View Categories

SURAH AL-\’ASR : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, DEMI MASA & WASIAT ORANG MUKMIN.

Full video : https://youtu.be/MizxxMvJCx4?si=YbUUzULW9EQRZpJJ

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Ahad 26 Muharram 1445H bersamaan 13hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Al-\’Asr – سورة العصر.
  2. Semoga Allah s.w.t qabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Al-\’Asr – سورة العصر adalah surah ke-103 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh enam dalam juz ke 30, iaitu selepas At-Takaathur – سورة التكاثر.

Mengandungi 3 ayat yang pendek. Walaupun pendek tetapi ayat ini mengandungi pengajaran dan makna yang amat panjang dan luas.

  1. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Al-\’Asr – سورة العصر yang bermakna {Masa} kerana pada awal surah Allah s.w.t bersumpah demi masa bahawa sesungguhnya manusia dalam kerugian KECUALI empat kumpulan.
  2. Surah ini juga dikenali dengan nama:
    i- Surah Wal-Asr { وَٱلْعَصْر}- Demi Masa- iaitu diambil dari ayat pertamanya secara penuh.
  3. Kita berdoa kepada lah s.w.t supaya kita termasuk dalam kumpulan ini yang tenang di dunia & aman selamat di Akhirat kelak.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Menerangkan bahawa manusia umumnya berada dalam kerugian:
    i orang yang beriman
    ii- beramal soleh
    iii- dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran – meliputi iktiqad kepercayaan, tutur kata, dan amal perbuatan;
    iv- serta berpesan-pesan dengan sabar, yakni bersabar dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya serta sabar menerima ujian!
  2. Apa dia kerugian yang dimaksudkan itu?
    Kerugian bermakna hilang modal, dan modal seseorang itu ialah umurnya.

Jika masa dalam sehari ada 1440 minit ini kita gunakan untuk kebaikan- banyak keuntungan yang kita akan dapat di akhirat kelak.
Tetapi jika sebaliknya itulah orang yang rugi!

  1. Dengan ini nyatalah bahawa manusia tidak terlepas dari kerugian, kerana tiap-tiap satu detik yang berlalu dari umurnya, kalau ia gunakan pada maksiat maka tidak syak tentang ruginya. Kalau pula dihabiskan dengan perkara-perkara yang harus, maka itu pun merugikan juga, kerana habisnya tidak meninggalkan sebarang faedah yang dapat menolongnya bila ia mati.
  2. Bagi mengelakkan kerugian itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan jalan yang diterangkan pada ayat yang ketiga, dengan menyempurnakan segala yang tersebut sebagaimana yang sewajibnya dan yang sepatutnya.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya ialah Allah mahu nyatakan siapakah orang yang rugi & siapakah orang yang bahagia!

Kita kena tahu untuk kita pilih nak duduk dalam kumpulan yang bahagia & keluar dari kumpulan yang rugi!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t bersumpah dengan masa bahawa kerugianlah bagi manusia yang tidak ikut panduan Syari\’ah yang digariskakan oleh Allah s.w.t!
  2. Allah nyatakan selamat, bahagia & terlepas daripada kekecewaan bagi orang yang beriman, beramal soleh, berpesan dengan dengan kebenaran & berpesan dengan kesabaran!

Ya Allah jadikanlah kami, keluarga kami & seluruh yang orang kami sayangi; orang yang selamat, tidak termasuk dalam orang yang kerugian atas dunia & binasa di akhirat kelak!

MUNASABAH SURAH AL-\’ASR – سورة العصر DENGAN SURAH AT-TAKAATHUR – سورة التكاثر SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan At-Takaathur – سورة التكاثر:

  1. Dalam surah at Allah menyatakan orang yang sibuk lagha mengejar dunia dengan memperbanyakkan harta & pangkat dunia- dia akan diazab, disiksa & dibinasakan!

ii- maka dalam surah al-Asr ini Allah s.w.t nyatakan 4 perkara yang patut & wajib kamu lakukan untuk selamat dari kebinasaan & tidak kerugian!

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
AYAT 1- {DEMI MASA!} (AL-\’ASR 103:1)

  1. Ulama\’ kata masa itu masa waktu (الدهر)!
  2. Allah s.w.t bersumpah dengan MASA; ini untuk kita ambil perhatian tentangnya.
    Menjadi pengajaran bagi orang yang memerhatikan dalam silih-bergantinya siang & malam, dalam perjalanan yang teratur & tersusun.
  3. Ada juga beberapa pendapat lain tentang {وَٱلْعَصْرِ} ini seperti:
    i- masa petang – iaitu akhir siang sehingga waktu maghrib.
    ii- demi waktu Asar- kerana pada waktu ini manusia banyak lalai & lagha.

AYAT 2- {SESUNGGUHNYA MANUSIA ITU DALAM KERUGIAN.} (AL-\’ASR 103:2)

  1. Bahawa manusia itu dalam kerugian, iaitu hilang modal! Modal manusia itu pula adalah umurnya!

2.Dengan ini nyatalah manusia ini dalam kerugian, kerana:
i- setiap detik yang berlalu pada umurnya jika digunakan untuk maksiat pastilah ia akan rugi!

ii- begitu juga jika diguna dalam perkara yang harus juga akan rugi- Ini kerana habis tanpa meninggalkan faedah yang dapat menolongnya bila dia mati!

  1. Maka kerugian itu tidak dapat ditolak dengan jalan lain kecuali seperti yang diterangkan dalam ayat berikutnya!
    Iaitu dengan menyempurnakan segala yang tersebut sebagaimana yang sewajib & sepatutnya.
  2. Kata al-Wahidi rhm.: Rugi itu ialah hilang sekali dengan kepala modal.
    Manusia ini dalam kebinasaan jika umurnya berlalu tanpa ada apa-apa hasil- untuk dunia apatah lagi untuk akhirat.
  3. Rugi itu ada beberapa peringkat:
    i- rugi terus seperti orang kafir.
    ii- rugi berperingkat seperti orang beriman yang berlalu masanya tanpa banyak beribadat kepada Allah, tidak ada pulangan untuk akhirat. Tidak menggunakan masanya dengan baik.

AYAT 3- {KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, DAN MEREKA PULA BERPESAN-PESAN DENGAN KEBENARAN SERTA BERPESAN-PESAN DENGAN SABAR.} (AL-\’ASR 103:3)

  1. Allah nyatakan semua manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman & beramal soleh!
  2. Syarat amal soleh itu diterima kena ingat:
    i- ikhlas kerana Allah s.w.t
    ii- bertepatan dengan Sunnah Rasulullah s.a.w.
  3. Sifat ketiga ialah berpesan dengan kebenaran.
    i- Ia bermula dari iktiqad kepercayaan:
    Aqidah yang paling selamat sekali kita belajar dari Rasulullah s.a.w yang dihuraikan pula oleh ulama\’ para salafus-soleh kemudian ulama\’ yang terkemudian yang muktabar.

ii- benar dari segi akhlak & adab, percakapan yang benar, jauh dari pembohongan dan penipuan.

iii- benar dalam amalan iaitu berpegang dengan al-Quran & Sunnah Nabi s.a.w.

  1. Sifat keempat ialah berpesan dengan kesabaran.
    Sabar itu pula ada 3 peringkat:
    i- sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah.
    ii- sabar dalam meninggalkan maksiat.
    iii- sabar ketika menerima ujian dari Allah.
    Atas apa yang Allah takdirkan ke atas kita samada perkara yang baik atau tidak baik!
  2. Dalam kerugian juga orang yang sombong & tidak dapat menerima nasihat yang diberi terutama oleh guru yang diikuti!

Menunjukkan keras kepala dengan pegangan yang dipilih & menzahirkan perbezaan pendapat yang tidak perlu!

  1. Kita berdoa kepada Allah semoga kita termasuk dalam mereka yang mempunyai sifat ini maka akan tenang di dunia, aman di akhirat & layak dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t!
  2. Firman Allah s.w.t:
    {Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.} (Al-Baqarah 2:177)
  3. Hadis- sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Jibril yang panjang:
    Apabila Jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang iman- Rasulullah s.a.w. menjawab:
    Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!\” [HR Muslim].

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Demi Masa!}- Allah s.w.t bersumpah demi masa (وَٱلْعَصْرِ) iaitu waktu!

Ini kerana masa itulah kepala modal manusia! Kita gunakan.

Tugas kita orang yang beriman ada 4 perkara:
i- kena tahu yang benar dengan belajar!
Ii- bila tahu wajib beramal dengannya.
iii- mesti mengajar kepada orang lain apa yang kita apa yang benar itu!
iv-mesti sabar dalam menghadapi cabaran dalam menyampaikan yang benar itu!

Ini kerana apabila kita bawa kebenaran pasti ada tentangan samada dari orang yang dekat atau jauh dengan kita!

  1. Ayat 3- {Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.}

Dalam surah ini Allah s.w.t nyatakan kepada kita 4 sifat orang yang bahagia, orang yang untung di dunia & akhirat.
Iaitu:
i- mereka yang beriman
ii- beramal soleh!
iii- berpesan dengan kebenaran.
iv- berpesan dengan kesabaran.

Barulah kita telah menggunakan masa mengikut apa yang diajar, yang disyari\’atkan oleh Allah s.w.t!

Kata Imam asy-Syafei rhm.:
Surah ini pendek tetapi ia merangkumi kehidupan manusia! Jika manusia ambil surah ini sahaja pun untuk ditadabbur & diperhalusi, cukuplah untuk ia menjadi panduan hidup di dunia & bekalan kita di akhirat nanti!

  1. Ayat 3- {Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.}-

Allah sebut di sini empat sifat orang yang akan selamat daripada kerugian itu.

Dibawa kata-kata sebahagian ulama\’tentang masa & kerugian ini:
i- kata seorang ulama\’ salafus-soleh:
Aku belajar memahami makna surah al-Asr ini dengan penjual ais.
Dia berkata: Kamu kasihanilah kepada orang yang cair (lalu hilang) kepala modalnya!
Lalu aku memikirkan bahawa manusia itu akan dalam kerugian apabila berlalu & larut masanya; tanpa membawa apa-apa faedah kepada kehidupannya!

Buku yang amat bagus untuk dibaca: Nilai Zaman (Masa) Untuk Ulama\’.
قيمة الزمن عند العلماء

ii- Kata ulama\’ lain:
Tidak akan berlalu satu masa yang akan mendukacitakan aku, iaitu masa tanpa bertambahnya iman & amal!

  1. Ayat 3- {dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.}-

Allah s.w.t perintahkan untuk berpesan dengan kebenaran!

Kebenaran pertama yang wajib kita buat ialah mengajak manusia untuk beriman kepada Allah s.w.t, kemudian datanglah akhlak mulia, adab muamalat dan lain-lain..

Ayat ini juga menunjukkan bahawa perkara yang benar itu berat!

Nak menyatakan kebenaran itu amat payah, nak tegur kesalahan orang itu amat susah!

Kamu akan mengalami ujian yang getir- kerana itu Allah berpesan; supaya kamu para pendakwah jangan lemah & mudah koyak!

Teruskan perjuangan, ambil tanggung-jawab ilmiah, yang ada ilmu tunaikan amanah dalam menyampaikan kebenaran! Amar ma\’ruf & nahi mungkar.

  1. Ayat 3- {serta berpesan-pesan dengan sabar.}
  • Allah s.w.t perintahkan juga supaya berpesan-pesan dengan kesabaran!

Yakni selepas nyatakan kebenaran & berpesan dengan kebenaran; pasti ada yang akan lawan!

Maka kesabaranlah yang akan menjadi paksi & tonggak dalam dakwah kita!

Nabi Nuh a.s telah berdakwah selama 950 tahun, hampir 1000 tahun tetapi hanya sedikit yang beriman!

Rasulullah s.a.w sendiri berdakwah selama 13 tahun di Makkah, tetapi hanya berapa kerat yang beriman!

Anak-anak muda, para pendakwah muda- kita kena sabar, dakwah itu mesti berterusan, kita sabarlah atas dakwah, lalui ujian dengan tenang & sabar, sedikit sekali ujian yang kita lalui berbanding dengan ujian yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w & para anbiya\’ lain.

Kita teruskan dakwah, Allah tak tanya kita berjaya atau tidak tetapi Allah kan tanya kita usaha atau tidak!

Surah ini memberi motivasi yang besar untuk kita!

Masa yang ada, yang Allah berikan ini kita gunakanlah sebaiknya untuk kebaikan dunia & akhirat supaya kita tidak menajdi manusia yang RUGI!!!!

Waktu gawat sudah berlalu, kita syukur & istighfar atas kesalahan & dosa kita yang ada.

Powered by BetterDocs