TUGAS NABI S.A.W MENERUSKAN DAKWAH RASUL SEBELUMNYA & SAKSI AHLI KITAB AL-QURAN ADALAH BENAR.
Full video : https://youtu.be/CMJucrEiPiQ
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan kepada kita tentang arahan-Nya kepada Nabi S.A.W untuk meneruskan kerja-kerja dakwah yang telah dimulakan oleh para rasul a.s sebelumnya. Mereka juga telah menghadapi tentangan serta karenah kaum masing-masing, yang sekarang ini telah sampai ke zaman Rasulullah s.a.w.
- Kemudian saksi dari kalangan ahli kitab bahawa apa yang dibawa Rasulullah s.a.w adalah benar.
- Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t nyatakan bahawa kesesatan yang amat besar itu ialah apabila manusia membuat pembohongan dan pendustaan tanpa dalil, cuma bersandarkan kepada hawa nafsu. Dinyatakan Rasulullah bukan pereka ajaran baru, bahkan adalah penyambung ajaran para anbiya\’ yang terdahulu.
- dalam ayat lepas jua, kaum musyrikin mengatakan:
i- al-Quran itu adalah satu sihir.
ii- bahawa Rasulullah s.a.w mereka-cipta (بِدْعًا) agama baru.
iii Rasulullah juga mencipta sendiri al-Quran, bukan turun dari Allah s.w.t.
Serta pelbagai tuduhan, cabaran dan celaan lagi. - Maka Allah s.w.t ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk menjawabnya sebagaimana dalam ayat-ayat kita hari ini!
AYAT 9- {KATAKANLAH LAGI: \”BUKANLAH AKU SEORANG RASUL PEMBAWA AGAMA YANG BERLAINAN DARI AGAMA YANG DIBAWA OLEH RASUL-RASUL (YANG TELAH LALU), DAN AKU TIDAK MENGETAHUI APA YANG AKAN DILAKUKAN KEPADAKU DAN KEPADA KAMU. AKU TIDAK MELAKUKAN SESUATU MELAINKAN MENURUT APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAKU, DAN AKU TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN YANG JELAS NYATA.\”} (AL-AHQAAF 46:9)
- Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada kaumnya bahawa Baginda bukan merekacipta agama atau ajaran baru, Baginda hanyalah meneruskan dakwah dan ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul terdahulu.
- Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): \”Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut\”.} (Al-Nahl 16:36)
- Yakni agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah agama tauhid yang juga telah dibawa oleh rasul-rasul terdahulu. Jadi kenapa kamu (ahli kitab) tidak ingkar apa yang dibawa oleh kitab Taurat & Injil yang ada di tangan kamu itu?
- Firman Allah s.w.t:
i- {Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang terdahulu).} (A-li\’Imraan 3:144)
ii- {Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya dan Nabi Isa dan Nabi Ayub dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.
Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).} (An-Nisaa\’ 4: 163-164)
Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut nama 12 orang rasul. Ada rasul yang disebut dan diceritakan kisahnya, ada yang tidak disebut.
- Allah juga suruh Rasulullah s.a.w tekankan bahawa Baginda hanyalah manusia biasa, yang tidak tahu apa yang akan ditentukan ke atasnya sendiri serta apa yang Allah s.w.t akan buat ke atas mereka kaum musyrikin juga.
- Ayat ini perlu kepada huraian dan menjadi perbincangan panjang para ulama\’ tafsir.
- Kata ar-Ras\’ani: Ulama\’ tafsir berbeza pandangan dalam ayat ini; apakah maksud Rasulullah s.a.w tidak tahu ini samada perkara yang berlaku di dunia atau di Akhirat?
i- Pendapat pertama: pada peringkat awalnya Rasulullah tidak tahu apa yang akan berlaku di Akhirat, sehinggalah turun beberapa ayat al-Quran ini:
a) Firman Allah s.w.t: {Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu.} (Al-Fath 48:2)
b) {(Allah melakukan yang demikian) supaya ia memasukkan orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan – ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai;} (Al-Fath 48:5)
Maka ketika itu tahulah Rasulullah s.a.w apa yang Allah sediakan untuk orang mukmin.
ii- Pendapat kedua- bahawa Rasulullah s.a.w tidak tahu apa yang akan berlaku di di atas dunia ini juga.
a) kata al-Hasan al-Basri maksudnya: Aku tidak tahu samada aku akan dihalau keluar dari Makkah sebagaimana nabi-nabi yang terdahulu, atau aku akan dibunuh sebagaimana nabi-nabi yang terdahulu juga, dan aku juga tidak tahu apa yang Allah akan buat kepadamu wahai para pengikut agama Islam.
b) Kata Ibnu Athiyah rhm.: Yakni Baginda tidak tahu bahawa Baginda akan dihalau keluar dari Makkah, akan berhijrah, apa yang akan terjadi pada masa hadapan.
c) Ramai ulama\’ tafsir seperti Ibnu Jarir, at-Tabari dan an-Nahas, maksud ayat adalah di dunia.
- Ibnu Kathir rhm. buat kesimpulan setelah kumpul pandangan ulama\’ salaf dalam tafsir:
i- Bahawa pendapat Ibnu Jarir bahawa Rasulullah s.a.w tidak tahu apa yang akan berlaku di atas dunia ini lebih tepat, tidak boleh ambil pandangan lain serta sesuai dengan keadaan Rasulullah s.a.w. Kerana Baginda tidak tahu apa yang akan tejadi, seperti buat persiapan baju besi & senjata untuk menghadapai musuh dalam peperangan dan seumpamanya.
ii- sedangkan untuk Akhirat, Rasulullah s.a.w telah yakin bahawa Baginda dan sahabat-sahabatnya akan mendapat balasan syurga!
Ya Allah jadikan kami semua orang yang layak ke syurga dengan limpah kurnia Allah s.w.t.
- Firman Allah s.w.t: {Katakanlah: \”Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman\”.} (Al-A\’raaf 7:188)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk menafikan ilmu secara Mutlaq kecuali ilmu yang diajar oleh Allah s.w.t kepada Baginda s.a.w. Maka kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w jangan terlampau dalam memuji Rasulullah s.a.w sebagai seorang pemilik alam, nabi yang tahu segala yang ghaib dan lain-lain yang melampau.
- Satu kisah yang menarik, Ummu al-Ala\’ (أُمَّ الْعَلاَءِ )- menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah datang untuk menziarahi jenazah Usman bin Maz\’un r.a, seorang sahabat pertama yang meninggal di Madinah selepas Hijrah.
حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ، أَخْبَرَنَا ابْنُ شِهَابٍ، عَنْ خَارِجَةَ بْنِ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ، أَنَّ أُمَّ الْعَلاَءِ ـ امْرَأَةً مِنْ نِسَائِهِمْ بَايَعَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم ـ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ مَظْعُونٍ طَارَ لَهُمْ فِي السُّكْنَى حِينَ اقْتَرَعَتِ الأَنْصَارُ عَلَى سُكْنَى الْمُهَاجِرِينَ، قَالَتْ أُمُّ الْعَلاَءِ فَاشْتَكَى عُثْمَانُ عِنْدَنَا، فَمَرَّضْتُهُ حَتَّى تُوُفِّيَ، وَجَعَلْنَاهُ فِي أَثْوَابِهِ، فَدَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقُلْتُ رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَيْكَ أَبَا السَّائِبِ، شَهَادَتِي عَلَيْكَ لَقَدْ أَكْرَمَكَ اللَّهُ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم \” وَمَا يُدْرِيكِ أَنَّ اللَّهَ أَكْرَمَهُ \”. قَالَتْ قُلْتُ لاَ أَدْرِي بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَمَنْ قَالَ \” أَمَّا هُوَ فَقَدْ جَاءَهُ وَاللَّهِ الْيَقِينُ، وَاللَّهِ إِنِّي لأَرْجُو لَهُ الْخَيْرَ، وَمَا أَدْرِي وَاللَّهِ وَأَنَا رَسُولُ اللَّهِ مَا يُفْعَلُ بِي \”. قَالَتْ فَوَاللَّهِ لاَ أُزَكِّي أَحَدًا بَعْدَهُ قَالَتْ فَأَحْزَنَنِي ذَلِكَ فَنِمْتُ فَأُرِيتُ لِعُثْمَانَ بْنِ مَظْعُونٍ عَيْنًا تَجْرِي، فَجِئْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ
ذَلِكَ عَمَلُهُ \”.
Sebahagian maksudnya:
Ummul \’Ala\’ berkata, \”Uthman bin Maz\’un mengeluhkan sakitnya di sisi kami kemudian kami merawatnya sehingga dia meninggal, kami menyelimutinya dengan bajunya, kemudian datanglah Rasulullah s.a.w kepada kami, dan akupun berkata:
\”Semoga rahmat Allah sentiasa di curahkan kepadamu wahai Abu As Sa\’ib. Aku bersaksi atas kamu. Sungguh, Allah telah memuliakanmu.\”
Rasulullah s.a.w kemudian bersabda: \”Dari mana kamu tahu bahawa Allah telah memuliakannya?\”
Ummul \’Ala` berkata, \”Maka aku menjawab, \”Bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah, Aku tidak tahu.\”
Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: \”Kematian dari Tuhannya telah datang kepadanya, aku berharap dia mendapatkan kebaikan. Demi Allah, meskipun aku seorang Nabi, aku tidak tahu apa yang akan aku dapatkan.\”
Ummu \’Ala` lalu berkata, \”Demi Allah, aku tidak akan lagi memuji seseorang setelahnya, sehingga hal itu membuat aku sedih.
Kemudian aku tidur dan diperlihatkan kepadaku dalam mimpi bahawa \’Uthman mendapatkan mata air yang mengalir, aku lalu bergegas mendatangi Rasulullah s.a.wdan menceritakan hal itu kepadanya, Baginda bersabda: \”Itu adalah amalan Uthman.\” [HR Bukhari 2687].
Kata Ibnu Kathir rhm.: Hadis ini dan yang seumpamanya menjadi dalil bahawa kita tidak boleh meletakkan bahawa seseorang itu pasti ahli syurga kecuali dengan nas yang jelas dari al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Seperti 10 yang disebut namanya oleh Rasulullah s.a.w dan lain-lain sahabat dalam hadis Baginda.
Kita hanya boleh mengharapkannya dengan doa, bukan terus bagi penyaksian sendiri, seperti masyarakat hari ini, senang-senang kata ahli syurga, anak syurga, bidadari syurga dan lain-lain. Jika berlaku kematian yang baik kita hanya boleh mengharapkan dengan doa bukan terus bagi title atau cop.
Kata Ibnu Hjar rhm. ucapan Rasulullah s.a.w itu bertepatan dengan ayat yang kita baca ini.
Kemudian turun ayat Madaniyyah, firman Allah s.w.t:
{Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).} (Al-Fat-h 48:2)
ii- Telah sabit juga bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: \”Aku orang yang pertama akan masuk syurga.\” [HR Bukhari].
Yakni secara umumnya Rasulullah s.a.w ada ilmu tentang syurga dan neraka, tetapi yang dinafikan adalah perincian sehinggalah ia diwahyukan oleh Allah s.w.t! Maka tidak bertentangan antara ayat-ayat ini.
- Rasulullah s.a.w kemudiannya memberi jaminan bahawa Baginda tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadanya oleh Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat Jibril. Maka jangan ragu-ragu lagi akan kebenarannya.
- Maka kita tidak boleh memandai-mandai dan mengada-adakan dalam agama ini kerana ia adalah satu wahyu dari Allah s.w.t!
- Tugas Rasulullah s.a.w juga tidak lain hanyalah sebagai seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata. Syurga bagi yang beriman dan neraka sebaliknya. Ia zahir jelas dan nyata bagi orang yang berakal!
AYAT 10- {KATAKANLAH LAGI: \”BAGAIMANA FIKIRAN KAMU JIKA AL-QURAN INI (YANG DATANGNYA) DARI ALLAH DAN KAMU MENGINGKARINYA, PADA HAL ADA SEORANG SAKSI DARI BANI ISRAIL MEMBERI KETERANGAN MENGAKUI (SAHNYA KITAB) YANG SAMA SEPERTI AL-QURAN INI, LALU IA PERCAYAKAN (AL-QURAN INI DARI ALLAH), SEDANG KAMU DENGAN SOMBONG ANGKUH MENGINGKARINYA? (TIDAKKAH DENGAN YANG DEMIKIAN KAMU BERSIFAT ZALIM)? SESUNGGUHNYA ALLAH TIDAK MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM (YANG DEGIL DALAM KEKUFURANNYA)\”.} (AL-AHQAAF 46:10)
- Allah menyuruh Rasulullah s.a.w menyatakan lagi kepada kaum kafir Quraisy; bahawa al-Quran itu turun dari Allah, tetapi kamu masih lagi degil keras kepala menolak kebenaran serta mengingkarinya, sedangkan kamu suka pergi bertanya kepada ahli kitab!
- Ahli kitab itu juga telah mengakui akan kebenaran al-Quran.
- Siapakah ahli Kitab yang beriman itu? Ulama\’ tafsir berbeza pandangan tentangnya:
a- ada yang mengatakan dia adalah Abdullah bin Salam, seorang pendeta yahudi yang telah memeluk Islam.
i) Kerana itu ada ulama\’ yang mengatakan ayat ini Madaniyyah walaupun diletak dalam surah Makkiyyah.
ii) Tetapi ulama\’ yang mengataka ia adalah ayat Makkiyyah, tetap mengatakan ayat ini juga Makkiyyah, kerana Allah s.w.t ceritakan peristiwa yang akan berlaku di Madinah selepas Hijrah nanti.
iii) Kata Ibnu Hajar rhm. yang membuat analisa; Tidak ada halangan untuk mengatakan ayat ini semuanya Makkiyyah, cuma ia memberi isyarat kepada peristiwa yang akan berlaku selepas hijrah; iaitu pendeta yahudi yang bernama Abdullah bin Salam akan mengakui kebenaran al-Quran dan memeluk Islam.
b- pendapat kedua; ada yang mengatakan ia adalah nabi Musa a.s.
c- ada juga pendapat yang mengatakan ia bukanlah satu individu khas tetapi sesiapa saja dari ahli Kitab yang menjadi saksi mengakui kebenaran al-Quran. Wallahu a\’lam.
- Firman Allah s.w.t: {Dan sesungguhnya Al-Quran (tersebut juga perihalnya dan sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab agama orang-orang yang telah lalu.
(Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-pendita agama Bani lsrail mengetahui akan kebenaran Al-Quran itu?} (Asy-Syu\’araa\’ 26:196-197)
Yakni hanya ulama\’ bani Israil yang tahu tentang ayat ini. Tetapi yang menyelewengnya tidak akan tahu, kerana mereka menolak dakwah Nabi s.a.w semata-mata kerana hasad dengki, dendam & takabbur kerana rasul terakhir itu bukan dari kalangan bangsa mereka.
- Akhirnya Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim terhadap dirinya dengan melakukan syirik kepada Allah dan yang takabbur degil dalam kekufurannya enggan menerima kebenaran. Maka buanglah sifat angkuh dan takabbur, barulah kita dapat menerima ilmu & kebenaran.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 9- {Katakanlah lagi: \”Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu),}- Allah ajar kepada Rasulullah s.a.w untuk menyatakan bahawa dia bukan orang pertama yang menjadi nabi & rasul.
Ayat ini elok untuk menolak dakwaan Kristian (Nasrani) zaman kita yang meragui kenabian Rasulullah s.a.w dengan tuduhan buruk dan kata-kata sesat yang tidak sesuai dengan Baginda s.a.w!
Antaranya: Jika Muhammad s.a.w seorang rasul & nabi kenapa berkahwin? Bukan seperti nabi Isa yang tidak sempat kahwin atau para pendeta mereka yang tidak kahwin secara rasmi, tetapi banyak berlaku kesongsangan. Atau seorang penumpah darah yang suka berperang dan lain-lain.
Jika kamu beriman kepada Isa a.s kenapa tidak beriman dengan Muhammad s.a.w dan ajaran mereka dari sumber yang satu!
- Ayat 9- {dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku,}- ayat ini menunjukkan bahawa pada peringkat awalnya Rasulullah tidak tahu apa yang akan terjadi kepada dirinya serta akhir kepada dakwahnya.
Kemudian setelah turun ayat-ayat lain yang menyatakan pengakhiran Baginda s.a.w dan dakwahnya adalah syurga seperti firman Allah s.w.t ini:
i- {Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).} (Al-Fat-h 48:2)
ii {Dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.} (An-Nisaa\’ 4:113)
Yakni ada benda-benda yang Rasulullah s.a.w tidak tahu apa yang akan berlaku atas dunia ini seperti peristiwa yang akan berlaku, kemenangan atau kekalahan tentera muslimin dalam peperangan dan lain-lain.
Ayat 9- {dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata.\”}- kenapa Rasulullah s.a.w hanya disebut sebagai pemberi amaran (وَنَذِيرًا) dalam ayat ini sedangkan dalam ayat lain Allah sifatkan Rasulullah sebagai pemberi khabar gembira (بَشِيرًا) dan pemberi amaran bersama?
Firman Allah s.w.t: {Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).} (Al-Ahzaab 33:45)
Jawapan: Ini kerana ayat ini adalah percakapan Rasulullah s.a.w dengan puak kafir musyrikin yang mendustakan (المُكَذِّبِينَ), maka uslub amaran adalah lebih sesuai dengan keadaan mereka ketika itu!
- Ayat 9- {Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku,}- ayat ini menunjukkan sempurnanya pengabdian Rasulullah s.a.w terhadap Allah s.w.t. Baginda ikut apa Allah s.w.t perintahkan.
Juga ayat ini menjadi kaedah bahawa undang-undang Syari\’ah itu tauqifiyyah (wahyu dari Allah) dan tidak boleh direka. Kerana itu dalam hal ibadat tidak boleh buat atau amal kecuali ada dalil yang menyuruhnya! Manakala dalam kehidupan dunia semua boleh buat kecuali ada dalil yang jelas melaranganya!
Daripada Ummul-Mukminin Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: \”Sesiapa yang mereka-reka perkara baru dalam urusan (agama) kami, yang tidak berasas daripadanya, maka ia tertolak.\” [HR al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)].
- Ayat 10- {Katakanlah lagi: \”Bagaimana fikiran kamu jika Al-Quran ini (yang datangnya) dari Allah dan kamu mengingkarinya, pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini,}- ayat ini menjadi dalil bahawa maklumat dan ilmu yang kita terima tentang atau dari Rasulullah s.a.w boleh kita mengambil persaksian dari Kitab atau ahli kitab lain sebagai bukti dan saksi untuk mengguatkannya.
Kerana itu Allah s.w.t kata ada saksi dari kalangan bani Israil sendiri yang mennyaksikan bahawa benarnya al-Quran. Mereka kenal Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka kenal anak mereka sendiri, mereka tidak beriman bukan kerana tidak tahu maklumat, tetapi kerana sombong angkuh dan keras kepala!
- Ayat 10- {pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil memberi keterangan mengakui (sahnya Kitab) yang sama seperti Al-Quran ini, lalu ia percayakan (Al-Quran ini dari Allah),}- ayat ini menolak hujjah mereka yang mengatakan bahawa tidak boleh bagi saksi untuk berkata: aku bersaksi atasnya (شَهِدَ عَلَى), tetapi kena kata kata aku bersaksi dengannya (شَهِدَ به)- yakni boleh guna atas (عَلَى) persaksian. Yakni dia mahu membezakan antara penggunaan perkataan atas (عَلَى) dan dengan (به).
Tetapi berbeza dalam menggunakan perkataan bagi kami (لنا) dan ke atas (علينا) dalam berdoa, ini kerana \’bagi kami\’ (لنا) biasanya digunakan untuk meminta kebaikan manakala \’ke atas kami\’ (علينا) pula kita minta dijauhkan keburukan daripada kita.
Inilah adab berdoa (فقه الدعاء) yang perlu dipelajari oleh para imam dan pembaca doa sekeliannya.
Contoh doa yang dimaksudkan adalah seperti ini:
اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة
Maksudnya: \”Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan jangan Engkau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.\”