View Categories

SURAH AL-AHQAF : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH & ALLAH S.W.T CIPTAKAN ALAM INI DENGAN HIKMAH.

Full video : https://youtu.be/KiyAXYK1HI0

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada pagi ini, Selasa 14 Zulqa\’dah 1443H bersamaan 14hb Jun 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ahqaaf- سورة الأحقاف .
  2. Surah Al-Ahqaf (Bahasa Arab: سورة الأحقاف) adalah surah ke-46 dalam tertib susunan al-Quran iaitu selepas surah Al-Jathiyah dalam juz ke 26.
    Surah ini tergolong surah Makkiyyah yang mengandungi 35 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah. Ada juga ulama\’ yang menyatakan kecuali ayat 10 & ayat 35 yang turun di Madinah. Tetapi sudah dinukilkan secara ijma\’ ulama\’ ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah Al-Ahqaaf (سورة الأحقاف )- yang bermakna (Bukit-Bukit Pasir) kerana Allah s.w.t menyebut perkataan (الأحقاف) pada ayat ke-21:
    { وَاذْكُرْ أَخَا عَادٍ إِذْ أَنْذَرَ قَوْمَهُ بِالْأَحْقَافِ } perkataan (الأحقاف) ini hanya disebut dalam surah ini, tiada dalam surah lain.

Maka dalam ayat tersebut Allah menceritakan perihal kaum Ad, penduduk lembah al-Ahqaf yang telah dibinasakan kerana mengingkari Allah dan nabi mereka Nabi Hud a.s. yang telah menyampaikan risalahnya kepada mereka.

Hingga akhirnya Allah menghancurkan mereka dengan tiupan angin kencang.

Kisah ini adalah sebagai isyarat dari Allah kepada kaum musyrikin Quraisy bahawa mereka akan dihancurkan bila mereka tidak mengendahkan seruan Rasul.

Lembah atau bukit pasir itu sekarang dikenal dengan ar-Rub\’ul Khali, di sebelah selatan Yaman.

  1. Riwayat dari Ibnu Mas\’ud menamakannya sebagai surah Al-Ahqaaf.
    i- Rasulullah s.a.w membacakan dua surah iaitu surah al-Ahqaf dan sebuah surah lagi. [Athar riwayat Imam Ahmad].

ii- Ibnu Mas\’ud r.a juga meriwayatkan bahawa: Rasulullah s.a.w membacakan dua surah dari kumpulan 30 ayat (الثلاثين) dari keluarga surah ha mim yang tujuh iaitu surah Al-Ahqaaf.
Surah-surah jika ayatnya lebih daripada 30 ayat dinamakan surah (الثلاثين). [Athar riwayat Imam Ahmad].

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Setelah menerangkan tentang kebenaran al-Quranul Karim dan kerasulan Rasulullah s.a.w dengan membentangkan dalil yang nyata dan jelas yang membuktikan keesaan dan keagungan Allah s.w.t, maka ditegaskan tidak ada yang lebih sesat selain daripada orang yang menyembah yang lain selain dari Allah yang tidak dapat menyahut atau memberi sebarang pertolongan. Bahkan orang musyrikin itu akan menerima seburuk balasan. Sebaliknya orang beriman yang tetap teguh atas jalan tauhid, mereka akan diberi sebaik-baik balasan.
  2. Kemudian diberikan contoh perbandingan antara anak yang soleh dan taat dengan anak yang ingkar derhaka serta sikap mereka terhadap tuhan dan ibu bapa mereka.
    Diterangkan akan kewajipan untuk berbuat baik kepada dua ibu bapa, di mana ibunya telah mengandungkannya dengan susah-payah, melahirkan juga dengan susah-payah, serta membesarkannya dengan susah payah juga.
  3. Kemudian diterangkan tentang sikap anak soleh, setelah dia dewasa dan berusia 40 tahun, lalu dia berdoa agar dia diberikan taufik untuk tetap bersyukur atas nikmat kurniaan Allah Azza wa Jalla kepadanya dan ibu bapanya. Serta agar dia sentiasa beramal dengan amal soleh serta sifat itu meresap masuk dalam zuriat keturunannya.
    Dia juga sentiasa bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t serta menegasakan secara terbuka bahawa dia adalah dari orang Islam yang sentiasa tunduk taat kepada Allah Rabbul-Alamin.
  4. Sebaliknya Allah s.w.t menerangkan pula tentang anak-anak yang derhaka, amat buruk perkataan kepada kedua ibu bapa mereka apabila diajak kepada beriman mereka mengatakan bosan dan tidak percaya kepada hari Akhirat dan kejadian yang akan berlaku pada hari itu.
    Sama seperti anak yang Islam mengatakan bosan apabila diajak untuk buat amal soleh dan kebaikan.
  5. Allah juga menceritakan tentang perihal satu rombongan dari jin yang datang mendengar semasa Rasulullah s.a.w membaca al-Quran kemudian mereka balik ke tempatnya dan berdakwah tentang Islam kepada kaumnya.
  6. Pada akhir surah ini Allah juga perintahkan Rasulullah s.a.w supaya bersabar dalam perjuangan menyiarkan Islam sebagaiman rasul-rasul yang terdahulu, serta bahawa akhirnya Baginda akan berjaya!

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH TAFSIR MUHARRAR :

  1. Untuk menegakkan dalil tentang keesaan Allah Azza wa Jalla, kesempurnaan kuasa-Nya, tiada siapa yang dapat mencabarnya.
  2. Untuk menetapkan bahawa al-Quran itu turun dari sisi Allah s.w.t bukan dari orang lain. Hari Kiamat itu benar dan akan berlakunya kebangkitan (البعث) semula dan berkumpul (الحشر) di Akhirat.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t puji al-Quran.
  2. Menyatakan satu dari beberapa sudut akan tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t.
  3. Menolak pandangan puak kafir dan membatalkan anggapan mereka bahawa berhala mereka berhak disembah. Apa saja penyembahan selain daripada Allah itu batil!!!
  4. Allah ceritakan akhir kesudahan yang baik bagi mereka yang mengaku Allah sebagai tuhan, kemudian beriman kepada-Nya, istiqomah dalam mengikut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
  5. Allah s.w.t ceritakan beberapa pesanan yang sangat berhikmah iaitu Allah berwasiat kepada anak-anak agar menghormati ibu bapa. Serta pengakhiran yang baik bagi sesiapa yang beramal dengan pesaan tersebut.
  6. Allah juga nyatakan buruknya kesudahan orang kafir yang tidak mahu menerima Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan para pendakwah selepasnya.
  7. Untuk memberi amaran kepada puak kafir yang masih lagi berkeras, mahu berpegang dengan ajaran kufur mereka dengan dibawa contoh akan kebinasaan kaum yang terdahulu dari mereka seperti kaum Ad dan Thamud.
  8. Menenangkan hati Rasulullah s.a.w dengan menceritakan kepadanya tentang kedatangan beberapa kumpulan jin yang datang mendnegar al-Quran kemudian kembali berdakwah kepada kaumnya, mengajak beriman kepada Allah dan Rasulullah s.a.w serta al-Quran yang dibawanya.
  9. Ditutup surah yang mulia ini dengan perintah agar Rasulullah bersabar atas kejahatan dan karenah kaumnya serta jangan gopoh untuk meminta bala kebinasaan mereka.
    Maka Rasulullah s.a.w bersabar dan akhirnya ada di kalangan mereka yang masuk seperti Islam seperti Abu Sufyan r.a setelah 20 tahun menjadi musuh menetang Rasulullah s.a.w dan Islam.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ia merupakan surah ketujuh dan yang terakhir yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran. Dipanggil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم), bermula dari surah Ghafir, Fussilat, Asy-Syura, Zukhruf, Ad-Dukhan, al-Jathiyah sehingga Surah al-Ahqaf ini.
    Kesemuanya adalah surah Makkiyyah.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ


DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {HAA, MIIM- حم} (AL-JAATHIYAH 45: 1)

  1. Surah ini dimulai dengan dua ayat yang mengandungi huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim).
    Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang ketujuh.
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
    Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.

Mukjizat pula sesuatu yang mencarik adat, perkara di luar kebiasaan yang diberi kepada para rasul.

  1. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w. Maka kita jangan mencari benda yang pelik sehingga boleh membawa kepada sesat.
  2. Ia tiada maksudnya yang khas, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui- wallahu a\’lam. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2-{TURUNNYA KITAB AL-QURAN INI DARI ALLAH, YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-JAATHIYAH 45: 2)

  1. Turunnya kitab al-Quran ini dari Allah s.w.t, kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Dia-lah Allah Tuhan yang sifat-Nya:
    i- Yang Maha Kuasa, (الْعَزِيزِ).
    Tiada sebarang kekurangan dan kelemahan.
    ii- lagi Maha Bijaksana, (الْحَكِيمِ).
    Meletakkan semua perkara pada tempatnya yang sepatutnya.
  3. Firman Allah s.w.t juga:
    {Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,
    Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.} (Fussilat 41: 41-42)

AYAT 3- {(INGATLAH), TIDAKLAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA MELAINKAN DENGAN ADA GUNANYA YANG BENAR DAN DENGAN ADA MASA PENGHUJUNGNYA YANG TERTENTU (YANG PADANYA DIJALANKAN PEMBALASAN); DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERPALING DARI MENERIMA PERINGATAN YANG DIBERIKAN KEPADA MEREKA MENGENAINYA.} (AL-AHQAAF 46:3)

  1. Allah nyatakan bahawa Dia mencipta langit dan bumi serta yang ada antara keduanya, dengan hikmah dan kegunaannya yang sebenar serta ada tempoh tertentu.
  2. Kenapa ada tempoh? Supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi keadaan masa itu dengan selamat sentosa.
  3. Munasabah ayat: Allah s.w.t sebut dalam ayat kedua tentang al-Quran yang turun mengandungi perintah dan larangan.
    Maka Allah sebut dalam ayat ini bahawa Dia yang menciptakan langit dan bumi, maka semua manusia yang dicipta oleh-Nya mesti akur dengan perintah Allah. Yakni seolah Allah mahu mencabar manusia ini, jika kamu mahu derhaka tidak mahu taat kepada Allah, maka keluarlah dari langit dan bumi ciptaan Allah ini! Carilah bumi lain, buatlah hukum dan perintah sendiri.
  4. Maksudnya Allah cipta dengan haq (بِالْحَقِّ) yakni penuh hikmah dan kebijaksanaan serta ada tempohnya sehingga bila maka ia akan berakhir dan rosak, maka ketika itu terjadilah Kiamat.
  5. Kiamat itu ada dua:
    i- Kiamat kecil atau Kiamat setiap individu iaitu kematian.
    ii- Kiamat besar- hari kemusnahan dunia ini.
  6. Firman Allah s.w.t: {Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.} (Ar-Ruum 30:8)
  7. Tetapi malangnya puak kafir tetap berpaling dari menerima peringatan yang diberi kepada mereka. Mereka menolak al-Quran dan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w lalu tidak mendapat peringatannya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Haa, Miim- حم} & Ayat 2-{Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- kata ulama\’ tadabbur, dua ayat ini menunjukkan Allah mulakan surah ini huruf hija\’i, dibawa dua huruf untuk menyatakan tujuannya bahawa al-Quran itu datang dari Allah s.w.t!

Dua huruf ini saja menunjukkan lambang bahawa orang kafir tidak dapat mencabar dan melawan al-Quran.

Maka apabila kita kenal dan tahu al-Quran ini yang hebat, yang turun dari sisi Allah s.w.t maka akan menambahkan keinginan dan kerinduan kita untuk melihat dan mendengar sehingga ke akhir surahnya. Apakah isi kandungannya yang hebat itu!

  1. Ayat 2-{Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- ini adalah pujian dari Allah s.w.t kepada Kitab-Nya sendiri yang mulia, Allah s.w.t besarkan al-Quran.

Maka ia mengandungi petunjuk dan bimbingan kepada hamba-hamba Allah untuk mengambil al-Quran sebagai penunjuk hidayah pembimbing dan petunjuk jalan, dengan cara baca dan tadabbur al-Quran untuk mendapatkan Mutiara hiadayahnya.
Semoga Allah s.w.t anugerahkan kepada kita kefahaman yang baik tentang agama dan al-Quran.

  1. Ayat 2-{Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- ini satu jaminan besar bahawa al-Quran itu datang dari Allah s.w.t. beberapa kali Allah sebut bahawa al-Quran itu turun dari sisi-Nya.
    Bahawa al-Quran itu bukan rekaan Rasulullah s.a.w tetapi apa yang Baginda terima dari sisi Allah Azza wa Jalla.

Kerana itu kata ulama\’ tadabbur; sesiapa yang mahu mendengar Allah berkata-kata kepadanya maka bacalah al-Quran, risalah dari Allah kepada hamba-Nya.

  1. Ayat 3- {(Ingatlah), tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan ada gunanya yang benar.}- ayat ini menjadi dalil adanya Pencipta iaitu Allah s.w.t yang bersifat dengan penuh kesempurnaan.
    Binaan yang dicipta-Nya adalah berdasarkan kepada kebijaksanaan dan berkahirnya dengan satu tujuan yang besar.
    Iaitu Allah lantik manusia untuk lihat di kalangan manusia siapa yang keras kepala tidak dengar kata dan siapa yang patuh dan taat kepada-Nya.
  2. Ayat 2-{Turunnya Kitab Al-Quran ini dari Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- banyak dalam al-Quran ini Allah s.w.t sebut dua sifat-Nya: Iaitu al-Quran ini turun dari Allah yang Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Sedangkan banyak lagi sifat dan nama Allah s.w.t yang lain.

Rahsianya disebut dua nama ini kerana;-
i- Allah s.w.t mahu sebut sifat keagungan dan Kebesaran-Nya.
Bahawa Allah s.w.t yang Maha Gagah Perkasa (الْعَزِيزِ) itu turunkan al-Quran yang layak dengan keagungan dan kekuasaan-Nya.
Maka al-Quran juga satu kitab yang mulia, yang gagah perkasa yang tidak dapat dicabar dan dikalahkan oleh sesiapa. Sesiapa yang melawannya akan tewas!

Sebagaimana kisah beberapa orang bijak pandai kafir yang asalnya ditugaskan untuk mencari kelemahan al-Quran atau mengkajinya, akhirnya setelah melihat mukjizat keajaiban al-Quran mereka beriman.
Contoh-
a- seorang doktor pakar bedah Peranchis Dr Maurice Bucaille yang mengkaji mayat Firaun. Setelah didapati al-Quran telah menyatakan 1400 tahun dulu lagi bahawa Firaun itu mati lemas dalam air laut, bertepatan dengan penemuan mereka, maka terus dia kagum dan mengakui kebenaran Islam dengan menjadi muslim.

b- Dr Garry Miller yang diberi mandate oleh kerajaan Canada untuk mencari kelemahan al-Quran, akhirnya hanya menemui mukjizat dan keagungan Al-Quran, lalu dia juga mendapat hidayah meneri Islam dan menjadi Abdul Ahad.

ii- Al-Quran juga diturunkan oleh Allah yang Maha Bijaksana (الْحَكِيمِ)- untuk menyatakan bahawa yang menurunkan al-Quran ini sifat-Nya amat Bijaksana maka isi kandungan al-Quran itu semua penuh hikmah kerana ia turun dari Allah yang Maha Bijaksana (الْحَكِيمِ), maka kita kena percaya semua yang Allah s.w.t sampaikan dan ceritakan dari segi hikayah, perintah larangan, arahan dan tegahan, dan undang-undang al-Quran itu semuanya mempunyai hikmah dan keadilan yang tidak dapat dipertikaikan dan tidak ada kelemahan.

Powered by BetterDocs