MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ARAHAN ALLAH S.W.T KEPADA NABI S.A.W JANGAN TUNDUK KEPADA KAFIR & KELEBIHAN NABI S.A.W DAN TAWAKKAL.
Full video : https://youtu.be/N_yNpq4vFYU
MUQADDIMAH SURAH :
- Alhamdulillah pada hari ini Khamis 28 Rabi\’ul Awawl 1443H bersamaan 4hb November 2021 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-Ahzab.
- Surah Al-Ahzab, surah ke-33 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 21 dan mengandungi 73 ayat.
- Surah ini Allah s.w.t rakamkan khas kisahnya kepada sebuah peperangan yang berlaku di Madinah iaitu Peperangan Al-Ahzab, yang bermaksud tentera bersekutu. Iaitu tentera Quraisy Makkah bergabung dengan beberapa kumpulan lagi datang untuk menyerang kaum muslimin di Madinah. kisah penuhnya nanti akan datang.
- Ramai ulama\’ tafsir mengatakan ijma\’ ulama\’ surah ini diturunkan di Madinah maka ia adalah surah Madaniyyah.
- Dinamakan surah ini Surah Al-Ahzab – perihal pasukan tentera yang bergabung/bersekutu, kerana kisahnya ada disebut pada ayat ke 9 sehingga ayat ke 25. Untuk mengingatkan kepada orang yang beriman agar bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan mereka dari serangan musuh yang mahu memusnakan mereka.
- Dalil tentang namanya; Seorang sahabat pengumpul al-Quran Ubai bin Ka\’ab r.a pernah bertanya kepada para sahabat yang lain tentang: \”Berapakah yang pernah kamu hitung tentang ayat surah al-Ahzab? Mereka menjawab 73 ayat.\” [Athar Riwayat Imam an-Nasaei]. Maka sabitlah tentang namanya.
INTISARI KANDUNGANNYA :
- Pada awal surah ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar tetap teguh mematuhi perintah-Nya serta jangan menurut kehendak dan jangan peduli akan tipu-daya kaum kafir musyrikin yang banyak sekali hasutan dan karenahnya.
- Juga diperintahkan agar Rasulullah s.a.w menurut wahyu yang diturunkan kepadanya dan berserah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t.
- Kemudian ditegaskan bahawa sebagaimana Allah s.w.t tidak menjadikan DUA hati bagi seorang manusia, maka demikianlah manusia itu hendaklah mempunyai satu tujuan dalam hidupnya iaitu menyembah Allah s.w.t yang Maha Esa dan menurut hukum Syariat-Nya serta menjauhi maksiat dan syirik kepada Allah s.w.t. Dalam hati manusia tidak akan terkumpul bersama antara iman dan kufur, tauhid dan syirik, taat dan maksiat. Ini kerana ia adalah sesuatu yang berlawanan(kontra) antara satu sama lain.
- Juga diterangkan tentang hukum \”Zihar\” ظهار (seorang lelaki menyamakan isterinya dengan ibunya atau mahramnya yang lain) dan masalah anak angkat yang dibinkan kepada bapa angkat. Kisah penuh nanti.
- Juga bahawa Rasulullah s.a.w lebih berhak dikasihi dan dipatuhi oleh seorang mukmin lebih daripada dirinya sendiri. Manakala isteri-isterinya hendaklah dihormati dan mereka dianggap sebagai ibu kepada kaum mukminin. Pangkat mereka Ummahatul-Mukminin.
- Dijelaskan tentang harta pusaka yang hanya boleh diwaris oleh kaum kerabat sendiri sahaja, orang yang tiada pertalian kerabat tidak berhak mewarisinnya kecuali dengan jalan yang benar dalam agama.
- Tentang para Ummul Mukminin; kerana kedudukan mereka yang amat tinggi dan tanggung-jawab mereka amat berat berbanding dengan isteri orang Islam yang lain, maka Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah memberi mereka peluang untuk memilih antara satu daripada dua jalan. Jika mereka memilih kemewahan dunia maka tidak sesuai dengan kedudukan dan kehidupan Nabi s.a.w, maka mereka akan diceraikan dengan cara yang baik diberi saguhati.
Tetapi jika mereka sedia untuk hidup sederhana memilih untuk hidup menurut jalan yang diredhai Allah dan rasul-Nya, mengutamakan nikmat kehidupan di akhirat, maka mereka akan menerima balasan yang tiada bandingannya. - Kemudian Allah s.w.t menegaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasulullah serta menjadi kesudahan para nabi, Khatamun Nabiyyin, nabi yang terakhir tidak ada lagi rasul atau nabi lain selepasnya.
OBJEKTIF/MAQASID SURAH :
- Hendaklah kita hadapkan hati, muka, qasad dan niat kita semata-mata kepada Allah s.w.t serta tidak perlu difikirkan atau ambil-kira jika bertembung antara hak Allah dan hak manusia. Pastilah hak Allah yang utama dan terpenting.
- Menjelaskan penjagaan Allah s.w.t terhadap Nabi-Nya dengan penjagaan yang rapi.
- Ini perbezaan antara surah Makkiyyah dan Madaniyyah yang turun di Madinah. Surah ini banyak menyentuh tentang beberapa hukum Syara\’, adab-adab kemasyarakatan dan juga susun-atur masyarakat Islam dalam dunia Islam.
TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :
- Allah s.w.t tujukan seruan kepada Rasulullah s.a.w dengan beberapa bimbingan; taqwa, jangan ikut orang kafir dan munafiq, ikut apa yang diwahyukan kepada Allah serta tawakkal kepada Allah.
- Membatalkan beberapa adat عادة yang tersebar di kalangan jahiliyyah iaitu:
i- hukum Zihar – menyamakan isteri dengan ibu dan sesiapa yang mahram.
ii isu mengambil dan binkan anak angkat. Kita detailkan masalah ini.
iii- Allah s.w.t sebutkan beberapa isu dan hukuman yang berkaitan dengan ketaatan kepada Rasulullah s.a.w; dan menetapkan satu enakmen bahawa isteri Rasulullah s.a.w adalah ibu kepada orang mukmin
iv- tentang kewajipan membahagikan harta pusaka kepada pewaris yang khas. - Surah ini juga membatalkan hukum waris mewaris antara persaudaraan golongan Ansar dan Muhajirin (الإخاء ) pada awal hijrah dulu.
- Allah s.w.t sebut dua peperangan dalam surah ini iaitu peperangan Ahzab dan peperangan Bani Quraizah.
- Allah juga ceritakan kisah Rasulullah s.a.w beri pilihan kepada para isterinya, nak pilih dunia dan bercerai dengan Baginda atau pilih untuk bersama Baginda sehingga ke akhirat. Alhamdulillah semua isteri Nabi cerdik dan memilih untuk bersama Baginda sehingga ke akhirat.
- Antara isu untuk membatalkan kebiasaan hukum anak angkat ialah tentang kisah perkahwinan Zainab binti Jahsy dengan Rasulullah s.a.w. setelah diceraikan oleh Zaid bin Haritha r.a. yang menjadi anak angkatnya.
- Allah suruh memperbanyakkan sebut nama Allah s.w.t dengan bertasbih dan zikir kepada Allah s.w.t serta tentang bidang tugas nabi s.a.w.
- Disebut juga hukum perempuan yang bercerai sebelum bersama dengan suaminnya.
- Allah s.w.t sebut ciri-ciri keistimewaan Rasulullah s.a.w dalam nikah dan siapa yang boleh dikahwininya dan tidak.
- Bagaimanakah cara interaksi dengan ahli rumah isteri Rasulullah semasa hidupnya dan selepas Baginda wafat.
- Arahan untuk kita berselawat dan memberi salam ke atas Rasulullah s.a.w.
- Balasan ke atas orang yang menyakiti ke atas Allah dan Rasulullah, juga yang menyakiti orang mukmin dan mukminat.
- Turunnya perintah hijab kepada isteri Nabi dan semua wanita Islam sehingga ke Hari Kiamat.
- Amaran keras kepada golongan munafiqin dan yang ada penyakit dalam hati, batu api yang mahu melaga-lagakan Islam dengan bukan Islam, atau sesama kabilah dalam Islam.
- Ada orang bertanya kepada Rasulullah tentang bilakah hari Kiamat. Maka Allah s.w.t jawab soalan tentangnya dan beri salah-satu gambaran tentang keadaan hari Kiamat.
- Arahan agar sentiasa bertaqwa kepada Allah, bercakap benar dan jangan kelentong.
- Manusia diberikan tanggung-jawab memikul amanah, manusia menerimanya, apabila diberi kepada bukit, bukit pun lari, tidak sanggup memikulnya.
DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.
AYAT 1- {WAHAI NABI! TETAPLAH BERTAQWA KEPADA ALLAH, DAN JANGANLAH ENGKAU PATUHI KEHENDAK ORANG-ORANG KAFIR DAN ORANG-ORANG MUNAFIK. SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-AHZAAB 33:1)
- Allah s.w.t mulakan surah ini dengan menyebut wahai Nabi, berbeza dengan surah lain, ianya direct terus kepada Nabi s.a.w. Ini kerana surah ini banyak hukum-hukamnya berkait dengan Nabi s.a.w, berkait dengan Ummahatul-Mukminin, tentang perkahwinannya dengan Zainab, untuk membatalkan adat jahiliiyah, yakni Baginda telah memainkan peranan besar dalam melaksanakan suatu Syariat yang diletakkan di atas bahunya, sebagai satu contoh tauladan, bukan hanya sebagai penyampai sahaja.
- Sebagai penghormatan kepada Rasulullah dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru khas nama Nabi s.a.w dengan menyebut pangkatnya – يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ , wahai Nabi. Allah tidak panggil wahai Muhammad walaupun ia tidak salah bagi-Nya.
- Allah s.w.t kemudian memberi arahan yang pertama agar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Sedangkan Baginda orang yang paling mulia, seorang rasul yang paling dekat kepada Allah, paling alim dan warak diberi arahan begitu untuk bertaqwa mengikut perintah Allah s.w.t dan menjauhi larangan-Nya.
- Perintah kedua pula agar jangan patuhi kehendak, tipu-daya dan helah kaum kafir dan munafik yang banyak helahnya. Juga agar menurut apa yang diwahyukan kepadanya dan bertawakkal berserah diri bulat-bulat kepada Allah s.w.t.
- Jika Nabi s.a.w diperintahkan dengan TIGA perkara ini, apatah lagi kita umatnya manusia biasa. Walaupun ditujukan kepada Nabi s.a.w tetapi adalah perintah kepada kita semua umatnya juga, hendaklah kita bertaqwa kepada Allah, jangan ikut kaum kafir dan hendaklah bertawakkal kepada Allah dan ikut apa yang dibawa oleh nabi s.a.w!!
- Kita tahu bahawa Allah yang memilih Rasulullah sebagai Rasul, al-Quran sebagai Kitab kita, diberinya Syariat Islam yang mantap dan sempurna, maka kita ikutlah apa yang dibawa dan diperintahkan-Nya, kerana Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Contoh; dalam Islam, undang-undang Dhiyat dimana pampasan atau denda ke atas pesalah akan dibayar kepada keluarga si mati. Yang mungkin ada balu dan anak-anak yatim untuk meneruskan kehidupan. Berbeza dengan undang-undang sivil yang diagungkan oleh anak-anak orang Islam sendiri.
AYAT 2- {DAN TURUTLAH AKAN APA YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU DARI TUHANMU, (DAN JANGANLAH MENURUT ADAT RESAM JAHILIYAH); SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-AHZAAB 33:2)
- Ini adalah perintah yang ketiga; agar ikut undang-undang Allah s.w.t iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w! Janganlah kamu menurut adat resam dan hukum-hakam jahiliyyah dan orang kafir. Semua yang bertentangan dengan Syariah Islam dipangil jahiliyyah.
- Jika kamu tidak ikut juga, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan teliti dan sebenarnya apa yang kamu ikut dan apa yang kamu langgar! Yakni adakah kamu sudah berusaha untuk melaksankannya atau tidak, dalam segenap segi kehidupan kita, bukan hanya HUDUD.
- Berhati-hatilah jangan ajar masyarakat yang pelik-pelik sehingga membawa kepada khurafat dan syirik. Malangnya masyarakat kita hari ini masih mudah percaya kepada bomoh dan ramalan-ramalan yang karut-marut.
- Cukuplah dengan ajaran dan amalan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w yang sahih dan warid darinya.
AYAT 3- {DAN BERSERAHLAH KEPADA ALLAH (DAN JANGANLAH MENUMPUKAN HARAPANMU KEPADA YANG LAIN), KERANA CUKUPLAH ALLAH MENJADI PENTADBIR URUSANMU.} (AL-AHZAAB 33:3)
- Ikut undang-undang Allah dan berserahlah kepada Allah. Ini kerana biasanya siapa yang mahu menegakkan hukum Allah s.w.t, secara automatik akan mendapat tentangan dan kecaman, maka awal-awal lagi Allah s.w.t bagi motivasi dan pesanan ini.
Ikut undang-undang Aku dan berserahlah kepada-KU. - Maka bertawakkal-lah kepada Allah, kerana cukuplah Allah s.w.t itu sebagai penjaga dan pentadbir urusan kita. Maka apa yang datang dari Allah, yakin dan percayalah.
- Apabila kita sudah mencuba yang terbaik untuk mengikut hukum Allah, maka kita kena yakin dan percaya. Jangan runsing akan ancaman, tekanan dan tentangan dari orang kafir.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah } – Allah s.w.t memanggil Rasulullah s.a.w dengan jawatannya, bukan dengan namannya, bukan seperti nabi-nabi lain, Allah panggil mereka dengan namanya. Allah s.w.t memanggilnya bagi Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; ini kerana:
i- Allah nak memperkenalkan jawatannya sebagai seorang nabi dan rasul.
ii- untuk menunjukkan satu kemuliaan yang tinggi untuk Baginda s.a.w dengan jawatan ini.
Firman Allah s.w.t: {Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; } [Al-Maidah: 67].
Allah s.w.t tidak pernah menyeru atau memanggil namanya Muhammad dalam al-Quran kecuali untuk menyebut/memperkenalkan sifat atau namannya, seperti ayat-ayat ini:
i- { Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ } [Al-Fathi: 29].
ii- { Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul – وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ } [Aal-Imran: 144].
Kesimpullannya Allah s.w.t tidak panggil nabi s.a.w dengan nama tetapi dengan jawatannya. Untuk membaca lebih banyak tentang kelebihan Rasulullah s.a.w.
Boleh baca buku yang diterjemahkan oleh Abu Anas Madani:
41 Kelebihan Rasulullah S.A.W, boleh didapati di: http://www.dartaibah.com/… - Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah,}- ini menjadi dalil bahawa seorang manusia setinggi mana martabatnnya tidak gugur taklif Syara\’, hukum Syariat ke atasnya, maka terbuktilah sesat dan terbatallah dakwaan beberapa ajaran sesat yang mengatakan seorang wali itu bila sudah sampai martabat tertentu tidak perlu lagi solat dan buat lain-lain ibadat. Bila mendakwa begini maka jelas ini adalah ajaran yang karut dan sesat!
Rasulullah s.a.w sendiri solat sehingga bengkak kakinya, takkan wali kamu itu lebih tinnggi kedudukannya daripada Baginda s.a.w! - Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, ……Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.} – ayat ini menunjukkan taqwa dan takut kepada Allah mesti lahir dari dalam lubuk hati, kerana Allah s.w.t tahu semua yang ada dalam hati.
Secara zahir saja tidak kira kerana Allah s.w.t mengetahui semua yang tersembunyi dan zahir dan menilai hatinya. Secara zahir boleh aje berlakon sesama manusia. - Ayat 2- {Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu,} – ikutlah wahyu dari Allah s.w.t jangan ikut ajaran yang lain samada puak jahiliyyah dan yang seumpamanya.
Arahan ini jelas, jika sudah ada nas dalam al-Quran dan hadis yang sudah menjelaskan, maka tidak boleh lagi kita ikut pandangan-pandangan lain. (Tafsir al-Qurtubi). - Ayat 1- {Wahai Nabi!} – lafaz ini seolah untuk Nabi seorang saja kemudian Allah kata Dia tahu apa yang KAMU semua (ramai) buat بِمَا تَعْمَلُونَ.
Ini menunjukkan bahawa arahan dan perintah Allah s.w.t ini umum untuk seluruh hamba Allah s.w.t, bukan hukum khusus kepada nabi seorang sahaja.
Jika khusus Nabi s.a.w akan disebut khas seperti boleh kahwin lebih daripada 4 dan lain-lain. - Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah,} – arahan bertqwa ini menunjukkan wujud untuk semua umatnya kerana nabi pun disuruh bertaqwa apatah lagi kita manusia yang biasa.
- Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah,} – ayat ini Allah s.w.t tujukan kepada Nabi s.a.w, arahan dan peringatan untuk bertqwa. Maka sesiapa saja orang lain, apa title pun, ustaz selebriti, pendakwah atau apa saja, kena berlapang dada apabila ditegur dan dinasihat, kerana kita bukan maksum dan suci seperti para nabi dan rasul.
Rasulullah s.a.w pun ditegur dan dinasihati oleh Allah s.w.t.
Bila ditegur kena muhasabah diri dan jika betul salah, minta maaf dan tarik balik. - Ayat 1- { dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. – Allah peringatkan kepada Rasulullah s.a.w agar jangan ikut puak kafir dan munafiq.
Kafir- kafir tulen yang tidak beriman kepada Allah s.w.t terus. Munafiq – mengaku beriman tetapi menolak hukum Allah serta tidak beriman dalam hatinya.
Jangan ikut keduanya. - Ayat 1- { dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik.} – bila Allah larang sesuatu, bukan bermakna Rasulullah s.a.w buat perkara ini, cuma sebagai peringatan dan larangan, sebagai garis panduan untuk umatnya semuanya.
- Ayat 1- {Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik.} – jangan ikut mereka kerana tidak mungkin mereka dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada orang muslim sedikitpun.
Hatta dalam urusan dunia, jika dia seorang doktor pakar yang non-muslim, bukan kita nak pertikaiakan ilmunya, tapi kita kena cuba tanya pendapat seorang lagi doktor muslim yang lain untuk mengesahkannya dari sudut hukum.
Seperti nasihat ambik vaksin untuk Covid-19 sekarang ini, kita boleh terima kerana sudah ramai doktor pakar muslim yang mengesyor dan menerimanya.
Manakala nasihat untuk berbuka puasa kena berdasarkam nasihat sekurang-kurangnya seorang doktor muslim juga.
Alhmdulillah setakat ini dahulu, kita jumpa lagi dalam siri yang akan datang insya\’ Allah.