MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, AL-QURAN BAHASA ARAB DARI ALLAH & PERANGAI KAFIR SUKA PERLI.
Full video : https://youtu.be/Xhcdr7IaFao
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada hari ini, Pagi Sabtu 6 Syawwal 1443H bersamaan 7hb Mei 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Az-Zukhruf – سورة الزخرف
- Surah Az-Zukhruf, adalah surah ke-43 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Asy-Syura dalam juz ke 25, mengandungi 89 ayat.
- Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah.
- Dinamakan surah ini sebagai Surah Az-Zukhruf (سورة الزخرف)- yang bermakna (Perhiasan) kerana Allah s.w.t menyebut perkataan Az-Zukhruf pada ayat ke-35, dan ayat-ayat yang terdahulu padanya diterangkan perihal kaum kafir musyrikin yang menentang Rasulullah s.a.w mengatakan:
Bahawa sepatutnya jawatan seorang nabi dan rasul itu diberikan kepada mereka yang kaya raya dan berpengaruh.
Lalu Allah s.w.t menolak hujjah mereka itu dengan menyatakan bahawa kekayaan atau kemiskinan bukan ukuran akan darjat seseorang.
Ini kerana perhiasan dunia hanya sementara manakala kesenangan Akhirat bagi orang yang beriman itulah yang kekal dan khasnya bagi orang yang bertaqwa. - Kalimah Az-Zukhruf (الزخرف) ada dalam surah ini sahaja tiada dalam surah lain dalam al-Quran.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Menerangkan tentang penentangan keras dakwah Islamiyyah oleh kaum kafir musyrikin terhadap Rasulullah s.a.w. serta bagaimana penentangan itu diberikan penjelasan disertakan dengan dalil-dalilnya dari al-Quran.
- Setelah menerangkan fahaman mereka yang sesat maka Allah s.w.t menegaskan bahawa sesiapa yang tidak ikut ajaran al-Quran yang Allah yang Maha Pemurah turunkan, maka Allah s.w.t akan adakan kepadanya syaitan yang akan menjadi pendamping yang menghasut dan menyesatkannya.
- Ditegaskan juga bahawa al-Quran itu adalah satu kemuliaan yang besar dan peringatan bagi Rasulullah s.a.w, kaumnya dan umat manusia seluruhnya, kerana menjadi undang-undang yang sesuai bagi setiap tempat dan zaman.
- Setelah diceritakan perihal nabi-nabi yang terdahulu, Allah terangkan bahawa Nabi Isa a.s akan menjadi salah satu tanda Hari Kiamat. Iaitu dengan turunnya Nabi isa pada akhir zaman adalah tanda dekatnya Kiamat.
- Surah ini diakhiri dengan menerangkan sikap kaum musyrikin yang menghairankan, mereka mengakui Allah s.w.t yang menciptakan mereka, tetapi tetap tergamak melakukan perbuatan syirik.
- Bagi menjawab rayuan Rasulullah s.a.w mengenai golongan musyrikin yang berdegil dalam kekufuran, supaya menyerahkan perkara mereka untuk diadili Allah, juga menyuruh Rasulullah s.a.w jangan hiraukan mereka, bahkan ucapkan selamat tinggal, kelak mereka akan mengetahui akibat keingkarannya.
KELEBIHAN SURAH :
- Ia merupakan surah keempat yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran. Dipanggil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم), bermula dari surah Ghafir, Fussilat, Asy-Syura, Az-Zukhruf, Ad-Dukhan, al-Jathiyah sehingga Surah al-Ahqaf. Kesemuanya adalah surah Makkiyah.
OBJEKTIF/MAQASID SURAH :
- Antara objektif utamanya ialah menegakkan tanda dan bukti yang menunjukkan kepada keEsaan Allah s.w.t.
- Untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w akan karenah jahat kaum kafir musyrikin yang menentang dakwahnya dan ajaran Islam.
TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :
- Allah s.w.t memuji al-Quran.
- Menenangkan hati Rasulullah s.a.w terhadap karenah jahat kaumnya.
- Menjelaskan beberapa sudut daripada kuasa Allah dan sebahagian nikmat-Nya kepada makhluk-Nya.
- Allah bentangkan beberapa tuduhan palsu yang dibuat oleh kaum kafir serta pandangan mereka yang rosak. Serta Allah balas balik hujjah bodoh mereka dengan hujjah yang jelas serta nyatakan akibat buruk untuk mereka di dunia dan akhirat nanti.
- Menjelaskan sebahagian dari dakwah Nabi Ibrahim terhadap kaumnya, serta sebahagian kisah nabi Isa dan Musa a.s. dan sikap puak kafir terhadap nabi Isa.
- Khabar gembira bagi orang mkimin dengan balasan syurga dan nikmatnya yang berkekalan. Serta balasan neraka kepada kaum mujrimin serta angan-angan mereka untuk hidup semula.
- Sebagai satu bimbingan (taujihat) kepada Rasulullah s.a.w dengan menyebut dalil-dalil keEsaan Allah s.w.t dalam surah ini.
Ya Allah jadikan kita semua orang yang layak ke syurga dan bebas dari neraka!
Ya Allah jadikan kami, ibu bapa dan keluarga kami pada bulan yang mulia ini tersenarai sebagai orang yang Engkau bebaskan dari neraka!
DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.
AYAT 1- {HAA, MIIM- حم} (AZ-ZUKHRUF 43:1)
- Surah ini dimulai dengan dua huruf yang mengandungi huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim).
Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang keempat. - Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk. Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.
Mukjizat pula sesuatu yang mencarik adat, perkara di luar kebiasaan yang diberi kepada para rasul.
- Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
- Ia tiada maksudnya yang khas, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui- wallahu a\’lam. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.
AYAT 2- {DEMI KITAB AL-QURAN YANG MENYATAKAN KEBENARAN.} (AZ-ZUKHRUF 43:2)
- Apa saja yang kita perlu kita cari dalam al-Quran. Di dalamnya ada samada huraian terperinci atau apa yang diperjelaskan oleh para ulama\’, alhamdulillah.
AYAT 3- {SESUNGGUHNYA KAMI JADIKAN KITAB ITU SEBAGAI QURAN YANG DITURUNKAN DENGAN BAHASA ARAB, SUPAYA KAMU (MENGGUNAKAN AKAL) MEMAHAMINYA.} (AZ-ZUKHRUF 43:3)
- Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab kepada Rasulullah s.a.w yang diutuskan kepada kaumnya yang berbangsa dan berbahasa Arab agar mereka faham dan tiada hujjah untuk menolaknya. Supaya mereka dengar dan terimanya. Bukan semua kitab dulu dalam bahasa Arab, bergantung kepada bangsa rasul dan kaum masing-masing.
- Tujuan diturunkan al-Quran itu supaya kamu memahami maknanya dan berfikir menggunakan akal kamu untuk memahami dan menghayati isi kandungannya untuk beramal dengannya.
- Kefahaman yang benar tentang al-Quran itu ialah apa yang difahami oleh para ulama\’ salafus-Soleh lalu disokong oleh para ulama\’ yang terkemudian (khalaf). Ini kerana mereka lebih dekat dengan wahyu itu.
- Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.} (Yusuf 12:2)
AYAT 4- {DAN SESUNGGUHNYA AL-QURAN ITU DALAM IBU SURATAN DI SISI KAMI – SANGAT TINGGI (KEMULIAANNYA), LAGI AMAT BANYAK MENGANDUNGI HIKMAT-HIKMAT DAN KEBENARAN YANG TETAP KUKUH.} (AZ-ZUKHRUF 43:4)
- Al-Quran itu asalnya terdapat di sisi Allah s.w.t, di Lauh Mahfuz, sebuah kitab yang sangat tinggi kemuliaannya. Diturunkan kepada Rasul yang mulia melalui malaikat yang mulia juga.
- Mengandungi hikmah & hukum-hakam, tiada sebarang kekurangan & kekeliruan, kebenaran yang kukuh, tidak dapat dipesong dan diselewengkan.
- Firman Allah s.w.t: {Alif, Laam, Raa\’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.} (Hud 11:1)
- Semua perkara yang berkait dengan al-Quran akan menjadi mulia. Maka sesiapa yang nak menjadi mulia, dekatkan diri dengan al-Quran, dibaca, dihayati dan diamalkan.
AYAT 5- {PATUTKAH KAMI MEMBIARKAN KAMU DENGAN MENGENEPIKAN DAN MENJAUHKAN PERINGATAN AL-QURAN DARIPADA KAMU, KERANA KAMU TELAH MENJADI KAUM YANG MELAMPAU BURUK KEADAANNYA? (TIDAK! KAMI TIDAK AKAN BIARKAN, BAHKAN KAMI TETAP MENGINGATKAN KAMU, SAMA ADA KAMU MAHU MENERIMANYA ATAU SEBALIKNYA).} (AZ-ZUKHRUF 43:5)
- Munasabah ayat: Setelah Allah menyakan kedudukan Kitab yang begitu besar dan agung sebagai satu nikmat yang besar kepada Rasulullah s.a.w dan diberikan kepada kita walaupun manusia tidak menghiraukannya. Rasulullah s.a.w tetap diberi tugas untuk menyampaikannnya samada diterima atau tidak.
- Maka dalam ayat ini Allah bertanya dalam ayat ini adakah patut mereka yang ingkar dan kufur itu dibiarkan begitu saja? Biarkan mereka menjadi kaum yang melampaui buruk keadaannya? Tidak, bahkan Allah akan terus menurunkan al-Quran dan Rasulullah akan terus memberi bimbingan dan peringatan.
- Allah s.w.t kata al-Quran ini akan terus diturunkan sehingga mereka mendapat hidayat dan beriman.
Antara kaum musyrikin Makkah yang selamat, tidak mati dalam kekufuran dan sempat beriman ialah Abu Sufyan yang menentang Islam dan Rasulullah s.a.w selama 20 tahun!
Dia menjadi ketua tentera musyrikin melawan Rasulullah s.a.w dalam perang Uhud dan Ahzab.
Dia juga yang menyekat kemasukan Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin ke Makkah di Hudaibiyah.
Akhirnya dia memeluk Islam semasa Pembukaan Kota Makkah dan apabila kita menyebut namanya kita mendoakannya dengan menyebut- redha Allah ke atasnya (رضي الله عنه).
AYAT 6- {DAN (INGATLAH), BERAPA BANYAK NABI-NABI YANG KAMI TELAH UTUSKAN KEPADA UMAT-UMAT YANG TERDAHULU ZAMANNYA.} (AZ-ZUKHRUF 43:6)
- Munasabah ayat: setelah Allah nyatakan tentang puak kafir yang berpaling enggan menerima dakwah Rasulullah s.a.w lalu dibawa ayat ini untuk menenangkan hati dan supaya Baginda sabar. Bahawa betapa ramai para rasul terdahulu yang telah diutus dan didustakan oleh kaumnya.
- Begitulah setiap para rasul dan pendakwah itu akan mendapat cabaran dan ujian dalam bentuk penentangan penolakan dari kaumnya dan orang ramai yang tidak mahu mernerima Islam.
- Manakala kita sesama Islam pula akan menghadapi cabaran besar dengan puak-puak yang menggunakan al-Quran tetapi menafsirkan secara batiniyyah, yang tidak diajar oleh Rasulullah s.a.w. Juga kumpulan yang menakwilkan hadis Rasulullah s.a.w, cari yang tidak jelas walaupun yang sahih ada.
AYAT 7- {DAN TIDAK ADA SESEORANG NABI PUN YANG DATANG KEPADA MEREKA, MELAINKAN MEREKA MEMPERSENDA DAN MENGEJEK-EJEKNYA.} (AZ-ZUKHRUF 43:7)
- Semua para nabi yang diutuskan itu, tidak ada seorang pun yang selamat dari perlian, ejekan dan sendaan kaumnya yang kafir. Sebagaimana Quraisy yang kata Rasulullah s.a.w gila, tukang sihir, penyair dan seseorang yang gilakan jawatan.
- Maka jangan kamu susah hati dan sedih, sabar dan teruskan tugas dakwahmu. Serahkan urusan mereka itu kepada Allah s.w.t untuk membalas dan menguruskannya.
AYAT 8- {LALU KAMI BINASAKAN ORANG-ORANG YANG LEBIH KEKUATANNYA (DAN LEBIH KEJAM SERANGANNYA) DARIPADA MEREKA; DAN TELAHPUN DISEBUTKAN (BERULANG-ULANG DI DALAM AL-QURAN) TENTANG KISAH-KISAH DAN MISAL PERBANDINGAN MENGENAI UMAT-UMAT YANG TELAH LALU.} (AZ-ZUKHRUF 43:8)
- Allah s.w.t nyatakan kepada Rasulullah s.a.w apa yang telah terjadi terhadap mereka yang menentang dan memerli para nabi mereka. Mereka telah dibinasakan lalu musnah hancur semuanya.
- Mereka tidak mampu menyekat azab Allah, sedangkan mereka itu (kaum terdahulu) lebih kuat, gagah dan maju teknologinya daripada kaum Quraisy yang ada itu. Seperti kaum Ad, Thamud, kaum nabi Ibrahim, Musa a.s dan semuanya.
- Telah disebutkan berulang-ulang dalam al-Quran tentang kisah-kisah dan misal perbandingan akan umat terdahulu.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 1- {Haa, Miim.} Ayat 2- {Demi Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.}- kata ulama\’ dengan rasminya al-Quran itu dinamakan Kitab (الْكِتَاب) dengan mengambil-kira bahawa Allah s.w.t turunkannya kemudian ia telah dikumpulkan dan dicatat oleh para sahabat. Pada zaman Khalifah Uthman al-Quran telah dibukukan secara rasmi sehingga ke zaman kita ini.
Ini adalah isyarat kepada bahawa al-Quran itu akan bertulis sebagai sebuah Kitab walaupun ia turun kepada Rasulullah bukan secara bertulis.
Dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah dengan Kitab yang nyata menunjukkan bahawa ia diperlukan oleh manusia di dunia dan Akhirat sebagai panduan, bimbingan dan pendidikan supaya kita faham.
- Ayat 3- {Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.}- ini merupakan satu kemuliaan besar bagi bangsa Arab kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa mereka.
Ini supaya orang yang berakal mendapat faedah dengan al-Quran, dengan membaca, tadabbur dan memahaminya dengan akal yang ada.
Apa hikmah perbezaan antara ayat ini dengan ayat lain:
i-kenapa Allah kata dalam ayat ini – Bahawa sesungguhnyanya Kami jadikannya (إِنَّا جَعَلْنَاهُ), sedangkan جَعَلْنَاهُ- ini maknanya kami buat/jadikannya.
ii- dalam ayat lain al-Quran itu Kami turunkan (أنزلناه)
Jawapannya: Kata ulama\’ tadabbur ini kerana perkataan (جعل) juga boleh membawa makna (القول) mengatakan.
- Ayat 3- {Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya.}- ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kita memahami al-Quran mengikut apa yang jelas dan difahami berdasarkan bahasa asalnya iaitu bahasa Arab ketika ia turun. Tidak sepatutnya kita cuba takwil dan menafsirkan al-Quran dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Parsi dan seumpamanya.
Tidak perlu kita gambarkan (tasawwur) atau takwil dalam al-Quran perkara yang tidak sepatutnya.
Allah memberi nikmat kepada hamba-hamba-Nya kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling sempurna percakapannya, Allah pilih ia sebagai bahasa al-Quran. Untuk menjadi orang yang hebat kita belajarlah bahasa Arab.
Dinukilkan dari Imam Syafei rhm: Sebagai orang Islam kita wajib belajar dan mengetahui bahasa Arab. Paling kurang faham apa makna yang kita baca dan bawa dalam solat kita seperti takbir, al-Fatihah, selawat dan lain-lain.
- Ayat 4- [Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami – sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.}- Allah sebut di sini (أُمِّ الْكِتَابِ) yang bermaksud Lauh Mahfuz, menunjukkan ketinggian al-Quran itu kerana ia datang dari sisi Allah s.w.t, daripada kata-kata Allah Azza wa Jalla.
Seorang ulama\’ Salaf, \’Ata\’ bin Abi Rabah, yang ditanya tentang Qadar, lalu beliau membaca ayat ini. Iaitu bahawa Kitab taqdir perjalanan hidup manusia ini telah tertulis sejak sebelum dicipta langit dan bumi. Tertulis dalam Kitab itu Firaun termasuk dari ahli neraka, Abu Lahab juga akan menjadi ahli neraka. [HR Imam at-Tirmizi].
Al-Quran itu tinggi kedudukannya, dari Allah s.w.t yang Maha Bijaksana, maka apabila umat Islam itu berpegang dengan al-Quran, lagi kuat dan tinggi kemuliaan dan kekuasaan, lagi mantap kerajaannya.
Kita hari ini lemah dan goyah kerana kita tidak ikut al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w sepenuhnya.
- Ayat 6- {Dan (ingatlah), berapa banyak nabi-nabi yang kami telah utuskan kepada umat-umat yang terdahulu zamannya.}- ayat ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t sentiasa menenangkan hati Rasulullah s.a.w dengan membuat perbandingan. Setiap umat telah datang kepada mereka nabi, setiap nabi terpaksa menghadapi karenah ujian umat masing-masing.
Maka ayat ini mengajar Rasulullah s.a.w supaya bersabar atas karenah kelakuan puak kafir Quraisy.
Kita para pendakwah, pendokong Sunnah Nabi s.a.w juga kena sabar, kita akan menghadapi ujian-ujian ini, akan dituduh macam-macam, akan dilabel dengan label-label yang buruk untuk menjauhkan orang dari kita.
Tetapi biarlah mereka, kita tetap dengan pendirian kita, bahawa menyampaikan Sunnah Nabi s.a.w. adalah tugas kita. Orang terima syukur alhamdulillah, orang tak terima tetap teruskan perjuangan.