NYATAKAN PENDIRIAN TIADA KOMPROMI DENGAN SYIRIK, PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA & KUASA KUN FAYAKUUN.
Full video : https://youtu.be/BtphxEFRMAw
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w nyatakan pendirian bahawa tiada Kompromi Dengan Syirik dalam apa bentuk sekalipun.
- Kemudian Allah nyatakan kuasanya dalam peringkat kejadian manusia bermula dari air mani sehingga lahir seorang manusia yang elok kejadiannya.
- Juga kuasa Allah s.w.t yang amat besar iaitu apabila Allah kehendaki-Nya Dia akan berkata jadi, maka jadilah (كُنْ فَيَكُونُ). Tiada siapa yang boleh menyekat, menghalang atau membatasinya. Kuasa Allah meliputi dan mengatasi segalanya.
- Munasabah ayat: Setelah ayat yang menyatakan sifat-Nya yang agung dan besar maka Allah s.w.t beritahu bahawa Dia Yang Hidup, Tidak mati dan tidur, maka tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Dia.
- Allah s.w.t juga nyatakan kuasa-Nya yang tidak terbatas dalam penciptaan siang & malam dan langit & bumi yang besar.
AYAT 66-{KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”SESUNGGUHNYA AKU DILARANG MENYEMBAH BENDA-BENDA YANG KAMU SEMBAH YANG LAIN DARI ALLAH – SETELAH DATANG KEPADAKU KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA DARI TUHANKU; DAN AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA TUNDUK TAAT BULAT-BULAT KEPADA PERINTAH TUHAN SEKALIAN ALAM\”.} (GHAAFIR 40:66)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk menyatakan tentang pendirian akidahnya. Bahawa Baginda tidak akan berkompromi dengan mereka, tidak akan sembah berhala & apa yang mereka sembah. Juga tidak akan memohon kepada selain dari Allah s.w.t!
- Ini semua adalah setelah Baginda s.a.w menerima keterangan yang jelas nyata dari Allah s.w.t iaitu wahyu kenabiannya.
- Tetapi sebelum itu lagi Allah s.w.t telah menjaga kemuliaan Rasulullah s.a.w dari awal, keturunannya mulia semua nasab melalui perkahwinan, Baginda tidak pernah menyembah berhala seperti mereka dan seorang yang bersifat mulia dan benar sejak dari awal lagi!
- Nyatakan pendiriannya dari sudut amalinya, tunduk akur dan taat kepada perintah Allah s.w.t dan tidak sekali-kali menyalahi peraturan-Nya.
- Kita pun begitulah, nyatakan pendirian, mantapkan tauhid serta istiqomah tetap teguh atas agama Allah s.w.t!
AYAT 67-{DIA LAH YANG MENCIPTAKAN KAMU DARI TANAH, KEMUDIAN DARI (SETITIS) AIR BENIH, KEMUDIAN DARI SEBUKU DARAH BEKU, KEMUDIAN DARI SEKETUL DAGING; KEMUDIAN IA MENGELUARKAN KAMU BERUPA KANAK-KANAK; KEMUDIAN KAMU (DIPELIHARA) HINGGA SAMPAI KE PERINGKAT UMUR DEWASA; KEMUDIAN KAMU (DIPANJANGKAN UMUR) HINGGA SAMPAI MENJADI TUA. DAN (DALAM PADA ITU) ADA DI ANTARA KAMU YANG DIMATIKAN SEBELUM ITU. (ALLAH MELAKUKAN KEJADIAN YANG DEMIKIAN) SUPAYA KAMU SAMPAI KE MASA YANG DITENTUKAN (UNTUK MENERIMA BALASAN); DAN SUPAYA KAMU MEMAHAMI (HIKMAT-HIKMAT KEJADIAN ITU DAN KEKUASAAN TUHAN).} (GHAAFIR 40:67)
- Ayat ini adalah tentang peringkat kejadian manusia yang berasal dari tanah yakni asal kejadian datuk kita, manusia yang pertama dicipta, nabi Adam a.s.
- Firman Allah s.w.t: {Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami);
dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu.} (Al-Hajj 22:5) - Inilah tahap kejadian manusia secara turutan mengikut ayat ini:
i- tanah iaitu Adam a.s (تُرَابٍ).
ii- air benih iaitu titisan mani (نُطْفَةٍ).
iii- sebuku darah beku (عَلَقَةٍ).
iv- seketul daging yang membalut tulang.
v- membesar kemudian keluarlah ia sebagai seorang bayi. ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا - Firman Allah s.w.t juga tentang kejadian manusia ini secara terperinci:
{Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
Kemudian Kami jadikan \”pati\” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.} (Al-Mu\’minuun: 12-14) - Ayat ini ditafsirkan pula oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Mas\’ud tentang peringkat kejadian manusia:
عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدْ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: حَدَّثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الـْمَصْدُوْقُ: (إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ یَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الـْمَلَكُ فَيَنفُخُ فِيْهِ الرٌّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَالله الَّذِيْ لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا، وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَايَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا). رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas\’ud r.a., beliau berkata Rasulullah S.A.W menceritakan kepada kami, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan.
Sesungguhnya seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari bentuk air mani, kemudian dia menjadi seketul darah selama tempoh itu, kemudian dia menjadi seketul daging selama tempoh itu juga, kemudian Allah mengutuskan kepadanya satu malaikat lalu dia meniupkan ruh padanya.
Malaikat itu disuruh oleh Allah dengan 4 kalimah; iaitu menulis rezekinya, ajalnya, amalannya, dan celaka atau bahagia janin tersebut. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selainNya, sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak tinggal antaranya dengan syurga kecuali sehasta, takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia memasuki neraka. Sesungguhnya seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga tidak tinggal antaranya dengan neraka kecuali sehasta, lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia memasuki syurga. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
- Dari hadis ini timbul persoalan tentang tempoh peniupan roh satu janin. Adakah 120 hari seperti kata ulama\’ yang terdahulu atau hanya 40 hari, maka ada khilaf di kalangan ulama\’.
Mengikut kajian yang dibuat oleh ulama\’ semasa, seperti satu Badan mengkaji ilmiah sains dan perubatan berdasarkan mukjizat al-Quran dan hadis, mengatakan bukan 120 tetapi lebih awal daripada itu. iaitu 40 hari saja. Mereka berpendapat 3 peringkat itu dalam satu tempoh saja iaitu 40 hari, bukan setiap peringkat mengalami 40 hari. Pendapat ini disokong oleh golongan perubatan dan sains.
Ini menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah s.w.t, wallahu a\’lam.
Boleh baca makalah membincangkan tentang ini di:
https://www.abuanasmadani.com/proses-kejadian-janin-dan…/
- Kemudian peringkat hidup manusia di atas dunia, setelah keluar dari perut ibunya:
i- sebagai seorang bayi atau kanak-kanak. ( ثُمَّ يُخْرِجُكُمْ طِفْلًا )
ii- sampai ke peringkat umur dewasa; ( لِتَبْلُغُوا أَشُدَّكُمْ )
iii- kemudian ada yang dipanjangkan umur sehingga menjadi tua. شُيُوخًا
iv- ada di antara kamu yang dimatikan sebelum tua itu. ( يُتَوَفَّى مِنْ قَبْلُ - Firman Allah s.w.t juga: {Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.} (Ar-Ruum 30:54)
- Allah melakukan kejadian yang demikian supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan untuk menerima balasan; وَلِتَبْلُغُوا أَجَلًا مُسَمًّى
- Semua ini untuk menunjukkan kuasa Allah s.w.t supaya manusia berfikir lalu (وَلَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ) memahami hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan.
AYAT 68-{DIA LAH YANG MENGHIDUPKAN DAN MEMATIKAN; OLEH ITU APABILA IA MENETAPKAN JADINYA SESUATU PERKARA MAKA IA HANYA BERFIRMAN KEPADANYA: \”JADILAH ENGKAU!\” LALU MENJADILAH IA.} (GHAAFIR 40:68)
- Allah menyatakan bahawa Dialah yang menghidupkan dan mematikan manusia dan semua makhluk atas dunia ini.
- Munasabah ayat; setelah Allah ceritakan tentang proses dan peringkat kejadian manusia yang menjadi dalil bahawa wujudnya Allah yang Maha Kuasa, lalu Allah menyatakan bahawa Dia-lah jua yang menghidupkan dan mematikan.
- Juga kuasa Allah s.w.t yang tidak tebatas, apabila Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman kepadanya: \”Jadilah engkau!\” Lalu menjadilah ia. (كُنْ فَيَكُونُ).
- Ayat yang menunjukkan kuasa Allah (كُنْ فَيَكُونُ)- : \”Jadilah engkau!\” Lalu menjadilah ia, ini ada dalam beberapa tempat dalam al-Quran selain dalam ayat ini, iaitu firman Allah s.w.t:
i- {Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami kehendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya: \”Jadilah engkau!\”, maka menjadilah ia.
(Al-Nahl 16:40)
ii- {Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: \”Jadilah engkau!\”. Maka ia terus menjadi.} (Yaa Siin 36:82)
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 66-{ dan aku diperintahkan supaya tunduk taat bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam\”.}- ayat sebelumnya bahawa Rasulullah s.a.w dilarang dari menyembah selain Allah s.w.t, kemudian dibawa ayat ini bahawa Baginda diperintahkan untuk patuh akur dan taat kepada Allah s.w.t dengan sepenuhnya, dengan hati, lisan dan anggotanya. Inilah yang dikatakan serah diri bulat-bulat- sepenuhnya.
Ayat ini mengajar kepada kita satu kaedah iaitu:
Mengosongkan dulu bekas dari semua benda yang lain- iaitu bersihkan hati dari syirik sebelum diisi dengan benda lain iaitu tauhid kepada Allah dengan sembah dan patuh sepenuhnya kepada Allah. (التّخلية والتّحلية)
Sama seperti dalam kalimah syahadah ada kaedah yang hampir sama- iaitu (النفي والاثبات) nafi dan isbat. Iaitu menafikan dulu bahawa tiada Tuhan yang disembah semuanya; kemudian isbatkannya KECUALI Allah s.w.t!
- Ayat 67-{supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan);}- semua benda itu ada tempohnya mengikut yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Ayat ini menjadi hujjah kepada ahli Sunnah wal Jamaah yang mengatakan manusia itu akan mati apabila telah tiba ajalnya. Cara matinya adalah sebab kepada kematianya.
Muktazilah pula mengatakan orang yang mati dibunuh adalah mengejut, bukan sampai ajalnya lagi! Ajalnya diragut tengah jalan. Ini adalah kefahaman yang batil, ajalnya sudah sampai dan pembunuhan adalah sebab kematiannya! - Ayat 68-{Dia lah yang menghidupkan dan mematikan.}- ayat ini menjadi dalil dan tanda sempurnanya kuasa Allah s.w.t. Hanya DIA yang menghidup dan mematikan manusia dan semua makhluk.
Timbul persolan tentang beberapa isu:
i- Nabi Isa juga pernah menghidup dan mematikan manusia, adakah dia ada kuasa lain? Jawapan benar, tetapi semua itu dengan izin Allah sebagaimana pengakuan Isa sendiri dalam ayat ini:
{Dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah;} (A-li\’Imraan 3:49)
ii- orang yang bunuh orang & dia hidup- kata ulama\’ ini bukan bererti dia yang mematikan orang itu cuma dia menjadi sebab kepada kematian orang yang dibunuhnya!
Cerita seorang atheis yang mengaku boleh cipta makhluk. Dia busukkan daging sehingga keluar ulat, lalu mengaku dia yang cipta ulat itu! Lalu orang muslim tanya balik berapa ekor jumlah semua ulat itu jika benar dia yang menciptanyna pasti tahu! Maka kesipuanlah kafir atheis itu tanpa hujjah & ilmu untuk menjawabnya!
- Ayat 68- {Oleh itu apabila Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman kepadanya: \”Jadilah engkau!\” Lalu menjadilah ia.}
Bila Allah s.w.t mahu lakukan sesuatu ia akan buatnya- ini menunjukkan setiap sesuatu itu terjadi dengan kuasa dan kehendak Allah! Bukan terjadi dengan sendiri atau secara semulajadi (tabi\’e- nature).
Memang semuanya tabiat alam semulajadi tetapi di bawah kuasa dan kehendak Allah s.w.t. Semua ciptaan Allah s.w.t ada hikmah dan sebab Allah s.w.t buatnya, bukan secara suka-suka atau terjadi sendiri.
Adalah salah dan tidak tepat sebagaimana kata segolongan ahli batiniyyah yang mengatakan kuasa Allah s.w.t itu berada antara kaf (كُ) dan nun (نُ) iaitu dari perkataan (كُنْ فَيَكُونُ) ini. Ini adalah pandangan dan pegangan yang karut!
- Ayat 66- {Dan aku diperintahkan supaya tunduk taat bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam\”.}- Rasulullah s.a.w diperintahkan supaya tunduk dan taat (أَنْ أُسْلِمَ) kepada perintah Tuhan sekalian alam (لِرَبِّ الْعَالَمِينَ).
Persoalan: Kenapa ayat ini tidak kata agar tunduk patuh kepada Allah (اللَّهُ) tetapi kepada Tuhan sekelian alam? Jika kita orang muslim tidak mengapalah kerana kita tahu Allah itu adalah Tuhan Yang Esa, Dia Rabb (tuhan yang mencipta makhluk dan alam ini) dan juga Ilah yang disembah!
Maka Allah s.w.t guna nama Tuhan sekalian alam (لِرَبِّ الْعَالَمِينَ) untuk meluaskan kegunaannya juga untuk manusia lain yang hanya mengaku Allah s.w.t sebagai Pencipta alam ini, mereka kenal dan mengaku ada Tuhan Pencipta & Pemilik alam ini. Maka Pemilik alam inilah yang lebih berhak untuk kita menyerah diri dan sembah kepada-Nya.
Maka kamu semua yang tahu bahawa Tuhan adalah pemilik alam ini tetapi kamu masih tidak mahu menyembah-Nya, Allah Azza wa Jalla? Ayat ini untuk kembali (إلزامي) kepada orang yang tahu dan akui ada Tuhan tetapi mereka tidak sembahnnya!!