View Categories

SURAH AD-DUKHAN : AYAT 34-49

\"\"

KAFIR INGKAR KEBANGKITAN SEMULA, TENGOKLAH KEHANCURAN TUBBA\’ & DALIL KIAMAT AKAN BERLAKU

Full video : https://youtu.be/rzPXAnPC360

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang golongan kafir yang ingkar akan Kebangkitan semula pada hari Kiamat.
    Bagi mereka hidup hanya sekali, mati juga hanya sekali. Mati, hancur jadi tanah, maka berakhirlah episodnya.
  2. Kemudian Allah banding puak musyrikin Quraisy di Makkah dengan kaum Tubba\’ di Yaman sebagai peringatan kepada mereka, tengoklah Kehancuran Tubba\’ yang ingkar perintah Allah, jika kamu juga tidak mahu beriman, mendustakan Allah dan rasul begitulah juga kelak akibatnya.
  3. Allah bawa dalil-dalil yang jelas bahawa manusia akan hidup semula selepas mati, akan dikumpulkan pada hari Kiamat untuk perbicaraan, pengadilan dan pembalasan.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas (ayat 13-14) Allah s.w.t ceritakan tentang puak musyrikin yang lari, berpaling tidak mahu ikut Rasulullah s.a.w.
    Kemudian diikuti dengan (ayat 16) Allah s.w.t bagi amaran tentang hari yang akan datang, yang akan diambil tindakan terhadap orang kafir, kemudian dibawa contoh tentang Firaun yang telah binasa akibat angkuh dan takabburnya.

Dalam ayat ini Allah nyatakan kata-kata buruk puak kafir Quraisy yang masih tidak mahu beriman, menolak dan mengingkari tentang adanya hari Kiamat dan kebangkitan semula.

AYAT 34- {(BERBALIK KEPADA KISAH KAUM MUSYRIK PENDUDUK MAKKAH, ALLAH BERFIRMAN): \”SESUNGGUHNYA MEREKA INI AKAN BERKATA (KEPADAMU – WAHAI MUHAMMAD DAN KEPADA PENGIKUT-PENGIKUTMU):} (AD-DUKHAAN 44:34)

  1. Berbalik kepada kisah puak kafir musyrikin Makkah, Allah s.w.t mengatakan bahawa mereka itu mengingkari kebangitan semula pada hari Kiamat serta mereka akan berkata kepada Rasulullah s.a.w dan para pengikutnya dengan hujjah mereka yang lemah dan rapuh.

AYAT 35- {\”MATI, HANYALAH MATI KITA YANG PERTAMA (DI DUNIA), DAN KITA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DIBANGKITKAN HIDUP LAGI (SESUDAH ITU);} (AD-DUKHAAN 44:35)

  1. Mereka berhujjah dengan mengatakan mati itu hanya sekali saja di atas dunia ini, kemudian sesudah itu kita tidak akan tidak sekali-kali dibangkitkan hidup lagi. Mereka angkuh dan sombong.
  2. Bagi mereka tiada lagi kehidupan selepas mati, jika senang atas dunia ini untunglah jika susah atas dunia rugilah!

AYAT 36- {\”(JIKA TIDAK) MAKA BAWAKANLAH DATUK NENEK KAMI (YANG TELAH MATI) KALAU BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR!\”} (AD-DUKHAAN 44:36)

  1. Mereka menuntut bukti kepada Rasulullah s.a.w, jika benar ada bangkit semula, maka bawa kembali, hidupkan semula datuk nenek mereka yang telah mati dulu! Sedangkan orang mati dulu tidak pernah ada yang kembalipun!
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: \”Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!\”

Katakanlah (wahai Muhammad): \”Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat – (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)\”.} (Al-Jaathiyah 45: 25-26)

  1. Orang kafir ingkar bangkit semula, anak-anak orang Islam pula percaya bahawa orang dalam kubur yang telah mati dapat berdoa dan memberi manfaat kepada mereka! Na\’uzu billah!
  2. Maka tugas para penguasa Islam, alim ulama\’ dan pendakwah untuk nyatakan apa yang salah, syubhat, khurafat dan apa saja amalan yang berisiko tinggi yang boleh membawa kepada syirik kepada masyarakat awam. Supaya mereka tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh!
  3. Ingatlah bukan semua yang menegur itu mahu menghukum, bahkan lebih kepada mendidik dan menyampaikan amanah kepada masyarakat.
    Dalam hal ini disyorkan untuk membaca Kitab Mustika Hadis Jilid 1, dalam Bab Perkara-perkara Yang Boleh Merosakkan Aqidah, cetakan Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

AYAT 37- {(MENGAPA MEREKA MASIH BERDEGIL DALAM KEKUFURANNYA?) ADAKAH MEREKA YANG LEBIH KEKUATAN DAN KEHANDALANNYA ATAU KAUM \”TUBBA\’\” DAN ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA? ORANG-ORANG ITU SEMUANYA KAMI TELAH BINASAKAN, KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH ORANG-ORANG YANG BERDOSA.} (AD-DUKHAAN 44:37)

  1. Munasabah ayat: dalam ayat lepas Allah buat bandingan tentang kebinasaan Firaun dan kaumnya.
    Mereka ini di Mesir jauh daripada puak Quraisy di Semenanjung Tanah Arab.

Maka Allah s.w.t bawa kisah dan contoh tentang kaum Tubba\’ yang setanah dengan mereka iaitu di Yaman.
Mereka juga sentiasa mendengar kehebatan dan kemegahan kaum Tubba\’ dan Raja mereka dari penduduk Yaman. Mereka juga melihat sendiri kesan-kesan peninggalan kehancuran mereka itu semasa rehlah perniagaan mereka.

  1. Kaum Tubba\’; penduduk Yaman Tua. Beberapa ulama\’ tafsir mengatakan bahawa Tubba\’ adalah gelaran kepada Raja Yaman. Antara takluk pememerintahan mereka ialah Himyar, Saba\’ dan Hadhramaut.
    Sebagaimana gelaran kepada Raja Parsi- Kisra, Raja Rom- Kaisar, raja Habsyah- Najjasyi, Raja Mesir- Muqauqis.
  2. Begitu juga kaum-kaum lain sebelum Tubba\’ yang dibinasakan juga seperti kaum Ad dan Thamud yang dekat juga dengan mereka.
  3. Ada juga di kalangan ulama\’ salaf yang mengatakan Raja Tubba\’ itu beriman tetapi kaumnya tidak.
    Ada juga yang kata kaum Tubba\’ ini adalah kaum Saba\’.
  4. Athar dari UM Aisyah r.a bahawa dia telah berkata: \”Adalah Raja Tubba\’ pada masa itu seorang lelaki yang soleh.
    Kerana itu dalam ayat ini Allah s.w.t mencela kaumnya yang kafir, tetapi tidak mencela Tubba\’ yang beriman.\” [Dikeluarkan oleh Abdur Razzak dalam tafsir, para pengkaji mengatakan sanadnya boleh diterima].
  5. Keadaan ini sama seperti dalam negara kita hari ini, berapa ramai rakyat yang bukan Islam di bawah pemerintahan Agong atau PM yang muslim.
  6. Allah juga bertanya kepada kaum Quraisy adakah mereka yang lebih hebat (dari segi kekuatan dan kemajuan pembangunan) daripada Kaum Tubba\’ dan semua kaum yang terdahulu dari mereka?
  7. Sedangkan mereka semuanya (walaupun lebih gagah dan kuat daripada Quraisy) telah dibinasakan oleh Allah s.w.t kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa, kufur dan ingkar kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya.
  8. Yakni Allah s.w.t sifatkan mereka Quraisy sebagai kaum yang lemah berbanding dengan kaum yang terdahulu.

AYAT 38- {DAN TIDAKLAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA, SECARA MAIN-MAIN;} (AD-DUKHAAN 44:38)

  1. Ayat ini adalah dalil pemutus, yang menunjukkan kepada benarnya Kebangkitan semula dan bahawa Kiamat itu akan berlaku. Yakni selepas membatalkan fahaman yang salah, kita kena bawa pula hujjah yang mantap untuk menguatkan dalil yang jelas, pandangan apa yang sepatut dan sebenarnya!
    *Inilah uslub dakwah, apabila kita mengkritik sesuatu hujjah kita kena bawa yang sebaliknya dengan hujjah yang mantap dan jelas.
  2. Allah tegaskan bahawa Dia menjadikan seluruh alam yang segala yang ada padanya, yang begitu indah dan menakjubkan ini bukan hanya sia-sia tanpa tujuan dan hikmah yang benar!
    Ada tujuan dan matlamatnya yang tersendiri, kita manusia kena fikirkannya.
  3. Semuanya untuk mengenal Allah s.w.t yang menjadikannya, serta beribadat kepada-Nya, oleh itu kaji dan selidikilah apa yang ada di bumi dan langit untuk mendapat faedah yang besar lalu gunakanlah ianya sebaiknya serta bersyukurlah akan nikmat Allah yang tidak terhingga.
  4. Ayat ini ditafsirkan pula dengan firman-firman Allah s.w.t ini:
    i- {Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab neraka.} (Sod 38:27)

ii- {\”Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?\”} (Al-Mu\’minuun 23:115)

iii- {Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.} (Adz-Dzaariyaat 51:56)

AYAT 39- {TIDAKLAH KAMI MENCIPTAKAN KEDUANYA (SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARANYA) MELAINKAN KERANA MENZAHIRKAN PERKARA-PERKARA YANG BENAR; AKAN TETAPI KEBANYAKAN MEREKA TIDAK MENGETAHUI (HAKIKAT ITU).} (AD-DUKHAAN 44:39)

  1. Allah s.w.t mencipta langit dan bumi serta isi kanduangannya untuk menzahirkan perkara-perkara yang benar.
  2. Antara perkara-perkara yang benar itu ialah:
    i- kepercayaan seseorang kepada Allah s.w.t dengan beriman dan yakin kepada-Nya.

ii- kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang Islam. Ibadat dan halal-haram.

iii- peraturan yang Allah tetapkan untuk kebahagian seseorang itu.

iv- suratan amal yang ditulis oleh malaikat.

v- pembezaan yang jelas antara orang yang berhak mendapat nikmat abadi dan yang berhak mendapat azab siksaan.

  1. Allah bawa dalil dunia ini untuk nyatakan hikmah, kebijaksanaan dan keadilan-Nya, maka kita diperintahkan untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t yang Esa tiada sekutu bagi-Nya.
  2. Kita juga diuji dengan arahan dan larangannya, juga kewajipan dan fadhilat. Siapa yang berjaya selamatlah.
    Keimanan membezakan antara orang kafir dan yang beriman.
  3. Bagi ahli ibadat; amalan sunatlah yang membezakan sesama muslim ahli ibadat. Siapa yang lebih banyak dan sempurna persedian amal ibadatnya.
    Itulah ujian orang beriman- taqwa, warak & amalan-amalan sunat.
  4. Maka mantapkan keimanan dan taqwa kita, murnikan aqidah kita daripada semua benda yang dapat merosakkannya.
  5. Di akhir ayat Allah kata ramai puak kafir dan musyrikin yang tidak tahu bahawa Allah s.w.t itu mencipta langit dan bumi dengan benar, mereka akan dibangkitkan semula & dibalas dengan semua kekufuran dan keras kepala mereka, hidup tanpa berfikir apakah matlamat manusia dicipta serta perjalanan ke alam abadi.
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.} (Ar-Ruum 30:8)
  7. Jika kamu tidak berfikir juga sehinggalah malaikat meniup sangkakalanya maka jadilah kita manusia yang rugi!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 34 & 35- {\”Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu)- Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia), dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu)} – ayat ini menyentap kita bahawa puak kafir yang keras kepala tidak mahu terima hujjah dan mereka akan kata apa saja yang terdetik dalam hati mereka, mengikut kefahaman mereka!
    Allah s.w.t peringatkan kepada kita bahawa orang yang degil dan tidak mahu berfikir dan ada kefahaman tersendiri memang sukar untuk kita ubah kefahamannya.
    Macam dalam kes ini tidak ada dalam kepala mereka hidup kembali yang kedua.

Maka kita ambil pengajaran jangan jadi begini, jangan ikut jejak puak kafir yang menyumbat telinganya dari mendengar nasihat. Bila orang bagi nasihat buka dulu telinga & hati, dengar dengan baik, kemudian fikir kaji hujjahnya adakah mantap dn benar berdasarkan dalil-dalil yang sahih, dari al-Quran dan hadis serta ulama\’ yang muktabar.

Tetapi jika kita telah tetapkan dalam minda dan hati kita untuk tidak mahu dengar apa yang orang ini beritahu, maka tidak akan jadi kerana kita telah kunci hati kita.
Kenapa pilih yang berisiko sedangkan jalan yang selamat sudah ada di depan kita iaitu jalan yang dibawa dan diajar oleh Rasulullah s.a.w.

  1. Ayat 36- {\”(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!\”}- puak kafir cabar minta bukti ini dengan menyangka bahawa Allah dan Rasulullah tidak akan dapat menjawab hujjah ini.

Tetapi Allah balas hujjah itu dengan bawa contoh tentang kebinasaan kaum Tubba\’ yang dekat dengan mereka, kaum yang lebih hebat dan terkenal dari mereka, yang jika dibandingkan dengan kaum Quraisy yang lemah dan tiada apa keistimewaan.
Mujur ada Ka\’bah di Makkah jika tidak mereka lansung tidak dikenali.

Maka ingatlah kita jangan salah guna hujjah datuk nenek, mantapkan hujjah dengan ilmiah dan dalil.

  1. Ayat 37- {Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau kaum Tubba\’ dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa.}- dalam ayat ini Allah letakkan kebinasaan pada kaum Tubba\’ tetapi tidak termasuk dia, rajanya. Ini menunjukkan Tubba\’ itu sendiri selamat.

Al-Wazir ibnu Hubairah rhm. berkata: Bahawa Tubba\’ sebagaimana yang disebut oleh UM Aisyah r.a adalah seorang raja yang soleh dan beriman.
Maka kita dapat istinbat bahawa tidak semestinya pemimpin soleh, semua rakyatnya juga soleh.
Ada pemimpin yang baik, tetapi rakyatnya tidak baik dan zalim. Ataupun sebaliknya!

Kita nak kedua-duanya, pemimpin yang baik dan soleh, rakyatnya juga baik dan beriman, maka selamatlah semuanya.

  1. Ayat 38- {Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main;}- kata ulama\’ tadabbur ayat ini menunjukkan bahawa semua yang Allah s.w.t cipta dan buat itu ada hikmah, maslahah, sebab dan faedahnya. Semua ciptaan Allah ada kelebihannya.

Hatta dalam penciptaan nyamuk ada hikmahnya, agar kita sentiasa beringat dan menjaga kebersihan dan lain-lain hikmah samada kita nampak atau tidak.

  1. Ayat 39- {Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).}- dengan hak, yakni Allah s.w.t ciptanya kerana ada kepentingan yang khas. Allah jadikan dunia ini untuk lihat siapakan di antara kita yang baik amalan dan imannya. Yakni Allah s.w.t mahu lihat siapa yang jalankan tugasnya maka akan selamat, manakala yang langgarnya akan binasa!

Tetapi ramai juga manusia yang tidak mengetahui dan memahami hakikat ini!

Jadi untuk selamat kita kena belajar ilmu-ilmu agama seperti ilmu tafsir, hadis, tauhid, feqah, tasauf dan lain-lain. Mudah-mudahan dengan belajar al-Quran dan tadabbur al-Quran ini dapat membantu kita untuk selamat dunia dan Akhirat, insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs