATUK NENEK KAMU) DENGAN YANG DEMIKIAN INI?” OLEH ITU, SIAPAKAH YANG LEBIH ZALIM DARIPADA ORANG YANG BERDUSTA TERHADAP ALLAH UNTUK MENYESATKAN MANUSIA DENGAN TIDAK BERDASARKAN ILMU PENGETAHUAN? SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI PETUNJUK KEPADA KAUM YANG ZALIM.} (AL-AN’AM 6:144)
- Allah nyatakan bahawa kategori binatang ternakan yang Allah ciptakan sebagai nikmat untuk hamba-Nya itu ada 8 kategori atau empat pasang, dalam ayat ini disebut lagi dua pasang haiwan yang besar pula:
i- Dari unta dua ekor (ٱلْإِبِلِ) (sepasang jantan (بَعِيْرٌ) betina (نَاقَة)),
ii- Dan dari lembu dua ekor (ٱلْبَقَرِ) (sepasang jantan (ثَوْر) betina (بقرة)).
- Kemudian Allah suruh Rasulullah SAW bertanya kepada puak kafir musyrikin itu:
i- Apakah yang Allah haramkan itu sama ada dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya?
ii- Ataupun kamu ada menyaksikan, ada hadir sekali ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu atau kepada datuk nenek kamu dengan yang demikian ini.
- Munasabah ayat:
i- Dalam ayat yang lepas Allah minta mereka bawakan hujjah dengan ilmu & bukti yang ada sandaran.
Bukan ikut nafsu semata-mata.
ii- Maka dalam ayat ini Allah cerca mereka dengan menafikan kesaksian mereka! Mereka tidak ada dalil, itu semua hanya rekaan.
- Dengan ilmu pun tiada, saksi pun, maka jelaslah mereka buat hukum itu semata-mata ikut nafsu!
Ini untuk menyedarkan mereka apa yang mereka buat itu tiada hujjah, hanya semata-mata ikut nafsu & rekaan terhadap Allah SWT!
- Allah tutup ayat ini dengan kata-kata yang keras sebagai peringatan:
Tidak ada orang yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah dengan niat untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan & hujjah yang nyata.
- Pada akhir ayat Allah kata lagi: Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjukuntuk berada di atas jalan yang benar kepada kaum yang zalim. Iuit zalim dengan perbuatan syirik.
- Kata ulama’ zalim ini pula ada beberapa kategori:
i- Zalim sesama manusia dengan menganiayai, menyakiti, mengumpat, memfitnah & mengkhinati orang lain.
ii- Zalim terhadap diri sedangkan dengan syirik kepada Allah atau melakukan maksiat.
Antara contohnya menghalalkan apa yang Allah haramkan, mengharamkan apa yang Allah halalkan sebagaimana karenah puak kafir ini.
Semoga Allah selamatkan kita semua selamat dari kedua-dua sifat zalim ini!
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 143- {(Binatang ternak itu) delapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina).}-
Allah nyatakan bahawa binatang ternakan yang halal itu ada 8 jenis atau 4 pasang.
Allah SWT menyebut tentang nikmat-Nya yang banyak, yang diberikan kepada manusia.
Ini baru bab haiwan belum lagi dalam bab makanan lain.
Sumber utaman makanan kita ialah tumbuhan & haiwan sama ada darat atau laut.
Ini kerana manusia ini tidak dapat bertahan tanpa makanan, mereka tidak dapat bersabar, sanggup buat apa saja.
Dalam ayat ini Allah sebut:
i- Dari kambing biri-biri {ٱلضَّأْنِ} dua ekor (sepasang jantan betina),
ii- Dan dari kambing biasa {ٱلْمَعْزِ} dua ekor (sepasang jantan betina).
Ulama’ buat kajian pula kenapa Allah sebut kambing biri-biri (kibasy) dulu sebelum kambing biasa (goat)???
Jawapan: Didahulukan kerana kibasy (sheep) ini lebih mahal & istimewa daripada kambing biasa, kerana ia biasanya mempunyai daging yang lebih banyak isinya, mempunyai bulu yang tebal (wool) yang boleh dijadikan pakaian dan lain-lain kegunaan yang banyak!
Begitu juga dalam ayat yang kedua disebut unta dulu daripada lembu kerana unta lebih besar & tinggi kedudukannya daripada lembu.
Begitulah indahnya belajar ilmu tadabbur ini, banyak ilmu yang dapat digali dan diambil ilmu maklumat.
- Ayat 143- {“Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya?…”}-
Allah sebut lebih detail dalam ayat ini tentang binatang jantan betina yang diharamkan tadi.
Allah sebut ini untuk menguatkan bantahan, kritikan & komen terhadap puak kafir yang mereka cipta sendiri hukum tentang haiwan itu; sedangkan semua binatang itu adalah sama.
Allah sebut kategori ini untuk menguatkan lagi hujjah bagi membantah hukuman jahiliyyah ini yang mengharamkan sebahagiannya dan menghalalkan sebahagian yang lainnya dengan ikut nafsu tanpa dalil & hujjah yang benar.
- Ayat 143- {(Binatang ternak itu) delapan ekor (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina)….}-
Ayat ini nak mengungkit perbuatan jahiliyyah yang mengharamkan sebahagian haiwan untuk dikhaskan bagi berhala mereka.
Seperti unta yang cukup syarat yang mereka buat sendiri, lalu mereka biarkan lepas bebas begitu; tetapi tidak pula mereka haramkan sebahagian dari jenis lembu atau kambing!
Maka munasabahlah Allah bawa haiwan-haiwan yang lapan jenis ini untuk membantah perbuatan mereka itu.
Apa yang kamu bahagikan itu memang ikut nafsu bukan dari Allah.
Maka janganlah kita ikut nafsu, menghalal atau mengharamkan sesuatu perkara kecuali ada dalil!
Inikah yang kita takuti sekarang seperti dalam beberapa masalah muamalat harta – yang kita tak berapa yakin halal atau harus, seperti bayar sedikit dapat banyak.
Buatkan kita terfikir di manakah dalil & hujjahnya.
Tetapi sebagai masyarakat awam kita letakkan tanggungjawab itu atas mereka yang pakar dalam bidangnya seperti para panel Syari’ah yang dilantik khas, kita beli atau ambil sesuatu produk itu atas jaminan mereka, maka merekalah yang akan bertanggungjawab di hadapan Allah Azza wa Jalla di Akhirat kelak.
- Ayat 143- {Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar”.}-
Allah suruh Nabi SAW minta mereka itu kemukan bukti & bawa dalil jika mereka benar.
Ceritakan kepadaku dengan ilmu, dengan hujjah & dalil; bukan dengan cara celik mata, keras kepala, dengan ilmu yakni kamu bawa sandarannya!
Apabila mereka tidak mampu lagi nak bawa bukti & dalil maka kita tahulah apa yang mereka nyatakan itu hanya ikut nafsu, bukan ikut ilmu.
Kita sekarang pun begitu juga, kebetulan sekarang ini awal bulan Rajab, betapa banyak tersebar akan kelebihan puasa padanya dengan pahala keampunan beratus tahun, kita yang dengar pun semangat, tetapi ternyata ia adalah hadis palsu!
Kita puasalah hari ini, hari Khamis, tiada siapa yang larang, yang kita tegur adalah di mana sandarannya jika nak nyatakan sesuatu perkara itu baik atau buruk!
Bukan hanya sekadar ada dalam kitab tulisan terus kita buatnya.
Agama kita ini berpaksikan kepada dalil & hujjah bukan agama ikutan atau suka-suka, kena bawa dalil yang jelas untuk menyatakan benda itu baik.
Ingat dalam bab ibadat, halal haram & amalan agama ini perlu kepada dalil dari al-Quran & Sunnah Nabi SAW yang sahih!
Jika ada Nabi kita buat alhamdulillah, jika Nabi tak buat tak perlulah kerana kita ini masih banyak lagi yang sahih Nabi SAW buat dan suruh buat, tak terbuat pun lagi!
Buat yang itu dululah, ini adalah perkara yang terpenting dalam hidup kita!
- Ayat 144- {Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan?}-
Betapa ramai orang yang mereka-reka undang-undang sendiri buat-buat kata ini dari Allah ini dari Nabi SAW.
Sedangkan tidak sekali-kali & tiada begitu.
Inilah yang dipanggil berdusta atas nama Allah!
Jangan kira sudah ramai orang buat, orang buat belaka maka kita nak buat juga!
Bukan itu cara kita beragaman!
Puak kafir ini reka semua itu semata-mata nak menyesatkan orang.
Atau ada juga manusia sekarang ini buat semua itu untuk meraih sokongan orang atau pengikut.
Pilihlah pendakwah, syeikh, tok guru atau ulama’ yang bermanfaat ilmunya, yang ikut al-Quran dan hadis Nabi yang sahih yang ikut SOP yang dibenarkan oleh Syara’.
Pihak berkuasa yang membongkar kegiatan syirik, khurafat & bid’ah puak ajaran sesat hendaklah memaklumkannya kepada masyarakat & orang ramai.
Biar mereka tahu jangan keliru.
Moga Allah selamatkan kita daripada menjadi orang yang zalim terhadap diri sendiri dengan melakukan maksiat terhadap Allah atau zalim terhadap orang lain juga dengan khianat, fitnah & tuduhan jahat!
Alhamdulillah tamatlah kuliah tafsir kita hari ini yang ringkas tetapi penuh dengan perbahasan yang menarik, semoga mendapat manfaat & faedah dunia Akhirat.
Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.
Wallahu A’lam.